Memaparkan catatan dengan label reviu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label reviu. Papar semua catatan

Jun 09, 2011

Setakat Ini

Teknologi. Mudah dan terlalu cepat berkembang. Buku pun sudah boleh dibaca dalam bentuk soft copy. Saya sangat skeptikal terhadap pembacaan buku berbentuk maya. Satu sebab utama adalah saya sakit mata terutama apabila membaca melalui skrin laptop terlalu lama. Sebab dua, tidak ada perasaan seperti membaca buku sebenar; tanpa dapat menyelak helaian-helaiannya; tidak dapat mencium bau kertas yang berbeza-beza, apalagi tabiat saya yang selalu membanding ketebalan baki mukasurat yang belum dibaca (gara-gara tidak sabar menghabiskan sebuah buku) sudah tentu terhapus terus.

Itu sebab-sebab yang 'kukuh' untuk saya tidak mengusik satu pun bahan-bahan bacaan ilmiah dan fikrah dalam bentuk pdf yang tersimpan dalam external harddisk saya.(Macamlah senang sangat nak baca isinya yang berat tu.)

Zaman e-reader bermula, saya pandang serong. Tahun lalu sebuah e-reader menjadi popular kerana bersifat revolutionary, setakat ini. Ah, peduli apa. Lagi mudah membaca buku sebenar.

Tetapi beberapa waktu setelah itu kenaifan saya terserlah. Bukan semua teknologi sama.


Oh, bukan iPad yang saya maksudkan. iPad tidak ubah macam komputer. Ini e-reader, bukan komputer tablet. Kawan sekelas saya yang bawa semasa sesi tutorial. Saya minta pada dia, "boleh saya pinjam tengok sebentar?" (dalam bahasa Inggerislah)

Yang saya maksudkan adalah Amazon Kindle. Tak sangka sudah generasi ketiga. Saya fikir alat ini terlalu menarik dan berkesan dan persepsi saya terus berubah 360 darjah. Bermula saat itu saya menginginkannya. 

Tidak lama kemudian, saya berubah fikiran kembali. Rasa membazir pula mendapatkan sebuah sebab saya masih perlu membeli buku-buku di Amazon secara digital yang harganya tidaklah seberapa murah pun kerana tidak jauh beza dari printed version. Lagipun teknologi terlalu cepat berkembang nanti kalau keluar versi baru terus jadi ketinggalan. Ke arah lain pula skeptikalnya!

Tak fasal-fasal Kindle berada juga di tangan saya, sudah hampir sebulan pun. Barang kalau dah di tangan, lagi-lagi yang pernah kita impikan, siapa yang tak seronok. Tak sangka, setakat ini saya pun terlalu asyik membaca menggunakan Kindle. Ke sana sini bawa benda alah ini.

Beli buku macam mana? Kata kena guna banyak duit untuk dapatkan naskhah e-buku. Tak ada masalah, saya dah buat research saya. Sebenarnya di internet ini boleh saja dapatkan buku-buku secara percuma. Kalau filem pun ada pirated version, inikan pula buku yang beberapa kilobyte itu. Di Amazon pun ada naskhah percuma, tetapi pilihan terbatas saja.

Ok, mungkin bunyinya saya tidak menghormati hakcipta penulis. Saya jelas dengan fakta itu. Tapi saya bercadang untuk buat begini (jika mampu): saya akan baca apa pun bahan bacaan yang saya dapatkan dari internet secara percuma, dan jika menarik dan betul-betul bermanfaat saya akan beli naskhah asli. (err, memandangkan saya bukanlah Orang Kaya Baru, mungkin hasrat ini saya lunaskan sikit-sikit)

Saya hendak cuba buat video reviu tentang Kindle dalam bahasa Melayu (sebab di YouTube sudah penuh video dalam bahasa Inggeris) tetapi saya tidak petah berkata-kata di hadapan kamera. Sebenarnya kalau suruh pembaca untuk buat kajian di YouTube sendiri-sendiri pun lebih banyak outputnya. 

Tetapi setakat ini, Kindle dari perspektif saya bagaimana?


Perlu berbalik dahulu kepada cara saya membaca. Saya seorang yang suka membaca lebih daripada satu buku dalam satu-satu masa. Tujuannya untuk mengelakkan saya berasa bosan dengan satu-satu buku. Kebiasaannya ada fiksyen dan non-fiksyen sekaligus. Cuma kalau buku itu sudah cukup baik, saya lebih suka baca yang satu itu dulu sampai habis. Dengan tabiat saya yang begini, apabila ingin berjalan-jalan jauh, saya suka memenuhkan ruang beg (dan memberatkannya) dengan 2 atau 3 buah buku, walaupun saya tahu kemudiannya saya mungkin akan fokus membaca satu daripadanya saja. Dengan Kindle, tabiat saya ini dipermudahkan, malah saya boleh memilih antara 3500 buku (itu kalau saya penuhkan memori alat tersebut. Tak mungkin dan tak perlu rasanya :S)

Saya suka juga feature untuk ubah saiz teks, sangat fleksibel (hanya untuk dokumen selain pdf) kerana mudah untuk membaca, tidak seperti novel-novel Inggeris yang selalunya saiz huruf tidak ubah sebesar semut. Kini dengan fungsi ini, nenek-nenek yang sudah kelabu mata pun mampu membaca, bak kata kawan saya (mana tidaknya, saiz terbesar menjadikan skrin 6 inci itu dipenuhi kurang lebih 10 perkataan saja). Tapi membaca pdf pun bukanlah terlalu sukar, saya suka membaca dalam Kindle kerana lebih senang mata saya menatap skrinnya yang persis kertas sebenar.

Fungsi kamus pun sangat-sangat berguna. Setiap kali ada perkataan (bahasa Inggeris semestinya) yang kita tidak faham, hanya skrol pada awal perkataan tersebut dan petikan maksud akan keluar di atas/bawah skrin bergantung keadaan. Tidak kurang menarik, screensaver yang berubah-ubah setiap kali kita letakkan dalam mod sleep.

Saiznya yang kecil dan nipis serta beratnya yang kurang daripada sebuah paperback membuat saya rasa semua buku yang besar dan berat isinya terasa ringan. (sambil mata bercahaya dengan harapan dapat mula membaca dan menghabiskan pdf-pdf yang bertimbun di dalam laptop)

Setakat ini, itu antara perkara-perkara yang saya suka dan perlu dikongsikan.

Oh ya, sudah dua minggu semenjak caj penuh, dan setakat ini bateri Kindle masih tinggal separuh.


helaianrindu: kredit buat Kamal untuk gambar 2 -  Selamat hari lahir kawan :) maaf sambutan tidak seberapa...semoga diberkati semuanya dan dipermudah jalan ke syurga.

Ogos 10, 2010

Emak Ingin Naik Haji

Pergi haji ke tanah suci
Menjalani niat yang murni
Wajahnya berseri-seri
Penuh rahmat dari Ilahi
Semoga Tuhan memberkahi
Amal ibadah insani

Lagu ini sudah wujud di dalam laptop saya sekian lama tapi buat pertama kali saya rasa terusik untuk mendengar dan menghayatinya. Rasa itu mampir saat menonton trailer filem ini dan membaca rekomendasinya dari teman saya, Naqeb yang baru-baru ini menontonnya. Lagu  ini bertajuk Pergi Haji dendangan Haddad Alwi dan Ashila.

Kisah ini kisah seorang hamba Allah yang terlalu mendambakan untuk menunaikan haji di tanah suci tetapi tidak kecukupan wang. Wang simpanan hasil jualan kuih muihnya masih sedikit jika hendak dibandingkan dengan kos mengerjakan haji yang kian meningkat tahun ke tahun. Anaknya Zain juga hanya berjualan lukisan-lukisan di jalanan, susah untuk mendapatkan hasil.

Wang itu pula terpaksa digunakan untuk belanja pembedahan cucunya, kemudian menolong jirannya yang kesempitan wang dan makanan. Di satu sisi yang lain, diceritakan pula seorang ahli politik yang segera ingin menunaikan haji demi nama dan kepentingan politik semata-mata, dan tetangga Zain yang kaya sudah beberapa kali berangkat ke Mekah menunaikan umrah dan haji.

Betapa emak ingin naik haji, sekalipun wangnya tidak kisah dihabiskan untuk orang lain, dia masih sedih di lubuk hati. Babak menitisnya airmata ibu di atas helaian-helaian Al-Quran usang ketika membaca surah Ali-Imran begitu menggambarkan keinginannya yang teramat. Apatah lagi, saya perasan bacaannya terhenti di ayat 96, ayat yang menceritakan tentang Baitullah di bumi Mekah yang penuh barakah...

Tentang Sikap

Emak, walaupun hidupnya susah, tetap mementingkan keluarganya dari dirinya sendiri. Kesusahan yang dilalui cucunya perlu ditanggung. Juga dua beradik di sebelah rumah yang terlalu ingin makan yang sedikit mewah tetapi tidak mampu kerana kesempitan wang dek ayah yang sakit dan tidak mampu bekerja.

Zain pula, begitu sayang dan kasihan kepada ibunya, berusaha sedaya upaya mencari duit untuk mengganti semula duit simpanan yang dibelanjakan untuk anaknya. Di waktu malam dia berkejaran mencari siapa-siapa yang ingin membeli lukisan-lukisannya tetapi dihampakan. Hampir sahaja dia mencuri masuk rumah jirannya demi mendapatkan duit, namun dengan hidayah Allah, kehendaknya dibatalkan.

Bagaimana dengan tetangga-tetangganya? Jirannya yang tinggal di sebelah rumah sangat kaya, tetapi entah kenapa seperti tidak diendahkannya. Sementara makanan yang disediakan untuk anak-anak mereka begitu mewah dan berlebih-lebih, jiran di sebelahnya pula sampai memakan bangkai burung demi merasa nikmat makan daging. Ahli politik di kawasan tersebut pula tidak mengejar peluangnya untuk beribadat sebanyak-banyaknya, katanya cukuplah sah, dan asalkan gelaran haji itu mampu meraih perhatian masyarakat nanti.

Sedangkan emak yang tidak mampu dari segi wang, cuma mampu menatap gambar-gambar, dan sebuah potret kaabah yang dilukis anaknya...

Nuansa Adaptasi

Lihat saja filem-filem Indonesia, bak kata Naqeb teman saya itu, banyak yang berjiwa. Filem-filem, drama dan cereka TV Malaysia, berapa banyak saja yang bersifat sedemikian? Filem ini sebenarnya diangkat dari sebuah cerpen yang ditulis oleh Asma Nadia, yang termuat dalam naskhah kompilasi cerpen-cerpennya yang diberi tajuk sama.

Daripada sebuah cerpen, boleh terbit sebuah filem. Malah mampu dilihat walau tajuk dan tema kisahnya begitu simple, tetapi ideanya berkualiti dan jalin watak dan peristiwanya bernas. Betapa bagus apabila sebuah cerita di layar lebar diadaptasi daripada cerpen kerana setiap butir cerita mampu dipersembahkan kepada penonton malah boleh digubah untuk menjadikannya lebih menarik. Tambah menyegarkan apabila mise en scene filem ini tampil unik, diadun dengan latar tempat dan masyarakatnya yang pelbagai. Tentunya berlainan dengan melayarlebarkan novel; banyak peristiwa, dialog dan watak yang terpaksa diketepikan demi jalan cerita utama.

Aneh bukan, di Malaysia, kita punya banyak karya-karya sastera, yang mutunya tinggi dari segi plot dan nilai, tetapi tidak diendahkan untuk dihidupkan ke dunia realistik. Sastera Islami yang berkembang dari hari ke hari cuma tinggal untaian kata-kata, dan kaca televisyen makin penuh dengan cerita cinta yang meloyakan, cerita Islamik yang klise dan mendatar penceritaannya. Tidak kurang juga cerita seram yang entah di mana pengajarannya.

Cerita Emak Ingin Naik Haji hanya berdurasi sejam, tetapi sudah cukup untuk menggegar nubari. Banyak lagi yang boleh dikupas, tetapi saya pulangkan pada pembaca untuk menonton dan mengambil pengajarannya sendiri.

"Emak mungkin tak mampu buat melewati samudera yang luas begitu untuk ke tanah suci.. tapi mak yakin, Allah pasti tahu....hati emak sudah lama ada di situ..sudah lama ada di situ.."

HelaianRindu: Sudah bersediakah aku?


Januari 18, 2010

Zugzwang II: Saksi

Saya suka untuk perturunkan précis saya untuk acara bedah buku ataupun teks ucapan Abu Al-A’la Al-Maududi, presiden Jamaah Islami di Pakistan. Buku yang dikenali dengan tajuk Syahadatul Haq—penyaksian atas kebenaran.

Sebelum itu, saya cuma pendengar. Kini, saya sudah menjadi saksi. Lalu saya harus menyampaikan apa yang benar itu kepada semua, supaya kita dapat saksikan kebenaran ini tertegak. Teks ini disampaikan oleh Al-Maududi di Bandar Sayyal Kaut, barat wilayah Punjab, Pakistan, menjelasi erti dakwah Islamiyyah, teori dan pendekatan terbaik, serta realiti masakini yang sangat perlu difahami. Al-Maududi juga dikenali dengan buku-buku lain seperti Asas-Asas Islam, Dasar-dasar Islam, dan juga Asas-asas Akhlak dalam Harakah Islamiah.



Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 143:
"Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) umat pertengahan, supaya kamu layak menjadi saksi ke atas umat manusia (tentang yang benar dan salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi saksi ke atas perbuatan kamu."

Sebagai umat yang berada di tengah, antara Rasul dan manusia, kita harus bersaksi di hadapan kelak bahawa kita telahpun menyampaikan kebenaran. Al-Maududi menegaskan kepentingan berdakwah dan menyampaikan yang haq kepada manusia. Muslim yang mengucapkan syahadah tidak hanya terikat dengan rukun yang lima dan enam itu, tapi juga perlu bersaksi bahawa dia benar akan menyampaikan, sebagaimana Rasul yang telah menyampaikan, kerana kitalah pengganti risalah yang mereka bawa dahulu.

Secara amnya, syahadah ini terbahagi kepada dua: Qauliyyah dan Fi'liyyah. Perkataan dan Perbuatan. Perkataan, apabila kita melaungkan, mengajak, memperkenalkan, apa jua cara demi menjelaskan agama Allah yang agung ini pada sekalian manusia. Dengan pelbagai medium, buku, risalah, majalah, televisyen, internet. Kemudian perbuatan, iaitu memancarkan dan mencerminkan laungan kita, mencerminkan kebenaran kata-kata kita pada perbuatan kita sendiri. Mana mungkin produk pelangsing badan akan laku jika dijual oleh perempuan berbadan montel? Begitu juga apabila kita men'jual' produk kebenaran!

Selain itu Al-Maududi memberi beberapa langkah yang perlu dilakukan. Bermula dengan muhasabah dengan apa yang sedang berlaku pada zaman moden ini, kemudian memulakan langkah menyampaikan kebenaran, dalam satu jemaah. Dalam jemaah, kita bakal kuat. Dan saling membantu. Garis dasarnya haruslah niat kerana Allah, dan akar mesejnya untuk menyampaikan kebenaran.

Mungkin, umat Islam dikecam hebat kini. Mungkin, ramai yang masih belum berani bersuara lantang demi ini.  Jadi, moga-moga zugzwang yang kita buat itupun, adalah diam sebentar, mencari strategi terbaik mematahkan dustanya lawan. Supaya di akhirnya kita juga yang akan mengemat kebatilan. Diam-diam ubi berisi, kata orang. Mulakan sedikit demi sedikit. Yang susah akan jadi senang. Semoga saya dan semua benar beriman dengan ayat 286 surah Al-Baqarah, juga Asy-Syarhu ayat 5 dan 6. Bahawa tanggungjawab yang berat ini adalah mampu kita pikul, dan setelah kesusahan akan datang kesenangan, setelah kesusahan akan datanglah kesenangan.Sama-sama kita mulakan, insya-Allah.

Saya perturunkan juga sedikit bingkisan yang sempat tercetus kala sesi penutup sesi bedah buku ini semalam.  Tajuknya, saya tidak bisa pilih yang lebih baik, tentunya Syahadatul Haq.

SYAHADATUL HAQ

Telah datang awan kebatilan
Maka di manakah saksi-saksi
Kebenaran yang dulu mengarak
di bumantara sejahtera?

Syahadah yang terang
Kaul dan amal adalah saksi
Aku juga akan bersaksi; bukti
aku benar seorang umat pertengahan.

Telah tumbuh duri kebatilan
Maka di manakah saksi-saksi
Kebenaran yang dulu menapak
di bentala sejahtera?

Syuhada Al-Haq, mara!
Belahkan langit dengan cenderasamu
Yang dikumpul berbilah-bilah
Kirimkan risalah islah   
Kelak penggalkan berjuta helah
di hadrat Tuhanmu.

Saksikanlah! Bahawa,
Aku telahpun menyampaikan.

Southampton, UK.
17 Januari 2010
11.45 a.m.

Disember 28, 2009

Imbasan: Buku 2009

Perpindahan sebentar saya ke bumi England menyedarkan saya betapa banyak beda kita dengan masyarakat negara sendiri. Orang Malaysia masih kurang membaca. Sedang yang dicanang-canang 'Membaca budaya ilmu' itu langsung siapa saja yang menyahut. Di England, iklan buku ini persis iklan wayang. "Buku terbaru ini akan keluar sekian hari dan sekian masa, nantikan!" seperti itu, betapa masyarakat asing sangat suka membaca. Di dalam keretapi, pasti akan ada orang yang membaca. Semasa menunggu bas, tentu ada mata yang merenung senaskhah dua buku. Berdiri, duduk, tidak kisah bagaimana, asal buku dia bawa, baca itu jadi mesti. Bukan saja itu, lebih menggalakkan mereka membaca ialah harga buku yang murah. Setakat seringgit dua sudah boleh dapat sebuah buku lagak kamus. Banyak pula kedai bukunya, masing-masing dengan perang promosi dan runtuh harga, semua demi menarik orang membeli dan membaca lebih banyak!

Itu di bumi England. Bagaimana kita di Malaysia?

Sekadar mencetus buah fikir.

Tahun ini, saya menghabiskan a-level dan sempat bercuti untuk 3 bulan. Awal tahun dulu, ketika mempersiap diri untuk peperiksaan itu saya kurang membaca, apatah lagi saat peperiksaan berlangsung. Ketika itu blog saya ditutup sebentar atas beberapa sebab termasuklah ini--dari "The Reading Room" saya berpindah ke "Helaian-helaian Rindu"-- dan kembali berkongsi pembacaan. Kemudian cuti 3 bulan itu 'mewajibkan' saya yang tak berjalan ke mana untuk cuba menghabiskan buku yang lampau banyak di atas almari pakaian saya.

Jikalau diingat-ingat, saya sudah mula selesa menatapi isi buku ilmiah dan bukan fiksyen, malah sejarah yang saya benci waktu di sekolah dulu. Novel dewasa berbahasa Inggeris dengan teks kecil pun sudah mampu saya menyanggupinya. Nampaknya cita-cita saya yang saya sebut dalam imbasan tahun lalu tercapai sedikit sebanyak, alhamdulillah dengan membaca lebih banyak jenis buku saya lebih terpelajar dalam pelbagai aspek.


Berikut buku-buku yang sempat saya kongsi tahun ini:
  1. Sepuluh Wasiat - As-Syahid Imam Hassan Al-Banna
  2. Telaga Budi - Nik Aziz Nik Mat
  3. Mikhail - Ramlee Awang Murshid
  4. Tulisan Cerminan Personaliti Diri - Khadijah Ibrahim
  5. I Love Ramadhan - Sahrulazmi Sidek
  6. Imam - Abdullah Hussain
  7. Bila Tuhan Berbicara - Faisal Tehrani
  8. Angels & Demons - Dan Brown
  9. Bertemu Janji Allah - Nik Aziz Nik Mat
  10. The Da Vinci Code - Dan Brown
  11. Terasing - Hilal Asyraf
  12. The Last Olympian (Percy Jackson & The Olympians #5) - Rick Riordan
  13. Bukti-bukti Sains & Sejarah: Kerasulan Muhammad - Dr. Danial Zainal Abidin
  14. Rooftop Rant - Hlovate
  15. Israel Is Not Real - Anwar M. Aris
  16. Rindu Bau Pohon Tin - Hasrizal Abdul Jamil
  17. Apabila Haiwan Menjadi Guru - Sahrulazmi Sidek
  18. VT - Hilal Asyraf
  19. The Amulet of Samarkand - Jonathan Stroud
  20. Tunggu Teduh Dulu - Faisal Tehrani
  21. Aku Terima Nikahnya - Hasrizal Abdul Jamil
  22. Mahathir Mohamad: An Illustrated Biography - E.Yu
  23. Cinta Alhambra dalam Kembara Sasterawan - Hasan Ali
  24. Relasi - Hilal Asyraf
  25. Tuhan Manusia - Faisal Tehrani
  26. Salina - A. Samad Said
  27. Fikah Luar Negara - Maszlee Malik & Hamidah Mat
  28. The Muslim Conquest of Spain - Shahnaz Husain
  29. The Art of Racing in the Rain - Garth Stein
Berikut pula ulasan lain (animasi, adaptasi novel, seni dll):
  1. Monster - Naoki Urasawa
  2. Erin the Beast Player - Nahoko Uehashi
  3. Pokemon 4Ever
  4. Kimi ni Todoke - Karuho Shiina
Sesudah itu, saya juga telah meluaskan fokus blog dari bingkisan buku yang dibaca kepada perkongsian pengalaman dan sedikit peringatan berdasarkan ilmu yang saya peroleh. Alhamdulillah, setakat ini baru satu saja entri yang berbaur emosi. Mulanya blog ini saya cipta dari blog lama khas untuk respon dari pembacaan saya--tapi nampaknya pengalaman-pengalaman dan ilmu dari guru yang pelbagai serasa rugi kalau tak saya ceritakan. Maka hasilnya seperti yang tercatat sebelum-sebelum ini.

Beberapa buku juga tidak sempat saya habiskan, antaranya buku Brisingr oleh Christopher Paolini; naskhah Lamunan Puitis oleh Shahnon Ahmad yang saya tinggalkan sebelum berhijrah ke England, Masitah oleh Mawar Shafei, Merengkuh Langit oleh S.M. Zakir--antara tiga buku yang sangat diberati weltanschaaung Melayu, sayang tak mampu saya kaut isinya sehingga muka akhir. Buku Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita yang dikarang oleh Hilal Asyraf juga tidak sempat saya kongsikan di sini, sedang saya sudah berjanji pada dia untuk menulis respon saya di sini. Maaf Hilal, bergegas ke bumi England, beg pun sudah penuh waktu itu, tidak dapat pula menyelitkan buku ini. Entah bila, tapi akan dilunasi juga janji ini, insya Allah.

Dan, harga yang tercatat pada rinci buku yang dikongsikan nampaknya sudah berubah dari Ringgit Malaysia kepada Pound! Maaf, ini tak dapat dielakkan, saya tak tahu harga sebenar buku yang diperoleh di UK ini di Malaysia.

Hmm, juga, buku paling berpengaruh bagi saya untuk tahun ini ialah Tunggu Teduh Dulu.

Azam saya tahun hadapan, 2010/1431H, adalah untuk menguasai sedikit sebanyak sejarah Islam, dan membaca karya-karya ilmiah untuk jiwa, juga buku islami untuk perbaiki diri dan menjadi orang yang mampu memperbaikkan sekelilingnya. Jika tak mampu semua, sedikit dari tiap azam itu pun cukuplah, ya saya punya prioriti lain, belajar contohnya.

InsyaAllah!

Nota: Untuk senarai imbasan 2008 dan 2007 pautan ada di sebelah kanan atas blog.

HelaianRindu:  ...Masuk tahun ketiga aku memblog, agh. Kerajaan Abbasiah bukan saja ada kutub khanah, malah ada bangunan khas di luarnya, hanya untuk menyimpan indeks/senarai buku yang berada dalam perpustakaan agung itu!

November 25, 2009

Kimi ni Todoke/君に届け



Dahulu saya agak suka menonton anime, atau kartun Jepun. Tapi, sekarang tidak lagi. Saya sudah sangat memilih sebenarnya dalam menonton animasi (dan rancangan TV lain) ini. Satu, saya tidak suka menonton cerita dengan jalan cerita yang sangat berbelit-belit dan terlalu panjang, seperti yang selalu kita lihat dalam animasi fantasi. Dua, saya suka mencari animasi dengan gaya seni yang tersendiri. Lihat saja animasi Kemono no Souja Erin yang pernah saya kongsikan beberapa bulan lalu, yang isinya banyak menggunakan elemen catan ekspresionis. Bukan setakat itu, Erin juga diadaptasi dari novel yang benar-benar bersifat epik. Ada banyak mesej yang baik juga di sebalik kisah Erin itu yang saya suka.

Kemudian, saya terjumpa satu siri baru.



Sebab nombor dualah yang  menyebabkan saya menyukai sebuah siri baru itu, yang kini masih dalam tayangan di Jepun. Artwork yang dipersembahkan oleh Karuho Shiina (pelukis/penulis komik ini) begitu mempesona, lebih-lebih lagi apabila diproduksikan oleh Production I.G., antara sebuah animator ternama di Jepun. Bukan seperti Erin, siri ini menggunakan elemen a la lukisan warna air (watercolour) yang lembut, dengan rona-rona warna yang sangat menarik!



Bercerita tentang plot dan jalan cerita, ia taklah terlalu berat dan bermesej. Latarnya agak klise, iaitu latar pelajar sekolah. Dan kisahnya pula mengenai seorang gadis yang selalu disalahanggap dan tidak punya kawan, akhirnya menemukan pelbagai perasaan baru apabila dia mula berhubungan dengan ramai orang. Apa yang boleh saya katakan, walaupun latarnya adalah sangat biasa, ceritanya segar dan original, berbeza dengan cerita dan drama Jepun yang menayangkan latar cerita yang sama. Untuk memberi emosi pada setiap episod, suntikan stail seni yang unik inilah yang diberi. Dan memang gaya itu berkesan! Tambah ceria bila ada komedi yang disertakan dalam setiap episod.




Bukan saya hendak mewajibkan kalian menonton cerita ini, tidak. Kerana saya tidak rasa ada mesej yang benar-benar patut didalami, melainkan hanya elemen persahabatan dan kejujuran. Cuma, bagi sesiapa yang meminati hasil seni cat air, saya cadangkan anda teliti lukisan dan landskap dalam cerita ini. (khususnya dalam lagu penutup!). Memang menyenangkan mata memandang. Teringin menghasilkan sebuah karya secantik itu (seperti dalam gambar pertama) dan digantung di dinding rumah sebagai hiasan. Latar chamomile dalam gambar kedua pun apa kurangnya. Tentu menawan!

Oh ya, tajuk siri ini ialah Kimi ni Todoke (Reaching You).

Selamat menonton!

helaianRindu: Lepas ni nak letak gambar2 ekspresionism dalam Erin kat sini pulak.


November 07, 2009

Pokemon 4Ever & Persahabatan



Pokemon. Kalau anda merupakan remaja baya saya, tentu anda akan terkenang zaman kanak-kanak dahulu, apabila saya sebut Pokemon. Bukan apa, tak keterlaluan jikalau saya katakan kartun ini antara yang 'membesarkan' kita, termasuklah Digimon, Beyblade, Masked Rider, Power Rangers dan pelbagai jenis lagi francais kartun Jepun dan Amerika.  Saya sendiri masih boleh cerita kembali zaman saya sekolah rendah dahulu--trend membeli alat mainan digimon, mereka karektor comel dalam buku latihan, mengumpul kad-kad dan sekian banyak lagi alat mainan yang sewaktu dengannya. Hampir semua budak dahulu sekurang-kurangnya akan 'melayan' Pokemon @ Digimon!

Berbalik pada tajuk yang tertulis, anda yang pernah menontonnya tentu bagai tak percaya, betul ke filem kanak-kanak macam ini yang ingin dikongsikan? Kalau iya pun hendak ditulis, sepatutnya dilakukan 6 tahun lalu! Maaf, memang nampak tak sesuai, tetapi saya dahulunya memang peminat setia Pokemon, apatah lagi filemnya. Dan filem keempat ini adalah filem yang paling saya minati, bagi saya cukup evergreen kerana sekarang saya masih boleh menonton semula tanpa rasa jemu atau muak! Masih ingat lagi, saya sibuk betul nak mendapatkan VCD original di pasaran waktu ia mula-mula terbit pada tahun 2003.

Ringkasnya, cerita ini berkisar mengenai Sam yang telah berjaya menyelamatkan seekor pokemon bernama Celebi, yang merupakan penjaga hutan dan berupaya mengembara melalui masa. Ketika hampir ditangkap pemburu pokemon, Celebi membawa Sam ke zaman 40 tahun ke hadapan, dan di situ dia terjumpa dengan Ash Ketchum yang sedang dalam kembaranya. Pada masa ini terdapat orang jahat yang juga ingin menangkap Celebi demi kepentingan diri. Ash dan Sam dan Celebi menjalin hubungan yang rapat sebagai kawan, dan mereka harus menentang orang jahat itu bersama-sama. Di akhirnya apabila semua telah selesai mereka harus berpisah, Sam ke masa lalu semula dan Ash meneruskan perjalanannya.

Fokus saya di sini adalah dari aspek persahabatan yang ditonjolkan. Memang, saya pasti masih ramai yang ingat kontroversi yang melanda francais Pokemon ini. Mengenai nama-nama yang apabila diterjemah menghina Islam, atau aspek 'evolusi' yang digunakan secara meluas dalam animasi ini yang mampu mendoktrin faham Darwinisme, atau kezaliman yang tertonjol dari perlawanan Pokemon seperti sabung ayam lagaknya, dan bermacam lagilah. Haruslah kita ketepikan dahulu. Yang ingin saya perkatakan ialah persahabatan antara Sam dengan Ash. Biarpun dalam masa yang singkat, hubungan mereka begitu rapat. Walaupun Sam sepatutnya lebih tua 40 tahun dari Ash, mereka tetap merakam kenangan manis bersama tanpa rasa kekok. Dan setelah berpisah, mereka berjanji akan tetap menjadi kawan buat selama-lamanya, biar masa menjarakkan.

"True friendships can withstand the test of time." Itu kata-kata Professor Oak kepada Ash sewaktu dia bersedih kerana berpisah dengan Sam. Apa yang mengharukan saya, kata-kata Professor Oak sangat mendalam. Ini kerana Profesor Oak sendiri adalah Sam 40 tahun kemudian, dan sebab itulah Profesor Oak meyakinkan Ash di hujung cerita bahawa Ash dan Sam akan tetap menjadi kawan baik buat selama-lamanya. Bukan saja mesej yang disampaikan sangat menggigit rasa, tapi rahsia di epilog cerita ini juga sangat menarik! Sahabat itu bukan mudah untuk kita dapati. Sudah berjuta lagu dan sajak di dunia ini memperihalkan mengenai sahabat sejati, kawan terbaik, peranan kawan. Dan mungkin ramai yang akan mengatakan definisi sahabat bagi setiap orang adalah berbeza. Mungkin, ada yang mengatakan sahabat itu orang yang rapat dengannya. Atau, orang yang sentiasa mengingatkan apabila terlupa; mungkin orang yang selalu menasihati dan menegur kesilapan; dan malah orang yang apabila kita memandang wajahnya, dia mengingatkan kita pada Pencipta kita, barangkali.

Saya tidak pandai dan tidak mahu mengkritik apa-apa mengenai sinematografi dan sebagainya, yang pasti Pokemon 4Ever sememangnya satu filem dengan jalan cerita yang baik. Bila menonton kembali filem ini, saya cuma ingin anda semua membuat refleksi mengenai persahabatan semula. Fikirkan, adakah kita mampu jadi seorang sahabat? Apa fungsi sahabat? Dan mungkin sebelum semua persoalan itu dirungkai jawapannya, apa itu sahabat? Ingatlah, sahabat itu terlalu besar pengertiannya. Sahabat, hei bayangkan Abu Bakar yang menangis diam menahan sakit dipatuk ular demi tidak membangunkan Rasul yang tidur di ribanya! Bukankah sahabat itu lebih daripada hanya boleh menjadi teman meluah rasa? Bukankah sahabat itu lebih nilainya dari ke mana pun selalu berdua?

Sahabat, bagi saya, tidak konkrit.

Terlalu subjektif untuk didefinisikan.

Helaianrindu: Pokemon, masih ada kawan saya yang menghafal beribu namanya sampai sekarang!

September 03, 2009

Erin, The Beast Player (Kemono no Souja Erin/ 獣の奏者 エリン)

Dua tahun lalu, saya menonton sebuah animasi Jepun yang bertajuk Seirei no Moribito (Guardian of the Sacred Spirit) karya Nahoko Uehashi. Awalnya saya tidaklah begitu berminat, tetapi sedar-sedar saya dah habis menonton kesemua 26 episod dan menagih lebih episod lagi. Tandanya, saya sudah jatuh cinta dengan karya beliau.

Awal tahun ini, lebih kurang dalam Mac-April, saya terbaca berita bahawa sebuah lagi karya Nahoko Uehashi akan dijadikan animasi. Karya itu bertajuk Kemono no Souja (The Beast Player) yang ketika itu berjumlah dua volum. Ah ya, terlupa pula, kedua-dua Moribito dan Kemono no Souja adalah novel karangannya, bukan manga. Moribito adalah novel dua jilid manakala Kemono no Souja adalah novel 4 jilid, dan 2 jilid selebihnya baru saja diterbitkan 10 Ogos lalu di Jepun. Berbalik semula pada berita yang saya jumpa itu, saya terus meletakkan siri ini sebagai salah satu cerita yang wajib saya tonton.

Mengadaptasi 2 volum awal, Kemono no Souja Erin merangkumkan kandungannya ke dalam 50 episod. Pada mulanya saya agak teragak-agak juga untuk menonton, disebabkan gambar promonya yang kelihatan keanak-anakan. Impresi awal mengatakan ini kisah untuk kanak-kanak. Tetapi, mengenangkan Moribito, saya meyakinkan diri yang siri ini juga matang dan tentu lebih baik lagi. Animasi 50 episod, tak mungkin mereka akan animasikan sesuatu yang membosankan!

Erin merupakan seorang kanak-kanak berumur 10 tahun, yang tinggal dengan ibunya, Soyon, di Kampung Aka. Ibunya merupakan seorang pelatih dan doktor Touda--sejenis haiwan tunggangan seperti biawak besar yang bertanduk dua--yang digunakan oleh tentera Raja dalam peperangan. Mereka berdua berasal dari Kampung Kiri yang merupakan penduduk yang disisihkan kerana melakukan satu kesalahan besar lama dulu. Sebagai penduduk asal kampung itu mereka dilayan dengan layanan buruk oleh setiap orang. Namun mereka diberi pengecualian untuk tinggal di kampung itu kerana kepakaran Soyon sebagai pelatih Touda.

Namun, tragedi maut yang menimpa seekor Touda pada suatu hari dibebankan kesalahannya pada Soyon sepenuhnya tanpa usul periksa. Soyon terpaksa menjalani hukuman, dan Erin pula harus keluar dari kampung itu demi keselamatannya. Dalam masa yang sama, kerajaan yang diperintah Raja sedang bergolak. Erin, dalam pengembaraannya, belajar banyak perkara mengenai haiwan, dan satu hari di dalam hutan, dia terkagum akan seekor binatang yang sangat megah yang menjadi lambang Raja pada waktu itu: Raja Haiwan (Beast Lord). Tidak disangkakan oleh Erin yang pertemuannya dengan Raja Haiwan itu akan menjerumus dirinya ke dalam pergolakan politik kerajaan.

Premis novel Nahoko Uehashi sangat menarik dan begitu epik sekali sifatnya. Walaupun baru 31 episod saya tonton, tetapi setiap episod begitu menarik sehinggakan saya selalu 'terserap' ke dalam dunia Erin. Watak Erin sendiri terlalu memikat. Dia budak yang bijak, cepat belajar dan mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Kerana sifat ingin tahunya itu, kadangkala dia terlupa yang tindakannya boleh membawa kepada bahaya. Dia juga sangat sayang akan ibunya dan hubungan ibu-anak yang terpancar dalam animasi ini sentiasa menyentuh hati.

Erin ketika memujuk anak Raja Haiwan. Alamak, comelnya. Geram. Setiap episod.

Uehashi cekap membina perhubungan antara watak, baik manusia ataupun haiwan. Premis Kemono no Souja Erin berkisar mengenai perhubungan manusia dengan haiwan. Seperti Touda, Raja Haiwan boleh ditundukkan oleh manusia dengan meniup sebiji wisel khas dengan frekuensi tertentu yang tidak didengari manusia. Namun, kerana kasihnya Erin terhadap haiwan, dia enggan menggunakan cara yang sama. Dia bertindak sebagai seorang ibu kepada seekor anak Raja Haiwan. Walaupun cara itu bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan, dia tetap tegar dengan metodenya. Saya selalu ikut terharu menyaksikan jalinan luarbiasa Erin dengan Raja Haiwan ini, ada masa hampir-hampir saja saya menitiskan airmata. Tak dinafikan, barangkali kerana saya juga sukakan haiwan. (Lagipun, Raja Haiwan seekor bintang yang sangat comel sebenarnya, walaupun berbahaya apabila dia mengganas.)

Erin 18 tahun dan beberapa watak yang terlibat

Perhubungan Erin dengan ibunya, dengan ayah angkatnya Jone (juga watak kegemaran saya), dan dengan rakan-rakannya yang terbina juga mengikat saya bersama. Rona emosi yang dilontar oleh tragedi mahupun kegembiraan juga membawa rona rasa yang sama pada saya. Contohnya, ketika bayi Raja Haiwan liar yang ditemuinya di hutan itu sedang dalam ancaman oleh Touda liar, saya ikut cemas seperti Erin. Kehadiran ibu Raja Haiwan itu secara dramatik membuat saya bertepuk kegembiraan, benar! "Bayi itu selamat!" bisik saya dalam hati. Tersenyum-seyum saja sehingga hujung episod itu kerana terkenangkan perilaku saya ketika itu. Sejak itu saya juga jatuh cinta pada Raja Haiwan macam Erin.

Antara abstrak dalam Kemono no Souja

Digaul dengan suasana kampung yang damai, desa dan bukit yang meluas indah, saya tenang meneliti setiap episod. Muzik yang melatari keseluruhan animasi ini juga mendamaikan. Lagu nyanyian cossami contohnya, yang seperti keanak-anakan tetapi berlatarkan muzik yang lembut dan perlahan antara yang menjadi kegemaran saya sepanjang siri ini ditayangkan. Sangat sesuai dengan Erin dan sifat latarnya. Lain daripada itu saya gemar sekali dengan art syle yang digunakan, paling suka pada motif seakan-akan abstrak. Seni cerita dan juga seni animasi dan muzik, kedua-duanya 'memaksa' saya bercinta dengan Kemono no Souja.

Buku peraturan yang sepatutnya dipatuhi semua pelatih Raja Haiwan

Siri ini tidak tertumpu pada Erin yang berumur 10 tahun itu saja. Siri ini diteruskan dengan Erin 14 tahun, dan terbaru dalam episod 31 Erin sudahpun menjadi gadis matang berumur 18 tahun. Masih belum nampak kaitan Erin dalam pergolakan negara, siri ini masih panjang lagi. Malah 50 episod ini adalah untuk 2 volum sahaja. Masih ada 2 jilid lagi yang baru terbit perlu dianimasikan. Entah bila agaknya dapat saya saksikan. Tak apa, saya akan cuba jadi peminat yang sangat setia.

novel bahasa Jepun volum 1 Kemono no Souja

Oh ya, Moribito telahpun diterjemah dalam bahasa Inggeris oleh Scholastic. Saya tak sabar menunggu Kemono no Souja diterjemahkan juga. Saya mesti menjadikan Karya Uehashi sebagai koleksi tersayang. Biarpun sudah tahu jalan ceritanya, saya ingin membacanya dalam bentuk novel pula. Tentu akan memberi perasaan berbeza, mana tahu lebih baik lagi? (Tapi, menonton animasinya takkan terasa macam menonton animasi, terasa macam drama, rasa macam memang membaca novelnya. Sungguh.)

Terlalu banyak yang ingin dikisahkan mengenai Erin dan siri ini. Mungkin hanya saya yang suka, tapi jika anda ingin menontonnya anda boleh muat turun episod-episod terbaru di sini dan nilailah sendiri. (dalam bahasa Jepun dengan sarikata Bahasa Inggeris) Dan jika berminat siri Seirei no Moribito di sini.

Untuk mengetahui ulasan lebih baik di sini, dan untuk ulasan mengikut episod di sini dan sini.

Mac 27, 2009

Monster: Satu Ulasan

Minggu lepas, saya 'sibuk' menonton animasi Monster--sebuah karya Naoki Urasawa. Pertama kali membaca komiknya di internet suatu ketika di sekolah menengah dulu, rasa sangat teruja. Babak 1 dalam komiknya (sama juga episod 1 dalam animasi) pun sudah mula menyajikan elemen misteri dan saspens. Saya sememangnya peminat cerita misteri, maka sudah tentu misteri yang disediakan dalam Monster sudah cukup membuat saya 'melekat' ketika menonton animasinya, walaupun kualiti animasi kurang mantap dan lukisan yang tidaklah cantik mana, kalau dibandingkan dengan karya-karya seperti Death Note oleh Obata Takeshi, atau Dragon Ball karya Akira Toriyama sekalipun. Namun saya lebih suka berkongsi mengenai cerita dan plotnya yang tidak melampau jika saya katakan begitu ingenious.

Umumnya, Monster mengisahkan seorang doktor pakar neurosurgeon yang berbakat besar, Dr. Tenma Kenzou, berlatarkan negara Jerman lewat tahun 80-an. Tragedi bermula apabila Tenma tidak mengikut arahan pengarah hospital untuk menyelamatkan nyawa Datuk Bandar (Düsseldorf), sebaliknya menyelamatkan seorang budak bernama Johan Liebert yang datang dahulu sebelum Datuk Bandar. Johan, (ketika itu 11 tahun) dijumpai parah dengan kesan ditembak di dahi, dibawa ke hospital Dr Tenma bersama adiknya Anna yang mengalami trauma sehingga tidak mampu bercakap. Tekanan oleh doktor senior dan pengarah, putus tunang dan sebagainya menjadikan Dr Tenma hilang punca--sehinggakan dia meluahkan yang mereka patut mati (kerana lebih mementingkan wang dari nyawa manusia, berikutan kematian Datuk Bandar akibat kegagalan pembedahannya dan kejayaan pembedahan Johan). Beberapa hari selepas itu, misteri bermula: pengarah dan doktor senior yang menekan Tenma dijumpai mati di tempat berlainan pada waktu yang sama, dan dua beradik Liebert telah hilang! Dan Tenma mula disyaki kerana dia mempunyai motif pembunuhan yang jelas.

9 tahun berikutnya, Tenma mengetahui dalang di sebalik pembunuhan tersebut: Johan Liebert. Demi membalas jasa Tenma menyelamatkannya, Johan membunuh mereka kerana terdengar kata-kata Tenma sendiri--'mereka patut mati'--9 tahun lalu. Tenma mula menjadi suspek atas pembunuhan yang dilakukan Johan, dan bermulalah misi Tenma untuk memburu Johan. Johan, lelaki yang kini berusia 20 tahun--punya intelek dan karisma yang tinggi; gemar memanipulasi kelemahan manusia: Inilah yang mereka gelar Raksasa!

'Raksasa' atau 'Syaitan' diguna untuk merujuk kepada Johan kerana Johan merupakan calon 'the next Adolf Hitler' pada masa itu. Dr Tenma, dalam misinya mencari Johan, menyelongkar misteri di sebalik sebuah rumah anak-anak yatim yang sebenarnya merupakan pusat eksperimentasi untuk melahirkan 'askar sempurna' melalui proses psychological reprogramming--melahirkan manusia yang lahir dengan sifat kebencian dan tiada rasa kasihan. Ya, saya juga geram menonton siri ini, kerana memang Johan bersifat syaitan! Dia sanggup membunuh semua ibubapa angkat dan sesiapa yang pernah mengenalinya, biarpun mereka berbuat baik padanya. Di sini saya dapat simpulkan, bahawa dalam masyarakat kita juga wujud manusia seperti ini; sanggup menjahanamkan keluarga sendiri, merosakkan keharmonian umat. Bukankah mereka ini raksasa? Pun begitu, saya berasa sedih, bagaimana kanak-kanak ini boleh terpilih untuk ke Kinderheim 511 (rumah anak-anak yatim tersebut) untuk dijadikan manusia berhati binatang ini?

Di tengah-tengah siri ini, penonton akan mula menelusuri asal-usul Johan, kenapa dia dipilih sebagai bahan eksperimen, tujuan eksperimen dan perancang di sebalik semua yang berlaku. Begitu terkejut ketika mengetahui yang semuanya berpunca dari sebuah buku cerita! Buku cerita itu ditulis oleh Emil Schebe, yang sebenarnya mastermind dalam program eksperimen tersebut. Ceritanya adalah mengenai seekor raksasa yang sangat menginginkan nama, tapi di akhirnya, setelah mendapat satu nama, dia memakan semua orang di sekelilingnya sehingga tiada orang hendak memanggil namanya lagi. Tahu apa nama yang raksasa tersebut peroleh? Johan. Dan Johan di dunia nyata mengambil kisah ini sebagai misinya: Menghapuskan semua yang mengenalinya!

Saya suka membincangkan mengenai latar yang digunakan. Latar masyarakatnya sangat universal, walaupun terikat di beberapa tempat di German dan satu tempat di Prague, Czechoslovakia. Antagonisnya sendiri merupakan warganegara Jepun. Dalam satu episod, terdapat satu keluarga yang ahlinya terdiri dari pelbagai bangsa, datang dari pelbagai negara, etrmasuklah Turki, Vietnam, dan banyak lagi yang sebenarnya merupakan mangsa dari pembunuhan ahli keluarga mereka. Keharmonian perlbagai budaya yang ditonjolkan sangat menyerlah, khususnya dapat dilihat pada makanan yang dimasak setiap hari. Setiap hari, kata mereka, mereka sangat beruntung kerana dapat merasa masakan dari pelbagai negara. Begitu juga kita, masyarakat Islam, sepatutnya perlukan pada toleransi. Saya masih ingat pada falsafah seorang rakan Cina saya--falsafah yang diambil ketika memakan Yee Sang. Pada ketika itu semua mengambil makanan itu bersama-sama. Tiada permusuhan. Tiada yang dapat lebih dan kurang, masing-masing boleh ambil ikut suka. Bukankah Islam juga sifatnya begitu? Adil.

Satu lagi kekuatan karya Urasawa ini ialah dari segi perkembangan jalan ceritanya, serta plot yang ditampilkan. Ya, setiap watak punya peranan yang besar. Dari sekecil-kecil perkara, yang mungkin kita anggap tidak penting, sebenarnya punya signifikasi yang besar dalam mengolah sebab dan akibat dalam Monster. kadang-kadang, pembantu pejabat yang sering terlupa mengunci pintu, boleh jadi 'penyelamat' dari dibunuh oleh penjenayah! Ini dapat disaksikan ketika Dr Reichwein, bekas pensyarah Dr Tenma di universiti, hampir-hampir dibunuh oleh Roberto, orang bawahan Johan, tetapi dapat menyelamatkan diri kerana pembantu pejabatnya terlupa mengunci pintu belakang. Ketelitian dalam membentuk sebab dan akibat ini memang menjadikan Monster satu karya yang mantap. Belum lagi dikira perkaitan yang kompleks dalam suku akhir siri ini. Terdapat banyak watak dan imbas kembali saling berkait, misteri dan rahsia terbongkar satu per satu, sampaikan pada episod akhir juga, cerita ini sebenarnya masih belum punya penyelesaian. Apa, anda mengharapkan happy ending? Jangan; bukan dalam Monster, sama sekali jangan ada harapan sebegitu.

Begitupun, setiap perkara ada kelemahannya. Walaupun plotnya mantap, tetapi unsur arak dan seks banyak diselitkan dalam Monster. Eva, bekas tunang Tenma contohnya, sering dilihat mabuk kerana tertekan dalam hidup. Braun yang menyiasat kes Johan juga ketagihan arak sehingga membawa pada pembunuhannya. Johan pula sanggup meracun fikiran kanak-kanak dengan menghantarnya ke kawasan pelacuran di sebuah bandar, sampaikan budak itu hampir membunuh diri kerana apa yang dilihatnya. Jelas, Monster sebuah karya yang bukan untuk kanak-kanak kerana pengaruh negatif saya rasakan begitu kuat. Tanpa ada fikiran yang rasional dan iman yang mantap kanak-kanak mungkin akan terpengaruh (ada juga babak menunjukkan seorang budak pergi ke bar dan meminum segelas arak). Monster adalah sebuah karya yang lebih tertumpu pada sosial dan masyarakat. Banyak juga simbolik yang menguja penaakulan dan interpretasi penonton, contoh mudahnya buku-buku cerita yang dihasilkan oleh Emil Schebe yang saya sebutkan sebelum ini, yang banyak berkait dengan masyarakat.

Keseluruhannya, saya memang suka dengan Monster. Walaupun tidak faham sepenuhnya (sebab tak terhadam semua maklumat--saya menonton hampir 15 episod sehari, dalam masa 5 hari, tak mahu mengganggu masa ulangkaji kononnya) saya masih suka kerana elemen misteri yang disediakan lain dari yang lain. Ada satu episod, yang pada waktu itu rakan Tenma menyiasat 3 kes bunuh berbeza--tetapi dia menyedari 3 pembunuhan itu disuruh oleh orang yang sama, tetapi dilakukan oleh 3 orang yang tiada kaitan supaya orang tidak akan mengesyaki yang dalangnya adalah orang yang sama: Johan. Ingenious, bukan? Kalau mahu tahu lagi tentang Raksasa bernama Johan ini, boleh meneliti komiknya, atau tonton animasinya (yang berjumlah 74 episod kesemuanya, haha).

Related Posts with Thumbnails