Judul: Salina
Penulis: SN A. Samad Said
Penerbit: DBP
Tahun: 1989
Bil. mukasurat: 508
Dulu seorang sahabat saya, Syahmi, pernah minta pada saya untuk carikan novel ini. Puas saya cari online (maklumlah beli cara macam ini senang kalau dah tahu judul yang nak dibeli) tapi tak berjumpa. Beberapa bulan lepas itu saya pergi ke Pesta Buku di PWTC (April lepas) dan bertanyakan seorang abang yang menjaga booth Dawama mengenai Salina. Saya pun berminat memilikinya juga sebenarnya, jadi cepat-cepat saya bertanya.
"Kami dah tak cetak Salina lagi." Ringkas jawapannya.
Kecewa itu terubat baru beberapa minggu lepas, apabila saya terjumpa Salina cetakan lama di perpustakaan kecil di kampung saya ini. Alhamdulillah terus saya pinjam. Mulanya ingin meminjam versi ringkas (abridged). Ya semacam kita membaca karya klasik orang putih yang sekian panjang tetapi kini banyak pula versi ringkas yang diolah semula. Tapi alang-alang dah terjumpa versi panjang sekali, baiklah saya baca yang penuh itu. Mungkin selepas ini tak berpeluang lagi.
Kembali kepada Salina. Ringkasnya, Salina ini cerita seorang pelacur dan juga jiran-jirannya di sebuah perkampungan di Singapura. Kampung itu bernama Kampung Kambing. Kampung Kambing, kerana rumah mereka itu asalnya kandang kambing yang diperbaiki sedikit dan dijadikan rumah untuk orang tinggal. Salina adalah antara penduduk dalam rumah itulah. Dia tinggal bersama seorang lelaki bernama Abdul Fakar, yang bukan suaminya sebenarnya. Sebagai seorang pelcaur, yang malah 'menyara' seorang lelaki simpanan, tentu banyak fitnahnya. Dan turut menghidupkan novel ini ialah cerita mengenai jiran-jirannya, yang sama-sama mempunyai masalah kekeluargaan, kewangan dan pelbagai lagi.
Saya berminat dengan latar sosial yang ditonjolkan dalam Salina. Jangan salah faham, bukan tentang suasana lacur-melacur yang wujud itu. Tetapi kesusahpayahan hidup masyarakat di kawasan tersebut. Salina sendiri sebenarnya adalah seorang mangsa perang. Perang Dunia Kedua meragut nyawa keluarga dan kekasih pertamanya, menjadikan dia kini sebatang kara. Demi menyara hidup dia terpaksa menjual diri. Juga, saya memikirkan kesusahan penduduk Kampung Kambing itu tinggal di dalam rumah yang serba kekurangan, bekas tinggalan kambing pula. Bocor di sana sini bila hujan turun mencurah. Kemudian kesusahan mendapatkan air. Mereka di kampung itu hanya boleh menumpang mengambil air di berek pekerja PWD (Public Works Depatment) di seberang jalan, itupun hanya di waktu malam ketika tiada orang menjaga kawasan itu. Tidak seperti kita sekarang, rumah bukan main besar, air bukan main banyak sampai berjoli sakan bermain air.
Mencari rezeki untuk menampung hidup pun bukan mudah. Abang kepada Nahidah (seorang jiran Salina, yang diminati oleh Fakar) contohnya, sampai sudah tidak mendapat kerja, akhirnya meninggalkan kampung itu untuk menjadi tentera. Narto, abang angkat Nahidah pula semakin susah mencari makan sebagai pengayuh beca kerana sudah ramai yang menaiki teksi. Yang menjadi mangsa akhirnya ialah Nahidah, kerana Narto tidak dapat mencari rezeki yang 'mencukupi' buat ibunya. Ibu mereka, Zarina itu ingin hidup mewah, maka dipaksa Nahidah bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran. Pelayan waktu itu macam di kelab malam lagaknya, bukan saja mengambil pesanan dan membawa makanan, tetapi kadang-kadang melayan pelanggan lelaki dengan badan. Mungkin saja nampak sama dengan kebobrokan sosial zaman kini (malah lebih teruk lagi) tetapi hakikatnya, di sebalik semua itu, kebanyakannya bertumpu pada satu titik persamaan: mereka terdesak mencari duit demi meneruskan kehidupan. Dan inilah yang membezakan mereka dengan masyarakat zaman ini. Bukan terdesak, tetapi 'gersang' dan memang sukarela memunah maruah.
Saya secara peribadi turut tertarik dengan watak Hilmy, seorang jiran yang baru berpindah ke kampung itu. Hasil pemerhatiannya kepada keadaan tempat tinggal mereka di zaman itu dia memasang impian untuk menjadi pembuat pelan rumah. Sekarang saya sudah jelas matlamat dia hendak menjadi arkitek. Tetapi, saya masih tidak nampak matlamat saya seperti dia, mungkin kerana tiada masalah seperti itu sekarang. Kesal juga mengenangkannya. Apapun, setidak-tidaknya, Hilmy berjaya menegur diri saya secara tak langsung untuk berfikir letak duduk hala tuju hidup saya kelak.
Saya juga kagum dengan Salina kerana dia sanggup menyara pelajaran Hilmy. Ya, ketika itu bukan senang untuk belajar. Untuk dapatkan kerja yang bagus, perlu bersekolah di Sekolah Inggeris. Dan tidak semua yang dapat belajar itu dapat teruskan pembelajaran, kadang banyak yang berhenti kerana kesempitan wang dan bermacam-macam lagi sebabnya. Salina yang tidak beroleh peluang itu sangat berharap Hilmy berjaya mencapai cita-citanya, agar hidup Hilmy tidak sepertinya. Pelacur yang berjiwa besar, mungkin pelik bunyinya, tapi itulah Salina.
Karya klasik ini sememangnya membawa kita ke luar pagar kelaziman, disebabkan latar masa dan sosialnya itu yang susah untuk kita hayati dalam buku-buku terkini. Sebagai generasi muda yang lahir dalam kecukupan materi dan jauh sekali dari aftermath perang Salina membantu saya mengenali dunia nenek moyang kita. Saya juga dapat banyak iktibar dan mampu melihat hidup memalui perspektif berbeza. Saya berharap pembaca lain juga mampu bermuhasabah melalui Salina, kerana novel harus juga mendidik selain menghibur.
Syukur, itulah iktibar utama!
Kemudian...
Sabtu lalu, saya terjumpa buku Salina di Kuala Lumpur. Nak membeli tapi sempit kocek! Sempat berkongsi dengan Syahmi cerita ini, tapi sayang dia sudah balik semula ke Jordan menyambung pengajian (hari ini), jadi tidak sempat membelinya. Tak apalah, ada masa, kita pergi beli buku sama-sama ya Syahmi, boleh ajak Naqeb sekali.
Kini hasrat saya mengumpul karya Sasterawan Negara makin menebal!
helaianRindu: Muak dengan rancangan TV yang pelakonnya pun menjual badan. Free pulak tu. Sabar je.
2 ulasan:
ya. aku ada jumpa salina(entah cetakan ke berapa. tp rsnya yg terbaru) dekat pesta buka kl dekat mines dulu. rasa mcm nk beli. tp, x termampu nak baca lagi kot(memandangkan tringat byk lg buku tgh waiting list yg aku x sentuh2 lg pun) :D
erm. novel melayu klasik mmg tggi gaya bahasanya. aku suka. sekadar nak bagi suggestion, try cari novel 'desa pingitan' karya ibrahim omar. gaya bahasa dia seolah-olah mcm aku ada pada zaman tuh. zaman orang naik keta api arang. zaman org berebut tanah. hehe.
aku sebenarnya x habis baca lagi. hehe. baca kt library ja. jd, mana la sempat nk habiskan semua skali baca. :D (aku x wat kad library awam, arap maklum)
kalau ang ada terbaca, minta direviewkan. sbb aku mmg suka baca review ja. hahahampeh.
ok. salam.
oo yeke. akupn bnyk jugak yg tgh menunggu dibaca tu.
sbnrnye, aku xdpt habiskan pun salina ni...lagi sikit lagi...tapi dah nk pulangkan ke library (lma sgt tangguh pulang..bnyk denda dah ni) so aku terus tulis je kat sini dulu. rugi plak kan kalau xtulis.
nntla, ada peluang, kalau jmp buku tu aku bc n kongsikan. haha, baikla ko xbeli semua buku, baca reviu2 kat tenet je.
salam!
Catat Ulasan