Memaparkan catatan dengan label koleksi cerpen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label koleksi cerpen. Papar semua catatan

Ogos 10, 2010

Emak Ingin Naik Haji

Pergi haji ke tanah suci
Menjalani niat yang murni
Wajahnya berseri-seri
Penuh rahmat dari Ilahi
Semoga Tuhan memberkahi
Amal ibadah insani

Lagu ini sudah wujud di dalam laptop saya sekian lama tapi buat pertama kali saya rasa terusik untuk mendengar dan menghayatinya. Rasa itu mampir saat menonton trailer filem ini dan membaca rekomendasinya dari teman saya, Naqeb yang baru-baru ini menontonnya. Lagu  ini bertajuk Pergi Haji dendangan Haddad Alwi dan Ashila.

Kisah ini kisah seorang hamba Allah yang terlalu mendambakan untuk menunaikan haji di tanah suci tetapi tidak kecukupan wang. Wang simpanan hasil jualan kuih muihnya masih sedikit jika hendak dibandingkan dengan kos mengerjakan haji yang kian meningkat tahun ke tahun. Anaknya Zain juga hanya berjualan lukisan-lukisan di jalanan, susah untuk mendapatkan hasil.

Wang itu pula terpaksa digunakan untuk belanja pembedahan cucunya, kemudian menolong jirannya yang kesempitan wang dan makanan. Di satu sisi yang lain, diceritakan pula seorang ahli politik yang segera ingin menunaikan haji demi nama dan kepentingan politik semata-mata, dan tetangga Zain yang kaya sudah beberapa kali berangkat ke Mekah menunaikan umrah dan haji.

Betapa emak ingin naik haji, sekalipun wangnya tidak kisah dihabiskan untuk orang lain, dia masih sedih di lubuk hati. Babak menitisnya airmata ibu di atas helaian-helaian Al-Quran usang ketika membaca surah Ali-Imran begitu menggambarkan keinginannya yang teramat. Apatah lagi, saya perasan bacaannya terhenti di ayat 96, ayat yang menceritakan tentang Baitullah di bumi Mekah yang penuh barakah...

Tentang Sikap

Emak, walaupun hidupnya susah, tetap mementingkan keluarganya dari dirinya sendiri. Kesusahan yang dilalui cucunya perlu ditanggung. Juga dua beradik di sebelah rumah yang terlalu ingin makan yang sedikit mewah tetapi tidak mampu kerana kesempitan wang dek ayah yang sakit dan tidak mampu bekerja.

Zain pula, begitu sayang dan kasihan kepada ibunya, berusaha sedaya upaya mencari duit untuk mengganti semula duit simpanan yang dibelanjakan untuk anaknya. Di waktu malam dia berkejaran mencari siapa-siapa yang ingin membeli lukisan-lukisannya tetapi dihampakan. Hampir sahaja dia mencuri masuk rumah jirannya demi mendapatkan duit, namun dengan hidayah Allah, kehendaknya dibatalkan.

Bagaimana dengan tetangga-tetangganya? Jirannya yang tinggal di sebelah rumah sangat kaya, tetapi entah kenapa seperti tidak diendahkannya. Sementara makanan yang disediakan untuk anak-anak mereka begitu mewah dan berlebih-lebih, jiran di sebelahnya pula sampai memakan bangkai burung demi merasa nikmat makan daging. Ahli politik di kawasan tersebut pula tidak mengejar peluangnya untuk beribadat sebanyak-banyaknya, katanya cukuplah sah, dan asalkan gelaran haji itu mampu meraih perhatian masyarakat nanti.

Sedangkan emak yang tidak mampu dari segi wang, cuma mampu menatap gambar-gambar, dan sebuah potret kaabah yang dilukis anaknya...

Nuansa Adaptasi

Lihat saja filem-filem Indonesia, bak kata Naqeb teman saya itu, banyak yang berjiwa. Filem-filem, drama dan cereka TV Malaysia, berapa banyak saja yang bersifat sedemikian? Filem ini sebenarnya diangkat dari sebuah cerpen yang ditulis oleh Asma Nadia, yang termuat dalam naskhah kompilasi cerpen-cerpennya yang diberi tajuk sama.

Daripada sebuah cerpen, boleh terbit sebuah filem. Malah mampu dilihat walau tajuk dan tema kisahnya begitu simple, tetapi ideanya berkualiti dan jalin watak dan peristiwanya bernas. Betapa bagus apabila sebuah cerita di layar lebar diadaptasi daripada cerpen kerana setiap butir cerita mampu dipersembahkan kepada penonton malah boleh digubah untuk menjadikannya lebih menarik. Tambah menyegarkan apabila mise en scene filem ini tampil unik, diadun dengan latar tempat dan masyarakatnya yang pelbagai. Tentunya berlainan dengan melayarlebarkan novel; banyak peristiwa, dialog dan watak yang terpaksa diketepikan demi jalan cerita utama.

Aneh bukan, di Malaysia, kita punya banyak karya-karya sastera, yang mutunya tinggi dari segi plot dan nilai, tetapi tidak diendahkan untuk dihidupkan ke dunia realistik. Sastera Islami yang berkembang dari hari ke hari cuma tinggal untaian kata-kata, dan kaca televisyen makin penuh dengan cerita cinta yang meloyakan, cerita Islamik yang klise dan mendatar penceritaannya. Tidak kurang juga cerita seram yang entah di mana pengajarannya.

Cerita Emak Ingin Naik Haji hanya berdurasi sejam, tetapi sudah cukup untuk menggegar nubari. Banyak lagi yang boleh dikupas, tetapi saya pulangkan pada pembaca untuk menonton dan mengambil pengajarannya sendiri.

"Emak mungkin tak mampu buat melewati samudera yang luas begitu untuk ke tanah suci.. tapi mak yakin, Allah pasti tahu....hati emak sudah lama ada di situ..sudah lama ada di situ.."

HelaianRindu: Sudah bersediakah aku?


Disember 06, 2008

Pelangi, Kami Ingin ke Sana


Judul: Pelangi, Kami Ingin ke Sana
Penulis: Pemenang-pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005 (Kategori Cerpen Remaja)
Tahun: 2006
Penerbit: Utusan Publications & Distributions
Harga: RM12.00


Dalam banyak-banyak buku yang saya telah baca, inilah antara buku dalam koleksi saya yang saya baca berulang kali. Entah berapa kali pun tak tahu. Kalau tak dibaca pun sekurang-kurangnya saya belek. Sebabnya, kumpulan cerpen dalam buku ini terlalu memikat!

Lihat saja pemenang tempat pertama. Cerpen tulisan Rahmat Purnama Mulya yang bertajuk Dia Berikan Tangannya ini punya mesej amat mendalam. Mengisahkan seorang gadis bukan Muslim berdarah Itali-Inggeris-Sepanyol yang punya pegangan dan dogma yang kuat tentang perikemanusiaan. Bagaimana dia membantah keras penindasan Amerika Syarikat dan serangannya ke atas Iraq selepas tragedi 11 September. Bagaimana dia, seorang gadis yang berbangsa Inggeris seperti mereka di Amerika, sanggup menjadi perisai manusia di Iraq untuk menghentikan peperangan pada tahun 2002 bersama orang sebangsanya yang lebih tua berpuluh tahun daripadanya, sedang umat Islam lain yang lebih kuat dan layak tidak sanggup menunjukkan apa bentuk penentangan langsung. Cerpen yang memenangi hadiah pertama ini sudah cukup mengingatkan supaya kita sedar siapa diri kita. Saya ikut tersentuh bagaimana narrator cerita ini berjaya menimbulkan ekspresi yang begitu emosional dan menyentuh hati, apatah lagi ketika Angelina Eliseo ditemuinya beberapa tahun kemudian dengan sebuah hidayah, permulaan baru. Dilatari kota England, penulis berjaya memberi gambaran dan suasana yang sangat bersesuaian dengan watak-watak. Selain itu saya tertarik dengan idea 'mencipta istilah' yang terdapat dalam cerpen ini--iaitu bagaimana Amerika Syarikat menghalalkan cara mereka untuk menjadi 'mafia dunia' dan 'samseng global' dengan mencipta istilah terorisme, mencipta Al-Qaeda, menggilap watak Osama, serta istilah collateral damage. Benarlah manusia mewajarkan perlakuan dengan cara ini, berdasarkan kata-kata Voltaire, seorang ahli Falsafah Perancis.

Juga, cerpen yang menjuduli antologi ini cukup buat hati saya sayu. Berlatarkan aftermath tsunami pada tahun 2004, watak antagonis Defi yang terselamat dari bencana alam itu berusaha keras untuk membangunkan kembali masyarakatnya. Kecekalan serta keazaman Defi yang tinggi untuk mengajar anak-anak serta remaja yang terselamat dengan ilmu tulis baca wajar dijadikan contoh. Penggunaan diksi yang sesuai dengan suasana aftermath itu begitu mencengkam jiwa, apatah lagi bila muncul watak seorang kanak-kanak perempuan bernama Marlina yang masih belum kenal erti penderitaan, menjadi motivasi untuk Defi lebih cekal membina masa depan orang kampungnya dengan penubuhan Pondok Ilmu, bersama-sama dua lagi rakannya. Saya sangat suka dengan imej pelangi yang didatangkan di akhir cerita--bagai satu pengharapan baru pada Defi, keindahan yang bakal dicapainya suatu hari nanti. Cerpen Pelangi, Kami Ingin ke Sana ini adalah karya Ariff Mohamad.

Cerpen Ratu Kosmetik karya Faisal Tehrani juga membeli jiwa saya. Mana taknya, seperti Manikam Kalbu, dan Surat-surat Perempuan Johor, cerpen ini menggunakan 'penyelarian' dua zaman--dialog antara Che Gayah dengan Puteri Gunung Ledang tentang kecantikan dan rahsia kosmetik asli alam Melayu begitu memikat. Bukan sahaja ia intelek, punya fakta tentang ilmuwan kosmetik Islam, petua kecantikan, malah dalam perenggan akhir ia mengandungi falsafah besar mengenai kecantikan sebenar yang dilupai ramai orang, yakni kecantikan berdasarkan ketaqwaan, keimanan serta akhlak mulia. Ya, tak lupa unsur humor dalam karya Faisal Tehranilah yang selalu buat saya tertarik. Cerpen ini mengingatkan saya akan cerpennya Cik Siti Mustika, ada dimuatkan dalam kumpulan cerpen beliau iaitu Kekasih Sam Po Bo, kerana gaya bahasa yang lucu dan menghiburkan.

Cuma, saya rasakan laporan panel hakim yang disertakan di bahagian hadapan kompilasi cerpen ini kurang sesuai saiz font teksnya. Saya fikir, lebih elok jika dikecilkan sedikit, bagi membezakannya dengan koleksi cerpen di mukasurat-mukasurat seterusnya. Laporan ini sahaja sudah ambil ruang 44 mukasurat. Kalau dikecilkan sedikit saiz tulisannya kan bagus, bilangan mukasurat akan jadi kurang juga. Jimat ruang, jimat kertas, harga pun kurang, kan? Namun, laporan ini sangat bagus dikandung sekali dalam buku ini, kerana ia membantu pembaca memahami sebahagian cerpen yang punya intipati tersirat, contohnya cerpen Mergastua dan Kotak Batu oleh Zaharah Nawawi yang mengajukan persoalan perdamaian dan dendam dalam masyarakat, dengan mencerminkannya pada kehidupan unggas dan beburung. Dengan bantuan penjelasan dalam laporan panel hakim ini, sekurang-kurangnya ia membantu pembaca menaakul mesej yang ingin disampaikan dengan lebih baik. Bukan itu saja, ia membantu pembaca dalam menilai dari segi apakah sesebuah karya layak dipilih dan apakah yang menjadikan karya itu memikat.

Cerpen-cerpen lain yang boleh dinikmati dalam antologi cerpen ini ialah: Cikgu Apek (Siti Hajar Mohd Zaki), Anak Gelandangan (Mohd Hashim Osman), Kampung Hati Ayah (Ummu Hani Abu Hassan), Gadis Bunga di Tasik Dal (Zaharah Nawawi), E-mel Seorang Lelaki (Mohd Lutfi Ishak), dan Rabiatul Adawiyah (A.Ghani Abdullah).

November 30, 2008

Kalau Dah Namanya Pun Cikgu


Judul: A Bouquet of Roses by Teachers
Penulis: Pelbagai
Penerbit: Malaysian Book Promotions & Kementerian Pelajaran Malaysia
Tahun: 2002
Harga: Tidak dinyatakan


Kalau dah namanya pun cikgu, tahu ajelah kan, mesti simpan banyak cerita. Lagi-lagi kalau jumlah anak muridnya ramai. Yang seorang pelajar ni buat perangai begini, lagi seorang perangainya macam itu, yang satu lagi pulak ragamnya entah apa-apa. Belum kira yang cemerlang lagi. Macam-macam ada. Dan cerita-cerita macam inilah yang cikgu-cikgu kita selalu ulang-ulang dalam kelas, ingatkan pelajar yang masih ada, 'jangan buat macam ini' atau 'cuba contohi abang senior kamu dulu', macam-macam lagilah. Yang mendengarnya kita, kadang-kadang ada yang menyentuh hati juga, dan kita bisa ambil pengajaran dari kisah-kisah cikgu-cikgu kita yang dah mengajar bertahun lamanya.

Buku ini adalah sebuah kompilasi cerita-cerita yang sarat dengan pengajaran, motivasi dan inspirasi yang ditulis oleh sebahagian guru di negara kita. Melihat kulit luarnya pun saya sudah suka. Malah bila membacanya tambah suka. Cerita-cerita yang terkandung di dalam buku ini memang benar, ada banyak juga yang memberi inspirasi, dan tak kurang juga menyentuh hati. Ya, mungkin mereka bukanlah penulis terkenal, tidak punya kebolehan menulis ayat-ayat berbunga dan gunakan bahasa bombastik, tapi apa yang lebih penting ialah isi dan pati cerita yang ingin disampaikan.

Kelebihan buku ini ialah, bahasanya yang ringkas. Juga, cerita-cerita yang dimuatkan adalah pendek, paling panjang pun mungkin dalam 5 mukasurat sahaja. Tapi sebenarnya font teks yang dipakai adalah besar. Jadi taklah panjang mana pun 5 mukasurat tu. Paling pendek termuat, tak sampai satu mukasurat pun. Memang buku yang simple. Tapi ingat, seringkas mana pun kandungannya, mesej yang dibawa bersama sangat bermanfaat! Satu lagi yang bagus tentang buku ini, ia membahagikan cerita-cerita ini kepada kategori yang tersendiri. Ada bahagian Motivation (Motivasi), Success (Kejayaan), Values (Nilai), Family (Keluarga), Parenting (Keibubapaan), Relationships (Hubungan) dan akhir sekali Teaching (Pengajaran). Mudahlah bagi pembaca membelek mana yang disukainya. Kalau saya, saya akan menyelak bahagian motivasi dan keluarga dahulu, dan kategori yang disediakan ini memudahkan pencarian saya.

Ya, dalam bahagian keluarga, saya tercentuh membaca kisah Min dengan seorang budak nakal dalam The School Bully. Kisah yang menceritakan bagaimana seorang budak nakal di sekolah yang 'mengepau' duit pelajar lain sebenarnya punya masalah keluarga, dan Min yang adiknya dibuli oleh pelajar nakal ini membantunya pada akhirnya, sehingga dia boleh berubah menjadi pelajar yang baik. Waiting For Father tulisan Siti Rohana Naam juga apa kurangnya. Mengisahkan tentang seorang pelajar yang menemui kemalangan dalam perjalanan pulang ke rumah. Ayah dan ibunya meninggal dunia, dan dia pula menjadi kurang siuman. Setiap hari dia akan menunggu ayahnya mengambilnya di pintu pagar sekolah, sepertimana dia biasa lakukan 5 tahun lalu, sebelum tragedi itu berlaku. Dan cuma seorang cikgu yang membela nasibnya, di saat dia ditertawakan oleh warga sekolah yang lalu-lalang.

Itu hanya dua cerita, dan kisah lain yang saya suka membacanya, antaranya: Rising Above the Storm, Sunny, Such Sadness on Such A Young Face, dan School Fees.

Kalau cikgu punya banyak cerita, saya rasa anak muridnya punya lagi berlambak. Kalaulah dikumpulkan anak-anak murid untuk seorang cikgu sahaja, dan biarkan mereka menulis cerita mereka dengan cikgu itu, bayangkan berapa banyak kisah yang boleh dibukukan? Dan itu hanya untuk seorang cikgu!

Jun 16, 2008

Eh! Wat Yu Talking? [chronicles of Malay humour]


Judul:Eh! Wat Yu Talking? [chronicles of Malay humour]
Penulis: Syed Ali Tawfik Al-Attas
Penerbit: MPH Publishing
Tahun: 2007
Harga: RM12.90

Hmm teringat lagi waktu saya tingkatan 4 dulu, waktu belajar Bahasa Arab Tinggi dengan Ustazah Zakiah..tentang kisah Juha dan rakan-rakannya. Yang saya ingat lagi ialah cerita pasal Juha dengan petani. Punyalah ustazah bercerita dalam bahasa arab dan terangkan maksud ayat tu pada kami, tapi sorang pun tak bagi respon! Kenapa kena respon? Aha, itulah masalahnya, kami sekelas langsung tak tahu dan tak faham itulah lawak jenaka untuk pak-pak Arab. Ustazah pun terima la respon kami yang terdiam buat2 faham tu... yelah lagipun lawak tu untuk orang Arab, lambat la sikit kitorang nak faham kan ustazah! Tapi lepas dibaca joke tu betul2, dapat la digest mesej yang nak disampaikan dalam lawak tu.

Eh eh apa kaitan buku ni dengan 'kenangan' ko tu?

Eh mesti la ada kaitannya. Nak cerita kat sini, Juha tu ibaratnya ikon jenaka kat Arab sana. Kalau dekat Parsi lawaknya berkisar tentang seorang yang bernama Mullah Nasruddin; Turki pulak Hoca Nasruddin. Kalau di Malaysia? Siapa lagi kalau bukan Pak Pandir! Buku nipis dan simple Eh! Wat Yu Talking? ni mengandungi lawak jenaka dan cerita berunsur pengajaran yang dikumpul oleh penulis, mungkin dari pelbagai sumber, berkisarkan Pak Pandir, Mak Andih, Abu Nawas, dan watak-watak lain yang rasanya dicipta oleh penulis sendiri, dalam versi bahasa Inggeris. Pada mulanya penulis cuma berkongsi cerita ini dengan rakannya Dato' Ng Tieh Chuan. Tapi Dato' Ng sendiri tertarik dengan kisah2 ini lalu meminta beliau bukukan saja cerita2 tersebut. Nah, inilah hasilnya!

Apa pandangan saya tentang buku ini? Idea mengumpulkan itu sememangnya bernas. Di mana lagi boleh kita dengar cerita2 macam ni? Kalau di sekolah sekarang pun rasanya susah betul nak dengar cerita Pak Pandir ni. Tapi isinya? Oklah..sesuai dibuat santai. Pak Pandir bukan orang yang macam yang selalu kita dengar. Berdasarkan isi buku ini, serasa macam Pak Pandir tu bukan orang yang sama, dan duduk di tempat yang berlainan. Rasionalnya? Ada cerita Pak Pandir jadi hakim yang bijak di kampungnya. Ada pulak cerita Pak Pandir dengan Mak Andih yang 'kurang pandai' (sopan la daripada sebut bodoh) dalam menguruskan rumahtangga, tapi dalam masa yang sama diorang 'bajet' pandai dalam urusan tersebut. Macam-macam lagi yang bercanggah. Hmm musykil2...apapun saya teruskan jugak membaca sampai habis.

Cerita yang seronok dibaca bagi saya, hmm agaknya cerita Pak Pandir dengan seorang wanita di dalam keretapi..tajuknya 'The Pipe' (kisah 19, m/s 22). Pak Pandir tengah hisap paip dalam keretapi, lepas tu datang la seorang perempuan ni dengan anjing di pelukannya duduk setentang dengan Pak Pandir. Perempuan tu sangat2lah tak suka bau asap rokok tu. Dia konon2 bagi isyarat la supaya Pak Pandir berhenti merokok tapi Pak Pandir buat2 tak tau je. Maka, bila perempuan ni nampak Pak Pandir macam dah tidur, dia pun buang paip tu keluar tingkap keretapi yang tengah bergerak tu. Pak Pandir sebenarnya nampak tapi dia diamkan je. Bila wanita ni pergi ke begnya dekat rak untuk ambil barang Pak Pandir pun buang anjing tu keluar tingkap. Then masa perempuan ni balik ke tempat duduknya, sedarla yang anjingnya dah hilang. Dia pun tanya Pak Pandir, mana anjing saya, nampak tak? Pak Pandir dengan selambanya menjawab, "Anjing awak pergi ambik paip saya tadi (Your dog went to fetch my pipe)."

Karekter lain dalam buku ni termasuklah Pak Him, Pak Mat, Pak Lah, isteri Pak Pandir (mungkin dalam buku lain disebut sebagai Mak Andih, tapi dalam buku ni tidak diberi nama kepada watak tersebut), anak Pak Pandir, Abu Nawas dengan Sultan, dan kadang-kadang ada juga tentang Pak Pandir dengan Sultan. Kebanyakan lawaknya sesuai tapi ada juga yang tidak. Contohnya jenaka yang mengaitkan Tuhan (Allah). Sampaikan dalam The Pony and The Buffalo (kisah 9, m/s 11), Pak Pandir pernah mengadu kepada Tuhan supaya membunuh kuda belaanya yang tak cukup tempat untuk berkongsi dengan kerbaunya. Tapi keesokannya kerbaunya pulak yang mati, bukannya kuda itu. Lalu Pak Pandir berkata "Dear God! You have been God for so long but it seems You are incapable of making the distinction between a pony and a buffalo. (Oh Tuhan! Kau dah menjadi Tuhan sekian lama tetapi nampaknya Kau tak mampu membezakan antara seekor kuda dan seekor kerbau)" Melampau! Saya faham niat penulis untuk dalam menjadikan lawak2 ini untuk merehatkan minda, tapi tegas saya ingin katakan cerita ini sesungguhnya tak relevan dan bukan boleh dibuat lawak jenaka, terutama apabila dikaitkan dengan Tuhan! Buku ini sepatutnya perlu diedit dari segi nilai agama dan kepercayaan juga, bukan mengambil kira nilai sastera Melayu semata-mata, biarpun bukan hanya dibaca oleh orang Islam. Adalah lagi, beberapa cerita yang 'meng-sarkastikkan' (maaf) orang/hukum agama ni (sekadar satu contoh, baca kisah 63, bertajuk Botox, m/s 91). Boleh ke blog Ulas & Kupas untuk info lanjut (antara yang saya tertarik dalam ulasannya ialah kata-kata gurunya tentang sarcasm).

Kalau diketepikan isu itu, secara umumnya buku ini sesuai dibaca oleh semua. Sebagai bacaan ringan sahajalah. Karikatur oleh E.Yu juga ada unsur kartun Melayu, alah yang ala-ala Lat gitu. Pemilihan font pun saya kira relevan, iaitu dalam format Comic Sans saiz 12. Tulisan kekomikan, tambah lagi saiz besar menjadikan buku ni mudah dibaca. Tak kira karikatur mahupun tulisan, dua-dua berjaya memberi impak bagus pada konsep komedi yang dibawa. Berminat? Belilah. Tak mahal, cuma RM12.90 je.

Oh ya, pada mukasurat akhir, ada sebuah lakaran karikatur penulis dengan kata-kata, "To be continued!"

Hmm..ada 'sekuel'lah nampaknya...

Related Posts with Thumbnails