Memaparkan catatan dengan label keluarga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label keluarga. Papar semua catatan

September 17, 2010

Mendepani Realiti Cinta

Judul: Bercinta Sampai ke Syurga (Aku Terima Nikahnya #2) 
Penulis: Hasrizal Abdul Jamil 
Penerbit: Galeri Ilmu 
Tahun: 2008 
Harga: RM25 
Bil.mukasurat: 271

Tampil lagi dengan isu cinta dan rumahtangga, kali ini Ustaz Hasrizal membawa pembaca untuk berfikir lebih jauh, untuk pandang bukan sahaja pada masa kini, tetapi pada masa hadapan dan belakang. Apa yang saya dapat petik dalam isu dua dari siri Aku Terima Nikahnya ini adalah persoalan ‘mendepani realiti’. Sasarannya bukan sahaja pembaca yang mahu dan sudah berumahtangga. Malahan sesiapa sahaja boleh mengambil ibrah daripada buku ini, khususnya para guru dan anak-anak yang terlibat langsung dalam pembentukan individu dan baitul muslim.

Buku ini difokuskan pada kehidupan pasca lafaz ‘Aku Terima Nikahnya’, yakni sesudah berjaya mengikat tali pernikahan. Banyak kisah-kisah pahit manis yang dikongsi oleh penulis dalam menggambarkan suasana dalam rumahtangga. 

Membaca buku ini akan membuatkan pembaca berfikir beberapa kali mengenai tanggapan mereka tentang rumahtangga. Selepas membaca buku ini saya juga menimbang-nimbang kembali pandangan saya terhadap isu ini. Memang, isu ini adalah satu cabaran buat kita. Ada pasangan yang sudah tepu ilmu agama, tetapi masih berlaku dugaan dalam hidup berdua. Itu belum kira mereka yang tidak kuat agamanya, yang permulaan pernikahannya tidak begitu baik.

Ramai pasangan yang lupa realiti hidup berkeluarga ini memerlukan dua perkara, iaitu cinta dan tanggungjawab. Sesetengah orang hangat bercinta, tetapi berantakan keluarganya kerana lupa melunaskan tanggungjawab, lalai dalam menunaikan hak. 

Di satu pihak yang lain pula, sudah tahu mana tugasnya dan nafkah yang perlu diberinya pada anak isteri. Sayangnya, mereka terlupa untuk mengakrabi pasangan masing-masing untuk memekarkan cinta antara mereka. Akhirnya yang tinggal juga sebuah keretakan.

Dalam cabaran penulis mendepani realiti kehidupan pasangan lain di Malaysia, penulis juga tidak lupa membandingkan dan memberi muhasabah melalui kehidupan familinya sendiri. Ada masam-manis dalam mendidik anak-anak, ada kunci untuk memesrai pasangan, ada pula bicara dan luahan rasa dengan pelbagai lapisan manusia yang sedang mendepani realiti kehidupan mereka dengan tanggapan yang berwarna-warni. 

Tugas penulis, melakarkan kembali lingkaran perspektif yang sesuai untuk menghadapi tanggapan yang berbeza-beza ini. Pembaca tidak akan sesekali disuakan dengan jawapan Ya atau Tidak, tetapi diluruskan kembali dengan weltanschaaung penulis berlandaskan syariat dan juga konteks perkara tersebut. Lebih menarik lagi, apabila sesebuah permasalahan yang dibincangkan disatukan dengan resensi filem dan mutiara kata dari tokoh-tokoh semasa baik dari Timur atau Barat, selain memetik isi Al-Quran dan teladan dari hadis Nabi.

Kahwin awal? Ber’couple’? Kahwin cara zaman dahulu? Berumahtangga di perantauan semasa masih belajar? Bagaimana menjadi ibu bapa yang baik? Bagaimana memesrai pasangan kita? Bagaimana cara melayan kerenah dan persoalan yang dikemukakan anak-anak? Poligami pula, macam mana?  

Bertalu-talu persoalan, saya pasti semua mampu terjawab, jika kalian bijak mengekstrak teras solusinya dalam kompilasi artikel-artikel penulis. 

Meminjam kata-kata penerbit, pasti ada yang akan terkena batang hidung selepas membaca naskhah ini, tidak kurang yang bakal lega kerana akhirnya mendapat suara (saya antaranya yang lega itu, ada sebuah artikel yang betul-betul kena pada saya!). Selain isinya yang tajam menegur dan penuh nasihat, ada juga diselang-selikan dengan jenaka-jenaka yang menjadikan pembacaan santai.

Barangkali selepas membaca Bercinta Sampai ke Syurga, akan ada pula golongan yang takut untuk berumahtangga... tetapi itulah realitinya hidup kita, banyak cabarannya. Baitul Muslim sememangnya satu titik penting dalam membangunkan ummah dan tentunya dalam membentuk insan-insan yang mendirikannya juga sukar. Membentuk manusia dan perkara yang berkait rapat dengannya bukannya seperti membentuk tanah liat supaya menjadi bentuk yang kita suka. 

Mendepani realiti memang susah, apalagi untuk menguruskan situasi itu secara amali. Tetapi, sekurang-kurangnya, jika kita sudah bersedia menghadapinya, tentu lebih mudah untuk menerimanya bukan? Penulis sendiri mengingatkan, bahawa dia bukanlah bapa mithali yang sempurna serba-serbi. Dia menggelar dirinya ‘bapa realiti’ yang juga terdedah pada pengaruh emosi dan suasana. Manusia akan tetap kekal sebagai manusia yang banyak kelemahan, tetapi setidaknya kita menjadi lebih kuat dengan mengambil ibrah dari penulis. 

Jadi terimalah naskhah ini untuk memperhalusi ukiran baiti menjadi jannati, supaya dapat kita mengalun irama sakinah, mawaddah dan rahmah dalam institusi rumah tangga.

Insya Allah, ada hasilnya.

Nota: Baru-baru ini buku ini tercalon sebagai finalis Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian.

HelaianRindu: Takziah buat keluarga Sosilawati Lawiya.


Julai 19, 2010

Berpegang Pada Apa?: Brisingr & Nights of Rain and Stars

Kedua-dua buku ini saya baca sepanjang Jun-Julai. Sebuah di Malaysia dan sebuah lagi di UK.

1. Brisingr – Christopher Paolini (2008)

Ketebalan boleh mencecah 2000 mukasurat, kata penulisnya, Christopher Paolini ketika bercakap tentang penerbitan Brisingr. Itu jika dia mengikuti rancangan asalnya untuk menulis siri ini sebagai sebuah trilogi. Ketelitiannya dalam menulis setiap babak menyebabkan dia terpaksa memisahkan jilid ketiga ini kepada dua volum, menjadikan empat buku keseluruhannya dalam satu siri – The Inheritance Cycle, bukan Inheritance Trilogy lagi. 

Meskipun begitu ketebalannya yang menghampiri 800 mukasurat ini sudah cukup melelahkan saya. Berhempas-pulas saya cuba menghabiskannya tahun lepas selama enam bulan, tetapi gagal; dan sepulangnya saya tahun ini untuk cuti musim panas, saya berjaya menghabisinya dari awal dalam masa kurang seminggu. Saya dapati, persoalan yang dikemukakan mulai jilid kedua siri ini sudah semakin berat dalam Brisingr. Isu apa? Relijus atau agama.

Teisme, Ateisme, Pluralisme

Dalam volum 2, Eldest, penulis membawa persoalan ketuhanan melalui pembelajaran intensif Eragon dengan kaum bunian (elf) di hutan Du Weldenvarden. Kaum ini tidak mempercayai wujudnya tuhan atau sebarang kuasa ghaib yang lebih berkuasa di dunia. Sebaliknya berlaku pada kaum orang kerdil (dwarf) dan makhluk raksasa yang dinamakan Urgal – mereka beraliran politeism. Setiap tuhan yang mereka ‘imani’ ada fungsi dan lagenda tersendiri.

Setelah mencetus fikir bertuhan—ada ataupun tidak—pembaca disuguh pula dengan fikir pluralisme dalam Brisingr. Lawatan Eragon ke kompleks kediaman orang kerdil untuk membantu pemilihan raja baru mereka (menggantikan raja yang telah mati dalam perang Burning Plains di dalam Eldest) menjadikan Eragon berfikir dengan lebih mendalam. Apakah Tuhan itu wujud? Jika wujud, agama ras mana yang harus dia percaya? Atau, adakah setiap kepercayaan ras itu mengandungi secebis kebenaran?

Faham pluralisme ini telah menular lama, dan sangat bersalahan dengan ajaran Islam. Faisal Tehrani pernah mengupas isu ini dalam bentuk fiksyen bertajuk Tuhan Manusia (2008). Apa yang dicadangkan golongan ini ialah, semua agama sama dan benar, kerana mereka menuju hakikat kebenaran yang sama yakni bertuhan.

Tambah mencelarukan, saat Eragon dan naga tunggangannya Saphira menghadapi angin kencang yang menghalang perjalanan mereka, Eragon lantas berdoa pada Guntera, salah satu dari dewa yang dipercayai orang kerdil. Itu merupakan titik akhir paling signifikan mengenai kepercayaan Eragon terhadap agama dan ketuhanan – tidak pasti di akhirnya, dia berpegang kepada apa (dalam siri ini setakat ini).

Brisingr merupakan kesinambungan kepada Eragon dan Eldest. Eragon merupakan seorang remaja kampung yang ditakdirkan bertemu seekor naga bernama Saphira. Sebagai penunggang naga mereka perlu menyelamatkan Alagaesia (dunia fiktif) dari cengkaman pemerintahan kuku besi Galbatorix. Brisingr atau tajuk lainnya The Seven Promises of Eragon Shadeslayer and Saphira Bjartskular, mengisahkan Eragon melunaskan janji-janjinya dalam prekuel sebelum ini; seperti merawat bayi yang telah disumpahnya secara tidak sengaja, memperbaiki Isidar Mithrim permata agung orang kerdil, selain membalas dendam untuk beberapa kematian orang penting dalam hidupnya.

Jilid keempat masih belum diumumkan tarikh penerbitannya. Tidak sabar juga menanti kesudahan siri ini.

**********

2. Nights of Rain and Stars – Maeve Binchy (2004)

Maeve Binchy merupakan seorang tukang cerita yang saya kira sangat baik. Sebabnya adalah penulisannya sangat natural, sangat fitrah sifatnya. Sekurang-kurangnya saya rasakan ini tepat dalam novelnya Night of Rain and Stars ini. Binchy bermain dengan perasaan dan emosi manusia yang acapkali menganggu daya fikir rasional manusia.

Kalau Paolini memperhalusi penceritaan aksi dan gambaran suasana dunia Alagaesia fiksinya itu, Binchy merincikan pula sudut mainan emosi. Manusia sering berprasangka dan berfikir menggunakan pertimbangan akalnya sendiri semata-mata, tanpa bergantung pada sumber lain langsung. Mereka fikir taakulan mereka adalah yang paling betul, dan tidak akan sekali-kali menerima teguran orang lain dalam hal yang kononnya mereka lebih arif. Sedangkan emosi sedang menipu mereka (atau lebih tepat syaitan yang bermain-main dengan memanipulasi emosi seseorang).

Pertimbangan Tanpa Panduan

Empat orang pelancong dari Negara dan latarbelakang berbeza menjadi kawan secara tidak sengaja setelah menyaksikan tragedi kebakaran sebuah kapal di pinggir pantai Greece. Pemilik kafe di tempat pertemuan mereka itulah yang menjadikan mereka kawan baik. Namun setiap satu dari mereka rupanya punya masalah keluarga.

David dari England menghadapi tekanan dari ayahnya yang memaksa dia mewarisi perniagaan ayahnya; Thomas dari Amerika pula bercerai dengan isterinya dan menjauhkan diri dari anaknya demi memberi ruang pada mereka berkeluarga dengan suami baru; Elsa dari German terperangkap dalam masalah cinta dengan pengurus syarikat televisyen tempat dia bekerja; manakala Fiona dikecam oleh ahli keluarga dan kawan-kawannya kerana mengambil keputusan untuk bersama dengan teman lelakinya Shane yang berperangai buruk. Semua ‘melarikan diri’ ke Greece demi mencari ketenangan masing-masing.

Tidak ada peristiwa 'besar' yang terjadi sepanjang hampir tiga ratus mukasurat novel ini. Namun saya tidak sabar menamatkannya kerana watak-watak tersebut berkembang pesat dalam masa yang singkat, atas bantuan seorang penduduk tempatan bernama Vonni.

Bagi seorang yang sensitif dan sangat moody seperti saya, tentunya saya terpengaruh dengan watak-watak ini, bersama fikiran dan emosi mereka. Tetapi satu yang berbeza, mereka memang terlalu berpegang pada emosi semata-mata, sedangkan saya punya agama yang mampu menjadi kayu ukur pertimbangan saya.

Fiona contohnya, menjadi buta kerana cinta. Jikalau dia sekurang-kurangnya mendengar nasihat orang lain dan tidak larut dalam emosi sendiri sahaja, dia tak akan menjadi mangsa penderaan Shane teman lelakinya. Keputusan Thomas untuk berpisah dengan anaknya yang disangkakannya dapat meberi ruang rupanya satu penderitaan buat anaknya yang terlalu inginkan ayah kandungnya itu dekat di sisi.

Saya juga tidak lepas dari serangan emosi. Mujur ada kawan yang mengingatkan, dan mujur saya tidak buta, sedar bahawa saya masih punya agama yang menunjuk jalan keluar – sekalipun saya rasakan pertimbangan akal lebih disukai, bukan bermakna itu yang terbaik. There is always two sides of a story, jadi kita mesti memberi ruang untuk 'sisi kedua' itu mengimbangi pemikiran kita.

Memilih untuk menulis watak yang realistik dengan masalah yang realistik, semestinya menjadikan pembaca lebih dekat dengan cerita, berbanding mempamer watak bersifat terlalu ideal yang tak dapat dikatikan dengan diri. Itu kelebihan novel ini. Tidak salah jika Binchy memutuskan untuk menulis sekuel untuk naskhah ini, dalam bentuk novelet mungkin - memperihalkan kisah lanjut mengenai empat sahabat ini yang masih boleh dikembangkan. Nasib Vonni yang tinggal di kepulauan Greece itu juga masih belum diketahui. Saya tidak kisah untuk membacanya lagi.

**********

Kedua-dua buku ini layak mendapat entri masing-masing tetapi saya rasakan tidak guna juga meleret-leret mengulas. Keselarian dua novel ini tercetus dalam benak saya malam semalam, memandangkan watak-watak utama dalam dua novel ini masing-masing menjelajahi pegangan mereka dengan sangat mendalam. Apatah lagi, pegangan mereka itu wajar dimuhasabah kita bersama, kerana kedua-duanya berhubungan rapat dengan pegangan agama.

Malah kita telah disediakan dengan sebuah panduan yang sesuai sepanjang zaman, Al-Quran. Dalam ayat 2 surah Al-Baqarah sendiri kita telah diperingatkan bahawa kitab inilah yang menjadi petunjuk buat orang bertaqwa. Jadi kenapa perlu diikutkan ideologi yang tak menentu? Kenapa perlu taksub dengan pertimbangan akal dan emosi sendiri semata-mata?

Novel Maeve Binchy juga mengajak kita menghayati maksud ayat 216 surah yang sama – yang baik untuk kita bukanlah semestinya apa yang kita rasa, dan Allah lebih tahu jika yang dirasakan kurang elok itu sebenarnya yang terbaik. 

HelaianRindu: Nak kena 'selaraskan' duit belanja buku ni.

Februari 21, 2010

Bedar Sukma Bisu

Judul: Bedar Sukma Bisu
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: DBP
Tahun: 2007
Bil. mukasurat: 312
Harga: RM25.00

Duduk di negeri asing bukan mudah untuk dapat membaca novel-novel Melayu, apatah lagi membelinya. Saya sudah mula merindui karya-karya penulis tempatan. Masih terbayang saat-saat saya cuba menghabiskan Lamunan Puitis karya Shahnon Ahmad sebelum pergi, tetapi tidak berjaya. Cuba menyeludupnya ke dalam pesawat, tetapi dek kerana takut lebih muatan, saya dengan kecewa meninggalkan sahaja naskhah tersebut.

Ketepikan soal rindu itu dulu. Sebab sekarang saya berjumpa ubatnya sekejap.

Bedar Sukma Bisu. Saya pinjam dari Fazdhly, seorang rakan dari London.(Saya punya satu naskhah tapi ketinggalan di rumah tentunya, tak sempat menghabiskan) Kali ini penulis membawa tema pelayaran, ekonomi dan dunia niaga di dalam novelnya. Saya suka novel-novel penulis disebabkan pemusatan tema yang baik seperti ini, sepertimana Manikam Kalbu membawa tema busana, Ketupat Cinta dengan ilmu gastronomi, atau Advencer Si Peniup Ney dengan serba-serbi ilmu muzik.

Sejujurnya saya belum dapat faham sepenuhnya kisah BSB. Bukan sahaja penamatnya diletakkan pada prolog, malah ceritanya bagai tergantung di sana-sini. Mungkin juga saya kurang menangkap jalan ceritanya kerana lambakan fakta dan maklumat tentang ekonomi dan pelayaran yang memusingkan kepala. (Entah berapa kerat sahaja teori ekonomi dan ilmu pelayaran yang saya berjaya faham, itupun tidak berjaya ingat setelah selesai pembacaan.) Atau mungkin saja kerana saya membacanya terlalu cepat?

Apa sebenarnya terjadi pada Haiqal yang lemas di lautan setelah diculik lanun? Apa pula sebenarnya yang terjadi pada Ben Qortubi moyangnya yang hilang lama dulu dan hanya meninggalkan Bedar Sukma Bisu yang kosong? Muawiyah, datuk saudaranya pula mengapa dimusuhi sebegitu kuat oleh ahli keluarga sendiri, sedang pada saya dia tidak menampakkan apa-apa salah? Takkan hanya kerana sebab picisan 'tidak lahir di lautan' dan sebagainya?

Saya masih tidak faham.

Apapun, novel dewasa ini memang selayaknya memenangi hadiah pertama Sayembara Mengarang Perayaan Jubli Emas DBP beberapa tahun lalu. Dalam naskhah ini Faisal Tehrani saya rasakan berjaya mengkritik dan mencabar bangsa Melayu, yang sinonimnya beragama Islam, untuk menjadi kreatif. Penulis memuji-muji kehebatan bangsa Melayu yang bijak menghimpunkan kepakaran bangsa lain dan kreatif menggabungkan elemen-elemen yang dikumpulkan itu, mengubahsuainya menjadi sebuah produk tersendiri. Contoh yang diberi adalah bedar Melayu yang sebenarnya mengadaptasi pelbagai ciri kapal layar dari bangsa lain. Kemudian, penulis juga berpesan secara halus supaya pembaca meningkatkan kreativiti mereka. Melalui watak Wefada, penulis menyatakan begini: "Wefada anti mereka yang tidak kreatif. Dunia pelancongan, perkapalan dan pelayaran ialah dunia yang harus memanfaatkan seni berfikir." (hal 226)

Kemudian, bukan sahaja Faisal mengangkat kebolehan bangsa Melayu untuk menyedarkan pembaca (Melayu khususnya), penulis juga dengan cemerlang membentangkan hal-hal ekonomi, khususnya berkaitan pelancongan dan perkapalan. Lebih semasa isinya apabila penulis mengetengahkan kritikan dan komen terhadap isu kewangan dan ekonomi Islam yang berlaku di Malaysia. Malah, ada juga aplikasi pelbagai teori dalam menguruskan perniagaan. Walaupun lambat-laun pembaca menjadi bosan dengan sekian fakta, ini sebenarnya satu kelebihan yang susah diperoleh dalam sebuah novel.

Saya tertarik membaca babak Wefada bermesyuarat dengan anak syarikat Kumpulan Bedar Sukma yang bernama Sukma Resort. Waktu itu pihak Sukma Resort menyediakan laporan yang menyatakan kemerosotan bilangan pelancong yang singgah di resort mereka adalah berpunca dari tiadanya alkohol dan pesta pora. Inilah persepsi masyarakat kini, kalau tiada hiburan dan pesta, semuanya terlihat bosan dan tidak mendatangkan keuntungan!

Lebih mencengangkan saya ialah impak Bedar Sukma Bisu pada saya. Walaupun saya tak sempurna mencerna isinya tapi bahasanya berjaya memikat hati saya, sepertimana novel Tunggu Teduh Dulu karya penulis juga. Bagi saya, penceritaan yang dilakukan melalui perspektif hampir semua watak utama, bagai kan sukma mereka yang bercerita. Sukma yang tanpa suara, bisu tapi punya rasa. Menarik! Anyaman garis masa (timeline) yang berbeza dengan bahasa moden dan lama dilapisi sekali-sekala menjadikan karya ini terasa begitu segar sekali. Imbas kembali di waktu Perang Dunia Kedua yang penuh tragis adalah antara babak yang menyentuh hati saya.

Oh ya, perlu diingatkan, kisah ini juga kisah cinta, maka bersedialah untuk membaca pelbagai babak romantis dengan frasa-frasa puitis. Jangan terkejut apabila menjumpai adegan ranjang yang salah satunya dianalogikan kepada nakhoda yang mengemudi kapal--harus ingat, ini novel dewasa!

*Bedar Sukma Bisu adalah kisah cinta Wefada pada lautan dan segara; pada pelayaran dan semenanjung emas. Setelah kematian ahli keluarganya, Wefada perlu menguruskan syarikat perkapalan warisan keluarganya bersama anaknya Haiqal. Dalam masa yang sama, rupa-rupanya ada sejarah luka yang menyelubungi keluarga mereka.

HelaianRindu: Teringin belayar di lautan.

Disember 21, 2009

Raison d'être: The Art of Racing in the Rain



Judul: The Art of Racing in the Rain
Penulis: Garth Stein 
Penerbit: HarperCollins 
Tahun: 2008 
Bil. mukasurat: 321 
Harga: £14.99

Maaf, harga tidak saya tukarkan pada matawang Malaysia disebabkan harganya yang mungkin berbeza. Tambahan lagi saya sebenarnya membeli buku ini dengan harga diskaun, bukan harga asal. Minta maaf mengaburi mata anda dengan harga yang agak mahal itu.

The Art of Racing in the Rain, kisah seorang pelumba kereta bernama Denny bersama keluarganya yang tinggal di Amerika Syarikat. Menariknya, kisah ini diceritakan melalui kaca mata seekor anjing. Anjing peliharaan Denny ini bernama Enzo dan dalam buku ini ia mengimbas kembali suka duka hidup yang dilaluinya bersama Denny sejak mula tinggal bersama tuannya itu.

Saya labelkan buku ini dengan tag falsafah. Mengapa? Kerana ceritanya begitu banyak yang analogikal dan juga mengandungi pelbagai falsafah di sebalik perlumbaan kereta. Denny sebagai pelumba di litar, dia adalah juara. Pasti mampu mendahului saingannya yang lain dengan cemerlang. Begitu juga hidup Denny: Dia punya keluarga yang bahagia, kawan yang baik, pekerjaan yang disenangi olehnya. Semuanya lancar, hidupnya persis litar lumba yang selalu dikuasainya. Namun, sejak isterinya Eve ditimpa penyakit, perlumbaan hidupnya tidak selancar dahulu lagi. Ada kereta lain yang menjadi halangan.

Enzo, anjingnya yang memerhati gerak laku tuannya itu sentiasa cuba memberi semangat. Kata-kata Denny "That which you manifest is before you" selalu dia hadamkan dalam minda. Bahawa setiap hasil itu adalah dari usaha dan perbuatan kita sendiri. Apa yang terjadi di litar lumba, menang kalah, adalah hasil daya usaha kita. Kalau kita tidak berusaha bersungguh untuk berjaya, masakan johan itu kita punya?

Setelah kematian isterinya, hidupnya makin dikongkong ujian. Anaknya pula jadi rebutan hak penjagaan. Tuduhan merogol remaja bawah umur pula dikenakan pada Denny. Dia sudah hampir menyerah kalah dalam litar lumba hidupnya, tapi Enzo, yang kononnya punya consciousness tersendiri, mencuba pelbagai cara demi meyakinkan tuannya yang dia masih belum kalah. Nyawa masih ada, selagi itu perlumbaan belum tamat. Dan benar, apabila enjin dihidupkan kembali, ada jalan mudah melorong dia di garis penamat!

Raison d'être, bagi Denny adalah anaknya Zoe. Dan kenapa dia harus berpaling selagi dia belum dapat apa yang dicapainya? Bagi Enzo, raison d'êtrenya satu: Melihat keluarga Denny kembali menyatu dan mencapai bahagia. Maka dia juga tak sanggup mengalah andai 'sebab kewujudan'nya itu tidak dia capai.

Kisah ini sememangnya satu kisah yang baik. Dipadankan dengan falsafah enak yang tersendiri, sebagai pembaca saya juga mampu merefleksi apa yang terkandung pada maknawi hidup kita di dunia ini. Selagi nyawa dikandung badan, bukankah sepatutnya perlumbaan mengejar redha itu wajar kita teruskan? Kan itu raison d'être kita. Tersungkur dan terkebelakang bukan bermakna kita harus berhenti dan menyerah. Itu cuma sebab-sebab untuk kita terus perkuatkan langkah, menuju kejayaan!

Saya bagi 7/10 bintang--tak rugi mencubanya!

September 27, 2009

Salina & Sosial

Judul: Salina
Penulis: SN A. Samad Said
Penerbit: DBP
Tahun: 1989
Bil. mukasurat: 508

Dulu seorang sahabat saya, Syahmi, pernah minta pada saya untuk carikan novel ini. Puas saya cari online (maklumlah beli cara macam ini senang kalau dah tahu judul yang nak dibeli) tapi tak berjumpa. Beberapa bulan lepas itu saya pergi ke Pesta Buku di PWTC (April lepas) dan bertanyakan seorang abang yang menjaga booth Dawama mengenai Salina. Saya pun berminat memilikinya juga sebenarnya, jadi cepat-cepat saya bertanya.

"Kami dah tak cetak Salina lagi." Ringkas jawapannya.

Kecewa itu terubat baru beberapa minggu lepas, apabila saya terjumpa Salina cetakan lama di perpustakaan kecil di kampung saya ini. Alhamdulillah terus saya pinjam. Mulanya ingin meminjam versi ringkas (abridged). Ya semacam kita membaca karya klasik orang putih yang sekian panjang tetapi kini banyak pula versi ringkas yang diolah semula. Tapi alang-alang dah terjumpa versi panjang sekali, baiklah saya baca yang penuh itu. Mungkin selepas ini tak berpeluang lagi.

Kembali kepada Salina. Ringkasnya, Salina ini cerita seorang pelacur dan juga jiran-jirannya di sebuah perkampungan di Singapura. Kampung itu bernama Kampung Kambing. Kampung Kambing, kerana rumah mereka itu asalnya kandang kambing yang diperbaiki sedikit dan dijadikan rumah untuk orang tinggal. Salina adalah antara penduduk dalam rumah itulah. Dia tinggal bersama seorang lelaki bernama Abdul Fakar, yang bukan suaminya sebenarnya. Sebagai seorang pelcaur, yang malah 'menyara' seorang lelaki simpanan, tentu banyak fitnahnya. Dan  turut menghidupkan novel ini ialah cerita mengenai jiran-jirannya, yang sama-sama mempunyai masalah kekeluargaan, kewangan dan pelbagai lagi.

Saya berminat dengan latar sosial yang ditonjolkan dalam Salina. Jangan salah faham, bukan tentang suasana lacur-melacur yang wujud itu. Tetapi kesusahpayahan hidup masyarakat di kawasan tersebut. Salina sendiri sebenarnya adalah seorang mangsa perang. Perang Dunia Kedua meragut nyawa keluarga dan kekasih pertamanya, menjadikan dia kini sebatang kara. Demi menyara hidup dia terpaksa menjual diri. Juga, saya memikirkan kesusahan penduduk Kampung Kambing itu tinggal di dalam rumah yang serba kekurangan, bekas tinggalan kambing pula. Bocor di sana sini bila hujan turun mencurah. Kemudian kesusahan mendapatkan air. Mereka di kampung itu hanya boleh menumpang mengambil air di berek pekerja PWD (Public Works Depatment) di seberang jalan, itupun hanya di waktu malam ketika tiada orang menjaga kawasan itu. Tidak seperti kita sekarang, rumah bukan main besar, air bukan main banyak sampai berjoli sakan bermain air.

Mencari rezeki untuk menampung hidup pun bukan mudah. Abang kepada Nahidah (seorang jiran Salina, yang diminati oleh Fakar) contohnya, sampai sudah tidak mendapat kerja, akhirnya meninggalkan kampung itu untuk menjadi tentera. Narto, abang angkat Nahidah pula semakin susah mencari makan sebagai pengayuh beca kerana sudah ramai yang menaiki teksi. Yang menjadi mangsa akhirnya ialah Nahidah, kerana Narto tidak dapat mencari rezeki yang 'mencukupi' buat ibunya. Ibu mereka, Zarina itu ingin hidup mewah, maka dipaksa Nahidah bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran. Pelayan waktu itu macam di kelab malam lagaknya, bukan saja mengambil pesanan dan membawa makanan, tetapi kadang-kadang melayan pelanggan lelaki dengan badan. Mungkin saja nampak sama dengan kebobrokan sosial zaman kini (malah lebih teruk lagi) tetapi hakikatnya, di sebalik semua itu, kebanyakannya bertumpu pada satu titik persamaan: mereka terdesak mencari duit demi meneruskan kehidupan. Dan inilah yang membezakan mereka dengan masyarakat zaman ini. Bukan terdesak, tetapi 'gersang' dan memang sukarela memunah maruah.

Saya secara peribadi turut tertarik dengan watak Hilmy, seorang jiran yang baru berpindah ke kampung itu. Hasil pemerhatiannya kepada keadaan tempat tinggal mereka di zaman itu dia memasang impian untuk menjadi pembuat pelan rumah. Sekarang saya sudah jelas matlamat dia hendak menjadi arkitek. Tetapi, saya masih tidak nampak matlamat saya seperti dia, mungkin kerana tiada masalah seperti itu sekarang. Kesal juga mengenangkannya. Apapun, setidak-tidaknya, Hilmy berjaya menegur diri saya secara tak langsung untuk berfikir letak duduk hala tuju hidup saya kelak.

Saya juga kagum dengan Salina kerana dia sanggup menyara pelajaran Hilmy. Ya, ketika itu bukan senang untuk belajar. Untuk dapatkan kerja yang bagus, perlu bersekolah di Sekolah Inggeris. Dan tidak semua yang dapat belajar itu dapat teruskan pembelajaran, kadang banyak yang berhenti kerana kesempitan wang dan bermacam-macam lagi sebabnya. Salina yang tidak beroleh peluang itu sangat berharap Hilmy berjaya mencapai cita-citanya, agar hidup Hilmy tidak sepertinya. Pelacur yang berjiwa besar, mungkin pelik bunyinya, tapi itulah Salina.

Karya klasik ini sememangnya membawa kita ke luar pagar kelaziman, disebabkan latar masa dan sosialnya itu yang susah untuk kita hayati dalam buku-buku terkini. Sebagai generasi muda yang lahir dalam kecukupan materi dan jauh sekali dari aftermath perang Salina membantu saya mengenali dunia nenek moyang kita. Saya juga dapat banyak iktibar dan mampu melihat hidup memalui perspektif berbeza. Saya berharap pembaca lain juga mampu bermuhasabah melalui Salina, kerana novel harus juga mendidik selain menghibur.

Syukur, itulah iktibar utama!

Kemudian...

Sabtu lalu, saya terjumpa buku Salina di Kuala Lumpur. Nak membeli tapi sempit kocek! Sempat berkongsi dengan Syahmi cerita ini, tapi sayang dia sudah balik semula ke Jordan menyambung pengajian (hari ini), jadi tidak sempat membelinya. Tak apalah, ada masa, kita pergi beli buku sama-sama ya Syahmi, boleh ajak Naqeb sekali.

Kini hasrat saya mengumpul karya Sasterawan Negara makin menebal!

helaianRindu: Muak dengan rancangan TV yang pelakonnya pun menjual badan. Free pulak tu. Sabar je.

September 10, 2009

Aku Terima Nikahnya

Judul: Aku Terima Nikahnya
Penulis:
Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit:
Geleri Ilmu
Tahun:
2008
Bil. mukasurat:
227
Harga:
RM20.90


Dalam banyak-banyak koleksi buku saya, buku ini yang mula-mula saya baca cuti Jun-September ini. Tetapi peliknya saya benar-benar dapat mengulasnya di penghujung cuti pula. Tak mengapa, kerja Tuhan yang mengilhamkan, siapa tahu?

Karya ini sememangnya sudah diketahui ramai. Rakan-rakan saya sendiri banyak yang memberi respon positif, mengulas dengan semangat demi menggalak saya membaca. Ya sedikit hairan, kenapa isi kandungan buku mengenai perkahwinan boleh menarik hati. Sejujurnya saya sangat-sangat jauh dari memikir perkara munakahat. Didorongi rasa ingin tahu, saya juga pantas membeli buku ini bersama 2 lagi buku Ustaz Hasrizal di Pesta Buku dengan harga potongan.


"Jangan terburu-buru dan jangan bertangguh-tangguh."

Begitu pesan beliau pada remaja (perhatian: mengikut Ibnu Qayyim, remaja berusia antara 15-35 tahun). Ketika di bangku sekolah sudah mengelamun dibuai cinta, terbawa-bawa sampai 10 tahun baru menjalin ikatan. Akhirnya tersedar diri berada di perkarangan mahkamah tidak sampai 10 hari selepas perkahwinan. Bukan kepalang malunya, apatah lagi majlis kahwin mengalahkan artis dan kenamaan! Apakah ini kebahagiaan yang dijanji-janji ketika cinta berputik di sekolah dahulu? Sebabnya mudah, dah jemu!

Jeda sebentar. Saya terkenang situasi zaman ibu bapa kita dengan zaman kita anak-anak mereka. Mungkin ibu bapa kita masih sempat berada dalam zaman kahwin pilihan ibu bapa. Ada juga yang berkahwin dalam umur yang amat muda, belasan lagi sudah menikah. Sampaikan suatu masa, kalau yang tidak lepas sekolah, tak mampu cari kerja, anak gadis terutamanya terus dicadangkan berkahwin. Berbeza kini, yang mencari pasangan adalah kita sendiri, bukan lagi ibu bapa. Mahu kenal dengan pasangan sampai ingin tahu masa dia datang bulan! Setelah lama baru diijabkabul. tetapi lihat, mana yang lebih lama bertahan?

Maka penyelesaiannya, apa? Ikut trend zaman dulu? Atau...

Takut 'Ter'zina?

Persoalan yang biasa ditanya kepada ustaz, mengenai kahwin cepat kerana takut terzina! Alahai, ustaz benar-benar pantang dengan soalan ini. Alasannya mudah, orang itu melihat perkahwinan semata-mata pada hubungan seks. Sedangkan, perkahwinan adalah lebih, lebih lagi daripada hubungan batin itu. Perkahwinan itu tanggungjawab. Jelas ustaz, "Begin with the end in mind!", fikirkan apa yang di akhir, bukan di pertengahan mahupun di awal. Dia hanya ingat persetubuhan yang berlaku malam pertama, tetapi dia lupa di hujungnya ada anak yang bakal dia jaga dan suap dengan nafkah, dia lupa itu! Kalau sekarang sudah terfikir takut berzina, bagaimana orang ini mampu melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang suami nanti. Lemah begini mahu menjaga anak bini, hai, lelakikah awak ini?

Bayangkan, tunangnya di benua berbeza, tetapi takut terzina? Hai, untuk 'zina' yang ditakutkannya itu berlaku, salah seorang kena naik kenderaan itu ini, terbang ke benua sana, dengan susah payah baru berlaku 'zina' yang disebut-sebut itu!


Itu antara isi buku ini dan pendapat peribadi saya.

Menceritakan pengalamannya sebagai seorang yang bergelar suami dan bapa sendiri, Ustaz Hasrizal merakamkan bibit-bibit perkenalannya, pertunangan dan pernikahannya sendiri. Kenangan mendapat anak yang tiga orang dan susah payahnya hidup bekerja dan ingin menjaga keluarga dalam masa sama, dikisahkan demi iktibar untuk pembaca. Sebagai motivasi untuk penulis juga saya kira, untuk mengingatkan bahawa dia juga punya keluarga. kelemahan itu punyanya manusia, jadi Ustaz sendiri cuba mengatasinya dan sentiasa mencari landasan terbaik menyelesaikannya. Ada pelbagai contoh, pembaca patut mengambil iktibar.

Selain pada prapernikahan, isu kekeluargaan dan keibubapaan pasca perkahwinan juga termuat. Semacam buku psikologi juga, tapi hanyalah melalui perspektif ustaz. Selalu ustaz mengingatkan, kita harus melihat perkahwinan sebgai medan untuk memberi. Dengan itu kita akan sentiasa cuba memberikan yang terbaik untuk anak dan isteri, walau sesibuk mana kita.

Saya terbaca sebuah reviu ringkas dari seorang blogger, menyatakan alangkah bagusnya jika buku ini berada di pasaran ketika zaman dia berkahwin dahulu. Kedengarannya dia sudah sedikit berumur, dan berkahwin lama dulu. Yakin, komennya buat saya yakin buku ini sangat bagus untuk mereka yang berfikir untuk menjalin hubungan, mahupun yang telah siap diijabkabulkan, sebagai panduan meniti hari-hari hidup sebgai pasangan, bukan lagi seorangan. Setidak-tidaknya, kalau bukan menjadi panduan, naskhah ini mampu membuka mata kita akan besarnya makna perkahwinan itu.

Hei, ingat ya, ini bukan kitab hukum munakahat, ini rakaman pengalaman disertai humor , ilmu dan tazkirah. Ya perlu juga diberitahu ini bukan buku teori psikologi, hanya pengalaman, tetapi bermakna amat.

Aku Terima Nikahnya 2 juga boleh didapati di pasaran, dengan tajuk Bercinta Sampai ke Syurga.

helaianRindu: Aku tak nak ulasan jadi ulasan, tapi lebih pada cerita dan rasa.

September 07, 2009

Tunggu Teduh Dulu

Judul: Tunggu Teduh Dulu
Penulis:
Faisal Tehrani

Penerbit:
Penerbitan Selain

Tahun:
2004

Bil. mukasurat:
678

Harga:
Rm49.90


Hairan. Sangat hairan dengan diri sendiri. Kenapa saya tidak menyedari buku ini sebelum ini, kenapa buku ini tak menarik mata saya dulu untuk dibaca. biarpun telah lama berada di rak buku saya. Kadangkala saya ada membelek juga, tapi entah kenapa tak berani membacanya. Tertanya-tanya, adakah disebabkan edisi ini nampak tebal, lalu belum sanggup menelaahnya? Atau disebabkan ini sebuah novel cinta, genre yang saya kurang cenderung membaca? Atau barangkali ingin menunggu saat yang lapang seperti waktu sekarang (cuti) untuk menikmatinya? Entah. Walau apa alasan pun, saya hairan.

Tunggu Teduh Dulu adalah cerita mengenai seorang wanita bernama Salsabila Fahim yang mengusahakan sebuah ladang betik bersama rakan baiknya, Teh Sofia. Pelbagai dugaan menimpa Salsabila, dari diduga dengan cinta, retaknya persahabatan dan kekeluargaan, kematian orang tersayang, dan ujian kondisi ladangnya yang tidak menentu. Ini adalah cerita di sebalik perjalanan Salsabila mencari teduhan dari asakan yang bertalu-talu menduganya.

Saya banyak bermuhasabah dari isi novel ini. Ada tiga perkara utama yang selalu tengiang-ngiang dalam minda saya selepas membaca novel ini. Satu, bahawa kerja dan aturan Tuhan itu tiada siapa yang tahu. Jalur hidup dan ketentuan takdir kadangkala mencengangkan kita, datang dengan tiba-tiba, tetapi dihujungnya ternampak takjubnya. Teh Sofia selalu mengingatkan Salsabila dengan kata-katanya, "Kerja Tuhan siapa tahu?" dan saya juga bagai terdengar ungkapan itu di telinga saya setiap kali bertemu sesuatu yang tak saya jangka. Dua, saya belajar bahawa keterlekatan kita pada sesuatu, lebih-lebih lagi perkara duniawi akan membawa kita jauh dari bahagia. Ladang betik yang dicintai Salsabila dan Teh Sofia menghadapi banyak masalah, dan keterlekatan mereka pada ladang yang satu itu tidak boleh membawa mereka ke mana-mana. Sesungguhnya milik Allah jua segala, dan didatangkan yang lebih baik daripada apa yang kita ada sekiranya kita bersyukur dan terus berusaha.

Tiga, bahawa cinta itu diberi bukan diminta. Teman lama Salsabila di bangku sekolah dulu, Kamil dan Lam Ping Hai datang semula, menuntut cinta Salsabila setelah lama menawarkan cinta masing-masing. Sekian lama Salsabila tidak dapat memilih antara dua, dia berpergian ke Tanah Haram memohon dipertemukan jodoh. Tidak diduga, "kerja Tuhan siapa tahu?" itu muncul dan mengetuk lawang takdir wanita ini. "Cinta itu tidak diminta, tetapi diberi" begitu frasa yang saya selalu ingat. Kalau kita benar mencintai Dia, doakanlah supaya dikurniakan cinta orang yang mencintaiNya.


Susah juga saya hendak ulas lanjut novel ini, bukan kerana terlalu banyak untuk diceritakan. tetapi sukar untuk saya cari kata-kata yang terbaik untuk memperihalkan kebagusannya. Saya amat menyenangi falsafah dan simbolik di sebalik "Tunggu Teduh Dulu" itu sendiri. Tajuknya sudah memberi pelbagai bayangan pada kisahnya. Asalnya, ketika mereka masih bersekolah, Kamil, Salsabila dan Lam selalu ke puncak bukit berdekatan rumah Salsabila, dan suatu ketika hujan turun, mereka lalu berteduh di bawah sebuah bangsal. Kamil dan Lam masaing-masing menawarkan cinta dan secara halus meminta Salsabila meilih, tetapi Salsabila hanya menjawab, tunggu hujan teduh dulu. Tetapi di sebalik tajuk naskhah ini, Salsabila juga menunggu teduh dari pelbagai duga. Juga menunggu seorang lelaki yang benar-benar mampu jadi teduhannya. Dan tidak dilupa teduhan sebenar pada Tuhan Pencipta. Latar yang teduh menjadi pilihan--sebuah ladang betik dengan daun selalu ditup angin, mendatangkan damai pada jiwa-jiwa yang memandang.

Suka saya ingin meminjam kata-kata seorang pembaca, yang saya terbaca di internet; Sekiranya Indonesia mengangkat Ayat-ayat Cinta sebagai novel terbaik, maka di Malaysia Tunggu Teduh Dulu wajar diangkat sebagai citra. Ingat, watak wanita dalam Ayat-Ayat Cinta semuanya mendamba pada seorang lelaki yang tampak begitu sempurna pada segala. Tunggu Teduh Dulu menjanjikan yang lebih baik, di mana watak utamanya masih terpapar kelemahannya, dia tidak bisa memilih, dia juga ada saatnya hilang sabar dan lemah hatinya. Lebih dekat dengan para pembaca. Cerita ini adalah melalui sudut pandang pertama, dengan Salsabila sebagai 'saya'. Wanita yang membaca novel ini pasti lebih terasa dekat dengan peribadi Salsabila, pemikirannya, pendiriannya dan hidupnya sebagai seorang wanita. Sebagai seorang lelaki, Faisal Tehrani berjaya menghidupkan protagonis ini dengan baik sekali. Tidak semua lelaki boleh mempamer peribadi seorang wanita dan cara fikirnya sebaik ini. Saya juga suka dengan Salsabila Fahim, saya juga seperti ingin mencari teduhan seperti dia. Tempias duga itu dapat saya rasa, meski saya ini lelaki.

Hairan bukan, mengapa orang lebih menyebut-nyebut produk Indonesia sedang di negara kita ada yang lebih baik!

Lenggok bahasa kali ini lebih mudah, ayat-ayatnya pendek tetapi tetap dihiasi bunga bahasa dan diksi yang tepat. Manikam Kalbu contohnya, berkait rapat dengan ilmu busana, Ketupat Cinta pula dengan ilmu gastronomi, Tunggu Teduh Dulu membawa suasana pertanian. Seperti biasa, novel Faisal Tehrani sentiasa ditampung dengan ilmu yang bermanfaat. Dari ilmu mengenal jenis betik sehinggalah kepada jenis penyakit dan racun yang digunakan dalam penanaman, seperti selalu naskhah ini juga "well-researched". Begitulah sepatutnya novel, bukan sahaja menghibur, tetapi mendidik.

Pun begitu, saya sedikit ragu, selepas teduh, apa yang dinanti? Hari cerah? Pelangi? Atau sinar matahari? Bagaimana dengan bangsal tempat berteduh itu, apakah ia akan ditinggalkan? Saya masih berfikir-fikir lagi pelbagai makna di sebalik kisah berteduh ini, moga mendapat jawapannya ketika membacanya lain kali, InsyaAllah.

Kini Tunggu Teduh Dulu telahpun dicetak dalam edisi baru oleh Ameenbooks, lebih murah dan kompak saiznya. Hanya RM29.90, boleh didapati di kedai-kedai buku seperti MPH dan Popular. Jikalau anda mencari novel cinta, falsafah, kekeluargaan berlatarkan dunia tani, Tunggu Teduh Dulu jawapannya. Saya boleh menarik nafas lega, novel cinta macam inilah yang saya cari-cari!

helaianRindu: Sekeliling rumah aku pun ada tanam betik juga. Abah punya kerja. Tiap-tiap hari makan betik, hasil sendiri tapi entahlah spesies apa. Sebab itu membaca novel ini kecur liur. Suka dengan betik yang berisi jingga merah berjus itu.

September 03, 2009

Erin, The Beast Player (Kemono no Souja Erin/ 獣の奏者 エリン)

Dua tahun lalu, saya menonton sebuah animasi Jepun yang bertajuk Seirei no Moribito (Guardian of the Sacred Spirit) karya Nahoko Uehashi. Awalnya saya tidaklah begitu berminat, tetapi sedar-sedar saya dah habis menonton kesemua 26 episod dan menagih lebih episod lagi. Tandanya, saya sudah jatuh cinta dengan karya beliau.

Awal tahun ini, lebih kurang dalam Mac-April, saya terbaca berita bahawa sebuah lagi karya Nahoko Uehashi akan dijadikan animasi. Karya itu bertajuk Kemono no Souja (The Beast Player) yang ketika itu berjumlah dua volum. Ah ya, terlupa pula, kedua-dua Moribito dan Kemono no Souja adalah novel karangannya, bukan manga. Moribito adalah novel dua jilid manakala Kemono no Souja adalah novel 4 jilid, dan 2 jilid selebihnya baru saja diterbitkan 10 Ogos lalu di Jepun. Berbalik semula pada berita yang saya jumpa itu, saya terus meletakkan siri ini sebagai salah satu cerita yang wajib saya tonton.

Mengadaptasi 2 volum awal, Kemono no Souja Erin merangkumkan kandungannya ke dalam 50 episod. Pada mulanya saya agak teragak-agak juga untuk menonton, disebabkan gambar promonya yang kelihatan keanak-anakan. Impresi awal mengatakan ini kisah untuk kanak-kanak. Tetapi, mengenangkan Moribito, saya meyakinkan diri yang siri ini juga matang dan tentu lebih baik lagi. Animasi 50 episod, tak mungkin mereka akan animasikan sesuatu yang membosankan!

Erin merupakan seorang kanak-kanak berumur 10 tahun, yang tinggal dengan ibunya, Soyon, di Kampung Aka. Ibunya merupakan seorang pelatih dan doktor Touda--sejenis haiwan tunggangan seperti biawak besar yang bertanduk dua--yang digunakan oleh tentera Raja dalam peperangan. Mereka berdua berasal dari Kampung Kiri yang merupakan penduduk yang disisihkan kerana melakukan satu kesalahan besar lama dulu. Sebagai penduduk asal kampung itu mereka dilayan dengan layanan buruk oleh setiap orang. Namun mereka diberi pengecualian untuk tinggal di kampung itu kerana kepakaran Soyon sebagai pelatih Touda.

Namun, tragedi maut yang menimpa seekor Touda pada suatu hari dibebankan kesalahannya pada Soyon sepenuhnya tanpa usul periksa. Soyon terpaksa menjalani hukuman, dan Erin pula harus keluar dari kampung itu demi keselamatannya. Dalam masa yang sama, kerajaan yang diperintah Raja sedang bergolak. Erin, dalam pengembaraannya, belajar banyak perkara mengenai haiwan, dan satu hari di dalam hutan, dia terkagum akan seekor binatang yang sangat megah yang menjadi lambang Raja pada waktu itu: Raja Haiwan (Beast Lord). Tidak disangkakan oleh Erin yang pertemuannya dengan Raja Haiwan itu akan menjerumus dirinya ke dalam pergolakan politik kerajaan.

Premis novel Nahoko Uehashi sangat menarik dan begitu epik sekali sifatnya. Walaupun baru 31 episod saya tonton, tetapi setiap episod begitu menarik sehinggakan saya selalu 'terserap' ke dalam dunia Erin. Watak Erin sendiri terlalu memikat. Dia budak yang bijak, cepat belajar dan mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Kerana sifat ingin tahunya itu, kadangkala dia terlupa yang tindakannya boleh membawa kepada bahaya. Dia juga sangat sayang akan ibunya dan hubungan ibu-anak yang terpancar dalam animasi ini sentiasa menyentuh hati.

Erin ketika memujuk anak Raja Haiwan. Alamak, comelnya. Geram. Setiap episod.

Uehashi cekap membina perhubungan antara watak, baik manusia ataupun haiwan. Premis Kemono no Souja Erin berkisar mengenai perhubungan manusia dengan haiwan. Seperti Touda, Raja Haiwan boleh ditundukkan oleh manusia dengan meniup sebiji wisel khas dengan frekuensi tertentu yang tidak didengari manusia. Namun, kerana kasihnya Erin terhadap haiwan, dia enggan menggunakan cara yang sama. Dia bertindak sebagai seorang ibu kepada seekor anak Raja Haiwan. Walaupun cara itu bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan, dia tetap tegar dengan metodenya. Saya selalu ikut terharu menyaksikan jalinan luarbiasa Erin dengan Raja Haiwan ini, ada masa hampir-hampir saja saya menitiskan airmata. Tak dinafikan, barangkali kerana saya juga sukakan haiwan. (Lagipun, Raja Haiwan seekor bintang yang sangat comel sebenarnya, walaupun berbahaya apabila dia mengganas.)

Erin 18 tahun dan beberapa watak yang terlibat

Perhubungan Erin dengan ibunya, dengan ayah angkatnya Jone (juga watak kegemaran saya), dan dengan rakan-rakannya yang terbina juga mengikat saya bersama. Rona emosi yang dilontar oleh tragedi mahupun kegembiraan juga membawa rona rasa yang sama pada saya. Contohnya, ketika bayi Raja Haiwan liar yang ditemuinya di hutan itu sedang dalam ancaman oleh Touda liar, saya ikut cemas seperti Erin. Kehadiran ibu Raja Haiwan itu secara dramatik membuat saya bertepuk kegembiraan, benar! "Bayi itu selamat!" bisik saya dalam hati. Tersenyum-seyum saja sehingga hujung episod itu kerana terkenangkan perilaku saya ketika itu. Sejak itu saya juga jatuh cinta pada Raja Haiwan macam Erin.

Antara abstrak dalam Kemono no Souja

Digaul dengan suasana kampung yang damai, desa dan bukit yang meluas indah, saya tenang meneliti setiap episod. Muzik yang melatari keseluruhan animasi ini juga mendamaikan. Lagu nyanyian cossami contohnya, yang seperti keanak-anakan tetapi berlatarkan muzik yang lembut dan perlahan antara yang menjadi kegemaran saya sepanjang siri ini ditayangkan. Sangat sesuai dengan Erin dan sifat latarnya. Lain daripada itu saya gemar sekali dengan art syle yang digunakan, paling suka pada motif seakan-akan abstrak. Seni cerita dan juga seni animasi dan muzik, kedua-duanya 'memaksa' saya bercinta dengan Kemono no Souja.

Buku peraturan yang sepatutnya dipatuhi semua pelatih Raja Haiwan

Siri ini tidak tertumpu pada Erin yang berumur 10 tahun itu saja. Siri ini diteruskan dengan Erin 14 tahun, dan terbaru dalam episod 31 Erin sudahpun menjadi gadis matang berumur 18 tahun. Masih belum nampak kaitan Erin dalam pergolakan negara, siri ini masih panjang lagi. Malah 50 episod ini adalah untuk 2 volum sahaja. Masih ada 2 jilid lagi yang baru terbit perlu dianimasikan. Entah bila agaknya dapat saya saksikan. Tak apa, saya akan cuba jadi peminat yang sangat setia.

novel bahasa Jepun volum 1 Kemono no Souja

Oh ya, Moribito telahpun diterjemah dalam bahasa Inggeris oleh Scholastic. Saya tak sabar menunggu Kemono no Souja diterjemahkan juga. Saya mesti menjadikan Karya Uehashi sebagai koleksi tersayang. Biarpun sudah tahu jalan ceritanya, saya ingin membacanya dalam bentuk novel pula. Tentu akan memberi perasaan berbeza, mana tahu lebih baik lagi? (Tapi, menonton animasinya takkan terasa macam menonton animasi, terasa macam drama, rasa macam memang membaca novelnya. Sungguh.)

Terlalu banyak yang ingin dikisahkan mengenai Erin dan siri ini. Mungkin hanya saya yang suka, tapi jika anda ingin menontonnya anda boleh muat turun episod-episod terbaru di sini dan nilailah sendiri. (dalam bahasa Jepun dengan sarikata Bahasa Inggeris) Dan jika berminat siri Seirei no Moribito di sini.

Untuk mengetahui ulasan lebih baik di sini, dan untuk ulasan mengikut episod di sini dan sini.

Ogos 25, 2009

Terasing: Membina Idiosinkrasi

Judul: Terasing
Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: Telaga Biru
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 313
Harga: RM20


Nampaknya penulis muda ini sudah mula tunjuk belang. Dalam tahun ini saja sudah 3 buku diterbitkannya. Ini merupakan buku ketiga dan terkininya, baru saja diterbitkan bulan ini. Dua buku lain bertajuk VT dan Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita. Khabarnya ada sebuah lagi buku bertajuk Relasi yang terbitnya juga sekitar bulan ini, tapi saya masih belum ketemu lagi. Karyanya mendapat sambutan hangat, memandangkan tulisannya di blog mendapat perhatian ramai, khususnya remaja.

Berbalik kepada Terasing, Hilal mengajak pembaca merenung satu persoalan pokok: Apa akibatnya mengasingkan dan diasingkan oleh ukhuwwah dan persahabatan? Terpisah dengan Zaman sahabatnya di sekolah, Saifullah kini termimpi-mimpi akan janjinya kepada sahabatnya itu, 15 tahun dulu, yang sebenarnya tidak pernah terlupakan olehnya. Namun kemunculan Zaman secara tiba-tiba setelah hampir 12 tahun tanpa khabar berita membuatkan Saifullah lebih tertanya-tanya mengapa mimpinya datang berulang, seperti mahu dia menunaikan amanah yang terpatri itu kepada Zaman. Tapi bukankah dia telah melunaskannya?

Ketika itu juga cubaan membunuh dilakukan oleh sebuah organisasi kongsi gelap dari Jepun yang bertapak di Malaysia. Oleh kerana Saifullah keliru dan hairan apa kaitannya dengan kumpulan jenayah itu, dia dan abang iparnya Amiri menyiasat masalah tersebut setelah nyawa keluarga mereka turut terancam.

Pembaca setia bingkisan dan tazkirah di blog penulis tentu menyedari buku ini begitu 'Hilal Asyraf'. Maksud saya isi karya ini banyak yang seputar minat penulis sendiri. Penulis meminati lagu kumpulan Outlandish, dicatatnya lirik lagu kegemarannya. Meminati Jepun dan bahasanya, lalu terciptalah cerita berunsur negara matahari terbit itu. Tak hairanlah bila saya membaca karya ini terasa macam berkenalan dengan penulis pula.

Pun begitu, bagi saya di sinilah terletak kelemahan Terasing. Serasa kurang diksinya. Saifullah belajar di Jordan, Zaman belajar di Maghribi. Tiba-tiba diadun pula dengan elemen Jepun, dan berlaku di Malaysia. Tanpa sedar saya terbayang-bayang karya Ramlee Awang Murshid--Hatiku di Harajuku. Setting yang digunakan lebih kena, di mana watak-watak memang berasal dari Jepun, percakapan hanya lebih kepada bahasa Jepun dan Melayu. Jadi buku ini pula saya rasa kurang kemas pembawaannya. Tambah lagi susunan bab-bab akhir itu rasanya lebih baik tidak dikumpul bersama sebagai epilog, kerana cerita utamanya bukan mengenai Saifullah dan isterinya, tetapi lebih kepada Saifullah dan Zaman.

Tapi ini bukan bermakna ceritanya tidak bagus. Mungkin idea dan pembawaan ini sesuatu yang baru bagi saya. Ceritanya masih terancang dan berkesan. Bab-bab baitul muslim, ukhuwwah islamiyyah, muamalah dan sebagainya, serahkan sajalah pada Hilal Asyraf. Cerita sahaja pasal persahabatan, Hilal Asyraflah antara penggarap terbaik. Hubungan lelaki perempuan, nikah kahwin pun boleh serahkan pada dia. Eh, jangan anggap 20 tahun, belum kahwin belum cukup pengalaman! Dalam Terasing jiwangnya 'berbisa' juga. Tapi, secara tak langsung jiwangnya itu membawa saya memikirkan karya Hlovate pula. Itulah kata saya sebut di tajuk ulasan, Terasing memang wadah bagi Hilal untuk membina idiosinkrasinya. Di sebalik kekuatan dan kelemahan ini penulis bakal nampak di mana arah tuju penulisan, gaya dan fokusnya. Mungkin karya-karya awalnya masih kurang kemas dan sedikit 'rojak', tetapi saya yakin eksperimentasi inilah yang bakal membentuk gaya atau style penulisannya yang tersendiri.

Pun begitu, saya puji sisipan tazkirah dan motivasi serta ilmu agama dalam karya-karyanya, baik VT mahupun Terasing. Dalam Terasing, penulis ingin memberi pengajaran yang kita tidak boleh mengasingkan diri dari sahabat yang soleh, dan yang soleh pula jangan mengasingkan mereka yang hanyut. Kerana akibatnya, yang hanyut barangkali lebih hanyut, dan yang soleh pula dikecam mementingkan diri. Bukan itu saja, saya terkesan bila penulis mengatakan, "Allah tidak zalim. Manusia sahaja yang menzalimi dirinya sendiri." Kata-kata ini sesuai ditujukan pada mereka yang selalu merungut dengan hidup mereka. Mereka selalu menyalahkan takdir atas apa yang berlaku. Sedangkan mereka tak pernah berusaha untuk membina hidup yang lebih baik. Lama-kelamaan mereka sendiri yang sesat jalan, terus bergantung harap pada manusia ataupun makhluk lain. Bahan ilmiah dan nilai Islami yang diketengahkan ini insya Allah mampu mendatangkan katarsis yang baik untuk pembaca, remaja khususnya. Secara jujur, memang memberi peringatan, tazkirah dan ilmu dalam karya itulah kelebihan penulis. Pengalamannya ketika belajar, biar di sekolah mahupun di universiti mengukuhkan lagi kesan cerita yang digarapnya. Selain itu, sebagai mahasiswa produk Timur Tengah, latar dan idea Terasing merupakan sesuatu yang unik dan lain dari yang lain. Kebolehannya menukangi sebuah cerita berlatar pelbagai budaya patut dipuji.

Walau apapun komen saya terhadap karya ini, respon tersebut hanyalah pendapat peribadi. Bak kata Prof. Dr Sahlan Mohd Saman (pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di UKM), semua hasil tulisan adalah pilihan dan kecenderungan pengarang sendiri, kerana ini adalah poetic licence milik penulis yang telah diiktiraf seluruh dunia (rujuk Masitah, Mawar Shafei, DBP). Yalah, takkanlah hanya kerana dia penulis baru, dia perlu ikut telunjuk orang semata; nanti di mana letak identiti asal penulisannya bukan? Saya sedar kebebasan kreatif itu masih hak milik penulis. Namun harus juga disedari apabila sesebuah karya telah diterbitkan, pembaca juga ada haknya untuk mengkritik (rujuk Imam, Abdullah Hussain, DBP/Utusan). Penulis baru seperti Hilal Asyraf masih jauh perjalanannya, dan banyak lagi ruang membina idiosinkrasinya.

Cumanya, ada beberapa kesilapan yang saya kesani. Satunya, Zaman dan Saifullah berpisah 15 tahun yang lepas, dan selepas 3 tahun mereka langsung terputus hubungan. Maknanya, dah 12 tahun mereka tak tahu khabar berita. Tapi kalau baca blurbnya dikatakan 11 tahun. Ada juga dalam buku ini disebut 13 tahun. Keliru pula jadinya. Dan lebih hairan, katakan peristiwa dalam Terasing berlaku pada tahun ini (2009, disebabkan ada disebut mengenai selesema babi), tak mungkin 15 tahun lalu sahabat berdua itu sudah ada akaun Friendster dan Facebook (hal. 24, Saifullah claim yang mereka terputus hubungan antaranya kerana akaun-akaun tersebut seperti tak digunakan lagi oleh Zaman), sedangkan Friendster ditubuh pada 2002, dan Facebook lebih baru lagi, iaitu pada 2004!

helaianRindu: 1 down, 2 to go.

November 23, 2008

A Thousand Splendid Suns


Judul: A Thousand Splendid Suns
Penulis: Khaled Hosseini
Penerbit: Bloomsbury
Tahun: 2008 (Paperback)
Harga: RM35.90
Bil. Mukasurat: 419

A Thousand Splendid Suns merupakan novel kedua Hosseini selepas debutnya yang bertajuk The Kite Runner pada tahun 2003. Kehebatan The Kite Runner tentunya 'mengajak' saya untuk membaca karya penulis yang seterusnya. Adakah sama novel ini dengan novel sulung penulis? Tidak. Malah lebih baik!

Novel keduanya berlatarkan tempat yang sama, ya Afghanistan. Dan sudah tentu jika latar masanya pada tahun 1970-an, semestinya berlaku perang dan berlakulah penderitaan rakyat Afghan. Dan inilah yang menimpa Mariam dan Laila.

Mariam adalah seorang harami—anak luar nikah. Diusir dari rumah ayahnya, dia dikahwinkan dengan seorang duda lingkungan 40-an dari Kabul yang bernama Rasheed. Namun, perkahwinan yang disangkanya akan bahagia dan berkekalan lebih lama rupanya meleset. Kerana Rasheed inginkan seorang anak. Lebih-lebih lagi lelaki. Kerana Mariam tidak berjaya mendapatkan seorang cahaya mata, pergaduhan terjadi.

Laila, seorang remaja yang tinggal berjiran dengan Mariam, hilang kedua ibu bapa dan tempat tinggal akibat bom yang dilepaskan semasa pemerintahan Mujahideen. Terdesak menyembunyikan kehamilan seorang anak luar nikah, dia bersetuju mengahwini Rasheed.

Pada mulanya Mariam benci pada Laila kerana menganggap Laila sebagai perampas suaminya. Namun insiden dengan Rasheed menyebabkan kedua-duanya, Mariam dan Laila, menjalin hubungan yang amat rapat—seperti ibu dan anak, apatah lagi bila Laila dianugerahkan Aziza dan Zalmai hasil perkahwinannya. Mariam menjaga kedua-dua anak Laila seperti anak-anaknya sendiri.

Namun ambilalih oleh Taliban menjadikan situasi mereka lebih bahaya. Kelaparan, ketakutan melanda masyarakat Afghan. Dan bagaimana nasib kaum wanita? Mariam dan Laila tertahan diri di Afghanistan. Niat ingin mencari bahagia bersama, tapi mampukah?

Kandungan buku kecil molek ini dibahagi kepada empat bahagian (Part One—Part Four). Yang pertama dari Mariam kecil sehingga dia berkahwin, manakala yang kedua untuk Laila. Bahagian ketiga gabungan Mariam dan Laila dan bahagian terakhir adalah cerita Laila sepenuhnya.

Tersentuh, itu sahaja yang boleh saya katakan. Lebih tersentuh dari membaca The Kite Runner. Dan hakikatnya saya hampir menangis. Babak-babak yang menyentuh hati saya antaranya ialah babak kematian ibu Mariam; penderaan Rasheed kepada Mariam dan kemudiannya Laila dan anaknya; dan seterusnya babak Maryam dihukum hudud. Juga, sepanjang kisah ini saya tersentuh dengan hubungan erat Mariam dan Laila. Tambah lagi kepayahan Laila ketika melahirkan anak keduanya, ketika keadaan begitu darurat.

Anda bacalah, saya yakin kalian juga ikut terharu. 5 bintang!

*Akhirnya saya kembali membaca dan mereviu. Cuti panjanglah katakan.

April 26, 2008

The Spiderwick Chronicles


Judul: The Spiderwick Chronicles: The Complete First Serial
Penulis: Tony Diterlizzi & Holly Black
Penerbit: Simon & Schuster
Tahun: 2007
Harga: RM75.00

Saya suka benar membaca kisah fantasi 3 beradik Grace ini. Ya, kalau anda masih ingat, bulan lepas filemnya sudahpun ditayangkan di Malaysia. Tapi pengembaraan mereka di dalam filem jauh lebih singkat berbanding di dalam bukunya.

Mengisahkan 3 adik beradik, Jared, Simon dan Mallory Grace, yang baru sahaja berpindah ke rumah baru mereka di Spiderwick Estate. Sesuatu yang tidak kena berlaku setiba mereka di rumah tersebut. Jared, dek kerana rasa ingin tahu lebih lanjut tentang rahsia yang terdapat di dalam rumah itu, menyiasat apa yang berlaku dan terjumpa sebuah bilik kepunyaan moyang mereka, Arthur Spiderwick. Tragedi berlaku sebaik sahaja Jared menjumpai sebuah field guide atau buku panduan tentang alam dan makhluk ghaib yang tinggal bersama di dunia manusia. Buku tersebut, Arthur Spiderwick's Field Guide to the Fantastical World Around You, ditulis oleh Arthur sendiri.

Makhluk ghaib atau faeries mula berasa bimbang dengan kehadiran buku itu. Buku itu pernah menjadi ancaman kepada mereka kerana mereka takut manusia yang menjumpai buku itu akan membongkar dan memusnahkan kehidupan mereka. Malah, lebih teruk lagi, Jared dan adik beradiknya mendapati terdapat seorang musuh dari kalangan faeries, iaitu ogre yang bernama Mulgarath cuba merampas buku itu dari mereka demi mengetahui rahsia kekuatan dan kelemahan faerie yang lain, supaya dia berupaya menguasai dunia manusia dan faerie secara keseluruhannya.

Teruja sekali membaca kisah sewaktu mereka berjumpa dengan moyang mereka Arthur Spiderwick bagi meminta pertolongan untuk mengalahkan Mulgarath. Tidak disangka setelah hampir seratus tahun Arthur masih hidup dan tidak tua kerana ditahan oleh makhluk yang bergelar elf. Lebih mengejutkan apabila Mulgarath menyamar menjadi ayah Jared untuk mendapatkan buku tersebut. Namun agak kecewa apabila perlawanan dengan Mulgarath diakhiri dengan terlalu mudah.

Filemnya belum saya tonton, tapi saya akan pastikan saya dapat menontonnya nanti. Khabarnya, filemnya lebih bagus biarpun banyak bahagian dari buku yang dipotong. Harapnya begitulah. Siri ini sebenarnya sudah diterbitkan beberapa tahun lepas, ada 5 buku kesemuanya. Tapi buku yang saya beli ini merupakan gabungan 5 dalam 1, yang bagi saya lebih mudah dibaca dan lebih murah jika dibandingkan dengan pembelian 5 buku berasingan (1 volum berharga RM29.90, jika didarab lima semuanya hampir RM150). Terdapat juga keluaran versi movie tie-in berkulit nipis (paperback), juga baru dikeluarkan tahun ini.

Dihiasi dengan ilustrasi oleh Tony Diterlizzi sendiri yang memang menarik, pasti seronok membacanya. Tahun ini sempena pelancaran filemnya sudah banyak diterbitkan companion books seperti Field Guide, Observation Notebook, Make Your Own Field Guide, termasuklah The Movie Storybook. Nak tahu lebih lanjut, boleh rujuk di laman web seperti www.mph.com.my atau berkunjung saja ke kedai buku berdekatan. Semoga anda terhibur dengan kisah pengembaraan ini!
Related Posts with Thumbnails