Ogos 14, 2009

Imam


Judul: Imam (Edisi Sasterawan Negara)
Penulis: SN Abdullah Hussain
Penerbit: DBP
Tahun: 1999
Bil. mukasurat: 691

Harga: tidak dicatat

Naskhah ini menarik minat saya ketika saya belajar di Shah Alam. Rakan saya Munir sejak membaca Imam dia terpikat untuk mengikuti karya-karya Abdullah Hussain yang lain. Buktinya di Pesta buku antarabangsa yang lalu, bila terlihat saja deretan buku-bukunya, dari novel Interlok hinggalah kumpulan cerpennya Pahlawan Tak Bernama, semua dibeleknya dan hampir saja ingin membeli kesemuanya. Saya pernah bertanya kepada Munir sebelum itu, best sangat ke baca Imam?

"Aku suka latar tempat dia, sebab dia gunakan latar kampung yang damai, ada suasana kampung yang lama, yang sekarang ni kita susah nak jumpa." Lebih kurang begitu isi jawapan Munir. Tambah dia lagi, suasana itu diceritakan dengan baik sekali.

Saya juga bersetuju setelah membaca Imam.

Namun bukan itu sebab utama Imam diangkat banyak pihak sebagai sebuah novel yang hebat. Kekuatan Imam sebenarnya terletak pada isinya, pada elaborasi dan perincian dalam penceritaannya, serta 'keberanian' penulis dalam mendebatkan isu atau permasalahan dalam banyak perkara yang 'sensitif' bagi sesetengah dari kita Muslim ataupun bangsa Melayu sendiri. Lihat saja perdebatan dalam isu perpecahan mazhab dan isu Wahhabi yang diketengahkan. Melalui apa yang saya tahu Wahhabi itu sememangnya sesat, tetapi dalam bab Inquisisi, yakni ketika Imam Haji Mihad disoalsiasat oleh pegawai dari majlis agama untuk menilai semula kredibilitinya sebagai seorang imam, penulis ada mempertahankan Wahhabi. Membaca naskhah ini menyedarkan saya terlalu banyak yang saya tidak tahu mengenai isu-isu ini, khususnya dari segi sejarah yang menyebabkan perkara ini terjadi. Juga, penulis mengetengahkan isu feudalisme. Mengikut Haji Mihad, bangsa kita menjadi tidak kreatif, tidak bebas berfikir dan menjadi bangsa yang penakut dan malas dengan mengikut adat-istiadat menyembah raja (hal. 375). Hal ini disandarkan kepada adat memohon ampun dan mengangkat sembah sebelum berbicara dengan sultan. Katanya, belum apa-apa kita sudah minta ampun, sedang dengan Allah sendiri kita diperintah memohon ampun setelah kita melakukan pelanggaran terhadap larangan-Nya. Dikatakan pula, gelaran Duli Yang Maha Mulia yang diberikan kepada Sultan itu bertentangan dengan aqidah dan boleh menjerumus kepada syirik (hal. 373), khususnya bila dimasukkan kata-kata gelaran itu di dalam doa khutbah. Hal feudalisme ini dan banyak lagi dijelaskan panjang lebar dalam bab tersebut.

Novel ini, selain 'berjiwa besar', punya daya penariknya yang lain. Antaranya cara pembawaan cerita. Dalam bab pertama kita sudah dapat mengetahui akan ada tragedi yang menimpa imam masjid Haji Salleh. Kemudian, kita dibawa ke masa lalu, mengenali watak imam melalui watak-watak lain secara perlahan-lahan; apa yang berlaku di kampung tersebut, situasi semasa, hubungan antara watak-watak, dan konflik antara orang kampung. Watak Imam Haji Mihad lebih banyak menjadi bualan orang dalam bab-bab awal. Sehinggalah bab 5 (Jihad), barulah sudut pandangan diubah kepada Haji Mihad sepenuhnya. Kenapa saya katakan pembawaan ini menarik? Kerana sedar ataupun tidak, pembaca dari awal dibenarkan membuat telahan sendiri, apakah imam ini benar ataupun tidak. Sense of judgement pembaca akan terangsang waktu ini. Tentu saja pembaca akan lebih tertanya-tanya, apa tujuan imam ini sebenarnya? Sesatkah atau benarkah cara yang dibawa oleh imam ini pada kampungnya? Sejauh mana kebenaran hujah yang diperdebatkan dalam inquisisi Haji Mihad dengan pihak majlis agama? Dan secara tak langsung pembaca bakal dahagakan kebenaran itu sendiri, dan mula mencari huraian dan penjelasan persoalan-persoalan dan isu-isu yang terbabit. Bukankah ini baik dalam perkembangan ilmu kendiri?


Perubahan atau Pembaharuan?

"Walaupun melakukan perubahan itu penuh liku dan cabaran, perubahan itu sendiri tidak dapat ditahan-tahan, seperti kata Haji Mihad, ia laksana cahaya yang terkurung yang akan mencari jalan merembes keluar melalui rongga atau retak biar seseni apa sekalipun." (hal. 672)

Asam garam masyarakat, tentu ada saja adat kebiasaan yang salah dan perlu dibetulkan, dan terlihat juga lompang-lompang pada cara hidupnya yang wajib diperbaiki. Dan tugas ini letaknya pada para pendakwah, yakni mereka yang berilmu. Masyarakat kampung ketika itu hanya pasrah dengan kehadiran musim kemarau, langsung tak mengendahkan lagi sawah dan tanaman mereka. Harga getah jatuh merudum, lalu penoreh sudah tiada semangat bekerja kerana nanti mereka bakal rugi. Orang sudah mula duduk di masjid semata-mata berdoa, berzikir, dan terus berzikir, tanpa usaha untuk menaiktaraf hidup. Kedatangan Haji Mihad sebagai imam baru di kampung tersebut mengubah persepsi dan gaya hidup masyarakat, tetapi dalam masa yang sama menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak kerana dianggap membina pengaruh, kadangkala dituduh sesat kerana terlalu banyak perubahan yang dilakukan oleh Haji Mihad, yang dirasakan bertentangan dalam Islam. Bagi sesetengah dari mereka, mereka anggap apa yang dibawa oleh Haji Mihad, contohnya mengadakan kumpulan muzik, memperindah kawasan masjid, membina gelanggan sukan di kawasan masjid, dan laian-lain lagi adalah pembaharuan dalam agama yang sengaja dicipta dan direka-reka oleh Haji Mihad. Sedangkan itu cumalah perubahan dari adat kebiasaan orang kampung, yang sebenarnya langsung tidak salah di sisi agama, bukannya pembaharuan hukum Islam.

Makin saya meneliti isi perubahan ini, makin saya teringat akan kisah sejarah, perselisihan antara Kaum Tua dan kaum Muda. Ingat lagi? Mungkin pada zaman dahulu sukar melerai ikatan tradisi pada masyarakat, tapi Alhamdulillah, saya yakin orang sekarang lebih mudah menerima teguran dan perubahan.


Ilmu dan Pengalaman

Imam bukan sahaja bernada serius tapi terselit juga humor tersendiri. Laporan yang disediakan oleh wartawan dari pejabat agama adalah buktinya. Huraian yang disediakan dalam laporan tersebut (dalam satu bab panjang, Interviu) kadang-kadang tak wajar, nonsense atau di luar kebiasaan yang membuat saya ketawa sendirian. Dan, bukan sahaja sarat ilmu agama, Imam juga sarat dengan ilmu sastera, ilmu kewartwanan, sejarah dan banyak lagi. Lihat sahaja senarai rujukan yang disediakan di halaman-halaman akhir, begitu banyak. Saya kagum! Dan tentu saja, ada disertakan pengalaman berharga penulis sendiri, yang tak mungkin kita mampu geledah dalam mana-mana buku sekalipun.

Apa yang paling menarik bagi saya ialah penggunaan bahasanya yang segar. Membayangkan Imam berlatarkan kampung, saya hanya membayangkan kosa kata kekampungan semata. Tapi, kenapa digunakan energi, bukan tenaga? Kenapa seksi (seksyen), bukan bahagian? Imam kampung berbicara tentang double standard, self-centered? Biarpun saya lambat menghabiskannya tapi inilah antara sebab saya amat berpuas hati. Dan terlalu banyak lagi sebab yang lain yang menjadikan buku ni tidak boleh tidak, bahan bacaan yang wajib ditelaah kalian.

*Imam mengisahkan Haji Mihad sebagai imam baru yang dilantik di Masjid Haji Salleh di Kampung Anggerik Desa. Perubahan-perubahan yang dibawa oleh Haji Mihad kepada penduduk kampung telah menyebabkan sesetengah orang kampung tidak puas hati. Novel ini menelusuri perjalanan jihad seorang manusia membawa dakwah untuk merubah hidup bangsa dengan cara hidup yang benar, yakni Islam.

Untuk bacaan tambahan, klik sini dan sini.

helaianRindu: Takziah buat keluarga dan sahabat Ustaz Asri Ibrahim. Semoga ruhnya dirahmati dan ditempatkan bersama para solihin.

1 ulasan:

muhammad fakhruddin berkata...

Pernah baca masa Tingkatan 3 dulu,dan terpanggil utk beli dan baca balik ;)

Related Posts with Thumbnails