Memaparkan catatan dengan label thriller. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label thriller. Papar semua catatan

Jun 02, 2011

Lumba Lari

Robert Langdon masih berlari ke sana sini membongkar rahsia dan kod. Bertemu seorang wanita yang cantik dan bijak yang membantu pengembaraannya. Pelumbaan mengejar masa tamat apabila rahsia terakhir dibongkar - siapa penjahat sebenar dan apa kod terakhirnya.

Masih lumba lari yang sama.

Saya menamatkan pembacaan novel The Lost Symbol (TLS) karya Dan Brown seingat saya Februari lepas. Bukan mudah menamatkan novel hardback setebal 528 mukasurat ini. Tetapi apa yang membantutkan pembacaan saya (saya membaca naskhah ini sejak November/Disember kalau tidak silap) antaranya adalah deskripsinya yang meleret-leret. Bukan saja itu, stail penulisan dan jalan ceritanya pula sudah boleh diterka (sekiranya kita sudah membaca karya-karya Dan Brown yang melibatkan Robert Langdon sebelum ini seperti The Da Vinci Code dan Angels & Demons) menjadikan buku ini tambah bosan.


Disebabkan perincian yang terlalu teknikal, saya terasa terpanggil untuk cuba membaca buku-buku terawal Brown sebelum siri Robert Langdon. Dan saya memilih Deception Point (DP). Terasa lebih segar pula membaca novelnya yang berlatarbelakangkan konspirasi yang berbeza tanpa perlu membongkari kod-kod rahsia. Dalam DP, watak utamanya malah seorang wanita. Rachel Sexton, anak kepada seorang senator yang sedang bertanding untuk jawatan presiden Amerika Syarikat, dia ditugaskan membantu mengesahkan penemuan sebuah meteorit berumur lebih 3 abad di Kutub Utara. Menarik sekali apabila konspirasi politik digabungkan dengan latar oseanologi, kajian glasiologi dan data meteorologi.

Sekiranya Brown menjadikan pertubuhan-pertubuhan rahsia kuno sebagai antagonis dalam siri Langdon, dalam Deception Point pertubuhan NASA menjadi boneka.

Tetapi, masih penceritaan lumba lari. (Lumrah novel aksi agaknya?)

Rachel Sexton membongkar satu fakta palsu yang bakal menggulingkan NASA dan Presiden Amerika yang tak bersalah sekiranya ia disebarkan. Beberapa tentera elit rahsia diupah untuk membunuh mereka yang mengetahui rahsia tersebut, dan Rachel akhirnya menjadi sasaran bersama beberapa saintis yang turut sama tahu. Adegan kejar-mengejar antara pembunuh dengan para saintis pun berlaku. Saintis berkejaran untuk mengumumkan rahsia itu kepada umum, pembunuh bergegas menjejaki mereka.

Sekurang-kurangnya, walaupun ceritanya boleh diagak, saya menikmati agenda politik yang dimuatkan. Satu daripada kelebihan Brown pada pendapat saya, adalah apabila pembaca 'diberi' peluang meneka siapa sebenarnya watak antagonis utama dalam ceritanya. Dan kebiasaannya, saya akan kalah dalam tekaan itu, termasuklah dalam DP. Dalam The Lost Symbol sayangnya, tidak timbul langsung perasaan ingin tahu itu kerana saya tidak rasa plotnya dibina dengan baik.

Meskipun begitu, apa saja bahan bacaan kita boleh bermuhasabah. DP membawa fenomena politik kotor yang sudah sekian lama berlaku termasuklah di negara kita sendiri. Personaliti ahli politik perlu dinilai semula: adakah dia hanya berkelakuan baik hanya kerana reputasi (reputation) atau karakter (character). Seorang muslim (dan daie) sepatutnya mengejar karekteristik sempurna tetapi bukan semata-mata menjaga reputasi. Karekter akan kekal pada diri seseorang sedangkan reputasi itu bila-bila masa akan runtuh kerana sikap baik yang ditonjolkan itu hakikatnya bukanlah diri kita yang sebenar.  Di akhirnya kita diajar kejujuran jugalah yang akan memenangi hati semua orang sepahit mana pun kebenaran tersebut.

TLS muhasabahnya agak cantik, sekiranya anda tidak kisah saya membongkar penamatnya. Langdon diberi sedikit 'tazkirah' pendek tentang khazanah yang hilang atau the Lost Symbol yang sibuk dikejar oleh antagonis dalam novel tersebut (satu daripada aspek yang menjadikan TLS bosan adalah leretan ceramah pendek ini). Khazanah itu sebenarnya bukanlah harta bernilai atau dokumen penting yang mengandungi rahsia dunia tetapi sebenarnya klu-klu yang dibongkar membawa mereka kepada Bible -  sebuah kitab yang menjadi panduan rakyat Kristian sejak dahulu semakin lama semakin dilupakan. Begitulah pentingnya kembali kepada 'Simbol yang Hilang' itu.

(Aneh juga penulis barat ini, dalam novel The Da Vinci Code dia memutarbelitkan ajaran Kristian dan menolak Bible kemudian dalam novel lainnya mengajak kembali kepada kitab yang sama.)

Kalau kita bandingkan dengan Al-Quran, tidak kurang juga bezanya bukan? Cukup dekatkah kita dengan Al-Quran; sudah berapa peratus kita mengamalkan isinya? (Ada orang ajak saya berlumba khatamkan Qur'an dalam masa sebulan, tapi kalau nak lumba konsistenkan bacaan saya dulu boleh tak?)


Juga, tidak putus-putus, manusia berlumba-lumba berebut kuasa. Demi mencapai objektif mereka, ada yang sanggup menipu dan membunuh. Seperti dalam DP, mereka sanggup melaksanakan projek penipuan terbesar yang melibatkan seluruh dunia semata-mata menyelamatkan sebuah organisasi, malah untuk menaikkan nama Preseiden yang kian jatuh. 

(Saya terfikir juga, ada desas-desus rakyat Amerika tidak puas hati dengan pemerintahan Obama, malah Obama gagal menaikkan taraf ekonomi AS. Sehingga katanya Donald Trump sedang cuba merebut jawatan presiden kerana lebih yakin untuk memulihkan keadaan AS. Tetapi dengan hadirnya berita kematian Osama bin Laden, rakyat Amerika mana yang tidak menyokong Obama kini kerana lega dan gembira lelaki itu telah tiada? Dan nama Osama naik semula...)

Sekadar buah fikir yang timbul setelah membaca DP. Saya terfikir juga, sebab tiba-tiba saja berita ini keluar.

Macam mana pun, saya lebih suka DP dari TLS. Kalau bintangnya lima saya beri empat untuk DP dan dua setengah saja untuk TLS. Siri Langdon masih ingin buat saya membaca rasanya disebabkan Brown pandai memfiksikan karya seni dan bangunan lama. Saya suka elemen seperti itu.

Ah, lain pohon, lain akarnya!

helaianrindu: The Lost Symbol dan Deception Point boleh didapati di kedai-kedai buku dengan harga pasaran RM36.90 (harga terakhir paperback Malaysia yang saya ingat). Bertuahnya saya kerana membeli hardcover TLS di carboot sale dengan harga 30p (RM1.50 sahaja, kurang dari harga 5 biji kuih di Kuala Lumpur)!

Jun 25, 2010

The Mozart Conspiracy


Judul: The Mozart Conspiracy
Penulis: Scott Mariani
Penerbit: Avon Books
Tahun: 2008
Harga: RM29.69 (Kinokuniya KLCC Web)
Bil. mukasurat: 452

Saya menganggap The Mozart Conspiracy sebagai sebuah buku yang sangat dekat dengan karya Dan Brown, The Da Vinci Code. Saya tidak boleh samakan Mariani dengan Brown seratus peratus kerana saya baru sahaja menghabiskan satu karya Mariani sedangkan Dan Brown saya telah tamatkan dua.  Dalam siri Ben Hope ini, Mariani telah menerbitkan lima buah novel.

Cuma, setelah membaca naskhah ini, saya boleh katakan pendekatan Mariani dalam The Mozart Conspiracy sangat dekat dengan karya terkenal Brown itu.

Dengan menjadikan sebuah organisasi rahsia kuno sebagai antagonis, Mariani menjadikan perjalanan watak Ben Hope seakan selari dengan pengembaraan Robert Langdon ciptaan Brown. Di mana persamaan dan perbezaannya jikalau saya dakwa begitu? Seperti yang saya sebut sebelumnya, kedua-dua penulis menggunakan organisasi rahsia sebagai tapak asas cerita. Itu persamaan yang jelas sama.

Jalan cerita yang dikemukakan juga hampir sama. Di dalam naskhah ini, Ben Hope membongkari misteri pembunuhan teman lamanya, Oliver Llewellyn, yang rupanya berkaitan dengan kes kematian Mozart lewat abad ke-18. Dalam mengetahui rahsia organisasi yang terlibat, Ben Hope bersama Leigh (adik Oliver) berjumpa dengan seorang lelaki tua bernama Profesor Arno.

Jika anda pernah meneliti The Da Vinci Code, anda akan dapati Robert Langdon, dalam usahanya menjejaki organisasi bernama The Priory of Sion yang melibatkan tokoh Da Vinci; mengembara bersama Sophie Neveu bertemu dengan seorang tua bernama Leigh Teabing untuk bertanyakan pelbagai soalan berkaitan.

Itu antara elemen yang seakan-akan sama. Bagaimana dengan perbezaan mereka?

Melalui watak-watak yang ditonjolkan penulis, pembaca akan dapati perbezaan genre yang dibawa dua penulis ini. Robert Langdon rekaan Brown merupakan seorang profesor simbologi sedang Ben Hope merupakan seorang bekas militari. Jadi, secara teknikal, The Da Vinci Code sifatnya lebih deskriptif apabila menjurus pada pembongkaran kod dan rahsia. 

The Mozart Conspiracy pula dihasilkan sebagai sebuah novel aksi. Konspirasi yang terbabit dalam novel Mariani tidak begitu ditekankan. Cukuplah untuk pembaca mengetahui ada watak jahat sedang berusaha menghentikan pembongkaran aktiviti mereka. Selebihnya, antagonis akan melakukan apa saja demi merealisasikannya. Menculik, menangkap dan membunuh mereka yang terlibat. 

Sebab itulah Robert Langdon hanya berkejaran ke sana sini membongkari rahsia dan kod, manakala Ben Hope berlarian mengelakkan diri daripada ditangkap dan dibunuh. Langdon menunjukkan sifat inteleknya; Hope pula menampakkan sisi kekuatan, kelicikan dan juga inteleknya sedikit sebanyak.

Bercerita mengenai aksi, Mariani menceritakan The Mozart Conspiracy secara sinematik sifatnya. Seperti yang selalu ditayangkan dalam filem-filem aksi, novel ini menghidangkan rincian sebegitu. Penerbit sendiri menyamakan karya ini dengan siri aksi popular Bourne, karya Robert Ludlum. Pembaca yang teliti ataupun mereka yang kurang minat dengan genre ini mungkin cepat merasa bosan -- hampir tiga perempat buku ini adalah aksi culik, tangkap, kejar, dan bunuh saja!

Saya tidak begitu mencadangkan novel ini untuk dibaca, meskipun pelbagai respon positif diberikan untuk novel ini. Tidak pasti jika novel lain dalam siri Ben Hope ini bersifat sama dengan The Mozart Conspiracy, dari segi intelektual mahupun aksi. Mungkin pembaca boleh mencuba dan berkongsi kelebihan dan kekurangan novel-novelnya yang lain.

The Mozart Conspiracy merupakan sebuah novel yang menceritakan mengenai surat terakhir Mozart kepada kawan dekatnya, Gustav. Oliver Llellewyn, hampir membongkari rahsia organisasi The Order of Ra yang berkaitan dengan Mozart melalui surat tersebut, telah dibunuh. Kes tersebut hampir ditutup kerana tiada bukti kukuh. 

Ben Hope, Leigh Llellewyn dan seorang polis bernama Kinski tidak percaya dengan bukti sedia ada, lalu mereka bertindak mencari pembunuh sebenar dan motif pembunuhan Oliver. Ketika itu mereka menyedari The Order of Ra masih wujud, dan tidak akan berhenti dalam usaha menyembunyikan kewujudan mereka dengan apa cara sekalipun.

Ogos 20, 2009

The Da Vinci Code

Judul: The Da Vinci Code
Penulis: Dan Brown
Penerbit: Corgi
Tahun: 2003
Bil. mukasurat: 593
Harga: RM34.90

Saya mengenali Angels and Demons lebih dahulu ketika tahun 2005, dan ketika tahun berikutnya saya cuba untuk membaca The Da Vinci Code kerana pada tahun itu filemnya ditayang di panggung. Namun apabila saya mengetahui isinya banyak berkisar sekitar agama Kristian, saya takut untuk membaca, takut-takut punya isi yang berpengaruh (semacam perasaan bila saya terlihat salib), apatah lagi Angels and Demons yang saya sebelum itu tidak sampai separuh pun, kerana waktu itu masih terlalu banyak kosa kata Inggeris yang tak diketahui (dan untuk merujuk kamus, maaf saya agak malas masa itu). Jadi saya biarkan saja tajuk-tajuk ini berlegar di dalam kepala.

Sehinggalah awal tahun ini, saya ketemu berita bahawa Angels and Demons telah dijadikan filem dan bakal ditayangkan dalam bulan Mei. Teringat akan bacaan yang terhenti dulu, saya terus membeli kesemua buku Brown sekaligus secara online tanpa fikir panjang.

Usai saja membaca bahagian pertengahan buku ini, saya sedar, tak hairanlah kecaman dan bantahan terus-terusan dihentam terhadap filemnya pada tahun 2006 dulu. Penganut Kristian beramai-ramai memboikot, malah membakar dan memijak-mijak poster-poster filemnya. Tak kurang juga orang Islam sendiri mengecamnya. Kenapa?

Kerana, dalam buku ini Brown mengemukakan pendapat kontroversi mengenai Jesus Christ, yang dia bukanlah anak Tuhan dan hanya seorang manusia biasa yang dilantik menjadi seorang nabi. Lebih menggemparkan Jesus juga dikatakan berkahwin dengan seorang wanita yang bernama Mary Magdalene, setahu saya dia juga antara para hawari, tetapi mengikut cerita orang Kristian Mary merupakan seorang pelacur. Gereja Katolik juga, dalam The Da Vinci Code, digambarkan sebagai institusi yang kejam, penuh konspirasi, dan sanggup melakukan apa saja demi menutup fakta tersebut, hinggalah ke hari ini.

The Da Vinci Code ialah pengembaraan Robert Langdon yang kedua, selepas Angels and Demons. Robert, seorang profesor simbologi, telah dituduh membunuh kurator museum Louvre, Jacques Sauniere, di Paris. Namun, atas bantuan cucu kurator tersebut, Sophie Neveu, mereka berjaya mengelak dari ditangkap. Sebelum kurator tersebut maut, dia meninggalkan wasiat berupa anagram kepada mereka berdua. Dalam saat cemas melarikan diri dari cengkaman pihak polis Perancis, Sophie dan Robert membongkar rahsia yang dahsyat: Jacques Sauniere adalah seorang ahli utama The Priory of Sion, sebuah organisasi underground yang punya misi untuk mendedahkan sejarah sebenar mengenai Jesus, melindungi keturunanannya dan maklumat mengenai Holy Grail dari cengkaman Gereja Katolik, yang selama ini membawa ajaran yang bertentangan. Organisasi ini turut menyenaraikan Isaac Newton dan Leonardo da Vinci sebagai ahli. Robert dan Sophie harus berdepan dengan musuh Priory, iaitu Opus Dei, yang juga mencari kebenaran mengenai Jesus itu dengan satu tujuan: memusnahkannya.

Jujurnya, buku ini tidak sehebat mana. Lambakan blurb yang memuji-muji kehebatan penulis kadang-kadang memualkan saya. Ya, memang kebanyakan buku berbahasa Inggeris menggunakan cara ini untuk menarik minat pembaca membelinya, walaupun kadang-kadang ia tidak sebaik yang dicatat. Kenapa saya katakan ia tak sehebat mana? Kerana bosan mungkin. Dengan leretan sejarah yang direka-reka. Dengan leretan tafsir simbol yang entah benar atau tidak. Secara peribadi, Angels and Demons saya rasakan plotnya lebih meyakinkan. Apatah lagi saya takut dengan fakta berani penulis yang Nabi Isa telah berkahwin.

Apapun saya puji kelebihan Brown dalam mencipta teka teki dan kod. Tak tersangka, teka-teki yang diwasiatkan oleh Sauniere sentiasa mempunyai 2 maksud. Dan kepandaian Brown memanipulasi hasil karya seni da Vinci dan senibina Piramid oleh I.M. Pei di Louvre juga begitu baik. Walaupun saya bukan peminat karya da Vinci, membaca novel ini membuatkan saya ingin sekali menjejaki Musée du Louvre ini untuk meneliti Mona Lisa dan Madonna of the Rocks antaranya. 'Memfiksikan' sains dan sejarah mungkin memang bidang penulis. Tambahan lagi, Nabi Isa berdasarkan sejarah Islam memang hanya seorang Nabi dan manusia biasa, bukan anak Tuhan, dan saya mesti bersetuju dengan perkara ini. Juga dikatakan Bible itu bukanlah dari Tuhan, tetapi dari manusia semata. Ada benarnya, Injil telah dicampuri dengan tangan-tangan manusia. Sekurang-kurangnya membaca naskhah ini membuka mata dan pemikiran pembaca mengenai keagamaan dan ketuhanan.

Kalau berminat membaca The Da Vinci Code, saya cadangkan pinjam sahaja. Tak berbaloi sangat membelinya. Kalau dapat menonton filemnya sahaja pun tak mengapa, lebih jimat masa dan filemnya pun tak dipotong banyak mana. Juga pesan saya statement penulis di mukasurat depan jangan percaya sangat. Kalau tak percaya, ada sebuah artikel dalam wikipedia, khusus menperjelas di mana salah silap 'fakta' yang dikemukakan. Boleh klik sini.

Juga boleh baca ulasan saya tentang Angels & Demons di sini.

Cuma boleh setuju dengan satu daripada reviu mengenai buku ini, kita takkan melihat catan The Last Supper (dan, karya seni lain) macam dulu lagi!

helaianRindu: Teringat pada Claude Monet dan catan-catan 'Impressionism'-nya. Suka benar.

Ogos 17, 2009

Angels and Demons

Judul: Angels and Demons
Penulis: Dan Brown
Penerbit: Corgi
Tahun: 2001
Bil. mukasurat: 620
Harga: RM34.90

Teruja benar membaca naskhah karya Brown ini. Agak ketagihan juga menghadam isinya. Barangkali kerana saya sukakan misteri dan organisasi rahsia (terbayangkan V.F.D kesukaan saya dalam A Series of Unfortunate Events karya Daniel Handler). Atau mungkin juga kerana deretan rekaan seni ambigram dan penyelesaian teka-teki yang menguja penaakulan. Robert Langdon dan Vittoria Vetra, dua protagonis cerita ini, dalam masa kurang daripada 24 jam perlu menjejaki pencuri partikel berbahaya dari pusat kajian nuklear CERN di Geneva, iaitu antijirim (antimatter), yang mampu menjana letupan hampir 5 kiloton. Pencuri ini turut membunuh ayah Vittoria, dan lebih mengejutkan pembunuh ini mendedahkan dirinya sebagai ahli sebuah organisasi lama--Illuminati--yang dipercayai sudah pupus 400 tahun lalu. Kini mereka muncul kembali untuk membalas dendam terhadap Gereja Katolik di Vatican City atas apa yang berlaku lama dulu dengan menggunakan antijirim tersebut. Demi tujuan itu juga, 4 orang paderi Preferiti, yakni calon utama untuk menggantikan Pope yang baru meninggal dunia, telah diculik oleh mereka.

Maka, dalam kurang dari 24 jam Langdon dan Vetra harus segera menjejaki Illuminati melalui labirin Path of Illumination yang menunjukkan kedudukan markas kuno rahsia mereka--mencari antijirim ini sebelum ia meletup dan cuba menyelamatkan paderi-paderi tersebut dalam masa yang sama.

Semakin saya membaca, semakin tertanya-tanya, yang mana fakta dan yang mana fiksi? Pelbagai reaksi pembaca timbul dari fakta-fakta yang dikemukakan oleh Brown. Dikatakan Illuminati memang oragnisasi yang wujud, tapi sejauh mana kebenaran fakta sejarah mengenai ahli dan keterlibatannya dengan Gereja Katolik seperti yang tercatat dalam novel ini?

Sebenarnya, banyak yang tidak benar kerana Brown menggunakan pendekatan pseudo-sejarah. Gabungan realitas dan mitos mengenai Illuminati ini dijalin dengan peristiwa sejarah Galileo Galilei dilarang Gereja menyebarkan fakta heliocentrism pada 1616 telah membentuk suatu sejarah fiksi yang hampir saja menyebabkan pembaca percaya. Apa yang mengejutkan saya ialah hasil seni dan skulptur sekitar Rom dan Vatican City yang dimanipulasikan oleh penulis untuk membentuk labirin Path of Illumination itu begitu meyakinkan, sepertinya, markas itu memang wujud, apatah lagi artwork Bernini yang ditampilkan sebagai petunjuk memang dibuat khas berdasarkan 4 dari elemen pancabuta--bumi, angin, api dan air.

Saya sempat menonton filemnya, dan setelah membandingbeza, biarpun banyak plot yang dibuang dari buku (prosedur biasa untuk adaptasi buku ke filem) filemnya saya rasakan lebih memberangsangkan. Lebih terasa fast-paced dan cemas, tidak seperti dalam buku. Proses penciptaan antijirim di makmal juga diubahsuai berdasarkan teknologi terkini dan lebih logikal. Penggunaan watak yang dirasakan terlalu banyak dalam novel telah diminimumkan dan diubah karektoristik yang lebih baik, di bahagian mana-mana yang patut, menyebabkan saya menonton filemnya 3-4 kali.

Saya sangat tertarik dengan lakonan Ewan McGregor sebagai chamberlain Patrick McKenna (atau dalam buku Carlo Ventresca) ketika babak ucapannya kepada paderi-paderi mengenai sains dan agama (juga ada di dalam buku, tetapi sedikit berbeza isinya) yang saya kira sangat meyakinkan. Katanya, "...science and religion are not enemies. There are simply some things that science is just too young to understand." Ingat kata-kata Einstein?

"Science without religion is lame, religion without science is blind."

Sains dan agama, khususnya Islam, adalah selari pada fitrahnya. Tidakkah kita lihat tanda-tanda agung suatu kuasa yang Maha Pencipta? Letupan Big Bang contohnya. Kalau di dunia kita lihat letupan bom di mana-mana, tapi yang muncul hanya kemusnahan, keruntuhan, dan bencana. Namun di sebalik Big Bang, letupan yang sangat besar itu membentuk satu semesta yang agung, cantik dan tiada langsung cacat-celanya--bukan orak-arik seperti kesan letupan di muka bumi! Biarpun novel ini tidak mengarah kepada Islam, tetapi dalam konteks umum, kita harus ingat agama dan sains tidak harus dipisahkan. Sains memerlukan Islam sebagai wacana dan batasnya, bukan kajian membabi buta sehingga sanggup mengklon manusia!

Lain daripada itu, Angels and Demons juga membawa banyak persoalan berat berkenaan akidah yang saya rasa elok untuk buat pembaca berfikir. Cukupkah keyakinan kita akan kekuasaan Allah? Dapatkah kita berhujah jika kita diperdebat hebat oleh para ateis? Angels and Demons sedikit sebanyak membuka persoalan ketuhanan dan keimanan ini.

Minat saya pada hasil seni dan monumen lama yang bersejarah juga antara sebab saya terus membaca buku ini. Kaya dengan haril arkitektur dan seni sekitar Rom dan Vatican City, karya ini seharusnya ditatapi bagi yang meminati bidang ini, dan tentunya lebih baik jika dapat menonton filemnya sekali. Karya Bernini seperti Habakkuk & the Angel dan Ecstasy of St. Theresa, serta rekaan senibina St Peter's Basilica oleh Michelangelo akan lebih jelas nilai estetikanya dalam filem, apatah lagi jika pembaca seperti saya tidak berpeluang melihatnya di Itali.

Pesan saya, fiksyen tetap fiksyen, maka jangan hanya terima semata, kaji dan gali maklumat dahulu, jangan terus percaya 100%.

Untuk bacaan tambahan mengenai fakta dan fiksi sejarah Angels & Demons klik sini atau mengenai sains antijirim di sini.

helaianRindu: Cuti lama, tangan ni pun dah keras agaknya. Dah lama tak melukis dengan serius.

Mac 27, 2009

Monster: Satu Ulasan

Minggu lepas, saya 'sibuk' menonton animasi Monster--sebuah karya Naoki Urasawa. Pertama kali membaca komiknya di internet suatu ketika di sekolah menengah dulu, rasa sangat teruja. Babak 1 dalam komiknya (sama juga episod 1 dalam animasi) pun sudah mula menyajikan elemen misteri dan saspens. Saya sememangnya peminat cerita misteri, maka sudah tentu misteri yang disediakan dalam Monster sudah cukup membuat saya 'melekat' ketika menonton animasinya, walaupun kualiti animasi kurang mantap dan lukisan yang tidaklah cantik mana, kalau dibandingkan dengan karya-karya seperti Death Note oleh Obata Takeshi, atau Dragon Ball karya Akira Toriyama sekalipun. Namun saya lebih suka berkongsi mengenai cerita dan plotnya yang tidak melampau jika saya katakan begitu ingenious.

Umumnya, Monster mengisahkan seorang doktor pakar neurosurgeon yang berbakat besar, Dr. Tenma Kenzou, berlatarkan negara Jerman lewat tahun 80-an. Tragedi bermula apabila Tenma tidak mengikut arahan pengarah hospital untuk menyelamatkan nyawa Datuk Bandar (Düsseldorf), sebaliknya menyelamatkan seorang budak bernama Johan Liebert yang datang dahulu sebelum Datuk Bandar. Johan, (ketika itu 11 tahun) dijumpai parah dengan kesan ditembak di dahi, dibawa ke hospital Dr Tenma bersama adiknya Anna yang mengalami trauma sehingga tidak mampu bercakap. Tekanan oleh doktor senior dan pengarah, putus tunang dan sebagainya menjadikan Dr Tenma hilang punca--sehinggakan dia meluahkan yang mereka patut mati (kerana lebih mementingkan wang dari nyawa manusia, berikutan kematian Datuk Bandar akibat kegagalan pembedahannya dan kejayaan pembedahan Johan). Beberapa hari selepas itu, misteri bermula: pengarah dan doktor senior yang menekan Tenma dijumpai mati di tempat berlainan pada waktu yang sama, dan dua beradik Liebert telah hilang! Dan Tenma mula disyaki kerana dia mempunyai motif pembunuhan yang jelas.

9 tahun berikutnya, Tenma mengetahui dalang di sebalik pembunuhan tersebut: Johan Liebert. Demi membalas jasa Tenma menyelamatkannya, Johan membunuh mereka kerana terdengar kata-kata Tenma sendiri--'mereka patut mati'--9 tahun lalu. Tenma mula menjadi suspek atas pembunuhan yang dilakukan Johan, dan bermulalah misi Tenma untuk memburu Johan. Johan, lelaki yang kini berusia 20 tahun--punya intelek dan karisma yang tinggi; gemar memanipulasi kelemahan manusia: Inilah yang mereka gelar Raksasa!

'Raksasa' atau 'Syaitan' diguna untuk merujuk kepada Johan kerana Johan merupakan calon 'the next Adolf Hitler' pada masa itu. Dr Tenma, dalam misinya mencari Johan, menyelongkar misteri di sebalik sebuah rumah anak-anak yatim yang sebenarnya merupakan pusat eksperimentasi untuk melahirkan 'askar sempurna' melalui proses psychological reprogramming--melahirkan manusia yang lahir dengan sifat kebencian dan tiada rasa kasihan. Ya, saya juga geram menonton siri ini, kerana memang Johan bersifat syaitan! Dia sanggup membunuh semua ibubapa angkat dan sesiapa yang pernah mengenalinya, biarpun mereka berbuat baik padanya. Di sini saya dapat simpulkan, bahawa dalam masyarakat kita juga wujud manusia seperti ini; sanggup menjahanamkan keluarga sendiri, merosakkan keharmonian umat. Bukankah mereka ini raksasa? Pun begitu, saya berasa sedih, bagaimana kanak-kanak ini boleh terpilih untuk ke Kinderheim 511 (rumah anak-anak yatim tersebut) untuk dijadikan manusia berhati binatang ini?

Di tengah-tengah siri ini, penonton akan mula menelusuri asal-usul Johan, kenapa dia dipilih sebagai bahan eksperimen, tujuan eksperimen dan perancang di sebalik semua yang berlaku. Begitu terkejut ketika mengetahui yang semuanya berpunca dari sebuah buku cerita! Buku cerita itu ditulis oleh Emil Schebe, yang sebenarnya mastermind dalam program eksperimen tersebut. Ceritanya adalah mengenai seekor raksasa yang sangat menginginkan nama, tapi di akhirnya, setelah mendapat satu nama, dia memakan semua orang di sekelilingnya sehingga tiada orang hendak memanggil namanya lagi. Tahu apa nama yang raksasa tersebut peroleh? Johan. Dan Johan di dunia nyata mengambil kisah ini sebagai misinya: Menghapuskan semua yang mengenalinya!

Saya suka membincangkan mengenai latar yang digunakan. Latar masyarakatnya sangat universal, walaupun terikat di beberapa tempat di German dan satu tempat di Prague, Czechoslovakia. Antagonisnya sendiri merupakan warganegara Jepun. Dalam satu episod, terdapat satu keluarga yang ahlinya terdiri dari pelbagai bangsa, datang dari pelbagai negara, etrmasuklah Turki, Vietnam, dan banyak lagi yang sebenarnya merupakan mangsa dari pembunuhan ahli keluarga mereka. Keharmonian perlbagai budaya yang ditonjolkan sangat menyerlah, khususnya dapat dilihat pada makanan yang dimasak setiap hari. Setiap hari, kata mereka, mereka sangat beruntung kerana dapat merasa masakan dari pelbagai negara. Begitu juga kita, masyarakat Islam, sepatutnya perlukan pada toleransi. Saya masih ingat pada falsafah seorang rakan Cina saya--falsafah yang diambil ketika memakan Yee Sang. Pada ketika itu semua mengambil makanan itu bersama-sama. Tiada permusuhan. Tiada yang dapat lebih dan kurang, masing-masing boleh ambil ikut suka. Bukankah Islam juga sifatnya begitu? Adil.

Satu lagi kekuatan karya Urasawa ini ialah dari segi perkembangan jalan ceritanya, serta plot yang ditampilkan. Ya, setiap watak punya peranan yang besar. Dari sekecil-kecil perkara, yang mungkin kita anggap tidak penting, sebenarnya punya signifikasi yang besar dalam mengolah sebab dan akibat dalam Monster. kadang-kadang, pembantu pejabat yang sering terlupa mengunci pintu, boleh jadi 'penyelamat' dari dibunuh oleh penjenayah! Ini dapat disaksikan ketika Dr Reichwein, bekas pensyarah Dr Tenma di universiti, hampir-hampir dibunuh oleh Roberto, orang bawahan Johan, tetapi dapat menyelamatkan diri kerana pembantu pejabatnya terlupa mengunci pintu belakang. Ketelitian dalam membentuk sebab dan akibat ini memang menjadikan Monster satu karya yang mantap. Belum lagi dikira perkaitan yang kompleks dalam suku akhir siri ini. Terdapat banyak watak dan imbas kembali saling berkait, misteri dan rahsia terbongkar satu per satu, sampaikan pada episod akhir juga, cerita ini sebenarnya masih belum punya penyelesaian. Apa, anda mengharapkan happy ending? Jangan; bukan dalam Monster, sama sekali jangan ada harapan sebegitu.

Begitupun, setiap perkara ada kelemahannya. Walaupun plotnya mantap, tetapi unsur arak dan seks banyak diselitkan dalam Monster. Eva, bekas tunang Tenma contohnya, sering dilihat mabuk kerana tertekan dalam hidup. Braun yang menyiasat kes Johan juga ketagihan arak sehingga membawa pada pembunuhannya. Johan pula sanggup meracun fikiran kanak-kanak dengan menghantarnya ke kawasan pelacuran di sebuah bandar, sampaikan budak itu hampir membunuh diri kerana apa yang dilihatnya. Jelas, Monster sebuah karya yang bukan untuk kanak-kanak kerana pengaruh negatif saya rasakan begitu kuat. Tanpa ada fikiran yang rasional dan iman yang mantap kanak-kanak mungkin akan terpengaruh (ada juga babak menunjukkan seorang budak pergi ke bar dan meminum segelas arak). Monster adalah sebuah karya yang lebih tertumpu pada sosial dan masyarakat. Banyak juga simbolik yang menguja penaakulan dan interpretasi penonton, contoh mudahnya buku-buku cerita yang dihasilkan oleh Emil Schebe yang saya sebutkan sebelum ini, yang banyak berkait dengan masyarakat.

Keseluruhannya, saya memang suka dengan Monster. Walaupun tidak faham sepenuhnya (sebab tak terhadam semua maklumat--saya menonton hampir 15 episod sehari, dalam masa 5 hari, tak mahu mengganggu masa ulangkaji kononnya) saya masih suka kerana elemen misteri yang disediakan lain dari yang lain. Ada satu episod, yang pada waktu itu rakan Tenma menyiasat 3 kes bunuh berbeza--tetapi dia menyedari 3 pembunuhan itu disuruh oleh orang yang sama, tetapi dilakukan oleh 3 orang yang tiada kaitan supaya orang tidak akan mengesyaki yang dalangnya adalah orang yang sama: Johan. Ingenious, bukan? Kalau mahu tahu lagi tentang Raksasa bernama Johan ini, boleh meneliti komiknya, atau tonton animasinya (yang berjumlah 74 episod kesemuanya, haha).

Mac 24, 2009

Mikhail

Judul: Mikhail
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Tahun Terbit: 2009
Penerbit: Alaf21
Harga: RM19.90

Seperti yang dijanjikan, saya sempat juga menulis entri ini. Sudah lama juga tak membaca buku secara serius. Inipun mencuri-curi masa studi. Tiga minggu lepas sibuk dengan peperiksaan percubaan, dan minggu lepas saya pergi ke kem BTN. Tidak banyak masa membaca seperti dahulu lagi. Mungkin selepas tamat A-level saya boleh membaca sepuasnya semula.

Berbalik pada buah tangan terbaru Ramlee, jangkaan awal saya sebenarnya berbeza dengan impak yang dibawa oleh novel ini kepada saya. Awalnya, saya meramal Mikhail tidak ubah seperti beberapa novelnya sebelum ini, yang punya lambakan watak yang memeningkan di awal cerita. Tapi kali ini watak-watak yang disajikan adalah optimum, dan setiap watak mempunyai signifikasi tersendiri dalam mengembangkan plot cerita. Perkaitan yang jelas antara watak menjadikan cerita tidak sebegitu kompleks. Saya masih ingat Ungu Karmila, di awal cerita karektor cerita di awalnya sedikit banyak, dan kadang-kadang mengelirukan. Saya juga sudah menyatakan pendapat tentang ini dalam ulasan Hijab Sang Pencinta.

Melihat kepada jalan cerita Mikhail, saya suka sekali misteri yang disajikan. Kisahnya mengenai seorang pembunuh profesional yang bernama Mikhail, dilatih oleh Dickens untuk membalas dendam terhadap keluarganya, keluarga Tuan Sadon, yang dibunuh oleh 4 orang lelaki yang bergelar ahli korporat sekarang. Komplikasi timbul bila Dickens mengarahkan dia membunuh anak kepada Halim, salah seorang dari empat yang terlibat dalam kes 16 tahun dulu. Dia jatuh cinta pada Reina Raihana, anak kepada Halim. Pemburu jatuh cinta pada mangsa? Mustahil dia akan berjaya! Semenjak dia gagal menembak Raihana, dia menyedari terdapat seorang lagi pembunuh sepertinya yang sedang memburu dia. Dia mengesyaki Dickens terlibat dalam komplot ini. Lalu misi mencari kebenaran bermula.

Mikhail mempunyai penyakit paranormal--apabila terkena tujahan sinar matahari atau cahaya yang tajam, dia akan terpindah ke satu alam lain. Dalam alam itu, dia berada di sebuah kampung di Utara Malaysia, dan di dalamnya dia melihat seorang penagih dadah bernama Tahir. Mikhail menceritakan kisah-kisah delusinya kepada Raihana dan mereka pun mengembara ke Utara untuk membongkar rahsia di sebalik masa silamnya. Ketika itulah mereka mengetahui perkara sebenar: Mikhail bukan anak kepada Tuan Sadon. Lalu, siapa Tuan Sadon? Dan, siapa pula Tahir yang hadir dalam alam paranormal itu?

Sehingga Mikhail menyedari siapa dirinya yang sebenar, saya rasa jalan cerita Mikhail sedikit mendatar. Sampai sahaja babak ini, cerita berkembang pantas. Pengkhianatan dibongkar. Rahsia demi rahsia diketahui. Identiti Mikhail juga sebenarnya melibatkan sebuah pertubuhan rahsia besar di seluruh dunia yang menggunakan wang $1 USD sebagai suatu killer signature setelah melakukan pembunuhan. Teruja sekali bila mengetahui watak utama adalah Mikhail hanyalah suatu identiti international hitman!

Pembawaan watak jahat sebagai watak utama adalah satu lagi kekuatan novel ini. Bukan mudah mengembangkan watak jahat sebagai watak utama. Kebiasaannya, watak baik akan lebih mudah dibawa sebagai tunjang. Pembunuh pun boleh jadi watak utama. Suata yang menarik dan di luar kebiasaan. Konflik dalaman yang berlaku kerana cinta juga membangkitkan satu pengajaran: Kejahatan boleh dibius dengan cinta!

Umumnya saya menyukai Mikhail. Jalinan sebab dan akibat yang dipertontonkan, selitan imbas kembali yang mengujakan juga menarik minat saya. Membaca Mikhail adalah seperti melihat sebuah filem antarabangsa tetapi latarnya di Malaysia. Ternyata, Ramlee memang penulis novel thriller terbaik Malaysia. Ya, saya berpuas hati dengan karya Ramlee yang ini. Boleh beri 4 bintang dari 5!


September 18, 2008

Membuka Hijab Sang Pencinta!

Judul: Hijab Sang Pencinta
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Tahun Terbit: 2008
Penerbit: Alaf 21
Mukasurat:
Harga: RM19.90

Volum akhir; Trilogi Bagaikan Puteri telahpun tamat dengan kemunculan buku ini. Saya tidak sempat pun menulis resensi untuk Cinta Sang Ratu. Tapi tak apa saya ingin teruskan juga, mungkin buku kedua itu lain kali. Apapun ini amaran buat yang belum membaca: Sedikit sebanyak entri ini mengandungi spoiler, jadi fikir dahulu sebelum habis membacanya!

Tentang buku ini: Rasa rindu terhadap keluarga menggamit hati Saifudin merentasi Tanah Sumatera untuk pulang ke Punggor, Tanah Melayu. Namun kejahatan tetap memburunya. Seolah-olah mereka merupakan bayangnya.

Berita kepulangannya sampai ke pengetahuan Sultan Melaka. Berang kerana tidak dapat mengahwini Haryani, apatah lagi mengetahui kematian Sunan di tangan laksamananya Hang Tuah itu palsu--baginda menitahkan Panglima Awang Bagan memburunya. Demi keselamatan keluarga tercinta, Saifudin bersembunyi di sebuah gua. Dan hijab semesta masa pun terbuka buat kali ketiga.

Kejahatan tetap mengekori Saifudin, biar di abad 21 sekalipun. *Diedit dan diringkaskan dari blurb.

Pendapat saya: Sejujurnya saya sedikit bosan dengan stail penulisan RAM. Yang saya maksudkan ialah kesesakan watak di awal cerita yang tak berkaitan antara satu sama lain dan dicantumkan pada tengah atau akhir cerita. Kebanyakan novelnya ambil pendekatan itu. Juga, bosan dengan stail cerita yang kadangkala terlalu mudah diteka kesudahannya. Contoh terdekat Ungu Karmila. Kita mudah mengagak bunga ungu itu yang menjadi dalang. Tak dinafikan ada suspense tapi terlalu sekejap. Hijab Sang Pencinta kejutannya hanya di akhir. (Dan terlalu sekejap). Ada juga watak yang tak patut ditambah tetapi tetap dimasukkan. Contohnya kemunculan Putri Kober Gandring yang motifnya tersangatlah pelik. Ingin membalas dendam pada Hang Tuah, Kesultanan pula yang ingin dimusnahkan. Rupanya signifikan kemunculan puteri ini adalah peristiwa yang akan membawa Sunan kembali ke Tanah Melayu, itu saja, tapi wataknya macam terlalu diberatkan berbanding antagonis sebenar yakni Taghut. Ya, satu lagi keanehan ialah betapa mudahnya Panglima Awang Bagan menemui Saifudin di Palembang. Saya faham Saifudin itu punya naluri sufi yang membantunya dalam kembara. Tapi instinct si panglima ini sedikit sukar untuk diterima. Apa logiknya dia dapat menaakul Saifudin akan ke sana? Instinct orang biasa selalunya tak boleh pakai.

Nah, dahpun usai bercerita tentang kelemahan novel ini. Mari kita intai kekuatannya pula. Yang paling menyerlah ialah ketika peralihan zaman berlaku kepada Laksamana Sunan. Perubahan kurun 15 kepada zaman teknologi abad 21 merunsingkan Sunan. Unsur humour banyak kedapatan di story arc yang ini. Tergelak pula bila membaca bahagian Sunan memakai seluar jeans dan t-shirt. Ketat! Haha. Terpaksalah ayah Dani tolong betulkan seluar tu. Masa Saifudin guna telefon pun nak tergelak. Mana taknya, tak ke pelik bagi dia gagang bercakap! Haryani pula? Serasa saya dia memang sesuai buat Saifudin. Apatah lagi dia wanita pertama menambat hati Saifudin. Apa kesudahannya? Kahwin atau tidak? Jeng..jeng..jeng..(tak sanggup nak dedahkan, kesian yang tak baca lagi)

Dalam Cinta Sang Ratu, masih ingat Rajikin yang memperdaya Haryani ke Manggala? Di akhir CSR Rajikin menjumpai baka awal manusia serigala dalam bentuk jenglot. Dalam Hijab Sang Pencinta pembaca dikisahkan akan asal-usul Manggala yang diasuh Taghut sedari mula 'dicipta' sehinggalah dia menjadi jenglot tersebut. Yang ini saya suka. Kesinambungan misteri dari novel sebelumnya menambahkan perasa cerita. Namun sedikit janggal rasanya bila Manggala atau nama asalnya Cheng-De yang berasal dari China itu (dia ini khunsa, fakta ini janggal juga) tiba-tiba bila sampai di Sumatera boleh pula berbahasa Indonesia sih!

Kesudahan yang simbolik juga jadi penarik cerita. Pada awalnya saya kecewa kerana hampir separuh daripada buku ini Haryani tidak muncul-muncul. Tapi ia terubat di bahagian suku akhir bila Haryani kembali jadi protagonis wanita. Hmm, sepatutnya Haryanilah heroin dalam siri ini, tapi dalam buku kedua dan ketiga, macam side character pulak si Haryani ni. Tak apalah, epilognya memuaskan.

Sebelum membaca novel ini, dua fikiran berlegar di ruang minda:
1) Sunan tak akan dapat hidup bersama Haryani kerana faktor zaman.
2) Sunan kena tembak. Atau Haryani. Mungkin salah seorang mati. (Membawa kepada point pertama yang diorang tak boleh bersama dalam satu zaman)
Adakah tekaan saya benar? Sekali lagi..jeng..jeng..jeng..

Cadangan: Secara keseluruhan Hijab Sang Pencinta memang novel yang berbaloi dibaca, apatah lagi ingin melengkapkan koleksi trilogi Bagaikan Puteri. Kalau 'berhenti' setakat Bagaikan Puteri pun rasanya dah ok. Dua sekuel selebihnya bagi saya macam spin-off Saifudin saja. Mungkin dibaca untuk memuaskan hati (?) saja. Bagaikan Puteri saya kira lebih segar berbanding yang ini. Kalian nilai sendirilah, itu lebih baik. P.S: Cover kali ini menarik, syabas buat team grafik Alaf 21! (Setelah kecewa dengan cover Cinta Sang Ratu yang seperti menciplak Bagaikan Puteri hampir 100%)

Februari 06, 2008

Ungu Karmila


Judul: Ungu Karmila (UK)
Penulis: Ramlee Awang Murshid (RAM)
Penerbit: Alaf 21
Tahun: 2008
Harga: RM19.90

Ah..dapat juga saya habiskan UK. Sebenarnya sampai bahagian tengah saya teragak-agak untuk meneruskan bacaan. Sebabnya? Novel thriller Ramlee kali ini mengambil genre seram. Saya pula, tidak malu untuk diakui, seorang yang jenis cepat cuak bila bercerita bab-bab hantu ni. Waktu malam, saya tak berani baca UK disebabkan saya duduk berseorangan di dalam bilik. Masa siang, saya gunakan sepenuhnya menelaah novel ini. Akhirnya habis jugak.

Em, UK menceritakan tentang sebuah vila di Puncak Rimba, Cameron Highlands. Vila tersebut, yang dinamakan Vila Sunyi, merupakan kediaman impian yang dibina sempena ulangtahun perkahwinan pertama Arif dan isterinya Karmila. Mereka berpindah di situ dan berhasrat melakukan kajian untuk menghasilkan bunga baka baru di samping menguruskan perniagaan jualan bunga di Kuala Lumpur.

Namun penemuan baru sejenis bunga liar di hutan membuatkan keluarga Arif yang bahagia kacau-bilau, sehingga berakhir dengan tragedi berdarah. Masyarakat orang asli yang tinggal berjiran dengan Arif percaya itu semua terjadi kerana Arif melanggar pantang-larang mereka dengan menjejaki kawasan larangan dan mengambil bunga berpuaka itu. Vila itu akhirnya terbiar dan tiada siapa yang berani mendekati. Setelah berlalu beberapa tahun..kematian berlaku lagi, kali ini menimpa Jikon, seorang pemuda Orang Asli yang seperti digamit memasuki vila itu.

Ema, ingin membongkar rahsia kematian abangnya Jikon di vila itu. Sementara itu, Arafat, abang Arif mengupah beberapa orang untuk membongkar pembunuhan adiknya di situ. Namun, tragedi demi tragedi berlaku...rahsia dan dosa silam masing-masing mula mengejar mereka.

Bunga itu...Arif namakan sempena isterinya. Ungu Karmila.

*******

Sejak diperkenalkan dengan novel RAM, saya setia mengikuti karyanya. Tidak mengecewakan. Pasti ada ilmu yang diperoleh setiap kali membaca novelnya. UK contohnya dapat memberi saya perspektif berbeza terhadap kejadian-kejadian paranormal. Memang kita sebagai umat Islam percaya dengan kehadiran makhluk ghaib di sekeliling kita, tetapi dalam UK, Ramlee juga menerangkan kewujudan hantu berdasarkan aspek sains. Kejadian seram yang melanda Vila Sunyi itu juga dijelaskan secara saintifik. Bukan itu saja, setiap novel RAM akan disertakan dengan rujukan lengkap dan juga beberapa muka surat untuk segmen ilmu, bagi menerangkan sedikit sebanyak tentang apa yang terjadi dalam setiap karyanya.

Saya juga ingin memuji penulis kerana mampu membuat orang yang membaca jadi cuak. Mampu 'menghidupkan' suasana seram. Arkk, tak mahu saya bayangkan suasana seram tu. Terutamanya bab 'wanita bermuka pucat' berambut panjang...hee..Pernah saya baca UK pada waktu malam, untuk habiskan cepat sikit, tapi dek kerana kecuakan yang agak kuat, saya tak jadi baca dan terus tidur. Haha. Selain itu, saya juga suka cara watak-watak dalam UK dikaitkan. Pada awalnya kita rasakan mereka tiada sebarang perhubungan antara satu sama lain, tapi sesampai di pertengahan UK, kita sudah boleh nampak kaitan di antara mereka.

Untuk tahu dengan lebih lanjut, klik sini untuk ke laman web alaf 21. Atau lebih senang, beli saja terus di kedai buku berdekatan. Alami keseramannya sendiri (bagi yang tak macam saya, mungkin tak rasa kot?)!

*Ammar, baca cepat! Selalu sangat suruh aku pilihkan buku untuk ko. Nah nak sangat.


*Karya RAM dalam genre yang sama ialah Ranggau. Seputar kisah gadis-gadis Sabah yang dijumpai mayat mereka dalam keadaan mengerikan, hilang mata dan buah pinggang. Apa kata beli sekaligus dan rasai kejutan berganda!

Januari 06, 2008

The Count of Monte Cristo


Judul: The Count of Monte Cristo
Penulis: Alexandre Dumas [diadaptasi oleh Mitsu Yamamoto]
Harga: RM 9.90
Penerbit: Baronet Books

Alahai, berat hati rasanya meninggalkan rumah di Kuala Lipis ini. Pulang semula ke pusat pengajian untuk semester kedua Isnin ini. Banyak lagi rasanya perkara yang tak sempat dibuat di rumah. Hmm, masa tak mengizinkan. Atau saya yang membuang masa sebenarnya? Eheh.

Begitu juga watak utama cerita ini (Edmond Dantes) yang berat hati meninggalkan rumahnya. Ayahnya. Tunangnya Mercedes. Berat hati kerana terpaksa dipenjarakan atas fitnah saudara dan rakan sekerjanya, yang dengki dengannya.

Sepupu Edmond, Fernand dengki padanya kerana Fernand ada hati dengan tunang Edmond, tetapi Mercedes telah berjanji hanya akan mengahwini Albert, maka melepaslah dia nak dapatkan Mercedes. Perlantikan Edmond yang masih muda (berumur 18 waktu itu) sebagai Kapten kapal Pharaon, menggantikan kapten asalnya yang telah mati, menimbulkan hasad pada rakan sekerjanya Danglars, yang ingin sekali menjadi kapten kapal tersebut. Kedua-dua lelaki ini kemudiannya berpakat menjatuhkan Edmond lalu memfitnahnya atas tuduhan membuat pakatan dengan Napoleon untuk menjatuhkan pemerintahan King Louis XVIII pada waktu itu atas bukti2 tertentu.

Edmond yang tidak bersalah menyangkakan semuanya sekadar salah faham dan dia akan dipenjarakan buat sekejap sahaja sementara menanti salah faham itu berakhir. Tunggu punya tunggu, masa berlalu, 1, 2, 5, 10 tahun..ah lamanya takkanlah tak sedar-sedar lagi. Maka dikurunglah dia di penjara yang bernama Chateau d'If itu selama belasan tahun.

Masa berada di penjara dia bertemu dengan seorang paderi tua yang menjadi rakannya. Mereka berpakat melarikan diri. Namun paderi tersebut tak sempat lari bersamanya kerana hilang nyawa lebih dahulu, dengan meninggalkan sejumlah harta yang tersangatlah banyaknya kepada Edmond yang tersembunyi di Pulau Monte Cristo sebelum menghembus nafas terakhir. Dengan mengambil nama sempena tempat ini, dia menggelarkan dirinya The Count of Monte Cristo setelah berjaya keluar dari penjara. Menggunakan harta karun peningglan paderi itu, Edmond seterusnya merancang plot untuk membalas dendam kepada orang2 yang telah mengkhianatinya dahulu.

Plotnya memang seronok dibaca. Terutama waktu dalam penjara dan waktu membals dendam. Bukanlah bermaksud saya suka melihat orang2 jahat ini kena balas dendam dengan Edmond, tidak. Tidak sama sekali. Bukan juga maksudnya saya suka tengok orang kena bala dan kata "padan muka" pada orang tersebut. Tapi saspennya ada di situ, waktu membalas dendam tu. Nak tahu jugak apa yang Count balas pada orang2 yang buat jahat pada dia dulu. (Ada jugak nak tersebut padan muka waktu tu, hmm yelah Edmond tak bersalah pun, sia-sia masa terbuang berbelas tahun menderita disebabkan 'jasa' diorang, jadi sesuailah dapat balasan balik kan)

Satu lagi klasik yang menarik selain Frankenstein. Akan saya cari lagi judul-judul yang lain. Sampai bertemu lagi.

Jun 13, 2007

Tak Ada Logika, Wahai Puteri

Haryani dan Laksamana Sunan... saling jatuh cinta. Pertemuan kedua insan ini dalam satu dimensi di luar batas jangkauan manusia, malah sukar diterima lojik akal. Mereka dari zaman yang berbeza.

Haryani terperangkap dalam perkelahian antara kebaikan dan kebatilan manusia. Perjalanan yang panjang, penuh ranjau dan cabaran membuatkan Haryani dan Saifudin mendiamkan sahaja cinta yang terpendam.

Dani... pertama kali melihat Haryani yang terlantar koma di hospital terus jatuh hati. Dia berusaha membawa Haryani kembali semula ke abad 21.

Antara dua lelaki, Haryani terpaksa membuat pilihan. Antara dua nyawa dalam jasadnya; sama ada tinggal bersama Laksamana Sunan pada penghujung kurun ke 15 atau kembali semula ke abad 21. Tiada dua kehidupan dalam zaman yang berlainan. Salah satu kehidupan itu mesti mati!

*********

Saya senang sekali menelusuri perjalanan kisah 'epik thriller' ini. Sesuatu yang berbeza yang dibawa oleh penulis Ramlee Awang Murshid dalam novel-novel sebelumnya. Epik yang membawa pembaca menerobos dunia paranormal - yang tak mustahil berlaku dengan izin Allah. Begitulah lebih kurang fasal buku Bagaikan Puteri ini - kisah Haryani, gadis di abad ke-21 yang koma; yang terhantar ke penghujung kurun ke-15 semasa dalam komanya dan berjumpa Saifudin di sana. Kita biasa baca/dengar macam-macam cerita orang putih fasal time-travelling kan, jadi ini kiranya time-travel versi Melayu punyalah.

Amnya, kisah ini berlandaskan: Kebaikan pasti akan mengalahkan kejahatan (kata Ramlee dalam Cinta Sang Ratu). Memang best. Tetap berinformasi pulak tu. Unsur saspens, mistik dan thriller yang memang wajib ada punyalah dalam novel ni. Dengan manusia iblisnya, hantu balan-balannya...hmm, setuju tak kalau saya kata buku ni sesuai dijadikan filem? (buat undian okey juga ni) Ah, satu lagi, yang bagusnya, Saifudin tu seorang yang warak, sangat taat kepada ajaran agama. Macam ustaz mudalah. Jadi banyaklah juga diselitkan hadis dan ayat-ayat Al-Quran. Jadi tak rugi kalau baca. Bukan sekadar cerita saja, tapi banyak ilmu yang boleh kita ambil. Siapa yang tak baca lagi, bolehlah cuba! (Saya rasa mungkin ramai dah baca sebab ia terbitan 2005; sekadar cadangan bagi yang mencari bahan bacaan)

Sekuel Bagaikan Puteri - Cinta Sang Ratu - tak kurang hebatnya. Tapi serasa Bagaikan Puteri lebih memikat. Mungkin nanti Cinta Sang Ratu pula. Sudah habis dibaca sebenarnya.

*Agaknya boleh ke saya teruskan blog ni nanti ya, masa dah mula belajar semula nanti? Waktu cuti macam ni bolehlah tulis tiap hari...

Related Posts with Thumbnails