Judul: Fikah Luar Negara: Mudah Praktik Islam di Mana-mana
Penulis: Maszlee Malik, Hamidah Mat
Penerbit: PTS Millenia
Tahun: 2008 (cet. kedua)
Bil. mukasurat: 137
Harga: RM19.00
Sebelum melanjutkan pelajaran saya sempat membeli buku ini secara online, tetapi tak dapat membawanya sekali atas alasan berat beg yang akan dibawa sudah melebihi had berat yang ditetapkan. Sesampai di rumah senior di Birmingham saya terpandangkan naskhah yang serupa di rak bukunya.
Maka sementara tiada bahan untuk dibaca lebih baik saya pinjam dahulu, lagipun buku saya yang di Malaysia itu takkan mahu tunggu saya balik baru hendak dibaca, betul?
Dahulu, di sekolah, antara yang terawal saya belajar di dalam usrah adalah mengenai Islam dan ciri-cirinya. Islam disifatkan dengan syumul, yakni sempurna. Dan syumulnya Islam terletak pada pelbagai perkara, sempurnanya pada ketelitian syariat, dan bukan sahaja implementasinya sempurna, Islam juga ingin menyempurnakan fitrah kita sebagai manusia. Malah melalui pembacaan buku ini saya dapati timbul lagi dua ciri lain Islam: Thabat dan juga Murunah.
Tetap dan anjal atau fleksibel.
Apa maksudnya di sebalik ciri-ciri ini? Biar saya cuba memberi satu tamsilan. Iklim empat musim termasuklah musim sejuk di sesetengah negara menyebabkan sedikit sukar untuk kita berwuduk kerana air yang terlampau sejuk (ataupun air paip dari heater yang terlampau panas). Malah apabila tiba bab membasuh kaki untuk wuduk, di England contohnya, digambarkan orang tempatan sebagai tidak beradab, malah akan mengotorkan tandas-tandas. Yalah, demi membasuh kaki, kaki diangkat masuk ke sinki, malah memercikkan air di sana sini. Tentu umat Islam tidak mahu dipandang serong dalam hal ini. Ya, thabat iaitu tetap itu ikut terpancar darihal ini. Kerana untuk sah solat kita, wuduk mesti dilaksanakan terlebih dahulu dalam keadaan dan suasana apa sekalipun, jika tidak boleh perlulah bertayammum. Ini adalah thabat dan takkan berubah sama sekali. Namun, rukhsah (keringanan) timbul sekiranya ada masyaqqah (kesukaran) mengiringi kehidupan seharian kita. Di sinilah muncul ciri Islam yang ketiga disebutkan tadi: Murunah, iaitu fleksibel. Cara pelaksanaan solat dan wuduk itu mampu berubah berdasarkan situasi semasa kita pada ketika itu.
Saya suka berkongsi kata-kata penulis dalam buku ini mengenai sikap jahiliyyah dan taksub kepada kejahilan. Katanya, rakyat Malaysia khususnya, kebanyakannya terlalu berpegang kepada satu-satu ajaran sahaja. Ada juga segelintir yang terlalu berpegang pada kata-kata tok guru mereka dan langsung tidak membuka ruang untuk tok guru lain mengutara pendapat sehingga menuduh yang itu dan ini sesat dan sebagainya. Malah bagi saya sendiri yang mengalami perubahan suasana di dalam dan luar negara juga ingin mengatakan yang kita di Malaysia sudah terlalu 'biasa dengan kebiasaan' sehinggakan minda kita tertutup untuk menerima pelaksanaan ibadah yang berbeza dengan apa yang dilakukan kita sehari-harian. Apatah lagi, masyarakat kita suka benar melatah, cepat melenting dan memarahi bila timbul isu sekecil 'imam tak membaca bismillah dalam al-Fatihah' sebagai contoh.
Padahal, jika kita memahami isi kandungan buku ini kita akan faham bahawa Islam itu sangat mudah, ia cuba memudahkan dan meringankan penganutnya! Solat jamak contohnya, bukan saja rukhsah untuk orang yang bermusafir, malah jika kita melakukan kerja yang sangat sibuk pun kita dibolehkan menjamakkan solat, cuma syaratnya berbeza. Itulah, saya terkenang kuliah Fiqh Musafir yang disampaikan oleh Ustaz Erfino Johari Rabu lalu, dia mengatakan rakyat kita terikat dengan pemusatan (centralization) dan standardisasi. Maknanya, kita telah dipusatkan dengan pembelajaran pada satu-satu kaedah khusus, dan diletakkan satu silibus standard dalam masalah-masalah fiqh sebegini. Sebab itu boleh timbul di negara kita istilah 'Fiqh Luar Negara' yang tak pernah wujud dalam 'kamus' fiqh, sedangkan permasalahan itu boleh saja diamalkan di mana-mana pun, dalam negara pun boleh terlaksana!
Namun harus diingat, ibadah itu tidak sah jika tidak disertai dalil. Memang islam itu mudah, tetapi jangan sesekali kita mempermudah-mudahkan mahupun mengambil mudah hal-hal ibadah ini. Ibadah tidak menerima inovasi. Contohnya apabila Amina Wadud yang menggemparkan kita dengan memimpin solat Jumaat dengan makmum perempuan dan lelaki bercampur dalam saf yang sama. Dengan sebab itulah, dalam perbincangan fiqh buku ini ditulis dengan dalil-dalil dari hadis yang menyelongkar perbezaan situasi dan pendapat demi memudahkan pembaca memahami letak duduk pelaksanaan ibadah dengan sumber yang betul.
Pun begitu, Ustaz bertanya pada kami: Kenapa wujudnya mazhab dan pandangan berbeza, apakah muslim tak boleh bersatu dalam aspek ini? Bukankah mereka menggunakan hadis yang sama sebagai rujukan?
"Lebih banyak pandangan dalam fiqh, bukan menandakan keserabutan, tetapi kayanya ilmu Islam; ia bukan kekangan tapi kemudahan!" Begitu jelas ustaz.
Selain perkara-perkara solat, turut dimuatkan adalah persoalan makanan seperti babi, pemakaian dan juga khutbah. Bab khutbah itu saya setuju benar dengan isinya, tapi tak dapatlah saya nak kongsi semua sekaligus. Mungkin lain kali sahaja.
Fikah Luar Negara sangat sesuai dijadikan panduan bagi mereka yang berkelana di luar Malaysia. Tetapi ingat, sebenarnya banyak yang boleh diamalkan di Malaysia sendiri. Mari kita sama-sama berfikiran terbuka dan terus mengkaji dan meyelidik permasalahan dalam agama.
Faqqihna, ya Allah.
HelaianRindu: 'Berbanggalah jadi umat Islam!' pesan Ustaz Erfino Johari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan