Memaparkan catatan dengan label bukan fiksyen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bukan fiksyen. Papar semua catatan

September 01, 2011

Kalaulah Tunku Abdul Rahman Berkicau

Selamat hari raya dan selamat hari kemerdekaan ke-54! Tahun ini hari raya jatuh sehari sebelum hari Kemerdekaan di Malaysia. Tidak hairanlah iklan di kaca televeisyen dan media semuanya menunjukkan kekreatifan masing-masing mengobar-ngobarkan nilai dalam dua perayaan ini. Sebelum ini macam-macam dah digabungkan dengan hari raya - tahun baru cina dengan Gongxi (Kongsi) Rayanya, Deepavali dengan DeepaRaya, macam-macamlah pula Melayu ni. Kadang-kadang terlebih kreatif sampai tak mengenal batasnya. Tapi itu lain cerita.

Bila bercerita tentang kemerdekaan pula, tentulah terkenang peristiwa yang selalu kita pelajari di sekolah -  kisah Tunku Abdul Rahman dengan usahanya membebaskan Tanah Melayu, dan jauh lagi sebelum itu, bagaimana bermulanya sebuah penjajahan di Kepulauan Melayu dan kisah-kisah perjuangan rakyat menentangnya. Saya rasa ramai generasi muda sekarang, termasuklah saya, mungkin sukar sekali menghargai kemerdekaan dan keamanan yang kita genggam sekarang. Atas pelbagai sebab semestinya - kerana kita terlalu jauh dari mengalami kesusahan generasi lalu, dan hanya take it for granted sahaja. Malah, mungkin kami yang muda ini kurang ilmu, kurang membaca, kurang pengetahuan mendalam tentang perjuangan dan sejarah terdahulu.

Berbeza pula dengan rakyat Arab di Timur Tengah. Bermula dengan kebangkitan rakyat di Tunisia, negara-negara Arab mula bangun menentang pemerintahan kejam oleh bangsa sendiri. Dan kesusahan yang ditimpakan oleh mereka, anak muda yang merasa azabnya. Revolusi yang dilaksana, anak mudalah tunggaknya. Merekalah yang memperjuangkan sendiri nasib mereka, dan setelah itu harga sebuah kebebasan itu tentulah tersangat manis, dan pastinya akan cuba dikekalkan sedaya mungkin.

Tweets from Tahrir, adalah sebuah naskhah yang menyoroti detik-detik bersejarah kebangkitan rakyat di Mesir menentang diktator Hosni Mubarak. Berpusat di Tahrir Square, mereka yang hadir untuk menyatakan hasrat mereka supaya Mubarak berundur, menggunakan teknologi untuk merakam saat-saat penting itu. Seperti sebuah lintas langsung, setiap butir pengalaman berharga, perasaan, buah fikir, khabar angin, amaran dan pengumuman semuanya dikemaskini melalui laman sosial Twitter. Sesuai dengan pelaksana yang kebanyakannya terdiri dari golongan shabab, teknologi yang digunakan oleh mereka digunakan sebaik mungkin. 


Apabila 'kicauan-kicauan' (tweets) ini disusun bersama, ia menjadi sebuah cerita. Penulis yang berbeza, tetapi cerita yang sama, rasa yang sepunya. Penggunaan Twitter sebagai medium menyampai berita menampakkan konteks zaman berlakunya peristiwa ini. Jika mungkin sebelum ini kita selalu disajikan dengan fakta-fakta dan kisah sejarah melalui orang ketiga (penulis buku dsb), dalam buku ini pengalaman menuntut kemerdekaan itu datang terus dari mereka yang melihat dan merasa dengan mata kepala mereka sendiri.

Apatah lagi bila kemaskini status di Twitter hanya mengehadkan jumlah aksara sebanyak 140 - menjadikan setiap 'kicauan' yang dipos di laman tersebut ringkas, tetapi padat dengan emosi. Kadangkala selepas dicederakan pun mereka masih sempat mengemaskini status mereka pada waktu itu. Semangat mereka sangat mengagumkan, sehinggakan ada yang sanggup menelefon ke luar negara, meminta kenalan mereka untuk mengemaskini bagi pihak mereka (kerajaan Mesir pernah menyekat akses internet selama sehari).

Saya sudah menamatkan bacaan beberapa minggu yang lepas, tetapi dalam peluang menyambut kemerdekaan ini baru saya terfikir idea untuk berkongsi. Cuba anda bayangkan, sekiranya di dataran Merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 itu, mereka yang menyaksikan perjuangan menuntut kemerdekaan dari British sempat merasai teknologi untuk berkicau ini, sudah tentu ia menjadi satu kisah yang sangat bermakna, sama seperti mereka yang menuntut hak rakyat di Tahrir Square awal tahun ini. Tentu satu perkara yang epic seandainya sejurus selepas Tunku Abdul Rahman melaungkan kalimah keramat itu, beliau mengemaskini status dengan satu perkataan dalam huruf besar: MERDEKA! 

Saya membayangkan, status sebegitu, yang dilaungkan dengan rasa lega dan puas, sudah tentu bercampur selautan rasa, biarpun hanya satu perkataan tanpa suara ditayangkan di seluruh dunia! Dan jika anak-anak merdeka pada zaman akan datang membaca sorotan sejarah itu, barangkali dorongan untuk terus memahami harga kemerdekaan akan sentiasa subur.

Barangkali. 

Semua penyataan saya di atas masih dipenuhi dengan kata-kata 'mungkin', 'seandainya', 'jika' dan sebagainya, padahal yang perlu dididik adalah diri sendiri, kerana mana mungkin sejarah bisa diubah. Tetapi, seperti terkesannya saya membaca detik-detik bersejarah melalui buku ini, seperti itulah gambaran saya apabila berlaku perkara yang sama di dataran Merdeka 54 tahun yang lalu...

Saya tahu ramai yang tidak suka sejarah kerana selalu berdindingkan fakta demi fakta. tetapi Tweets from Tahrir adalah sebuah buku sejarah yang berbeza cara penyampaiannya. Fakta hanya disampaikan oleh editor dengan sedikit ringkasan tentang kejadian-kejadian yang berlaku setiap hari sepanjang berlakunya revolusi, tetapi isi status oleh 'pengicau-pengicau' (tweeters) semuanya pelbagai. Meski sedang serius berjuang sesungguh-sungguhnya, ada masanya mereka berjenaka. Malah ada tweets dari akaun Hosni Mubarak (kemungkinan besar yang palsu) diselitkan di sana-sini sebagai rencah jenaka. 

Kisah benar kehilangan Pengurus Pemasaran di Google Timur Tengah, Wael Ghonim, (sisi peristiwa revolusi yang mungkin kurang diketahui) di tengah-tengah hiruk-pikuk revolusi pula menjadikan buku ini seperti sebuah novel yang menimbulkan persoalan, saspens dan kejutan. Editor patut dipuji kerana berjaya menyunting buku ini dengan baik. Masakan tidak, kemaskini Twitter oleh seorang sahaja waktu itu sudah berjumlah lebih 60,000 patah perkataan jika dikumpul bersama! Proses pemilihan tweets itu pasti sukar, tapi ia berhasil.

Untuk menambahkan keaslian isi, penyunting langsung tidak memperbetulkan ejaan atau kesalahan tatabahasa yang ditulis dalam setiap tweet. Secara tidak langsung kita dapat rasakan perasaan cemas dan tergesa-gesa dalam kesalahan-kesalahan itu. (Sekali-sekala ada juga perasaan jemu, mungkin kerana ada tweet yang isinya hampir sama, atau diulang-ulang di sana-sini, tetapi harus diingat ini bukan satu kisah ideal dengan ayat novel berbunga-bunga, tetapi kisah realiti yang menunjukkan perasaan sebenar.) Di samping itu ada gambar yang dimuatnaik melalui aplikasi TwitPic. Gambar-gambar itu juga ada yang menyentuh hati, dan memberi semangat - dari bermulanya demonstrasi sehinggalah proses membersihkan kawasan.


Antara tweet yang kelakar (diambil dalam bab satu, The Spark - tentang Tunisia saat ia mendapat kebebasan):
'Dear people watching Arab's Got Talent, there's a better show going on called Tunisia's Got Freedom. Watch that.'

Malah baca yang ini (semasa revolusi masih berjalan):
'At Tahrir sq. you can find pop corn, couscous, sweet potatoes, sandwiches, tea & drinks! Egyptians know how to revolt!'

dan saat Mubarak turun dari takhtanya:
'Who did this? WE did, the people. Without guns. Without violence. Rather, with principles and persistence. Mabrouk, everyone!'

'The real hero is the young Egyptians in Tahrir Square and the rest of Egypt.'

Buku ini sememangnya satu revolusi dalam dunia perbukuan, tidak rugi membacanya. Apalagi, sempena kemerdekaan ini, saya cadangkan naskhah ini!

Kullu 'am wa antum bikhair.

helaianrindu: Tentang kemerdekaan, saya terkenang kata-kata Rib'i bin Amir di hadapan angkatan tentera Parsi: "Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, daripada kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat."


September 17, 2010

Mendepani Realiti Cinta

Judul: Bercinta Sampai ke Syurga (Aku Terima Nikahnya #2) 
Penulis: Hasrizal Abdul Jamil 
Penerbit: Galeri Ilmu 
Tahun: 2008 
Harga: RM25 
Bil.mukasurat: 271

Tampil lagi dengan isu cinta dan rumahtangga, kali ini Ustaz Hasrizal membawa pembaca untuk berfikir lebih jauh, untuk pandang bukan sahaja pada masa kini, tetapi pada masa hadapan dan belakang. Apa yang saya dapat petik dalam isu dua dari siri Aku Terima Nikahnya ini adalah persoalan ‘mendepani realiti’. Sasarannya bukan sahaja pembaca yang mahu dan sudah berumahtangga. Malahan sesiapa sahaja boleh mengambil ibrah daripada buku ini, khususnya para guru dan anak-anak yang terlibat langsung dalam pembentukan individu dan baitul muslim.

Buku ini difokuskan pada kehidupan pasca lafaz ‘Aku Terima Nikahnya’, yakni sesudah berjaya mengikat tali pernikahan. Banyak kisah-kisah pahit manis yang dikongsi oleh penulis dalam menggambarkan suasana dalam rumahtangga. 

Membaca buku ini akan membuatkan pembaca berfikir beberapa kali mengenai tanggapan mereka tentang rumahtangga. Selepas membaca buku ini saya juga menimbang-nimbang kembali pandangan saya terhadap isu ini. Memang, isu ini adalah satu cabaran buat kita. Ada pasangan yang sudah tepu ilmu agama, tetapi masih berlaku dugaan dalam hidup berdua. Itu belum kira mereka yang tidak kuat agamanya, yang permulaan pernikahannya tidak begitu baik.

Ramai pasangan yang lupa realiti hidup berkeluarga ini memerlukan dua perkara, iaitu cinta dan tanggungjawab. Sesetengah orang hangat bercinta, tetapi berantakan keluarganya kerana lupa melunaskan tanggungjawab, lalai dalam menunaikan hak. 

Di satu pihak yang lain pula, sudah tahu mana tugasnya dan nafkah yang perlu diberinya pada anak isteri. Sayangnya, mereka terlupa untuk mengakrabi pasangan masing-masing untuk memekarkan cinta antara mereka. Akhirnya yang tinggal juga sebuah keretakan.

Dalam cabaran penulis mendepani realiti kehidupan pasangan lain di Malaysia, penulis juga tidak lupa membandingkan dan memberi muhasabah melalui kehidupan familinya sendiri. Ada masam-manis dalam mendidik anak-anak, ada kunci untuk memesrai pasangan, ada pula bicara dan luahan rasa dengan pelbagai lapisan manusia yang sedang mendepani realiti kehidupan mereka dengan tanggapan yang berwarna-warni. 

Tugas penulis, melakarkan kembali lingkaran perspektif yang sesuai untuk menghadapi tanggapan yang berbeza-beza ini. Pembaca tidak akan sesekali disuakan dengan jawapan Ya atau Tidak, tetapi diluruskan kembali dengan weltanschaaung penulis berlandaskan syariat dan juga konteks perkara tersebut. Lebih menarik lagi, apabila sesebuah permasalahan yang dibincangkan disatukan dengan resensi filem dan mutiara kata dari tokoh-tokoh semasa baik dari Timur atau Barat, selain memetik isi Al-Quran dan teladan dari hadis Nabi.

Kahwin awal? Ber’couple’? Kahwin cara zaman dahulu? Berumahtangga di perantauan semasa masih belajar? Bagaimana menjadi ibu bapa yang baik? Bagaimana memesrai pasangan kita? Bagaimana cara melayan kerenah dan persoalan yang dikemukakan anak-anak? Poligami pula, macam mana?  

Bertalu-talu persoalan, saya pasti semua mampu terjawab, jika kalian bijak mengekstrak teras solusinya dalam kompilasi artikel-artikel penulis. 

Meminjam kata-kata penerbit, pasti ada yang akan terkena batang hidung selepas membaca naskhah ini, tidak kurang yang bakal lega kerana akhirnya mendapat suara (saya antaranya yang lega itu, ada sebuah artikel yang betul-betul kena pada saya!). Selain isinya yang tajam menegur dan penuh nasihat, ada juga diselang-selikan dengan jenaka-jenaka yang menjadikan pembacaan santai.

Barangkali selepas membaca Bercinta Sampai ke Syurga, akan ada pula golongan yang takut untuk berumahtangga... tetapi itulah realitinya hidup kita, banyak cabarannya. Baitul Muslim sememangnya satu titik penting dalam membangunkan ummah dan tentunya dalam membentuk insan-insan yang mendirikannya juga sukar. Membentuk manusia dan perkara yang berkait rapat dengannya bukannya seperti membentuk tanah liat supaya menjadi bentuk yang kita suka. 

Mendepani realiti memang susah, apalagi untuk menguruskan situasi itu secara amali. Tetapi, sekurang-kurangnya, jika kita sudah bersedia menghadapinya, tentu lebih mudah untuk menerimanya bukan? Penulis sendiri mengingatkan, bahawa dia bukanlah bapa mithali yang sempurna serba-serbi. Dia menggelar dirinya ‘bapa realiti’ yang juga terdedah pada pengaruh emosi dan suasana. Manusia akan tetap kekal sebagai manusia yang banyak kelemahan, tetapi setidaknya kita menjadi lebih kuat dengan mengambil ibrah dari penulis. 

Jadi terimalah naskhah ini untuk memperhalusi ukiran baiti menjadi jannati, supaya dapat kita mengalun irama sakinah, mawaddah dan rahmah dalam institusi rumah tangga.

Insya Allah, ada hasilnya.

Nota: Baru-baru ini buku ini tercalon sebagai finalis Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian.

HelaianRindu: Takziah buat keluarga Sosilawati Lawiya.


Ogos 30, 2010

Umar Abdul Aziz, Ikon Good Governance

Judul: Umar bin Abdul Aziz - Peribadi Zuhud Penegak Keadilan
Penulis: Abdullah bin Abdul Hakam
Penerbit: Alam Raya Enterprise
Tahun: 2009
Harga: RM25
Bil. mukasurat: 204

Dalam membaca, soal terpenting untuk kita akrab dengan isi kandungan sesebuah buku sudah tentu maklumat atau tema yang disampaikan. Setiap orang ada subjek yang diminati. Ada yang meminati genre sejarah, ada yang mesra dengan tajuk politik, dan macam-macam lagi. Tetapi, isi menarik tidak punya makna pula sekiranya tidak disampaikan dengan teliti, yakni disampaikan secara sambil lewa atau dengan bahasa yang tidak tersusun. Pembaca sukar faham mesej yang diimplementasi dan ilmu susah untuk lekat di dalam cepu minda. Di sinilah letaknya kelemahan naskhah terbitan Alam Raya Enterprise ini.

Kebelakangan ini saya mula mendekati buku-buku bertemakan sejarah dan tokoh-tokoh dalam sejarah Islam. Jadi apabila melihat buku ini, tanpa teragak saya membelinya, tetapi apabila membaca beberapa muka awal saja, saya sudah hampir menyerah. Bahasanya tunggang-langgang!

Tidak hairanlah, kerana naskhah ini berasal dari Indonesia dan diterjemahkan. Sebelum itu pula buku ini sebetulnya berbahasa Arab. Jadi sudah melalui tiga terjemahan yang menjadikan struktur ayatnya memeningkan. Tambah mengecewakan apabila kandungannya tidak begitu tersusun pada saya. Ini kerana isi setiap bab kelihatan hampir sama—semuanya adalah anekdot-anekdot dari sejarah tokoh Umar Abdul Aziz ini. Malah, banyak juga kesilapan ejaan yang mengganggu mood pembacaan.

Kalau tidak silap, buku ini telah diulang cetak dengan pernyataan "Buku Terlaris" di kulit hadapan. Harapnya ada penambahbaikan dari segi penyampaiannya.

Ikon Tatakelola Pemerintahan Yang Baik (Good Governance)

Bercakap soal ketelitian ini, tokoh Umar bin Abdul Aziz ini begitu teliti sifatnya. Pada setiap hal, diperhatikan betul-betul sumbernya dan situasinya. Daripada soal pemerintahan negara sehinggalah makan pakai anak-anaknya malah gajinya dipertimbangkan. Inilah tokoh yang mempamerkan cirri sebenar tatakelola pemerintahan yang baik, atau dikenali di Barat sebagai good governance. Tidak hairanlah Umar bin Abdul Aziz juga terkenal dengan julukan Khalifah Rasyidin yang kelima (yakni selepas Ali Abi Talib).

Mengapa begitu? Seperti yang saya katakan tadi, Umar sangat teliti dalam pemerintahannya. Sekecil-kecil perkara tidak akan dianggap remeh. Amanah yang dipegangnya dipandang setinggi-tingginya. Gajinya sendiri ditetapkan olehnya lebih rendah dari para pekerjanya. Kurma yang dihantar melalu pos kepadanya juga ditolak dengan alasan kaum muslimin lebih berhak mendapatkannya. Perhiasan isterinya pula dimasukkan ke dalam baitulmal.

Malah beliau memerintah dengan cara yang sangat berbeza dengan khalifah-khalifah sebelumnya, yang bukan saja suka menggunakan harta baitulmal sewenang-wenangnya, malah tidak mengambil berat dengan serius permasalahan yang berlaku. Sehingga diceritakan, apabila Umar mengutus Yahya bin Said ke Afrika untuk membahagi-bahagikan zakat kepada yang memerlukan, Yahya tidak menjumpai seorangpun yang memerlukan wang zakat tersebut. Katanya, Umar telah menjadikan rakyatnya kaya.

Padahal Umar hanya memerintah selama dua setengah tahun saja!

Khalifah Umar juga sangat zuhud dan merendah diri. Awal perlantikannya, dia merasakan tidak layak untuk menjadi khalifah. Apabila berlaku perlantikan, sikapnya lantas berubah. Dahulunya dia juga mementingkan materi dan wang, tetapi apabila merangkul tanggungjawab itu, dia semakin bersederhana.

Anak-anaknya waktu itu cuma makan adas dan bawang untuk makan malam. Pakaian yang dipakai juga sangat sedikit sampaikan beliau terlewat ke masjid kerana mencuci pakaiannya untuk dipakai waktu itu. Beliau juga tidak suka dipuji tetapi lebih suka meminta nasihat dan teguran, menyebabkan airmata beliau selalu jatuh.

Educate, Bukannya Legislate!

Nah, bukankah ini antara contoh pemimpin terbaik? Bak kata Dr. Siddiq Fadzil, pengantar buku ini; Umar menggunakan pendekatan educate (mendidik) dan bukannya legislate (menggubal). Umar sendiri adalah contoh undang-undang dan bukannya hanya mengarah-arah pekerja di bawah dan duduk bersenang-senang di pejabat. Seperti Rasulullah yang menjadi qudwah hasanah buat umat. Kalau mahu dibandingkan dengan kita dan pemimpin negara zaman kini, tentunya masih banyak kelemahan pada zaman kita.

Pemimpin seronok-seronok saja bercuti dan berbulan madu sedangkan masih ada yang makan kais pagi dan petang. Yang kononnya melaung untuk mendahulukan rakyat, tetapi di dada media masih terpapar kesusahan warga. Katanya kebebasan bersuara diamalkan, tetapi mulut rakyat malah dipakukan. Umar Abdul Aziz hanya ada tidak sampai tiga tahun, sedangkan pemimpin kini mentadbir berdekad-dekad tetapi hasilnya?

Saya terkenang kisah pertama saya tentang Umar Abdul Aziz, yang saya baca dalam bentuk komik sewaktu di bangku sekolah rendah di dalam majalah Ana Muslim. Kisah Umar dengan lampu pelitanya. Ketika sedang menyelesaikan urusan negara di mejanya, anak kecilnya datang untuk menceritakan masalah keluarga. Umar tiba-tiba memadamkan lampu dan bilik itu menjadi gelap. Anaknya hairan, lalu bertanya:

“Mengapa ayah padamkan lampu? Bilik jadi gelap.” Lantas Umar menjawab:

“Anakku, lampu ini milik kerajaan, jadi dipasang hanya untuk menyelesaikan urusan negara. Tetapi engkau datang bertanyakan hal keluarga, jadi kita harus gunakan lampu milik kita untuk menyelesaikannya.”

Lalu dipanggil pembantunya untuk membawakan lampu mereka. Lihatlah, pemimpin negara! Adakah kamu telah menggunakan hak yang sepatutnya milik rakyat? Benarkah kamu telah meneliti suara-suara rakyat? ‘Amanah’kah kamu seperti amanahnya Umar Abdul Aziz?

Semoga bukan saja pentadbir negara bermuhasabah, kita yang mentadbir keluarga dan diri juga harus bermuhasabah. Mari menyeluruhi tatakelola pemerintahan Umar Abdul Aziz dalam diri kita!

HelaianRindu: Majalah Ana Muslim memang best, dulu suka sangat Satria Bulan Bintang. Dapat tahu majalah dah keluar, terus berlari ke pejabat sekolah cepat-cepat! (Masa itu di sekolah rendah agama Ana Muslim dijual oleh seorang guru di pejabat)


Ogos 14, 2010

Setengah Berisi, Setengah Kosong?


Judul: Setengah Berisi, Setengah Kosong?
Penulis: Parlindungan Marpaung
Penerbit: PTS Millennia
Tahun: 2008
Harga: RM25
Bil. mukasurat: 272

Buku ini merupakan hadiah dari seorang teman akrab, Zarif, lebih setahun lalu sempena ulangtahun kelahiran saya (baru sekarang membacanya!). Mirip buku motivasi Chicken Soup for the Soul yang popular di Barat. Kandungannya adalah anekdot-anekdot, catatan pengalaman ringkas, dan juga lelucon-lelucon yang disertakan dengan pengajarannya yang tersendiri mengikut perspektif penulis.

Tajuk Setengah Berisi, Setengah Kosong itu memperihalkan aspek yang dipersembahkan melalui anekdot-anekdot yang disertakan. Bermula dari secawan gelas yang diisi separuh dengan air, adakah penonton akan mengatakan gelas itu separuh berisi, atau adakah anda akan berkata ia separuh kosong? 'Melihat sesuatu melalui sudut pandang berbeza'--inilah yang menjadi inti nasihat yang dikemukakan.

Buku ini dibahagikan kepada lima bahagian. Setiap bahagian terkandung cerita-cerita yang disaduri tema yang sepadan. Bahagian-bahagian itu adalah Kasih Sayang, Komunikasi, Motivasi, Profesionalisme, dan akhir sekali Tingkah Laku. Lebih kurang sepuluh kisah dimuatkan dalam setiap satunya.

Penulis cuba membawa perspektif lain pada kisah-kisah tersebut, yang sesetengahnya pernah kita dengar atau baca. Saya juga mendapati ada anekdot yang pernah saya terima melalui forwarded email, ada yang saya terbaca di majalah-majalah sebagai sisipan jenaka. Kebiasaannya, cerita yang saya dapat itu dipandang pada sudut jenaka semata-mata. Tetapi penulis mengambil secubit pengajaran bukan sahaja dari penghujung cerita seperti yang kita biasa lakukan. 

Kadangkala, penulis mengambil contoh dari tengah kisah yang kecil sifatnya dan mungkin kita lepas pandang, tetapi hakikatnya isu itulah yang mempengaruhi keseluruhan cerita dan memberi pengajaran terbesar.

Saya masih ingat kata-kata teman saya di akhir sebuah program yang saya ikuti tidak lama dulu:
"Jangan pandang apa yang program ini beri pada kita, tetapi fikirkan apa yang telah kita sumbangkan untuk menjayakan program ini!"

Lihat, betapa pentingnya untuk kita memandang dari sudut berbeza! Cara ini membantu kita muhasabah dengan lebih baik.

Penulis Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam buku terbarunya Secangkir Teh Pengubat Letih ada menyatakan, "Siapa kamu menentukan cara kamu melihat. Kesannya pula ialah, cara kamu melhat menentukan apa yang kamu dapat." Bermakna, pengajaran-pengajaran yang diekstrak dari sebuah cerita tentunya berbeza mengikut sudut pandang kita. 

Tidak semestinya kita terikat dengan penjelasan yang disediakan penulis. Sekiranya ada sudut pandang yang positif dan bermakna buat diri kita untuk dikongsikan dari cerita yang sama, apa salahnya untuk mengambil pengajaran yang berbeza? Setiap orang mempunyai pengalaman hidup yang berbeza-beza, sekaligus menjadikan penerimaan kita terhadap sesuatu peristiwa juga berbeza-beza. Tentunya, semua bergantung pada niat: Apa yang ingin kita cari dari sebuah buku@peristiwa dan sebagainya?

Sayangnya, pengajaran yang dimuatkan tidak dirangkumkan dengan nilai Islami, jauh sekali mengimplementasi dalil-dalil. Mungkin disebabkan penulis ingin meluaskan skop audiens yang membaca bukunya, yakni tidak tertumpu kepada muslim semata-mata. Sebagai sebuah buku motivasi, malah berasal dari Indonesia yang berbilang agama, tidak hairanlah buku ini ditulis seperti sekarang. Tentunya, pembaca tua atau muda boleh membacanya kerana isinya yang bersifat umum.

Buku ini dicadangkan penerbit untuk mereka yang inginkan minda sentiasa positif dan kreatif. Juga bagi mereka yang inginkan inspirasi yang menjadikan anda kekal optimis. Sekiranya anda  sememangnya orang yang bersifat begini, mungkin tidak perlu lagi membaca karya ini. Tidak salah membacanya, tetapi saya rasakan masih banyak buku yang lebih baik dan lebih penting untuk diladeni untuk anda yang sudahpun positif.

Sekiranya anda tercari-cari idea untuk memberi penyampaian pada orang lain, mungkin buku ini sesuai. Ustaz Hasrizal sendiri, selalu menggunakan pendekatan cerita-cerita pendek sebegini dan memberi pengajarannya mengikut tema yang disampaikan. Dia juga pernah mencadangkan untuk pembaca mengambil manfaat dari buku ini dalam sebuah artikel di laman sesawangnya yang bertajuk Antara Optimis dan Pesimis.

(Saya juga belum menghabiskan keseluruhan buku ini, cuma menelaah beberapa kisah dari bahagian-bahagian tertentu sahaja!)

Antara kisah yang termuat, Keajaiban 1 Dolar 11 Sen; Setengah Berisi, Setengah Kosong; Telinga Si Ibu; Harga Waktu Ayah; Burung Kanada; Membakar Jambatan; Aku Bukan Ayam; dan lain-lain.

HelaianRindu: Harap Zarif sihat selalu. Jom main air sabun dan krim kek! Haha.


Ogos 11, 2010

Ramadhan, Tetamu Yang Dirindui

Judul: Ramadhan - Tetamu Yang Dirindui
Penulis: Abdul Hadi Awang
Penerbit: PTS Islamika
Tahun: 2009 (cetakan ketiga)
Harga: RM12
Bil. mukasurat: 133

Alhamdulillah, sekali lagi kita dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadhan Al-Mubarak. Di serata dunia umat Islam meraikannya dengan pelbagai cara dan gaya. Tentunya dimeriahkan lagi dengan pelaksanaan solat sunat tarawih setiap malam, dan juga pesta tadarus Al-Quran di rumah, masjid mahupun di tempat awam yang lain.

Bagi saya pula, tahun ini terasa sedikit aneh, kedatangan Ramadhan biasanya dirasakan bahangnya; tetapi tahun ini berbeza. Sedar-sedar saya sudah berada di bulan yang mulia ini! Masa memang sudah sebegitu pantas berlalu...

Tentunya bagi orang yang hendak menyediakan diri dengan sepenuhnya pada bulan ini perlu fasih dan arif tentang puasa khususnya di dalam bulan Ramadhan ini. Antara satu cara untuk mempersiapkan diri adalah dengan mencari bahan bacaan, tidak kiralah melalui buku, majalah mahupun internet. Di waktu ini tentunya artikel-artikel menarik dan ilmiah berkenaan puasa sudah diterbitkan di akhbar-akhbar dan majalah-majalah. Pencarian bahan bacaan ini menemukan saya dengan buku kecil comel berwarna biru ini.

Mungkin buku ini bukanlah rujukan lengkap mengenai Ramadhan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Tetapi, sebagai sebuah rujukan pantas, buku ini menyediakan fakta-fakta ringkas merangkumi dalil-dalil Al-Quran dan Al-hadis tentang puasa. Saiznya yang kompak dan nipis juga menjadikan sifatnya sepadan sebagai buku ulangkaji untuk dibaca di mana-mana pun.

Isinya sederhana saja, tetapi memuatkan aspek-aspek yang wajar diambil tahu oleh pembaca. Contohnya, sejarah bulan Ramadhan, sejarah puasa, peristiwa bersejarah dalam bulan Ramadhan, syarat wajib, rukun dan perkara yang membatalkan puasa. Termasuk dalam buku ini juga adalah kelebihan puasa mengikut dalil nakli, juga kelebihan dari sudut saintifik (aspek kesihatan, psikologi dan lain-lain), juga beberapa doa ringkas yang ma'thur.

Setiap bab memberi huraian secara ringkas, tetapi dapat memberi gambaran secukupnya tentang Ramadhan serta perkara-perkara lain yang terlibat.

Antara bab terpanjang dalam buku ini ialah peristiwa bersejarah dalam bulan Ramadhan. Bab ini ditekankan juga sebagai satu inspirasi bahawa puasa bukan menjadikan kita lemah. Pelbagai kemenangan telah diraih umat Islam dalam bulan barakah ini, termasuklah pembukaan kota Mekah dan Pembukaan Andalus. Banyak ilmu baru yang saya dapati khususnya dalam bab ini.

Tahun ini pula, PTS ada menerbitkan sebuah buku tulisan Zamri Zainal Abidin menjelaskan lebih lanjut peristiwa-peristiwa ini, beserta ilustrasi. Tajuknya Peristiwa Sejarah Ramadhan, dan boleh didapati jika berminat untuk mengetahui peristiwa ini secara rinci. Saya masih menanti naskhah ini dari PTS, jadi tidak tahu bagaimana bentuk kandungannya secara jelas. Insya Allah, selesai dibaca nanti saya cuba kongsikan jikalau berkesempatan.

Di samping kita menghidupkan puasa Ramadhan dengan ibadah, sama-sama kita berusaha juga untuk menambah pembacaan kita. Bukankah ayat pertama yang turunnya dalam bulan ini adalah berkenaan membaca? Bukan hanya bahan berkaitan puasa tetapi apa jua bahan bacaan asal tidak tersimpang dari landasan syariah. Lebih bagus lagi sekiranya dapat membaca bahan yang dapat meningkatkan ilmu Islam dan memberi fikrah. Insya Allah, sama-sama kita usahakan.

Bagi yang tidak tahu buku apa yang sesuai dibaca tentang Ramadhan, boleh cuba bermula dikit-dikit dengan buku ini. Jadikan buku ini panduan 'menyambut' tetamu yang sudah lama dirindui dan ditunggu-tunggu ini. Salam Ramadhan semua!

HelaianRindu: Dulu masa budak-budak mak kena masak nugetlah, ayam goreng, kentang goreng... nak suruh bangun sahur! 


Julai 25, 2010

Haru$ Kaya Macam Abdurrahman

Sempena Peraduan Mengulas Buku PTS yang sedang berlangsung sehingga awal Ogos ini, saya sempat membaca naskhah nipis setebal 125 halaman ini. Buku ini diwara-warakan sebagai sebuah bestseller di Indonesia, dan telah terjual melebihi 20,000 naskhah.

Penanda buku guna duit, boleh??

Saya Tidak Mahu Kaya Tetapi Harus Kaya (2007)
Aa Gym
PTS Millennia
125 halaman, RM19.

Tentu kita masih ingat fenomena yang pernah melanda negara kita beberapa tahun kebelakangan, tentang skim cepat kaya, peraduan gores dan menang, jana duit dengan blog dan pelbagai lagi teknik-teknik atau jalan untuk meraih wang. Tambah parah apabila rakyat cuba mendapatkan duit dengan cara yang salah, hanya kerana ingin mendapatkan kekayaan sesegera mungkin. 

Tetapi harus disedari buku ini tidak termasuk dalam kategori buku-buku yang banyak terbit ketika itu, yakni yang menawarkan teknik-teknik menjana wang, atau cara untuk melabur, berniaga dan sebagainya. Sebaliknya, pembaca dipersembahkan dengan nilai kekayaan yang sebenar dari sudut pandang Islami.

Apa yang mahu disampaikan oleh penulis dalam buku ini adalah jawapan-jawapan kepada persoalan:
  • Mengapa saya harus jadi kaya?
  • Mengapa penulis mengatakan kekayaan itu satu keperluan dan bukan lagi keinginan?
  • Bagaimana cara untuk menjadi kaya menurut perspektif Islami?

Menurut penulis, kekayaan harta sebenar-benarnya hanyalah nilai tambah atau kekayaan bonus selagimana kita mencari terlebih dahulu lima jenis kekayaan. Kekayaan tersebut adalah, kekayaan semangat (idea), kaya input (ilmu), kaya gagasan (pengalaman), kaya ibadat dan akhir sekali kaya hati. Formula kaya ini ditulis sebagai GIGIH + H, setiap huruf pada GIGIH itu melambangkan setiap satu dari lima kekayaan tersebut, dan H di hujung itu adalah kaya harta, bonus bagi mereka yang berjaya mencapai lima kekayaan itu.

Berbanding buku motivasi biasa, bagusnya buku ini kerana penulis mendatangkan dalil-dalil Al-Quran, hadis-hadis, sirah dan juga kata-kata ulama' yang memberi contoh jelas kepada kita setiap subtajuk yang dipersembahkan.

Selain huraian dalam bentuk teks, sesetengah tajuk, contohnya dalam bab Mengubah Sikap, terdapat ilustrasi dalam bentuk peta minda untuk memudahkan ingatan pembaca dan meningkatkan kefahaman dengan lebih cepat tentang jenis sikap dan kesannya. Perkara yang patut diberi perhatian atau poin-poin yang memberi gambaran utama pula, ditonjolkan dengan tulisan tebal di dalam petak berwarna.

Namun, ada formula yang boleh kita senaraikan sendiri, dan tidak semestinya terikat dengan apa yang disampaikan penulis. Contohnya formula 7B, antaranya, bekerja, belajar, beribadat--semuanya hanya kata kerja yang dimulai dengan awalan be-, jadi tidak salah jika kita melebihkan lagi sifat-sifat yang dirasakan baik, asal tidak bertentangan dengan syariat tentunya.

Sejarah memperlihatkan kita dengan peribadi contoh Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Auf yang kaya harta tetapi tetap bersifat zuhud serta qanaah. Bagi mereka harta itu satu nilai tambah semata-mata, dan tidak bermakna sekiranya tidak dimanfaatkan pada jalan dakwah. Bagi mereka, tiada apa-apa pun tidak mengapa, kerana bak kata Abu Bakar, cukuplah bagiku Allah dan RasulNya. Abdul Rahman bin Auf pula menjadi takut dan khuatir, takut-takut hartanya yang banyak diperolehinya dari perniagaan itu menahannya dari memasuki syurga. Sedangkan mereka ini telah dijanjikan syurga!

Kekayaan harta kadang-kadang juga boleh menjadi fitnah, dan menjadi punca kekufuran. Lihat saja pada Qarun. Sebab itulah penulis menekankan aspek rohani sebelum aspek materi. Tidak salah berharta, tetapi sekiranya tiada iman yang membentengi diri dari dikuasai nafsu tamak, tiada gunanya.

Isi yang menarik perhatian saya dalam buku ini adalah tentang pembahagian rezeki. Ada tiga jenis rezeki yang dihuraikan, iaitu rezeki yang dijamin, rezeki yang digantung, dan akhir sekali rezeki yang dijanjikan. Apa dia dan dalilnya, ada di dalam buku ini untuk anda baca.

Mungkin ramai yang sudah tahu dan faham tentang isu 'hakikat kaya' ini, tetapi tidak salah membaca naskhah ini bukan? Penulis Zamri Mohamad pernah menguar-uarkan idea yang dilaungkan oleh Takeshi Yoro melalui bukunya Baka no Kabe (Dinding Kebodohan), iaitu "Apabila kita berkata kita sudah tahu, terus dinding kebodohan akan dibina." Jadi, setiap kali membaca sebuah buku, pastikan kita tidak bersifat skeptikal dan menganggap sudah cukup berilmu. Siapa tahu di dalam buku yang ringkas ini ada secebis ilmu baru yang tidak kedapatan di mana-mana?

Oh ya, jom meriahkan peraduan mengulas buku PTS! Maklumat lanjut boleh dilayari di laman webnya, di sini.

HelaianRindu: Statistik tahun 1996 mengatakan rakyat Malaysia hanya membaca purata 2 buku setahun. Tahun 2005, sebuah lagi kajian dijalankan ke atas 60, 441 rakyat Malaysia, dan bilangan purata buku yang dibaca setahun masih tak berubah! Sedangkan orang Jepun membaca purata sebanyak 40 buah setahun! Kita ini masih belum kaya sikap dan ilmu nampaknya...


Julai 11, 2010

Tabula Rasa IV: 84, Charing Cross Road

Judul: 84 Charing Cross Road
Penulis: Helene Hanff
Penerbit: Virago Books
Tahun: 2008 (Edisi Baru)
Bil. mukasurat: 256

84 Charing Cross Road adalah sebuah kisah persahabatan antara dua benua. Berlaku secara tidak diduga. Walaupun berbeza budaya, kepercayaan dan gaya hidup, ada persamaan yang menyatukan mereka, iaitu minat. Cinta dua sahabat kepada buku-buku dan kesusasteraan Inggeris menjadikan mereka lebih dari sahabat karib—mereka menjadi sebuah keluarga.

Kisah bermula apabila Helene Hanff tertarik untuk membeli buku-buku antik dari sebuah kedai buku terpakai bernama Marks & Co., (yang beralamat di 84, Charing Cross Road) di London selepas terbaca sebuah iklan di akhbar tempatan. Helene yang tinggal di New York berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan buku-buku antik sebagai rujukan dan pembacaannya sendiri. Jadi, seorang staf bernama Frank Doel membalas surat-surat tempahannya. Apa yang bermula sebagai urusan menempah dan membayar buku-buku, lama-kelamaan menjadi sebuah persahabatan erat antara Helene dengan Frank, serta keluarga staf-staf Marks & Co. yang lain. Mereka saling bertukar pengalaman, malah hadiah dan resepi di tengah-tengah kehidupan pasca-perang.

Kemanisan Ikatan Non-Fizikal


Secara peribadi, karya berbentuk epistolari memang menjadi kegemaran saya. Barangkali kerana saya suka sifatnya yang nostalgik. Surat adalah medium perhubungan yang penting sebelum datangnya emel dan alat elektronik lain yang memudahkan komunikasi. Walaupun surat mengambil masa untuk dihantar dan diterima, tetapi yang menjadikan nilainya tinggi adalah dari segi emosi. Surat merakamkan kejujuran dan memberi kemesraan. Apatah lagi kalau ditulis dengan tangan, lebih tinggi nilainya. (Sesiapa yang pernha membaca buku-buku berkenaan grafologi atau analisis tulisan tangan pasti tahu kenapa saya berkata begitu.)

Begitulah, selama 20 tahun mereka berhubungan melalui surat. Helene berjanji untuk dating mengunjungi sahabat-sahabatnya di 84, Charing Cross Road tetapi kerja dan kekangan wang menyukarkannya mendapatkan masa yang sesuai untuk ke England. Manisnya membaca karya ini apabila membaca surat-surat dari kawan-kawan Frank (yang juga staf di Marks & Co.) yang ditulis secara curi-curi dalam waktu kerja yang lucu dan terisi dengan senda gurau. Geli hati juga memikirkan kerenah mereka ini, terutama apabila mereka hampir ‘kantoi’ curi tulang dengan pekerja pejabat yang lain.

Persahabatan yang terjadi secara non-fizikal ini mengingatkan saya pada ikatan akidah yang dijalinkan sesama Muslim keseluruhannya. Iman yang terbina dalam jiwa-jiwa setiap individu Muslim secara non-fizikal menjadikan kita erat, biarpun kita tidak pernah bertemu. Disebabkan itulah, akan timbul rasa kasih jikalau betul-betul memahami aspek ini. Kalau tidak bagaimana kita boleh mencintai tampang agung yang bernama Muhammad itu sedangkan tiada siapa di zaman ini pernah berjumpa dengannya?

Pendahuluan yang disediakan dalam buku ini oleh Juliet Stevenson sangat membantu kita memahami kisah benar ini dengan lebih halus. Sebab itulah setiap kali membaca buku saya akan pastikan kata pengantar ataupun pendahuluan itu dibaca, kerana kebiasaannya isinya adalah lebih dari ucapan penghargaan dan pujian terhadap karya yang dipersembahkan. Dalam cetakan ini, isinya membedah buku ini dari perspektif Stevenson.

Nilai Sebuah Buku  

 Lot bernombor 84 kini sebuah restoran. Nampak plat besi bulat di tiang premis tersebut?

Saya sempat menjenguk bekas tapak kedai buku Marks & Co. ketika berkunjung ke London tidak lama dulu. Pada awalnya saya hanya ternampak nombor pintu 82, 83 dan 85. Di mana nombor 84? Setelah puas mencari, saya ternampak sebuah plat besi di dinding sebuah premis kedai berhampiran. Tertulis di atasnya:

84 CHARING CROSS ROAD
THE BOOKSELLERS MARKS & CO.
WERE ON THIS SITE WHICH BECAME WORLD RENOWNED
THROUGH THE BOOK BY HELENE HANFF

Wah, sememangnya sebuah buku boleh memberi kesan yang besar terhadap masyarakat. Walaupun Marks & Co. tidak wujud lagi, masih banyak kedai-kedai buku antik dan terpakai boleh didapati sepanjang jalan tersebut, selain kedai-kedai buku baru seperti Foyles. Malah ada satu lorong yang boleh diakses melalui Charing Cross Road, yang dinamakan Cecil Court, khas menempatkan toko-toko buku antik. Di tingkap hadapan terpamer pelbagai buku edisi lama yang tak mungkin boleh dijumpai di kedai buku terpakai biasa. Usianya mungkin boleh mencecah seabad malah. Saya juga memiliki dua tiga buah buku—berkenaan senibina Inggeris—yang pemilik asalnya membelinya pada tahun 1915!

Bukan sahaja nilai buku ini dipandang tinggi dari segi isi, malahan nilaian harganya juga semakin hari semakin bertambah. Di dalam buku tulisan Helene ini, harga buku-buku lama pada tahun 50an dan 60an tidak lebih dari 5 dollar setiap satu, tetapi kini saya sempat memerhatikan harga sebuah buku yang nipis saja sudah boleh mencapai beratus-ratus pound. (gambar kiri - antara buku-buku antik yang dipamerkan di sebuah kedai buku di Charing Cross Road)

Apapun, saya rasa senang melihat buku-buku sangat dihargai nilainya. Baik yang digambarkan di dalam buku ataupun melalui pemerhatian saya sendiri. Jika kita kembali ke masa silam sudah pasti kita akan terkenang perpustakaan agung bernama Baitul Hikmah, di zaman Abbasiyyah—ketika umat Islam sangat ketagih ilmu dan memandang tinggi nilai buku. Sehinggakan penterjemah karya-karya tamadun Yunani dianugerahkan emas seberat buku-buku yang berjaya diterjemah.

Sayangnya, semua itu dimusnahkan begitu sahaja sewaktu serangan orang Mongol. Mereka mencampakkan buku-buku tersebut ke dalam sungai sehingga hitam warna sungai Tigris dek dakwat yang larut air itu.

Berbalik kepada buku ini, kalau tidak silap saya, tak kedapatan di Malaysia. Saya sudah perhatikan beberapa kedai buku online namun setelah ditaip dalam enjin carian tajuk ini memang didapati tiada. Jadi bagi yang ingin membacanya boleh mengunjungi Book Depository, pembekal buku dari UK yang menawarkan buku ini dengan penghantaran percuma.

Bonusnya, buku ini bukan sahaja mengandungi 84, Charing Cross Road tetapi sebenarnya terdapat sebuah lagi buku tambahan, bertajuk The Duchess of Bloomsbury Street yang merupakan sekuel kepada buku ini. Pembaca ditinggalkan dengan epilog yang agak tergantung, jadi The Duchess of Bloomsbury Street memberi kesudahannya. Bagi yang meminati karya-karya bersadurkan persuratan dalam bahasa Melayu pula, bolehlah cuba baca Surat-surat Perempuan Johor tulisan Faisal Tehrani, ataupun karya popular Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Hamka (itu saja yang saya baca pun, haha).

Oh ya, terima kasih kepada Puan Nisah Haron kerana mempromosi buku ini di dalam blognya! Saya terus membelinya secara online setelah membaca entrinya berkenaan buku ini.

HelaianRindu: Kalau buku terpakai, beli di carboot sale je. Satu buku ada yang harganya 20p (kurang dari RM1) je. Ada yang baru pulak tu.

Februari 17, 2010

Specimens: Darwinisme & 'Taklidisme'


Judul: Specimens: The Spirit of Zoology
Penulis: Roger Lincoln & Phil Rainbow
Penerbit: The Natural History Museum
Tahun: 2003
Harga: RM33.30
Bil. mukasurat: 64

Semester ini kelas saya diberi tugas mengkaji sebuah kawasan atau bangunan untuk subjek Cultural Context. Subjek ini umumnya mengkaji secara kontekstual apa yang berlaku di sesebuah bandar, tempat dan kawasan. Kadangkala kami juga akan menelaah falsafah dan ideologi tertentu seseorang arkitek dan kemudian menganalisis teori-teori tersebut, adakah sesuai dan teraplikasi pada tempat-tempat terpilih. Semester lalu isinya banyak tertumpu dalam kawasan dalam UK sahaja. Penggal ini pula kawasan yang harus kami kaji itu merata tempat di Eropah, tapi demi menjimatkan wang, kami memilih untuk umbara di dalam negara sahaja. Tempatnya, Natural History Museum dan Darwin Centre di London.

Naskhah bersaiz segi empat sama dan kompak ini mengandungi foto-foto koleksi spesimen zoologi yang terdapat di muzium tersebut beserta deskripsi-deskripsi ringkas. Lebih menarik kita diberi intai apa yang berlaku di belakang tabir--apa yang mereka pamerkan dan yang tidak dipamerkan,  proses mengawet dan menyimpan spesimen, kepentingan mengumpul bahan kajian dan sejarah spesimen-spesimen tertentu.

Saya meminjam buku ini dari perpustakaan universiti sebagai persediaan untuk lawatan saya ke sana  (Isnin lalu). Sedikit sebanyak saya perlu memahami topik curation, iaitu apa yang dipamerkan,  bagaimana penyusunannya, kenapa pihak muzium berbuat demikian. Juga bagaimana selenggaraan mereka ini boleh mempengaruhi pelawat...benda-benda macam itulah. Jadi sekurang-kurangnya saya perlu tahu lebih lanjut dahulu kandungan muzium tersebut. Sayang sekali saya tidak sempat menghabiskan naskhah ini sebelum lawatan kami kelmarin. Mulanya saya sangkakan spesimen yang ditunjukkan dalam buku ini akan dipamerkan kepada umum, tapi setelah upaya menghabiskannya hari ini rupa-rupanya langsung satu pun tidak ditunjukkan!

Apa yang diceritakan di dalam buku ini sebenarnya lebih tertumpu kepada pusat pengajian di balik tabir muzium ini--khususnya di Darwin Centre, iaitu tempat di mana para zoologis dan para saintis evolusi mengumpul sampel haiwan dari pelbagai tempat dan zaman; kemudian metodologi penyimpanan sampel-sampel tersebut beserta metode taksonomi untuk mengklasifikasikannya. Apa yang menarik, sampel-sampel haiwan ini ada yang berusia lebih 200 tahun, disimpan sejak kembara Charles Darwin sendiri menyeberangi darat dan lautan hingga tercetusnya idea evolusinya itu! Penulis menerangkan, koleksi-koleksi ini disimpan di dalam spirit (sejenis alkohol) yang mampu mengelakkan spesimen dari mereput. Namun, ada juga komplikasinya. Walaupun ia tahan lama, bekas yang digunakan perlu sesuai. Label deskripsi spesimen perlu sesuai. Dan paling penting, keadaan di makmal dan stor penyimpanan yang memerlukan suhu optimum dan kondisi yang selamat kerana alkohol sangat mudah meruap dan terbakar. Jadi peralatan dan susunatur pusat kajian sebenarnya sudah direka khas demi menyimpan berjuta spesimen di situ!

Charles Darwin dan Teori Evolusi?

Memang, dapat kita lihat kajian zoologi yang dijalankan di Darwin Centre ini tertumpu pada mengetahui sejarah evolusi satu-satu spesis. Saya terfikir juga, bagaimana Darwin boleh mencapai konklusi 'manusia berasal dari beruk' itu? Sememangnya sekali dengar kita akan berasa jelik dan menggeleng sepenuh daya menafikan kenyataannya. Tapi adakah dengan tiba-tiba Darwin mencapai kesimpulan itu? Adakah, baru sahaja bangun dari tidur, dia melafazkan "manusia berevolusi dari beruk"? Tentu tidak!

Darwin, mengikut buku ini, pernah belayar bersama kembara bernama Beagle selama lima tahun (1831-1836) demi mengumpul spesis dari pelbagai benua untuk tujuan akademia. Melalui kembara inilah tertulisnya karya terkenalnya, On the Origin of Species, yang bukan sahaja menceritakan teori evolusi, tetapi menjelaskan serba lengkap penyelidikannya sepanjang pantai Amerika Selatan, merentas Laut Pasifik menuju New Zealand dan Australia. Juga terus menuju Tanjung Pengharapan di benua Afrika dan akhirnya pulang ke tanah airnya, Britain selepas itu. Ini bermakna, Darwin sendiri melakukan kajian mendalam sebelum dia mencecah kesimpulan sedemikian. Sememangnya, kita boleh dapati kelemahan di balik kenyataan beliau, tapi kadang-kadang ramai dalam kalangan kita yang hanya bertaklid melulu menyatakan 'teori evolusi salah' atau 'teori evolusi bertentangan dengan sunnatullah', tapi hakikatnya? Apa hujahnya pun tidak pernah berusaha mengkaji! Sekurang-kurangnya Darwin berusaha keras demi membuktikan teorinya benar!

Selain Beagle, terdapat banyak lagi kembara akademia yang dijalankan, antara namanya termasuklah Discovery, Challenger dan Endeavor. Kita yang terus-terusan mengatakan teori Darwin itu salah sepatutnya juga berusaha membaca dan menambah ilmu bukan? Karya-karya Harun Yahya sangat kaya dengan subjek ini dan sangat sesuai jika kita sama-sama uliti. Saya sendiri perlu lebih rajin membaca karya-karya beliau, kerana saya juga masih kurang ilmu tentang hal ini.

Lawatan saya kali lepas tidaklah lama mana, kerana tempatnya sangat besar dan mengagumkan. Saya berharap dengan sangat, semoga tidak lama lagi muncul peluang kedua meneliti isi muzium tersebut. Terutamanya, saya ingin perhatikan koleksi rangka dinosaur yang teramat besar. Kalau boleh ingin juga menikmati koleksi spirit seperti yang dipamerkan dalam buku ini sendiri! (Ada cacing pita sangat panjang, digulung pada plat kaca yang ingin saya dan rakan lihat!)

HelaianRindu: Kucing saya sudah turun 3 kilogram dari berat asal. Tak makan 3 minggu katanya, hanya minum air kosong, dan mula hilang tumpuan!

Februari 05, 2010

Berguru Tentang Hidup: Tuesdays With Morrie


Judul: Tuesdays with Morrie
Penulis: Mitch Albom
Penerbit: Sphere
Tahun:1997
Harga: RM29.90

Kata mereka, buku ini bagus, sudah menjadi bestseller, menyentuh hati. Hebat, mantap, malah mengesankan. Malah suatu masa dulu siap dibikin menjadi filem. Itu kata mereka, tapi bagaimana saya?

Dahulu saya mengenali Mitch Albom melalui karyanya "For One More Day"—tentang seorang anak yang kehilangan tuju hidup, kemudian ditakdirkan bertemu dengan ibunya yang telah mati 8 tahun lalu.  (Klik sini untuk baca bingkisan For One More Day). Pada saya, cara kisah itu diperturunkan cukup impresif, dan impaknya lahir dengan hanya membaca sekali lalu. Sebab itulah, saya yakin akan kebolehan Albom dan kemudian tergerak hati membeli buku ini pula. Apatah lagi masa itu Borders sedang menjamu pelanggan dengan runtuh harga besar-besaran demi menghabiskan stok. 70% diskaunnya, siapa yang tak mahu singgah!

Tapi, entah kenapa, ada yang tak kena dari awal pembacaan saya hinggalah ke penamatnya. Saya tidak terkesan macam membaca novel For One More Day. Buku, jika benar-benar inspiring, tentunya akan meninggalkan aftereffect, kalau tidak banyak, sedikit pun jadilah. Mungkin hanya saya sendiri, tapi pembaca lain boleh menilai sendiri. Yalah, de gustibus non est disputandum. Jadi jangan disebabkan saya, impresi awal anda sudah berubah. Baca dahulu!

Kisah ini adalah rakaman kisah benar penulis sendiri ketika dia bersama dengan mendiang profesornya di universitinya dahulu. Dia antara pelajar kegemaran profesornya yang bernama Morrie Schwartz. Tamat pengajian, dia berjanji dengan gurunya itu untuk sentiasa menghubunginya, tetapi setelah bertahun meninggalkan universiti, langsung dia lupakan janji itu. Saat Morrie muncul di sebuah rancangan televisyen bertahun selepas itu kerana terpilih sebagai persona contoh, Mitch Albom terkenang katanya yang tak dikota dulu. Lalu, dengan tekad baru, penulis melawat bekas gurunya itu, dan bermulalah 'kuliah hidup' oleh Morrie. Pensyarahnya ingin mengajar penulis akan makna diri dan hidup sebelum dia  pergi buat selamanya. Dan kuliah-kuliah ini diadakan pada setiap hari Selasa.

Apa kurangnya ya cerita ini? Maaf, saya tidak mencari kesilapan, tetapi cuma memberi pendapat. Mungkin disebabkan jalan ceritanya yang agak mendatar, saya jadi bosan. Kerana, fokus buku ini adalah untuk menyampaikan perspektif guru penulis mengenai hidup, maka yang menjadi elemen utama cerita ini tentunya nasihat, inspirasi, dan motivasi. Bukannya unsur dramatik, saspens mahupun kejutan yang ingin ditonjolkan, tetapi unsur motivasi. Dalam kata lain, penulis mungkin memikirkan ‘yang penting adalah mesej yang ingin saya sampaikan’. Ya, boleh jadi ini sangat benar.

Begitupun, tidaklah semua isinya flat saja. Demi mengembangkan cerita dan plot, penulis memuatkan cerita dalam cerita—yakni kisah mengenai Morrie dan ayahnya, juga dengan ibunya. Kita diberi peluang menyelami personaliti Morrie dengan lebih mendalam. Dari itu kita faham kenapa pandangan peribadinya terhadap dunia lain dari yang lain. Selain itu, saya juga tertarik dengan perbincangan falsafi mengenai hidup mati dari sisi Morrie. Dia membicarakan mengenai cinta, dan perhubungan sesama manusia; bagaimana untuk menjadi seseorang yang mencintai dan dicintai, bagaimana untuk menghargai dan memaafi, juga kenapa dia sudah bersedia menghadapi mati. Aneh bukan, kalau yang bukan Islam pun begitu yakin dan siap siaga, kita yang Muslim ini, banyak yang takutkan mati. Nyatalah sekarang kenapa Rasulullah berbicara tentang bahaya penyakit wahan!

Mungkin, jika kalian mendambakan suatu pandang sisi berbeza mengenai hidup, bolehlah mencuba membaca ‘tesis’ ini. ‘Seorang guru hingga ke akhir hayatnya’, itu yang Morrie harapkan. Kita pula? Apakata kita sambut seru Rasulullah, jadi pelajar sepanjang hayat. Jadi pelajar Morrie sebentar dan ciciplah ilmu mana yang patut!

Januari 18, 2010

Zugzwang II: Saksi

Saya suka untuk perturunkan précis saya untuk acara bedah buku ataupun teks ucapan Abu Al-A’la Al-Maududi, presiden Jamaah Islami di Pakistan. Buku yang dikenali dengan tajuk Syahadatul Haq—penyaksian atas kebenaran.

Sebelum itu, saya cuma pendengar. Kini, saya sudah menjadi saksi. Lalu saya harus menyampaikan apa yang benar itu kepada semua, supaya kita dapat saksikan kebenaran ini tertegak. Teks ini disampaikan oleh Al-Maududi di Bandar Sayyal Kaut, barat wilayah Punjab, Pakistan, menjelasi erti dakwah Islamiyyah, teori dan pendekatan terbaik, serta realiti masakini yang sangat perlu difahami. Al-Maududi juga dikenali dengan buku-buku lain seperti Asas-Asas Islam, Dasar-dasar Islam, dan juga Asas-asas Akhlak dalam Harakah Islamiah.



Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 143:
"Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) umat pertengahan, supaya kamu layak menjadi saksi ke atas umat manusia (tentang yang benar dan salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi saksi ke atas perbuatan kamu."

Sebagai umat yang berada di tengah, antara Rasul dan manusia, kita harus bersaksi di hadapan kelak bahawa kita telahpun menyampaikan kebenaran. Al-Maududi menegaskan kepentingan berdakwah dan menyampaikan yang haq kepada manusia. Muslim yang mengucapkan syahadah tidak hanya terikat dengan rukun yang lima dan enam itu, tapi juga perlu bersaksi bahawa dia benar akan menyampaikan, sebagaimana Rasul yang telah menyampaikan, kerana kitalah pengganti risalah yang mereka bawa dahulu.

Secara amnya, syahadah ini terbahagi kepada dua: Qauliyyah dan Fi'liyyah. Perkataan dan Perbuatan. Perkataan, apabila kita melaungkan, mengajak, memperkenalkan, apa jua cara demi menjelaskan agama Allah yang agung ini pada sekalian manusia. Dengan pelbagai medium, buku, risalah, majalah, televisyen, internet. Kemudian perbuatan, iaitu memancarkan dan mencerminkan laungan kita, mencerminkan kebenaran kata-kata kita pada perbuatan kita sendiri. Mana mungkin produk pelangsing badan akan laku jika dijual oleh perempuan berbadan montel? Begitu juga apabila kita men'jual' produk kebenaran!

Selain itu Al-Maududi memberi beberapa langkah yang perlu dilakukan. Bermula dengan muhasabah dengan apa yang sedang berlaku pada zaman moden ini, kemudian memulakan langkah menyampaikan kebenaran, dalam satu jemaah. Dalam jemaah, kita bakal kuat. Dan saling membantu. Garis dasarnya haruslah niat kerana Allah, dan akar mesejnya untuk menyampaikan kebenaran.

Mungkin, umat Islam dikecam hebat kini. Mungkin, ramai yang masih belum berani bersuara lantang demi ini.  Jadi, moga-moga zugzwang yang kita buat itupun, adalah diam sebentar, mencari strategi terbaik mematahkan dustanya lawan. Supaya di akhirnya kita juga yang akan mengemat kebatilan. Diam-diam ubi berisi, kata orang. Mulakan sedikit demi sedikit. Yang susah akan jadi senang. Semoga saya dan semua benar beriman dengan ayat 286 surah Al-Baqarah, juga Asy-Syarhu ayat 5 dan 6. Bahawa tanggungjawab yang berat ini adalah mampu kita pikul, dan setelah kesusahan akan datang kesenangan, setelah kesusahan akan datanglah kesenangan.Sama-sama kita mulakan, insya-Allah.

Saya perturunkan juga sedikit bingkisan yang sempat tercetus kala sesi penutup sesi bedah buku ini semalam.  Tajuknya, saya tidak bisa pilih yang lebih baik, tentunya Syahadatul Haq.

SYAHADATUL HAQ

Telah datang awan kebatilan
Maka di manakah saksi-saksi
Kebenaran yang dulu mengarak
di bumantara sejahtera?

Syahadah yang terang
Kaul dan amal adalah saksi
Aku juga akan bersaksi; bukti
aku benar seorang umat pertengahan.

Telah tumbuh duri kebatilan
Maka di manakah saksi-saksi
Kebenaran yang dulu menapak
di bentala sejahtera?

Syuhada Al-Haq, mara!
Belahkan langit dengan cenderasamu
Yang dikumpul berbilah-bilah
Kirimkan risalah islah   
Kelak penggalkan berjuta helah
di hadrat Tuhanmu.

Saksikanlah! Bahawa,
Aku telahpun menyampaikan.

Southampton, UK.
17 Januari 2010
11.45 a.m.

Disember 12, 2009

Sejarah Inderaloka: The Muslim Conquest of Spain


Judul: The Muslim Conquest of Spain and the Legacy of Al-Andalus
Penulis: Shahnaz Husain
Penerbit: Ta-Ha Publishers Ltd.
Tahun: 2004
Bil. mukasurat: 128
Harga: £3.50

Bukan mudah untuk menakluki sebuah negara. Namun dengan bantuan sukarela dari pemimpin tempatan, Musa bin Nusair dan panglima tentera bernama Tariq bin Ziyad berjaya menjatuhkan pemerintahan  raja Visigoth zalim bernama Roderick sekaligus menawan Semenanjung Iberia. Inilah permulaan kepada legasi Andalusia, sebuah empayar Islam yang disebut-sebut sebagai sebuah syurga dunia di sebalik jejeran pergunungan Sierra Morena.

Seingat saya, mula-mula jiwa saya sedikit tertarik untuk mengetahui sejarah Islam Andalus ini adalah sejak keluarnya album sulung Far East. Ketika itu saya di tingkatan berapa, tidak ingat pula, mungkin tingkatan 3 atau 4. Lagu "Ma'assalamah Ya Andalus" dendangan merekalah yang mencetus perasaan itu. Dalam lagu itu diceritakan bahawa terdapat sebuah kerajaan Islam agung dan masyhur bergelar Andalusia yang akhirnya jatuh kerana kealpaan dan keterlupaan. Namun, yang membuat pendengar tertanya-tanya, di mana kerajaan ini berada, siapa pemerintahnya, bila zamannya? Dan apa yang terjadi pada kerajaan sebegini masyhur sehingga ia mampu tersungkur? Kalah di tangan siapa? Semuanya tidak disebut, lagu itu tidak merakam walau secebis fakta. Namun ketika itu, saya masih tidak suka pada sejarah. Er, sangat tak suka ya. Inilah akibat belajar semata-mata untuk peperiksaan. Jangan dicontohi, adik-adik sekalian. (Alhamdulillah, sekarang mula minat mungkin sebab boleh belajar tentang sejarah dengan bebas.) Jadi saya kurang menerokai lagi sejarah-sejarah baik Islam mahupun tamadun lain.

Dalam buku ini, jawapan kepada persoalan-persoalan itu sedikit sebanyak dirungkai. Penulis telah menceritakan sejarah Semenanjung Iberia sejak dari pemerintahan Rom lagi. Setelah itu Visigoth datang dan akhirnya ditakluk oleh tentera Islam. Naratifnya ringkas, cukup baik untuk permulaan menelusuri sejarah Andalus.

Antara perkara yang menarik yang suka saya kongsikan adalah mengenai asal-usul nama tempat yang terdapat di Selatan Sepanyol kini. Rupa-rupanya banyak nama tempat yang bunyinya seperti bahasa tempatan rupanya berasal dari bahasa arab. Pusing punya pusing, jadi satu nama keinggerisan dan asing. Contohnya Selat Gibraltar yang membahagikan Benua Afrika dengan Bumi Andalus. Nama ini sebenarnya bersempena sejarah Tariq bin Ziyad berlabuh di kawasan pergunungan di hujung tanah Andalus setelah merentas selat tersebut. Gunung tersebut diberi nama Jabal At-Tariq, bermaksud Gunung Tariq. Perasan atau tak, nama itu tak semena dipendekkan dihujungnya, dipelatkan awalnya menjadi Gibraltar! Sama juga seperti taman bunga indah di Istana Alhambra yang dipanggil Jannat Al-Arif (Architect's Garden), entah macam mana terbelit lidah orang asing menyebutnya kini sebagai Generalife!

Kebetulan? Betulkah? Tapi, bila diperhatikan, nampak logik kan? Bahagian barat yang dipanggil Al-Gharb pun kini disebut Algarve, ini bukan kebetulan!

Selepas rentetan sebelum dan selepas penaklukan selatan Sepanyol oleh tentera Islam dalam bahagian I, bahagian II pula disediakan, menghidangkan kisah kegemilangan empayar Andalus. Antara kata-kata cendekiawan yang terkenal mengenai kegemilangan Andalus ialah kata-kata Victor Robinson dalam bukunya The Story of Medicine: "Europe was darkened at sunset, Cordova shone with public lamps; Europe was dirty, Cordova built a thousand bath; Europe was cover with vermin, Cordova change undergarment daily; Europe lay in mud, Cordova streets were paved; Europe’s palaces had smoke-holes in the ceiling, Cordova arabesques were exquisite; Europe’s nobility could not sign its name, Cordova’s children went to school; Europe’s monk could not read the baptismal service, Cordova teachers created a library of Alexandrian dimension."

Lihat betapa hinanya Eropah waktu itu, sehinggakan orang berstatus tinggi tidak terpelajar seperti kanak-kanak di Cordoba!

Waktu ini juga pelbagai tokoh muncul dari Andalus, antara yang disebut dalam buku ini ialah Ibn Rushd yang terkenal sebagai figura filsuf yang mentafsir idea-idea Aristotle dan Plato, Ibn Arabi yang petah berkata-kata dan menyampai dakwah sehingga berani menyangkal teori triniti di hadapan paderi di dalam sebuah gereja dan mengislamkan ramai orang; sehinggalah kepada Muhammad Ziryab yang fasih dengan ilmu busana, wangian, muzik, dan seni makan. Sedar atau tidak, 3-course meal yang orang barat selalu bangga-banggakan di restoran mewah, bermula dari appetizer sehingga pencuci mulut--itu orang Islam yang punya!

Penulis juga tidak lupa memuatkan cebisan senibina agung di kerajaan Andalus, tentunya Alhambra dan Masjid Cordoba. Di penghujung buku ini disertakan indeks/glosari nama-nama dan tempat penting yang sesuai dibuat rujukan pantas bagi mereka yang suka mendalami sejarah kerajaan Andalus ini.

Namun, harus diingat, seindah manapun Andalus, pengakhirannya menyayat hati.

Apa kesudahannya? Mungkin saya bisa jawab melalui pembacaan kali lain. Insya Allah.

*Baca bingkisan Cinta Alhambra dalam Kembara Sasterawan di sini.

HelaianRindu: Andartu=anak dara tua, ada orang menyebut andalusia=anak dara lanjut usia!

Oktober 16, 2009

Syumulnya Islam: Fikah Luar Negara

Judul: Fikah Luar Negara: Mudah Praktik Islam di Mana-mana 
Penulis: Maszlee Malik, Hamidah Mat 
Penerbit: PTS Millenia 
Tahun: 2008 (cet. kedua) 
Bil. mukasurat: 137 
Harga: RM19.00

Sebelum melanjutkan pelajaran saya sempat membeli buku ini secara online, tetapi tak dapat membawanya sekali atas alasan berat beg yang akan dibawa sudah melebihi had berat yang ditetapkan. Sesampai di rumah senior di Birmingham saya terpandangkan naskhah yang serupa di rak bukunya.

Maka sementara tiada bahan untuk dibaca lebih baik saya pinjam dahulu, lagipun buku saya yang di Malaysia itu takkan mahu tunggu saya balik baru hendak dibaca, betul?

Dahulu, di sekolah, antara yang terawal saya belajar di dalam usrah adalah mengenai Islam dan ciri-cirinya. Islam disifatkan dengan syumul, yakni sempurna. Dan syumulnya Islam terletak pada pelbagai perkara,  sempurnanya pada ketelitian syariat, dan bukan sahaja implementasinya sempurna, Islam juga ingin menyempurnakan fitrah kita sebagai manusia. Malah melalui pembacaan buku ini saya dapati timbul lagi  dua ciri lain Islam: Thabat dan juga Murunah.

Tetap dan anjal atau fleksibel.

Apa maksudnya di sebalik ciri-ciri ini? Biar saya cuba memberi satu tamsilan. Iklim empat musim termasuklah musim sejuk di sesetengah negara menyebabkan sedikit sukar untuk kita berwuduk kerana air yang terlampau sejuk (ataupun air paip dari heater yang terlampau panas). Malah apabila tiba bab membasuh kaki untuk wuduk, di England contohnya, digambarkan orang tempatan sebagai tidak beradab, malah akan mengotorkan tandas-tandas.  Yalah, demi membasuh kaki, kaki diangkat masuk ke sinki, malah memercikkan air di sana sini. Tentu umat Islam tidak mahu dipandang serong dalam hal ini. Ya, thabat iaitu tetap itu ikut terpancar darihal ini. Kerana untuk sah solat kita, wuduk mesti dilaksanakan terlebih dahulu dalam keadaan dan suasana apa sekalipun, jika tidak boleh perlulah bertayammum. Ini adalah thabat dan takkan berubah sama sekali. Namun, rukhsah (keringanan) timbul sekiranya ada masyaqqah (kesukaran) mengiringi kehidupan seharian kita. Di sinilah muncul ciri Islam yang ketiga disebutkan tadi: Murunah, iaitu fleksibel. Cara pelaksanaan solat dan wuduk itu mampu berubah berdasarkan situasi semasa kita pada ketika itu.

Saya suka berkongsi kata-kata penulis dalam buku ini mengenai sikap jahiliyyah dan taksub kepada kejahilan. Katanya, rakyat Malaysia khususnya, kebanyakannya terlalu berpegang kepada satu-satu ajaran sahaja. Ada juga segelintir yang terlalu berpegang pada kata-kata tok guru mereka dan langsung tidak membuka ruang untuk tok guru lain mengutara pendapat sehingga menuduh yang itu dan ini sesat dan sebagainya. Malah bagi saya sendiri yang mengalami perubahan suasana di dalam dan luar negara juga ingin mengatakan yang kita di Malaysia sudah terlalu 'biasa dengan kebiasaan' sehinggakan minda kita tertutup untuk menerima pelaksanaan ibadah yang berbeza dengan apa yang dilakukan kita sehari-harian. Apatah lagi, masyarakat kita suka benar melatah, cepat melenting dan memarahi bila timbul isu sekecil 'imam tak membaca bismillah dalam al-Fatihah' sebagai contoh.

Padahal, jika kita memahami isi kandungan buku ini kita akan faham bahawa Islam itu sangat mudah, ia cuba memudahkan dan meringankan penganutnya! Solat jamak contohnya, bukan saja rukhsah untuk orang yang bermusafir, malah jika kita melakukan kerja yang sangat sibuk pun kita dibolehkan menjamakkan solat, cuma syaratnya berbeza. Itulah, saya terkenang kuliah Fiqh Musafir yang disampaikan oleh Ustaz Erfino Johari Rabu lalu, dia mengatakan rakyat kita terikat dengan pemusatan (centralization) dan standardisasi. Maknanya, kita telah dipusatkan dengan pembelajaran pada satu-satu kaedah khusus, dan diletakkan satu silibus standard dalam masalah-masalah fiqh sebegini. Sebab itu boleh timbul di negara kita istilah 'Fiqh Luar Negara' yang tak pernah wujud dalam 'kamus' fiqh, sedangkan permasalahan itu boleh saja diamalkan di mana-mana pun, dalam negara pun boleh terlaksana!

Namun harus diingat, ibadah itu tidak sah jika tidak disertai dalil. Memang islam itu mudah, tetapi jangan sesekali kita mempermudah-mudahkan mahupun mengambil mudah hal-hal ibadah ini. Ibadah tidak menerima inovasi. Contohnya apabila Amina Wadud yang menggemparkan kita dengan memimpin solat Jumaat dengan makmum perempuan dan lelaki bercampur dalam saf yang sama. Dengan sebab itulah, dalam perbincangan fiqh buku ini ditulis dengan dalil-dalil dari hadis yang menyelongkar perbezaan situasi dan pendapat demi memudahkan pembaca memahami letak duduk pelaksanaan ibadah dengan sumber yang betul.

Pun begitu, Ustaz bertanya pada kami: Kenapa wujudnya mazhab dan pandangan berbeza, apakah muslim tak boleh bersatu dalam aspek ini? Bukankah mereka menggunakan hadis yang sama sebagai rujukan?

"Lebih banyak pandangan dalam fiqh, bukan menandakan keserabutan, tetapi kayanya ilmu Islam; ia bukan kekangan tapi kemudahan!" Begitu jelas ustaz.

Selain perkara-perkara solat, turut dimuatkan adalah persoalan makanan seperti babi, pemakaian dan juga khutbah. Bab khutbah itu saya setuju benar dengan isinya, tapi tak dapatlah saya nak kongsi semua sekaligus. Mungkin lain kali sahaja.

Fikah Luar Negara sangat sesuai dijadikan panduan bagi mereka yang berkelana di luar Malaysia. Tetapi ingat, sebenarnya banyak yang boleh diamalkan di Malaysia sendiri. Mari kita sama-sama berfikiran terbuka dan terus mengkaji dan meyelidik permasalahan dalam agama.

Faqqihna, ya Allah.

HelaianRindu: 'Berbanggalah jadi umat Islam!' pesan Ustaz Erfino Johari.

September 22, 2009

Tuhan Manusia: Hakikat Ketuhanan; Kebenaran

Judul: Tuhan Manusia
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Ameenbooks
Tahun: 2008
Bil. mukasurat: 350
Harga: RM21.90

Dalam Tuhan Manusia, Faisal Tehrani membawa isu murtad secara head-on, dengan berani. Kata orang, berani kerana benar kan? Naskhah ini memang asal tujuannya bagi mereka yang ingin mencari kebenaran. Itu hasrat penulis, tertulis di awal muka dalam buku ini.

Tentu kita masih ingat kasus Lina Joy yang menjadi isu panas suatu ketika dulu. Juga saya mengingat-ingat ada seorang pelajar muslim berperwatakan lembut dibuli oleh pelajar lain di sekolahnya sehingga menjadikannya murtad. Persoalan yang ingin ditimbulkan dalam naskhah penulis ini ialah persoalan mengapa mereka murtad, yakni apakah faktor atau punca sebenar kemurtadan itu. Tentu ada ideologi atau fikrah yang terjana dalam minda individu-individu ini yang membawa mereka ke arah itu.

Dan dalam Tuhan Manusia, ideologi yang dibincangkan adalah faham pluralisme. Saya mengakui ini kali pertama mendengar istilah ini. Yang biasa saya dengar dan faham sebelum ini adalah golongan materialis dan sekularis antaranya. Tetapi rupanya dua elemen ini mampu membentuk sebuah faham baru, ya pluralisme. Dalam fahaman ini mereka menyatakan semua agama itu benar. Dalam kata lain hakikat kebenaran dan bertuhan itu hanyalah berdasarkan tafsiran akal individu. Dan hujahnya disandarkan pada kisah 3 orang buta dengan seekor gajah, yang setiap seorang menafsirkan bentuk gajah berdasarkan bahagian yang mereka pegang. Kisah ini termuat dalam karya Jalaluddin Al-Rumi bertajuk Mathnawi.

Tokoh yang menaikkan faham pluralisme ini bernama John Hick. Pluralisme ini merupakan salah satu dari tiga klasifikasi agama yang dikemukakan olehnya kepada khalayak. Kemudian penulis menyatakan pluralisme ini bukan hanya menumpu pada agama, malah pluralisme budaya, sosial juga wujud. Kewujudan faham baru ini berpunca dari sikap kononnya ingin mewujudkan kesefahaman dan menghapuskan segala macam sengketa yang dikatakan berpaksikan perbezaan agama. Banyak lagilah istilah dan terminologi, -isme itu ini dijelaskan. Kadang-kadang saya pening juga. Jadi saya baca perlahan-lahan. Jarang juga saya membaca dengan halaju begini. Tapi demi pemahaman total saya tegar menghabiskannya.

Faisal turut mendatangkan hujah dan nas dari sumber Al-Quran dan hadis demi menjawab pelbagai persoalan mengenai akidah dan Islam. Juga mematahkan pelbagai dakwaan pluralis yang hakikatnya hanyalah sangkaan dan hujah tanpa dasar. Fuh, memang dahsyat benar hujah dan dakwaan mereka. mereka sanggup mengatakan Al-Quran hanya teks yang sama dengan buku biasa, Nabi Isa naik ke langit itu mitos, dan Tuhan itu mana-mana pun betul dalam mana-mana agama kerana semua agama dianggap benar. Dibicarakan juga perdebatan mengenai ayat 'tiada paksaan dalam agama' yang selalu dicanang-canangkan kelompok pluralis ini. Dan banyak lagilah, tak tercerita di sini.

'Memang Tuhan Manusia bernada novel, tetapi jika dibuang jalan ceritanya, sudah menjadi seakan sebuah buku ilmiah koleksi esei-esei tentang pluralisme', itu (lebih kurang) antara kata-kata yang pernah saya jumpa di dalam sebuah resensi di internet tidak lama dulu.

John Hick yang menyebarkan idea pluralisme

Yang pasti isu ini tidak harus dipandang enteng. Penghasilan buku ini harus dipuji kerana tidak banyak buku yang membicarakan mengenai pluralisme ini...dan mungkin sebab itulah saya tidak pernah mendengar tentangnya sebelum ini. Dengan cemerlang, Faisal mengajak kita meneliti betul-betul isu ini. Tanpa fokus yang baik, kita tak mampu memahamkan isinya. Bukan sahaja penuh dengan fakta, tetapi diberati dengan banyak falsafah Islam yang seharusnya buat kita berfikir. Tentunya kalimat filsuf yang paling diingati dalam Tuhan Manusia, "Andai kota itu peradaban, rumah kita adalah budaya dan tiang serinya agama." Falsafah ini merupakan pesanan ibu kepada Taqi yang diletakkan pada awal setiap bab. Puas betul membaca buku ini, saya memang perlu baca berkali lagi untuk betul-betul faham dan ingat mesej dan isinya.

Keistimewaan novel ini adalah penceritaan melalui tiga perspektif, sudut pandang pertama, kedua dan ketiga. Sudut pandang kedua itu paling istimewa, kerana tidak mudah menceritakan sesuatu melalui perspektif 'engkau'. Memang sesuatu yang jarang digunakan dalam penulisan kerana kebiasaannya kita selalu berjumpa dengan 'aku' atau 'dia'. Yang paling baru pernah saya baca, juga banyak menggunakan sudut pandang ini adalah Mawar Shafei, dalam koleksi cerpennya Masitah (belum habis baca sepenuhnya lagi). Oleh sebab Tuhan Manusia bersifat khutbah, elemen sastera sebegini mampu mengelakkan pembaca yang mungkin mudah bosan dengan sekian banyak fakta. (Harap-harapnya tidaklah)

Sambil itu saya menghargai catan yang menghiasi muka depan buku ini. Mungkin ada yang mengatakan kulitnya tampak kebudakan. Tetapi imej catan memang bukan nilainya, kerana saya rasa kita patut menguliti maksud dan mesej di sebaliknya. Catan ini merupakan karya seorang pelukis dan kurator bebas bernama Khairul Azuwan, bertajuk Monster's Garage. Ia catan fantasi dengan gaya surrealisme. (Penerangan rinci ada ditulis dihujung buku ini sebenarnya.)

Secara ringkasnya, lukisan ini merupakan simbolik kepada pelbagai ahli falsafah dan ideologi barat yang sering diagung-agungkan. Raksasa jelik sedang dalam tawa memerhatikan makhluk kecil dalam aksi tidak ketentuan dan juga menjelma dalam bentuk aneh. Sebagai seorang pelajar aliran seni saya suka menatap dan menaakul maksud hasil seni serupa ini. Saya masih ingat dalam satu kelas seni dahulu, kami diminta melukis sebuah psycho self-portrait; iaitu melukis potret sendiri, tetapi tidak disampaikan secara literal. Jadi kami masing-masing cuba menafsir apa yang cuba disampaikan secara figuratif melalui catan masing-masing. Ah, sangat rindu waktu-waktu itu.

Tuhan Manusia diceritakan melalui kaca mata Ali Taqi, seorang remaja yang masih di bangku sekolah menengah. Abangnya Talha telah murtad dan menukar nama kepada Thomas. Terdesak, dia ingin segera memahamkan dirinya apakah punca yang menjadikan seseorang itu murtad. Lalu dia membenamkan dirinya dalam lautan falsafah dan agama demi mencari kebenaran.

Manusia, mahu bertuhankan apa sebenarnya?

helaianRindu: Sudah habis mod raya. Tapi, kuih batang buruk dari Sabah yang resipinya berbeza tak boleh berhenti ditelan.

Related Posts with Thumbnails