Memaparkan catatan dengan label motivasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label motivasi. Papar semua catatan

November 03, 2010

Lima Menara, Satu Perjalanan

Judul: Negeri 5 Menara
Penulis: A.Fuadi
Penerbit: PTS
Tahun: 2010
Harga: RM20
Bil. mukasurat: 488

Sangat asing sekali membaca sebuah novel berkisarkan kehidupan pelajar-pelajar di sekolah pondok. Sekurang-kurangnya di Malaysia jarang sekali latar ini diketengahkan. Yang ada pun paling tidak, di sekolah biasa. Negeri 5 Menara merupakan novel yang menggunakan latar sebuah pondok moden di Indonesia. 

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri di Pondok Modern Gontor, penulis mengolah jejaknya dari pondok tersebut sehinggalah tamat pengajiannya dan kejayaannya setelah itu menjadi sebuah kisah motivasi yang unik. 

Impian dia untuk menjadi seperti B.J Habibie (Presiden Ketiga Indonesia). Cita-cita ibunya pula mahu menjadikan dia persis Buya Hamka, lantas menghantarnya ke Pondok Madani di Jawa Timur. Alif Fikri pergi dengan separuh hati, antara mahu dan tidak, tetapi hari-hari di Pondok Madani nyata mengubah dirinya. Laungan kalimat sakti man jadda wajada oleh Kiai Rais, ketua PM melantun-lantunkan semangat baru dalam dirinya.

Sepanjang kehidupan berasrama di PM, dia menemukan beberapa teman yang banyak berkongsi suka duka. Ada Raja yang rancak berpidato, Said yang beraura pemimpin, Atang yang mahir dalam seni teater, Baso yang rajin menghafal Al-Quran, dan Dulmajid yang suka membaca.  Di bawah menara masjid, mereka selalu bertemu dan memerhati kesumba langit senja. Awan-awan yang berarak seolah-olah menjelma menjadi negara dan benua impian masing-masing. Apa menara-menara impian mereka mampu dicapai? Begitu gumam mereka. Syair Imam Syafie mengiringi angan-angan mereka:

Orang pandai dan beradab
Tidak akan diam di kampung halaman
Tinggalkan negerimu dan
Merantaulah ke negeri orang...

Setelah membaca dari awal sampai sudah, ternyata Negeri 5 Menara memberi perasaan yang bercampur-campur. Jujur saya katakan, ceritanya tidak terlalu luarbiasa. Jalan cerita dan plot yang disediakan secara bingkai-bingkai kecil (story arcs) juga sederhana, kerana ceritanya adalah cerita kehidupan sepanjang di asrama PM dari tahun pertama kemasukan hinggalah tahun akhir. Tidak ada peristiwa yang terlalu dramatik ataupun bersifat misteri/saspen. 

Cuma, apa yang mengindahkan prosa ini adalah penggunaan bahasa dan susunan kata yang pada saya bersifat 'nostalgik' dan 'jujur'. ('Jujur' maksud saya adalah penceritaan dari perspektif pelajar yang adakalanya kurang matang, nakal dan lucu.) Kata-kata hikmah dan nasihat yang mengalir deras dari Kiai Rais sangat baik sekali. "Dahulu menjual mengkudu sekarang menjual durian, dahulu tidak laku sekarang jadi rebutan." adalah antara kata yang mempesona di penghujung buku dari beliau untuk para santri yang sudah tahun akhir.

Jika ingin dikaitkan dengan pembaca, rasanya paling dekat sekali tentulah para pelajar. Juga tidak kurangnya untuk para guru dan bakal pendidik. Mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan mungkin mampu menilai banyak perkara dari novel ini. Sistem pendidikan yang tegas tapi kreatif dijalankan di pondok moden tersebut sangat sesuai diteladani baik buruknya, pahit manisnya. 

Antara yang menarik minat saya adalah sistem hukuman kepada pelajar yang melakukan kesalahan. Antara hukumannya adalah mereka perlu menjadi semacam detektif untuk menyiasat pelajar lain yang melakukan kesalahan pula. Sebagai orang yang bersalah, memerhati kesalahan orang lain pula sebenarnya akan menjadikan kita lebih awas dengan kecuaian diri, dan tentunya mengelakkan diri sendiri dari membuat perkara yang sama. Kesalahan-kesalahan sekecil mana pun tetap akan dipandang, termasuklah curi-curi berbahasa Indonesia (wajib berbicara dalam Bahasa Arab atau Inggeris di PM)!

Sekaligus, novel ini menjadi sebuah pengenalan baru yang mematahkan pandangan pesimis masyarakat tentang institusi pesantren atau pondok. Ternyata di pondok juga ada pelajaran falsafah, seni dan sains, bukanlah agama seratus peratus. Pelajar diwajibkan bergiat aktif dalam latiahn berpidato, dan juga mengembangkan bakat atau bidang yang diminati. Bukan bermaksud masuk pondok ini seperti penjara dan cuma pilihan terakhir bagi mereka yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. (Terhibur menonton bual bicara buku ini dalam sebuah rancangan TV Indonesia di sini)

Sesekali jika anda inginkan novel yang mengimbau kenangan zaman persekolahan, rasanya novel ini cukup bagus untuk memenuhi hasrat itu. Seperti kata saya awal-awal tadi, ayat-ayatnya yang nostalgik dan jujur sangat dekat dengan lumrah jiwa seorang pelajar. Lagi-lagi setelah kita bersusah payah menempuhi zaman itu dan di penghujungnya kita bertemu impian yang diidam sejak dulu, seperti enam sekawan itu.

"Sesudah kami mengerahkan segala ikhtiar dan menggenapkan dengan doa, Tuhan mengirim benua impian ke pelukan masing-masing. Kun fayakun, maka awalnya awan impian, kini hidup yang nyata. Jadi jangan pernah remehkan impian, walau setinggi apa pun. Tuhan sungguh Maha Mendengar."

*Buku ini buku pertama dari trilogi 5 Menara. Buku kedua sudah terbit di Indonesia dengan tajuk Ranah 3 Warna. Sumber gambar di sini.

HelaianRindu: Tidak mampu tulis banyak lagi Saat ini mendengar lagu Jalan Masih Panjang dendangan Edcoustic, kena sungguh dengan mood baris-baris akhir kisah ini. 


September 17, 2010

Mendepani Realiti Cinta

Judul: Bercinta Sampai ke Syurga (Aku Terima Nikahnya #2) 
Penulis: Hasrizal Abdul Jamil 
Penerbit: Galeri Ilmu 
Tahun: 2008 
Harga: RM25 
Bil.mukasurat: 271

Tampil lagi dengan isu cinta dan rumahtangga, kali ini Ustaz Hasrizal membawa pembaca untuk berfikir lebih jauh, untuk pandang bukan sahaja pada masa kini, tetapi pada masa hadapan dan belakang. Apa yang saya dapat petik dalam isu dua dari siri Aku Terima Nikahnya ini adalah persoalan ‘mendepani realiti’. Sasarannya bukan sahaja pembaca yang mahu dan sudah berumahtangga. Malahan sesiapa sahaja boleh mengambil ibrah daripada buku ini, khususnya para guru dan anak-anak yang terlibat langsung dalam pembentukan individu dan baitul muslim.

Buku ini difokuskan pada kehidupan pasca lafaz ‘Aku Terima Nikahnya’, yakni sesudah berjaya mengikat tali pernikahan. Banyak kisah-kisah pahit manis yang dikongsi oleh penulis dalam menggambarkan suasana dalam rumahtangga. 

Membaca buku ini akan membuatkan pembaca berfikir beberapa kali mengenai tanggapan mereka tentang rumahtangga. Selepas membaca buku ini saya juga menimbang-nimbang kembali pandangan saya terhadap isu ini. Memang, isu ini adalah satu cabaran buat kita. Ada pasangan yang sudah tepu ilmu agama, tetapi masih berlaku dugaan dalam hidup berdua. Itu belum kira mereka yang tidak kuat agamanya, yang permulaan pernikahannya tidak begitu baik.

Ramai pasangan yang lupa realiti hidup berkeluarga ini memerlukan dua perkara, iaitu cinta dan tanggungjawab. Sesetengah orang hangat bercinta, tetapi berantakan keluarganya kerana lupa melunaskan tanggungjawab, lalai dalam menunaikan hak. 

Di satu pihak yang lain pula, sudah tahu mana tugasnya dan nafkah yang perlu diberinya pada anak isteri. Sayangnya, mereka terlupa untuk mengakrabi pasangan masing-masing untuk memekarkan cinta antara mereka. Akhirnya yang tinggal juga sebuah keretakan.

Dalam cabaran penulis mendepani realiti kehidupan pasangan lain di Malaysia, penulis juga tidak lupa membandingkan dan memberi muhasabah melalui kehidupan familinya sendiri. Ada masam-manis dalam mendidik anak-anak, ada kunci untuk memesrai pasangan, ada pula bicara dan luahan rasa dengan pelbagai lapisan manusia yang sedang mendepani realiti kehidupan mereka dengan tanggapan yang berwarna-warni. 

Tugas penulis, melakarkan kembali lingkaran perspektif yang sesuai untuk menghadapi tanggapan yang berbeza-beza ini. Pembaca tidak akan sesekali disuakan dengan jawapan Ya atau Tidak, tetapi diluruskan kembali dengan weltanschaaung penulis berlandaskan syariat dan juga konteks perkara tersebut. Lebih menarik lagi, apabila sesebuah permasalahan yang dibincangkan disatukan dengan resensi filem dan mutiara kata dari tokoh-tokoh semasa baik dari Timur atau Barat, selain memetik isi Al-Quran dan teladan dari hadis Nabi.

Kahwin awal? Ber’couple’? Kahwin cara zaman dahulu? Berumahtangga di perantauan semasa masih belajar? Bagaimana menjadi ibu bapa yang baik? Bagaimana memesrai pasangan kita? Bagaimana cara melayan kerenah dan persoalan yang dikemukakan anak-anak? Poligami pula, macam mana?  

Bertalu-talu persoalan, saya pasti semua mampu terjawab, jika kalian bijak mengekstrak teras solusinya dalam kompilasi artikel-artikel penulis. 

Meminjam kata-kata penerbit, pasti ada yang akan terkena batang hidung selepas membaca naskhah ini, tidak kurang yang bakal lega kerana akhirnya mendapat suara (saya antaranya yang lega itu, ada sebuah artikel yang betul-betul kena pada saya!). Selain isinya yang tajam menegur dan penuh nasihat, ada juga diselang-selikan dengan jenaka-jenaka yang menjadikan pembacaan santai.

Barangkali selepas membaca Bercinta Sampai ke Syurga, akan ada pula golongan yang takut untuk berumahtangga... tetapi itulah realitinya hidup kita, banyak cabarannya. Baitul Muslim sememangnya satu titik penting dalam membangunkan ummah dan tentunya dalam membentuk insan-insan yang mendirikannya juga sukar. Membentuk manusia dan perkara yang berkait rapat dengannya bukannya seperti membentuk tanah liat supaya menjadi bentuk yang kita suka. 

Mendepani realiti memang susah, apalagi untuk menguruskan situasi itu secara amali. Tetapi, sekurang-kurangnya, jika kita sudah bersedia menghadapinya, tentu lebih mudah untuk menerimanya bukan? Penulis sendiri mengingatkan, bahawa dia bukanlah bapa mithali yang sempurna serba-serbi. Dia menggelar dirinya ‘bapa realiti’ yang juga terdedah pada pengaruh emosi dan suasana. Manusia akan tetap kekal sebagai manusia yang banyak kelemahan, tetapi setidaknya kita menjadi lebih kuat dengan mengambil ibrah dari penulis. 

Jadi terimalah naskhah ini untuk memperhalusi ukiran baiti menjadi jannati, supaya dapat kita mengalun irama sakinah, mawaddah dan rahmah dalam institusi rumah tangga.

Insya Allah, ada hasilnya.

Nota: Baru-baru ini buku ini tercalon sebagai finalis Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian.

HelaianRindu: Takziah buat keluarga Sosilawati Lawiya.


Ogos 14, 2010

Setengah Berisi, Setengah Kosong?


Judul: Setengah Berisi, Setengah Kosong?
Penulis: Parlindungan Marpaung
Penerbit: PTS Millennia
Tahun: 2008
Harga: RM25
Bil. mukasurat: 272

Buku ini merupakan hadiah dari seorang teman akrab, Zarif, lebih setahun lalu sempena ulangtahun kelahiran saya (baru sekarang membacanya!). Mirip buku motivasi Chicken Soup for the Soul yang popular di Barat. Kandungannya adalah anekdot-anekdot, catatan pengalaman ringkas, dan juga lelucon-lelucon yang disertakan dengan pengajarannya yang tersendiri mengikut perspektif penulis.

Tajuk Setengah Berisi, Setengah Kosong itu memperihalkan aspek yang dipersembahkan melalui anekdot-anekdot yang disertakan. Bermula dari secawan gelas yang diisi separuh dengan air, adakah penonton akan mengatakan gelas itu separuh berisi, atau adakah anda akan berkata ia separuh kosong? 'Melihat sesuatu melalui sudut pandang berbeza'--inilah yang menjadi inti nasihat yang dikemukakan.

Buku ini dibahagikan kepada lima bahagian. Setiap bahagian terkandung cerita-cerita yang disaduri tema yang sepadan. Bahagian-bahagian itu adalah Kasih Sayang, Komunikasi, Motivasi, Profesionalisme, dan akhir sekali Tingkah Laku. Lebih kurang sepuluh kisah dimuatkan dalam setiap satunya.

Penulis cuba membawa perspektif lain pada kisah-kisah tersebut, yang sesetengahnya pernah kita dengar atau baca. Saya juga mendapati ada anekdot yang pernah saya terima melalui forwarded email, ada yang saya terbaca di majalah-majalah sebagai sisipan jenaka. Kebiasaannya, cerita yang saya dapat itu dipandang pada sudut jenaka semata-mata. Tetapi penulis mengambil secubit pengajaran bukan sahaja dari penghujung cerita seperti yang kita biasa lakukan. 

Kadangkala, penulis mengambil contoh dari tengah kisah yang kecil sifatnya dan mungkin kita lepas pandang, tetapi hakikatnya isu itulah yang mempengaruhi keseluruhan cerita dan memberi pengajaran terbesar.

Saya masih ingat kata-kata teman saya di akhir sebuah program yang saya ikuti tidak lama dulu:
"Jangan pandang apa yang program ini beri pada kita, tetapi fikirkan apa yang telah kita sumbangkan untuk menjayakan program ini!"

Lihat, betapa pentingnya untuk kita memandang dari sudut berbeza! Cara ini membantu kita muhasabah dengan lebih baik.

Penulis Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam buku terbarunya Secangkir Teh Pengubat Letih ada menyatakan, "Siapa kamu menentukan cara kamu melihat. Kesannya pula ialah, cara kamu melhat menentukan apa yang kamu dapat." Bermakna, pengajaran-pengajaran yang diekstrak dari sebuah cerita tentunya berbeza mengikut sudut pandang kita. 

Tidak semestinya kita terikat dengan penjelasan yang disediakan penulis. Sekiranya ada sudut pandang yang positif dan bermakna buat diri kita untuk dikongsikan dari cerita yang sama, apa salahnya untuk mengambil pengajaran yang berbeza? Setiap orang mempunyai pengalaman hidup yang berbeza-beza, sekaligus menjadikan penerimaan kita terhadap sesuatu peristiwa juga berbeza-beza. Tentunya, semua bergantung pada niat: Apa yang ingin kita cari dari sebuah buku@peristiwa dan sebagainya?

Sayangnya, pengajaran yang dimuatkan tidak dirangkumkan dengan nilai Islami, jauh sekali mengimplementasi dalil-dalil. Mungkin disebabkan penulis ingin meluaskan skop audiens yang membaca bukunya, yakni tidak tertumpu kepada muslim semata-mata. Sebagai sebuah buku motivasi, malah berasal dari Indonesia yang berbilang agama, tidak hairanlah buku ini ditulis seperti sekarang. Tentunya, pembaca tua atau muda boleh membacanya kerana isinya yang bersifat umum.

Buku ini dicadangkan penerbit untuk mereka yang inginkan minda sentiasa positif dan kreatif. Juga bagi mereka yang inginkan inspirasi yang menjadikan anda kekal optimis. Sekiranya anda  sememangnya orang yang bersifat begini, mungkin tidak perlu lagi membaca karya ini. Tidak salah membacanya, tetapi saya rasakan masih banyak buku yang lebih baik dan lebih penting untuk diladeni untuk anda yang sudahpun positif.

Sekiranya anda tercari-cari idea untuk memberi penyampaian pada orang lain, mungkin buku ini sesuai. Ustaz Hasrizal sendiri, selalu menggunakan pendekatan cerita-cerita pendek sebegini dan memberi pengajarannya mengikut tema yang disampaikan. Dia juga pernah mencadangkan untuk pembaca mengambil manfaat dari buku ini dalam sebuah artikel di laman sesawangnya yang bertajuk Antara Optimis dan Pesimis.

(Saya juga belum menghabiskan keseluruhan buku ini, cuma menelaah beberapa kisah dari bahagian-bahagian tertentu sahaja!)

Antara kisah yang termuat, Keajaiban 1 Dolar 11 Sen; Setengah Berisi, Setengah Kosong; Telinga Si Ibu; Harga Waktu Ayah; Burung Kanada; Membakar Jambatan; Aku Bukan Ayam; dan lain-lain.

HelaianRindu: Harap Zarif sihat selalu. Jom main air sabun dan krim kek! Haha.


Ogos 10, 2010

Emak Ingin Naik Haji

Pergi haji ke tanah suci
Menjalani niat yang murni
Wajahnya berseri-seri
Penuh rahmat dari Ilahi
Semoga Tuhan memberkahi
Amal ibadah insani

Lagu ini sudah wujud di dalam laptop saya sekian lama tapi buat pertama kali saya rasa terusik untuk mendengar dan menghayatinya. Rasa itu mampir saat menonton trailer filem ini dan membaca rekomendasinya dari teman saya, Naqeb yang baru-baru ini menontonnya. Lagu  ini bertajuk Pergi Haji dendangan Haddad Alwi dan Ashila.

Kisah ini kisah seorang hamba Allah yang terlalu mendambakan untuk menunaikan haji di tanah suci tetapi tidak kecukupan wang. Wang simpanan hasil jualan kuih muihnya masih sedikit jika hendak dibandingkan dengan kos mengerjakan haji yang kian meningkat tahun ke tahun. Anaknya Zain juga hanya berjualan lukisan-lukisan di jalanan, susah untuk mendapatkan hasil.

Wang itu pula terpaksa digunakan untuk belanja pembedahan cucunya, kemudian menolong jirannya yang kesempitan wang dan makanan. Di satu sisi yang lain, diceritakan pula seorang ahli politik yang segera ingin menunaikan haji demi nama dan kepentingan politik semata-mata, dan tetangga Zain yang kaya sudah beberapa kali berangkat ke Mekah menunaikan umrah dan haji.

Betapa emak ingin naik haji, sekalipun wangnya tidak kisah dihabiskan untuk orang lain, dia masih sedih di lubuk hati. Babak menitisnya airmata ibu di atas helaian-helaian Al-Quran usang ketika membaca surah Ali-Imran begitu menggambarkan keinginannya yang teramat. Apatah lagi, saya perasan bacaannya terhenti di ayat 96, ayat yang menceritakan tentang Baitullah di bumi Mekah yang penuh barakah...

Tentang Sikap

Emak, walaupun hidupnya susah, tetap mementingkan keluarganya dari dirinya sendiri. Kesusahan yang dilalui cucunya perlu ditanggung. Juga dua beradik di sebelah rumah yang terlalu ingin makan yang sedikit mewah tetapi tidak mampu kerana kesempitan wang dek ayah yang sakit dan tidak mampu bekerja.

Zain pula, begitu sayang dan kasihan kepada ibunya, berusaha sedaya upaya mencari duit untuk mengganti semula duit simpanan yang dibelanjakan untuk anaknya. Di waktu malam dia berkejaran mencari siapa-siapa yang ingin membeli lukisan-lukisannya tetapi dihampakan. Hampir sahaja dia mencuri masuk rumah jirannya demi mendapatkan duit, namun dengan hidayah Allah, kehendaknya dibatalkan.

Bagaimana dengan tetangga-tetangganya? Jirannya yang tinggal di sebelah rumah sangat kaya, tetapi entah kenapa seperti tidak diendahkannya. Sementara makanan yang disediakan untuk anak-anak mereka begitu mewah dan berlebih-lebih, jiran di sebelahnya pula sampai memakan bangkai burung demi merasa nikmat makan daging. Ahli politik di kawasan tersebut pula tidak mengejar peluangnya untuk beribadat sebanyak-banyaknya, katanya cukuplah sah, dan asalkan gelaran haji itu mampu meraih perhatian masyarakat nanti.

Sedangkan emak yang tidak mampu dari segi wang, cuma mampu menatap gambar-gambar, dan sebuah potret kaabah yang dilukis anaknya...

Nuansa Adaptasi

Lihat saja filem-filem Indonesia, bak kata Naqeb teman saya itu, banyak yang berjiwa. Filem-filem, drama dan cereka TV Malaysia, berapa banyak saja yang bersifat sedemikian? Filem ini sebenarnya diangkat dari sebuah cerpen yang ditulis oleh Asma Nadia, yang termuat dalam naskhah kompilasi cerpen-cerpennya yang diberi tajuk sama.

Daripada sebuah cerpen, boleh terbit sebuah filem. Malah mampu dilihat walau tajuk dan tema kisahnya begitu simple, tetapi ideanya berkualiti dan jalin watak dan peristiwanya bernas. Betapa bagus apabila sebuah cerita di layar lebar diadaptasi daripada cerpen kerana setiap butir cerita mampu dipersembahkan kepada penonton malah boleh digubah untuk menjadikannya lebih menarik. Tambah menyegarkan apabila mise en scene filem ini tampil unik, diadun dengan latar tempat dan masyarakatnya yang pelbagai. Tentunya berlainan dengan melayarlebarkan novel; banyak peristiwa, dialog dan watak yang terpaksa diketepikan demi jalan cerita utama.

Aneh bukan, di Malaysia, kita punya banyak karya-karya sastera, yang mutunya tinggi dari segi plot dan nilai, tetapi tidak diendahkan untuk dihidupkan ke dunia realistik. Sastera Islami yang berkembang dari hari ke hari cuma tinggal untaian kata-kata, dan kaca televisyen makin penuh dengan cerita cinta yang meloyakan, cerita Islamik yang klise dan mendatar penceritaannya. Tidak kurang juga cerita seram yang entah di mana pengajarannya.

Cerita Emak Ingin Naik Haji hanya berdurasi sejam, tetapi sudah cukup untuk menggegar nubari. Banyak lagi yang boleh dikupas, tetapi saya pulangkan pada pembaca untuk menonton dan mengambil pengajarannya sendiri.

"Emak mungkin tak mampu buat melewati samudera yang luas begitu untuk ke tanah suci.. tapi mak yakin, Allah pasti tahu....hati emak sudah lama ada di situ..sudah lama ada di situ.."

HelaianRindu: Sudah bersediakah aku?


Julai 25, 2010

Haru$ Kaya Macam Abdurrahman

Sempena Peraduan Mengulas Buku PTS yang sedang berlangsung sehingga awal Ogos ini, saya sempat membaca naskhah nipis setebal 125 halaman ini. Buku ini diwara-warakan sebagai sebuah bestseller di Indonesia, dan telah terjual melebihi 20,000 naskhah.

Penanda buku guna duit, boleh??

Saya Tidak Mahu Kaya Tetapi Harus Kaya (2007)
Aa Gym
PTS Millennia
125 halaman, RM19.

Tentu kita masih ingat fenomena yang pernah melanda negara kita beberapa tahun kebelakangan, tentang skim cepat kaya, peraduan gores dan menang, jana duit dengan blog dan pelbagai lagi teknik-teknik atau jalan untuk meraih wang. Tambah parah apabila rakyat cuba mendapatkan duit dengan cara yang salah, hanya kerana ingin mendapatkan kekayaan sesegera mungkin. 

Tetapi harus disedari buku ini tidak termasuk dalam kategori buku-buku yang banyak terbit ketika itu, yakni yang menawarkan teknik-teknik menjana wang, atau cara untuk melabur, berniaga dan sebagainya. Sebaliknya, pembaca dipersembahkan dengan nilai kekayaan yang sebenar dari sudut pandang Islami.

Apa yang mahu disampaikan oleh penulis dalam buku ini adalah jawapan-jawapan kepada persoalan:
  • Mengapa saya harus jadi kaya?
  • Mengapa penulis mengatakan kekayaan itu satu keperluan dan bukan lagi keinginan?
  • Bagaimana cara untuk menjadi kaya menurut perspektif Islami?

Menurut penulis, kekayaan harta sebenar-benarnya hanyalah nilai tambah atau kekayaan bonus selagimana kita mencari terlebih dahulu lima jenis kekayaan. Kekayaan tersebut adalah, kekayaan semangat (idea), kaya input (ilmu), kaya gagasan (pengalaman), kaya ibadat dan akhir sekali kaya hati. Formula kaya ini ditulis sebagai GIGIH + H, setiap huruf pada GIGIH itu melambangkan setiap satu dari lima kekayaan tersebut, dan H di hujung itu adalah kaya harta, bonus bagi mereka yang berjaya mencapai lima kekayaan itu.

Berbanding buku motivasi biasa, bagusnya buku ini kerana penulis mendatangkan dalil-dalil Al-Quran, hadis-hadis, sirah dan juga kata-kata ulama' yang memberi contoh jelas kepada kita setiap subtajuk yang dipersembahkan.

Selain huraian dalam bentuk teks, sesetengah tajuk, contohnya dalam bab Mengubah Sikap, terdapat ilustrasi dalam bentuk peta minda untuk memudahkan ingatan pembaca dan meningkatkan kefahaman dengan lebih cepat tentang jenis sikap dan kesannya. Perkara yang patut diberi perhatian atau poin-poin yang memberi gambaran utama pula, ditonjolkan dengan tulisan tebal di dalam petak berwarna.

Namun, ada formula yang boleh kita senaraikan sendiri, dan tidak semestinya terikat dengan apa yang disampaikan penulis. Contohnya formula 7B, antaranya, bekerja, belajar, beribadat--semuanya hanya kata kerja yang dimulai dengan awalan be-, jadi tidak salah jika kita melebihkan lagi sifat-sifat yang dirasakan baik, asal tidak bertentangan dengan syariat tentunya.

Sejarah memperlihatkan kita dengan peribadi contoh Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Auf yang kaya harta tetapi tetap bersifat zuhud serta qanaah. Bagi mereka harta itu satu nilai tambah semata-mata, dan tidak bermakna sekiranya tidak dimanfaatkan pada jalan dakwah. Bagi mereka, tiada apa-apa pun tidak mengapa, kerana bak kata Abu Bakar, cukuplah bagiku Allah dan RasulNya. Abdul Rahman bin Auf pula menjadi takut dan khuatir, takut-takut hartanya yang banyak diperolehinya dari perniagaan itu menahannya dari memasuki syurga. Sedangkan mereka ini telah dijanjikan syurga!

Kekayaan harta kadang-kadang juga boleh menjadi fitnah, dan menjadi punca kekufuran. Lihat saja pada Qarun. Sebab itulah penulis menekankan aspek rohani sebelum aspek materi. Tidak salah berharta, tetapi sekiranya tiada iman yang membentengi diri dari dikuasai nafsu tamak, tiada gunanya.

Isi yang menarik perhatian saya dalam buku ini adalah tentang pembahagian rezeki. Ada tiga jenis rezeki yang dihuraikan, iaitu rezeki yang dijamin, rezeki yang digantung, dan akhir sekali rezeki yang dijanjikan. Apa dia dan dalilnya, ada di dalam buku ini untuk anda baca.

Mungkin ramai yang sudah tahu dan faham tentang isu 'hakikat kaya' ini, tetapi tidak salah membaca naskhah ini bukan? Penulis Zamri Mohamad pernah menguar-uarkan idea yang dilaungkan oleh Takeshi Yoro melalui bukunya Baka no Kabe (Dinding Kebodohan), iaitu "Apabila kita berkata kita sudah tahu, terus dinding kebodohan akan dibina." Jadi, setiap kali membaca sebuah buku, pastikan kita tidak bersifat skeptikal dan menganggap sudah cukup berilmu. Siapa tahu di dalam buku yang ringkas ini ada secebis ilmu baru yang tidak kedapatan di mana-mana?

Oh ya, jom meriahkan peraduan mengulas buku PTS! Maklumat lanjut boleh dilayari di laman webnya, di sini.

HelaianRindu: Statistik tahun 1996 mengatakan rakyat Malaysia hanya membaca purata 2 buku setahun. Tahun 2005, sebuah lagi kajian dijalankan ke atas 60, 441 rakyat Malaysia, dan bilangan purata buku yang dibaca setahun masih tak berubah! Sedangkan orang Jepun membaca purata sebanyak 40 buah setahun! Kita ini masih belum kaya sikap dan ilmu nampaknya...


Mei 04, 2010

The Alchemist: Sebuah Falsafah Impi

Judul: The Alchemist
Penulis: Paulo Coelho
Penerbit: HarperCollins
Tahun: 2006
Bil. mukasurat: 161
Harga: RM32.90

Prolog yang ditulis oleh Coelho begitu cantik, kawan saya Syafiq Rasidi yang menggetus saya untuk menggeluti semula karya Coelho setelah saya skeptikal membacanya suatu masa dulu!

Novel Paulo Coelho seperti selalu, menghidangkan intisari perjalanan spiritual seorang individu, kali ini dalam figura seorang budak lelaki bernama Santiago. Berasal dari Andalusia, Sepanyol, dia mengembara dari hujung benua Eropah ke benua Afrika demi merealisasikan mimpinya untuk bertemu harta karun di Mesir. Sepanjang perjalanan itu, dia diajari dan mempelajari bagaimana berbahasa kepada semua orang termasuklah alam sekeliling, dengan Bahasa Alam (Language of the World), juga bagaimana untuk memahami Jiwa Alam (Soul of the World).

Tidak lama dahulu saya sempat menghadiri sebuah seminar mengenai sistem-sistem Islam, dengan keynote addressnya disampaikan oleh Ustaz Maszlee, (terkenal sebagai seorang kolumnis PalestinKini.info, juga terkenal sebagai penulis buku Fikah Luar Negara, yang juga pernah menjentik minat saya membaca The Alchemist tahun lalu). Dalam ucaptamanya, Ustaz ada membacakan sepotong ayat dari surah Al-Hujurat, yang saya pasti ramai yang biasa mendengarnya. Ayat tersebut berbunyi:




Maksudnya: Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui lagi Mahateliti. (Al-Hujurat:13)

Ustaz menekankan bahawa ayat ini punya nilai sejagat. Sifatnya universal kerana ia ditujukan untuk semua manusia, tiada spesifikasi. Terjemahan yang diberi Ustaz sedikit berbeza dengan terjemahan dalam Al-Quran yang biasa disebut, yakni diciptakan kita berbangsa-bangsa bukan sekadar berkenal-kenalan, tetapi perkataan li ta'arafu' itu juga bermaksud untuk saling mempelajari. Tetapi apa kaitannya dengan karya Coelho ini?

Dalam karya ini, Coelho menunjukkan kepada kita watak Santiago yang bersifat universal. Walaupun dia tidak punya pegangan agama yang jelas, dia membuktikan yang walaupun manusia berlainan bangsa, ada sesuatu yang boleh dipelajari dari setiap individu yang berbeza. Persinggahannya di kota Tangier dan pertemuannya dengan penjual kristal menjadikan dia lebih bijak menilai baik buruk sesuatu, mengenal sebab-musabab dan visi yang mendorong sesorang untuk mengejar impiannya, juga belajar serba-serbi bahasa, termasuklah bahasa Arab. Penjual kristal itu juga mampu belajar dari seorang budak mengenai taktik perniagaan.

Tidak dilupakan bibit-bibit percintaan pemuda ini dengan seorang gadis yang dijumpainya di gurun, bernama Fatima. Dalam babak-babak ini, kita diperlihatkan dengan 'bahasa sejagat' yang menghubungkan manusia dan makhluk selainnya. Sebagai seorang pengembara, bertemu seorang yang dikasihi bukanlah mudah, jadi perasaan itu ditafsirkan penulis secara halus sebegitu.

Ah, terlalu falsafi bukan?

Bercerita mengenai tulisan Coelho, entah sampai bila pun tidak boleh betul-betul berhenti. Novelnya saya kira lunak dengan analogi dan simbolisme yang membuatkan pembaca berfikir dan membandingbeza. Ya, pada awalnya, setelah membaca reviu yang pelbagai, biar baik dan buruk sekalipun, saya memikirkan buku ini pasti merumitkan akal dan menuntut kita memberati fikiran dengan selambak ideologi motivasi bersifat relijus yang likat. Alangkah terkejutnya saya apabila sudah membaca lebih separuh dari buku ini dan mendapati kisahnya sangat ringkas dan kronologikal, yang tinggal hanyalah kebebasan pembaca menafsir maknawi kisah ini!

Lebih dekat lagi dengan pembaca, kisah ini diserikan dengan pelbagai 'panduan' ataupun kata-kata inspirasi yang mengajak kita berfikir kembali tentang cita-cita dan impian: Sejauh mana kita berusaha demi merealisasikannya? Bukan itu saja, Coelho juga menguasai nilai dan prinsip dalam Islam, dan ini ditanamkan agak baik sepanjang kisah ini berlaku di negara Arab, bermula di Maghribi. 

Seperti karyanya yang lebih baru yang pernah saya baca bertajuk The Witch of Portobello, pendekatan Coelho sangat tidak monolitik (menganggap dirinya sahaja yang benar) dan berunsur universal, biarpun dia penganut Katolik yang tegar.  Penulis langsung tidak bersikap bias dan prejudis terhadap mana-mana agama. Bagi saya ini suatu yang menyenangkan, apatah lagi kalau-kalau buku ini dibaca mereka yang tinggi sensitivitinya dalam isu ini.

Apa yang saya dapati nyata dalam karya penulis, beliau memang suka mengistilahkan sesuatu dan menjadikannya satu kata nama khas. Soul of the World, Language of the World, dan macam-macam lagi. Dahulu saya tidak berkenan benar dengan idea yang dibawakan ini, tetapi setelah membaca saya yakin ini bukan sahaja stail penulisannya, tetapi lebih penting jika kita dapat berfikir mesej yang ingin disampaikan di sebalik ungkapan metaforikal tersebut. (Di bahagian belakang buku edisi baru disertakan sebuah temuramah dengan penulis oleh sebuah laman web untuk berbicara mengenai penggunaan istilah-istilah ini.)

The Alchemist sebenarnya diambil tajuknya bersempena seorang tokoh ilmu alkimi yang ditakdirkan bertemu dengan pengembala muda dari Sepanyol itu. Bertitik tolak dari pertemuannya itulah dia tekad untuk mengejar cita-citanya  sehingga ke hujungnya. Kembaranya bertemu pelbagai ragam manusia dan petanda-petanda alam (omens) memahamkan dirinya tentang apa yang patut diberi prioriti, juga kepentingan mengambil peluang dan tidak takut mengambil risiko, juga bagaimana kegagalan tidak sepatutnya menghalang kita daripada berfikir secara positif. 

Mungkin ada yang beranggapan novel ini sedikit celaru, kerana dalam menjelaskan pengamalan muslim penulis juga membawa sisi kurang elok. Contohnya pengamalan muslim yang ditunjukkan berbeza-beza dan kadang-kadang tidak menggambarkan sikap muslim. Seperti Fatima, cinta pertama Santiago yang sanggup melanggar Tradisi atau kata lain melanggar hukum agama hanya kerana cinta. Atau selesa bercita-cita tinggi untuk menunaikan haji di Mekah seperti penjual kristal di Tangier tetapi akhirnya bila cukup harta untuk menunaikannya dia tidak mahu meneruskan impiannya itu. Atau kecelaruannya boleh juga dilihat pada babak Santiago berbicara secara terus dengan matahari dan angin dan hati. Yang pasti setiap peristiwa-peristiwa penting itu sebenarnya boleh diekstrak sendiri pengajarannya, dan itu bergantung pada kita pembaca! 

Tidak mudah untuk menyukai hasil tulisan Coelho! Sebanyak manapun ulasan bagus tentang buku-bukunya, secara peribadinya saya bukan sealiran dengan cara pemikirannya. Ingat, yang menilai adalah anda pembaca, bukan saya sahaja. Jika jernih ambillah, kalau keruh buanglah.


Baca ulasan The Witch of Portobello di sini.

HelaianRindu: Aku pun belum betul-betul berani!  Bagaimanapun, Al-Quranlah sumber inspirasi sebenar! Mahu jadikan ia pegangan sepenuh hati!

Februari 05, 2010

Berguru Tentang Hidup: Tuesdays With Morrie


Judul: Tuesdays with Morrie
Penulis: Mitch Albom
Penerbit: Sphere
Tahun:1997
Harga: RM29.90

Kata mereka, buku ini bagus, sudah menjadi bestseller, menyentuh hati. Hebat, mantap, malah mengesankan. Malah suatu masa dulu siap dibikin menjadi filem. Itu kata mereka, tapi bagaimana saya?

Dahulu saya mengenali Mitch Albom melalui karyanya "For One More Day"—tentang seorang anak yang kehilangan tuju hidup, kemudian ditakdirkan bertemu dengan ibunya yang telah mati 8 tahun lalu.  (Klik sini untuk baca bingkisan For One More Day). Pada saya, cara kisah itu diperturunkan cukup impresif, dan impaknya lahir dengan hanya membaca sekali lalu. Sebab itulah, saya yakin akan kebolehan Albom dan kemudian tergerak hati membeli buku ini pula. Apatah lagi masa itu Borders sedang menjamu pelanggan dengan runtuh harga besar-besaran demi menghabiskan stok. 70% diskaunnya, siapa yang tak mahu singgah!

Tapi, entah kenapa, ada yang tak kena dari awal pembacaan saya hinggalah ke penamatnya. Saya tidak terkesan macam membaca novel For One More Day. Buku, jika benar-benar inspiring, tentunya akan meninggalkan aftereffect, kalau tidak banyak, sedikit pun jadilah. Mungkin hanya saya sendiri, tapi pembaca lain boleh menilai sendiri. Yalah, de gustibus non est disputandum. Jadi jangan disebabkan saya, impresi awal anda sudah berubah. Baca dahulu!

Kisah ini adalah rakaman kisah benar penulis sendiri ketika dia bersama dengan mendiang profesornya di universitinya dahulu. Dia antara pelajar kegemaran profesornya yang bernama Morrie Schwartz. Tamat pengajian, dia berjanji dengan gurunya itu untuk sentiasa menghubunginya, tetapi setelah bertahun meninggalkan universiti, langsung dia lupakan janji itu. Saat Morrie muncul di sebuah rancangan televisyen bertahun selepas itu kerana terpilih sebagai persona contoh, Mitch Albom terkenang katanya yang tak dikota dulu. Lalu, dengan tekad baru, penulis melawat bekas gurunya itu, dan bermulalah 'kuliah hidup' oleh Morrie. Pensyarahnya ingin mengajar penulis akan makna diri dan hidup sebelum dia  pergi buat selamanya. Dan kuliah-kuliah ini diadakan pada setiap hari Selasa.

Apa kurangnya ya cerita ini? Maaf, saya tidak mencari kesilapan, tetapi cuma memberi pendapat. Mungkin disebabkan jalan ceritanya yang agak mendatar, saya jadi bosan. Kerana, fokus buku ini adalah untuk menyampaikan perspektif guru penulis mengenai hidup, maka yang menjadi elemen utama cerita ini tentunya nasihat, inspirasi, dan motivasi. Bukannya unsur dramatik, saspens mahupun kejutan yang ingin ditonjolkan, tetapi unsur motivasi. Dalam kata lain, penulis mungkin memikirkan ‘yang penting adalah mesej yang ingin saya sampaikan’. Ya, boleh jadi ini sangat benar.

Begitupun, tidaklah semua isinya flat saja. Demi mengembangkan cerita dan plot, penulis memuatkan cerita dalam cerita—yakni kisah mengenai Morrie dan ayahnya, juga dengan ibunya. Kita diberi peluang menyelami personaliti Morrie dengan lebih mendalam. Dari itu kita faham kenapa pandangan peribadinya terhadap dunia lain dari yang lain. Selain itu, saya juga tertarik dengan perbincangan falsafi mengenai hidup mati dari sisi Morrie. Dia membicarakan mengenai cinta, dan perhubungan sesama manusia; bagaimana untuk menjadi seseorang yang mencintai dan dicintai, bagaimana untuk menghargai dan memaafi, juga kenapa dia sudah bersedia menghadapi mati. Aneh bukan, kalau yang bukan Islam pun begitu yakin dan siap siaga, kita yang Muslim ini, banyak yang takutkan mati. Nyatalah sekarang kenapa Rasulullah berbicara tentang bahaya penyakit wahan!

Mungkin, jika kalian mendambakan suatu pandang sisi berbeza mengenai hidup, bolehlah mencuba membaca ‘tesis’ ini. ‘Seorang guru hingga ke akhir hayatnya’, itu yang Morrie harapkan. Kita pula? Apakata kita sambut seru Rasulullah, jadi pelajar sepanjang hayat. Jadi pelajar Morrie sebentar dan ciciplah ilmu mana yang patut!

September 10, 2009

Aku Terima Nikahnya

Judul: Aku Terima Nikahnya
Penulis:
Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit:
Geleri Ilmu
Tahun:
2008
Bil. mukasurat:
227
Harga:
RM20.90


Dalam banyak-banyak koleksi buku saya, buku ini yang mula-mula saya baca cuti Jun-September ini. Tetapi peliknya saya benar-benar dapat mengulasnya di penghujung cuti pula. Tak mengapa, kerja Tuhan yang mengilhamkan, siapa tahu?

Karya ini sememangnya sudah diketahui ramai. Rakan-rakan saya sendiri banyak yang memberi respon positif, mengulas dengan semangat demi menggalak saya membaca. Ya sedikit hairan, kenapa isi kandungan buku mengenai perkahwinan boleh menarik hati. Sejujurnya saya sangat-sangat jauh dari memikir perkara munakahat. Didorongi rasa ingin tahu, saya juga pantas membeli buku ini bersama 2 lagi buku Ustaz Hasrizal di Pesta Buku dengan harga potongan.


"Jangan terburu-buru dan jangan bertangguh-tangguh."

Begitu pesan beliau pada remaja (perhatian: mengikut Ibnu Qayyim, remaja berusia antara 15-35 tahun). Ketika di bangku sekolah sudah mengelamun dibuai cinta, terbawa-bawa sampai 10 tahun baru menjalin ikatan. Akhirnya tersedar diri berada di perkarangan mahkamah tidak sampai 10 hari selepas perkahwinan. Bukan kepalang malunya, apatah lagi majlis kahwin mengalahkan artis dan kenamaan! Apakah ini kebahagiaan yang dijanji-janji ketika cinta berputik di sekolah dahulu? Sebabnya mudah, dah jemu!

Jeda sebentar. Saya terkenang situasi zaman ibu bapa kita dengan zaman kita anak-anak mereka. Mungkin ibu bapa kita masih sempat berada dalam zaman kahwin pilihan ibu bapa. Ada juga yang berkahwin dalam umur yang amat muda, belasan lagi sudah menikah. Sampaikan suatu masa, kalau yang tidak lepas sekolah, tak mampu cari kerja, anak gadis terutamanya terus dicadangkan berkahwin. Berbeza kini, yang mencari pasangan adalah kita sendiri, bukan lagi ibu bapa. Mahu kenal dengan pasangan sampai ingin tahu masa dia datang bulan! Setelah lama baru diijabkabul. tetapi lihat, mana yang lebih lama bertahan?

Maka penyelesaiannya, apa? Ikut trend zaman dulu? Atau...

Takut 'Ter'zina?

Persoalan yang biasa ditanya kepada ustaz, mengenai kahwin cepat kerana takut terzina! Alahai, ustaz benar-benar pantang dengan soalan ini. Alasannya mudah, orang itu melihat perkahwinan semata-mata pada hubungan seks. Sedangkan, perkahwinan adalah lebih, lebih lagi daripada hubungan batin itu. Perkahwinan itu tanggungjawab. Jelas ustaz, "Begin with the end in mind!", fikirkan apa yang di akhir, bukan di pertengahan mahupun di awal. Dia hanya ingat persetubuhan yang berlaku malam pertama, tetapi dia lupa di hujungnya ada anak yang bakal dia jaga dan suap dengan nafkah, dia lupa itu! Kalau sekarang sudah terfikir takut berzina, bagaimana orang ini mampu melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang suami nanti. Lemah begini mahu menjaga anak bini, hai, lelakikah awak ini?

Bayangkan, tunangnya di benua berbeza, tetapi takut terzina? Hai, untuk 'zina' yang ditakutkannya itu berlaku, salah seorang kena naik kenderaan itu ini, terbang ke benua sana, dengan susah payah baru berlaku 'zina' yang disebut-sebut itu!


Itu antara isi buku ini dan pendapat peribadi saya.

Menceritakan pengalamannya sebagai seorang yang bergelar suami dan bapa sendiri, Ustaz Hasrizal merakamkan bibit-bibit perkenalannya, pertunangan dan pernikahannya sendiri. Kenangan mendapat anak yang tiga orang dan susah payahnya hidup bekerja dan ingin menjaga keluarga dalam masa sama, dikisahkan demi iktibar untuk pembaca. Sebagai motivasi untuk penulis juga saya kira, untuk mengingatkan bahawa dia juga punya keluarga. kelemahan itu punyanya manusia, jadi Ustaz sendiri cuba mengatasinya dan sentiasa mencari landasan terbaik menyelesaikannya. Ada pelbagai contoh, pembaca patut mengambil iktibar.

Selain pada prapernikahan, isu kekeluargaan dan keibubapaan pasca perkahwinan juga termuat. Semacam buku psikologi juga, tapi hanyalah melalui perspektif ustaz. Selalu ustaz mengingatkan, kita harus melihat perkahwinan sebgai medan untuk memberi. Dengan itu kita akan sentiasa cuba memberikan yang terbaik untuk anak dan isteri, walau sesibuk mana kita.

Saya terbaca sebuah reviu ringkas dari seorang blogger, menyatakan alangkah bagusnya jika buku ini berada di pasaran ketika zaman dia berkahwin dahulu. Kedengarannya dia sudah sedikit berumur, dan berkahwin lama dulu. Yakin, komennya buat saya yakin buku ini sangat bagus untuk mereka yang berfikir untuk menjalin hubungan, mahupun yang telah siap diijabkabulkan, sebagai panduan meniti hari-hari hidup sebgai pasangan, bukan lagi seorangan. Setidak-tidaknya, kalau bukan menjadi panduan, naskhah ini mampu membuka mata kita akan besarnya makna perkahwinan itu.

Hei, ingat ya, ini bukan kitab hukum munakahat, ini rakaman pengalaman disertai humor , ilmu dan tazkirah. Ya perlu juga diberitahu ini bukan buku teori psikologi, hanya pengalaman, tetapi bermakna amat.

Aku Terima Nikahnya 2 juga boleh didapati di pasaran, dengan tajuk Bercinta Sampai ke Syurga.

helaianRindu: Aku tak nak ulasan jadi ulasan, tapi lebih pada cerita dan rasa.

September 02, 2009

VT

Judul: VT
Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: Galeri Ilmu
Tahun: 2009
Bil.mukasurat: 511
Harga: RM25.00


VT adalah sebuah novel dengan tema sukan, dan fokusnya bola tampar. VT adalah akronim bagi Volleyball Team (pasukan Bola Tampar). Susah mahu jumpa novel berbentuk sukan ini, dan lebih-lebih lagi kalau hendak jumpa novel sukan dengan wacana Islam. Buku dengan tema yang sama dengan VT, paling terkini yang pernah saya baca adalah Justeru Impian di Jaring karya Zaid Akhtar. Berkisar mengenai badminton. Tidak hairan jika ada orang cuba membandingkan VT dengan novel tersebut. Saya tidak terkecuali. Mungkin disebabkan tidak banyak novel berbentuk begini di pasaran. Tetapi biarlah kita ketepikan soal banding-membanding dua novel ini.

Berbalik semula kepada VT. Buku ini merupakan fiksyen terbitan sulung penulis. Melalui pengalaman beliau dalam sukan bola tampar di sekolah menengah, beliau menggubah pengalaman itu dan memfiksikan pasukan bola tampar dan guru-guru sekolahnya. Namun latarnya dikekalkan, iaitu di sekolah menengahnya dahulu, MATRI, yang terletak di Perlis. Watak utamanya digubah dari diri penulis sendiri dengan mengambil nama Asyraf.

Dalam buku ini, Asyraf merupakan pelajar tingkatan enam yang menghadapi masalah keluarga. Dia juga masih pedih berdepan dengan masa silamnya. Suatu masa dahulu, Faiz, senior yang mengenalkan dia kepada seni bola tampar maut di hadapan matanya sendiri. Asyraf juga kecewa dengan pasukan bola tampar yang wujud sekarang. Semua ahlinya mempunyai sikap dan akhlak yang buruk, bahkan mementingkan diri sendiri. Kekalahan pasukan tersebut pada tahun sebelumnya lebih-lebih lagi mencambah benci di hati Asyraf--kerana tanpa kemenangan dia tidak mampu mengota janji pada seniornya ketika ajalnya dahulu.

Seorang jurulatih baru datang secara tiba-tiba, bertujuan mengubah situasi ini. Menggelarkan dirinya sebagai Coach Hussam, dia datang dengan misi menghidupkan kembali pasukan yang hampir mati itu, dan berhadapan dengan masalah keluarga Asyraf. Tetapi ternyata, ada misteri dan rahsia yang disembunyikan Hussam daripada pengetahuan pasukan bola tampar itu.

Membaca VT membawa suatu perasaan yang luar biasa. Kekemasan plot (sebab dan akibat) yang diketengahkan menjadi. Watak Asyraf yang dinamik memang ada impak tersendiri. Dia baran, tetapi dalam masa yang sama dia juga penyayang. Babak ketika Asyraf mendepani ayahnya secara terus demi menyelesaikan perbalahan dalam keluarganya sangat mengesankan.

Dari sudut ilmiah, novel setebal 511 mukasurat ini adalah sumber yang baik. Sudah pasti informasi mengenai sukan bola tampar dijelaskan dengan panjang lebar, sama ada melalui perlawanan ataupun latihan. Cara permaianan, posisi pemain dan syarat-syaratnya. Walaubagaimanapun apa yang lebih penting ialah mesej dakwahnya. Sukan sebagai medan dakwah, susah untuk dipercayai bukan?

Tapi, lupakah kita pada Ruqaya Al-Ghasara, seorang pelari pecut bertudung dari Bahrain? Pada tahun 2006 beliau berjaya menggondol pingat emas, sekaligus membuktikan Islam yang diamalkan langsung bukan penghalang untuknya mencapai kejayaan. Bahkan lebih baik lagi apabila kemenangan itu membawa perspektif baru kepada umat dunia seluruhnya. Ramai yang mengaguminya, baik muslim atau tidak. Bukankah itu sudah jadi satu dakwah baginya? Begitulah fokusnya VT. Memapar imej Islam bukan cuma memakai pakaian yang menutup aurat. Pemain harus juga menujukkan akhlak yang baik, biar di dalam atau di luar gelanggang. Maka untuk merealisasikan pemain-pemain sebegini Hilal menampilkan watak-watak yang sudah ketandusan akhlaknya, dilatih oleh Hussam dengan pelbagai cara, antaranya al-Ma'thurat dan Qiamullail untuk melembut dan mendidik hati-hati mereka. Mereka juga diperkuatkan hubungan dan ukhuwwah agar dapat bergerak sebagai satu pasukan. Terkenang juga saya dibuatnya pada rakan-rakan saya yang bersama melalui susah senang semasa belajar dulu. Walaupun bukan melalui sukan, jalinan yang ditonjolkan sekurang-kurangnya menuntut pembaca beringat, bahawa setiap muslim itu bersaudara. Jika salah satu anggota terasa sakit, sakitlah juga seluruh tubuhnya. Persis pasukan bola tampar di gelanggang perlawanan, kecundang seorang, yang lain juga merasainya. Bukan mementingkan diri. Bukan juga saling menyalahkan.

Saya berimaginasi VT dapat dijadikan sebagai sebuah komik bersiri. Sudah terbayang-bayang karya Takehiko Inoue, Slam Dunk, yang begitu besar sambutannya sampai sekarang. Atau lebih terkini dan popular juga, Eye Shield 21 karya Riichiro Inagaki dan Yusuke Murata. Mestilah VT lebih mantap dalam bentuk komik kerana pembaca bisa melihat apa yang terjadi dalam sesebuah gelanggang bola tampar dengan lebih jelas. Saya yang kurang arif dalam bidang sukan ini apatah lagi memerlukan aksi bergambar untuk menjadikan saya faham letak duduknya permainan tersebut. Memang ada disertakan lampiran gambar mengenai teknik-teknik seperti setting, digging, dan blocking, tetapi dalam perlawanan yang panjang, penerangan dalam bentuk perkataan akan jadi lebih kompleks. Malah saya tak mampu mengingat posisi-posisi pemain dengan begitu baik, justeru saya kadangkala keliru. Komik yang bergambar sememangnya satu bahan yang dapat membantu. Komik Malaysia tentang sukan juga kurang, maka kalau idea ini terhasil alangkah bagusnya. Dapat meluaskan lagi skop mad'u. Yalah, bukan semua orang suka membaca novel berjela kan?

Satu keistimewaan yang jarang-jarang didapati dalam novel lain: Tak ada watak perempuan dalam VT! Biasanya, sukar menarik minat orang membaca fiksyen jika tiada sedikit kisah cinta. Mungkin sudah ada yang menganggapnya bosan. VT nampaknya menangkis persepsi ini. VT berada dalam kelasnya tersendiri, dan walaupun karekter-karekternya semua adalah lelaki, tak bermakna novel ini khas hanya untuk lelaki. Audiensnya boleh jadi sesiapa sahaja, perempuan, lelaki, remaja, atlet... Saya yang kaki bangku ini pun boleh tertarik membacanya.

Berbanding novel terkini penulis, Terasing, saya lebih suka pada VT. Idea yang original, mesej dakwah yang segar dan plot yang kemas itulah sebabnya. Naratifnya bukanlah sebuah khutbah agama tentang bagaimana bersukan dalam Islam, tetapi medannya adalah peribadi dan akhlak, lebih halus dan berhikmah.

Walaupun Hilal Asyraf masih baru, tetapi potensinya besar. VT buktinya.

Anda juga boleh baca ulasan Terasing di sini dan Justeru Impian di Jaring di sini.

helaianRindu: Dulu kena kutuk sebab tak pandai main bola. Minta maaf, aku emo sikit bab-bab main bola sepak ni. (kenapa aku jujur sangat ni. entahlah)

September 01, 2009

Apabila Haiwan Menjadi Guru

Judul: Apabila Haiwan Menjadi Guru
Penulis: Sahrulazmi Sidek
Penerbit: KarnaDya
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 279
Harga: RM16.00

Jangan terkejut jika saya katakan saya tertarik membeli buku ini kerana kulit hadapannya yang nampak comel. Sudahlah gajah itu jadi cikgu, siap pakai baju dan necktie lagi. Terbuktilah kulit depan itu penting dalam penerbitan sesebuah buku. Mana taknya, sayalah antara 'mangsa'nya.

Sahrulazmi Sidek kembali dengan buku terbarunya, juga buku keempat terbitan KarnaDya. Masih mengekalkan gaya dialog bersahaja dengan pembaca, isi buku ini adalah seputar kisah-kisah haiwan di dalam Al-Quran. Penulis membayangkan haiwan-haiwan ini sebagai guru apabila mereka secara tak langsung memberi iktibar dan pengajaran kepada kita manusia.

Tentu anda ingat contoh paling awal haiwan sebagai guru kepada manusia. Peristiwa pembunuhan pertama dalam sejarah manusia. Qabil, kerana dengki kerana mendapat pasangan yang cantik, bertindak membunuh saudaranya Habil. Berasa sesal selepas membunuh Habil, Qabil tidak tahu apa yang harus dilakukannya dengan mayat Habil. Dan kala itu Allah menghantar dua ekor gagak saling berlawan dan salah satunya terbunuh. Gagak yang menang itu akhirnya menanam bangkai gagak yang kalah itu ke dalam tanah. Kehadiran 'guru' inilah menjadi ilham bagi Qabil melakukan perkara yang sama kepada saudaranya.

Buku ini bukanlah kitab tafsir yang menjelaskan perihal ayat-ayat Al-Quran, tetapi lebih menjurus kepada bentuk cerita-motivasi. Penulis berasa hairan apabila ada dalam kalangan ibu bapa yang kehabisan modal bercerita apabila diminta oleh anak-anak mereka untuk bercerita. Sedangkan di dalam Al-Quran sangat banyak kisah-kisah binatang yang mudah disampaikan dan mudah pula diambil iktibarnya.

Oleh kerana isi buku ini diinspirasikan dari ayat-ayat Quran, penulis menambah, pembaca bukan sahaja dapat mengetahui lebih lanjut isi al-Quran, malah boleh menambah ilmu pengetahuan menganai sejarah, sifat binatang, cara hidup serta kelebihan dan keistimewaannya. Ini kerana selain menceritakan perihal baik buruk binatang itu, penulis juga menyertakan beberapa fakta sains yang berkaitan.


Kisah dalam Al-Quran yang selalunya menarik hati saya ialah kisah lebah. Dalam surah An-Nahl ayat 68-69. Ertinya:

"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah, 'Hendaklah engkau membuat sarangmu pada gunung-ganang dan pokok-pokok kayu dan juga pada bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai) serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkan kepadamu'. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari pelbagai penyakit). Sesungguhnya yang demikian itu ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir."

Dari pembinaan sarang hinggalah kepada penghasilan madu, proses-proses itu sering mengujakan saya. Mana taknya, saya sendiri suka madu. Bahkan madu juga punya healing properties dan baik untuk kesihatan. Ketika saya belajar di dalam kelas Sains & Tamadun Islam di kolej dulu saya juga mengetahui dalam ayat ini tersembunyi pelbagai fakta saintifik mengenai kehidupan sosial lebah dan tentang madu itu sendiri. Tak percaya? Kajilah sendiri.

Kisah lain yang dimuatkan dalam buku ini antaranya kisah labah-labah, nyamuk, kambing, lembu, rama-rama, unta, anjing dan juga semut. Ada lebih 20 haiwan diperincikan dalam buku ini, termasuklah lebah dan yang tersebut tadi. Juga ada satu bab yang menyenaraikan beberapa peribahasa Melayu yang berkaitan dengan haiwan.

Apapun, tahniah buat pihak penerbit atas peningkatan kualiti kulit depan buku. Moga selepas ini karnaDya menyediakan karya yang sentiasa berkualiti, dalam dan luar. Tabik tuntuk kulitnya!

Mari kita berguru dengan para haiwan!

helaianRindu: Patutlah pernah dengar nama Ustaz Sahrul, rupanya dia lepasan Kolej Islam. Pernah datang dulu rasanya..

Ogos 30, 2009

Rindu Bau Pohon Tin

Judul: Rindu Bau Pohon Tin
Penulis: Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit: Galeri Ilmu
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 165
Harga: RM18.00


Dalam satu dua bulan kebelakangan ini rakan-rakan saya semuanya sibuk menyediakan dokumen dan packing itu ini demi melanjutkan pelajaran ke luar negara. Musim ini semuanya tertumpu ke Amerika Syarikat ataupun United Kingdom dan Ireland. Yang ke Timur Tengah sudahpun terbang dua tahun yang lalu, kerana sesi persediaan mereka cuma 3 bulan sedang yang ke negara orang putih ini paling lama 2 tahun sesi persediaannya.

Dalam sibuk-sibuk itu, ramai yang cemas dan gentar, disebabkan ada yang mengatakan tidak cukup bersedia, mental mahupun fizikal. Mungkin secara mental lebih ramai yang menghadapi masalah, yalah, akan ke negeri orang yang penduduknya lain budaya, bahasa dan cara hidup. Tentu ramai masih tertanya-tanya apakah mereka sudah bersedia untuk hidup berdikari dengan berjauhan daripada keluarga.

Belajar itu adalah sebuah perjalanan jihad. Nafar menuju maslahat ummah. Itu pesan awal Ustaz Hasrizal dalam bukunya yang paling baru ini. Jadi, sememangnya akan ada susah senang dalam perjuangan. Mungkin ada yang belum bersedia, tetapi dengan melalui pengembaraan itu sendirilah, pengalaman akan mengajar kita suka duka hidup di negeri orang. Bersedia atau belum, kita akan ketahuinya setibanya kita di sana nanti.

Kenapa pohon tin yang terpilih menjadi tajuk buku ini? Kerana isinya adalah berkaitan catatan penulis sendiri semasa belajar di Jordan sejak 1993 di Mu'tah. Bau pohon tin itu adalah salah satu perkara yang sangat disenangi penulis, memberi kesan nostalgik yang teramat, sehingga kadang-kadang sekarang di pasar raya penulis sendiri mengambil peluang mencium bau buah tin dan zaitun...sekalipun buah-buah itu diimport dari California!

Kenapa Timur Tengah?

Dalam buku ini penulis menceritakan betapa istimewanya bumi Jordan. Mu'tah khusunya, adalah tempat bersejarah yang menempatkan makam tiga sahabat Rasulullah SAW yang syahid. Lewat sesi kuliah, peribadi profesor dan pensyarah serta telatah pelajar-pelajar dan masyarakat Jordan waktu itu, saya juga memandang Urdun satu tempat istimewa. Diceritakan betapa layanan yang diberikan oleh jiran-jiran Arab di Mu'tah kepada pelajar Malaysia begitu baik sekali ketika itu. Namun saban tahun situasi ini berubah apabila pelajar Malaysia semakin ramai. Bukan tidak terlayan, tetapi kerana sikap yang ditonjolkan.

Penulis menyatakan rasa kecewanya apabila pertambahan pelajar-pelajar malizi ini bukanlah menambah calon-calon ulama' tetapi hanya melahirkan perilaku yang tidak baik pula. Sesetengah ibubapa menghantar anak-anak mereka ke Timur Tengah semata-mata bertujuan menjadikan mereka 'manusia'. Memang tidak dinafikan di sinilah bumi para sahabat dan ilmuwan Islam dilahirkan, tetapi tambah penulis, jangan lupa Jordan sendiri bersempadan dengan negara haram Yahudi, Israel. Sejak perjanjian damai antara Jordan dan Israel dimeterai, perubahan mendadak berlaku kepada Jordan dan menjadikan suasana tidak seperti dahulu lagi. Justeru hal ini sedikit sebanyak membawa pengaruh buruk buat masyarakat tempatan dan sekitarnya. 'Manusia' yang diharap-harap itu mungkin boleh lahir, tatapi ada kemungkinan lahir pula 'manusia yahudi'.

Saya juga ada mendengar khabar-khabar angin yang tidak baik melanda rakan-rakan saya di sana. Harapan saya biarlah itu hanya khabar yang melayah seketika di telinga saya dan bukan suatu kebenaran. Saya masih memandang Timur Tengah sebagai destinasi istimewa mengaut mutiara ilmu Islam. Biar sehebat mana perubahannya, tentu masih ada individu yang benar-benar ingin mengutip mutiara-mutiara itu dan akhirnya bakal menjadi tokoh ilmu yang disegani suatu hari nanti.

Antara perkara lain yang termuat dalam buku ini adalah mengenai pengkhianatan kepada institusi khutbah, tragedi sedih melibatkan kematian sahabat penulis, perjalanan haji di tanah haram bersama pasangan warga emas yang sesat; kadang terisi dengan cerita hidangan-hidangan istimewa hanya boleh didapati di Jordan, serta cebisan-cebisan ilmu Islam tersampai dari kuliah-kuliah.

Penyampaian yang indah oleh penulis mampu menggamit kita kepada nostalgia lama. Ditulis menggunakan diksi Jordan dan selitan ayat quran, hadis dan pepatah arab; bersama selingan nasyid dan puisi ciptaan penulis sendiri. Disertakan dengan beberapa gambar kenangan, travelog ini sesuai dibaca oleh mereka yang bakal bergelar mahasiswa luar negara. Dan pastinya cukup khas bagi yang akan belajar di Jordan dan Timur Tengah. Simpanlah sebagai bahan tarbiah dan peringatan diri.

helaianRindu: Khabarnya ada kurma Israel terjual di Tesco.

Ogos 29, 2009

Rooftop Rant

Judul: Rooftop Rant
Penulis: Hlovate
Penerbit: Jemari Seni
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 538
Harga: RM21.00

Buat kali kedua saya membaca karya Hlovate. Naskhah ini kepunyaan adik saya, sama seperti aA+bB yang saya ulas tahun lepas. Kali ini Hlovate membawa kisah dua sahabat karib yang bertemu dan bersahabat kerana sama-sama menghadapi masalah keluarga.

Batrisya atau Trisy, seorang gadis sekolah yang agak tomboy, tertekan kerana terabai dari kasih sayang keluarga, baik ibubapa mahupun adik-beradiknya sendiri. Tempatnya menumpang kasih hanyalah orang gajinya. Manakala seorang lagi, pemuda 20-an bernama Zaid atau Jade, menghadapi sedikit inferiority complex apabila dibanding-bandingkan dengan abang dan adiknya yang berjaya dalam pelajaran sedang dia cuma bekerja menjual burger di tepi jalan.

Rooftop Rant itu sendiri merujuk kepada bagaimana permulaan kepada pertemuan dan persahabatan mereka berdua. Mereka berdua mencari ketenangan di sebuah kawasan lapang di atas bumbung Wisma Topaz. Kemalangan yang berlaku di atas rooftop itu suatu hari merapatkan mereka berdua. Banyak yang disembangkan, termasuklah impian dan falsafah hidup masing-masing. Tetapi tidak berapa lama selepas itu mereka terpaksa berpisah mengambil haluan masing-masing, Trisy dengan pelajarannya, dan Jade dengan kariernya sebagai komikus.

Saya sangat-sangat jarang membaca novel cinta, kerana genre ini bukan minat saya. Tetapi kalau dihulurkan novel Hlovate saya rasa saya langsung ketepikan hal itu. Sebab saya rasa mesej Islaminya tetap kuat, meski tak dilabel sebagai novel Islami pun. Macam aA+bB pun, watak-wataknya pada separuh awal buku tentu biasa-biasa saja, tidak thiqah atau Islamik pun kelihatannya. Tapi, as the story goes on, kita akan ketemu titk-titik perubahan yang merubah karektoristik watak-watak tersebut. Persepsi, pemikiran dan pandangan watak-watak terhadap hidup akan disuntik dengan nilai Islami secara perlahan-lahan.

Persoalan ujian dikemukakan dalam Rooftop Rant. Tekanan yang dihadapi oleh Jade dan Trisy, memungkinkan seseorang putus asa dalam kehidupan. Namun, acapkali mereka menguatkan antara satu sama lain. Saling menyokong, jika satu lemah, yang satu lagi bakal membantu. Kedengarannya janggal barangkali, kerana "ukhuwwah" ini antara lelaki-perempuan, tetapi ini keistimewaan cerita Hlovate kali ini. Ingat, watak-watak ini pada awalnya langsung belum mengerti benar akan hukum dan syarat. Perpisahan mereka dari rooftop itulah merupakan titik permulaan hidup kerana Allah. Selepas itu hanya kenangan mereka sahaja yang menjadi penghubung dan penyokong kehidupan masing-masing.

Saya senang sekali dengan Hlovate. Dalam blognya juga pernah dia nyatakan begini:

"one thing, bila reading here please do not discount ur kerja, ur solat time, ur belajar time, ur office time dengan hanging around kat sini, i've the saham oso, make it good"

Bukan saja karyanya akan menghala kita berfikir ke arah kebaikan, malah penulis sendiri sentiasa mengingatkan kita apabila membaca karya-karyanya di blog, kita harus memastikan yang kita sudah solat dan tidak menggunakan masa kita yang diamanahkan untuk kerja lain untuk membaca tulisannya. Sempoi, sempoi juga, tapi tanggungjawab dan tatacara hidup jangan kita lupa!...mungkin lebih kurang itu mesejnya pada saya.

Tarikan Rooftop Rant untuk saya juga adalah pada watak Jade yang gemar melukis dan punya bakat seni yang sangat baik. Dia menerbitkan sekian banyak novel grafik. Wataknya juga tenang, kuat jiwa, tetapi tetap selamba. Juga persekitaran dunia komikus itu menarik minat saya. Saya sudah terbayang, macam mana kalau novel grafik "Rooftop Rant" yang dilukis oleh Jade di akhir buku ini benar-benar menjadi realiti. Seronok juga kalau dapat membacanya. Tentunya saya terbayang Fakhroul Anour dari Gempak dengan komik cintanya, sesuai benar kalau dia melukisnya!

Banyak lagi karya Hlovate di blognya yang belum dibukukan, dan saya yakin setiap satunya istimewa. Pada awalnya saya kurang senang dengan bahasa yang digunakan tetapi saya lihat Hlovate semakin matang dalam menggunakan bahasa yang sesuai. Rooftop Rant kelihatannya lebih kemas dan elok bahasanya berbanding aA+bB yang saya baca sebelum ini. Tapi ya, saya tak akan nafikan bahasa itu asal dapat difahami taklah sepenting mesej yang dibawanya kali ini: Allah tak akan membebankan dengan ujian yang tak termampu hamba-Nya menanggung (Al-Baqarah 2: 286) ; dan falsafah bahawa kitalah yang menentukan arah tuju hidup kita, baik atau buruk...

"Live well or live hell? We choose."

Ingin baca ulasan aA+bB? Klik sini.

helaianRindu: Orang yang terpaksa berubah takkan sebagus orang yang memaksa dirinya berubah.

Ogos 11, 2009

Jangan Hanya Menonton: I Love Ramadhan

Judul: I Love Ramadhan
Penulis: Sahrulazmi Sidek
Penerbit: KarnaDya
Tahun: 2008
Harga: RM16

Bil. Mukasurat: 259

Bila tiba saja bulan puasa tentunya ramai yang promote itu ini. Laungan 'pesta ibadah', edaran tazkirah dan leaflet khas Ramadhan, terbitkan makalah dan buku macam-macam. Dalam TV dan radio pun mesti lebih hebat, ada bacaan Al-Quran, rancangan dokumentari, drama dan cerita Ramadhan, tambah lagi ceramah-ceramah istimewa. Tapi, sedar ataupun tak, lebih ramai yang membaca, mendengar, memerhati, dan menonton tapi hanya menerima semata-mata. Bukannya hendak turut serta. Majlis khatam Quran, dia jadi penonton. Diajak bersolat terawih, tak mahu turut serta.

Begitu sedikit sebanyak intipati naskhah ini.

Dalam buku ini, Ustaz Sahrulazmi mempersembahkan panduan umum yang perlu diambil tahu oleh kita sebagai Muslim dalam bulan Ramadhan. Umum di sini bererti ia lebih dekat kepada suasana masyarakat Melayu Islam khususnya di Malaysia, dan situasi yang sering berlaku di dalam bulan puasa di kawasan tempatan. Lebih baik lagi, penulis menggunakan bahasa yang santai, jadi gabungan muatan isu semasa dan bahasa ini menjadikan buku ini sesuai untuk tatapan sesi keluarga.

Banyak perkara yang dibincangkan dalam buku ini, antaranya kelebihan bulan Ramadhan, perkara yang perlu dijaga ketika berpuasa, kategori-kategori puasa, dan lailatulqadar. Turut diselitkan, pengalaman penulis ketika belajar di Jordan, dan hadis-hadis Nabi SAW serta ayat-ayat Al-Quran yang elok dihafaz dan dihayati. Eh, takkanlah kita yang sudah puasa belasan atau puluhan tahun, masih tak tahu lagi dalil yang menyuruh kita berpuasa?

Pendekatan penulis lebih kepada menggunakan analogi atau memberi situasi yang membuat pembaca berfikir. Sedikit selingan humor dengan permainan kata juga dapat 'melegakan' pembaca untuk menghirup setiap bait nasihat dan muhasabah dengan lebih baik. Gastrick atau just trick?, Puasa atau puas-puas, Bazar atau bazir, dan juga tadarus atau tidur terus antara yang menghiasi kandungan buku ini.

Selain itu? Ada zikir dan doa. Ada sirah Nabawiyah. Ada falsafah. Dan di penghujung naskhah ini disekalikan juga beberapa peringatan tentang menyambut hari raya.

Bagi saya, buku ini enak dibaca di mana-mana, setiap masa. Fokus utama penulis ialah untuk mengajak kita menggunakan peluang Ramadhan dengan sebaik-baiknya, yalah, bukankah antara kelebihan Ramadhan, pahala sunat digandakan menjadi wajib, dan pahala fardhu mengganda 70 kali? Apapun, sedikit kekurangan yang saya dapati dan rasanya mampu diperbaiki adalah isi dan analoginya yang kadang sedikit meleret, yang membuatkan saya ingin melangkau mukasurat-mukasurat yang isinya hampir sama. (Tapi, saya yakin setiap perenggan ada manfaat tersendiri, jadi saya tak ketinggalan setiap patah katanya. Cuma, bukan semua suka membaca). Ilustrasi juga ada, tapi rasanya perlu ditambah dan dipertingkatkan lagi, kerana pasti anak-anak muda lebih senang membelek isinya.

Pendek kata, buku ini adalah hidangan Ramadhan yang sarat dengan ilmu, nasihat dan motivasi, dilengkapi lelucon tersendiri yang bukan saja mengajak kita menjadi cakna, tapi dalam masa yang sama berhibur di samping menghayati sebenar-benar erti Ramadhan. Menghayati ertinya turut serta berlumba mengejar kelebihan Ramadhan, bukan hanya jadi penonton setia yang bersorak di tepi sahaja!

Penulis boleh dikunjungi di sini. Ramadhan Karim!


*HelaianRindu: Belum pun masuk bulan puasa, aku dah main bunga api baki raya lepas sebab tadi (malam) rumah blackout.


Related Posts with Thumbnails