Memaparkan catatan dengan label persahabatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label persahabatan. Papar semua catatan

Julai 19, 2010

Berpegang Pada Apa?: Brisingr & Nights of Rain and Stars

Kedua-dua buku ini saya baca sepanjang Jun-Julai. Sebuah di Malaysia dan sebuah lagi di UK.

1. Brisingr – Christopher Paolini (2008)

Ketebalan boleh mencecah 2000 mukasurat, kata penulisnya, Christopher Paolini ketika bercakap tentang penerbitan Brisingr. Itu jika dia mengikuti rancangan asalnya untuk menulis siri ini sebagai sebuah trilogi. Ketelitiannya dalam menulis setiap babak menyebabkan dia terpaksa memisahkan jilid ketiga ini kepada dua volum, menjadikan empat buku keseluruhannya dalam satu siri – The Inheritance Cycle, bukan Inheritance Trilogy lagi. 

Meskipun begitu ketebalannya yang menghampiri 800 mukasurat ini sudah cukup melelahkan saya. Berhempas-pulas saya cuba menghabiskannya tahun lepas selama enam bulan, tetapi gagal; dan sepulangnya saya tahun ini untuk cuti musim panas, saya berjaya menghabisinya dari awal dalam masa kurang seminggu. Saya dapati, persoalan yang dikemukakan mulai jilid kedua siri ini sudah semakin berat dalam Brisingr. Isu apa? Relijus atau agama.

Teisme, Ateisme, Pluralisme

Dalam volum 2, Eldest, penulis membawa persoalan ketuhanan melalui pembelajaran intensif Eragon dengan kaum bunian (elf) di hutan Du Weldenvarden. Kaum ini tidak mempercayai wujudnya tuhan atau sebarang kuasa ghaib yang lebih berkuasa di dunia. Sebaliknya berlaku pada kaum orang kerdil (dwarf) dan makhluk raksasa yang dinamakan Urgal – mereka beraliran politeism. Setiap tuhan yang mereka ‘imani’ ada fungsi dan lagenda tersendiri.

Setelah mencetus fikir bertuhan—ada ataupun tidak—pembaca disuguh pula dengan fikir pluralisme dalam Brisingr. Lawatan Eragon ke kompleks kediaman orang kerdil untuk membantu pemilihan raja baru mereka (menggantikan raja yang telah mati dalam perang Burning Plains di dalam Eldest) menjadikan Eragon berfikir dengan lebih mendalam. Apakah Tuhan itu wujud? Jika wujud, agama ras mana yang harus dia percaya? Atau, adakah setiap kepercayaan ras itu mengandungi secebis kebenaran?

Faham pluralisme ini telah menular lama, dan sangat bersalahan dengan ajaran Islam. Faisal Tehrani pernah mengupas isu ini dalam bentuk fiksyen bertajuk Tuhan Manusia (2008). Apa yang dicadangkan golongan ini ialah, semua agama sama dan benar, kerana mereka menuju hakikat kebenaran yang sama yakni bertuhan.

Tambah mencelarukan, saat Eragon dan naga tunggangannya Saphira menghadapi angin kencang yang menghalang perjalanan mereka, Eragon lantas berdoa pada Guntera, salah satu dari dewa yang dipercayai orang kerdil. Itu merupakan titik akhir paling signifikan mengenai kepercayaan Eragon terhadap agama dan ketuhanan – tidak pasti di akhirnya, dia berpegang kepada apa (dalam siri ini setakat ini).

Brisingr merupakan kesinambungan kepada Eragon dan Eldest. Eragon merupakan seorang remaja kampung yang ditakdirkan bertemu seekor naga bernama Saphira. Sebagai penunggang naga mereka perlu menyelamatkan Alagaesia (dunia fiktif) dari cengkaman pemerintahan kuku besi Galbatorix. Brisingr atau tajuk lainnya The Seven Promises of Eragon Shadeslayer and Saphira Bjartskular, mengisahkan Eragon melunaskan janji-janjinya dalam prekuel sebelum ini; seperti merawat bayi yang telah disumpahnya secara tidak sengaja, memperbaiki Isidar Mithrim permata agung orang kerdil, selain membalas dendam untuk beberapa kematian orang penting dalam hidupnya.

Jilid keempat masih belum diumumkan tarikh penerbitannya. Tidak sabar juga menanti kesudahan siri ini.

**********

2. Nights of Rain and Stars – Maeve Binchy (2004)

Maeve Binchy merupakan seorang tukang cerita yang saya kira sangat baik. Sebabnya adalah penulisannya sangat natural, sangat fitrah sifatnya. Sekurang-kurangnya saya rasakan ini tepat dalam novelnya Night of Rain and Stars ini. Binchy bermain dengan perasaan dan emosi manusia yang acapkali menganggu daya fikir rasional manusia.

Kalau Paolini memperhalusi penceritaan aksi dan gambaran suasana dunia Alagaesia fiksinya itu, Binchy merincikan pula sudut mainan emosi. Manusia sering berprasangka dan berfikir menggunakan pertimbangan akalnya sendiri semata-mata, tanpa bergantung pada sumber lain langsung. Mereka fikir taakulan mereka adalah yang paling betul, dan tidak akan sekali-kali menerima teguran orang lain dalam hal yang kononnya mereka lebih arif. Sedangkan emosi sedang menipu mereka (atau lebih tepat syaitan yang bermain-main dengan memanipulasi emosi seseorang).

Pertimbangan Tanpa Panduan

Empat orang pelancong dari Negara dan latarbelakang berbeza menjadi kawan secara tidak sengaja setelah menyaksikan tragedi kebakaran sebuah kapal di pinggir pantai Greece. Pemilik kafe di tempat pertemuan mereka itulah yang menjadikan mereka kawan baik. Namun setiap satu dari mereka rupanya punya masalah keluarga.

David dari England menghadapi tekanan dari ayahnya yang memaksa dia mewarisi perniagaan ayahnya; Thomas dari Amerika pula bercerai dengan isterinya dan menjauhkan diri dari anaknya demi memberi ruang pada mereka berkeluarga dengan suami baru; Elsa dari German terperangkap dalam masalah cinta dengan pengurus syarikat televisyen tempat dia bekerja; manakala Fiona dikecam oleh ahli keluarga dan kawan-kawannya kerana mengambil keputusan untuk bersama dengan teman lelakinya Shane yang berperangai buruk. Semua ‘melarikan diri’ ke Greece demi mencari ketenangan masing-masing.

Tidak ada peristiwa 'besar' yang terjadi sepanjang hampir tiga ratus mukasurat novel ini. Namun saya tidak sabar menamatkannya kerana watak-watak tersebut berkembang pesat dalam masa yang singkat, atas bantuan seorang penduduk tempatan bernama Vonni.

Bagi seorang yang sensitif dan sangat moody seperti saya, tentunya saya terpengaruh dengan watak-watak ini, bersama fikiran dan emosi mereka. Tetapi satu yang berbeza, mereka memang terlalu berpegang pada emosi semata-mata, sedangkan saya punya agama yang mampu menjadi kayu ukur pertimbangan saya.

Fiona contohnya, menjadi buta kerana cinta. Jikalau dia sekurang-kurangnya mendengar nasihat orang lain dan tidak larut dalam emosi sendiri sahaja, dia tak akan menjadi mangsa penderaan Shane teman lelakinya. Keputusan Thomas untuk berpisah dengan anaknya yang disangkakannya dapat meberi ruang rupanya satu penderitaan buat anaknya yang terlalu inginkan ayah kandungnya itu dekat di sisi.

Saya juga tidak lepas dari serangan emosi. Mujur ada kawan yang mengingatkan, dan mujur saya tidak buta, sedar bahawa saya masih punya agama yang menunjuk jalan keluar – sekalipun saya rasakan pertimbangan akal lebih disukai, bukan bermakna itu yang terbaik. There is always two sides of a story, jadi kita mesti memberi ruang untuk 'sisi kedua' itu mengimbangi pemikiran kita.

Memilih untuk menulis watak yang realistik dengan masalah yang realistik, semestinya menjadikan pembaca lebih dekat dengan cerita, berbanding mempamer watak bersifat terlalu ideal yang tak dapat dikatikan dengan diri. Itu kelebihan novel ini. Tidak salah jika Binchy memutuskan untuk menulis sekuel untuk naskhah ini, dalam bentuk novelet mungkin - memperihalkan kisah lanjut mengenai empat sahabat ini yang masih boleh dikembangkan. Nasib Vonni yang tinggal di kepulauan Greece itu juga masih belum diketahui. Saya tidak kisah untuk membacanya lagi.

**********

Kedua-dua buku ini layak mendapat entri masing-masing tetapi saya rasakan tidak guna juga meleret-leret mengulas. Keselarian dua novel ini tercetus dalam benak saya malam semalam, memandangkan watak-watak utama dalam dua novel ini masing-masing menjelajahi pegangan mereka dengan sangat mendalam. Apatah lagi, pegangan mereka itu wajar dimuhasabah kita bersama, kerana kedua-duanya berhubungan rapat dengan pegangan agama.

Malah kita telah disediakan dengan sebuah panduan yang sesuai sepanjang zaman, Al-Quran. Dalam ayat 2 surah Al-Baqarah sendiri kita telah diperingatkan bahawa kitab inilah yang menjadi petunjuk buat orang bertaqwa. Jadi kenapa perlu diikutkan ideologi yang tak menentu? Kenapa perlu taksub dengan pertimbangan akal dan emosi sendiri semata-mata?

Novel Maeve Binchy juga mengajak kita menghayati maksud ayat 216 surah yang sama – yang baik untuk kita bukanlah semestinya apa yang kita rasa, dan Allah lebih tahu jika yang dirasakan kurang elok itu sebenarnya yang terbaik. 

HelaianRindu: Nak kena 'selaraskan' duit belanja buku ni.

Julai 16, 2010

Salju Sakinah

Judul: Salju Sakinah
Penulis: Zaid Akhtar
Penerbit: PTS Millennia
Tahun: 2008
Harga: RM26 
Bil.mukasurat: 559

"Jangan nama saja Sumayyah, tapi lekas sangat mengalah."

Sumayyah. Nama watak utama dalam karya penulis mapan Zaid Akhtar ini mengetuk-ngetuk jiwa saya. Masakan tidak? Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid. Ketika syariat masih belum turun, dan syahadah baru sahaja diucapkan, imannya boleh begitu teguh, jiwanya begitu yakin. Tegal apa? Dia betul-betul faham apa yang disampaikan nabi.

Begitulah watak Sumayyah dalam Salju Sakinah, dia tidak henti-henti diuji. Berbekalkan tiupan semangat arwah ayahnya, dia yang baru pulang dari Jordan menuntut agama, terpaksa terjun dalam bidang keusahawanan yang ditinggalkan ayahnya itu. Kemudian dalam menjaga sakit uminya, kakaknya pula didapati terlibat dalam sebuah ajaran sesat. Terus-terusan diuji, dia juga dilanda duga jiwa: Siapa lelaki yang mampu merawat hatinya dan melindunginya di kala dia perlu teduhan?

Kesediaan Seorang Daie

Sumayyah memaparkan kepada kita ciri seorang daie yang amat penting dan perlu kita contohi, iaitu kesediaan dan kesanggupan yang berterusan dalam menyampaikan mesej dakwah. Ya, bukan senang untuk menjadi orang yang sentiasa bersedia, apatah lagi dalam membawa tugas berat seperti ini. Dalam novel ini, Sumayyah ditugaskan oleh ustazahnya yang tinggal sekampung dengannya untuk menyampaikan kuliah untuk para jiran wanita di kampung-kampung sekitar kerana tidak menang tangan. Sumayyah perlu sentiasa cerdas dalam memikirkan tajuk yang sesuai, metodologi penyampaian, dan maklumat yang wajar diketengahkan agar mesejnya sampai dengan efektif.

Daie juga harus bersedia untuk menghadapi masalah dalam keluarga, bukan dalam masyarakat semata-mata. Apabila kakak sulung Sumayyah didapati terlibat dalam sebuah ajaran sesat, Sumayyah sentiasa resah memikirkan solusi terbaik yang dapat membawa kakaknya kembali ke pangkal jalan, juga demi memperbaiki hubungan kekeluargaan mereka yang rosak kerana isu itu.

Zaid juga menyelitkan isu-isu semasa (sewaktu novel ini disiarkan secara bersiri sepanjang 2005 di dalam akhbar Utusan Malaysia), tentang politik dan sosial, bagi menggambarkan seorang daie perlu arif dalam pelbagai bidang.

Muslimah Contoh

Sebagai seorang lulusan agama, Sumayyah menjadi contoh untuk para pembaca, khasnya muslimah, untuk menjaga hubungan sesama manusia dan lebih utama, Tuhan. Aspek muamalah sangat ditekankan oleh penulis. Sememangnya cinta itu menjadi sebuah persoalan dalam novel ini, tetapi lebih wajar jika kita perhatikan cara berhubungan lelaki-perempuan yang didatangkan.

Bercakap mengenai wanita, tentunya kita akan kaitkan dengan emosi. Perasaan dan cara fikir seorang wanita pasti berbeza dengan seorang lelaki. Zaid telah menulis watak-watak muslimah dengan keperibadian yang cantik dan mulus. Mereka mengekang perlakuan bersandar nafsu dan emosi, dan menjadi citra terbaik pembawaan iman dalam kehidupan--bagaimana iman mampu mengawal sikap dan akhlak seseorang. Mungkin bunyinya sedikit idealistik, tetapi inilah yang wajar dicontohi. Watak yang kurang elok juga dimasukkan (Zaleha, jiran Sumayyah yang pesimistik, kuat cemburu dan suka memfitnah) demi membuat perbandingan sikap baik-buruk yang perlu menjadi teladan.

Ada yang mengatakan pembaca dapat merasakan kisah ini seperti ditulis oleh seorang wanita jika kita tidak diperkenalkan dengan penulis lebih dulu. Mungkin kerana penghasilan watak Sumayyah yang berkesan, juga kefahaman penulis terhadap peribadi seorang wanita menjadikan kesannya begitu baik. Saya tidak pasti adakah saya setuju dengan pandangan itu, tetapi sememangnya Sumayyah dan rakan-rakannya, Izzati, Fatihah, Marianis dan Hakimah telah digambarkan sebagai muslimat contoh dan ini sudah cukup sebagai pelajaran buat pembaca. 


Jikalau bercerita tentang aspek sastera, Zaid Akhtar berjaya dalam memperindah dan memperhalus Salju Sakinah melalui kosa kata dan istilah yang padan. Padan dengan latar bumi Jordan, yakni dengan istilah-istilah Arab; juga padan dengan wanita sebagai protagonis. Tidak perlu komen banyak. Antara yang saya sangat suka adalah frasa 'Sumayyah mengelopakkan senyum' yang saya kira sangat cantik dan sesuai.

Secara teknikal, ada sedikit kekurangan yang perlu diambil perhatian oleh penerbit. Kulit hadapan naskhah ini yang menampilkan wanita berpurdah saya rasakan sedikit klise. Tetapi saya anggap hal ini terjadi kerana novel ini menjadi mangsa trend novel cinta Islami yang memuncak penerbitannya waktu itu (sehingga sekarang sebenarnya masih berlaku). Lebih penting, saya dapati tiada blurb atau ringkasan buku disertakan di belakang buku. Saya membeli buku ini pun kerana telah kenal dengan Zaid dan berpuas hati dengan karya-karyanya sebelum ini. Pembaca lain yang belum kenal tentu ingin tahu tentang apa novel ini.

Kini novel tempatan sudah mula mengambil pendekatan novel-novel Barat yang dilambakkan kulitnya dengan pujian dan komen mengenai sesebuah novel itu. Apatah lagi jikalau ulasannya sama sahaja pada setiap novel. Lebih baik ulasan-ulasan ini dimuatkan di dalam. Jangan macam novel Inggeris, sikit-sikit "unputdownable", "a page-turner", "gripping"..dan macam-macam lagilah yang berulang-ulang, hanya memualkan pembaca saja. Tidak bermaksud komen pada kulit itu tidak bagus, cuma cukuplah satu atau dua terpilih untuk menghiasi kulitnya. Kemudian isinya terpulang pembaca menilai.

Sekarang penulis sedang menyiarkan novel bersiri bertajuk 'Bianglala Bosphorus', sekuel kepada novelnya Rona Bosphorus di majalah ANIS. Jika suka Salju Sakinah, saya cadangkan kalian baca Tunggu Teduh Dulu karya Faisal Tehrani. Berkenaan wanita dan keusahawanan juga. 

HelaianRindu: Menunggu 1 Ogos. Video "The Chosen One" Maher Zain keluar hari tu  nanti.

Julai 11, 2010

Tabula Rasa IV: 84, Charing Cross Road

Judul: 84 Charing Cross Road
Penulis: Helene Hanff
Penerbit: Virago Books
Tahun: 2008 (Edisi Baru)
Bil. mukasurat: 256

84 Charing Cross Road adalah sebuah kisah persahabatan antara dua benua. Berlaku secara tidak diduga. Walaupun berbeza budaya, kepercayaan dan gaya hidup, ada persamaan yang menyatukan mereka, iaitu minat. Cinta dua sahabat kepada buku-buku dan kesusasteraan Inggeris menjadikan mereka lebih dari sahabat karib—mereka menjadi sebuah keluarga.

Kisah bermula apabila Helene Hanff tertarik untuk membeli buku-buku antik dari sebuah kedai buku terpakai bernama Marks & Co., (yang beralamat di 84, Charing Cross Road) di London selepas terbaca sebuah iklan di akhbar tempatan. Helene yang tinggal di New York berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan buku-buku antik sebagai rujukan dan pembacaannya sendiri. Jadi, seorang staf bernama Frank Doel membalas surat-surat tempahannya. Apa yang bermula sebagai urusan menempah dan membayar buku-buku, lama-kelamaan menjadi sebuah persahabatan erat antara Helene dengan Frank, serta keluarga staf-staf Marks & Co. yang lain. Mereka saling bertukar pengalaman, malah hadiah dan resepi di tengah-tengah kehidupan pasca-perang.

Kemanisan Ikatan Non-Fizikal


Secara peribadi, karya berbentuk epistolari memang menjadi kegemaran saya. Barangkali kerana saya suka sifatnya yang nostalgik. Surat adalah medium perhubungan yang penting sebelum datangnya emel dan alat elektronik lain yang memudahkan komunikasi. Walaupun surat mengambil masa untuk dihantar dan diterima, tetapi yang menjadikan nilainya tinggi adalah dari segi emosi. Surat merakamkan kejujuran dan memberi kemesraan. Apatah lagi kalau ditulis dengan tangan, lebih tinggi nilainya. (Sesiapa yang pernha membaca buku-buku berkenaan grafologi atau analisis tulisan tangan pasti tahu kenapa saya berkata begitu.)

Begitulah, selama 20 tahun mereka berhubungan melalui surat. Helene berjanji untuk dating mengunjungi sahabat-sahabatnya di 84, Charing Cross Road tetapi kerja dan kekangan wang menyukarkannya mendapatkan masa yang sesuai untuk ke England. Manisnya membaca karya ini apabila membaca surat-surat dari kawan-kawan Frank (yang juga staf di Marks & Co.) yang ditulis secara curi-curi dalam waktu kerja yang lucu dan terisi dengan senda gurau. Geli hati juga memikirkan kerenah mereka ini, terutama apabila mereka hampir ‘kantoi’ curi tulang dengan pekerja pejabat yang lain.

Persahabatan yang terjadi secara non-fizikal ini mengingatkan saya pada ikatan akidah yang dijalinkan sesama Muslim keseluruhannya. Iman yang terbina dalam jiwa-jiwa setiap individu Muslim secara non-fizikal menjadikan kita erat, biarpun kita tidak pernah bertemu. Disebabkan itulah, akan timbul rasa kasih jikalau betul-betul memahami aspek ini. Kalau tidak bagaimana kita boleh mencintai tampang agung yang bernama Muhammad itu sedangkan tiada siapa di zaman ini pernah berjumpa dengannya?

Pendahuluan yang disediakan dalam buku ini oleh Juliet Stevenson sangat membantu kita memahami kisah benar ini dengan lebih halus. Sebab itulah setiap kali membaca buku saya akan pastikan kata pengantar ataupun pendahuluan itu dibaca, kerana kebiasaannya isinya adalah lebih dari ucapan penghargaan dan pujian terhadap karya yang dipersembahkan. Dalam cetakan ini, isinya membedah buku ini dari perspektif Stevenson.

Nilai Sebuah Buku  

 Lot bernombor 84 kini sebuah restoran. Nampak plat besi bulat di tiang premis tersebut?

Saya sempat menjenguk bekas tapak kedai buku Marks & Co. ketika berkunjung ke London tidak lama dulu. Pada awalnya saya hanya ternampak nombor pintu 82, 83 dan 85. Di mana nombor 84? Setelah puas mencari, saya ternampak sebuah plat besi di dinding sebuah premis kedai berhampiran. Tertulis di atasnya:

84 CHARING CROSS ROAD
THE BOOKSELLERS MARKS & CO.
WERE ON THIS SITE WHICH BECAME WORLD RENOWNED
THROUGH THE BOOK BY HELENE HANFF

Wah, sememangnya sebuah buku boleh memberi kesan yang besar terhadap masyarakat. Walaupun Marks & Co. tidak wujud lagi, masih banyak kedai-kedai buku antik dan terpakai boleh didapati sepanjang jalan tersebut, selain kedai-kedai buku baru seperti Foyles. Malah ada satu lorong yang boleh diakses melalui Charing Cross Road, yang dinamakan Cecil Court, khas menempatkan toko-toko buku antik. Di tingkap hadapan terpamer pelbagai buku edisi lama yang tak mungkin boleh dijumpai di kedai buku terpakai biasa. Usianya mungkin boleh mencecah seabad malah. Saya juga memiliki dua tiga buah buku—berkenaan senibina Inggeris—yang pemilik asalnya membelinya pada tahun 1915!

Bukan sahaja nilai buku ini dipandang tinggi dari segi isi, malahan nilaian harganya juga semakin hari semakin bertambah. Di dalam buku tulisan Helene ini, harga buku-buku lama pada tahun 50an dan 60an tidak lebih dari 5 dollar setiap satu, tetapi kini saya sempat memerhatikan harga sebuah buku yang nipis saja sudah boleh mencapai beratus-ratus pound. (gambar kiri - antara buku-buku antik yang dipamerkan di sebuah kedai buku di Charing Cross Road)

Apapun, saya rasa senang melihat buku-buku sangat dihargai nilainya. Baik yang digambarkan di dalam buku ataupun melalui pemerhatian saya sendiri. Jika kita kembali ke masa silam sudah pasti kita akan terkenang perpustakaan agung bernama Baitul Hikmah, di zaman Abbasiyyah—ketika umat Islam sangat ketagih ilmu dan memandang tinggi nilai buku. Sehinggakan penterjemah karya-karya tamadun Yunani dianugerahkan emas seberat buku-buku yang berjaya diterjemah.

Sayangnya, semua itu dimusnahkan begitu sahaja sewaktu serangan orang Mongol. Mereka mencampakkan buku-buku tersebut ke dalam sungai sehingga hitam warna sungai Tigris dek dakwat yang larut air itu.

Berbalik kepada buku ini, kalau tidak silap saya, tak kedapatan di Malaysia. Saya sudah perhatikan beberapa kedai buku online namun setelah ditaip dalam enjin carian tajuk ini memang didapati tiada. Jadi bagi yang ingin membacanya boleh mengunjungi Book Depository, pembekal buku dari UK yang menawarkan buku ini dengan penghantaran percuma.

Bonusnya, buku ini bukan sahaja mengandungi 84, Charing Cross Road tetapi sebenarnya terdapat sebuah lagi buku tambahan, bertajuk The Duchess of Bloomsbury Street yang merupakan sekuel kepada buku ini. Pembaca ditinggalkan dengan epilog yang agak tergantung, jadi The Duchess of Bloomsbury Street memberi kesudahannya. Bagi yang meminati karya-karya bersadurkan persuratan dalam bahasa Melayu pula, bolehlah cuba baca Surat-surat Perempuan Johor tulisan Faisal Tehrani, ataupun karya popular Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Hamka (itu saja yang saya baca pun, haha).

Oh ya, terima kasih kepada Puan Nisah Haron kerana mempromosi buku ini di dalam blognya! Saya terus membelinya secara online setelah membaca entrinya berkenaan buku ini.

HelaianRindu: Kalau buku terpakai, beli di carboot sale je. Satu buku ada yang harganya 20p (kurang dari RM1) je. Ada yang baru pulak tu.

Julai 02, 2010

Sinergi: Merengkuh Hidup Bertarbiyyah

Judul: Sinergi
Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: Galeri Ilmu
Tahun: 2010
Harga: RM23.00
Bil.mukasurat: 500


Novel kelima Hilal Asyraf kali ini berkonsepkan slice of life komuniti pelajar Melayu di Jordan. Cerita dibawa dari pelbagai sudut pandang ketiga. Memandangkan latarnya sangat benar dan bukanlah fiksi, naskhah ini secara tidak langsung saya pandang juga sebagai semi-fiksyen, kerana penulis menceritakan pengalaman dan berkongsi suasana yang dialaminya sendiri, sebagai salah seorang pelajar di Universiti Yarmouk, Jordan. Bukan setakat latar tempat, latar masyarakat, nama-nama yang terlibat juga ada yang benar. Saya menyedari ini kerana banyak di antara nama itu disebutkan di dalam laman sesawangnya.

Sinopsis

Rasyid Zakwan dan Irfan Hakimi. Dua sahabat akrab ini memberi kesan harmoni kepada masyarakat sekeliling mereka, apatah lagi pelajar Melayu yang tinggal di Irbid, Jordan. Namun ujian datang menguji kelangsungan ukhuwwah mereka. Disaster Five, lima pelajar bermasalah hadir dan memanipulasi konflik dua sahabat ini untuk memporak-perandakan semua. Rancangan tersebut diperhebat apabila hadir pihak ketiga bergelar Secret, yang mendendami Irfan atas kematian abangnya. Irfan dan Rasyid pelu mencari jalan untuk menawan hati mereka semula supaya kembali ke arah kebenaran.

Tarbiyyah Sepanjang Tahun, Oh Bukan, Sepanjang Hidup!

Pembawaan kisah kehidupan pelajar di bumi asing hampir setahun bermula Ramadhan bukan sahaja menelusuri tarbiyyah manusia sepanjang tahun, tetapi sepanjang hidup. Melalui Ramadhan contohnya pembaca diperkenalkan keutamaan taqwa; Iduladha pada mustahaknya pengorbanan dan cinta. Permasalahan yang selalu melayang dalam fikiran remaja khususnya banyak dibincangkan dalam novel ini. Ilmu itu pula, menariknya, disampaikan melalui medium yang bervariasi, dari ayat-ayat Al-Quran sehinggalah bingkisan sirah. Tambah telus bila pengarang bermain dengan analogi, permainan emosi, hati juga psikologi.

Penulis mengajak kita berfikir pada setiap kata-kata yang dilontarkan. Setiap adunan tazkirah dan nasihat adalah bertujuan membangunkan hati-hati yang masih nyedar. Membuatkan setiap apa yang diselitkan dalam program-program seperti usrah dan introspeksi menjadi penting, dan penulis menyuruh kita menyedari itu secara halus. Kalau tidak bangkit 'disimbah air' kesedaran juga, kita masih perlu baiki diri!

Tentang Dakwah

Sinergi merupakan satu buku panduan yang cantik dalam menyampaikan mesej dakwah yang indah lagi halus. Kemunculan Disaster Five, lima orang pelajar dengan bermacam-macam ragam merupakan simbolik kepada mad'u atau objek dakwah yang perlbagai. Setiap individu yang didekati dalam menyampaikan dakwah mempunyai latarbelakang berbeza, masa silam, kelebihan, juga kekurangan yang tidak sama. Tentunya, cara menyentuh hati-hati setiap satu dari ahli Disaster Five ini juga tidak sama. Harith digoncangkan hatinya dengan kekuatan fizikal. Yusuf disuguhi dengan jasa, begitu contohnya.

Aspek lain dalam dakwah adalah seputar usaha. Dakwah tidak dipandang pada hasilnya dahulu, tetapi yang lebih didahulukan sepatutnya usaha yang telah dikerahkan. Sekalipun para mad'u tidak meyahut seruan dai'e, tanggungjawab yang kita pikul itu sudah kita laksanakan dengan sebaik-baiknya. hasilnya adalah di dalam tangan Allah jua. Hal ini ditonjolkan dalam usaha Irfan yang tidak putus asa mendekati ahli-ahli Disaster Five.

Dalam menyelami tugas dai'e rasa tanggungjawab perlu dihayati terlebih dahulu. Betapa tugas sebagai da'ie ini bukan mudah. Masalah saudara-mara kita, saudara seagama kita perlu difahami seintim mungkin, bukannya memerhati dari permukaan, tetapi menggulatinya dari dasar. Pengalaman ini telah diceritakan melalui Asid yang resah berfikir mengenai tanggungjawabnya kepada mereka yang masih belum merengkuh hidup bertarbiyyah. Pernah, saya membaca sebuah novel inggeris karangan Maeve Binchy, dalam menyelesaikan sesuatu masalah, katanya: Don't just look on it, but be a part of it as well. Baru kita boleh faham situasi yang melanda.

Selain itu, dinisbahkan juga metod dakwah kepada dua: Dakwah fardiyyah untuk anggota-anggota Disaster Five. Dakwah berskala besar pula berlaku antara warga PERMAI (Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid). Uslub yang dipertontonkan pada pembaca semuanya bertunjangkan apa yang dibawa oleh baginda Rasul dan para sahabat, lalu diperhalusi lagi dengan seni dakwah Imam Hassan Al-Banna dengan sahabat sefikrahnya Ikhwanul Muslimin. Berhikmah, dan tidak putus asa.

Kenapa Sinergi?

Pengarang dengan suka memperkenalkan kepada kita jalur konsep ukhuwwah dengan bancuhan urnanya yang tersendiri. Dalam Sinergi, konsep tersebut merujuk kepada formula 1+1=3, tidak semestinya dua jawapannya. Formula ini mengajar pembaca betapa kesatuan dua individu bakal melahirkan sesuatu yang luarbiasa, kerana tanda campur itu merupakan iman. Gugusan iman yang menyatukan dua saudara ini akan menggerakkan mereka menggenggam tali Allah.

Hablum min an-naas dalam novel ini begitu signifikan sifat dan nilainya, begitu juga seperti yang diutarakan dalam novel-novelnya yang terdahulu. Penekanan cara dan sebab melalui persoalan kenapa dan bagaimana yang sering disuakan kepada pembaca menerusi watak pelajar-pelajar sanfur (gelaran pelajar baru di sana) mengajar kita sebenar letak duduk perkara.

Ukhuwwah dengan sahabat bukan sahaja menuntut kita menggaluri haknya sebagai sahabat. Malah penulis menggarisi adab-adab dan tingkatan ukhuwwah yang perlu dikenalpasti oleh setiap manusia yang punya dan ingin mempunyai sahabat persis Asid dan Irfan, yang karibnya hanya kerana Pencipta.

Watak & Cerminan Diri

Mungkin bagi kita, watak Irfan dirasakan hampir sempurna, hampir tiada cacat cela pada perkataan dan perbuatannya. Tetapi di mana salahnya watak sebegitu? Irfan adalah seorang watak contoh, watak idaman setiap manusia. Pembaca disuluh dengan pemikiran watak ini supaya kita dapat mencontohinya. Watak kurang sempurna masih ada, tentunya dinisbahkan pada komuniti pelajar Melayu di Irbid yakni warga PERMAI sendiri, yang sekejap baik lakunya dan sekejap lagi sedikit kurang teliti. Setelah ditegur barulah  insaf kembali.

Watak 'kembar' atau sahabat akrab Asid dan Irfan pula menggambarkan kepada pembaca mengenali dua sisi diri: satu menuntut kebaikan dan satu lagi keburukan. Asid bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, tetapi dia kurang stabil emosi dan fikirannya berbanding watak Irfan. Dua watak berbeza ini bukan sahaja mencerminkan sifat dua sahabat, malah seharusnya diimplementasikan dalam figura sendiri. 

Dalam hati kita, akan ada emosi yang mengganggu. Hati juga dijamu dengan jalan keburukan dan ketaqwaan. tetapi yang beruntung adalah orang yang memilih jalan kesucian. Ini dibuktikan dalam Al-Quran surah Asy-Syams ayat 8-10, dan tercermin pula pada watak Asid yang berjaya mengelakkan diri dari kefasadan.

Pun begitu, di sebalik kekuatan novel ini, sedikit kekurangan yang saya rasa boleh diperbaiki ialah rincian yang disertakan dalam buku ini. Kadang-kadang maklumat yang disampaikan agak deskriptif dan teknikal bagi saya. Watak-watak sampingan yakni pelajar-pelajar Melayu yang disebut namanya di sana-sini juga boleh dikurangkan. Ketika saya membaca novel ini, saya terkeliru dengan nama-nama yang banyak. Setiap satunya pula diperincikan dengan jurusan dan tahun pembelajarannya, tambah mengelirukan kadangkala.

Pada awal bab contohnya, pembaca terus diperkenalkan kepada watak yang agak banyak, setiap satunya belum cukup 'dekat' dengan pembaca. Watak-watak utama seperti Asid, Irfan, Syafiq, Erman dan Baha contohnya perlu difokuskan terlebih awal sebelum watak-watak pelajar lain dibabitkan. Setelah pembaca mampu mengikat diri mereka dengan watak utama ini, barulah watak sampingan itu di selitkan sedikit demi sedikit. Atau mungkin juga penulis secara tidak langsung ingin mengatakan bahawa setiap watak itu penting? Hanya penulis saja mampu menjawabnya.

Perkara-perkara kecil juga boleh diperbaiki, antaranya Yusuf, Wafiq dan Harith yang sekejap bertukar ganti dari kata ganti 'saya' kepada 'aku' ketika mereka meluah rasa tentang masa silam mereka, punca mereka memberontak sebegitu rupa pada Irfan, Asid dan rakan-rakan. Dengan penelitian yang lebih, seni penceritaannya pasti lebih sempurna.

Novel ini mengingatkan kita peri pentingnya hidup di bawah wuwungan Allah, dan bagaimana hebatnya jika merengkuh diri kepada sahabat bukan kerana materi, tetapi berpaksi imani. Jika kalian dahagakan curahan tarbiyyah dari sebuah buku, rengkuhlah Sinergi, nescaya hati akan terisi, Insya Allah.

HelaianRindu: Alhamdulillah, kembali menjamu novel berbahasa Melayu.

Februari 05, 2010

Berguru Tentang Hidup: Tuesdays With Morrie


Judul: Tuesdays with Morrie
Penulis: Mitch Albom
Penerbit: Sphere
Tahun:1997
Harga: RM29.90

Kata mereka, buku ini bagus, sudah menjadi bestseller, menyentuh hati. Hebat, mantap, malah mengesankan. Malah suatu masa dulu siap dibikin menjadi filem. Itu kata mereka, tapi bagaimana saya?

Dahulu saya mengenali Mitch Albom melalui karyanya "For One More Day"—tentang seorang anak yang kehilangan tuju hidup, kemudian ditakdirkan bertemu dengan ibunya yang telah mati 8 tahun lalu.  (Klik sini untuk baca bingkisan For One More Day). Pada saya, cara kisah itu diperturunkan cukup impresif, dan impaknya lahir dengan hanya membaca sekali lalu. Sebab itulah, saya yakin akan kebolehan Albom dan kemudian tergerak hati membeli buku ini pula. Apatah lagi masa itu Borders sedang menjamu pelanggan dengan runtuh harga besar-besaran demi menghabiskan stok. 70% diskaunnya, siapa yang tak mahu singgah!

Tapi, entah kenapa, ada yang tak kena dari awal pembacaan saya hinggalah ke penamatnya. Saya tidak terkesan macam membaca novel For One More Day. Buku, jika benar-benar inspiring, tentunya akan meninggalkan aftereffect, kalau tidak banyak, sedikit pun jadilah. Mungkin hanya saya sendiri, tapi pembaca lain boleh menilai sendiri. Yalah, de gustibus non est disputandum. Jadi jangan disebabkan saya, impresi awal anda sudah berubah. Baca dahulu!

Kisah ini adalah rakaman kisah benar penulis sendiri ketika dia bersama dengan mendiang profesornya di universitinya dahulu. Dia antara pelajar kegemaran profesornya yang bernama Morrie Schwartz. Tamat pengajian, dia berjanji dengan gurunya itu untuk sentiasa menghubunginya, tetapi setelah bertahun meninggalkan universiti, langsung dia lupakan janji itu. Saat Morrie muncul di sebuah rancangan televisyen bertahun selepas itu kerana terpilih sebagai persona contoh, Mitch Albom terkenang katanya yang tak dikota dulu. Lalu, dengan tekad baru, penulis melawat bekas gurunya itu, dan bermulalah 'kuliah hidup' oleh Morrie. Pensyarahnya ingin mengajar penulis akan makna diri dan hidup sebelum dia  pergi buat selamanya. Dan kuliah-kuliah ini diadakan pada setiap hari Selasa.

Apa kurangnya ya cerita ini? Maaf, saya tidak mencari kesilapan, tetapi cuma memberi pendapat. Mungkin disebabkan jalan ceritanya yang agak mendatar, saya jadi bosan. Kerana, fokus buku ini adalah untuk menyampaikan perspektif guru penulis mengenai hidup, maka yang menjadi elemen utama cerita ini tentunya nasihat, inspirasi, dan motivasi. Bukannya unsur dramatik, saspens mahupun kejutan yang ingin ditonjolkan, tetapi unsur motivasi. Dalam kata lain, penulis mungkin memikirkan ‘yang penting adalah mesej yang ingin saya sampaikan’. Ya, boleh jadi ini sangat benar.

Begitupun, tidaklah semua isinya flat saja. Demi mengembangkan cerita dan plot, penulis memuatkan cerita dalam cerita—yakni kisah mengenai Morrie dan ayahnya, juga dengan ibunya. Kita diberi peluang menyelami personaliti Morrie dengan lebih mendalam. Dari itu kita faham kenapa pandangan peribadinya terhadap dunia lain dari yang lain. Selain itu, saya juga tertarik dengan perbincangan falsafi mengenai hidup mati dari sisi Morrie. Dia membicarakan mengenai cinta, dan perhubungan sesama manusia; bagaimana untuk menjadi seseorang yang mencintai dan dicintai, bagaimana untuk menghargai dan memaafi, juga kenapa dia sudah bersedia menghadapi mati. Aneh bukan, kalau yang bukan Islam pun begitu yakin dan siap siaga, kita yang Muslim ini, banyak yang takutkan mati. Nyatalah sekarang kenapa Rasulullah berbicara tentang bahaya penyakit wahan!

Mungkin, jika kalian mendambakan suatu pandang sisi berbeza mengenai hidup, bolehlah mencuba membaca ‘tesis’ ini. ‘Seorang guru hingga ke akhir hayatnya’, itu yang Morrie harapkan. Kita pula? Apakata kita sambut seru Rasulullah, jadi pelajar sepanjang hayat. Jadi pelajar Morrie sebentar dan ciciplah ilmu mana yang patut!

November 25, 2009

Kimi ni Todoke/君に届け



Dahulu saya agak suka menonton anime, atau kartun Jepun. Tapi, sekarang tidak lagi. Saya sudah sangat memilih sebenarnya dalam menonton animasi (dan rancangan TV lain) ini. Satu, saya tidak suka menonton cerita dengan jalan cerita yang sangat berbelit-belit dan terlalu panjang, seperti yang selalu kita lihat dalam animasi fantasi. Dua, saya suka mencari animasi dengan gaya seni yang tersendiri. Lihat saja animasi Kemono no Souja Erin yang pernah saya kongsikan beberapa bulan lalu, yang isinya banyak menggunakan elemen catan ekspresionis. Bukan setakat itu, Erin juga diadaptasi dari novel yang benar-benar bersifat epik. Ada banyak mesej yang baik juga di sebalik kisah Erin itu yang saya suka.

Kemudian, saya terjumpa satu siri baru.



Sebab nombor dualah yang  menyebabkan saya menyukai sebuah siri baru itu, yang kini masih dalam tayangan di Jepun. Artwork yang dipersembahkan oleh Karuho Shiina (pelukis/penulis komik ini) begitu mempesona, lebih-lebih lagi apabila diproduksikan oleh Production I.G., antara sebuah animator ternama di Jepun. Bukan seperti Erin, siri ini menggunakan elemen a la lukisan warna air (watercolour) yang lembut, dengan rona-rona warna yang sangat menarik!



Bercerita tentang plot dan jalan cerita, ia taklah terlalu berat dan bermesej. Latarnya agak klise, iaitu latar pelajar sekolah. Dan kisahnya pula mengenai seorang gadis yang selalu disalahanggap dan tidak punya kawan, akhirnya menemukan pelbagai perasaan baru apabila dia mula berhubungan dengan ramai orang. Apa yang boleh saya katakan, walaupun latarnya adalah sangat biasa, ceritanya segar dan original, berbeza dengan cerita dan drama Jepun yang menayangkan latar cerita yang sama. Untuk memberi emosi pada setiap episod, suntikan stail seni yang unik inilah yang diberi. Dan memang gaya itu berkesan! Tambah ceria bila ada komedi yang disertakan dalam setiap episod.




Bukan saya hendak mewajibkan kalian menonton cerita ini, tidak. Kerana saya tidak rasa ada mesej yang benar-benar patut didalami, melainkan hanya elemen persahabatan dan kejujuran. Cuma, bagi sesiapa yang meminati hasil seni cat air, saya cadangkan anda teliti lukisan dan landskap dalam cerita ini. (khususnya dalam lagu penutup!). Memang menyenangkan mata memandang. Teringin menghasilkan sebuah karya secantik itu (seperti dalam gambar pertama) dan digantung di dinding rumah sebagai hiasan. Latar chamomile dalam gambar kedua pun apa kurangnya. Tentu menawan!

Oh ya, tajuk siri ini ialah Kimi ni Todoke (Reaching You).

Selamat menonton!

helaianRindu: Lepas ni nak letak gambar2 ekspresionism dalam Erin kat sini pulak.


November 07, 2009

Pokemon 4Ever & Persahabatan



Pokemon. Kalau anda merupakan remaja baya saya, tentu anda akan terkenang zaman kanak-kanak dahulu, apabila saya sebut Pokemon. Bukan apa, tak keterlaluan jikalau saya katakan kartun ini antara yang 'membesarkan' kita, termasuklah Digimon, Beyblade, Masked Rider, Power Rangers dan pelbagai jenis lagi francais kartun Jepun dan Amerika.  Saya sendiri masih boleh cerita kembali zaman saya sekolah rendah dahulu--trend membeli alat mainan digimon, mereka karektor comel dalam buku latihan, mengumpul kad-kad dan sekian banyak lagi alat mainan yang sewaktu dengannya. Hampir semua budak dahulu sekurang-kurangnya akan 'melayan' Pokemon @ Digimon!

Berbalik pada tajuk yang tertulis, anda yang pernah menontonnya tentu bagai tak percaya, betul ke filem kanak-kanak macam ini yang ingin dikongsikan? Kalau iya pun hendak ditulis, sepatutnya dilakukan 6 tahun lalu! Maaf, memang nampak tak sesuai, tetapi saya dahulunya memang peminat setia Pokemon, apatah lagi filemnya. Dan filem keempat ini adalah filem yang paling saya minati, bagi saya cukup evergreen kerana sekarang saya masih boleh menonton semula tanpa rasa jemu atau muak! Masih ingat lagi, saya sibuk betul nak mendapatkan VCD original di pasaran waktu ia mula-mula terbit pada tahun 2003.

Ringkasnya, cerita ini berkisar mengenai Sam yang telah berjaya menyelamatkan seekor pokemon bernama Celebi, yang merupakan penjaga hutan dan berupaya mengembara melalui masa. Ketika hampir ditangkap pemburu pokemon, Celebi membawa Sam ke zaman 40 tahun ke hadapan, dan di situ dia terjumpa dengan Ash Ketchum yang sedang dalam kembaranya. Pada masa ini terdapat orang jahat yang juga ingin menangkap Celebi demi kepentingan diri. Ash dan Sam dan Celebi menjalin hubungan yang rapat sebagai kawan, dan mereka harus menentang orang jahat itu bersama-sama. Di akhirnya apabila semua telah selesai mereka harus berpisah, Sam ke masa lalu semula dan Ash meneruskan perjalanannya.

Fokus saya di sini adalah dari aspek persahabatan yang ditonjolkan. Memang, saya pasti masih ramai yang ingat kontroversi yang melanda francais Pokemon ini. Mengenai nama-nama yang apabila diterjemah menghina Islam, atau aspek 'evolusi' yang digunakan secara meluas dalam animasi ini yang mampu mendoktrin faham Darwinisme, atau kezaliman yang tertonjol dari perlawanan Pokemon seperti sabung ayam lagaknya, dan bermacam lagilah. Haruslah kita ketepikan dahulu. Yang ingin saya perkatakan ialah persahabatan antara Sam dengan Ash. Biarpun dalam masa yang singkat, hubungan mereka begitu rapat. Walaupun Sam sepatutnya lebih tua 40 tahun dari Ash, mereka tetap merakam kenangan manis bersama tanpa rasa kekok. Dan setelah berpisah, mereka berjanji akan tetap menjadi kawan buat selama-lamanya, biar masa menjarakkan.

"True friendships can withstand the test of time." Itu kata-kata Professor Oak kepada Ash sewaktu dia bersedih kerana berpisah dengan Sam. Apa yang mengharukan saya, kata-kata Professor Oak sangat mendalam. Ini kerana Profesor Oak sendiri adalah Sam 40 tahun kemudian, dan sebab itulah Profesor Oak meyakinkan Ash di hujung cerita bahawa Ash dan Sam akan tetap menjadi kawan baik buat selama-lamanya. Bukan saja mesej yang disampaikan sangat menggigit rasa, tapi rahsia di epilog cerita ini juga sangat menarik! Sahabat itu bukan mudah untuk kita dapati. Sudah berjuta lagu dan sajak di dunia ini memperihalkan mengenai sahabat sejati, kawan terbaik, peranan kawan. Dan mungkin ramai yang akan mengatakan definisi sahabat bagi setiap orang adalah berbeza. Mungkin, ada yang mengatakan sahabat itu orang yang rapat dengannya. Atau, orang yang sentiasa mengingatkan apabila terlupa; mungkin orang yang selalu menasihati dan menegur kesilapan; dan malah orang yang apabila kita memandang wajahnya, dia mengingatkan kita pada Pencipta kita, barangkali.

Saya tidak pandai dan tidak mahu mengkritik apa-apa mengenai sinematografi dan sebagainya, yang pasti Pokemon 4Ever sememangnya satu filem dengan jalan cerita yang baik. Bila menonton kembali filem ini, saya cuma ingin anda semua membuat refleksi mengenai persahabatan semula. Fikirkan, adakah kita mampu jadi seorang sahabat? Apa fungsi sahabat? Dan mungkin sebelum semua persoalan itu dirungkai jawapannya, apa itu sahabat? Ingatlah, sahabat itu terlalu besar pengertiannya. Sahabat, hei bayangkan Abu Bakar yang menangis diam menahan sakit dipatuk ular demi tidak membangunkan Rasul yang tidur di ribanya! Bukankah sahabat itu lebih daripada hanya boleh menjadi teman meluah rasa? Bukankah sahabat itu lebih nilainya dari ke mana pun selalu berdua?

Sahabat, bagi saya, tidak konkrit.

Terlalu subjektif untuk didefinisikan.

Helaianrindu: Pokemon, masih ada kawan saya yang menghafal beribu namanya sampai sekarang!

September 17, 2009

Relasi

Judul: Relasi
Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: YWJ Citra
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 269
Harga: RM26.90

Alhamdulillah buku yang dipesan secara online ini sampai tengahari tadi, dan baru saja dihabiskan tadi (malam). Ini sudah masuk buku keempat bagi penulis muda Hilal Asyraf. Saya sudah membaca kesemuanya dan sempat mengulas tiga daripadanya termasuk yang ini. Buat pengetahuan semua, naskhah ini istimewa kerana ini merupakan cahaya mata pertama penulis. Cuma karya sulungnya ini diterbitkan sedikit lambat, menyebabkan VT menjadi debut yang lebih dikenali ramai pembaca remaja di luar sana. Baiklah cukup itu buat introduksi, jom kita bercerita mengenai isi Relasi ini.

Jika anda sudah membaca novel terkini penulis bertajuk Terasing, anda akan perasan yang nama watak-wataknya sama, peristiwa yang berlaku berkait rapat. Ya sememangnya buku ini adalah sebuah prekuel kepada Terasing. Jika Terasing menceritakan darihal Saifullah ketika sudahpun berkahwin, Relasi menyorot kisah hidupnya ketika berada di bangku sekolah.

Susah juga saya hendak mengulas lanjut buku ini tanpa bercerita mengenai sekuelnya sekali kerana saya sudah membaca kedua-duanya. Jika anda belum membaca Terasing, maafkan saya. Tidak boleh tidak saya harus menyebut kedua-duanya.

Relasi
saya pandang sebagai 'sisi lain' VT. Memang kisahnya berpusat pada perhubungan dan persahabatan, tetapi watak utamanya juga seorang pemain bola tampar. Ada sebuah bab khas berkisar mengenai perlawanan bola tampar. Saya sudahpun membaca VT, jadi manis juga membaca bab ini, terkenang pula pada impak VT itu. Mungkin ada juga yang bakal merasa sedikit bosan kerana ceritanya agak sama, latar sentralnya pun begitu serupa, biar VT ataupun Terasing. Permainan bola tampar itu juga mungkin mengundang rasa monotonous. Tapi kita patut sedar mesej dalam ketiga-tiga novel ini berbeza meskipun pendekatannya hampir sama. Dan mesej ini lebih lagi perlu diberikan perhatian. Hilal lebih mantap pada aspek mesej ini. (Juga harus diingat, sepatutnya Relasi datang sebelum VT.)

Relasi seperti tajuknya adalah berkaitan perhubungan. Saifullah yang tercari-cari erti sahabat itu menghadapi konflik dengan senior yang rapat dengannya, menjadikan dia lebih keliru dengan erti persahabatan. Kemudian diceritakan pula hubungan baiknya dengan juniornya Abbas, adik usrahnya yang selalu bercanda dengannya. Rakan sebayanya yang dahulunya baik dengannya kini menjadi samseng di sekolah pula. Dan kemudian...ada juga bibit cinta timbul antara Saifullah dan Tengku Atikah. Relation atau relasi yang pelbagai ini membentuk novel ini.

Namun seperti novel Hilal yang sebelum ini, pastilah segala-gala yang kita lakukan disandarkan hanya pada Allah. Begitu juga Saifullah. Segala macam konflik jiwa dan fizikal yang menimpanya disandarkan hanya pada Allah. Relasi itulah yang paling diredhai. Dengan menghubungkan cinta pada Allah tentu dihubungkan kita dengan cinta manusia yang juga mencintainya. Sedikit berbeza dengan Terasing, walaupun masih bertunjangkan perhubungan sesama manusia, ia dilebihkan sedikit pada hubungan yang renggang, atau lebih tepat akibat pada putusnya perhubungan. Jadi secara tidak langsung saya boleh katakan Terasing seperti sisi gelap Relasi. Mula-mula mencari erti sahabat, kemudian ada pula persoalan apa jadi bila hilang sahabat? Semacam dua sisi bulan, sebelah terang dan sebelah lagi gelap. Matahari memancar pada sisi yang terang justeru terpantullah kebaikan pada diri kita. Sebaliknya keterasingan dari cahaya itu bakal menggelapkan peribadi kita. Faham maksud saya?

Em, ringkasnya, kita harus mencari teman yang berkawan dengan kita kerana Allah. Jikalau hilang dia hilang sebahagian diri kita. Lebih kurang begitulah. Itulah 'sahabat' yang sebenar dicari Saifullah.

Saya suka pada Relasi kerana kematangan bahasanya. Kemas, tersusun dan cantik. Terasa seakan-akan Relasi ditulis selepas Terasing pula, dan Saifullah sendiri nampak lebih matang dalam Relasi bagi saya. Tetapi...saya sedikit muak sebenarnya dengan Saifullah apabila asyik-asyik teringatkan Si Atikah itu. Benar, saya tak menggemari novel cinta. Adegan sepeti ini nampaknya bukan untuk saya. Terpulang pada pembaca, tetapi saya suka jika babak-babak itu dapat dikurangkan. Oh ya, harus dinyatakan juga, babak-babak ini nampaknya yang lebih dipentingkan daripada cerita perhubungan Saifullah dengan seniornya. Saya fikir ini menjejaskan sedikit fokus cerita kerana yang berselisih faham mula-mula sekali ialah mereka berdua. Dan "sesungguhnya setiap mu'min itu bersaudara" dah jelas tertera di hadapan kulit buku, jadi tentunya cerita cinta itu harus sedikit dikesampingkan. Sekadar pendapat.

Tahniah buat Hilal Asyraf. Saya sempat juga tergelak membaca mengenai kisah bau syampu sunsilk dari kepala Atikah! Saya tentu akan mendapatkan novel keempatnya yakni buku kelimanya nanti. Khabarnya bakal terbit hujung tahun ini. Minat dan usahanya harus dipuji. Kata seorang penulis, usaha itu 80% sedang bakat hanya 20%. Maka, harapan saya, dia terus menulis dan menulis demi berdakwah tanpa jemu. Usaha dan istiqamah itu tangga kejayaan!

Selamat membaca!

(Untuk membaca mengenai Terasing klik sini.)

helaianRindu: eleh, kau macam tak pernah jatuh hati je.

September 07, 2009

Tunggu Teduh Dulu

Judul: Tunggu Teduh Dulu
Penulis:
Faisal Tehrani

Penerbit:
Penerbitan Selain

Tahun:
2004

Bil. mukasurat:
678

Harga:
Rm49.90


Hairan. Sangat hairan dengan diri sendiri. Kenapa saya tidak menyedari buku ini sebelum ini, kenapa buku ini tak menarik mata saya dulu untuk dibaca. biarpun telah lama berada di rak buku saya. Kadangkala saya ada membelek juga, tapi entah kenapa tak berani membacanya. Tertanya-tanya, adakah disebabkan edisi ini nampak tebal, lalu belum sanggup menelaahnya? Atau disebabkan ini sebuah novel cinta, genre yang saya kurang cenderung membaca? Atau barangkali ingin menunggu saat yang lapang seperti waktu sekarang (cuti) untuk menikmatinya? Entah. Walau apa alasan pun, saya hairan.

Tunggu Teduh Dulu adalah cerita mengenai seorang wanita bernama Salsabila Fahim yang mengusahakan sebuah ladang betik bersama rakan baiknya, Teh Sofia. Pelbagai dugaan menimpa Salsabila, dari diduga dengan cinta, retaknya persahabatan dan kekeluargaan, kematian orang tersayang, dan ujian kondisi ladangnya yang tidak menentu. Ini adalah cerita di sebalik perjalanan Salsabila mencari teduhan dari asakan yang bertalu-talu menduganya.

Saya banyak bermuhasabah dari isi novel ini. Ada tiga perkara utama yang selalu tengiang-ngiang dalam minda saya selepas membaca novel ini. Satu, bahawa kerja dan aturan Tuhan itu tiada siapa yang tahu. Jalur hidup dan ketentuan takdir kadangkala mencengangkan kita, datang dengan tiba-tiba, tetapi dihujungnya ternampak takjubnya. Teh Sofia selalu mengingatkan Salsabila dengan kata-katanya, "Kerja Tuhan siapa tahu?" dan saya juga bagai terdengar ungkapan itu di telinga saya setiap kali bertemu sesuatu yang tak saya jangka. Dua, saya belajar bahawa keterlekatan kita pada sesuatu, lebih-lebih lagi perkara duniawi akan membawa kita jauh dari bahagia. Ladang betik yang dicintai Salsabila dan Teh Sofia menghadapi banyak masalah, dan keterlekatan mereka pada ladang yang satu itu tidak boleh membawa mereka ke mana-mana. Sesungguhnya milik Allah jua segala, dan didatangkan yang lebih baik daripada apa yang kita ada sekiranya kita bersyukur dan terus berusaha.

Tiga, bahawa cinta itu diberi bukan diminta. Teman lama Salsabila di bangku sekolah dulu, Kamil dan Lam Ping Hai datang semula, menuntut cinta Salsabila setelah lama menawarkan cinta masing-masing. Sekian lama Salsabila tidak dapat memilih antara dua, dia berpergian ke Tanah Haram memohon dipertemukan jodoh. Tidak diduga, "kerja Tuhan siapa tahu?" itu muncul dan mengetuk lawang takdir wanita ini. "Cinta itu tidak diminta, tetapi diberi" begitu frasa yang saya selalu ingat. Kalau kita benar mencintai Dia, doakanlah supaya dikurniakan cinta orang yang mencintaiNya.


Susah juga saya hendak ulas lanjut novel ini, bukan kerana terlalu banyak untuk diceritakan. tetapi sukar untuk saya cari kata-kata yang terbaik untuk memperihalkan kebagusannya. Saya amat menyenangi falsafah dan simbolik di sebalik "Tunggu Teduh Dulu" itu sendiri. Tajuknya sudah memberi pelbagai bayangan pada kisahnya. Asalnya, ketika mereka masih bersekolah, Kamil, Salsabila dan Lam selalu ke puncak bukit berdekatan rumah Salsabila, dan suatu ketika hujan turun, mereka lalu berteduh di bawah sebuah bangsal. Kamil dan Lam masaing-masing menawarkan cinta dan secara halus meminta Salsabila meilih, tetapi Salsabila hanya menjawab, tunggu hujan teduh dulu. Tetapi di sebalik tajuk naskhah ini, Salsabila juga menunggu teduh dari pelbagai duga. Juga menunggu seorang lelaki yang benar-benar mampu jadi teduhannya. Dan tidak dilupa teduhan sebenar pada Tuhan Pencipta. Latar yang teduh menjadi pilihan--sebuah ladang betik dengan daun selalu ditup angin, mendatangkan damai pada jiwa-jiwa yang memandang.

Suka saya ingin meminjam kata-kata seorang pembaca, yang saya terbaca di internet; Sekiranya Indonesia mengangkat Ayat-ayat Cinta sebagai novel terbaik, maka di Malaysia Tunggu Teduh Dulu wajar diangkat sebagai citra. Ingat, watak wanita dalam Ayat-Ayat Cinta semuanya mendamba pada seorang lelaki yang tampak begitu sempurna pada segala. Tunggu Teduh Dulu menjanjikan yang lebih baik, di mana watak utamanya masih terpapar kelemahannya, dia tidak bisa memilih, dia juga ada saatnya hilang sabar dan lemah hatinya. Lebih dekat dengan para pembaca. Cerita ini adalah melalui sudut pandang pertama, dengan Salsabila sebagai 'saya'. Wanita yang membaca novel ini pasti lebih terasa dekat dengan peribadi Salsabila, pemikirannya, pendiriannya dan hidupnya sebagai seorang wanita. Sebagai seorang lelaki, Faisal Tehrani berjaya menghidupkan protagonis ini dengan baik sekali. Tidak semua lelaki boleh mempamer peribadi seorang wanita dan cara fikirnya sebaik ini. Saya juga suka dengan Salsabila Fahim, saya juga seperti ingin mencari teduhan seperti dia. Tempias duga itu dapat saya rasa, meski saya ini lelaki.

Hairan bukan, mengapa orang lebih menyebut-nyebut produk Indonesia sedang di negara kita ada yang lebih baik!

Lenggok bahasa kali ini lebih mudah, ayat-ayatnya pendek tetapi tetap dihiasi bunga bahasa dan diksi yang tepat. Manikam Kalbu contohnya, berkait rapat dengan ilmu busana, Ketupat Cinta pula dengan ilmu gastronomi, Tunggu Teduh Dulu membawa suasana pertanian. Seperti biasa, novel Faisal Tehrani sentiasa ditampung dengan ilmu yang bermanfaat. Dari ilmu mengenal jenis betik sehinggalah kepada jenis penyakit dan racun yang digunakan dalam penanaman, seperti selalu naskhah ini juga "well-researched". Begitulah sepatutnya novel, bukan sahaja menghibur, tetapi mendidik.

Pun begitu, saya sedikit ragu, selepas teduh, apa yang dinanti? Hari cerah? Pelangi? Atau sinar matahari? Bagaimana dengan bangsal tempat berteduh itu, apakah ia akan ditinggalkan? Saya masih berfikir-fikir lagi pelbagai makna di sebalik kisah berteduh ini, moga mendapat jawapannya ketika membacanya lain kali, InsyaAllah.

Kini Tunggu Teduh Dulu telahpun dicetak dalam edisi baru oleh Ameenbooks, lebih murah dan kompak saiznya. Hanya RM29.90, boleh didapati di kedai-kedai buku seperti MPH dan Popular. Jikalau anda mencari novel cinta, falsafah, kekeluargaan berlatarkan dunia tani, Tunggu Teduh Dulu jawapannya. Saya boleh menarik nafas lega, novel cinta macam inilah yang saya cari-cari!

helaianRindu: Sekeliling rumah aku pun ada tanam betik juga. Abah punya kerja. Tiap-tiap hari makan betik, hasil sendiri tapi entahlah spesies apa. Sebab itu membaca novel ini kecur liur. Suka dengan betik yang berisi jingga merah berjus itu.

September 03, 2009

Erin, The Beast Player (Kemono no Souja Erin/ 獣の奏者 エリン)

Dua tahun lalu, saya menonton sebuah animasi Jepun yang bertajuk Seirei no Moribito (Guardian of the Sacred Spirit) karya Nahoko Uehashi. Awalnya saya tidaklah begitu berminat, tetapi sedar-sedar saya dah habis menonton kesemua 26 episod dan menagih lebih episod lagi. Tandanya, saya sudah jatuh cinta dengan karya beliau.

Awal tahun ini, lebih kurang dalam Mac-April, saya terbaca berita bahawa sebuah lagi karya Nahoko Uehashi akan dijadikan animasi. Karya itu bertajuk Kemono no Souja (The Beast Player) yang ketika itu berjumlah dua volum. Ah ya, terlupa pula, kedua-dua Moribito dan Kemono no Souja adalah novel karangannya, bukan manga. Moribito adalah novel dua jilid manakala Kemono no Souja adalah novel 4 jilid, dan 2 jilid selebihnya baru saja diterbitkan 10 Ogos lalu di Jepun. Berbalik semula pada berita yang saya jumpa itu, saya terus meletakkan siri ini sebagai salah satu cerita yang wajib saya tonton.

Mengadaptasi 2 volum awal, Kemono no Souja Erin merangkumkan kandungannya ke dalam 50 episod. Pada mulanya saya agak teragak-agak juga untuk menonton, disebabkan gambar promonya yang kelihatan keanak-anakan. Impresi awal mengatakan ini kisah untuk kanak-kanak. Tetapi, mengenangkan Moribito, saya meyakinkan diri yang siri ini juga matang dan tentu lebih baik lagi. Animasi 50 episod, tak mungkin mereka akan animasikan sesuatu yang membosankan!

Erin merupakan seorang kanak-kanak berumur 10 tahun, yang tinggal dengan ibunya, Soyon, di Kampung Aka. Ibunya merupakan seorang pelatih dan doktor Touda--sejenis haiwan tunggangan seperti biawak besar yang bertanduk dua--yang digunakan oleh tentera Raja dalam peperangan. Mereka berdua berasal dari Kampung Kiri yang merupakan penduduk yang disisihkan kerana melakukan satu kesalahan besar lama dulu. Sebagai penduduk asal kampung itu mereka dilayan dengan layanan buruk oleh setiap orang. Namun mereka diberi pengecualian untuk tinggal di kampung itu kerana kepakaran Soyon sebagai pelatih Touda.

Namun, tragedi maut yang menimpa seekor Touda pada suatu hari dibebankan kesalahannya pada Soyon sepenuhnya tanpa usul periksa. Soyon terpaksa menjalani hukuman, dan Erin pula harus keluar dari kampung itu demi keselamatannya. Dalam masa yang sama, kerajaan yang diperintah Raja sedang bergolak. Erin, dalam pengembaraannya, belajar banyak perkara mengenai haiwan, dan satu hari di dalam hutan, dia terkagum akan seekor binatang yang sangat megah yang menjadi lambang Raja pada waktu itu: Raja Haiwan (Beast Lord). Tidak disangkakan oleh Erin yang pertemuannya dengan Raja Haiwan itu akan menjerumus dirinya ke dalam pergolakan politik kerajaan.

Premis novel Nahoko Uehashi sangat menarik dan begitu epik sekali sifatnya. Walaupun baru 31 episod saya tonton, tetapi setiap episod begitu menarik sehinggakan saya selalu 'terserap' ke dalam dunia Erin. Watak Erin sendiri terlalu memikat. Dia budak yang bijak, cepat belajar dan mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Kerana sifat ingin tahunya itu, kadangkala dia terlupa yang tindakannya boleh membawa kepada bahaya. Dia juga sangat sayang akan ibunya dan hubungan ibu-anak yang terpancar dalam animasi ini sentiasa menyentuh hati.

Erin ketika memujuk anak Raja Haiwan. Alamak, comelnya. Geram. Setiap episod.

Uehashi cekap membina perhubungan antara watak, baik manusia ataupun haiwan. Premis Kemono no Souja Erin berkisar mengenai perhubungan manusia dengan haiwan. Seperti Touda, Raja Haiwan boleh ditundukkan oleh manusia dengan meniup sebiji wisel khas dengan frekuensi tertentu yang tidak didengari manusia. Namun, kerana kasihnya Erin terhadap haiwan, dia enggan menggunakan cara yang sama. Dia bertindak sebagai seorang ibu kepada seekor anak Raja Haiwan. Walaupun cara itu bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan, dia tetap tegar dengan metodenya. Saya selalu ikut terharu menyaksikan jalinan luarbiasa Erin dengan Raja Haiwan ini, ada masa hampir-hampir saja saya menitiskan airmata. Tak dinafikan, barangkali kerana saya juga sukakan haiwan. (Lagipun, Raja Haiwan seekor bintang yang sangat comel sebenarnya, walaupun berbahaya apabila dia mengganas.)

Erin 18 tahun dan beberapa watak yang terlibat

Perhubungan Erin dengan ibunya, dengan ayah angkatnya Jone (juga watak kegemaran saya), dan dengan rakan-rakannya yang terbina juga mengikat saya bersama. Rona emosi yang dilontar oleh tragedi mahupun kegembiraan juga membawa rona rasa yang sama pada saya. Contohnya, ketika bayi Raja Haiwan liar yang ditemuinya di hutan itu sedang dalam ancaman oleh Touda liar, saya ikut cemas seperti Erin. Kehadiran ibu Raja Haiwan itu secara dramatik membuat saya bertepuk kegembiraan, benar! "Bayi itu selamat!" bisik saya dalam hati. Tersenyum-seyum saja sehingga hujung episod itu kerana terkenangkan perilaku saya ketika itu. Sejak itu saya juga jatuh cinta pada Raja Haiwan macam Erin.

Antara abstrak dalam Kemono no Souja

Digaul dengan suasana kampung yang damai, desa dan bukit yang meluas indah, saya tenang meneliti setiap episod. Muzik yang melatari keseluruhan animasi ini juga mendamaikan. Lagu nyanyian cossami contohnya, yang seperti keanak-anakan tetapi berlatarkan muzik yang lembut dan perlahan antara yang menjadi kegemaran saya sepanjang siri ini ditayangkan. Sangat sesuai dengan Erin dan sifat latarnya. Lain daripada itu saya gemar sekali dengan art syle yang digunakan, paling suka pada motif seakan-akan abstrak. Seni cerita dan juga seni animasi dan muzik, kedua-duanya 'memaksa' saya bercinta dengan Kemono no Souja.

Buku peraturan yang sepatutnya dipatuhi semua pelatih Raja Haiwan

Siri ini tidak tertumpu pada Erin yang berumur 10 tahun itu saja. Siri ini diteruskan dengan Erin 14 tahun, dan terbaru dalam episod 31 Erin sudahpun menjadi gadis matang berumur 18 tahun. Masih belum nampak kaitan Erin dalam pergolakan negara, siri ini masih panjang lagi. Malah 50 episod ini adalah untuk 2 volum sahaja. Masih ada 2 jilid lagi yang baru terbit perlu dianimasikan. Entah bila agaknya dapat saya saksikan. Tak apa, saya akan cuba jadi peminat yang sangat setia.

novel bahasa Jepun volum 1 Kemono no Souja

Oh ya, Moribito telahpun diterjemah dalam bahasa Inggeris oleh Scholastic. Saya tak sabar menunggu Kemono no Souja diterjemahkan juga. Saya mesti menjadikan Karya Uehashi sebagai koleksi tersayang. Biarpun sudah tahu jalan ceritanya, saya ingin membacanya dalam bentuk novel pula. Tentu akan memberi perasaan berbeza, mana tahu lebih baik lagi? (Tapi, menonton animasinya takkan terasa macam menonton animasi, terasa macam drama, rasa macam memang membaca novelnya. Sungguh.)

Terlalu banyak yang ingin dikisahkan mengenai Erin dan siri ini. Mungkin hanya saya yang suka, tapi jika anda ingin menontonnya anda boleh muat turun episod-episod terbaru di sini dan nilailah sendiri. (dalam bahasa Jepun dengan sarikata Bahasa Inggeris) Dan jika berminat siri Seirei no Moribito di sini.

Untuk mengetahui ulasan lebih baik di sini, dan untuk ulasan mengikut episod di sini dan sini.

September 02, 2009

VT

Judul: VT
Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: Galeri Ilmu
Tahun: 2009
Bil.mukasurat: 511
Harga: RM25.00


VT adalah sebuah novel dengan tema sukan, dan fokusnya bola tampar. VT adalah akronim bagi Volleyball Team (pasukan Bola Tampar). Susah mahu jumpa novel berbentuk sukan ini, dan lebih-lebih lagi kalau hendak jumpa novel sukan dengan wacana Islam. Buku dengan tema yang sama dengan VT, paling terkini yang pernah saya baca adalah Justeru Impian di Jaring karya Zaid Akhtar. Berkisar mengenai badminton. Tidak hairan jika ada orang cuba membandingkan VT dengan novel tersebut. Saya tidak terkecuali. Mungkin disebabkan tidak banyak novel berbentuk begini di pasaran. Tetapi biarlah kita ketepikan soal banding-membanding dua novel ini.

Berbalik semula kepada VT. Buku ini merupakan fiksyen terbitan sulung penulis. Melalui pengalaman beliau dalam sukan bola tampar di sekolah menengah, beliau menggubah pengalaman itu dan memfiksikan pasukan bola tampar dan guru-guru sekolahnya. Namun latarnya dikekalkan, iaitu di sekolah menengahnya dahulu, MATRI, yang terletak di Perlis. Watak utamanya digubah dari diri penulis sendiri dengan mengambil nama Asyraf.

Dalam buku ini, Asyraf merupakan pelajar tingkatan enam yang menghadapi masalah keluarga. Dia juga masih pedih berdepan dengan masa silamnya. Suatu masa dahulu, Faiz, senior yang mengenalkan dia kepada seni bola tampar maut di hadapan matanya sendiri. Asyraf juga kecewa dengan pasukan bola tampar yang wujud sekarang. Semua ahlinya mempunyai sikap dan akhlak yang buruk, bahkan mementingkan diri sendiri. Kekalahan pasukan tersebut pada tahun sebelumnya lebih-lebih lagi mencambah benci di hati Asyraf--kerana tanpa kemenangan dia tidak mampu mengota janji pada seniornya ketika ajalnya dahulu.

Seorang jurulatih baru datang secara tiba-tiba, bertujuan mengubah situasi ini. Menggelarkan dirinya sebagai Coach Hussam, dia datang dengan misi menghidupkan kembali pasukan yang hampir mati itu, dan berhadapan dengan masalah keluarga Asyraf. Tetapi ternyata, ada misteri dan rahsia yang disembunyikan Hussam daripada pengetahuan pasukan bola tampar itu.

Membaca VT membawa suatu perasaan yang luar biasa. Kekemasan plot (sebab dan akibat) yang diketengahkan menjadi. Watak Asyraf yang dinamik memang ada impak tersendiri. Dia baran, tetapi dalam masa yang sama dia juga penyayang. Babak ketika Asyraf mendepani ayahnya secara terus demi menyelesaikan perbalahan dalam keluarganya sangat mengesankan.

Dari sudut ilmiah, novel setebal 511 mukasurat ini adalah sumber yang baik. Sudah pasti informasi mengenai sukan bola tampar dijelaskan dengan panjang lebar, sama ada melalui perlawanan ataupun latihan. Cara permaianan, posisi pemain dan syarat-syaratnya. Walaubagaimanapun apa yang lebih penting ialah mesej dakwahnya. Sukan sebagai medan dakwah, susah untuk dipercayai bukan?

Tapi, lupakah kita pada Ruqaya Al-Ghasara, seorang pelari pecut bertudung dari Bahrain? Pada tahun 2006 beliau berjaya menggondol pingat emas, sekaligus membuktikan Islam yang diamalkan langsung bukan penghalang untuknya mencapai kejayaan. Bahkan lebih baik lagi apabila kemenangan itu membawa perspektif baru kepada umat dunia seluruhnya. Ramai yang mengaguminya, baik muslim atau tidak. Bukankah itu sudah jadi satu dakwah baginya? Begitulah fokusnya VT. Memapar imej Islam bukan cuma memakai pakaian yang menutup aurat. Pemain harus juga menujukkan akhlak yang baik, biar di dalam atau di luar gelanggang. Maka untuk merealisasikan pemain-pemain sebegini Hilal menampilkan watak-watak yang sudah ketandusan akhlaknya, dilatih oleh Hussam dengan pelbagai cara, antaranya al-Ma'thurat dan Qiamullail untuk melembut dan mendidik hati-hati mereka. Mereka juga diperkuatkan hubungan dan ukhuwwah agar dapat bergerak sebagai satu pasukan. Terkenang juga saya dibuatnya pada rakan-rakan saya yang bersama melalui susah senang semasa belajar dulu. Walaupun bukan melalui sukan, jalinan yang ditonjolkan sekurang-kurangnya menuntut pembaca beringat, bahawa setiap muslim itu bersaudara. Jika salah satu anggota terasa sakit, sakitlah juga seluruh tubuhnya. Persis pasukan bola tampar di gelanggang perlawanan, kecundang seorang, yang lain juga merasainya. Bukan mementingkan diri. Bukan juga saling menyalahkan.

Saya berimaginasi VT dapat dijadikan sebagai sebuah komik bersiri. Sudah terbayang-bayang karya Takehiko Inoue, Slam Dunk, yang begitu besar sambutannya sampai sekarang. Atau lebih terkini dan popular juga, Eye Shield 21 karya Riichiro Inagaki dan Yusuke Murata. Mestilah VT lebih mantap dalam bentuk komik kerana pembaca bisa melihat apa yang terjadi dalam sesebuah gelanggang bola tampar dengan lebih jelas. Saya yang kurang arif dalam bidang sukan ini apatah lagi memerlukan aksi bergambar untuk menjadikan saya faham letak duduknya permainan tersebut. Memang ada disertakan lampiran gambar mengenai teknik-teknik seperti setting, digging, dan blocking, tetapi dalam perlawanan yang panjang, penerangan dalam bentuk perkataan akan jadi lebih kompleks. Malah saya tak mampu mengingat posisi-posisi pemain dengan begitu baik, justeru saya kadangkala keliru. Komik yang bergambar sememangnya satu bahan yang dapat membantu. Komik Malaysia tentang sukan juga kurang, maka kalau idea ini terhasil alangkah bagusnya. Dapat meluaskan lagi skop mad'u. Yalah, bukan semua orang suka membaca novel berjela kan?

Satu keistimewaan yang jarang-jarang didapati dalam novel lain: Tak ada watak perempuan dalam VT! Biasanya, sukar menarik minat orang membaca fiksyen jika tiada sedikit kisah cinta. Mungkin sudah ada yang menganggapnya bosan. VT nampaknya menangkis persepsi ini. VT berada dalam kelasnya tersendiri, dan walaupun karekter-karekternya semua adalah lelaki, tak bermakna novel ini khas hanya untuk lelaki. Audiensnya boleh jadi sesiapa sahaja, perempuan, lelaki, remaja, atlet... Saya yang kaki bangku ini pun boleh tertarik membacanya.

Berbanding novel terkini penulis, Terasing, saya lebih suka pada VT. Idea yang original, mesej dakwah yang segar dan plot yang kemas itulah sebabnya. Naratifnya bukanlah sebuah khutbah agama tentang bagaimana bersukan dalam Islam, tetapi medannya adalah peribadi dan akhlak, lebih halus dan berhikmah.

Walaupun Hilal Asyraf masih baru, tetapi potensinya besar. VT buktinya.

Anda juga boleh baca ulasan Terasing di sini dan Justeru Impian di Jaring di sini.

helaianRindu: Dulu kena kutuk sebab tak pandai main bola. Minta maaf, aku emo sikit bab-bab main bola sepak ni. (kenapa aku jujur sangat ni. entahlah)

Ogos 29, 2009

Rooftop Rant

Judul: Rooftop Rant
Penulis: Hlovate
Penerbit: Jemari Seni
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 538
Harga: RM21.00

Buat kali kedua saya membaca karya Hlovate. Naskhah ini kepunyaan adik saya, sama seperti aA+bB yang saya ulas tahun lepas. Kali ini Hlovate membawa kisah dua sahabat karib yang bertemu dan bersahabat kerana sama-sama menghadapi masalah keluarga.

Batrisya atau Trisy, seorang gadis sekolah yang agak tomboy, tertekan kerana terabai dari kasih sayang keluarga, baik ibubapa mahupun adik-beradiknya sendiri. Tempatnya menumpang kasih hanyalah orang gajinya. Manakala seorang lagi, pemuda 20-an bernama Zaid atau Jade, menghadapi sedikit inferiority complex apabila dibanding-bandingkan dengan abang dan adiknya yang berjaya dalam pelajaran sedang dia cuma bekerja menjual burger di tepi jalan.

Rooftop Rant itu sendiri merujuk kepada bagaimana permulaan kepada pertemuan dan persahabatan mereka berdua. Mereka berdua mencari ketenangan di sebuah kawasan lapang di atas bumbung Wisma Topaz. Kemalangan yang berlaku di atas rooftop itu suatu hari merapatkan mereka berdua. Banyak yang disembangkan, termasuklah impian dan falsafah hidup masing-masing. Tetapi tidak berapa lama selepas itu mereka terpaksa berpisah mengambil haluan masing-masing, Trisy dengan pelajarannya, dan Jade dengan kariernya sebagai komikus.

Saya sangat-sangat jarang membaca novel cinta, kerana genre ini bukan minat saya. Tetapi kalau dihulurkan novel Hlovate saya rasa saya langsung ketepikan hal itu. Sebab saya rasa mesej Islaminya tetap kuat, meski tak dilabel sebagai novel Islami pun. Macam aA+bB pun, watak-wataknya pada separuh awal buku tentu biasa-biasa saja, tidak thiqah atau Islamik pun kelihatannya. Tapi, as the story goes on, kita akan ketemu titk-titik perubahan yang merubah karektoristik watak-watak tersebut. Persepsi, pemikiran dan pandangan watak-watak terhadap hidup akan disuntik dengan nilai Islami secara perlahan-lahan.

Persoalan ujian dikemukakan dalam Rooftop Rant. Tekanan yang dihadapi oleh Jade dan Trisy, memungkinkan seseorang putus asa dalam kehidupan. Namun, acapkali mereka menguatkan antara satu sama lain. Saling menyokong, jika satu lemah, yang satu lagi bakal membantu. Kedengarannya janggal barangkali, kerana "ukhuwwah" ini antara lelaki-perempuan, tetapi ini keistimewaan cerita Hlovate kali ini. Ingat, watak-watak ini pada awalnya langsung belum mengerti benar akan hukum dan syarat. Perpisahan mereka dari rooftop itulah merupakan titik permulaan hidup kerana Allah. Selepas itu hanya kenangan mereka sahaja yang menjadi penghubung dan penyokong kehidupan masing-masing.

Saya senang sekali dengan Hlovate. Dalam blognya juga pernah dia nyatakan begini:

"one thing, bila reading here please do not discount ur kerja, ur solat time, ur belajar time, ur office time dengan hanging around kat sini, i've the saham oso, make it good"

Bukan saja karyanya akan menghala kita berfikir ke arah kebaikan, malah penulis sendiri sentiasa mengingatkan kita apabila membaca karya-karyanya di blog, kita harus memastikan yang kita sudah solat dan tidak menggunakan masa kita yang diamanahkan untuk kerja lain untuk membaca tulisannya. Sempoi, sempoi juga, tapi tanggungjawab dan tatacara hidup jangan kita lupa!...mungkin lebih kurang itu mesejnya pada saya.

Tarikan Rooftop Rant untuk saya juga adalah pada watak Jade yang gemar melukis dan punya bakat seni yang sangat baik. Dia menerbitkan sekian banyak novel grafik. Wataknya juga tenang, kuat jiwa, tetapi tetap selamba. Juga persekitaran dunia komikus itu menarik minat saya. Saya sudah terbayang, macam mana kalau novel grafik "Rooftop Rant" yang dilukis oleh Jade di akhir buku ini benar-benar menjadi realiti. Seronok juga kalau dapat membacanya. Tentunya saya terbayang Fakhroul Anour dari Gempak dengan komik cintanya, sesuai benar kalau dia melukisnya!

Banyak lagi karya Hlovate di blognya yang belum dibukukan, dan saya yakin setiap satunya istimewa. Pada awalnya saya kurang senang dengan bahasa yang digunakan tetapi saya lihat Hlovate semakin matang dalam menggunakan bahasa yang sesuai. Rooftop Rant kelihatannya lebih kemas dan elok bahasanya berbanding aA+bB yang saya baca sebelum ini. Tapi ya, saya tak akan nafikan bahasa itu asal dapat difahami taklah sepenting mesej yang dibawanya kali ini: Allah tak akan membebankan dengan ujian yang tak termampu hamba-Nya menanggung (Al-Baqarah 2: 286) ; dan falsafah bahawa kitalah yang menentukan arah tuju hidup kita, baik atau buruk...

"Live well or live hell? We choose."

Ingin baca ulasan aA+bB? Klik sini.

helaianRindu: Orang yang terpaksa berubah takkan sebagus orang yang memaksa dirinya berubah.

Related Posts with Thumbnails