Memaparkan catatan dengan label adaptasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label adaptasi. Papar semua catatan

April 05, 2013

Revolusi Atas Kertas

Pada mulanya saya sangkakan membaca The Hunger Games karya Suzanne Collins akan memberi pengalaman yang biasa-biasa saja. Malah ketika mula-mula dicanang tentang kebagusannya, saya agak malas, beralasan bahawa lebih baik saya baca buku-buku lain (dan saya juga memilih untuk luangkan masa untuk menyiapkan tugasan akademik waktu itu). Sekadar ingin tahu, saya melawat laman Wikipedia dan membaca bahagian plot/sinopsis cerita bagi ketiga-tiga buku dalam trilogi Hunger Games.

Saya teruskan skrol di laman Wikipedia tentang informasi buku-buku tersebut. Saya terbaca fakta menarik tentang inspirasi buku ini. Setelah membaca fakta tersebut, saya jadi berminat pula untuk baca - tapi hanya bermula dalam penerbangan pulang saya dari Birmingham ke Malaysia (Ogos lalu). Mengejutkan sekali, meskipun jalan cerita sudahpun saya tahu, saya masih terus dan terus menyelak helaian demi helaian. Perenggan demi perenggan. Ada sesuatu dalam novel ini yang menarik minat. Saya sempat membaca suku sahaja di dalam kapal terbang, selebihnya saya habiskan dalam kereta sepanjang perjalanan pergi-balik dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur (beberapa minggu selepas hari raya puasa tahun lepas) untuk menghantar kakak saya ke lapangan terbang. Jika dicampur tolak masa pembacaan saya untuk menghabiskan buku pertama, The Hunger Games, boleh dikatakan hanya sehari saja!

Dan apabila membaca dua sekuelnya Catching Fire dan Mockingjay, saya hanya mengambil satu hari sahaja untuk setiap satu, sama seperti buku pertamanya. Apa yang menarik saya untuk membaca dengan sebegitu pantas (kebiasaannya untuk membaca buku bahasa inggeris setebal ini saya akan mengambil masa seminggu)?

Ada tiga perkara utama yang membolehkan saya membaca dengan penuh minat. Pertama sekali, pacing atau kelajuan jalan ceritanya. Buku-buku ini ditulis secara fast-paced, menyebabkan pembaca akan terus membacanya lagi dan lagi untuk mengetahui apa yang berlaku selanjutnya

Di dalam kapal terbang Emirates yang membawa saya pulang ke Malaysia hujung musim panas yang lalu, saya menonton The Hunger Games (THG). Kebiasaannya jika saya ingin menonton sebuah filem adaptasi novel, saya akan membacanya dahulu, tapi kali ini saya fikir baik saya menontonnya dahulu, kerana saya ingin cuba dapatkan mesej yang ingin disampaikan oleh penulis buku tersebut (seperti yang saya baca dalam Wikipedia sebelum itu). Dan saya dapati filemnya memang dapat menonjolkan refleksi ketidakwarasan dan kejelekan masyarakat dunia pada hari ini. Tema realiti TV yang diutarakan sungguh berkesan.

Suasana di upacara 'reaping' untuk mencabut nama peserta dari Daerah 12. Primrose telahpun dipilih dan Katniss menyerbu ke depan untuk menjadi galang ganti secara sukarela

THG mengisahkan tentang Katniss Everdeen dari District 12 yang menjadi peserta acara realiti tahunan bernama Hunger Games. Di dalam acara tahunan tersebut, seorang lelaki dan perempuan berumur antara 12 hingga 18 tahun dari 12 daerah Panem dimestikan menyertai, dan peserta-peserta ini dipilih secara undian. Primrose Everdeen, adik perempuan Katniss yang berumur 12 tahun, terpilih untuk menyertai Hunger Games ke-74, tetapi Katniss segera menggantikan adiknya secara sukarela. Bersama peserta-peserta dari daerah lain, mereka dilatih oleh mentor mereka untuk menghadapi medan pertempuran mereka kelak. Untuk menang, peserta-peserta perlu berbunuhan sehinggalah tinggal seorang sahaja sebagai juara - yang akan dianugerahkan kehidupan yang mewah oleh kerajaan. (Atau jika pernah dengar tentang filem/komik Jepun Battle Royale, situasinya hampir sama, peserta harus saling berbunuhan sehingga tinggal seorang pemenang.)

Kerajaan Panem yang dipimpin Presiden Snow menganjurkan acara ini sebagai satu langkah menunjukkan autoriti penuh terhadap 12 daerah sekaligus mengawal dan mencegah berlakunya rebellion yang berlaku 74 tahun lalu. Katniss, selaku watak utama, memberi nafas baru terhadap Hunger Games ini, seterusnya secara tidak langsung membawa Panem ke arah kebangkitan rakyat yang bakal merubah 74 tahun penindasan tersebut.

Novel awal dewasa (young adult) yang terbit pada hari ini kebanyakannya berpusat pada idea distopia (dystopia) atau pasca-apokaliptik (post-apocalyptic) - apabila dunia yang melatari cerita mereka adalah dunia akan datang, tafsiran bagaimana masyarakat berteknologi menghadapi dunia dan lebih-lebih lagi kerajaan yang kebiasaannya bersifat diktator.  Saya dapati melalui novel-novel genre ini, terutamanya trilogi THG ini, penulis ingin memberi cerminan sosial masa kini dan juga harapan yang tinggi terhadap dunia akan datang. THG contohnya menggarap tema perang dan realiti TV yang digabung bersama. Malah, apabila dibaca pada era ini, saya dapati trilogi ini sangat bersesuaian untuk meraikan suasana revolusi Arab Spring.


Novel pertamanya mencerminkan masyarakat, dan novel ketiga tiba untuk memberi gambaran revolusi dan putarbelit media dalam menyalurkan maklumat apabila berlaku perang antara dua pihak. Bukan sahaja pihak diktator memonopoli teknologi maklumat, malah mereka menyekat dan memanipulasi fakta melalui media. Tetapi pihak penentang juga boleh menggunakan sistem ini, sehingga kadang-kadang mereka juga boleh memanipulasi maklumat untuk mempengaruhi orang luar. Inilah yang berlaku ketika perang apabila penonton dihulurkan dengan fakta-fakta yang kadangkala tidak dapat dipastikan siapakah yang sebenarnya berada di pihak yang benar. Perang teknologi ini mengingatkan saya pada Revolusi Mesir 2 tahun lalu, ketika rakyat menggunakan medium twitter dan facebook sebagai penyampai maklumat kepada warga Mesir serta warga dunia, malah disekat aksesnya oleh kerajaan waktu itu.

Dan saya fikir, waktu ini drama perang yang tak berkesudahan dilancarkan oleh Israel terhadap Gaza juga merupakan satu contoh program realiti The Hunger Games yang sebenar-benarnya wujud. Penduduk Gaza adalah peserta-pesertanya, dan siaran langsung kematian mereka sudah ditayangkan sejak bertahun-tahun lamanya. Simbolisme lain, saya pasti kalian mampu berfikir sendiri siapa penganjurnya, siapa dalangnya...

Di dalam tayangan filem THG saya tertarik dengan dua babak yang sangat halus menggambarkan obsesi dunia kita pada rancangan realiti dan hiburan tak bermakna. Satu, ketika Haymitch (mentor Katniss di dalam Hunger Games) sedang duduk berfikir dan dilihatnya dua orang kanak-kanak mendapat hadiah dari ibu bapa mereka - sebuah pedang mainan. Saat mendapatkan mainan itu mereka melakonkan aksi permainan THG, tentu sekali pengaruh tontonan program itu di kaca televisyen. Untuk masyarakat kita hari ini, tidak sukar mencari contoh. Kanak-kanak dilatih untuk menyanyi dan terkinja-kinja di atas pentas tanpa perlu disuruh, dan tentunya ramai penonton di luar sana yang ikut sama.

Anak-anak Palestin main syahid-syahid; anak-anak Melayu?

Babak kedua yang menangkap pandangan saya adalah ketika para peserta THG dibawa ke dalam sebuah perarakan dan menggayakan mereka buat pertama kalinya untuk ditunjuk di kaca televisyen (acara pembukaan seperti mengenalkan para peserta AF buat pertama kalinya mungkin). Saat peserta-peserta itu dipacu dalam kereta kuda menuju ke arah pentas utama, ditunjukkan sekilas reaksi penonton yang hadir ketika itu, penuh ekstasi, menjerit-jerit sehingga terbeliak biji mata! Sungguh saya terbayang para penonton di bawah pentas hiburan dan konsert realiti mingguan yang tidak beza dari mereka.

Antara aspek kreatif novel pasca apokaliptik ialah kekreatifan penulis membina dunia masa hadapan. Dari segi teknologi, mungkin satu aspek. Namun yang lebih menarik bagi saya ialah bagaimana penulis membentuk manusia dan sikap masyarakat ketika itu. Dalam dunia THG contohnya, masyarakat Panem dibahagi kepada 12 daerah dan pusat utama mereka, iaitu Capitol, adalah berbeza sama sekali. Seluruh daerah yang dua belas itu dibiarkan merana dan dipaksa memburuh untuk mengeluarkan hasil untuk kerajaan sedangkan mereka yang duduk di Capitol hanya bersenang lenang menikmati THG setiap tahun dan sangat suka menyibukkan diri untuk menghias diri dengan pakaian yang hampir tidak masuk akal. Mungkin ada pembaca yang tidak terfikir signifikannya gambaran ini, tetapi jelas ini adalah refleksi dua dunia, ketika kita bersenang lenang menikmati makanan yang tak berkesudahan dan membiarkan diri terus obses dengan keindahan dan hiburan, di sekitar dunia kita ada yang merana dan ditekan.

Selain itu, THG tidak pernah membosankan kerana wataknya aktif dan hidup. Kita mudah ditarik masuk ke dunia Katniss Everdeen kerana penceritaannya menggunakan kata ganti pertama. Katniss juga hanya berumur 16 tahun di dalam buku ini. Jadi, ayat-ayatnya lebih pendek, dan tidak kompleks penceritaannya. Malah penceritaan ganti nama pertama membolehkan kita menghubungkan diri kita secara lebih dekat dengan watak ini. Dengan itu buku ini bertambah cepat dihabiskan, selain ceritanya yang baik.

Menonton filemnya terlebih dahulu memberi saya peluang yang baik untuk berimaginasi. Saya dapat bayangkan apa yang berlaku dalam buku pertama dengan lebih jelas. Sedang dalam dua buku seterusnya, saya tidak dapat membayangkan suasananya dengan baik. Mungkin juga kelemahan pembacaan saya, termasuklah kerana membacanya dengan terlalu cepat, barangkali. Untuk buku ketiga saya dapati permulaan ceritanya agak lambat kerana banyak penjelasan dan gambaran tentang apa yang berlaku dan aktiviti seharian yang dibuat oleh watak utama, Katniss sehinggakan bahagian akhirnya seperti ingin dihabiskan secepat mungkin, malah plotnya seperti tidak kena.

Terdapat banyak lagi novel-novel berbahasa Inggeris yang mengangkat latar post-apocalyptic sebegini dan mungkin wajar diangkat dalam sastera Islami pula dengan menampilkan contoh dan mesej yang lebih ampuh. Novel-novel popular di Malaysia dilambakkan dengan cerita cinta yang langsung tidak memberi gambaran dan kritikan terhadap masyarakat, jauh sekali memberi solusi terhadap kepincangannya. Meskipun novel awal dewasa di barat dilunakkan dengan cerita cinta antara watak-watak utamanya, tema utama yang dibawa tidak harus dikesampingkan. Masih belum lewat lagi sekiranya penulis Malaysia ingin memberi kelainan dalam memberi definisi kepada industri novel popular (atau lebih baik lagi, novel sastera yang lebih berwacana).

Saya juga suka sebuah babak dalam filem THG yang tidak dimuatkan di dalam karya asalnya. Babak ini melibatkan Presiden Snow, yang menguji Gamemaker-nya, Seneca Crane. Katanya:


"SenecaWhy do you think we have a winner?"

"What do you mean?"

"I mean, why do we have a winner? I mean, if we just wanted to intimidate the districts why not round up twenty four at random, and execute them all at once? It would be a lot faster."

Seneca diam, menanti jawapan.

"Hope. It is the only thing stronger than fear. A little hope is effective. A lot of hope is dangerous. Spark is fine, as long as it's contained."

"So?" tanya Seneca. "So, contain it." arah Presiden Snow.

Selamat membaca!

helaianrindu: Baru perasan design kulit tiga buku dalam trilogi ini (versi US) sangat concise dan menepati isi setiap buku! (Entri ditulis sejak September lalu dan postscript ini ditambah pada Februari 2013...lamanya baru boleh perasan. Satu lagi, sangatlah produktif aktiviti dalam blog - satu entri untuk 7 bulan. Erk.) p.p.s sekarang sudah bulan April.

Reviu sebuah buku revolusi Mesir 2011 - Tweets From Tahrir, klik sini.

November 03, 2010

Lima Menara, Satu Perjalanan

Judul: Negeri 5 Menara
Penulis: A.Fuadi
Penerbit: PTS
Tahun: 2010
Harga: RM20
Bil. mukasurat: 488

Sangat asing sekali membaca sebuah novel berkisarkan kehidupan pelajar-pelajar di sekolah pondok. Sekurang-kurangnya di Malaysia jarang sekali latar ini diketengahkan. Yang ada pun paling tidak, di sekolah biasa. Negeri 5 Menara merupakan novel yang menggunakan latar sebuah pondok moden di Indonesia. 

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri di Pondok Modern Gontor, penulis mengolah jejaknya dari pondok tersebut sehinggalah tamat pengajiannya dan kejayaannya setelah itu menjadi sebuah kisah motivasi yang unik. 

Impian dia untuk menjadi seperti B.J Habibie (Presiden Ketiga Indonesia). Cita-cita ibunya pula mahu menjadikan dia persis Buya Hamka, lantas menghantarnya ke Pondok Madani di Jawa Timur. Alif Fikri pergi dengan separuh hati, antara mahu dan tidak, tetapi hari-hari di Pondok Madani nyata mengubah dirinya. Laungan kalimat sakti man jadda wajada oleh Kiai Rais, ketua PM melantun-lantunkan semangat baru dalam dirinya.

Sepanjang kehidupan berasrama di PM, dia menemukan beberapa teman yang banyak berkongsi suka duka. Ada Raja yang rancak berpidato, Said yang beraura pemimpin, Atang yang mahir dalam seni teater, Baso yang rajin menghafal Al-Quran, dan Dulmajid yang suka membaca.  Di bawah menara masjid, mereka selalu bertemu dan memerhati kesumba langit senja. Awan-awan yang berarak seolah-olah menjelma menjadi negara dan benua impian masing-masing. Apa menara-menara impian mereka mampu dicapai? Begitu gumam mereka. Syair Imam Syafie mengiringi angan-angan mereka:

Orang pandai dan beradab
Tidak akan diam di kampung halaman
Tinggalkan negerimu dan
Merantaulah ke negeri orang...

Setelah membaca dari awal sampai sudah, ternyata Negeri 5 Menara memberi perasaan yang bercampur-campur. Jujur saya katakan, ceritanya tidak terlalu luarbiasa. Jalan cerita dan plot yang disediakan secara bingkai-bingkai kecil (story arcs) juga sederhana, kerana ceritanya adalah cerita kehidupan sepanjang di asrama PM dari tahun pertama kemasukan hinggalah tahun akhir. Tidak ada peristiwa yang terlalu dramatik ataupun bersifat misteri/saspen. 

Cuma, apa yang mengindahkan prosa ini adalah penggunaan bahasa dan susunan kata yang pada saya bersifat 'nostalgik' dan 'jujur'. ('Jujur' maksud saya adalah penceritaan dari perspektif pelajar yang adakalanya kurang matang, nakal dan lucu.) Kata-kata hikmah dan nasihat yang mengalir deras dari Kiai Rais sangat baik sekali. "Dahulu menjual mengkudu sekarang menjual durian, dahulu tidak laku sekarang jadi rebutan." adalah antara kata yang mempesona di penghujung buku dari beliau untuk para santri yang sudah tahun akhir.

Jika ingin dikaitkan dengan pembaca, rasanya paling dekat sekali tentulah para pelajar. Juga tidak kurangnya untuk para guru dan bakal pendidik. Mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan mungkin mampu menilai banyak perkara dari novel ini. Sistem pendidikan yang tegas tapi kreatif dijalankan di pondok moden tersebut sangat sesuai diteladani baik buruknya, pahit manisnya. 

Antara yang menarik minat saya adalah sistem hukuman kepada pelajar yang melakukan kesalahan. Antara hukumannya adalah mereka perlu menjadi semacam detektif untuk menyiasat pelajar lain yang melakukan kesalahan pula. Sebagai orang yang bersalah, memerhati kesalahan orang lain pula sebenarnya akan menjadikan kita lebih awas dengan kecuaian diri, dan tentunya mengelakkan diri sendiri dari membuat perkara yang sama. Kesalahan-kesalahan sekecil mana pun tetap akan dipandang, termasuklah curi-curi berbahasa Indonesia (wajib berbicara dalam Bahasa Arab atau Inggeris di PM)!

Sekaligus, novel ini menjadi sebuah pengenalan baru yang mematahkan pandangan pesimis masyarakat tentang institusi pesantren atau pondok. Ternyata di pondok juga ada pelajaran falsafah, seni dan sains, bukanlah agama seratus peratus. Pelajar diwajibkan bergiat aktif dalam latiahn berpidato, dan juga mengembangkan bakat atau bidang yang diminati. Bukan bermaksud masuk pondok ini seperti penjara dan cuma pilihan terakhir bagi mereka yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. (Terhibur menonton bual bicara buku ini dalam sebuah rancangan TV Indonesia di sini)

Sesekali jika anda inginkan novel yang mengimbau kenangan zaman persekolahan, rasanya novel ini cukup bagus untuk memenuhi hasrat itu. Seperti kata saya awal-awal tadi, ayat-ayatnya yang nostalgik dan jujur sangat dekat dengan lumrah jiwa seorang pelajar. Lagi-lagi setelah kita bersusah payah menempuhi zaman itu dan di penghujungnya kita bertemu impian yang diidam sejak dulu, seperti enam sekawan itu.

"Sesudah kami mengerahkan segala ikhtiar dan menggenapkan dengan doa, Tuhan mengirim benua impian ke pelukan masing-masing. Kun fayakun, maka awalnya awan impian, kini hidup yang nyata. Jadi jangan pernah remehkan impian, walau setinggi apa pun. Tuhan sungguh Maha Mendengar."

*Buku ini buku pertama dari trilogi 5 Menara. Buku kedua sudah terbit di Indonesia dengan tajuk Ranah 3 Warna. Sumber gambar di sini.

HelaianRindu: Tidak mampu tulis banyak lagi Saat ini mendengar lagu Jalan Masih Panjang dendangan Edcoustic, kena sungguh dengan mood baris-baris akhir kisah ini. 


Ogos 10, 2010

Emak Ingin Naik Haji

Pergi haji ke tanah suci
Menjalani niat yang murni
Wajahnya berseri-seri
Penuh rahmat dari Ilahi
Semoga Tuhan memberkahi
Amal ibadah insani

Lagu ini sudah wujud di dalam laptop saya sekian lama tapi buat pertama kali saya rasa terusik untuk mendengar dan menghayatinya. Rasa itu mampir saat menonton trailer filem ini dan membaca rekomendasinya dari teman saya, Naqeb yang baru-baru ini menontonnya. Lagu  ini bertajuk Pergi Haji dendangan Haddad Alwi dan Ashila.

Kisah ini kisah seorang hamba Allah yang terlalu mendambakan untuk menunaikan haji di tanah suci tetapi tidak kecukupan wang. Wang simpanan hasil jualan kuih muihnya masih sedikit jika hendak dibandingkan dengan kos mengerjakan haji yang kian meningkat tahun ke tahun. Anaknya Zain juga hanya berjualan lukisan-lukisan di jalanan, susah untuk mendapatkan hasil.

Wang itu pula terpaksa digunakan untuk belanja pembedahan cucunya, kemudian menolong jirannya yang kesempitan wang dan makanan. Di satu sisi yang lain, diceritakan pula seorang ahli politik yang segera ingin menunaikan haji demi nama dan kepentingan politik semata-mata, dan tetangga Zain yang kaya sudah beberapa kali berangkat ke Mekah menunaikan umrah dan haji.

Betapa emak ingin naik haji, sekalipun wangnya tidak kisah dihabiskan untuk orang lain, dia masih sedih di lubuk hati. Babak menitisnya airmata ibu di atas helaian-helaian Al-Quran usang ketika membaca surah Ali-Imran begitu menggambarkan keinginannya yang teramat. Apatah lagi, saya perasan bacaannya terhenti di ayat 96, ayat yang menceritakan tentang Baitullah di bumi Mekah yang penuh barakah...

Tentang Sikap

Emak, walaupun hidupnya susah, tetap mementingkan keluarganya dari dirinya sendiri. Kesusahan yang dilalui cucunya perlu ditanggung. Juga dua beradik di sebelah rumah yang terlalu ingin makan yang sedikit mewah tetapi tidak mampu kerana kesempitan wang dek ayah yang sakit dan tidak mampu bekerja.

Zain pula, begitu sayang dan kasihan kepada ibunya, berusaha sedaya upaya mencari duit untuk mengganti semula duit simpanan yang dibelanjakan untuk anaknya. Di waktu malam dia berkejaran mencari siapa-siapa yang ingin membeli lukisan-lukisannya tetapi dihampakan. Hampir sahaja dia mencuri masuk rumah jirannya demi mendapatkan duit, namun dengan hidayah Allah, kehendaknya dibatalkan.

Bagaimana dengan tetangga-tetangganya? Jirannya yang tinggal di sebelah rumah sangat kaya, tetapi entah kenapa seperti tidak diendahkannya. Sementara makanan yang disediakan untuk anak-anak mereka begitu mewah dan berlebih-lebih, jiran di sebelahnya pula sampai memakan bangkai burung demi merasa nikmat makan daging. Ahli politik di kawasan tersebut pula tidak mengejar peluangnya untuk beribadat sebanyak-banyaknya, katanya cukuplah sah, dan asalkan gelaran haji itu mampu meraih perhatian masyarakat nanti.

Sedangkan emak yang tidak mampu dari segi wang, cuma mampu menatap gambar-gambar, dan sebuah potret kaabah yang dilukis anaknya...

Nuansa Adaptasi

Lihat saja filem-filem Indonesia, bak kata Naqeb teman saya itu, banyak yang berjiwa. Filem-filem, drama dan cereka TV Malaysia, berapa banyak saja yang bersifat sedemikian? Filem ini sebenarnya diangkat dari sebuah cerpen yang ditulis oleh Asma Nadia, yang termuat dalam naskhah kompilasi cerpen-cerpennya yang diberi tajuk sama.

Daripada sebuah cerpen, boleh terbit sebuah filem. Malah mampu dilihat walau tajuk dan tema kisahnya begitu simple, tetapi ideanya berkualiti dan jalin watak dan peristiwanya bernas. Betapa bagus apabila sebuah cerita di layar lebar diadaptasi daripada cerpen kerana setiap butir cerita mampu dipersembahkan kepada penonton malah boleh digubah untuk menjadikannya lebih menarik. Tambah menyegarkan apabila mise en scene filem ini tampil unik, diadun dengan latar tempat dan masyarakatnya yang pelbagai. Tentunya berlainan dengan melayarlebarkan novel; banyak peristiwa, dialog dan watak yang terpaksa diketepikan demi jalan cerita utama.

Aneh bukan, di Malaysia, kita punya banyak karya-karya sastera, yang mutunya tinggi dari segi plot dan nilai, tetapi tidak diendahkan untuk dihidupkan ke dunia realistik. Sastera Islami yang berkembang dari hari ke hari cuma tinggal untaian kata-kata, dan kaca televisyen makin penuh dengan cerita cinta yang meloyakan, cerita Islamik yang klise dan mendatar penceritaannya. Tidak kurang juga cerita seram yang entah di mana pengajarannya.

Cerita Emak Ingin Naik Haji hanya berdurasi sejam, tetapi sudah cukup untuk menggegar nubari. Banyak lagi yang boleh dikupas, tetapi saya pulangkan pada pembaca untuk menonton dan mengambil pengajarannya sendiri.

"Emak mungkin tak mampu buat melewati samudera yang luas begitu untuk ke tanah suci.. tapi mak yakin, Allah pasti tahu....hati emak sudah lama ada di situ..sudah lama ada di situ.."

HelaianRindu: Sudah bersediakah aku?


September 03, 2009

Erin, The Beast Player (Kemono no Souja Erin/ 獣の奏者 エリン)

Dua tahun lalu, saya menonton sebuah animasi Jepun yang bertajuk Seirei no Moribito (Guardian of the Sacred Spirit) karya Nahoko Uehashi. Awalnya saya tidaklah begitu berminat, tetapi sedar-sedar saya dah habis menonton kesemua 26 episod dan menagih lebih episod lagi. Tandanya, saya sudah jatuh cinta dengan karya beliau.

Awal tahun ini, lebih kurang dalam Mac-April, saya terbaca berita bahawa sebuah lagi karya Nahoko Uehashi akan dijadikan animasi. Karya itu bertajuk Kemono no Souja (The Beast Player) yang ketika itu berjumlah dua volum. Ah ya, terlupa pula, kedua-dua Moribito dan Kemono no Souja adalah novel karangannya, bukan manga. Moribito adalah novel dua jilid manakala Kemono no Souja adalah novel 4 jilid, dan 2 jilid selebihnya baru saja diterbitkan 10 Ogos lalu di Jepun. Berbalik semula pada berita yang saya jumpa itu, saya terus meletakkan siri ini sebagai salah satu cerita yang wajib saya tonton.

Mengadaptasi 2 volum awal, Kemono no Souja Erin merangkumkan kandungannya ke dalam 50 episod. Pada mulanya saya agak teragak-agak juga untuk menonton, disebabkan gambar promonya yang kelihatan keanak-anakan. Impresi awal mengatakan ini kisah untuk kanak-kanak. Tetapi, mengenangkan Moribito, saya meyakinkan diri yang siri ini juga matang dan tentu lebih baik lagi. Animasi 50 episod, tak mungkin mereka akan animasikan sesuatu yang membosankan!

Erin merupakan seorang kanak-kanak berumur 10 tahun, yang tinggal dengan ibunya, Soyon, di Kampung Aka. Ibunya merupakan seorang pelatih dan doktor Touda--sejenis haiwan tunggangan seperti biawak besar yang bertanduk dua--yang digunakan oleh tentera Raja dalam peperangan. Mereka berdua berasal dari Kampung Kiri yang merupakan penduduk yang disisihkan kerana melakukan satu kesalahan besar lama dulu. Sebagai penduduk asal kampung itu mereka dilayan dengan layanan buruk oleh setiap orang. Namun mereka diberi pengecualian untuk tinggal di kampung itu kerana kepakaran Soyon sebagai pelatih Touda.

Namun, tragedi maut yang menimpa seekor Touda pada suatu hari dibebankan kesalahannya pada Soyon sepenuhnya tanpa usul periksa. Soyon terpaksa menjalani hukuman, dan Erin pula harus keluar dari kampung itu demi keselamatannya. Dalam masa yang sama, kerajaan yang diperintah Raja sedang bergolak. Erin, dalam pengembaraannya, belajar banyak perkara mengenai haiwan, dan satu hari di dalam hutan, dia terkagum akan seekor binatang yang sangat megah yang menjadi lambang Raja pada waktu itu: Raja Haiwan (Beast Lord). Tidak disangkakan oleh Erin yang pertemuannya dengan Raja Haiwan itu akan menjerumus dirinya ke dalam pergolakan politik kerajaan.

Premis novel Nahoko Uehashi sangat menarik dan begitu epik sekali sifatnya. Walaupun baru 31 episod saya tonton, tetapi setiap episod begitu menarik sehinggakan saya selalu 'terserap' ke dalam dunia Erin. Watak Erin sendiri terlalu memikat. Dia budak yang bijak, cepat belajar dan mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Kerana sifat ingin tahunya itu, kadangkala dia terlupa yang tindakannya boleh membawa kepada bahaya. Dia juga sangat sayang akan ibunya dan hubungan ibu-anak yang terpancar dalam animasi ini sentiasa menyentuh hati.

Erin ketika memujuk anak Raja Haiwan. Alamak, comelnya. Geram. Setiap episod.

Uehashi cekap membina perhubungan antara watak, baik manusia ataupun haiwan. Premis Kemono no Souja Erin berkisar mengenai perhubungan manusia dengan haiwan. Seperti Touda, Raja Haiwan boleh ditundukkan oleh manusia dengan meniup sebiji wisel khas dengan frekuensi tertentu yang tidak didengari manusia. Namun, kerana kasihnya Erin terhadap haiwan, dia enggan menggunakan cara yang sama. Dia bertindak sebagai seorang ibu kepada seekor anak Raja Haiwan. Walaupun cara itu bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan, dia tetap tegar dengan metodenya. Saya selalu ikut terharu menyaksikan jalinan luarbiasa Erin dengan Raja Haiwan ini, ada masa hampir-hampir saja saya menitiskan airmata. Tak dinafikan, barangkali kerana saya juga sukakan haiwan. (Lagipun, Raja Haiwan seekor bintang yang sangat comel sebenarnya, walaupun berbahaya apabila dia mengganas.)

Erin 18 tahun dan beberapa watak yang terlibat

Perhubungan Erin dengan ibunya, dengan ayah angkatnya Jone (juga watak kegemaran saya), dan dengan rakan-rakannya yang terbina juga mengikat saya bersama. Rona emosi yang dilontar oleh tragedi mahupun kegembiraan juga membawa rona rasa yang sama pada saya. Contohnya, ketika bayi Raja Haiwan liar yang ditemuinya di hutan itu sedang dalam ancaman oleh Touda liar, saya ikut cemas seperti Erin. Kehadiran ibu Raja Haiwan itu secara dramatik membuat saya bertepuk kegembiraan, benar! "Bayi itu selamat!" bisik saya dalam hati. Tersenyum-seyum saja sehingga hujung episod itu kerana terkenangkan perilaku saya ketika itu. Sejak itu saya juga jatuh cinta pada Raja Haiwan macam Erin.

Antara abstrak dalam Kemono no Souja

Digaul dengan suasana kampung yang damai, desa dan bukit yang meluas indah, saya tenang meneliti setiap episod. Muzik yang melatari keseluruhan animasi ini juga mendamaikan. Lagu nyanyian cossami contohnya, yang seperti keanak-anakan tetapi berlatarkan muzik yang lembut dan perlahan antara yang menjadi kegemaran saya sepanjang siri ini ditayangkan. Sangat sesuai dengan Erin dan sifat latarnya. Lain daripada itu saya gemar sekali dengan art syle yang digunakan, paling suka pada motif seakan-akan abstrak. Seni cerita dan juga seni animasi dan muzik, kedua-duanya 'memaksa' saya bercinta dengan Kemono no Souja.

Buku peraturan yang sepatutnya dipatuhi semua pelatih Raja Haiwan

Siri ini tidak tertumpu pada Erin yang berumur 10 tahun itu saja. Siri ini diteruskan dengan Erin 14 tahun, dan terbaru dalam episod 31 Erin sudahpun menjadi gadis matang berumur 18 tahun. Masih belum nampak kaitan Erin dalam pergolakan negara, siri ini masih panjang lagi. Malah 50 episod ini adalah untuk 2 volum sahaja. Masih ada 2 jilid lagi yang baru terbit perlu dianimasikan. Entah bila agaknya dapat saya saksikan. Tak apa, saya akan cuba jadi peminat yang sangat setia.

novel bahasa Jepun volum 1 Kemono no Souja

Oh ya, Moribito telahpun diterjemah dalam bahasa Inggeris oleh Scholastic. Saya tak sabar menunggu Kemono no Souja diterjemahkan juga. Saya mesti menjadikan Karya Uehashi sebagai koleksi tersayang. Biarpun sudah tahu jalan ceritanya, saya ingin membacanya dalam bentuk novel pula. Tentu akan memberi perasaan berbeza, mana tahu lebih baik lagi? (Tapi, menonton animasinya takkan terasa macam menonton animasi, terasa macam drama, rasa macam memang membaca novelnya. Sungguh.)

Terlalu banyak yang ingin dikisahkan mengenai Erin dan siri ini. Mungkin hanya saya yang suka, tapi jika anda ingin menontonnya anda boleh muat turun episod-episod terbaru di sini dan nilailah sendiri. (dalam bahasa Jepun dengan sarikata Bahasa Inggeris) Dan jika berminat siri Seirei no Moribito di sini.

Untuk mengetahui ulasan lebih baik di sini, dan untuk ulasan mengikut episod di sini dan sini.

Related Posts with Thumbnails