Ogos 25, 2009

Terasing: Membina Idiosinkrasi

Judul: Terasing
Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: Telaga Biru
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 313
Harga: RM20


Nampaknya penulis muda ini sudah mula tunjuk belang. Dalam tahun ini saja sudah 3 buku diterbitkannya. Ini merupakan buku ketiga dan terkininya, baru saja diterbitkan bulan ini. Dua buku lain bertajuk VT dan Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita. Khabarnya ada sebuah lagi buku bertajuk Relasi yang terbitnya juga sekitar bulan ini, tapi saya masih belum ketemu lagi. Karyanya mendapat sambutan hangat, memandangkan tulisannya di blog mendapat perhatian ramai, khususnya remaja.

Berbalik kepada Terasing, Hilal mengajak pembaca merenung satu persoalan pokok: Apa akibatnya mengasingkan dan diasingkan oleh ukhuwwah dan persahabatan? Terpisah dengan Zaman sahabatnya di sekolah, Saifullah kini termimpi-mimpi akan janjinya kepada sahabatnya itu, 15 tahun dulu, yang sebenarnya tidak pernah terlupakan olehnya. Namun kemunculan Zaman secara tiba-tiba setelah hampir 12 tahun tanpa khabar berita membuatkan Saifullah lebih tertanya-tanya mengapa mimpinya datang berulang, seperti mahu dia menunaikan amanah yang terpatri itu kepada Zaman. Tapi bukankah dia telah melunaskannya?

Ketika itu juga cubaan membunuh dilakukan oleh sebuah organisasi kongsi gelap dari Jepun yang bertapak di Malaysia. Oleh kerana Saifullah keliru dan hairan apa kaitannya dengan kumpulan jenayah itu, dia dan abang iparnya Amiri menyiasat masalah tersebut setelah nyawa keluarga mereka turut terancam.

Pembaca setia bingkisan dan tazkirah di blog penulis tentu menyedari buku ini begitu 'Hilal Asyraf'. Maksud saya isi karya ini banyak yang seputar minat penulis sendiri. Penulis meminati lagu kumpulan Outlandish, dicatatnya lirik lagu kegemarannya. Meminati Jepun dan bahasanya, lalu terciptalah cerita berunsur negara matahari terbit itu. Tak hairanlah bila saya membaca karya ini terasa macam berkenalan dengan penulis pula.

Pun begitu, bagi saya di sinilah terletak kelemahan Terasing. Serasa kurang diksinya. Saifullah belajar di Jordan, Zaman belajar di Maghribi. Tiba-tiba diadun pula dengan elemen Jepun, dan berlaku di Malaysia. Tanpa sedar saya terbayang-bayang karya Ramlee Awang Murshid--Hatiku di Harajuku. Setting yang digunakan lebih kena, di mana watak-watak memang berasal dari Jepun, percakapan hanya lebih kepada bahasa Jepun dan Melayu. Jadi buku ini pula saya rasa kurang kemas pembawaannya. Tambah lagi susunan bab-bab akhir itu rasanya lebih baik tidak dikumpul bersama sebagai epilog, kerana cerita utamanya bukan mengenai Saifullah dan isterinya, tetapi lebih kepada Saifullah dan Zaman.

Tapi ini bukan bermakna ceritanya tidak bagus. Mungkin idea dan pembawaan ini sesuatu yang baru bagi saya. Ceritanya masih terancang dan berkesan. Bab-bab baitul muslim, ukhuwwah islamiyyah, muamalah dan sebagainya, serahkan sajalah pada Hilal Asyraf. Cerita sahaja pasal persahabatan, Hilal Asyraflah antara penggarap terbaik. Hubungan lelaki perempuan, nikah kahwin pun boleh serahkan pada dia. Eh, jangan anggap 20 tahun, belum kahwin belum cukup pengalaman! Dalam Terasing jiwangnya 'berbisa' juga. Tapi, secara tak langsung jiwangnya itu membawa saya memikirkan karya Hlovate pula. Itulah kata saya sebut di tajuk ulasan, Terasing memang wadah bagi Hilal untuk membina idiosinkrasinya. Di sebalik kekuatan dan kelemahan ini penulis bakal nampak di mana arah tuju penulisan, gaya dan fokusnya. Mungkin karya-karya awalnya masih kurang kemas dan sedikit 'rojak', tetapi saya yakin eksperimentasi inilah yang bakal membentuk gaya atau style penulisannya yang tersendiri.

Pun begitu, saya puji sisipan tazkirah dan motivasi serta ilmu agama dalam karya-karyanya, baik VT mahupun Terasing. Dalam Terasing, penulis ingin memberi pengajaran yang kita tidak boleh mengasingkan diri dari sahabat yang soleh, dan yang soleh pula jangan mengasingkan mereka yang hanyut. Kerana akibatnya, yang hanyut barangkali lebih hanyut, dan yang soleh pula dikecam mementingkan diri. Bukan itu saja, saya terkesan bila penulis mengatakan, "Allah tidak zalim. Manusia sahaja yang menzalimi dirinya sendiri." Kata-kata ini sesuai ditujukan pada mereka yang selalu merungut dengan hidup mereka. Mereka selalu menyalahkan takdir atas apa yang berlaku. Sedangkan mereka tak pernah berusaha untuk membina hidup yang lebih baik. Lama-kelamaan mereka sendiri yang sesat jalan, terus bergantung harap pada manusia ataupun makhluk lain. Bahan ilmiah dan nilai Islami yang diketengahkan ini insya Allah mampu mendatangkan katarsis yang baik untuk pembaca, remaja khususnya. Secara jujur, memang memberi peringatan, tazkirah dan ilmu dalam karya itulah kelebihan penulis. Pengalamannya ketika belajar, biar di sekolah mahupun di universiti mengukuhkan lagi kesan cerita yang digarapnya. Selain itu, sebagai mahasiswa produk Timur Tengah, latar dan idea Terasing merupakan sesuatu yang unik dan lain dari yang lain. Kebolehannya menukangi sebuah cerita berlatar pelbagai budaya patut dipuji.

Walau apapun komen saya terhadap karya ini, respon tersebut hanyalah pendapat peribadi. Bak kata Prof. Dr Sahlan Mohd Saman (pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di UKM), semua hasil tulisan adalah pilihan dan kecenderungan pengarang sendiri, kerana ini adalah poetic licence milik penulis yang telah diiktiraf seluruh dunia (rujuk Masitah, Mawar Shafei, DBP). Yalah, takkanlah hanya kerana dia penulis baru, dia perlu ikut telunjuk orang semata; nanti di mana letak identiti asal penulisannya bukan? Saya sedar kebebasan kreatif itu masih hak milik penulis. Namun harus juga disedari apabila sesebuah karya telah diterbitkan, pembaca juga ada haknya untuk mengkritik (rujuk Imam, Abdullah Hussain, DBP/Utusan). Penulis baru seperti Hilal Asyraf masih jauh perjalanannya, dan banyak lagi ruang membina idiosinkrasinya.

Cumanya, ada beberapa kesilapan yang saya kesani. Satunya, Zaman dan Saifullah berpisah 15 tahun yang lepas, dan selepas 3 tahun mereka langsung terputus hubungan. Maknanya, dah 12 tahun mereka tak tahu khabar berita. Tapi kalau baca blurbnya dikatakan 11 tahun. Ada juga dalam buku ini disebut 13 tahun. Keliru pula jadinya. Dan lebih hairan, katakan peristiwa dalam Terasing berlaku pada tahun ini (2009, disebabkan ada disebut mengenai selesema babi), tak mungkin 15 tahun lalu sahabat berdua itu sudah ada akaun Friendster dan Facebook (hal. 24, Saifullah claim yang mereka terputus hubungan antaranya kerana akaun-akaun tersebut seperti tak digunakan lagi oleh Zaman), sedangkan Friendster ditubuh pada 2002, dan Facebook lebih baru lagi, iaitu pada 2004!

helaianRindu: 1 down, 2 to go.

7 ulasan:

mine pc berkata...

reviu yg menarik dan!

pernah gak bc Terasing ni online kt website hilal tp xabes la. ada smpai bab 5 ja. xtau ending mcm mna. msti zaman jd jahat n join yakuza yg amiri buru 2.

nak beli tp setakat ni xjumpa2 lg kat sni. sadis.

menanti reviu VT pulak!
lambaian puisi pun nk tau jugak!

[MH] berkata...

sudah bc! best!

nnt boleh pinjam buku adik aku punya tu
:)
tqvm

dan berkata...

mine pc: ape jadik pada zaman? hem, prinsip utama utk mengulas sesebuah karya ialah, tak masukkan spoiler! :P

insya Allah, berkesempatan nnt VT dan lambaian puisi akan menyusul. sabar ye.

*sape ni sbnrnye ek?


fathiyyah: thanks, come again anytime. moga dpt manfaat!

Tanpa Nama berkata...

masyaAllah, smpai mcm ni detail skali ulasan org yg minatk mmbaca ye...
smpaikan tahun2, frenster facebook tu pon bole perasan...huhu..
keep on doing, good job.!
=)

mine pc berkata...

undi anda adalah rahsia. identiti anda? - leh gna konsep yg sma x? =P

suka bc reviu2 buku kat sni.

teruskan menulis!

dan berkata...

tanpa nama: ala, terperasan je. dulu2 org mana guna facebuk kan? thx, come n read again sometimes.

mine pc: xpelah. thx 4 ur support tho. :)

AdH berkata...

Ulasan yang sangat menarik. Ya, saya bersetuju dengan anda tentang kelemahan dan kelebihan buku ini. Pada mula membaca buku ini pun saya terbayang Hatiku di Harajuku. Dan 'terangkat kening' juga apabila penulis menulis mengenai keluarga bahagia Saifullah :D

Related Posts with Thumbnails