Memaparkan catatan dengan label catatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label catatan. Papar semua catatan

November 21, 2013

Nottingham, 1/3

Assalamualaikum Naqeb,

Riuh benar pusat sukan di University of Nottingham ini! Aku sempat menjenguk perlawanan bola keranjang, badminton dan ping pong. Berjumpa dengan ramai orang, kenalan lama dan baru! Saling bertukar nombor telefon dan memperkenal diri. Ramai sungguh orang Malaysia berkumpul, hampir tak terkesan orang putih di sini. Apalagi, berhabuklah bahasa Melayu terjerit sana sini.

Di hadapan Portland Building, hub aktiviti utama -
pameran, solat dan makan di sini
Oh ya, sempat juga awal pagi tadi menjamah makanan Malaysia beraneka jenis. Tepung pelita, sate, cendol, karipap, bubur lambuk, hai terkecur liur sajalah engkau kalau merindui juadah tanah air ini; lagi-lagi kalau kau jemu menatap ayam dan kentang goreng yang melambak di England!

Hari ini sangat cerah, langit persih tiada awan. Daun sudah mula merah, menguning dan pohon kian 'mendogol'. Aku mungkin tak sempat berjumpa Syahir disebabkan tempat pertandingan bolasepak agak jauh, dan aku pula akan balik petang nanti. Aku kira telefon saja yang akan jadi pengganti.

Aku cuma terfikir kata-kata Abang Fahmi kepadaku: "Betulkan niat untuk pergi ke Nottingham." Itu dia beritahu kami berdua, aku dan teman serumahku Anuar, ketika dalam tren menuju ke sini. Saat itu dia membaca naskhah Konsep Ikhlas dan Niat Menurut Islam karya Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Aku terkedu kerana aku tak pasti apa niatku. Bukankah setiap amalan itu bermula dengan niat? Apa ikhlaskah aku? Bukankah amalan takkan diterima jikalau tiada ikhlas disertakan? Risau benar aku, Naqeb. Jadi aku cepat-cepat berniat panjang:

Aku mahu menimba ilmu dan pengalaman. Dari segala yang aku kecap dari deriaku, moga itu mendekatkan jarakku dengan Tuhanku.

Itik di sini besar, comel dan sangat mulus!

Sports Centre, University of Nottingham
31/10/09, 11.40 a.m.

************

Sengaja saya kongsi surat yang ini - satu, kerana Nottingham Games sudah selesai di UK tahun ini, jadi 'surat' pada tahun 2009 ini sebagai kenang-kenangan. Dua, sempena tahun baru hijrah, untuk kembali mengingatkan tentang hadis niat dalam buku Hadis 40 dan syarahnya karya Imam Nawawi yang membicarakan panjang lebar tentang mereka yang berhijrah dengan dua matlamat - untuk Allah dan Rasul, atau untuk menemui wanita yang ingin dinikahi. 

Ganjaran amalan apapun bakal ditentukan oleh niat seseorang, dan disebabkan itulah niat terlalu penting. Atas alasan yang sama, hadis ini mengungguli halaman karya Imam Nawawi. Malah Imam Syafie dan lain-lainnya turut menganggap hadis yang diriwayatkan oleh Umar Al-Khattab itu merangkumi sepertiga Islam!

“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs 'Umar ibn al-Khattab Radhiallahu ‘anhu beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ’alaihi wasallam bersabda: Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

Teguran empat tahun lalu bakal saya hadam semula demi membina semangat untuk fasa kehidupan baru. Terima kasih atas teguran itu - kalian hujanilah saya terus-terusan dengan teguran.

Hijrah takkan pernah berhenti...

(Mahu cari dan baca buku konsep niat itu nanti.)

helaianrindu: Sudah lama tidak menulis surat, baru tadi mengirimkan sepucuk surat bertulis tangan untuk sebuah pertandingan - rasa puas amat sebab entah bila kali terakhir benar-benar mengirim surat sepanjang itu. Doakan saya berjaya!

September 05, 2013

Epistolari Cinta

Altitude: 1036 km
Distance: 10779 km
Merentas laut Andaman-India-Pakistan
30 September 2009

"Ke hadapan Naqeb,

Semalam dan hari ini sangat luarbiasa bagiku. Kenapa? Sebabnya, aku merasakan aku tak berpijak di bumi nyata. Ya memang aku berada di awanan waktu ini tapi bukan itu maksudku. 

Aku merasakan bahawa kembara aku ke bumi asing England ini bagai khayalan. Semua terlalu cepat berlalu... persis tayangan gambar yang meniti visiku. Tahu-tahu, aku sudah dalam pesawat MH004 dan menatap langit nilakandi dari dua tingkap bersebelahanku... "

*******

Saya hampir menyudahkan buku motivasi dan biografi penulis Ummu Hani Abu Hassan, penulis prolifik yang banyak bergiat dalam bidang kewartawanan, penulisan skrip drama TV dan juga kesusasteraan dalam bentuk cerpen dan novel. Berminat membacanya kerana tajuknya dekat sekali di hati saya - I Want to be a Writer. Saya tidak ingat bila masanya saya mula membaca karya-karya beliau, adakah melalui drama TV ataupun cerpen dan novel. 

Di dalamnya terkandung kisah-kisah menarik dari hidup penulis sejak kecil dan sedikit sebanyak inspirasi dan aspirasi beliau dalam menjadi penulis. Terkandung juga tips dan perkongsian tentang pengalamannya dalam bidang penulisan bagi yang berminat. Malah ada kisah lain yang berkisar motivasi.

Apapun, yang membuatkan saya tertarik pada awalnya (selain tajuknya) adalah petikan kata-kata di hadapan kulit bukunya:

"Agar jejak kehidupan dapat diwariskan."

Benar, biografi atau kisah hidup manusia biasa tidak sehebat dan seagung sirah Nabi Muhammad saw atau kisah nabi-nabi terdahulu, malah takkan setaraf dengan kisah para sahabat yang telah dijamin masuk syurga. Tetapi, kisah manusia seperti kita tetap perlu diwariskan. Paling tidak, untuk diri kita sendiri belajar dari kesilapan lalu. Biar jejak positif terus diwarisi, dan kesalahan lalu tidak. Sudah tentu jika dikongsikan untuk semua, itu adalah kerana tugas kita menyampaikan kebaikan yang kita temui dalam hidup kita untuk diteladani orang lain. Semuanya atas dasar menyampaikan mesej Islam, mesej dakwah, atau secara umumnya untuk memaknakan hidup dengan memberi. Tentu ramai yang terkenang tagline popular Ustaz Hasrizal, erti hidup pada memberi.

Juga kata Ustaz Pahrol Md Juoi pernah berpesan dalam sebuah bukunya (saya sudah lupa yang mana), kita membina hidup dengan apa yang kita dapat, tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita berikan. We make a living by what we get but we make a life by what we give. Memberi teladan adalah salah satu cara membina kehidupan yang bermakna.

*********

Semasa di tingkatan lima, saya mula diperkenalkan dengan penulisan jurnal oleh guru bahasa Inggeris saya, yang kami panggil Miss Lini. Tugas yang diberi kepada kami waktu itu adalah menulis dua atau tiga entri dalam satu minggu. Panjang satu entri tidak terikat kepada berapa mukasurat. Tujuan utama jurnal ini sudah tentu untuk memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris kami dari segi penyusunan ayat dan penggunaan kata dan tatabahasa. 

Di samping kerja rumah dan tugasan dari subjek lain, jurnal ini pada awalnya seakan-akan membebankan. Tetapi saya semakin lama semakin seronok menulisnya (mungkin dari situ juga timbul minat yang lebih kuat dalam bidang ini) kerana saya boleh menulis tanpa ada format atau struktur tertentu. 

Epistolari cinta saya di tanah Inggeris - kebanyakannya tertulis dalam helaian kertas berasingan, kebiasaannya entri biasa saya asingkan dalam buku.

Kebiasaannya entri perlu ditulis mengikut topik yang diberikan, namun yang lebih saya sukai adalah apabila kami tidak diberi sebarang tajuk. Jadi di situ saya bebas untuk memikirkan apa dan bagaimana harus saya sampaikan idea. Sehingga sekarang saya masih simpan jurnal-jurnal bersampul biru itu sebagai kenangan.

Saya meneruskan penulisan jurnal ini selepas sekolah, bermula di kolej persediaan sehingga kini, tetapi tidak sekerap dahulu. Saya tidak memilih untuk menyimpan diari kerana persepsi saya tentang diari sangat negatif - diari adalah buku yang mencatat aktiviti seharian. Tidak seperti jurnal yang membolehkan kita menulis apa saja yang menjadi buah fikir kita ketika itu - sama ada peribadi, isu semasa, pendapat tentang pengalaman hidup. Jadi ia lebih daripada sekadar mencatat turutan peristiwa. Begitu pendapat naif saya, meskipun hakikatnya tidak ada masalah mencatat diari dan jurnal dalam masa yang sama. Bezanya hanya istilah yang kita pilih!

Beberapa masa lalu saya menyelongkar kembali barang kenang-kenangan dari UK selama tiga tahun dek rindu. Dan saya terjumpa kembali jurnal dan catatan-catatan lama saya di sana dalam kotak kenangan tersebut. Dahulu agak kerap saya belek kembali tetapi sudah lebih setahun saya tinggalkan. Jadi apabila saya baca kembali catatan yang sangat naif (juga kadang-kadang syok sendiri, err) itu, saya jadi terkejut pula kerana saya kembali belajar dari kenaifan dan kejahilan itu. Betapa mulanya saya terlalu asyik untuk merantau. Betapa teruja awalnya untuk belajar di bumi penjajah! Ke mana hilang semua itu? Ah... dan macam-macam lagi.

*******

Petikan surat pada permulaan entri ini sebenarnya merupakan salah satu entri jurnal saya ketika mula-mula mengembara ke United Kingdom untuk menyambung pengajian. Semenjak ke England saya lebih banyak menulis entri dalam bentuk surat kepada rakan-rakan yang terpilih. Saya tidak pernah mengirimkannya betul-betul kerana saya fikir ini bukan zamannya lagi tetapi saya masih suka dengan perasaan mengutus surat yang romantik dan nostalgik (walaupun ya kerana ditulis satu hala saya akui hasilnya adalah bahasa bunga-bunga yang sedikit dibuat-buat dan cheesy). Sehinggakan cerpen pertama yang pernah saya tulis secara serius juga dalam bentuk warkah, tajuknya Warkah-Warkah Siluman. (Boleh baca di sini - tapi bukan satu karya yang begitu baik! Nikmati tanpa terlalu mengkritik, eheh)

Baru hari ini juga saya memulakan pembacaan buku sasterawan Anwar Ridhwan bertajuk Menyurat kepada Sahabat, iaitu sebuah kumpulan surat-suratnya kepada ahli keluarga, kenalan dan teman penulisan. Bahagian pertama yang memuatkan kumpulan warkahnya ketika beliau berada di London untuk perbincangan proposal tesis dan menghadiri acara sastera di sana. Saat itu juga saya teringat buku Warkah Eropah oleh A.Samad Said yang juga ditulis berlatarbelakangkan tanah Inggeris. Tidak kurang kumpulan warkah Helene Hanff kepada kedai buku kesukaannya di London beralamat di 84, Charing Cross Road yang pernah saya nukilkan tentangnya di sini.

Tiga buku berelemen warkah dalam koleksi. Hanya buku 84 Charing Cross Road yang saya baca habis dari kulit ke kulit. Namun kesemuanya saya suka.

Inspirasi tiga buku ini (dan kenangan sendiri kepada tanah Inggeris) datanglah fikiran untuk berkongsi sesetengah surat-surat rahsia saya itu kerana kebanyakannya tidak bersifat terlalu peribadi seperti entri biasa. Sebabnya saya tulis kesemuanya dalam kesedaran saya masih boleh menghantar warkah-warkah itu kepada mereka sekiranya saya mahu. (Atau, saya boleh gunakan sebagai bahan untuk cerpen? Novel mungkin? Ah, saya terlalu banyak berangan-angan dari menulis! Ketuk kepala.) Dan sudah tentu, objektif utama saya adalah untuk memberi. Harapannya agar manfaatnya mampu dihadam meski kecil. Insha Allah.

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman." (QS. Adz-Dzaariyaat: 55) - Ayat ini sudah terlalu banyak digunakan sehingga kadangkala hilang makna, sedangkan kesannya sangat besar. Maka kita perlu saling memperingatkan.

Nota: Artikel Ustaz Pahrol tentang 'memberi' boleh dibaca di [sini]. Petikan kata-kata beliau yang saya ambil juga boleh didapati dalam artikel tersebut yang sangat baik.

helaianrindu: Warkah cinta dari Allah, pun jangan lupa tatap, ulangbaca dan cuba fahamkan selalu (peringatan paling besar untuk diri!)

(Cuma, saya kesal kerana dua tahun kebelakang ini saya tidak banyak menulis entri jurnal mahupun yang berbentuk surat. Sedangkan terlalu banyak isu dan pendapat yang boleh dibincang untuk dimuhasabah semula. Dari revolusi musim bunga tahun 2011, rusuhan di seluruh UK pada tahun yang sama, juga kembara-kembara persendirian dan kisah-kisah teladan yang banyak mematangkan saya dalam dua tahun itu - semuanya terkubur dan kemungkinan besar sudah banyak yang lupa. Saya sendiri yang rugi kerana tak dapat belajar kembali dari pengalaman-pengalaman tersebut. Tak apalah, semoga Allah memberi peluang saya mengingat semula detik bermakna itu)


Ogos 19, 2013

Revolusi atas Kertas II

Saya masih ingat revolusi 25 Januari di Mesir 2 tahun sudah. Ketika itu saya sedang berada dalam tahun dua pengajian. Masih budak hingusan (ah..sekarang masih lagi). Baru hendak belajar kenal dunia kecil - apalagi dunia besar, isu umat, isu politik, isu negara.. semua itu satu cabaran buat saya. Meski saya mengaku seorang pembaca buku tegar, dalam masa yang sama saya malu mengakuinya kerana saya kurang membaca buku berbentuk ilmiah, juga kurang membaca berita. Sewaktu rakan-rakan saya rancak membincangkan peristiwa besar yang sedang berlaku di negara-negara Arab tahun itu, saya hanya mampu mendengar dan mengangguk. Entah apa yang dianggukkan, saya pun tidak pasti. Di komputer riba pula, saya memerhati pautan berita dan bookmark berkali-kali, sedang artikelnya sampai sudah tidak terbaca. 

Begitulah saya satu waktu dulu. Saya selalu beralasan pada teman saya, saya dah bookmark, nantilah saya baca. Teman saya itu membalas, "Isu hangat macam ini sebenarnya takkan sempat untuk kau buat macam tu, sebab hari-hari akan ada update terbaru. Kau akan terlepas ambil tahu nanti." 

Dan ya, saya terlepas. Terlalu banyak artikel dikumpul, sudah tentu tak terbaca. Artikel yang awal-awal disimpan sudah menjadi basi. Setelah itu jika membaca buku berkenaan revolusi suasananya menjadi hambar dan 'suam'. Orang lain bergerak ke isu lain, saya masih lagi ketinggalan dengan isu lapuk. Akhirnya apa pun tak ada. 

Sama saja dengan cerita lain, bukan cerita Mesir kali itu saja.

'I agree we have to kill her but at the right place and the right time.' - petikan trailer Catching Fire. Imej diambil di sini.

Kali ini, babak 2 tunjuk perasaan di Mesir. Secara ringkasnya, berlaku peristiwa penggulingan Presiden Mursi oleh pihak tentera. Klimaksnya, pembunuhan beramai-beramai demonstran aman di Dataran Rabiatul Adawiyah oleh kerajaan kudeta. Kali ini saya tidak lepaskan peluang untuk mengambil tahu isu ini setiap hari. Malah kali ini saya sudah faham kepentingan untuk kita mengambil tahu isu umat ini. Bukan bermaksud saya teruja dengan apa yang terjadi - saya malah sedih, marah dan kecewa dengan apa yang berlaku. Cuma saya lebih teruja dalam memperkukuh pengetahuan isu semasa saya. Supaya nanti ada yang boleh saya sumbangkan. Ada yang boleh saya bincangkan. Ada yang boleh saya titipkan di dalam doa. Kerana segalanya yang saya lakukan nanti mampu datang bersama kefahaman dan tentunya, dengan hati, inshaAllah.

Sabda Nabi Muhammad saw, dari Nu'man bin Bashir r.a:

Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya.” (Sahih Bukhari)

***********

Seperti biasa, di alam maya terkandung lampau banyak artikel berita, pendapat, pandangan, dan ramalan apabila sesuatu isu timbul; dan huru-hara sebesar di Mesir ini tentu tidak terkecuali. Ada yang baik dan ada juga yang buruk. Mereka yang memegang kuasa pula mengambil peluang memanipulasi media perdana untuk mengikut telunjuk mereka. Laporan yang tidak telus terus-terusan mempengaruhi minda sebahagian penduduk dunia. Mereka yang menuntut hak dan kebenaran dikembalikan ke takhtanya akan bangkit melawan. Namun, arus perdana bukan pletfomnya! 

Saya terkenang kata-kata Muharikah, seorang blogger yang kini sudah maju dalam dunia penerbitan. Katanya, kita tidak banyak media cetak yang berpengaruh besar dan mampu mengubah pemikiran penduduk dunia seperti majalah TIME, atau The Economist cetakan Barat. Justeru beliau bercita-cita menulis dan menerbit untuk menghasilkan pentas penulisan berkaliber seperti itu. Ya mimpinya seakan begitu besar tapi kata orang, langkah seribu bermula dengan langkahan yang pertama. Kini blognya bukan saja menjadi bacaan ramai orang malah beliau juga memulakan penerbitan majalah dakwah JOM! dan kalau tidak silap, juga menguruskan kedai Iman Shoppe secara atas talian, dan menjual pelbagai buku Islami.

Berbalik kepada isu media perdana tadi, alangkah bagus sekiranya kita ada pletfom seperti yang dicadangkan saudari Muharikah. Kita perlukan revolusi atas kertas untuk menyampaikan berita sebenar. Kita perlu revolusi atas kertas untuk menyampaikan rasa peduli bagi mereka yang belum merasai keperitan umat. 

Kita perlu revolusi atas kertas untuk menumbangkan kebatilan.

Revolusi ini, saya berminat untuk turut serta. Mahu ikut saya?

helaianrindu: Ingin bermula semula. Dengan nafas baru, azam dan semangat baru. InshaAllah, doakan saya dapat memperpanjang langkah yang bertatih ini.

Bila berbicara tentang perang media, serta-merta saya terkenang novel Mockingjay yang dibaca tidak lama dulu - buku terakhir dalam siri The Hunger Games. Tentang rancangan jahat untuk menindas rakyat seperti yang berlaku di Mesir, terkenang pula pada novel sebelumnya, Catching Fire. Tagline novel kedua sungguh relevan dalam konflik dunia kini: "Remember who the real enemy is." Ingat siapa musuh sebenar kita! (Saya boleh membebel tentang siri ini)

Jika ingin tahu berita terkini, ikuti perkembangan di Al-Jazeera.com dan Facebook Mesir Kini. Juga dapatkan informasi 'For Dummies' tentang Kudeta Mesir di blog Angel Pakai Gucci. Sama-sama kita doakan kesejahteraan umat Islam di Mesir khususnya, tak lupa juga di Palestin, Syria dan di dunia amnya. Jangan lupa untuk merevolusikan diri kita ke arah yang lebih baik juga!

September 12, 2012

Blues Musim Panas II

Selesai solat ba’diyah isyak dan berdoa, saya bangun dan berjalan ke pintu utama masjid. Saya memandang Jemaah masjid yang hadir. Tidak ramai. Tetapi sekilas saya terpandang seseorang dengan janggut putih sedang terbongkok sedikit, meratib. Mata saya membesar. Itu bukankah pakcik Hamid Hassan, makmum tua yang tidak pernah jemu berjalan ke masjid tidak kira waktu, sekalipun pada pukul 3 pagi waktu subuh masuk - atau waktu musim sejuk penuh salji?

Eh? Sekejap saya terkedu. Ini bukan masjidnya untuk dia datangi. Dalam sekerdip mata bayangan pakcik Hamid berubah menjadi seorang pakcik berjanggut yang tidak saya kenali. Ya, saya kan sudah berada di Kuala Lipis, Malaysia. Mana mungkin Pakcik Hamid berada di sini. Dia tegar mendatangi masjid kecil di perkampungan Selly Oak. 
Lorong ke pintu masjid (di sebelah kiri).
Di dalam gambar adalah rakan-rakan saya Najmi (dari kiri), Kamal dan Azri

Masjid itu bernama Jalalabad Mosque – sekalipun namanya seakan menggambarkan masyarakat Pakistan, kebanyakan jemaahnya berasal dari Bangladesh. Saya fikir, sudah hampir sebulan saya meninggalkan masjid tersebut. Sudah terlalu biasa dengan pemandangan melihat makmum seperti Pakcik Hamid meratib sendirian, khusyuk, saat saya melintasi ruang masjid untuk keluar. Tetapi sekarang, saya berada di masjid tanah air saya. Saya lihat ayah saya baru selesai bersolat, dan imam masih berdiri. Siak sedang mengemaskan sejadah dan mikrofon. 

Pakcik Hamid. Entah berapa umurnya, saya pun tidak tahu. Tetapi dia nampak begitu tua sekali, sedikit terbongkok dan berjalan dengan begitu perlahan. Walaubagaimanapun, kudratnya mengalahkan semua orang muda persis saya. Bayangkan rumahnya sejauh beberapa batu dari masjid, tetapi dia datang juga tidak kira waktu – lagi-lagi jika di UK, waktu solat memang tidak kira waktu! Subuh di musim panas boleh mencecah seawal jam 3 pagi. Jika solat berjemaah bermula pada jam 4, maka dia akan datang sebelum jam 4. Bayangkan, untuk datang sejauh itu, dia perlu bangun pada jam berapa, dan bergerak ke masjid pada jam berapa. Mungkin jam 3.30 paling lewat perlu dia mula melangkah kaki. Jika tidak masakan dia boleh sampai lebih awal? Malulah, kami yang duduk hanya kira-kira dua tiga puluh langkah dari masjid, pun datang lima minit setelah solat Jemaah bermula. Jika dia setiap hari menepati waktu, kami juga hampir setiap hari terlewat waktu! 

Rakan-rakan yang sudah biasa dengan pakcik Hamid pasti akan mengingat kemesraan luarbiasa beliau. Jika mataya bertemu mata saya dari jauh, pasti akan diangkat tangannya untuk menyapa. Jika dia mendekat, dia tidak pernah lupa bertanya khabar, bersalaman sambil menggoncang tangan saya dengan ceria dan kasih. 

Brother Rashdan, how are you? Hope you are doing fine.” Dan apabila saya menjawab ya, ringkas dia membalas “Masha Allah, masha Allah, Alhamdulillah.” Pujian untuk Allah tidak akan pernah sembunyi dari bibirnya. Tegur sapanya yang sebentar, biar tiada yang dibualkan, akan saya ingati sampai bila-bila.

Ramadhan yang sudah berakhir membangkitkan lagi rindu saya. Sempat berpuasa di bumi Inggeris selama tiga minggu. Sama seperti tahun lepas. Berpuasa di UK pada awalnya suatu rasa yang menyiksakan – tapi mujur cuma hari pertama (pada tahun lepas). Tahun ini, sudah tidak dirasa keperitannya. Lebih terasa kebosanan pula disebabkan saya duduk di rumah seorang diri pada kebanyakan waktu. 

Rutin Ramadhan saya ketika di UK sangat sibuk ketika waktu malam. Berbuka paling lewat pada jam 9.30. Kemudian mengejar solat maghrib dan solat isyak pada jam 10.45. Terawih bermula jam 11 dan berakhir pada jam 12 tengah malam. Pulang ke rumah, saya cuba tidur secepat mungkin untuk bangun bersahur pada jam 2.30 pagi. Dan menunggu waktu subuh, yang jemaahnya bermula pada jam 3.30. (Kemudian semakin hari waktu ini berubah, subuh semakin lewat, dan maghrib semakin awal) 

Kenangan waktu malam dan awal pagi yang sibuk ini dimeriahkan lagi ketika sepuluh malam terakhir tiba. Pada waktu ini ada beberapa jemaah masjid beriktikaf dan tidur di sana. Saya tidak tidur di masjid tapi sempat menghadiri qiamullail dan bersahur bersama mereka di masjid. Sahur mereka bukan calang ringan.

Di sebelah kiri, Pakcik Hamid Hassan, dan di sebelah kanan, imam yang baru buat masa ini, namanya Nurul Alam.

Kambing! Kambing, ayam, daging, semuanya ada. Kadang-kadang ada ikan juga. Aduh! Saya selalu makan sedikit lambat dari jemaah lain, dan akan ingat apabila Pakcik Hamid memanggil nama saya usai saya berdoa, dengan suara tuanya itu: 

Brother Rashdan, come, sit here, eat with us.” Dihulurnya sepinggan nasi dan disuakan kepada saya periuk demi periuk lauk yang pelbagai. Saya tersebenyum dan mengangguk-angguk saja. Terharu saya melihat jemaah yang begitu mengambil berat tentang saya. 

Suatu pagi ketika bersahur, saya ditegur ceria oleh imam. “Malizia! Why you don’t eat this?” sambil menunjuk kearah tub yogurt mangga di depannya. 

Aduh, saya sudah kenyang. Dicedoknya untuk saya separuh pinggan. Banyaknya. 

Tetapi saya dapat habiskan. Cuma saya terkejut, mereka makan yogurt manis itu dengan nasi. 

Pakcik Hamid menyampuk sedikit serius, “His name is Brother Rashdan, not Malizia. Call him brother Rashdan.” Imam hanya tersenyum menanmpakkan gigi seperti selalu. 

Ala, comel pula pakcik-pakcik saya ini bila ‘bergaduh’. 

********** 

“Semoga Allah menjagamu sepanjang perjalanan.” Imam bernama Nurul Alam itu bersalam dengan saya. Berbahasa Arab dengan saya, meminta orang lain menterjemahkannya dalam bahasa Inggeris kerana dia tidak begitu fasih, tapi ucapan arabnya tidak sukar untuk saya, jadi saya berkata, tak mengapa, saya faham; jazakallahu khair

Imam selalu saja memanggil saya dengan nama Malizia. Pernah sepetang, dia pernah mempelawa rakan-rakannya makan di ruang belakang masjid. Saya sudah hampir keluar dari masjid dan dia ternampak kelibat saya agaknya, cepat-cepat dia menjerit sekuatnya "Maliziaaa!!"

Saya berundur dan menampakkan muka saya pada imam. Saya tahu saya yang dimaksudkannya meski rakan-rakan Malaysia yang lain juga tinggal di sini. Tapi saya berseorangan ketika itu, jadi siapa lagi? Dia mengajak saya makan bersama. Sepotong kek dan beberapa peket kerepek Walkers. Sambutan apa agaknya, saya sudah tak ingat. 

Sebelum saya meninggalkan bumi Birmingham untuk pulang beraya, saya berjumpa mereka semua terlebih dahulu. Saya teramat rindu untuk qiam dan bersahur bersama mereka lagi, tetapi bukan takdirnya saya bersama mereka hingga ke akhir Ramadhan. Saya bersalaman dan berpelukan dengan Pakcik Hamid Hassan, Imam, dan juga Pakcik/Brother Abdul Latif, seorang lelaki yang petah berkata-kata dan penuh ilmu di dada. 

Selalu saya berjalan sedikit pantas untuk mengejar waktu jemaah. Lalu di hadapan rumah Donald, saya ternampak Scruffy. Sempat membelainya dua tiga kali sebelum mempercepat perjalanan saya ke arah masjid. Perjalanan ke masjid yang tidak lebih dua ratus meter itu diiringi teksi-teksi yang kebanyakannya dipandu oleh orang muslim, singgah untuk solat berjemaah bersama. Saya teruskan langkah. 

Di masjid, saya sempat memperbetulkan lipatan kaki seluar. Bimbang ditegur oleh makmum yang lain. Di sini, mereka berpegang kepada perlunya meninggikan kain seluar sehingga lebih dari atas buku lali. Istilah untuk perbuatan melabuhkan kain seluar ini dipanggil isbal, jadi dalam solat wajib meninggalkannya berdasarkan hadis nabi. Di rumah saya tidak melakukan begitu. Sekadar pengetahuan saya, kita di Malaysia tidak berpegang pada kewajipan meninggalkan isbal kerana mengambil pendapat yang berbeza (betulkan saya jika tersalah, saya masih membaca tentangnya). Apapun, disebabkan ini masjid ‘mereka’, saya lebih senang menyenangkan hati mereka, malah tidak salah pun meninggalkan isbal. Dan takbir pun diangkat setelah semua siap sedia. 
Jemaah yang hadir melakukan solat sunat.
Lihat di saf hadapan paling hujung, akan nampak pakcik yang solat duduk di atas kerusi yang saya tidak tahu namanya. Moga Allah merahmatinya.

Di sebelah saya, seorang makmum yang sudah terlalu lama saya nampak di masjid, tetapi tidak pernah saya ketahui namanya. Makmum ini istimewa, kata Pakcik Abdul Latif, dia tidak pernah tertinggal solat berjemaah di masjid ini semenjak entah bila, sepanjang ingatan saya, memang dia sudahpun berada di hujung saf pertama. Lebih membuatkan saya kagum, dia tidak mampu berdiri untuk solat, cuma duduk di atas sebuah kerusi. Dan jalannya perlu kepada tongkat. Bukankah saya patut malu dengannya? Kalau anda solat di hujung saf kedua, berdekatan dengannya, dia akan cuba sedaya upaya mengalihkan kerusinya sehingga betul-betul ke hujung dinding dan mempelawa ruang untuk kita masuk ke saf pertama di sebelahnya. 

Saya tak akan lupa pertama kali saya benar-benar bertutur dengannya muka bertemu muka, ketika pulang tempoh hari, mengucap selamat tinggal dan selamat hari raya. Katanya, “All the best to you.” Itu saja yang saya ingat dalam ketergesaan saya – wajahnya tulus mengucapkan selamat buat saya.

Banyak lagi jemaah lain yang saya tidak sempat jumpa, tapi tak mengapalah. Mungkin nanti.

Sebelum melintas keluar, mereka meminta saya berkirim salam kepada ibu ayah saya, dan meminta agar didoakan kesejahteraan buat mereka. Imam memanggil saya semula tiba-tiba. Di tangannya terdapat secebis kertas, dan tangannya yang sebelah lagi cekatan menulis sesuatu. Dia menghulurkannya kepada saya. Tertulis nombor telefonnya. 

********** 

Angin petang berhembus dingin. Tidaklah begitu sejuk kerana semenjak kebelakangan ini musim panas sudah tidak dilatari hujan lagi. Hari ini saya juga hanya memakai satu lapisan baju. Berlari-lari anak saya kembali ke rumah rakan saya untuk mengambil beg dan mengejar tren untuk ke lapangan terbang. Hari itu saya akan pulang ke Malaysia. 

Ruang solat Masjid Jalalabad, Selly Oak, pada waktu malam

Sudah jam 6.40 petang. Disebabkan penerbangan saya akan bertolak pada pukul 10 malam, saya harus berada di sana 3 jam sebelumnya. Saya menatap semula cebisan kertas tadi sebelum menyeluknya ke dalam kocek kemeja saya. Jemaah yang selalu saya nampak di dalam masjid harus saya kenali dengan lebih lagi sebelum pulang ke Malaysia buat selamanya nanti.

Sedih, tidak dapat berbuka petang itu bersama mereka lagi – tidak dapat saya merasa bubur wajib berbuka dari negara mereka, entah mereka panggil dengan nama apa. Juga ada kacang kuda pedas yang mengecurkan liur, serta pakora sayur-sayuran yang kadangkala rangup dan kadangkala berisi tebal. Tidak semua orang menggemarinya, tetapi saya serta-merta lapar hanya dengan memikirkannya sekarang. Ah, rindu benar.. oh ya, Mukhliz pun sangat menyukai lauk-pauk itu. 

Bila pula dapat berjumpa dengan pemuda Itali itu; yang hingga kini tak henti mencari cinta? 

Nanti.


[kredit gambar buat Kamal (dari blognya) dan Raja Muhammad Khairuddin (dari facebook)]


September 06, 2012

Pengalaman Menjadi Angin

Berita Harian, 5 September 2012
Alhamdulillah, sudah lebih sebulan Dandelion diterbitkan. Untuk pengetahuan pembaca, Dandelion merupakan antologi puisi yang diselenggarakan oleh saya bersama tiga lagi teman dari Grup Karyawan Luar Negara, iaitu Ainul Arina dari Jordan, Muhammad Iqbal A. Ghani dari Ireland (kini di Malaysia) dan terakhir, Hazwan Ariff Hakimi dari UK (yang juga menerbitkan kumpulan puisi solonya yang pertama bertajuk Sasterawanara Keraton).

Bermakna, sudah lebih sebulan juga tugas saya sebagai penyelenggara tamat. Kami bermula sejak hujung 2011 lagi. Awalnya tidaklah begitu bermasalah. Tetapi pada penghujung bulan Ramadhan 2012, sebelum dan ketika dibawakan softcopy Dandelion ke penerbitan, pelbagai masalah timbul. Berjaga siang malam untuk menyempurnakan softcopy yang bermasalah. Tidak seperti antologi Trem ke Pintu Syurga (TKPS - antologi cerpen juga terbitan GKLN) yang hampir tiada masalah melainkan kesalahan ejaan. 

Namun istilah 'berjaga' ini tidaklah teruk sangat sebenarnya kerana secara tidak langsung memang saya perlu jaga pada waktu-waktu tertentu. 

Sebabnya, semasa Ramadhan di UK, jadual tidur saya tidak seperti biasa, kerana saya tidur pada jam 12 malam (terawih tamat jam 12) dan perlu bangun pada jam 3 pagi untuk bersahur. Kemudian tidur semula pada jam 7 pagi dalam 3 jam atau lebih.  Mujurlah jadual tidur yang tidak berterusan ini dan waktu siang yang panjang membolehkan saya sentiasa kemaskini softcopy tersebut apabila timbul masalah tidak kira waktu malam atau siang di UK. Terganggu mungkin cuma sesekali tapi itulah pengalaman. Alhamdulillah, walaupun sedikit penat di hujungnya, akhirnya saya berjaya menyempurnakan fail PDF untuk dibawa ke syarikat percetakan.

1 September lalu, buku-buku yang telah saya sebutkan, tiga buah semuanya, bersama sebuah buku dari persatuan rakan penulis, Legasi Oakheart telahpun berjaya dilancarkan secara rasmi di Rumah Pena, Kuala Lumpur. Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan yang menjadi perasmi, dan naskhah Dandelion ini telah diulas oleh Cikgu Shamsuddin Othman. Puan Nisah Haron juga datang untuk mengulas antologi cerpen TKPS. Majlis tersebut juga dihadiri oleh penulis mapan seperti S.M Zakir dan Fahd Razy.

Okey, bunyinya macam laporan akhbar pula. (ya, bercakap pasal suratkhabar, berita tentang majlis pelancaran ini ada dimuatkan di dalam Berita Harian semalam, di bahagian sastera. Syukur)

*************

Selain pengalaman manis mengumpul dan menyusun puisi-puisi pelajar luar negara untuk Dandelion, saya juga diberi peluang untuk mewarnakan rupa buku tersebut bersama dengan TKPS. Merekabentuk kulit buku memang satu perkara yang sangat saya minati, mungkin disebabkan saya sendiri memang suka menilik buku berdasarkan kulitnya terlebih dahulu. Atau sebab lain, barangkali saya minat menterjemah teks ke dalam bentuk grafik dan cuba memberi wajah terhadap latar karya dalam bentuk yang lebih ringkas.

(Saya suka kulit buku yang bersifat minimalis, atau berilustrasi tangan (hand-drawn), dan itu cuma sebahagian yang saya dapat fikirkan buat masa ini)

Saya lebih enjoy dalam merekabentuk kulit TKPS berbanding Dandelion sebenarnya - mungkin kerana cerpen lebih mudah diterjemah dalam bentuk ilustrasi. Banyak elemen yang boleh dipilih untuk mewakili cerita. Untuk Dandelion, tak mungkin saya akan meletak sebuah gambar bunga dandelion begitu sahaja. Tidak salah, dan mungkin sesuai kerana ada yang tidak tahu apa itu dandelion, tetapi antara peraturan desain kulit buku yang pernah saya dengar dari Chip Kidd (seorang graphic designer yang saya suka di Knopf, sebuah syarikat penerbitan di Amerika), sebolehnya jangan letakkan gambar yang literal, kerana ini juga memberi peluang untuk pembaca berfikir dan mentafsir, secara tidak langsung mengangkat kebolehan pembaca, bukan merendahkannya.

Untuk kedua-dua antologi saya cuba menjadikan desainnya selari, meminjam konsep siri buku seperti Hadiah Sastera Utusan sebagai contoh terdekat. Bukan saja lebih kemas dan elok bila dipamerkan bersama, bagi saya keselarian itu menampakkan bila buku-buku tersebut diterbitkan.

Berikut antara idea awal/proses rekabentuk yang mungkin tidak seberapa dan tidak begitu profesional (in terms of progress, concept etc):
Proses rekabentuk kulit antologi puisi Dandelion
Proses rekabentuk kulit antologi cerpen Trem ke Pintu Syurga

Bagi yang belum mendapatkan naskhah-naskhah ini, bolehlah menempah, selagi stok masih ada (setakat ini hanya satu cetakan sahaja!) di laman ini: http://karyawanluarnegara2012.blogspot.co.uk/ Dapatkan dua antologi ini beserta kumpulan puisi Sasterawanara Keraton dengan harga kombo RM50. Murah kan?

Dan istimewa untuk pembeli dan pembaca blog ini, saya ada desain dua buah penanda buku yang sepadan dengan buku Dandelion dan TKPS yang boleh dimuat turun, cetak dan potong sendiri untuk digunakan bersama naskhah-naskhah ini tentunya :) (Boleh muat turun di sini. Cara muat turun - klik option 'File' di sebelah atas kiri dan skrol kebawah dan klik 'Download'. Saiz sebenar: 15cm x 3.5cm. Garis panduan untuk memotong ada disertakan dalam fail tersebut.)


Susah mencari quotation yang sesuai untuk menggambarkan cerpen TKPS, tetapi ini hasilnya. Selamat menikmati penanda-penanda buku ini!

Alhamdulillah, alhamdulillah dan alhamdulillah. Semoga pengalaman menjadi angin dengan menyebar benih dan mewarnakan panorama ini akan menjadi perkara berharga yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang. Juga, selamat menikmati buku-buku ini dan menyampaikan mesejnya!

helaianrindu: Paling manis tentunya, apabila tajuk puisi saya terpilih (dalam undian) untuk menjuduli antologi puisi tersebut. Walaupun sebenarnya hanya kalah dengan beberapa tajuk lain dengan 1 atau 2 undi sahaja. Selain puisi Dandelion, puisi saya bertajuk 'Pentas' juga dimuatkan dalam buku ini.


Ogos 06, 2012

Blues Musim Panas I

Ada seekor kucing yang selalu saya usap dan belai di kawasan Selly Oak ini, namanya Scruffy. Bulunya campuran coklat, hitam dan putih; gebu dan tebal tetapi mudah sekali gugur jika diusap. Dia manja, mesra dan ramah - kata tuannya Donald, 'she's a bit too friendly'. 

Sekembali dari solat Zohor di masjid ketika itu saya ternampak Scruffy sedang berlegar-legar di sekitar kawasan letak kereta rumah tuannya Donald. Waktu itu saya masih tak kenal siapa Donald tapi saya tahu dia tuannya - saya cuma nampak Donald keluar masuk rumah saban hari sambil Scruffy menggesel-gesel di kaki. Kali ini saya berpeluang berbual mesra dengannya. Apabila saya ternampak kucing gebu itu, secara refleksnya saya memanggil, 'miau, miau' dek terbiasa melayan kerenahnya dan Donald berpaling lantas menegur saya.

"Don't be shy, you can stroke her," begitu lebih kurang mulanya. Saya membalas dalam bahasa Inggeris, tak mengapakah? Sambil datang dan mengusapnya, dan dia dalam diam membenarkan.

Daripada Donald saya mendapat tahu nama kucing ini, yang selama ini saya nampak tidur di atas atap rumah, dan apabila saya panggil mendekat, dia tanpa takut datang dan melayan belaian saya. Saya tentunya gembira kerana di UK tempat saya tinggal ini, tidak mudah untuk berjumpa kucing seperti di Malaysia. Lebih payah lagi apabila bukan semua kucing-kucing yang tinggal di sini mesra dengan manusia. Tidak seperti Scruffy! (Rumah Donald dan Scruffy cuma di seberang jalan bertentangan rumah saya, jadi sudah tentu saya selalu memerhati kucing-kucingnya dan menyayangi mereka.)

dari atas, ikut jam: Scruffy (depan) dan Tubby; Scruffy 'bersedia' untuk gambarnya diambil di tengah jalan Hubert Road; dan saya meriba Scruffy

Kata Donald, namanya sebegitu kerana dia jarang membersihkan diri, bulunya agak kotor sebenarnya (walaupun saya tidak nampak di mana kotornya, bulunya cantik, putih bersih). 

Donald juga mempunyai seekor lagi kucing, namanya Tubby. Warnanya hitam keperangan dan berbelang-belang. Ekornya panjang, tidak seperti Scruffy. Donald kisahkan pada saya, Tubby itu umurnya sudah 12 tahun. Dan yang mengejutkan saya, Tubby adalah ibu kepada Scruffy! Tetapi Tubby lebih sukar dilihat. Kebiasaannya dia tidur di atas atap dan jarang bermesra. Saya cuma berpeluang membelainya mungkin hanya dua tiga kali sepanjang duduk di sini. 

"She's really nice and cute." Saya puji Scruffy lagi. 

"Yeah.. But she lost her tail actually. She was ran by a car. We almost lost her..

"But she survived." sambung saya, terkejut dengan kisah itu. Rasa simpati mula muncul. 

"Yeah. Now she's learned to stay away from cars." Begitu rupanya kisah Scruffy. Saya teringat kucing-kucing saya di kampung halaman, terutamanya kucing bernama Manja yang hidup bersama kami hampir lebih sepuluh tahun, dan kini dipercayai mati setelah menghilangkan diri sekian lamanya. Apa Manja kemalangan dilanggar kereta, atau mati kerana umur tua, tiada siapa tahu. Rindu sebentar mengingatkan Manja.

Kemudian saya bercerita pada Donald yang saya sangat susah untuk berjumpa dengan kucing-kucing yang ramah seperti Scruffy, dan saya sudah lama sebenarnya bermain dengannya. 

"I really like cats so if I ever want to play with them I have to go back home to my country to play with mine!" seloroh saya. 

**********
Sebuah jalan tipikal di Selly Oak

"Oh do you mind if I ask where do you come from?" tanya Donald apabila saya membangkitkan tentang pulang ke tanah air. Saya jawab, Malaysia. Balasnya, itu negara yang cantik. Saya bersetuju kerana saya tahu yang dimaksudkannya pastilah cuaca malaysia yang panas sepanjang tahun (walaupun saya tahu kemungkinan besar dia tidak pernah berkunjung pun ke Malaysia, cuma tahu fakta umum. Mungkin juga bermanis mulut untuk berbual kerana sudah ramai orang di sini berkata perkara yang sama apabila kita bercerita yang kita datang dari Malaysia. Balasan yang sama, it is a nice country. Sudah lali dengan jawapan ini!) Tambah Donald lagi, I know people there are very polite

Lalu kami bercerita tentang kawasan kejiranan di Hubert Road, jalan yang kami duduki. Dia tahu kami tinggal sudah lama di rumah bernombor 33A. Ya, sudah tiga tahun, dan ini tahun terakhir di rumah itu, kata saya. Donald memanggil rumah kami rumah yang diduduki 'long termers' dan penghuni rumah lain sebagai 'short termers' disebabkan hampir semua pelajar yang duduk di kawasan ini duduk di satu-satu rumah untuk setahun sahaja dan kemudian berpindah ke rumah lain pada tahun berikutnya sedangkan rumah 33A yang saya duduki sudah dihuni pelajar Malaysia sejak 2009.

Donald memanggil kawasan ini transient village disebabkan suasana pindah randah begitu. Ya, nama yang sangat kena! Lagi-lagi apabila musim panas tiba, suasana pindah-randah makin terasa - barang-barang di dalam rumah dibuang ke luar begitu sahaja, timbunan sampah untuk dikutip oleh majlis perbandaran memenuhi laman rumah - malah persekitaran semakin hari semakin sunyi. 

Donald selalu saja nampak kami keluar masuk, cuma kami tak pernah bertegur sapa. Tak sangka dua ekor kucing comel mampu menjentik perbualan mesra! 

**********

Apabila bercerita tentang cuaca Malaysia yang panas, tentunya kami bercerita tentang cuaca UK yang sudah tidak menentu sejak musim luruh lepas. Musim panas tahun ini hampir setiap hari hujan turun dan mengikut berita yang pernah saya baca dalam akhbar dan internet, hujan yang sepatutnya turun dalam masa berbulan lama, turun dalam waktu beberapa minggu sahaja! Sebab itu ada beberapa kawasan di UK dibanjiri air, teruknya menenggelamkan kereta! 

Donald mengiyakan fakta itu dan berkongsi dengan saya situasi beberapa tahun sebelum ini yang cuacanya terlalu panas sehingga kawasan simpanan air ada yang kering. 

"It is terrible. But hopefully with this year's rain it will cover that up again." 

Sebelum berpisah, kami bertukar-tukar nama. Begitulah saya kenal Donald dan kucing-kucingnya. 

"If you want to stroke her you can do anytime," pesannya sebelum kami berpisah. 

Saya mengucapkan selamat tinggal pada keduanya. 

Itu kenangan saya beberapa minggu yang lalu. Sekarang saya masih melambai ucapan selamat tinggal pada mereka..

..dan pada diri saya yang lalu, dan kini pada rumah warisan 33A itu - yang mencetus permulaan saya di bumi Birmingham ini. Pada kucing-kucing itu juga; setelah saya berpindah keluar dari rumah tersebut entah bila lagi akan saya sapa mereka. Dan tidak lupa, pada tiga musim panas yang telah (dan akan) berlalu dan selalunya mencetus kenangan pelbagai.



"Selamat tinggal, dan tunggulah aku pulang."


Oktober 04, 2011

Warkah Musim Panas



Sahabat,

Antara dua jalan, dari cabang yang sama, pohon-pohon dalam kedua-duanya berbeza. Satu penuh dengan rerumput segar dan buah serta bunga pelbagai. Pilihan kedua tidak jauh beza, cuma pepohon saling menjauhi, ada jarak yang luas antara mereka.

Tetapi masih ada cabang kedua yang langsung tandus. Meskipun begitu aku selalu tersesat dalam laluan ini, dan berpatah kembali ke titik mula...

Sudah setahun berlalu, cepat benar. Cahaya matahari yang dahulunya memantul pada tingkap rumah bertentangan sudah terbit begitu awal dan jatuh begitu jauh, begitu lewat. Malam seperti satu penyataan palsu musim ini--semacam emosi aku yang entah ada entah tidak, kalau ada hanya disamar oleh kehadiran murni bulan. Tanpa bulan, pekungku sudah lama terbuka; bahawa aku bukan malam, tetapi biru tua sementara saja.

Rumah No.19 ini antara rumah terdekat dengan rumah Allah yang mulia. Aku sekurang-kurangnya akan ingat yang ini. Tetapi rumah ini bukan tempat berpijak yang pastinya. Aku masih perlu berjalan.

Aku selalu mencemburui engkau hai sahabat. Kerapkali kalau bukan sifat jiwamu, tetap ada rupa parasmu. Kalaulah aku tidak begitu mudah jatuh cinta dan terus-terusan menipu dunia demi mendapatkan cinta itu, mungkin aku begitu yakin untuk mendapatkan nikmat buah-buahan dan aroma puspa-puspa di lorongan yang 'indah' itu. Apa daya, mataku masih buta, pancainderaku disempitkan keinginan yang terlalu hodoh. Walau sudah tersuluh cabang yang benar indah dan cabang yang benar gundah, aku masih berdiri di persimpangan, masih leka berdiri, konon sedang memilih...

Aku cuma mohon dandelion terus ada bersama angin untuk menyamankan.

Supaya tidak terus palsu,
Rasydan


19 Dartmouth Road, Selly Oak
Birmingham B296DR
10.25 am, 9 Julai 2011

helaianrindu: Surat terakhir yang ditulis di rumah 19 Dartmouth. Sekarang di 33A Hubert Road, menanti perca kenangan dijahit indah. Dan dandelion masih teguh di bulan Oktober ketika ini...

Jun 09, 2011

Setakat Ini

Teknologi. Mudah dan terlalu cepat berkembang. Buku pun sudah boleh dibaca dalam bentuk soft copy. Saya sangat skeptikal terhadap pembacaan buku berbentuk maya. Satu sebab utama adalah saya sakit mata terutama apabila membaca melalui skrin laptop terlalu lama. Sebab dua, tidak ada perasaan seperti membaca buku sebenar; tanpa dapat menyelak helaian-helaiannya; tidak dapat mencium bau kertas yang berbeza-beza, apalagi tabiat saya yang selalu membanding ketebalan baki mukasurat yang belum dibaca (gara-gara tidak sabar menghabiskan sebuah buku) sudah tentu terhapus terus.

Itu sebab-sebab yang 'kukuh' untuk saya tidak mengusik satu pun bahan-bahan bacaan ilmiah dan fikrah dalam bentuk pdf yang tersimpan dalam external harddisk saya.(Macamlah senang sangat nak baca isinya yang berat tu.)

Zaman e-reader bermula, saya pandang serong. Tahun lalu sebuah e-reader menjadi popular kerana bersifat revolutionary, setakat ini. Ah, peduli apa. Lagi mudah membaca buku sebenar.

Tetapi beberapa waktu setelah itu kenaifan saya terserlah. Bukan semua teknologi sama.


Oh, bukan iPad yang saya maksudkan. iPad tidak ubah macam komputer. Ini e-reader, bukan komputer tablet. Kawan sekelas saya yang bawa semasa sesi tutorial. Saya minta pada dia, "boleh saya pinjam tengok sebentar?" (dalam bahasa Inggerislah)

Yang saya maksudkan adalah Amazon Kindle. Tak sangka sudah generasi ketiga. Saya fikir alat ini terlalu menarik dan berkesan dan persepsi saya terus berubah 360 darjah. Bermula saat itu saya menginginkannya. 

Tidak lama kemudian, saya berubah fikiran kembali. Rasa membazir pula mendapatkan sebuah sebab saya masih perlu membeli buku-buku di Amazon secara digital yang harganya tidaklah seberapa murah pun kerana tidak jauh beza dari printed version. Lagipun teknologi terlalu cepat berkembang nanti kalau keluar versi baru terus jadi ketinggalan. Ke arah lain pula skeptikalnya!

Tak fasal-fasal Kindle berada juga di tangan saya, sudah hampir sebulan pun. Barang kalau dah di tangan, lagi-lagi yang pernah kita impikan, siapa yang tak seronok. Tak sangka, setakat ini saya pun terlalu asyik membaca menggunakan Kindle. Ke sana sini bawa benda alah ini.

Beli buku macam mana? Kata kena guna banyak duit untuk dapatkan naskhah e-buku. Tak ada masalah, saya dah buat research saya. Sebenarnya di internet ini boleh saja dapatkan buku-buku secara percuma. Kalau filem pun ada pirated version, inikan pula buku yang beberapa kilobyte itu. Di Amazon pun ada naskhah percuma, tetapi pilihan terbatas saja.

Ok, mungkin bunyinya saya tidak menghormati hakcipta penulis. Saya jelas dengan fakta itu. Tapi saya bercadang untuk buat begini (jika mampu): saya akan baca apa pun bahan bacaan yang saya dapatkan dari internet secara percuma, dan jika menarik dan betul-betul bermanfaat saya akan beli naskhah asli. (err, memandangkan saya bukanlah Orang Kaya Baru, mungkin hasrat ini saya lunaskan sikit-sikit)

Saya hendak cuba buat video reviu tentang Kindle dalam bahasa Melayu (sebab di YouTube sudah penuh video dalam bahasa Inggeris) tetapi saya tidak petah berkata-kata di hadapan kamera. Sebenarnya kalau suruh pembaca untuk buat kajian di YouTube sendiri-sendiri pun lebih banyak outputnya. 

Tetapi setakat ini, Kindle dari perspektif saya bagaimana?


Perlu berbalik dahulu kepada cara saya membaca. Saya seorang yang suka membaca lebih daripada satu buku dalam satu-satu masa. Tujuannya untuk mengelakkan saya berasa bosan dengan satu-satu buku. Kebiasaannya ada fiksyen dan non-fiksyen sekaligus. Cuma kalau buku itu sudah cukup baik, saya lebih suka baca yang satu itu dulu sampai habis. Dengan tabiat saya yang begini, apabila ingin berjalan-jalan jauh, saya suka memenuhkan ruang beg (dan memberatkannya) dengan 2 atau 3 buah buku, walaupun saya tahu kemudiannya saya mungkin akan fokus membaca satu daripadanya saja. Dengan Kindle, tabiat saya ini dipermudahkan, malah saya boleh memilih antara 3500 buku (itu kalau saya penuhkan memori alat tersebut. Tak mungkin dan tak perlu rasanya :S)

Saya suka juga feature untuk ubah saiz teks, sangat fleksibel (hanya untuk dokumen selain pdf) kerana mudah untuk membaca, tidak seperti novel-novel Inggeris yang selalunya saiz huruf tidak ubah sebesar semut. Kini dengan fungsi ini, nenek-nenek yang sudah kelabu mata pun mampu membaca, bak kata kawan saya (mana tidaknya, saiz terbesar menjadikan skrin 6 inci itu dipenuhi kurang lebih 10 perkataan saja). Tapi membaca pdf pun bukanlah terlalu sukar, saya suka membaca dalam Kindle kerana lebih senang mata saya menatap skrinnya yang persis kertas sebenar.

Fungsi kamus pun sangat-sangat berguna. Setiap kali ada perkataan (bahasa Inggeris semestinya) yang kita tidak faham, hanya skrol pada awal perkataan tersebut dan petikan maksud akan keluar di atas/bawah skrin bergantung keadaan. Tidak kurang menarik, screensaver yang berubah-ubah setiap kali kita letakkan dalam mod sleep.

Saiznya yang kecil dan nipis serta beratnya yang kurang daripada sebuah paperback membuat saya rasa semua buku yang besar dan berat isinya terasa ringan. (sambil mata bercahaya dengan harapan dapat mula membaca dan menghabiskan pdf-pdf yang bertimbun di dalam laptop)

Setakat ini, itu antara perkara-perkara yang saya suka dan perlu dikongsikan.

Oh ya, sudah dua minggu semenjak caj penuh, dan setakat ini bateri Kindle masih tinggal separuh.


helaianrindu: kredit buat Kamal untuk gambar 2 -  Selamat hari lahir kawan :) maaf sambutan tidak seberapa...semoga diberkati semuanya dan dipermudah jalan ke syurga.

Jun 01, 2011

Musim

Hujung musim bunga. Saya berkira-kira sendirian, sudah lama tidak membaca sepuasnya. Apa agaknya buku yang akan saya pilih dan baca untuk cuti musim panas kali ini? Kuliah dan assignment semua telah usai awal Mei lalu. Kawan-kawan yang tinggal serumah dengan saya masih belum tamat pengajian tahun dua - mereka belajar di universiti lain dan sedang bertungkus-lumus mempersiapkan diri untuk peperiksaan akhir yang akan berakhir awal Jun.

Sementara mereka sibuk menelaah buku pelajaran, saya pula membelek-belek helaian-helaian yang saya rindui. Pastinya mereka cemburu melihat saya duduk-duduk membaca macam tiada kerja pula!

Selama beberapa bulan kebelakangan ini saya memang ada peluang mengakrabi beberapa buah buku. Tetapi setelah sekian lama saya tinggalkan penulisan di laman blog ini, saya terasa begitu kekok untuk berkongsi. Apa yang harus saya tulis? Bagaimana harus saya mula? Lama-kelamaan saya tinggalkan hasrat menulis itu begitu saja, berkubur apalagi saya sudah mula ingat-ingat lupa apa yang telah dibaca dan isi-isi menarik pembacaan tersebut.

Kini sudah hampir masuk musim panas. Suhu sudah meningkat mencecah 20 darjah celsius. Matahari juga sudah memancar dengan sangat terang seawal jam 5 pagi dan terbenam jam 9.30 malam. Masa siang yang panjang ini sememangnya waktu yang sesuai untuk siapa-siapa pun melakukan aktiviti kegemaran masing-masing.

Lebih mengujakan, sempena ulangtahun kelahiran saya 7 Mei lalu, saya dikejutkan dengan sebuah bungkusan sebesar 12 x 9 x 5 inci dari Amazon. Bagaimana tidak terkejut, bungkusan itu diserahkan oleh posmen pada jam 7 pagi (itu waktu tidur kami musim ini, maklumlah waktu subuh sudah tamat jam 4.50 pagi, jadi saya memilih bangun awal dan tidur semula) dan saya juga tidak ingat pernah memesan apa-apa barang dari Amazon sebelum itu, apatah lagi pernah memesan barang yang bersaiz besar sebegitu.

Apabila dibuka, terdapat sebuah kotak berbalut kertas hitam seperti bungkusan hadiah dengan sekeping kad tertera di atasnya: "To Rasydan, I have a riddle for you: What turns a bundle of Harry Potter books thinner than a magical wand? Ensure that you have the answer before opening this. Happy Birthday!"

Misteri sungguh, apa bendanya barang ini, sambil saya meneliti pengirimnya: From us. Siapa us itu? Saya hanya yakin mereka kawan-kawan serumah saya, barangkali. Tanpa menjawab soalan yang diajukan dalam kad, saya terus membuka dek rasa ingin tahu yang melampau. Alangkah terkejutnya saya melihat hadiah tersebut -  sebuah e-reader yang sudah lama saya idamkan sebelum ini -  Amazon Kindle.

Pagi itu, saya gembira, bercampur marah dan serba-salah. Kenapa tidak? Walaupun saya suka, harga Kindle tetap masih mahal, £111. Lebih kurang RM 500 lebih. Tetapi mereka yang terlibat (setelah saya paksa untuk mengaku) dalam 'projek' hadiah ini mengatakan harga itu sudah dikongsi bersama, jadi tiada siapa rasa terbeban. Saya akhirnya merelakan hadiah itu.

Musim panas sudah hampir tiba, dan sedar-sedar saja saya sudah habis membaca sebuah buku dalam e-reader saya, oleh Dan Brown bertajuk Deception Point. Dan setelah itu jumlah buku yang sedang dibaca dalam Kindle buat masa ini masih ada 3-4 buah. Juga sebuah buku (sebenar) setebal 500 mukasurat, hadiah oleh rakan saya dari Belfast--ketika berkunjung ke rumahnya tahun lepas--bertajuk The Map of Love, tertulis di muka awalnya: "Rasydan Fitri, Ilmu itu Cahaya."

Saya terasa ingin berkongsi semula buku-buku yang pernah saya baca sepanjang musim-musim tahun 2011 ini, antaranya The Lost Symbol (Dan Brown), The Five People You Meet in Heaven (Mitch Albom), The Duchess of Bloomsbury Street (Helene Hanff) dan tentunya yang terbaru Deception Point, juga karya Brown. Tetapi mungkin saya batalkan saja yang terdahulu ini. Mungkin akan berkongsi yang lebih baharu?

Sekarang butir-butir benih dandelion sudah tidak kelihatan. Daffodil sudah lama layu. Daisy, ros dan bluebells pula mampir, tanda pertukaran musim sudah tiba. Malam pun sudah semakin pendek, saya pun semakin resah melihatkan bintang seperti tidak kelihatan kerana langit membiru saja di waktu malam.

Masa untuk sarapan. Kebab yang dibeli semalam masih ada.

Saya memandang ke tingkap. Di luar, seekor tupai berlari-lari anak di atas pagar rumah. Saya gegas membuka pintu, mengejar sang tupai, tetapi akhirnya ia berlari menyeberangi jalan dan hilang di pepohonan.

helaianrindu: Terima kasih buat mereka yang memberi hadiah. Apa itu Amazon Kindle? - Rujuk sini dan sini.

Ogos 05, 2010

Deus ex Machina IV



Di sini, aku ketemu
sebaris senandung syurga yang mengalun katarsis
bahawa kerehatan hanya di sana.

Di sini, aku ketemu
sepucuk kalimah, penawar buat sang guru yang hiba.

Dan juga, sebiji benih mula
Walau seberapa lambat pun..
Mohon cambahnya ada.

Mohon...


Julai 18, 2010

Jeda VI: Julai

Buku-buku bulan Julai:

1. Bahlut (Faisal Tehrani)
Mengisahkan tentang seorang remaja orang asli suku Semai yang menjadi seorang atlet trek yang disanjungi warga kota. Sebagai wakil keluarga dan kampung halamannya, Bahlut juga menjadi seorang 'pahlawan' yang berjuang untuk menyelamatkan kampung halamannya. (Saya kurang suka dengan ilustrasi kulitnya..)


2. Kimono Ungu Bersulam Bunga (Rebecca Ilham)
Kumpulan cerpen Rebecca Ilham, seorang penulis muda yang baru menaikkan nama semenjak 2007. Dalam masa kurang tiga tahun sudah berjaya menghasilkan 15 buah cerpen, dan menurut pandangan saya sangat versatil dan menarik. Semuanya berlatarkan luar negara, sesuai dengan tajuk kecilnya - '15 Cerita Gadis Perantau'. Cerpen-cerpen ini merupakan karyanya yang telah tersiar di media perdana.


3. Ingin Jadi Nasrallah (Faisal Tehrani)
Kumpulan puisi Faisal yang pertama. Sangat bersifat ekskluif dan personal, kerana di dalamnya terkandung gambar-gambar yang diambilnya sepanjang kembaranya di luar negara, beserta deskripsi ringkas. Awalnya saya menyangka buku ini berkulit keras dengan dust cover, tetapi rupanya kulit lembut saja. Sedikit kecewa, tetapi tidak mengapa - saya juga tak punya wang banyak.


4. Oh Penuntut: Antologi Puisi Lepasan Tiga Kolej Islam
Mengumpulkan puisi-puisi beberapa tokoh lepasan tiga kolej Islam (Kolej Islam Malaya, Kolej Islam Kelang, Kolej Islam Sultan Alam Shah) salah satunya termasuklah Faisal Tehrani sendiri. Serasa saya ada puisinya yang terkandung dalam Ingin Jadi Nasrallah juga. Buku ini diterbitkan sempena sambutan Jubli Emas Kolej Islam pada tahun 2005. Tahun itu saya di tingkatan empat, dan seingat saya ada dijual buku ini, tetapi mungkin saya kurang wang dan minat untuk membelinya.


5. Mengemudi Bahtera Perubahan Minda (Dr. Asri Zainul Abidin)
Kritikan dan ulasan yang lantang terhadap isu semasa yang ditulisnya bermula 2007 di dalam kolum "Pena Mufti", dalam Utusan Malaysia, dikumpulkan menjadi sebuah buku. Tulisan bekas mufti Perlis ini bukan sahaja berani tetapi membuka minda. Suaranya lantang, tegas, tetapi dalam masa sama puitis. Buku ini diterbitkan atas permintaan ramai dari pembaca.


6. Bicara Buat Pemimpin dan Rakyat (Dr. Asri Zainul Abidin)
Jilid kedua dari himpunan tulisannya di kolum "Pena Mufti" di Utusan Malaysia. Tajuk ini dipilih penerbit kerana isinya banyak menyentuh isu sikap orang politik, para penguasa serta rakyat bawahan, termasuklah sikap golongan yang berlabelkan 'ulama'. Buku ini tambah hangat kerana memuatkan tulisan-tulisannya pra- dan pasca-Pilihan Raya Umum ke-12, yang mengkritik kerajaan, rakyat dan pembangkang.


7. Tunas Cipta (Edisi Julai)
Pertama kali menguliti Tunas Cipta. Majalah khas yang memartabatkan sastera khas buat generasi muda. Cerpen dan puisi yang termuat dalam majalah ini akan diulas secara profesional oleh penulis mapan yang lebih senior (bukan dalam edisi yang sama - karya bulan Julai contohnya akan direviu dalamm edisi berikutnya).



(Kemaskini)
8. Perang Badar (Azrul Azlan Iskandar Mirza)
Buku ini dijual di masjid negeri, sempat pula saya memaksa bakal abang ipar saya membelikan untuk saya buku ini. Berkenaan Perang Badar Al-Kubra, dijelaskan secara lebih terperinci, ditambahkan informasi-informasi sisi yang menjadikan buku ini penuh dengan maklumat (sekali pandang). Tunggu dahulu selepas berhasil membacanya sehingga hujung nanti.

HelaianRindu: Rupanya 'julai' ada maksud lain, baru tahu lepas baca karya terbaru Shahnon Ahmad - Kembara Seorang Hamba. Orang kampung mesti tahu!

Jun 15, 2010

Jeda V: Tiga

Angka tiga.

Sudah berumur 3 tahun blog saya ini. Suatu tempoh yang agak lama. Dan entri pertama adalah pada tiga hari lalu, tiga tahun lalu. Kalau budak kecil umurnya tiga, sudah upaya lakukan macam-macam. Bercakap sudah tentu. Berjalan, berlari dan berkejaran sesama kana-kanak seusianya pun pastinya sudah mampu. Kalau yang lebih pandai, barangkali bibirnya telah fasih menggumam huruf-huruf ABC, alif ba ta, dan mengira beberapa angka.


Entah, saya juga tidak tahu kemampuan seorang anak kecil begitu. Tidak saya pasti bagaimana keadaannya saya dahulu. Anak buah saya yang berusia dua sudah pandai menghafal potongan lagu kanak-kanak yang dinyanyikan. Umur itu pada saya, selari dengan kemampuan. Dan kemampuan yang diberi pada setiap orang adalah berbeza. Bukankah Allah memberi kita kemampuan yang selari dengan kekuatan kita?

Bagaimana pula dengan saya ya? Umur tiga dalam menulis, sudah agak lama. Adakah kemampuan saya dalam menyampaikan dan berkongsi melalui medium ini berhasil dan berkesan? Adakah objektif saya untuk menarik orang ramai untuk membaca berjaya? Adakah umur tiga ini, segala nasihat dan janji yang tertulis dalam laman ini berjaya saya tunaikan, berjaya saya zahirkan dalam perbuatan saya sendiri?

Adakah sepanjang tiga sanah ini, kemampuan saya dimaksimumkan?

Sekadar muhasabah untuk diri. Bukan tiga tahun itu, saya boleh berpuas hati.


Sumber gambar di sini.

Jun 07, 2010

Nuansa in Absentia II

Aku terasa rindu pada seorang senior yang sempat dikenali sekejap benar saja di kolej dahulu. Yuzairi namanya. Entah kenapa absentia itu sedikit hebat kesannya dari biasa, sedangkan kenal dengannya pun terlalu sebentar.

Aku luahkan pada seorang teman.

Entah bagaimana cerita punya cerita, topik yang dibualkan beralih kepada topik haiwan peliharaan. Maklumlah, mungkin rasa kehilangan itu beralih tiba-tiba pada kucingku yang telah hilang sekian lama. Maka aku tanyakan pada temanku, "Mahu tahu cerita itu?"

"Kucing yang dari gemuk jadi anoreksia itu?" Dia berjenaka sebentar. "Ya, yang itulah." Jawabku. Rupanya dia sudah menatap gambar-gambar kucingku sebelum dia hilang.

Aku ceritakan yang kucing itu telah mati, itu telahanku. Mana tidaknya, sebulan dia tidak makan (sebab itu kurus), kemudian tiba-tiba dia menghilang. Lama dan tidak pulang-pulang. Kerenahnya juga berubah sebelum ghaibnya itu. Sedih juga, bukan apa, tapi sudah hampir sepuluh tahun dia bersama keluargaku. Suatu tempoh yang lama bagi seekor kucing. Malah, sangat lama, berbanding kucing-kucing yang pernah kami bela sebelum ini. 

"Sabarlah," tambahnya, "Aku pun pernah juga membela beberapa ekor kucing, ada juga hilang begitu saja. Kucing memang begitu, dia semacam tahu masanya dah sampai. Dan waktu itu dia akan menghilang."

"Mungkin tak mahu tuannya melihatnya sewaktu ajal." Aku mengiyakan. Benar, banyak kisah yang aku telah dengar tentang ini.
  
Kucing aku itu, bukan calang kucing, sangat istimewa. Seekor betina, sebelum ini kami dapat yang jantan-jantan saja. Mungkin itu sudah membezakan perangainya. Selalu aku ingat, apabila tiba waktu solat, kucing kami ini akan duduk bersama, baring di tepi jemaah kami. Seperti ingin bersolat sama pula. Kadang-kadang sampai duduk di atas sejadah terus, bila mahu sujud terpaksa alihkan ke tepi. Dia seperti tahu kami tidak boleh diganggu, jadi sebelum kami bangun, dia akan duduk diam di tepi.


Kalau di bilik ibu bapaku, dia akan masuk dengan berhati-hati kerana dia tahu ibuku kurang suka dia masuk, bimbang kotor bilik itu, terutamanya tikar rotan yang terhampar. Jadi dia sentiasa jalan di bahagian tepi bilik yang tak terkena tikar. Menariknya, bila ibu sedang membaca Al-Quran di atas sejadah, dia datang dan menggesel-gesel pipinya pada Al-Quran atau rehal ibu. Kalau tidak dilayan dia duduk sahaja menunggu ibu bangun. Tahu-tahu saja!

Dengan aku pula? Biasanya aku angkat dia ke atas katil, biar dia tidur di tepi kepalaku. Berkali ibu pesan jangan, takut-takut terkena asma atau kuman kotoran pada badannya. Tapi aku tidak kisah sebab kucing ini boleh kejutkan subuh setiap pagi (hakikatnya dia minta aku bukakan pintu ke luar untuk dia tunaikan hajat).

Dan ayahku paling suka, dia tidak buang air merata-rata seperti jantan-jantan yang kami bela sebelum ini. Selalu, dia akan minta dulu bukakan pintu untuk dia buang di luar. Kalau benar-benar tidak tahan barulah dicarinya kain buruk di lantai dapur!

"Sebelum dia hilang, dia macam ingin lebih kasih sayang, selalu gesel-geselkan dan mendekat pada ahli keluargaku dengan rela. Sebelum itu perlu paksa sikit," ceritaku tambah sedih.

"Terimalah kehilangan itu. Kan itu fitrah. Mudah-mudahan tindakan kita membelanya dikira sebagai amal." temanku mengingatkan. 

Sepuluh tahun. Siapa yang tidak sedih.

"Betul, dah lama anda berdampingan dengan kucing itu, memang patut lebih rasa sedihnya. Bapa kucing!"

Aduh, terlalu tinggi panggilan itu, selayaknya pada sahabat nabi sahaja. Siapalah aku, malah tak sanggup mengambil kucing ke dalam baju dan ke masjid untuk bersolat seperti Abu Hurairah itu! Kami berdua kemudian mengagumi sahabat nabi yang satu itu. 

Lalu dia menceritakan pula, hidup di negara orang ini, bukan saja kucing jarang kita lihat, malah perasaan kasihan pada haiwan itu makin pudar pula. Yang banyak, anjing, tapi kita tak bolehlah pula berkasihan secara fizikal. Mungkin kasihkan melalui hati itu boleh. Pemilik anjing di sini katanya pula langsung tak kasihkan, fikirkan perasaan haiwan peliharaannya, dan mensia-siakan sifat yang paling perlu dicontohi dari anjing iaitu setia. Anjing juga menurut fitrah, ia kan makhluk Allah juga, tambah temanku. Lalu aku teringat kisah benar tentang Hachiko, seekor anjing di Jepun yang sangat setia, menanti tuannya yang telah mati di tempat sama selama sepuluh tahun tanpa jemu. Aku kisahkan padanya. Dia terkagum sejenak.  

"Perlu memandang anjing dengan persepsi baru pula lepas ini," kata temanku itu, "dan tentu sekali lebih kagum pada Penciptanya yang menciptakan setiap makhlukNya begitu istimewa."

Benar, aku menyampuk: "Perlu lihat sisi lain pada setiap perkara. Dan kaitkan dengan Pencipta kita."

Dia menambah pula: "Hujungnya akal, pangkalnya agama." 

Harapnya kita jadi golongan yang kasihkan haiwan, kataku. Dia membalas pula, benar, tapi kasihkan mereka bukanlah kerana fitrah manusia semata-mata. "Tetapi kerana itulah tuntutan yang ditunjukkan oleh contoh teragung, Muhammad SAW," tegur temanku itu padaku.

"Tapi macam mana dari abang Yuzairi itu boleh sampai ke tajuk haiwan pula?" tiba-tiba dia bertanya.

Aku tergelak, benar juga!

Ah, jadi nuansa in absentia nampaknya!

HelaianRindu: In absentia, Yuzairi, Munir Marsidi, dan kucingku yang namanya Manja (walaupun tak pernah panggil dia dengan nama itu, hanya panggil Miau saja.) 

Related Posts with Thumbnails