Memaparkan catatan dengan label nahoko uehashi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label nahoko uehashi. Papar semua catatan

Jun 16, 2010

Melihat ke Belakang: Moribito

Judul: Moribito - Guardian of the Spirit
Penulis: Nahoko Uehashi (terjemahan oleh Cathy Hirano)
Penerbit: Scholastic
Tahun: 2009
Harga: RM36.50
Bil. mukasurat: 288

Buku ini menceritakan mengenai Balsa, seorang pendekar wanita yang mengembara dari kampung halamannya yang bernama Kanbal ke Kosenkyo, ibu negeri Yogo Baru. Balsa, juga seorang pengawal peribadi, bertugas melindungi sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongannya demi menebus kembali lapan nyawa yang terbunuh demi melindungi dirinya pada masa lalu. Kali ini, nyawa yang bakal dilindunginya adalah putera kedua raja (second prince) bernama Chagum.

Melindungi Chagum berbeza dengan tugasnya sebagai pengawal peribadi sebelum ini, kerana Chagum merupakan seorang Moribito--iaitu Penjaga Semangat (Guardian of the Spirit)--yang terpilih untuk menjadi pembawa telur Semangat Air pulang ke tempat asalnya. 

Melalui sejarah penubuhan empayar Yogo Baru dan juga inskripsi lama yang diterjemah oleh Shuga, seorang nujum istana, sekiranya Chagum gagal menyempurnakan tugasnya sebagai Moribito, Yogo Baru akan ditimpa kemarau yang dahsyat. Balsa dan Chagum lantas melarikan diri dari istana, dari ancaman raja, yakni ayah Chagum sendiri (yang menyangka anaknya dirasuk oleh semangat jahat, dan ini mampu merosakkan nama baiknya sebagai raja); juga dari Rarunga, musuh siluman yang merupakan pemangsa kepada telur Semangat Air tersebut. Dalam perjalanannya, mereka mengetahui lebih banyak mengenai semangat tersebut, juga sejarah sebenar empayar Yogo Baru, yang disembunyikan dari pengetahuan rakyat.

Premis novel ini merujuk kepada sejarah penubuhan negara Yogo Baru itu sendiri. Naskhah ini menceritakan bagaimana sejarah memainkan peranan penting dalam mengubah keadaan dan situasi yang berlaku pada masa kini. Masyarakat umum didedahkan kepada sejarah palsu mengenai semangat air yang muncul dua abad lalu, ketika penubuhan empayar Yogo Baru itu. 

Apabila diselongkar arkib prasasti di istana para nujum mengenai peristiwa tersebut, didapati sejarah yang sebenarnya adalah sangat berbeza, malah tidak diceritakan demi menutup kelemahan raja pada waktu itu. Ketika ini mereka menyedari yang sejarah sebenar adalah kunci kepada menyelamatkan keadaan Chagum, juga untuk menyelamatkan keadaan negara pada masa akan datang.

Sejarah yang Disembunyikan

Saya masih ingat, kata-kata mutiara seseorang mengenai sejarah: "Sejarah ibarat cermin sisi sebuah kereta. Sekiranya kita tidak memandang apa yang ada di belakang terlebih dahulu, maka kita tidak boleh melangkah maju ke depan."

Kata-kata ini, bukan saja sesuai untuk novel fantasi ini, tetapi juga dalam hidup kita sehari-harian. Khususnya, bagi seorang Muslim, yang sepatutnya mendalami sejarah umat, demi menyelamatkan keparahan yang berlaku pasca isu September 11. Ketika ini Islam sudah disinonimkan dengan terorisme, dan masyarakat umum telah dilindungkan dari apa yang sebenarnya ada pada Islam--yakni sangat berbeza dengan apa yang dilaungkan musuh-musuh Islam. Semata-mata dilakukan demi menutup kelemahan mereka, demi menjadikan diri berkuasa tinggi dari Islam, seperti maharaja Yogo Baru itulah. Semata-mata juga kerana mereka takut Islam akan menjadi orde baru yang bakal menenggelamkan mereka dari tampuk kuasa, seperti yang pernah berlaku di zaman empayar Abbasiyyah dahulu.

Pelbagai lagi contoh kebenaran telah ditutup oleh pihak yang kononnya punya kuasa ketika zaman itu, untuk kepentingan diri mereka sendiri. Lihat sendiri sejarah sains dan teknologi yang didominasi oleh Muslim saat Eropah berada dalam zaman Gelap dahulu. Segala ilmu sains yang didakwa bermula dari Barat, sebenarnya dirujuki dari kajian dan penemuan saintis Islam lama sebelum itu. 

Lebih lama sebelum itu lagi, fakta sejarah mengenai Perang Jamal dan Siffin, adalah antara sejarah yang menjadi mangsa untuk diputarbelitkan, demi kepentingan puak tertentu. Fitnah yang melanda para sahabat, iaitu Saidina Ali, Aisyah, dan Muawiyah sangat mendalam kesannya dalam masyarakat kita sendiri. Ramai yang didedahkan, dan percaya kepada versi palsu itu,  tanpa mengkaji apa yang berlaku sebenarnya. Buktinya?  Agak jarang sekali kita dengari 'Muawiyah' dipilih sebagai nama anak-anak, sejak dahulu lagi. Barangkali impaknya adalah kerana kisah palsu inilah. Bukti mungkin cuma telahan saja, tetapi jujur, saya secara peribadinya dulu, pernah mempercayai perkara yang sama, tapi mujur ada pencerahan yang saya temui. Bermakna sejarah palsu ini telah banyak dipergunakan sepanjang hidup kita ini.

Melihat ke Belakang

Ketika inilah, kita wajib menelaahi semula sejarah hakiki mengenai Islam, mengenai umat, turun naiknya kita sejak kedatangan Nabi Muhammad, juga sebab-sebab yang menjadikan kita lemah selepas jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniyyah. Kerana Islam lemah kini bukan sekadar disamakan dengan keganasan, tetapi salahnya banyak dari sikap kita sendiri, perlakuan kita sendiri.

Lihat sendiri bagaimana musuh-musuh Islam belajar menumpaskan semangat jihad dan melemahkan kita dengan melihat kepada sejarah. Wasiat Louis IX adalah bukti. Beliau berkata:

Tiada jalan untuk mengalahkan dan menguasai orang-orang Islam melalui jalan perang. Agama mereka mendorong mereka untuk melawan, berjihad, mengorbankan jiwa …. Kita mesti lakukan jalan lain; iaitu mengubah pemikiran Islam dan menjinakkan orang-orang Islam melalui serangan pemikiran. Cendekiawan Eropah harus mengkaji tamadun Islam dan mencipta senjata untuk merosakkan pemikiran orang-orang Islam.

Kalau mereka pun belajar dari sejarah, kita pun sepatutnya melakukan perkara yang sama.

Berbalik kepada Moribito, saya tertarik dengan hubungan antara Chagum dan Balsa yang cukup aneh. Bagaimana wanita ini boleh terus melindungi putera raja itu sedangkan dia tidak ada obligasi atau alasan kukuh untuk melindungi budak itu. Di sinilah terletaknya kunci perhubungan ini: masa silam Balsa yang seakan-akan sama, ketika dia sendiri diletakkan di bawah jagaan rakan baik ayahnya, Jiguro. 

Setelah bertahun-tahun hidup dalam pelarian, Balsa tidak pernah faham kenapa Jiguro sanggup melepaskan hidupnya yang senang lenang sebelum itu, demi melindungi dirinya dari mush ayahnya, selama sepuluh tahun. Namun kasih sayang mengatasi alasan; Jiguro telah sekian lama menganggap Balsa seperti anaknya sendiri.

Kebiasaannya cerita fantasi dan pengembaraan bermula sedikit perlahan. Pembaca biasanya akan diperkenalkan dan dibiasakan dengan jelas suasana tempat dan peribadi watak utama dahulu. Tetapi terkejut saya membaca Moribito, kerana pada mukasurat kedua aksi sudah bermula. Balsa dan Chagum, dua watak yang asing disatukan dengan sebegitu pantas, yang tinggal adalah perkembangan watak-watak tersebut dan jalan ceritanya. 

Pembaca yang berminat dengan latarbelakang zaman pertengahan di Jepun pula pasti menyukai novel ini kerana di dalamnya kita digambarkan dengan pemakaian dan cara pertarungan yang hampir sama. Cuma, penulis menggabungkan unsur Jepun itu dengan dunia imaginasinya sendiri, dengan bahasa, budaya dan keadaan geografi ciptaan sendiri. 

Untuk pengetahuan anda, novel ini juga telah diadaptasi menjadi sebuah animasi. Penulis juga bertanggungjawab dalam penghasilan novel Erin, sebuah novel yang menceritakan mengenai hubungan luarbiasa antara manusia dan haiwan, juga telah disirikan menjadi animasi.

HelaianRindu: Hei, jangan cakap lebih! Buktikan!

September 03, 2009

Erin, The Beast Player (Kemono no Souja Erin/ 獣の奏者 エリン)

Dua tahun lalu, saya menonton sebuah animasi Jepun yang bertajuk Seirei no Moribito (Guardian of the Sacred Spirit) karya Nahoko Uehashi. Awalnya saya tidaklah begitu berminat, tetapi sedar-sedar saya dah habis menonton kesemua 26 episod dan menagih lebih episod lagi. Tandanya, saya sudah jatuh cinta dengan karya beliau.

Awal tahun ini, lebih kurang dalam Mac-April, saya terbaca berita bahawa sebuah lagi karya Nahoko Uehashi akan dijadikan animasi. Karya itu bertajuk Kemono no Souja (The Beast Player) yang ketika itu berjumlah dua volum. Ah ya, terlupa pula, kedua-dua Moribito dan Kemono no Souja adalah novel karangannya, bukan manga. Moribito adalah novel dua jilid manakala Kemono no Souja adalah novel 4 jilid, dan 2 jilid selebihnya baru saja diterbitkan 10 Ogos lalu di Jepun. Berbalik semula pada berita yang saya jumpa itu, saya terus meletakkan siri ini sebagai salah satu cerita yang wajib saya tonton.

Mengadaptasi 2 volum awal, Kemono no Souja Erin merangkumkan kandungannya ke dalam 50 episod. Pada mulanya saya agak teragak-agak juga untuk menonton, disebabkan gambar promonya yang kelihatan keanak-anakan. Impresi awal mengatakan ini kisah untuk kanak-kanak. Tetapi, mengenangkan Moribito, saya meyakinkan diri yang siri ini juga matang dan tentu lebih baik lagi. Animasi 50 episod, tak mungkin mereka akan animasikan sesuatu yang membosankan!

Erin merupakan seorang kanak-kanak berumur 10 tahun, yang tinggal dengan ibunya, Soyon, di Kampung Aka. Ibunya merupakan seorang pelatih dan doktor Touda--sejenis haiwan tunggangan seperti biawak besar yang bertanduk dua--yang digunakan oleh tentera Raja dalam peperangan. Mereka berdua berasal dari Kampung Kiri yang merupakan penduduk yang disisihkan kerana melakukan satu kesalahan besar lama dulu. Sebagai penduduk asal kampung itu mereka dilayan dengan layanan buruk oleh setiap orang. Namun mereka diberi pengecualian untuk tinggal di kampung itu kerana kepakaran Soyon sebagai pelatih Touda.

Namun, tragedi maut yang menimpa seekor Touda pada suatu hari dibebankan kesalahannya pada Soyon sepenuhnya tanpa usul periksa. Soyon terpaksa menjalani hukuman, dan Erin pula harus keluar dari kampung itu demi keselamatannya. Dalam masa yang sama, kerajaan yang diperintah Raja sedang bergolak. Erin, dalam pengembaraannya, belajar banyak perkara mengenai haiwan, dan satu hari di dalam hutan, dia terkagum akan seekor binatang yang sangat megah yang menjadi lambang Raja pada waktu itu: Raja Haiwan (Beast Lord). Tidak disangkakan oleh Erin yang pertemuannya dengan Raja Haiwan itu akan menjerumus dirinya ke dalam pergolakan politik kerajaan.

Premis novel Nahoko Uehashi sangat menarik dan begitu epik sekali sifatnya. Walaupun baru 31 episod saya tonton, tetapi setiap episod begitu menarik sehinggakan saya selalu 'terserap' ke dalam dunia Erin. Watak Erin sendiri terlalu memikat. Dia budak yang bijak, cepat belajar dan mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Kerana sifat ingin tahunya itu, kadangkala dia terlupa yang tindakannya boleh membawa kepada bahaya. Dia juga sangat sayang akan ibunya dan hubungan ibu-anak yang terpancar dalam animasi ini sentiasa menyentuh hati.

Erin ketika memujuk anak Raja Haiwan. Alamak, comelnya. Geram. Setiap episod.

Uehashi cekap membina perhubungan antara watak, baik manusia ataupun haiwan. Premis Kemono no Souja Erin berkisar mengenai perhubungan manusia dengan haiwan. Seperti Touda, Raja Haiwan boleh ditundukkan oleh manusia dengan meniup sebiji wisel khas dengan frekuensi tertentu yang tidak didengari manusia. Namun, kerana kasihnya Erin terhadap haiwan, dia enggan menggunakan cara yang sama. Dia bertindak sebagai seorang ibu kepada seekor anak Raja Haiwan. Walaupun cara itu bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan, dia tetap tegar dengan metodenya. Saya selalu ikut terharu menyaksikan jalinan luarbiasa Erin dengan Raja Haiwan ini, ada masa hampir-hampir saja saya menitiskan airmata. Tak dinafikan, barangkali kerana saya juga sukakan haiwan. (Lagipun, Raja Haiwan seekor bintang yang sangat comel sebenarnya, walaupun berbahaya apabila dia mengganas.)

Erin 18 tahun dan beberapa watak yang terlibat

Perhubungan Erin dengan ibunya, dengan ayah angkatnya Jone (juga watak kegemaran saya), dan dengan rakan-rakannya yang terbina juga mengikat saya bersama. Rona emosi yang dilontar oleh tragedi mahupun kegembiraan juga membawa rona rasa yang sama pada saya. Contohnya, ketika bayi Raja Haiwan liar yang ditemuinya di hutan itu sedang dalam ancaman oleh Touda liar, saya ikut cemas seperti Erin. Kehadiran ibu Raja Haiwan itu secara dramatik membuat saya bertepuk kegembiraan, benar! "Bayi itu selamat!" bisik saya dalam hati. Tersenyum-seyum saja sehingga hujung episod itu kerana terkenangkan perilaku saya ketika itu. Sejak itu saya juga jatuh cinta pada Raja Haiwan macam Erin.

Antara abstrak dalam Kemono no Souja

Digaul dengan suasana kampung yang damai, desa dan bukit yang meluas indah, saya tenang meneliti setiap episod. Muzik yang melatari keseluruhan animasi ini juga mendamaikan. Lagu nyanyian cossami contohnya, yang seperti keanak-anakan tetapi berlatarkan muzik yang lembut dan perlahan antara yang menjadi kegemaran saya sepanjang siri ini ditayangkan. Sangat sesuai dengan Erin dan sifat latarnya. Lain daripada itu saya gemar sekali dengan art syle yang digunakan, paling suka pada motif seakan-akan abstrak. Seni cerita dan juga seni animasi dan muzik, kedua-duanya 'memaksa' saya bercinta dengan Kemono no Souja.

Buku peraturan yang sepatutnya dipatuhi semua pelatih Raja Haiwan

Siri ini tidak tertumpu pada Erin yang berumur 10 tahun itu saja. Siri ini diteruskan dengan Erin 14 tahun, dan terbaru dalam episod 31 Erin sudahpun menjadi gadis matang berumur 18 tahun. Masih belum nampak kaitan Erin dalam pergolakan negara, siri ini masih panjang lagi. Malah 50 episod ini adalah untuk 2 volum sahaja. Masih ada 2 jilid lagi yang baru terbit perlu dianimasikan. Entah bila agaknya dapat saya saksikan. Tak apa, saya akan cuba jadi peminat yang sangat setia.

novel bahasa Jepun volum 1 Kemono no Souja

Oh ya, Moribito telahpun diterjemah dalam bahasa Inggeris oleh Scholastic. Saya tak sabar menunggu Kemono no Souja diterjemahkan juga. Saya mesti menjadikan Karya Uehashi sebagai koleksi tersayang. Biarpun sudah tahu jalan ceritanya, saya ingin membacanya dalam bentuk novel pula. Tentu akan memberi perasaan berbeza, mana tahu lebih baik lagi? (Tapi, menonton animasinya takkan terasa macam menonton animasi, terasa macam drama, rasa macam memang membaca novelnya. Sungguh.)

Terlalu banyak yang ingin dikisahkan mengenai Erin dan siri ini. Mungkin hanya saya yang suka, tapi jika anda ingin menontonnya anda boleh muat turun episod-episod terbaru di sini dan nilailah sendiri. (dalam bahasa Jepun dengan sarikata Bahasa Inggeris) Dan jika berminat siri Seirei no Moribito di sini.

Untuk mengetahui ulasan lebih baik di sini, dan untuk ulasan mengikut episod di sini dan sini.

Related Posts with Thumbnails