Disember 28, 2008

Imbasan: Ulasan 2008

Awal tahun 2008 merupakan masa yang paling aktif bagi saya dalam membeli buku. Terutamanya dengan kehadiran Pesta Buku pada bulan April lalu. Dulu, saya tak berpeluang pergi secara bebas ke pesta buku disebabkan faktor jarak dan masa. Tapi, disebabkan sejak Julai lepas saya tinggal di Shah Alam, maka lebih senang untuk saya ke PWTC dan kawasan sekitar Lembah Klang yang lain. Tapi, selepas saya menyedari saya terlebih guna duit biasiswa, maka bermula semesta ketiga, Julai lepas, saya mula berhenti dari membeli buku dengan aktif macam dulu. Kalau saya ke kedai buku, saya akan belek buku 4-5 kali sebelum berfikir patut atau tak membelinya. Dulu, kalau masuk ke kedai buku, mulalah mata jadi tak tentu pasal, hidung mula membau buku (teruk kan) lepas tu berlegar-legar tak tentu hala, cari buku itu ini, keluar kedai habis fulus. Lepas tu, buku tu simpan buat pekasam, entah bila nak baca. Tapi sekarang, saya ke kedai buku, saya lebih meneliti tajuk-tajuk terbaru dan juga survey harga terkini buku yang saya letak dalam wish list saya. Kalau harganya murah atau ada promosi yang bagus, saya akan cenderung membeli, tapi kalau tak ada yang betul-betul saya akan baca, dan harga pulak menyesakkan dompet, saya KIV aje.

Berikut senarai buku yang telah saya ulas tahun ini. Ada beberapa lagi buku yang saya baca tapi tak sempat diulas.
  1. Manikam Kalbu - Faisal Tehrani
  2. The Count of Monte Cristo - Alexandre Dumas
  3. Bridge to Terabithia - Katherine Paterson
  4. Justeru Impian Di Jaring - Zaid Akhtar
  5. Ungu Karmila - Ramlee Awang Murshid
  6. The Bad Beginning: A Series of Unfortunate Events #1 - Lemony Snicket
  7. The Language Report - Susie Dent
  8. The Kite Runner - Khaled Hosseini
  9. Signature for Success - Arlyn Imberman
  10. The Spiderwick Chronicles - Tony DiTerlizzi & Holly Black
  11. The Witch of Portobello - Paulo Coelho
  12. Karbala - Faisal Tehrani
  13. Battle of the Labyrinth: Percy Jackson & the Olympians #4 - Rick Riordan
  14. Eh! Wat Yu Talking? - Syed Ali Tawfik Al-Attas
  15. Natasya - Abu Hassan Morad
  16. Di Bawah Bayangan Piramid -Hassan Ali
  17. Eragon - Christopher Paolini
  18. Detektif Indigo: Kembali - Faisal Tehrani
  19. Eldest - Christopher Paolini
  20. Twilight - Stephenie Meyer
  21. The Prisoner of Zenda -Anthony Hope
  22. Hijab Sang Pencinta - Ramlee Awang Murshid
  23. Sangeetha - Azizi Hj Abdullah
  24. New Moon - Stephenie Meyer
  25. Eclipse - Stephenie Meyer
  26. A Thousand Splendid Suns - Khaled Hosseini
  27. A Bouquet of Roses by Teachers
  28. Pelangi, Kami Ingin ke Sana - Pemenang-pemenang hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005 Kategori Cerpen Remaja
  29. Sekalung Budi Seuntai Bahasa
  30. aA+bB - Hlovate
*sebuah ulasan filem: The Girl Who Leapt Through Time.

Antara bacaan yang saya masih belum sempat mengulas, dan paling signifikan tahun ini ialah Karya Nan Indah oleh Faisal Tehrani. Saya juga sudah mengkhatamnya 2 kali tapi nampaknya saya tak berpeluang nak berkongsi di sini. 3 volum Twilight Saga oleh Stephenie Meyer sempat saya ulas tapi volum akhir yang menarik tak tertulis pulak. Juga tahun 2008 menyaksikan saya mula membaca buku-buku bergenre berbeza, dan mula cuba membaca buku-buku bukan fiksyen lebih banyak. Dulu saya lebih suka genre fantasi semata, agak susah untuk baca sampai habis novel lain.

Insya Allah 2009/1430H saya bakal membaca buku bukan fiksyen lebih banyak. Dan juga buku Islami juga saya ingin telaah dengan lebih tekun. Tetapi saya kena beringat sebenarnya, sebab final exam A-level saya adalah pada tahun depan, iaitu dalam bulan Mei-Jun. Ada kemungkinan saya tidak ke Pesta Buku tahun depan? Entahlah. Ada rezeki, saya pergi, kalau tak ada, saya redha aje.

Selamat Tahun Baru!

Disember 25, 2008

aA+bB


Judul: aA+bB
Penulis: Hlovate
Tahun: 2008
Penerbit: Jemari Seni Publishing
Harga: RM20.00
Bil. mukasurat: 495


Adik saya yang beli novel ini. Tapi sebelum ini saya pernah nampak di kedai. Dan pernah juga baca komen orang tentang karya penulis ini. Adik saya kata, di sekolah ramai orang membaca karya penulis. Pinjam di perpustakaan, bersilih ganti orang yang meminjam. Sampai koyak rabak dah, tambah dia lagi. Sampai macam tu sekali sambutannya! Jadi saya pun dengan rasa ingin tahu, membelek dan akhirnya membaca juga buku ini sampai habis.

Mulanya, masa pertama kali tengok tajuk buku ni saya sendiri tak dapat agak genre apa ceritanya. Langsung terhenti selera bila tengok nama pena penulis 'Hlovate'. Masa tu, saya rasa, ya Allah tak komersialnya nama ni (Maaf). Tapi lama-kelamaan saya boleh terima, dan dalam novel ini saya dapat tahu kenapa Hlovate diguna sebagai nama. Bila mula membaca sinopsis baru saya tahu ini novel cinta sebenarnya. Saya, sebagai 'bukan penggemar' (saya tak benci) novel cinta, ingatkan nak drop saja buku ni dari reading list saya, tapi disebabkan rasa ingin tahu apa yang hebatnya tentang buku ni, saya teruskan membaca. Dan, tak sangka pula saya lekat sampai ke akhir! Rasa-rasa kenapa ya?

Buku ini menarik bagi saya kerana ceritanya yang menghiburkan. Addin Shah, gadis yang baru tamat belajar di Edinburgh dikahwinkan oleh ibu bapanya dengan anak kenalan mereka, Benz Alif, yang juga sebenarnya musuh ketat Addin ketika belajar di Kolej sewaktu SPM dulu. Mereka tak pernah sekepala, malah Benz selalu buat masalah disiplin yang juga mencabar Addin sebagai Head Girl di sekolah waktu dulu. Kahwin paksa dengan musuh ketat? Memang satu masalah besar! Tambah sakit hati Addin ialah peristiwa ketika Benz pernah menyakitkan hati Addin ketika di Jusco suatu masa dulu, dengan mengatakan dia 'perempuan murahan walaupun nampak saja pada luaran dia memakai tudung', dan ini mencalar maruah Addin pada masa itu, apatah lagi semua mata memandang, setiap telinga mendengar. Cabarannya di sini, Addin terpaksa berpura-pura menerima Benz di hadapan ahli keluarga, berlakon sebagai seorang isteri, sedang hakikatnya Benz dan Addin tidur di bilik berasingan, tidak pernah bertegur sapa walau hidup satu bumbung, sehinggakan Addin sanggup pakai tudung di dalam rumah, biar Benz dah menjadi suaminya yang halal. Apa yang mencuit hati saya ialah babak-babak apabila Benz cuba mencuri hati Addin untuk meruntuhkan keegoan dalam diri isterinya tersebut, yang sekian lama berdendam dengannya. Kedatangan adik Benz yang tinggal di rumah mereka selepas SPM membuat Addin lagi haru biru. Terpaksa berlakon mesra dengan Benz depan adik iparnya, dan peluang mesra olok-olok ini diambil oleh Benz untuk mengambil hati Addin yang sebenarnya memang telah dicintainya lama dulu. Chik, pembantu rumah mereka, melihat perubahan-perubahan yang berlaku, dari tak bercakap antara satu sama lain, sehinggalah tiba-tiba jadi macam kawan baik, hanya ketawa. Saya juga ikut ketawa sendiri.

Twist dalam aA+bB ialah dengan kemunculan watak Aie, yang dulunya menolong Addin (ketika ini masih belajar di Edinburgh) yang sesat ketika Addin bercuti di Belanda. Pada mulanya saya ingat Aie adalah watak yang bakal menjadikan cerita ini cerita cinta segi tiga yang klise tapi nampaknya bukan. Ada signifikasi yang lebih besar pada watak misteri Aie yang hanya muncul dalam chatroom. Kemunculan Aie membawa pergaduhan dan salahfaham dilalui oleh pasangan ini, dan akhirnya, Addin sedar dia sebenarnya menyayangi Benz. Siapa Aie? Baca sendiri.

Pada mulanya saya fikir kemuncak cerita hanya pada pergaduhan itu. Tapi setelah mereka berbaik dan mula bercinta saya pasti ada satu lagi halangan yang bakal menanti, terutama bila melihat ada hampir 100 muka lebih lagi, dan masalah itu pastinya: keguguran kandungan. Jangkaan saya betul. Sebagai suami isteri yang tak pernah bersentuhan mesra, apa lagi cabaran yang boleh meruntuhkan perasaan perempuan tegar seperti Addin? Tapi, saya tidak katakan itu sesuatu yang buruk. Cuma klise, itu saja.

Yang saya kurang suka, ialah gaya bahasa yang diguna penulis, kadang-kadang terlalu pasar. Saya tak boleh kata itu bahasa santai, sebab tak semua orang menggunakan bahasa seperti dalam novel ini. Lebih sesuai dikatakan, bahasa yang digunakan dalam aA+bB adalah bahasa yang digunakan oleh remaja di sesetengah tempat, dan penulis sendiri mungkin menggunakannya sedikit sebanyak. Paling tidak senang apabila membaca perkataan yang memang tak wujud, antaranya asbestosis, spastikus, dan sebagainya--antara kata-kata yang dilontarkan Addin pada Benz kalau suaminya tu menyakatnya. Terasa seperti membaca majalah Ujang atau Apo? pula. Mungkin, bagi sesetengah pembaca, ini suatu keunikan dan menjadikan novel ini mudah dibaca. Ya, bergantung pada anda.

Namun secara keseluruhannya saya puas membaca kisah ini. Lebih-lebih lagi, selepas keguguran kandungan pertama Addin, saya mendapat pengajaran yang baik, kerana ketika itu diselitkan pelbagai motivasi, tazkirah serta ayat-ayat Al-Quran yang mengajar erti hikmah dalam ujian, serta ganjaran bagi orang bersabar. Perubahan berlaku pada suami isteri ini setelah ditimpa ujian berat itu. Saya puas hati juga, sebab awal dulu, watak-watak dalam cerita ini sedikit, emm, tak keterlaluan kalau saya kata sedikit hedonis, ya mungkin kerana itu zaman remaja. Tapi setelah datangnya hidayah, mereka berubah. Hlovate juga menulis sedikit catatan di akhir novel ini mengenai pengajaran novel ini, serta makna di sebalik tajuk yang diberi. Bahawa ini cerita perubahan kematangan manusia, yang belajar melalui perubahan zaman dan usia dan suasana. Ringkasnya, saya memang puashati membacanya. Saya beri 3.5 dari 5 bintang.

Mungkin lepas ini saya akan cuba membaca sedikit-sedikit novel cinta. Supaya tidaklah terlalu bias. Tapi perlu sedikit choosy supaya saya tidak kecewa dan benci. Dan, karya Hlovate mungkin jadi antara sasaran saya. 5 Tahun 5 Bulan? Schubert's Serenade? Hmm, tunggu dan lihat.

Disember 13, 2008

Best Reads of 2008

Hendak membaca buku bahasa Inggeris yang baik, tapi tak tahu memilih yang mana? Eric Forbes sediakan senarai bacaan terbaik 2008 untuk bahasa Inggeris. Gambar-gambar di atas adalah antara buku yang tersenarai. Senarai penuh klik di sini.

*Picture is also (cropped) from Eric Forbes' blog. Credits.

Disember 08, 2008

Sekalung Budi, Seuntai Bahasa


Judul: Sekalung Budi, Seuntai Bahasa
Penulis: -
Tahun: 2002 (cetakan kelima)
Penerbit: DBP
Harga:Tidak dinyatakan

Sebut saja majlis apa pun, biar ucapan pembukaan, selitan, mahupun ucapan penutup, pasti ada yang akan menggunakan ungkapan-ungkapan serta pantun. Sama ada rekaan sendiri ataupun adaptasi dari pantun tradisi, pantun masih satu medium menyampaikan mesej secara halus dan indah. Buku yang saya ulas kali ini merupakan koleksi ataupun himpunan pantun-pantun tradisonal yang merupakan satu daripada usaha DBP, bertujuan memelihara warisan budaya kita agar tak luput dek zaman.

Hendak berpantun, tapi tak tahu nak guna pantun mana? Mudah kalau menggunakan buku ini. Ada 6 bahagian semuanya, terbahagi mengikut tema ataupun kesesuaian majlis. Bahagian pertama, Awal Bismillah Pembuka Bicara, semestinya khusus untuk pemula dan penutup majlis rasmi, juga sanjungan dan pujian pada tetamu serta yang seumpamanya seperti pantun selamat datang. Bahagian dua, Budi Baik Dikenang Jua, memfokuskan pada penghargaan jasa dan memberi nasihat, di samping menyanjung kemuliaan budi bahasa. Ya, bahagian ketiga saya pasti ramai yang suka--Pinang Mengadap Sirih Menyembah--bahagian yang mengandungi pelbagai pantun pengantara dalam adat merisik, meminang, pernikahan atau pembukaan upacara berkaitan. Kalau nak 'berkumbang' atau 'menyunting bunga', hah, di sinilah tempatnya nak cari. Terus ke bahagian empat (Baik-baik Memilih Intan), adalah koleksi nasihat, amaran, dan teladan; manakala Hilang di Mata di Hati Jangan pula merakamkan rasa rindu dendam, kasih sayang, harapan, kekecewaan, suka duka serta emosi-emosi lain; dan bahagian akhir Dalam Pantun Ada Bicara mengandungi koleksi pantun yang mempunyai mesej selain yang dinyatakan dalam bahagian-bahagian sebelumnya.

Pantun, sememangnya memberi warna pada ucapan, dan kalau anda membaca pendahuluan Sekalung Budi Seuntai Bahasa yang disediakan di awal buku ini, anda tentu faham tujuan menggunakan pantun, yang bukan sekadar menyatakan perasaan, malah boleh mencakupi perbincangan kemasyarakatan, sosial, politik, dan sekarang sudah ada yang membawa sains ke dalam pantun kita. Pantun bukan saja mencantikkan bicara, malah menjadikan suasana lebih meriah dan ceria.

Bercakap tentang meriah, terkenang lagi ketika saya tingkatan 4 dan 5 di Kolej Islam Sultan Alam Shah, saya punya seorang cikgu bernama Cikgu Zamri, atau lebih glamor dipanggil Sir Zamri (kerana dia mengajar Bahasa Inggeris). Selalunya, majlis rasmi yang melibatkan tetamu luar, dialah yang jadi tukang acara. Dan selalunya jugalah, dia pasti menceriakan audiens dengan pantun-pantun yang diselitkan sepanjang dia mengacarakan majlis-majlis ini. Kalau tak silap saya, memang itu pantun rekaan dia sendiri.

Biarpun kulit luar nampak kurang menarik, jangan dipandang rendah isinya. Saya lebih suka isinya bukan sebab pantunnya saja, tapi disebabkan bingkai pada setiap helaian mukasurat yang cantik--motif tumbuhan yang kena dengan isi buku ini. Cuma drawbacknya, motif yang sama dilihat dari awal sampai akhir. Pada awal mungkin menarik, tetapi di akhirnya jadi agak bosan. Mungkin perlu kepelbagaian.

Secara umumnya saya tidak dapat ulas isi buku ini, kerana pantun-pantun yang dimuatkan adalah pantun tradisi. Tapi ada juga pantun yang saya dapati berulang, maksud saya hanya pembayang diubah, tetapi maksud bagi pantun tersebut adalah sama. Mungkin pantun dengan maksud sama tidak perlu dimuatkan lagi sebab nanti hanya makan ruang. Contohnya dua pantun ini:

Hari ini menanam jagung,
Hari esok menanam jelai;
Hari ini kita berkampung,
Hari esok kita bercerai. (m/s 10, bhg. 1)

Malam ini merendang jagung,
Malam esok merendang serai;
Malam ini kita berkampung,
Malam esok kita bercerai. (m/s 13, bhg. 1)

Apapun, itu bukanlah kelemahan besar, kerana pembayang pantun itu memang penting untuk mencantikkan pantun. Siapa yang suka dengan pantun Melayu tradisi, maka tak dapat tidak, buku ini mesti jadi koleksi anda. Yang nak belajar, memang lagi sesuailah.

Selamat berpantun!

*Fathiyyah, tak nak beli buku ni?

Disember 06, 2008

Pelangi, Kami Ingin ke Sana


Judul: Pelangi, Kami Ingin ke Sana
Penulis: Pemenang-pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005 (Kategori Cerpen Remaja)
Tahun: 2006
Penerbit: Utusan Publications & Distributions
Harga: RM12.00


Dalam banyak-banyak buku yang saya telah baca, inilah antara buku dalam koleksi saya yang saya baca berulang kali. Entah berapa kali pun tak tahu. Kalau tak dibaca pun sekurang-kurangnya saya belek. Sebabnya, kumpulan cerpen dalam buku ini terlalu memikat!

Lihat saja pemenang tempat pertama. Cerpen tulisan Rahmat Purnama Mulya yang bertajuk Dia Berikan Tangannya ini punya mesej amat mendalam. Mengisahkan seorang gadis bukan Muslim berdarah Itali-Inggeris-Sepanyol yang punya pegangan dan dogma yang kuat tentang perikemanusiaan. Bagaimana dia membantah keras penindasan Amerika Syarikat dan serangannya ke atas Iraq selepas tragedi 11 September. Bagaimana dia, seorang gadis yang berbangsa Inggeris seperti mereka di Amerika, sanggup menjadi perisai manusia di Iraq untuk menghentikan peperangan pada tahun 2002 bersama orang sebangsanya yang lebih tua berpuluh tahun daripadanya, sedang umat Islam lain yang lebih kuat dan layak tidak sanggup menunjukkan apa bentuk penentangan langsung. Cerpen yang memenangi hadiah pertama ini sudah cukup mengingatkan supaya kita sedar siapa diri kita. Saya ikut tersentuh bagaimana narrator cerita ini berjaya menimbulkan ekspresi yang begitu emosional dan menyentuh hati, apatah lagi ketika Angelina Eliseo ditemuinya beberapa tahun kemudian dengan sebuah hidayah, permulaan baru. Dilatari kota England, penulis berjaya memberi gambaran dan suasana yang sangat bersesuaian dengan watak-watak. Selain itu saya tertarik dengan idea 'mencipta istilah' yang terdapat dalam cerpen ini--iaitu bagaimana Amerika Syarikat menghalalkan cara mereka untuk menjadi 'mafia dunia' dan 'samseng global' dengan mencipta istilah terorisme, mencipta Al-Qaeda, menggilap watak Osama, serta istilah collateral damage. Benarlah manusia mewajarkan perlakuan dengan cara ini, berdasarkan kata-kata Voltaire, seorang ahli Falsafah Perancis.

Juga, cerpen yang menjuduli antologi ini cukup buat hati saya sayu. Berlatarkan aftermath tsunami pada tahun 2004, watak antagonis Defi yang terselamat dari bencana alam itu berusaha keras untuk membangunkan kembali masyarakatnya. Kecekalan serta keazaman Defi yang tinggi untuk mengajar anak-anak serta remaja yang terselamat dengan ilmu tulis baca wajar dijadikan contoh. Penggunaan diksi yang sesuai dengan suasana aftermath itu begitu mencengkam jiwa, apatah lagi bila muncul watak seorang kanak-kanak perempuan bernama Marlina yang masih belum kenal erti penderitaan, menjadi motivasi untuk Defi lebih cekal membina masa depan orang kampungnya dengan penubuhan Pondok Ilmu, bersama-sama dua lagi rakannya. Saya sangat suka dengan imej pelangi yang didatangkan di akhir cerita--bagai satu pengharapan baru pada Defi, keindahan yang bakal dicapainya suatu hari nanti. Cerpen Pelangi, Kami Ingin ke Sana ini adalah karya Ariff Mohamad.

Cerpen Ratu Kosmetik karya Faisal Tehrani juga membeli jiwa saya. Mana taknya, seperti Manikam Kalbu, dan Surat-surat Perempuan Johor, cerpen ini menggunakan 'penyelarian' dua zaman--dialog antara Che Gayah dengan Puteri Gunung Ledang tentang kecantikan dan rahsia kosmetik asli alam Melayu begitu memikat. Bukan sahaja ia intelek, punya fakta tentang ilmuwan kosmetik Islam, petua kecantikan, malah dalam perenggan akhir ia mengandungi falsafah besar mengenai kecantikan sebenar yang dilupai ramai orang, yakni kecantikan berdasarkan ketaqwaan, keimanan serta akhlak mulia. Ya, tak lupa unsur humor dalam karya Faisal Tehranilah yang selalu buat saya tertarik. Cerpen ini mengingatkan saya akan cerpennya Cik Siti Mustika, ada dimuatkan dalam kumpulan cerpen beliau iaitu Kekasih Sam Po Bo, kerana gaya bahasa yang lucu dan menghiburkan.

Cuma, saya rasakan laporan panel hakim yang disertakan di bahagian hadapan kompilasi cerpen ini kurang sesuai saiz font teksnya. Saya fikir, lebih elok jika dikecilkan sedikit, bagi membezakannya dengan koleksi cerpen di mukasurat-mukasurat seterusnya. Laporan ini sahaja sudah ambil ruang 44 mukasurat. Kalau dikecilkan sedikit saiz tulisannya kan bagus, bilangan mukasurat akan jadi kurang juga. Jimat ruang, jimat kertas, harga pun kurang, kan? Namun, laporan ini sangat bagus dikandung sekali dalam buku ini, kerana ia membantu pembaca memahami sebahagian cerpen yang punya intipati tersirat, contohnya cerpen Mergastua dan Kotak Batu oleh Zaharah Nawawi yang mengajukan persoalan perdamaian dan dendam dalam masyarakat, dengan mencerminkannya pada kehidupan unggas dan beburung. Dengan bantuan penjelasan dalam laporan panel hakim ini, sekurang-kurangnya ia membantu pembaca menaakul mesej yang ingin disampaikan dengan lebih baik. Bukan itu saja, ia membantu pembaca dalam menilai dari segi apakah sesebuah karya layak dipilih dan apakah yang menjadikan karya itu memikat.

Cerpen-cerpen lain yang boleh dinikmati dalam antologi cerpen ini ialah: Cikgu Apek (Siti Hajar Mohd Zaki), Anak Gelandangan (Mohd Hashim Osman), Kampung Hati Ayah (Ummu Hani Abu Hassan), Gadis Bunga di Tasik Dal (Zaharah Nawawi), E-mel Seorang Lelaki (Mohd Lutfi Ishak), dan Rabiatul Adawiyah (A.Ghani Abdullah).

Disember 04, 2008

Ketentuan Sudah Cukup Cantik

Sebenarnya saya baru usai menonton sebuah animasi jepun yang cukup cantik. Dan pelbagai rasa datang pada minda setelah habis menontonnya. Ia sebuah filem yang bertajuk The Girl Who Leapt Through Time, atau mungkin bolehlah diterjemahkan kepada "Gadis yang Melompat Melalui Masa". Ah terjemahan yang merepek. Maaf. Ya sinopsis ini saya malas terjemahkan, baca ajelah ye.

Bumbling high school student Konno Makoto rides her bike recklessly, is often late to school, and does poorly on her exams. On top of that, lately she's been having odd visions and hearing strange voices. One day on her way home from school, she is again riding her bike too fast - too fast to stop herself from hitting an oncoming train. In a flash, Makoto is mysteriously transported back in time just enough to avoid the accident. After discovering her "time leaping" abilities, Makoto uses it liberally to make life more pleasant - no more tardiness, no more blown exams, no more little sister eating her pudding. When relationship issues begin to arise between Makoto and her friends Chiaki and Kousuke, she again falls back on time leaping to avoid awkward situations, only to get herself into further messes. Makoto learns the hard way that playing with time has consequences...

Ya, Makoto boleh mengembara ke masa lalu, untuk membetulkan apa yang tersilap. Tapi lama-kelamaan dia menyedari merubah apa yang terjadi padanya kadang-kadang membawa kesan yang buruk pada orang lain. Bila dia mengelak sesuatu kemalangan dengan kembali ke masa lalu, yang lain pula terkena.

Ketentuan sudah cukup cantik, itu maksud saya. Itulah Allah jadikan masa tidak boleh diputar kembali. Kalaulah boleh diputar semula, tentu dunia jadi huru-hara. Pasti semua orang ingin membetulkan kesilapan mereka. Tapi, mereka terlupa yang hasrat itu adalah demi kepentingan diri, tidak pernah terfikir yang mereka akan melibatkan orang lain. Bayangkan, jika saya meminjam kereta rakan saya untuk ke kampus, kemudian saya terlibat dengan kemalangan dengan sebuah lori. Dan saya kembali ke masa lalu untuk mengelakkannya. Mungkin, jika saya tidak mahu meminjam kereta rakan saya itu, rakan saya yang lain yang meminjamnya pulak akan dilanggar. Atau boleh jadi saya jugak akan terlibat dengan kemalangan itu, cuma dengan cara lain. Barangkali saya menunggang motosikal dan dilanggar lori yang sama. Atau, jika saya buat keputusan tak nak ke kampus sekalipun, saya akan menemui kemalangan di rumah, atau mungkin petang nanti, atau esok. Semua bergantung juga pada keputusan orang lain. Kalaulah pemandu lori tadi, ketika saya dilanggar, dia menggunakan jalan yang sama dengan saya ke kampus, dan kemudian bila kembali ke masa lampau, saya menggunakan jalan alternatif, dan dia juga buat keputusan melalui jalan yang sama? Mungkin kemalangan itu tetap terjadi, tetapi cara aje yang berlainan. Nampak kan kesannya? Itulah, Allah dahpun jadikan takdir itu cukup cantik. Dia sesungguhnya Maha Perancang. Kalau kita fikir petang ini kita hendak memancing, tetapi ditakdirkan petang itu hari hujan lebat. Kita mungkin fikir rancangan kita sudah cukup baik, yalah, pagi itu hari nampak cerah, tiada tanda akan hujan, dan peralatan pun sudah kita sediakan. Tapi, Allah Maha Tahu. Mungkin petang itu, ada kemalangan berlaku dalam perjalanan kita ke sana. Kalaulah kita pergi, mungkin kita akan terlibat sama.

Oleh itu memang patutlah kita bersyukur dengan takdir yang ditentukan. Malah jika sesuatu yang buruk berlaku, kita juga patut redha dan sabar kerana tentu ada hikmah di sebaliknya. Fikirkan semula, mungkin, dengan kemalangan tadi, iman kita tambah kuat, hati kita tambah cekal. Nah, bukankah itu satu kelebihan? Bak pepatah Inggeris a blessing in disguise. Dan, kita perlu beringat yang tak semua yang kita nak, benda itu mesti yang terbaik untuk kita. Tak semestinya! Mungkin kita fikir pergi belajar di Amerika mesti baik, dapat luaskan pengalaman dan sebagainya. Mungkin Allah lebih tahu, kalau kita ke sana, kita boleh hilang pegangan, dan terlibat sama dengan masalah sosial. Siapa tahu? Dia sahaja. Pada pandangan kita mungkin keinginan kita itu bermanfaat buat kita tapi pada mata Allah mungkin tidak, dan ada yang lebih baik yang Dia hendak berikan pada kita.

Maka, apa yang kita perlu buat, ialah berusaha sesungguhnya, berdoa moga Allah memberikan kita yang terbaik, dan bertawakkal. Serahkanlah segalanya pada Allah selepas itu, kerana Dia lebih mengetahui. Kesilapan lalu, boleh diperbetul semula dengan cara tidak mengulanginya pada masa akan datang. Jadikan salah silap itu panduan untuk membina masa depan yang lebih baik. Allah tentu mengizinkan kalau kena caranya. Ingat firmanNya: Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum selagi mereka tidak mahu mengubahnya sendiri.

Berbalik kepada filem tadi, saya sangat suka menontonnya. Punya plot dan jalan cerita yang baik dan menarik, juga watak yang berkembang dengan baik, tambah lagi kualiti animasi yang cantik dan trek muzik yang sesuai, filem ini memang perlu ditonton. Saya pun rasa nak tengok sekali lagi. Jom!

*Ya, teringat sebuah pepatah dari filem Kungfu Panda: Yesterday is history, tomorrow is a mystery, and today is a gift...that's why it is called 'present'. Jadi, kalau dah hari ni hadiah, kenalah gunakan sebaiknya, betul kan? Sebab esok belum tentu kita punya nyawa lagi..

Related Posts with Thumbnails