Mac 10, 2008

The Kite Runner


Judul: The Kite Runner (TKR)
Penulis: Khaled Hosseini
Penerbit: Bloomsbury
Tahun: 2003

Sedih. Terharu. Geram. Marah. Simpati. Gembira. Teruja. Kecewa. Terpesona. Kagum. Semuanya boleh kita rasa semasa membaca novel ini. Kesannya mendalam, bagi saya ia masih lekat di hati. Memang layak mendapat title bestseller.

*****

Pasti setiap daripada kita punya teman. Tapi, adakah layak mereka digelar sahabat? Bersama waktu suka duka. Menolong kita apabila kita amat memerlukan. Begitulah Hassan kepada Amir. Biarpun hanya anak kepada pembantu rumah Amir, yang berketurunan Hazara (boleh dikatakan golongan hamba), Hassan menjadi teman yang amat setia kepada Amir sejak kecil lagi. Hubungan yang rapat itu mungkin juga disebabkan mereka menyusu dengan ibu susuan yang sama, kerana kedua-duanya kehilangan ibu sejak lahir lagi.

Amir sering bermain dengan Hassan di bawah sepohon pokok delima kegemaran mereka. Berkongsi cerita, menghabiskan masa bersama. Bagaimanapun; Amir, biarpun hidup senang sebagai anak kepada saudagar kaya yang terkenal di Kabul, dia masih tetap rasa kekurangan. Dia menyedari Hassan lebih mendapat perhatian ayahnya. Amir lantas mencuba menambat hati ayahnya sedaya upaya. Hinggalah di dalam pertandingan layang-layang pada musim sejuk 1975, dia mendapat peluang itu.

Namun pada hari yang sama, satu tragedi terjadi kepada Hassan. Insiden yang merampas senyuman dari wajahnya. Memperbaiki hubungan Amir dengan ayahnya tetapi merosakkan persahabatan Hassan dan Amir. Kejadian yang mengubah haluan hidup kedua sahabat baik itu.

Kejadian itu menghantui Amir sehinggalah dewasa. Segala yang berlaku dalam tahun-tahun berikutnya sentiasa dikaitkan dengan kejadian pada musim sejuk itu. Namun, 26 tahun selepas itu, Amir menerima panggilan telefon dari Pakistan. Panggilan dari rakan baik ayahnya, Rahim Khan; memberi peluang untuk Amir menebus kesalahannya terhadap Hassan. Redemption. Masih ada cara untuk menjadi baik semula, kata Rahim. A way to be good again.

Dalam perjalanannya 'menjadi baik semula', Amir menyedari banyak perkara. Dia lebih faham tentang ayahnya. Tentang sahabatnya Hassan. Tentang semua yang berlaku selama 26 tahun sebelum ini.

Secara peribadi, saya paling suka plot ceritanya yang amatlah tak dapat dijangka. Kejutan demi kejutan diberi penulis. Babak tragedi Hassan pada hari pertandingan layang-layang, contohnya. Mulanya hanya dipukul ditumbuk. Tapi apa yang terjadi tiba-tiba...mengejutkan. Rahsia yang dibongkar oleh Rahim Khan di Pakistan juga mengejutkan. Amat mengejutkan. Ditambah pula dengan kekemasan naratif dari segi jalinan masa ke masa yang begitu mengagumkan.

Selain plot, suasana dan latarnya amat hidup. Afghanistan 'hidup' dalam The Kite Runner kerana bahasa yang digunakan. Bakhsheh (kemaafan), khasta (letih), khoshteep (kacak), tashakor (terima kasih)..dan banyak lagi. Bahasa Parsi/Pashtun yang tak terlalu banyak dan tak terlalu sikit ini, memberi impak kepada pembaca, seperti sentiasa mengingatkan saya yang saya sekarang berada di Afghanistan. Menghirup udaranya. Merasai kesegarannya suatu waktu dahulu. Dan, merasai sengsara dan kemusnahannya kini. Nilai sejarah dalam TKR juga tak dapat diabaikan, contohnya Penjajahan Rusia di Afghanistan sekitar tahun 1980-an, sehinggalah robohnya World Trade Center pada tahun 2001, boleh dicerna dari novel ini.

Melalui novel ini, saya banyak belajar. Tentang betapa penting akidah Islamiah dalam diri. Betapa penting iman di hati. Dan, harapnya saya akan sentiasa ingatkan diri saya, seperti Rahim mengingatkan Amir, bahawa masih ada jalan untuk menebus dosa silam. There is a way to be good again.

Dan saya akan cuba menjadi seorang sahabat seperti Hassan, setia kepada Amir hingga ajalnya tiba. Sanggup berkorban untuknya, biarpun permintaanya beribu. Saya akan mengingati, cuba sedaya saya untuk mengingati, kata-kata Hassan kepada Amir pada musim sejuk tahun 1975 itu.

For you a thousand times over.

*Sudahpun diadaptasi menjadi filem (gambar dua budak -poster filem), The Kite Runner telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan lain selain Bloomsbury. Novel kedua Khaled Hosseini, A Thousand Splendid Suns, telah terbit tahun lepas. (Tak sabar nak baca novel Khaled yang seterusnya!)

2 ulasan:

Din Paiman berkata...

salam alaik dan..
adess dan cambest jer..
ak rser elok ko ltak harga sekali dowh sng nak congak. tp cmner pon kalau ko kater best, insya ALLAH ak akan cri..

dan berkata...

bukan aku tanak letak harga, tapi aku baca buku library je...terpaksa la ko cari sendiri kat kedai buku.. lagipun harga dia beza ikut penerbit..so pilihla yg plg murah.

Related Posts with Thumbnails