September 10, 2013

Infografik Peduli Mesir!

"Kau tolong design poster tentang Mesir boleh? Buat biar ada banyak gambar. Kau kena lukislah. Aku nak letak di masjid-masjid. Kalau ada informasi selalunya teks saja. Orang tak berminat nak baca tulisan semata-mata."

Saya menyahut cadangan untuk membantu teman saya Khalis ketika berjumpa dengannya di sebuah program tidak lama dulu.

Agak sukar juga untuk memilih informasi mana yang patut dimuatkan di dalam turutan peristiwa Mesir. Malah, fokus yang diminta daripada saya adalah untuk memuatkan seberapa banyak ilustrasi yang boleh. Ruang juga terhad kerana kami cuba untuk muatkan dalam kertas bersaiz A4.

Kami memilih maklumat dari Al-Jazeera dan Yahoo! News. Hasil perbincangan kami atas talian, maka terhasillah infografik ini. Sekiranya berminat untuk menyebarkannya di tempat kalian, saya persilakan muatturun untuk dicetak. Semoga kita mendapat manfaatnya walaupun kecil. Teruskan berdoa untuk Mesir dan umat Islam seluruhnya!


Nota: Gambar yang saya muatnaik di facebook Helaian-helaian Rindu telah saya edit sedikit di bahagian angka kematian, jadi ini versi terkini. Angka kematian yang dilaporkan secara rasmi adalah hampir 200 orang dan kecederaan dalam 1500 orang, tetapi saya tambah juga sedikit disclaimer yang mengatakan kematian dan kecederaan mungkin melebihi angka tersebut.

Sedikit perca di belakang tabir - ini lakaran asal sebelum diedit di dalam komputer. Medium yang saya guna adalah pensel 2B sahaja.


helaianrindu: Permulaan kecil. Semoga terus melangkah.


September 05, 2013

Epistolari Cinta

Altitude: 1036 km
Distance: 10779 km
Merentas laut Andaman-India-Pakistan
30 September 2009

"Ke hadapan Naqeb,

Semalam dan hari ini sangat luarbiasa bagiku. Kenapa? Sebabnya, aku merasakan aku tak berpijak di bumi nyata. Ya memang aku berada di awanan waktu ini tapi bukan itu maksudku. 

Aku merasakan bahawa kembara aku ke bumi asing England ini bagai khayalan. Semua terlalu cepat berlalu... persis tayangan gambar yang meniti visiku. Tahu-tahu, aku sudah dalam pesawat MH004 dan menatap langit nilakandi dari dua tingkap bersebelahanku... "

*******

Saya hampir menyudahkan buku motivasi dan biografi penulis Ummu Hani Abu Hassan, penulis prolifik yang banyak bergiat dalam bidang kewartawanan, penulisan skrip drama TV dan juga kesusasteraan dalam bentuk cerpen dan novel. Berminat membacanya kerana tajuknya dekat sekali di hati saya - I Want to be a Writer. Saya tidak ingat bila masanya saya mula membaca karya-karya beliau, adakah melalui drama TV ataupun cerpen dan novel. 

Di dalamnya terkandung kisah-kisah menarik dari hidup penulis sejak kecil dan sedikit sebanyak inspirasi dan aspirasi beliau dalam menjadi penulis. Terkandung juga tips dan perkongsian tentang pengalamannya dalam bidang penulisan bagi yang berminat. Malah ada kisah lain yang berkisar motivasi.

Apapun, yang membuatkan saya tertarik pada awalnya (selain tajuknya) adalah petikan kata-kata di hadapan kulit bukunya:

"Agar jejak kehidupan dapat diwariskan."

Benar, biografi atau kisah hidup manusia biasa tidak sehebat dan seagung sirah Nabi Muhammad saw atau kisah nabi-nabi terdahulu, malah takkan setaraf dengan kisah para sahabat yang telah dijamin masuk syurga. Tetapi, kisah manusia seperti kita tetap perlu diwariskan. Paling tidak, untuk diri kita sendiri belajar dari kesilapan lalu. Biar jejak positif terus diwarisi, dan kesalahan lalu tidak. Sudah tentu jika dikongsikan untuk semua, itu adalah kerana tugas kita menyampaikan kebaikan yang kita temui dalam hidup kita untuk diteladani orang lain. Semuanya atas dasar menyampaikan mesej Islam, mesej dakwah, atau secara umumnya untuk memaknakan hidup dengan memberi. Tentu ramai yang terkenang tagline popular Ustaz Hasrizal, erti hidup pada memberi.

Juga kata Ustaz Pahrol Md Juoi pernah berpesan dalam sebuah bukunya (saya sudah lupa yang mana), kita membina hidup dengan apa yang kita dapat, tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita berikan. We make a living by what we get but we make a life by what we give. Memberi teladan adalah salah satu cara membina kehidupan yang bermakna.

*********

Semasa di tingkatan lima, saya mula diperkenalkan dengan penulisan jurnal oleh guru bahasa Inggeris saya, yang kami panggil Miss Lini. Tugas yang diberi kepada kami waktu itu adalah menulis dua atau tiga entri dalam satu minggu. Panjang satu entri tidak terikat kepada berapa mukasurat. Tujuan utama jurnal ini sudah tentu untuk memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris kami dari segi penyusunan ayat dan penggunaan kata dan tatabahasa. 

Di samping kerja rumah dan tugasan dari subjek lain, jurnal ini pada awalnya seakan-akan membebankan. Tetapi saya semakin lama semakin seronok menulisnya (mungkin dari situ juga timbul minat yang lebih kuat dalam bidang ini) kerana saya boleh menulis tanpa ada format atau struktur tertentu. 

Epistolari cinta saya di tanah Inggeris - kebanyakannya tertulis dalam helaian kertas berasingan, kebiasaannya entri biasa saya asingkan dalam buku.

Kebiasaannya entri perlu ditulis mengikut topik yang diberikan, namun yang lebih saya sukai adalah apabila kami tidak diberi sebarang tajuk. Jadi di situ saya bebas untuk memikirkan apa dan bagaimana harus saya sampaikan idea. Sehingga sekarang saya masih simpan jurnal-jurnal bersampul biru itu sebagai kenangan.

Saya meneruskan penulisan jurnal ini selepas sekolah, bermula di kolej persediaan sehingga kini, tetapi tidak sekerap dahulu. Saya tidak memilih untuk menyimpan diari kerana persepsi saya tentang diari sangat negatif - diari adalah buku yang mencatat aktiviti seharian. Tidak seperti jurnal yang membolehkan kita menulis apa saja yang menjadi buah fikir kita ketika itu - sama ada peribadi, isu semasa, pendapat tentang pengalaman hidup. Jadi ia lebih daripada sekadar mencatat turutan peristiwa. Begitu pendapat naif saya, meskipun hakikatnya tidak ada masalah mencatat diari dan jurnal dalam masa yang sama. Bezanya hanya istilah yang kita pilih!

Beberapa masa lalu saya menyelongkar kembali barang kenang-kenangan dari UK selama tiga tahun dek rindu. Dan saya terjumpa kembali jurnal dan catatan-catatan lama saya di sana dalam kotak kenangan tersebut. Dahulu agak kerap saya belek kembali tetapi sudah lebih setahun saya tinggalkan. Jadi apabila saya baca kembali catatan yang sangat naif (juga kadang-kadang syok sendiri, err) itu, saya jadi terkejut pula kerana saya kembali belajar dari kenaifan dan kejahilan itu. Betapa mulanya saya terlalu asyik untuk merantau. Betapa teruja awalnya untuk belajar di bumi penjajah! Ke mana hilang semua itu? Ah... dan macam-macam lagi.

*******

Petikan surat pada permulaan entri ini sebenarnya merupakan salah satu entri jurnal saya ketika mula-mula mengembara ke United Kingdom untuk menyambung pengajian. Semenjak ke England saya lebih banyak menulis entri dalam bentuk surat kepada rakan-rakan yang terpilih. Saya tidak pernah mengirimkannya betul-betul kerana saya fikir ini bukan zamannya lagi tetapi saya masih suka dengan perasaan mengutus surat yang romantik dan nostalgik (walaupun ya kerana ditulis satu hala saya akui hasilnya adalah bahasa bunga-bunga yang sedikit dibuat-buat dan cheesy). Sehinggakan cerpen pertama yang pernah saya tulis secara serius juga dalam bentuk warkah, tajuknya Warkah-Warkah Siluman. (Boleh baca di sini - tapi bukan satu karya yang begitu baik! Nikmati tanpa terlalu mengkritik, eheh)

Baru hari ini juga saya memulakan pembacaan buku sasterawan Anwar Ridhwan bertajuk Menyurat kepada Sahabat, iaitu sebuah kumpulan surat-suratnya kepada ahli keluarga, kenalan dan teman penulisan. Bahagian pertama yang memuatkan kumpulan warkahnya ketika beliau berada di London untuk perbincangan proposal tesis dan menghadiri acara sastera di sana. Saat itu juga saya teringat buku Warkah Eropah oleh A.Samad Said yang juga ditulis berlatarbelakangkan tanah Inggeris. Tidak kurang kumpulan warkah Helene Hanff kepada kedai buku kesukaannya di London beralamat di 84, Charing Cross Road yang pernah saya nukilkan tentangnya di sini.

Tiga buku berelemen warkah dalam koleksi. Hanya buku 84 Charing Cross Road yang saya baca habis dari kulit ke kulit. Namun kesemuanya saya suka.

Inspirasi tiga buku ini (dan kenangan sendiri kepada tanah Inggeris) datanglah fikiran untuk berkongsi sesetengah surat-surat rahsia saya itu kerana kebanyakannya tidak bersifat terlalu peribadi seperti entri biasa. Sebabnya saya tulis kesemuanya dalam kesedaran saya masih boleh menghantar warkah-warkah itu kepada mereka sekiranya saya mahu. (Atau, saya boleh gunakan sebagai bahan untuk cerpen? Novel mungkin? Ah, saya terlalu banyak berangan-angan dari menulis! Ketuk kepala.) Dan sudah tentu, objektif utama saya adalah untuk memberi. Harapannya agar manfaatnya mampu dihadam meski kecil. Insha Allah.

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman." (QS. Adz-Dzaariyaat: 55) - Ayat ini sudah terlalu banyak digunakan sehingga kadangkala hilang makna, sedangkan kesannya sangat besar. Maka kita perlu saling memperingatkan.

Nota: Artikel Ustaz Pahrol tentang 'memberi' boleh dibaca di [sini]. Petikan kata-kata beliau yang saya ambil juga boleh didapati dalam artikel tersebut yang sangat baik.

helaianrindu: Warkah cinta dari Allah, pun jangan lupa tatap, ulangbaca dan cuba fahamkan selalu (peringatan paling besar untuk diri!)

(Cuma, saya kesal kerana dua tahun kebelakang ini saya tidak banyak menulis entri jurnal mahupun yang berbentuk surat. Sedangkan terlalu banyak isu dan pendapat yang boleh dibincang untuk dimuhasabah semula. Dari revolusi musim bunga tahun 2011, rusuhan di seluruh UK pada tahun yang sama, juga kembara-kembara persendirian dan kisah-kisah teladan yang banyak mematangkan saya dalam dua tahun itu - semuanya terkubur dan kemungkinan besar sudah banyak yang lupa. Saya sendiri yang rugi kerana tak dapat belajar kembali dari pengalaman-pengalaman tersebut. Tak apalah, semoga Allah memberi peluang saya mengingat semula detik bermakna itu)


Related Posts with Thumbnails