Julai 08, 2008

Di Bawah Bayangan Piramid


Judul: Di Bawah Bayangan Piramid
Penulis: Hassan Ali
Penerbit: DBP
Tahun:1991
Harga: RM5.00
Halaman: 122 m/s

Murah, ini promosi waktu Pesta Buku Antarabangsa KL 3 tahun lalu. 2005. Rasanya saya beli dengan harga RM2. Entahlah. Dah tak ingat.

Hassan Ali, menurut blurb yang disediakan, seorang penulis yang terkenal dengan kisah perjalanan atau pengembaraan. Yakni pengembaraannya sendiri. Antara yang disebut; Menembusi Tabir Besi dan Lambaian Pulau Aloha. Tahun ini juga di PWTC, acara yang sama, saya membeli Cinta Alhambra: dalam Kembara Sasterawan, jenis kembara juga. Belum sempat dibaca.

Di Bawah Bayangan Piramid, seperti yang tercatat pada tajuknya, semestinya berkaitan dengan Mesir. Hasan Ali mengikuti rombongan umrah yang disediakan Tabung Haji, pakej melancong sekali ke Mesir dan Turki mungkin. Dan dalam novel ini, protagonisnya bukanlah Hasan tetapi digambarkan sebagai seorang budak bernama Udin, mengikut rombongan umrah tersebut bersama ibu dan rakan-rakan. 3 bab disediakan, satu semasa di Arab Saudi; bab 2 bertapak di Mesir dan bab 3 di Turki. Tajuk buku diambil sempena tajuk bab 2. (Bab 1: Di Bawah Naungan Bulan Bintang; bab 3: Di Atas Jambatan Bosphorus)

Penelitian terhadap persekitaran merupakan kunci penting novel seperti ini. Mahu mengajak pembaca membayangkan perjalanan penulis. Mengembara bersama. Jadi bagus atau tidak penelitiannya? Tentu. Penulis mencatat setiap apa yang dialami, dan beberapa gambar semasa di tempat-tempat yang dikunjungi disisipkan untuk membantu pembaca membayangkan kembara itu. Suka sekali saya gambar mereka bersama beruang jinak yang muncul di tengah-tengah kelibat orang ramai ketika di Turki. Ada gambar Piramid. Gua Thur. Muzium Kaligrafi dan pelbagai lagi. Selain itu saya teringin menikmati keindahan masjid-masijd di Turki, Masjid Biru terutamanya bila melihat gambar-gambarnya di dalam novel ini. Selama ini hanya tatap di buku sejarah dan juga buku-buku seni.

Saya memang kurang suka membaca fakta, tetapi bila dijadikan novel begini, seronok sikit menelaahnya. Hadamlah pelbagai maklumat: geografi, mata wang, kependudukan, dan lain-lain. Udin dikisahkan diminta oleh ayahnya mencatat isi pengembaraannya sepanjang di 3 negara tersebut kerana ayahnya tak dapat turut serta atas urusan kerja. Jadi boleh kata inilah hasil catatan Udin.

Baca novel ini, baru saya tahu matawang Turki ialah lira. Maaf jika kedengaran terlalu bodoh.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails