Februari 03, 2008

Jambatan ke Dunia Impian: Bridge to Terabithia


Judul: Bridge to Terabithia (BTT)
Penulis: Katherine Paterson
Penerbit: Harper Entertainment
Tahun: 2007
Harga: RM26.90

Kali ini saya berkesempatan juga untuk menulis semula cerita buku. Almaklumlah sekarang cuti sempena tahun baru cina. Masa di Intec telah dipenuhi dengan assignment yang tak terkira banyaknya. Jadi saya akan guna masa ini sebaiknya.

Bridge to Terabithia mengisahkan Jess yang bertemu dengan Leslie - yang sangat gemar membaca dan bercerita tentang kisah-kisah fantasi kepadanya. Suatu hari Leslie ingin mencipta dunia fantasi impiannya sendiri, lalu dia memberitahu hasratnya kepada rakan sekelasnya itu. Jess, yang gemar melukis makhluk-makhluk aneh telah membantu Leslie merealisasikan dunia impian mereka itu dengan melukis suatu dunia yang di dalamnya merupakan imaginasi mereka. Hanya dengan meyeberangi sebuah sungai kecil tidak jauh dari kediaman mereka, mereka akan sampai ke 'dunia' tersebut. Jess menjadi raja dan Leslie pula sebagai permaisuri. Mereka sebagai pemerintah, menamakan dunia itu "Terabithia".

Dalam membahagi masa 'memerintah' dunia mereka itu, Jess dan Leslie juga berhadapan dengan masalah di sekolah, antaranya masalah buli yang melibatkan adik Jess, May Belle.

Saksikan bagaimana mereka membina sebuah persahabatan dan mengerti tentang hidup melalui diri masing-masing.

Sehinggalah suatu tragedi menimpa Leslie, mengejutkan Jess - saat itu dia sedar betapa pentingnya persahabatan itu...

Secara jujur, buku ini tidaklah begitu 'mengancam'. Bagi saya, dari 10, saya hanya dapat memberi 5 bintang sahaja. Mungkin kerana ceritanya yang sebenarnya sudah lama (1977). Mungkin juga kerana kecewa dengan dunia fantasi mereka yang rupa-rupanya cuma imaginasi. Walaubagaimanapun, masih ada yang saya suka dengan kisah ini, antaranya jalan ceritanya yang tidak disangka-sangka, yakni tragedi yang menimpa Leslie. Ia bagai membaca babak Fahri yang ditangkap atas tuduhan merogol dalam novel Ayat-ayat Cinta. Maksud saya, perkara tersebut sangat mengejut, saya tak tersangka perkara itu akan berlaku. Inilah keistimewaan BTT, selain latar tempatnya yang agak menarik.

Jika kalian berpeluang membaca karya Paterson ini, pastikan juga menonton filemnya yang dibikin oleh Walt Disney dan Walden Media. Gambar pada kulit buku itu sebenarnya gambar dua watak utama dalam filem tersebut. Saya masih belum menontonnya, tapi kebiasaannya, setelah membaca sebuah buku, saya akan menyaksikan filemnya jika ada. Ini salah satu keseronokan selepas membaca bagi saya, kerana dapat menyaksikan fantasi direalisasikan. Macam siri Harry Potter dan His Dark Materials. Tak gitu?

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails