April 29, 2008

The Witch Of Portobello

Judul: The Witch of Portobello
Penulis: Paulo Coelho
Tahun: 2007
Penerbit: Harper Perennial
Harga: RM63.00 / RM35.50

Sudut pandangan ketiga, atau dalam Bahasa Inggeris mereka panggil third point of view, lazimnya digunakan dalam karya kreatif. Ramai dalam kalangan penulis lebih suka menggunakan sudut pandangan ini disebabkan penggunaanya lebih mudah dan cerita tersebut boleh dilihat dari arah yang berbeza-beza. Begitulah novel Paulo Coelho ini. Pun begitu, kelainan terserlah apabila penulis ini menggunakan sudut pandangan ketiga yang banyak.

Kisah ini tentang seorang wanita yang bersifat misterius bernama Sherine Khalil yang ditemui mati. Lebih dikenali sebagai Athena, orang yang mengenalinya telah ditemubual oleh narrator untuk menceritakan apa yang terjadi kepada wanita tersebut yang boleh membawa kepada pembunuhannya. Dalam novel ini, narrator ingin menyampaikan cerita kepada audiens secara metode biografikal pada mulanya. Tapi uniknya, narrator lebih selesa membiarkan rakaman temubualnya dengan rakan-rakan Athena diceritakan secara langsung kepada pembaca. Jadi, jika hubungan Athena dengan jurnalis Heron Ryan ingin diceritakan, narrator tidak menyampaikannya sendiri tetapi Heron Ryan yang menjelaskannya sendiri kepada pembaca. Jadi tiada bab dan kandungan dalam buku ini. Sekadar dibahagikan mengikut temubual dengan orang yang ditemui.

Secara peribadi, saya suka membaca novel ini pada bahagian awal. Terutama apabila membaca blurb di belakang buku mengenai persoalan sentral novel ini; mengenai 'how to be true to ourselves'. Namun semakin saya menghampiri pertengahan buku, terasa kisah ini semakin merepek dan pelik. Dengan kemunculan Hagia Sophia yang 'merasuk' jasad Athena, kemunculan mother goddess dan segala macam galau kacau rohani dan pencarian diri sendiri yang tak munasabah dek akal bila difikirkan; semua merosakkan expectation awal saya bahawa karya ini sebuah karya yang menarik. Mungkin jika ditolakansurkan, saya suka cara penulisan dan gaya bahasa Coelho yang universal. Tidak bias pada mana-mana pihak mahupun kaum dan agama. Contoh terdekat, Islam juga ada disebut dalam TWOP, ketika Athena menetap di Dubai jika tidak silap, untuk bekerja di sebuah bank. Di sana dia belajar kaligrafi. Danorang yang mengajarnya ada menyebut mengenai Allah dan rasul, dengan frasa 'may Allah bless him' dan sebagainya.

Kekuatan novel ini bagi saya ialah pada perkembangan cerita. Cerita yang dibawa secara kronologikal memudahkan pembaca memahami setiap perubahan dalam cerita. Epilognya, yang merungkai pembunuhan Athena yang rupanya palsu, adalah amat mengujakan dan membuatkan saya sekurang-kurangnya puas hati menghabiskannya.

Mungkin lebih sesuai bagi orang yang lebih dewasa membacanya, carilah novel lain untuk dibaca. Kata seorang rakan saya Like the Flowing River oleh penulis yang sama lebih bagus dan sesuai dibaca, mungkin kerana ia adalah kumpulan cerpen tulisannya. Lebih pendek dan mudah difahami.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum. Pengisiaan blog ini menarik perhatian pembaca.
Abu rushd

http://riquelme-penawarhati.blogspot.com/

dan berkata...

terima kasih sudi berkunjung

laman anda juga bermanfaat dan penuh informasi. insya allah akan dikunjung lagi nanti.

Tanpa Nama berkata...

Saya telah membaca buku ni. Memang pertengahan jalan cerita nye menjadi kompleks dan agak merapu.Apa yang tidak ada pada jiwa Athena ialah ketenteraman.Dia melayani suara hatinya sehingga anak nya juga hampir menerima kesusahan. Dan olehitu timbul persoalannya, "does her action reflects a responsible mother?".
Sejauh mana kita ikut suara hati kita?
Saya bersyukur dilahirkan seorang Islam, yang tahu untuk sentiasa bersyukur ke hadrat Allah. Sesungguhnya, itulah pententeram jiwa.
Penulisan "The Alchemist" dari Paulo Coelho lebih menarik dan impak nya sangat dalam dan ia tidak mudah dilupakan.

dan berkata...

kepada tanpa nama:
terima kasih atas pandangan saudara. ya, saya sangat2 setuju dengan saudara, yang Athena perlukan ialah ketenangan. Rimas betul membaca bahagian tengah buku ini, benar ia perlukan kesabaran. tapi kesudahannya memuaskan, sekurang2nya itu tak mengecewakan.

saya cuba dapatkan the alchemist nanti, insya-allah, itu bergantung pada uang! (...tapi tetap berharap buku ini ada di perpustakaan berdekatan saya!)

nkecik berkata...

salam..

dh beli dh buku ni, tapi tertinggal kat malaysia.. huhuhu..

selain TWOP ni,the alchemist, veronica decides to die, the pilgrimage & the zahir pun bes gak. aku suka baca penulisan coelho ni, sebab dia
'masuk' jauh ke dalam pemikiran manusia =)

Related Posts with Thumbnails