September 12, 2012

Blues Musim Panas II

Selesai solat ba’diyah isyak dan berdoa, saya bangun dan berjalan ke pintu utama masjid. Saya memandang Jemaah masjid yang hadir. Tidak ramai. Tetapi sekilas saya terpandang seseorang dengan janggut putih sedang terbongkok sedikit, meratib. Mata saya membesar. Itu bukankah pakcik Hamid Hassan, makmum tua yang tidak pernah jemu berjalan ke masjid tidak kira waktu, sekalipun pada pukul 3 pagi waktu subuh masuk - atau waktu musim sejuk penuh salji?

Eh? Sekejap saya terkedu. Ini bukan masjidnya untuk dia datangi. Dalam sekerdip mata bayangan pakcik Hamid berubah menjadi seorang pakcik berjanggut yang tidak saya kenali. Ya, saya kan sudah berada di Kuala Lipis, Malaysia. Mana mungkin Pakcik Hamid berada di sini. Dia tegar mendatangi masjid kecil di perkampungan Selly Oak. 
Lorong ke pintu masjid (di sebelah kiri).
Di dalam gambar adalah rakan-rakan saya Najmi (dari kiri), Kamal dan Azri

Masjid itu bernama Jalalabad Mosque – sekalipun namanya seakan menggambarkan masyarakat Pakistan, kebanyakan jemaahnya berasal dari Bangladesh. Saya fikir, sudah hampir sebulan saya meninggalkan masjid tersebut. Sudah terlalu biasa dengan pemandangan melihat makmum seperti Pakcik Hamid meratib sendirian, khusyuk, saat saya melintasi ruang masjid untuk keluar. Tetapi sekarang, saya berada di masjid tanah air saya. Saya lihat ayah saya baru selesai bersolat, dan imam masih berdiri. Siak sedang mengemaskan sejadah dan mikrofon. 

Pakcik Hamid. Entah berapa umurnya, saya pun tidak tahu. Tetapi dia nampak begitu tua sekali, sedikit terbongkok dan berjalan dengan begitu perlahan. Walaubagaimanapun, kudratnya mengalahkan semua orang muda persis saya. Bayangkan rumahnya sejauh beberapa batu dari masjid, tetapi dia datang juga tidak kira waktu – lagi-lagi jika di UK, waktu solat memang tidak kira waktu! Subuh di musim panas boleh mencecah seawal jam 3 pagi. Jika solat berjemaah bermula pada jam 4, maka dia akan datang sebelum jam 4. Bayangkan, untuk datang sejauh itu, dia perlu bangun pada jam berapa, dan bergerak ke masjid pada jam berapa. Mungkin jam 3.30 paling lewat perlu dia mula melangkah kaki. Jika tidak masakan dia boleh sampai lebih awal? Malulah, kami yang duduk hanya kira-kira dua tiga puluh langkah dari masjid, pun datang lima minit setelah solat Jemaah bermula. Jika dia setiap hari menepati waktu, kami juga hampir setiap hari terlewat waktu! 

Rakan-rakan yang sudah biasa dengan pakcik Hamid pasti akan mengingat kemesraan luarbiasa beliau. Jika mataya bertemu mata saya dari jauh, pasti akan diangkat tangannya untuk menyapa. Jika dia mendekat, dia tidak pernah lupa bertanya khabar, bersalaman sambil menggoncang tangan saya dengan ceria dan kasih. 

Brother Rashdan, how are you? Hope you are doing fine.” Dan apabila saya menjawab ya, ringkas dia membalas “Masha Allah, masha Allah, Alhamdulillah.” Pujian untuk Allah tidak akan pernah sembunyi dari bibirnya. Tegur sapanya yang sebentar, biar tiada yang dibualkan, akan saya ingati sampai bila-bila.

Ramadhan yang sudah berakhir membangkitkan lagi rindu saya. Sempat berpuasa di bumi Inggeris selama tiga minggu. Sama seperti tahun lepas. Berpuasa di UK pada awalnya suatu rasa yang menyiksakan – tapi mujur cuma hari pertama (pada tahun lepas). Tahun ini, sudah tidak dirasa keperitannya. Lebih terasa kebosanan pula disebabkan saya duduk di rumah seorang diri pada kebanyakan waktu. 

Rutin Ramadhan saya ketika di UK sangat sibuk ketika waktu malam. Berbuka paling lewat pada jam 9.30. Kemudian mengejar solat maghrib dan solat isyak pada jam 10.45. Terawih bermula jam 11 dan berakhir pada jam 12 tengah malam. Pulang ke rumah, saya cuba tidur secepat mungkin untuk bangun bersahur pada jam 2.30 pagi. Dan menunggu waktu subuh, yang jemaahnya bermula pada jam 3.30. (Kemudian semakin hari waktu ini berubah, subuh semakin lewat, dan maghrib semakin awal) 

Kenangan waktu malam dan awal pagi yang sibuk ini dimeriahkan lagi ketika sepuluh malam terakhir tiba. Pada waktu ini ada beberapa jemaah masjid beriktikaf dan tidur di sana. Saya tidak tidur di masjid tapi sempat menghadiri qiamullail dan bersahur bersama mereka di masjid. Sahur mereka bukan calang ringan.

Di sebelah kiri, Pakcik Hamid Hassan, dan di sebelah kanan, imam yang baru buat masa ini, namanya Nurul Alam.

Kambing! Kambing, ayam, daging, semuanya ada. Kadang-kadang ada ikan juga. Aduh! Saya selalu makan sedikit lambat dari jemaah lain, dan akan ingat apabila Pakcik Hamid memanggil nama saya usai saya berdoa, dengan suara tuanya itu: 

Brother Rashdan, come, sit here, eat with us.” Dihulurnya sepinggan nasi dan disuakan kepada saya periuk demi periuk lauk yang pelbagai. Saya tersebenyum dan mengangguk-angguk saja. Terharu saya melihat jemaah yang begitu mengambil berat tentang saya. 

Suatu pagi ketika bersahur, saya ditegur ceria oleh imam. “Malizia! Why you don’t eat this?” sambil menunjuk kearah tub yogurt mangga di depannya. 

Aduh, saya sudah kenyang. Dicedoknya untuk saya separuh pinggan. Banyaknya. 

Tetapi saya dapat habiskan. Cuma saya terkejut, mereka makan yogurt manis itu dengan nasi. 

Pakcik Hamid menyampuk sedikit serius, “His name is Brother Rashdan, not Malizia. Call him brother Rashdan.” Imam hanya tersenyum menanmpakkan gigi seperti selalu. 

Ala, comel pula pakcik-pakcik saya ini bila ‘bergaduh’. 

********** 

“Semoga Allah menjagamu sepanjang perjalanan.” Imam bernama Nurul Alam itu bersalam dengan saya. Berbahasa Arab dengan saya, meminta orang lain menterjemahkannya dalam bahasa Inggeris kerana dia tidak begitu fasih, tapi ucapan arabnya tidak sukar untuk saya, jadi saya berkata, tak mengapa, saya faham; jazakallahu khair

Imam selalu saja memanggil saya dengan nama Malizia. Pernah sepetang, dia pernah mempelawa rakan-rakannya makan di ruang belakang masjid. Saya sudah hampir keluar dari masjid dan dia ternampak kelibat saya agaknya, cepat-cepat dia menjerit sekuatnya "Maliziaaa!!"

Saya berundur dan menampakkan muka saya pada imam. Saya tahu saya yang dimaksudkannya meski rakan-rakan Malaysia yang lain juga tinggal di sini. Tapi saya berseorangan ketika itu, jadi siapa lagi? Dia mengajak saya makan bersama. Sepotong kek dan beberapa peket kerepek Walkers. Sambutan apa agaknya, saya sudah tak ingat. 

Sebelum saya meninggalkan bumi Birmingham untuk pulang beraya, saya berjumpa mereka semua terlebih dahulu. Saya teramat rindu untuk qiam dan bersahur bersama mereka lagi, tetapi bukan takdirnya saya bersama mereka hingga ke akhir Ramadhan. Saya bersalaman dan berpelukan dengan Pakcik Hamid Hassan, Imam, dan juga Pakcik/Brother Abdul Latif, seorang lelaki yang petah berkata-kata dan penuh ilmu di dada. 

Selalu saya berjalan sedikit pantas untuk mengejar waktu jemaah. Lalu di hadapan rumah Donald, saya ternampak Scruffy. Sempat membelainya dua tiga kali sebelum mempercepat perjalanan saya ke arah masjid. Perjalanan ke masjid yang tidak lebih dua ratus meter itu diiringi teksi-teksi yang kebanyakannya dipandu oleh orang muslim, singgah untuk solat berjemaah bersama. Saya teruskan langkah. 

Di masjid, saya sempat memperbetulkan lipatan kaki seluar. Bimbang ditegur oleh makmum yang lain. Di sini, mereka berpegang kepada perlunya meninggikan kain seluar sehingga lebih dari atas buku lali. Istilah untuk perbuatan melabuhkan kain seluar ini dipanggil isbal, jadi dalam solat wajib meninggalkannya berdasarkan hadis nabi. Di rumah saya tidak melakukan begitu. Sekadar pengetahuan saya, kita di Malaysia tidak berpegang pada kewajipan meninggalkan isbal kerana mengambil pendapat yang berbeza (betulkan saya jika tersalah, saya masih membaca tentangnya). Apapun, disebabkan ini masjid ‘mereka’, saya lebih senang menyenangkan hati mereka, malah tidak salah pun meninggalkan isbal. Dan takbir pun diangkat setelah semua siap sedia. 
Jemaah yang hadir melakukan solat sunat.
Lihat di saf hadapan paling hujung, akan nampak pakcik yang solat duduk di atas kerusi yang saya tidak tahu namanya. Moga Allah merahmatinya.

Di sebelah saya, seorang makmum yang sudah terlalu lama saya nampak di masjid, tetapi tidak pernah saya ketahui namanya. Makmum ini istimewa, kata Pakcik Abdul Latif, dia tidak pernah tertinggal solat berjemaah di masjid ini semenjak entah bila, sepanjang ingatan saya, memang dia sudahpun berada di hujung saf pertama. Lebih membuatkan saya kagum, dia tidak mampu berdiri untuk solat, cuma duduk di atas sebuah kerusi. Dan jalannya perlu kepada tongkat. Bukankah saya patut malu dengannya? Kalau anda solat di hujung saf kedua, berdekatan dengannya, dia akan cuba sedaya upaya mengalihkan kerusinya sehingga betul-betul ke hujung dinding dan mempelawa ruang untuk kita masuk ke saf pertama di sebelahnya. 

Saya tak akan lupa pertama kali saya benar-benar bertutur dengannya muka bertemu muka, ketika pulang tempoh hari, mengucap selamat tinggal dan selamat hari raya. Katanya, “All the best to you.” Itu saja yang saya ingat dalam ketergesaan saya – wajahnya tulus mengucapkan selamat buat saya.

Banyak lagi jemaah lain yang saya tidak sempat jumpa, tapi tak mengapalah. Mungkin nanti.

Sebelum melintas keluar, mereka meminta saya berkirim salam kepada ibu ayah saya, dan meminta agar didoakan kesejahteraan buat mereka. Imam memanggil saya semula tiba-tiba. Di tangannya terdapat secebis kertas, dan tangannya yang sebelah lagi cekatan menulis sesuatu. Dia menghulurkannya kepada saya. Tertulis nombor telefonnya. 

********** 

Angin petang berhembus dingin. Tidaklah begitu sejuk kerana semenjak kebelakangan ini musim panas sudah tidak dilatari hujan lagi. Hari ini saya juga hanya memakai satu lapisan baju. Berlari-lari anak saya kembali ke rumah rakan saya untuk mengambil beg dan mengejar tren untuk ke lapangan terbang. Hari itu saya akan pulang ke Malaysia. 

Ruang solat Masjid Jalalabad, Selly Oak, pada waktu malam

Sudah jam 6.40 petang. Disebabkan penerbangan saya akan bertolak pada pukul 10 malam, saya harus berada di sana 3 jam sebelumnya. Saya menatap semula cebisan kertas tadi sebelum menyeluknya ke dalam kocek kemeja saya. Jemaah yang selalu saya nampak di dalam masjid harus saya kenali dengan lebih lagi sebelum pulang ke Malaysia buat selamanya nanti.

Sedih, tidak dapat berbuka petang itu bersama mereka lagi – tidak dapat saya merasa bubur wajib berbuka dari negara mereka, entah mereka panggil dengan nama apa. Juga ada kacang kuda pedas yang mengecurkan liur, serta pakora sayur-sayuran yang kadangkala rangup dan kadangkala berisi tebal. Tidak semua orang menggemarinya, tetapi saya serta-merta lapar hanya dengan memikirkannya sekarang. Ah, rindu benar.. oh ya, Mukhliz pun sangat menyukai lauk-pauk itu. 

Bila pula dapat berjumpa dengan pemuda Itali itu; yang hingga kini tak henti mencari cinta? 

Nanti.


[kredit gambar buat Kamal (dari blognya) dan Raja Muhammad Khairuddin (dari facebook)]


September 06, 2012

Pengalaman Menjadi Angin

Berita Harian, 5 September 2012
Alhamdulillah, sudah lebih sebulan Dandelion diterbitkan. Untuk pengetahuan pembaca, Dandelion merupakan antologi puisi yang diselenggarakan oleh saya bersama tiga lagi teman dari Grup Karyawan Luar Negara, iaitu Ainul Arina dari Jordan, Muhammad Iqbal A. Ghani dari Ireland (kini di Malaysia) dan terakhir, Hazwan Ariff Hakimi dari UK (yang juga menerbitkan kumpulan puisi solonya yang pertama bertajuk Sasterawanara Keraton).

Bermakna, sudah lebih sebulan juga tugas saya sebagai penyelenggara tamat. Kami bermula sejak hujung 2011 lagi. Awalnya tidaklah begitu bermasalah. Tetapi pada penghujung bulan Ramadhan 2012, sebelum dan ketika dibawakan softcopy Dandelion ke penerbitan, pelbagai masalah timbul. Berjaga siang malam untuk menyempurnakan softcopy yang bermasalah. Tidak seperti antologi Trem ke Pintu Syurga (TKPS - antologi cerpen juga terbitan GKLN) yang hampir tiada masalah melainkan kesalahan ejaan. 

Namun istilah 'berjaga' ini tidaklah teruk sangat sebenarnya kerana secara tidak langsung memang saya perlu jaga pada waktu-waktu tertentu. 

Sebabnya, semasa Ramadhan di UK, jadual tidur saya tidak seperti biasa, kerana saya tidur pada jam 12 malam (terawih tamat jam 12) dan perlu bangun pada jam 3 pagi untuk bersahur. Kemudian tidur semula pada jam 7 pagi dalam 3 jam atau lebih.  Mujurlah jadual tidur yang tidak berterusan ini dan waktu siang yang panjang membolehkan saya sentiasa kemaskini softcopy tersebut apabila timbul masalah tidak kira waktu malam atau siang di UK. Terganggu mungkin cuma sesekali tapi itulah pengalaman. Alhamdulillah, walaupun sedikit penat di hujungnya, akhirnya saya berjaya menyempurnakan fail PDF untuk dibawa ke syarikat percetakan.

1 September lalu, buku-buku yang telah saya sebutkan, tiga buah semuanya, bersama sebuah buku dari persatuan rakan penulis, Legasi Oakheart telahpun berjaya dilancarkan secara rasmi di Rumah Pena, Kuala Lumpur. Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan yang menjadi perasmi, dan naskhah Dandelion ini telah diulas oleh Cikgu Shamsuddin Othman. Puan Nisah Haron juga datang untuk mengulas antologi cerpen TKPS. Majlis tersebut juga dihadiri oleh penulis mapan seperti S.M Zakir dan Fahd Razy.

Okey, bunyinya macam laporan akhbar pula. (ya, bercakap pasal suratkhabar, berita tentang majlis pelancaran ini ada dimuatkan di dalam Berita Harian semalam, di bahagian sastera. Syukur)

*************

Selain pengalaman manis mengumpul dan menyusun puisi-puisi pelajar luar negara untuk Dandelion, saya juga diberi peluang untuk mewarnakan rupa buku tersebut bersama dengan TKPS. Merekabentuk kulit buku memang satu perkara yang sangat saya minati, mungkin disebabkan saya sendiri memang suka menilik buku berdasarkan kulitnya terlebih dahulu. Atau sebab lain, barangkali saya minat menterjemah teks ke dalam bentuk grafik dan cuba memberi wajah terhadap latar karya dalam bentuk yang lebih ringkas.

(Saya suka kulit buku yang bersifat minimalis, atau berilustrasi tangan (hand-drawn), dan itu cuma sebahagian yang saya dapat fikirkan buat masa ini)

Saya lebih enjoy dalam merekabentuk kulit TKPS berbanding Dandelion sebenarnya - mungkin kerana cerpen lebih mudah diterjemah dalam bentuk ilustrasi. Banyak elemen yang boleh dipilih untuk mewakili cerita. Untuk Dandelion, tak mungkin saya akan meletak sebuah gambar bunga dandelion begitu sahaja. Tidak salah, dan mungkin sesuai kerana ada yang tidak tahu apa itu dandelion, tetapi antara peraturan desain kulit buku yang pernah saya dengar dari Chip Kidd (seorang graphic designer yang saya suka di Knopf, sebuah syarikat penerbitan di Amerika), sebolehnya jangan letakkan gambar yang literal, kerana ini juga memberi peluang untuk pembaca berfikir dan mentafsir, secara tidak langsung mengangkat kebolehan pembaca, bukan merendahkannya.

Untuk kedua-dua antologi saya cuba menjadikan desainnya selari, meminjam konsep siri buku seperti Hadiah Sastera Utusan sebagai contoh terdekat. Bukan saja lebih kemas dan elok bila dipamerkan bersama, bagi saya keselarian itu menampakkan bila buku-buku tersebut diterbitkan.

Berikut antara idea awal/proses rekabentuk yang mungkin tidak seberapa dan tidak begitu profesional (in terms of progress, concept etc):
Proses rekabentuk kulit antologi puisi Dandelion
Proses rekabentuk kulit antologi cerpen Trem ke Pintu Syurga

Bagi yang belum mendapatkan naskhah-naskhah ini, bolehlah menempah, selagi stok masih ada (setakat ini hanya satu cetakan sahaja!) di laman ini: http://karyawanluarnegara2012.blogspot.co.uk/ Dapatkan dua antologi ini beserta kumpulan puisi Sasterawanara Keraton dengan harga kombo RM50. Murah kan?

Dan istimewa untuk pembeli dan pembaca blog ini, saya ada desain dua buah penanda buku yang sepadan dengan buku Dandelion dan TKPS yang boleh dimuat turun, cetak dan potong sendiri untuk digunakan bersama naskhah-naskhah ini tentunya :) (Boleh muat turun di sini. Cara muat turun - klik option 'File' di sebelah atas kiri dan skrol kebawah dan klik 'Download'. Saiz sebenar: 15cm x 3.5cm. Garis panduan untuk memotong ada disertakan dalam fail tersebut.)


Susah mencari quotation yang sesuai untuk menggambarkan cerpen TKPS, tetapi ini hasilnya. Selamat menikmati penanda-penanda buku ini!

Alhamdulillah, alhamdulillah dan alhamdulillah. Semoga pengalaman menjadi angin dengan menyebar benih dan mewarnakan panorama ini akan menjadi perkara berharga yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang. Juga, selamat menikmati buku-buku ini dan menyampaikan mesejnya!

helaianrindu: Paling manis tentunya, apabila tajuk puisi saya terpilih (dalam undian) untuk menjuduli antologi puisi tersebut. Walaupun sebenarnya hanya kalah dengan beberapa tajuk lain dengan 1 atau 2 undi sahaja. Selain puisi Dandelion, puisi saya bertajuk 'Pentas' juga dimuatkan dalam buku ini.


Related Posts with Thumbnails