Disember 08, 2008

Sekalung Budi, Seuntai Bahasa


Judul: Sekalung Budi, Seuntai Bahasa
Penulis: -
Tahun: 2002 (cetakan kelima)
Penerbit: DBP
Harga:Tidak dinyatakan

Sebut saja majlis apa pun, biar ucapan pembukaan, selitan, mahupun ucapan penutup, pasti ada yang akan menggunakan ungkapan-ungkapan serta pantun. Sama ada rekaan sendiri ataupun adaptasi dari pantun tradisi, pantun masih satu medium menyampaikan mesej secara halus dan indah. Buku yang saya ulas kali ini merupakan koleksi ataupun himpunan pantun-pantun tradisonal yang merupakan satu daripada usaha DBP, bertujuan memelihara warisan budaya kita agar tak luput dek zaman.

Hendak berpantun, tapi tak tahu nak guna pantun mana? Mudah kalau menggunakan buku ini. Ada 6 bahagian semuanya, terbahagi mengikut tema ataupun kesesuaian majlis. Bahagian pertama, Awal Bismillah Pembuka Bicara, semestinya khusus untuk pemula dan penutup majlis rasmi, juga sanjungan dan pujian pada tetamu serta yang seumpamanya seperti pantun selamat datang. Bahagian dua, Budi Baik Dikenang Jua, memfokuskan pada penghargaan jasa dan memberi nasihat, di samping menyanjung kemuliaan budi bahasa. Ya, bahagian ketiga saya pasti ramai yang suka--Pinang Mengadap Sirih Menyembah--bahagian yang mengandungi pelbagai pantun pengantara dalam adat merisik, meminang, pernikahan atau pembukaan upacara berkaitan. Kalau nak 'berkumbang' atau 'menyunting bunga', hah, di sinilah tempatnya nak cari. Terus ke bahagian empat (Baik-baik Memilih Intan), adalah koleksi nasihat, amaran, dan teladan; manakala Hilang di Mata di Hati Jangan pula merakamkan rasa rindu dendam, kasih sayang, harapan, kekecewaan, suka duka serta emosi-emosi lain; dan bahagian akhir Dalam Pantun Ada Bicara mengandungi koleksi pantun yang mempunyai mesej selain yang dinyatakan dalam bahagian-bahagian sebelumnya.

Pantun, sememangnya memberi warna pada ucapan, dan kalau anda membaca pendahuluan Sekalung Budi Seuntai Bahasa yang disediakan di awal buku ini, anda tentu faham tujuan menggunakan pantun, yang bukan sekadar menyatakan perasaan, malah boleh mencakupi perbincangan kemasyarakatan, sosial, politik, dan sekarang sudah ada yang membawa sains ke dalam pantun kita. Pantun bukan saja mencantikkan bicara, malah menjadikan suasana lebih meriah dan ceria.

Bercakap tentang meriah, terkenang lagi ketika saya tingkatan 4 dan 5 di Kolej Islam Sultan Alam Shah, saya punya seorang cikgu bernama Cikgu Zamri, atau lebih glamor dipanggil Sir Zamri (kerana dia mengajar Bahasa Inggeris). Selalunya, majlis rasmi yang melibatkan tetamu luar, dialah yang jadi tukang acara. Dan selalunya jugalah, dia pasti menceriakan audiens dengan pantun-pantun yang diselitkan sepanjang dia mengacarakan majlis-majlis ini. Kalau tak silap saya, memang itu pantun rekaan dia sendiri.

Biarpun kulit luar nampak kurang menarik, jangan dipandang rendah isinya. Saya lebih suka isinya bukan sebab pantunnya saja, tapi disebabkan bingkai pada setiap helaian mukasurat yang cantik--motif tumbuhan yang kena dengan isi buku ini. Cuma drawbacknya, motif yang sama dilihat dari awal sampai akhir. Pada awal mungkin menarik, tetapi di akhirnya jadi agak bosan. Mungkin perlu kepelbagaian.

Secara umumnya saya tidak dapat ulas isi buku ini, kerana pantun-pantun yang dimuatkan adalah pantun tradisi. Tapi ada juga pantun yang saya dapati berulang, maksud saya hanya pembayang diubah, tetapi maksud bagi pantun tersebut adalah sama. Mungkin pantun dengan maksud sama tidak perlu dimuatkan lagi sebab nanti hanya makan ruang. Contohnya dua pantun ini:

Hari ini menanam jagung,
Hari esok menanam jelai;
Hari ini kita berkampung,
Hari esok kita bercerai. (m/s 10, bhg. 1)

Malam ini merendang jagung,
Malam esok merendang serai;
Malam ini kita berkampung,
Malam esok kita bercerai. (m/s 13, bhg. 1)

Apapun, itu bukanlah kelemahan besar, kerana pembayang pantun itu memang penting untuk mencantikkan pantun. Siapa yang suka dengan pantun Melayu tradisi, maka tak dapat tidak, buku ini mesti jadi koleksi anda. Yang nak belajar, memang lagi sesuailah.

Selamat berpantun!

*Fathiyyah, tak nak beli buku ni?

2 ulasan:

fathiyyah berkata...

oh,aku mmg mencari2 buku pantun mcm ni..selalu usha kat perkisas je..,tp tak byk buku yg betul2 ikut kehendAk hati..

kalau la aku punya banyak masa dan pengalaman skit,mungkin aku bley kembangkan minat dan bakat aku dlm pantun ni..mana tahu,boleh ada buku pantun hasil karya aku sendiri..

tapi..aku kena study!! hihi

thnks rasydan..mana jumpa buku ni? kat library?

dan berkata...

wah, buku karya sendiri? bagus tu cita2 tu. bole la aku beli nanti :)

buku ni mmg kat library. 'library' rumah :)

Related Posts with Thumbnails