Memaparkan catatan dengan label galeri ilmu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label galeri ilmu. Papar semua catatan

September 17, 2010

Mendepani Realiti Cinta

Judul: Bercinta Sampai ke Syurga (Aku Terima Nikahnya #2) 
Penulis: Hasrizal Abdul Jamil 
Penerbit: Galeri Ilmu 
Tahun: 2008 
Harga: RM25 
Bil.mukasurat: 271

Tampil lagi dengan isu cinta dan rumahtangga, kali ini Ustaz Hasrizal membawa pembaca untuk berfikir lebih jauh, untuk pandang bukan sahaja pada masa kini, tetapi pada masa hadapan dan belakang. Apa yang saya dapat petik dalam isu dua dari siri Aku Terima Nikahnya ini adalah persoalan ‘mendepani realiti’. Sasarannya bukan sahaja pembaca yang mahu dan sudah berumahtangga. Malahan sesiapa sahaja boleh mengambil ibrah daripada buku ini, khususnya para guru dan anak-anak yang terlibat langsung dalam pembentukan individu dan baitul muslim.

Buku ini difokuskan pada kehidupan pasca lafaz ‘Aku Terima Nikahnya’, yakni sesudah berjaya mengikat tali pernikahan. Banyak kisah-kisah pahit manis yang dikongsi oleh penulis dalam menggambarkan suasana dalam rumahtangga. 

Membaca buku ini akan membuatkan pembaca berfikir beberapa kali mengenai tanggapan mereka tentang rumahtangga. Selepas membaca buku ini saya juga menimbang-nimbang kembali pandangan saya terhadap isu ini. Memang, isu ini adalah satu cabaran buat kita. Ada pasangan yang sudah tepu ilmu agama, tetapi masih berlaku dugaan dalam hidup berdua. Itu belum kira mereka yang tidak kuat agamanya, yang permulaan pernikahannya tidak begitu baik.

Ramai pasangan yang lupa realiti hidup berkeluarga ini memerlukan dua perkara, iaitu cinta dan tanggungjawab. Sesetengah orang hangat bercinta, tetapi berantakan keluarganya kerana lupa melunaskan tanggungjawab, lalai dalam menunaikan hak. 

Di satu pihak yang lain pula, sudah tahu mana tugasnya dan nafkah yang perlu diberinya pada anak isteri. Sayangnya, mereka terlupa untuk mengakrabi pasangan masing-masing untuk memekarkan cinta antara mereka. Akhirnya yang tinggal juga sebuah keretakan.

Dalam cabaran penulis mendepani realiti kehidupan pasangan lain di Malaysia, penulis juga tidak lupa membandingkan dan memberi muhasabah melalui kehidupan familinya sendiri. Ada masam-manis dalam mendidik anak-anak, ada kunci untuk memesrai pasangan, ada pula bicara dan luahan rasa dengan pelbagai lapisan manusia yang sedang mendepani realiti kehidupan mereka dengan tanggapan yang berwarna-warni. 

Tugas penulis, melakarkan kembali lingkaran perspektif yang sesuai untuk menghadapi tanggapan yang berbeza-beza ini. Pembaca tidak akan sesekali disuakan dengan jawapan Ya atau Tidak, tetapi diluruskan kembali dengan weltanschaaung penulis berlandaskan syariat dan juga konteks perkara tersebut. Lebih menarik lagi, apabila sesebuah permasalahan yang dibincangkan disatukan dengan resensi filem dan mutiara kata dari tokoh-tokoh semasa baik dari Timur atau Barat, selain memetik isi Al-Quran dan teladan dari hadis Nabi.

Kahwin awal? Ber’couple’? Kahwin cara zaman dahulu? Berumahtangga di perantauan semasa masih belajar? Bagaimana menjadi ibu bapa yang baik? Bagaimana memesrai pasangan kita? Bagaimana cara melayan kerenah dan persoalan yang dikemukakan anak-anak? Poligami pula, macam mana?  

Bertalu-talu persoalan, saya pasti semua mampu terjawab, jika kalian bijak mengekstrak teras solusinya dalam kompilasi artikel-artikel penulis. 

Meminjam kata-kata penerbit, pasti ada yang akan terkena batang hidung selepas membaca naskhah ini, tidak kurang yang bakal lega kerana akhirnya mendapat suara (saya antaranya yang lega itu, ada sebuah artikel yang betul-betul kena pada saya!). Selain isinya yang tajam menegur dan penuh nasihat, ada juga diselang-selikan dengan jenaka-jenaka yang menjadikan pembacaan santai.

Barangkali selepas membaca Bercinta Sampai ke Syurga, akan ada pula golongan yang takut untuk berumahtangga... tetapi itulah realitinya hidup kita, banyak cabarannya. Baitul Muslim sememangnya satu titik penting dalam membangunkan ummah dan tentunya dalam membentuk insan-insan yang mendirikannya juga sukar. Membentuk manusia dan perkara yang berkait rapat dengannya bukannya seperti membentuk tanah liat supaya menjadi bentuk yang kita suka. 

Mendepani realiti memang susah, apalagi untuk menguruskan situasi itu secara amali. Tetapi, sekurang-kurangnya, jika kita sudah bersedia menghadapinya, tentu lebih mudah untuk menerimanya bukan? Penulis sendiri mengingatkan, bahawa dia bukanlah bapa mithali yang sempurna serba-serbi. Dia menggelar dirinya ‘bapa realiti’ yang juga terdedah pada pengaruh emosi dan suasana. Manusia akan tetap kekal sebagai manusia yang banyak kelemahan, tetapi setidaknya kita menjadi lebih kuat dengan mengambil ibrah dari penulis. 

Jadi terimalah naskhah ini untuk memperhalusi ukiran baiti menjadi jannati, supaya dapat kita mengalun irama sakinah, mawaddah dan rahmah dalam institusi rumah tangga.

Insya Allah, ada hasilnya.

Nota: Baru-baru ini buku ini tercalon sebagai finalis Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian.

HelaianRindu: Takziah buat keluarga Sosilawati Lawiya.


Julai 23, 2010

Secangkir Çay Pengubat Letih

Buku ini merakamkan ekspedisi di Bumi Turki yang sering dikunjungi penulis sepanjang persinggahan hidupnya di Jordan dahulu (terkandung dalam sebuah buku yang diterbit sebelum ini bertajuk Rindu Bau Pohon Tin, 2009). Cuba 'melarikan diri' sebentar mencari damai dari segala macam kerunsingan di tanah Urdun, dia melangkah ke negara jiran dengan sedikit duit simpanan khas.


Secangkir Teh Pengubat Letih
Hasrizal Abdul Jamil
Galeri Ilmu, 267 halaman, Cetakan pertama 2010.
RM25.00

Nyata, kembaranya tidak sia-sia, apabila takdir menemukan dia dengan seorang pemuda tempatan bernama Fatih yang awalnya tegar ingin mempelajari bahasa Arab. Pertemuan dengan Fatihlah yang menjadikan perjalanan penulis ke Turki sebagai sebuah ekplorasi hati yang memuhasabahkan diri. Bukan sahaja dapat mengikat ukhuwwah dengan Fatih dan teman-teman serta keluarga, tetapi menjangkaui kepada percintaan dengan Islam itu sendiri, juga sejarah jatuh bangun pentas khilafah itu.

Istimewanya buku ini bagi saya adalah kerana perhubungan yang dibina oleh penulis itu sendiri, dengan Fatih dan teman-temannya. Siapa sangka, Fatih merupakan anak kepada seorang Datuk Bandar. Jadi, selain tujuannya menyelongkar bahan sejarah Uthmaniyyah di Turki dan menguasai bahasa tersebut, penulis juga secara tidak langsung jadi begitu cakna dengan politik Turki. 

Ironi Bumi Khilafah

Umum mengetahui, kedatangan Mustafa Kemal ke bumi khilafah itu telah memporak-perandakan suasana Turki sehingga sekarang. Justeru institusi politik menjadi wasilah penting dalam membangkitkan kembali syiar Islam di sana. Sejak 1995 penulis diperlihatkan dengan usaha-usaha Parti Refah yang membawa seruan Islam. Walaupun ramai penduduk tempatan sudah mula sedar dan menyokong padu seruan Islam ini, masih ada pihak yang terus-terusan berusaha mematikan usah-usaha ini. Ini terbukti apabila Parti Refah telah ditutup, dan tahun-tahun berikutnya juga menyaksikan penutupan beberapa lagi parti politik. Walaupun pihak yang cuba membawa Islam berganti parti demi parti, dan usaha-usaha dilakukan secara terselindung atau terbatas, semua jalan seakan sudah tiada.

Ketika itu bukan sahaja jalan mengembangkan Islam melalui siasah sudah dihalang, perkembangan sosial juga menjadi terbatas. Pusat-pusa tahfiz Al-Quran ditutup, Fakulti Teologi yang menjadi pusat pertahanan Islam juga ditekan, malah tudung dan hijab juga disekat. Pelajar-pelajar muslimah perlu memilih antara tudung atau peperiksaan, antara iman ataupun impian.

Ironi bukan, apabila Turki merupakan sebuah negara pengeluar tudung!

Namun dalam rumitnya situasi yang melanda negara tersebut, penulis sentiasa mengekalkan sisi optimisnya. Pembaca diberi bandingan dan teguran yang lantang tetapi berhalus tentang hikmah terjadinya semua ini. Saya sendiri mengakui ini merupakan satu petanda baik—Islam semakin berkembang. Semenjak zaman nabi lagi, ketika Islam berkembang, tentangan menjadi semakin hebat dari hari ke hari. Sekarang pun, Recep Tayyip Erdogan sebagai Perdana Menteri Turki pun telah membungakan harapan buat penduduk Islam Turki dan dunia seluruhnya. Lihat saja reaksinya saat Mavi Marmara (ekspedisi Freedom Flotilla ke Gaza) diserang oleh tentera Israel tidak lama dulu. Bukankah ini petanda? Siapa tahu, Islam yang jatuh di bumi Turki, akan bangkit semula bermula di sini nanti?

Pelajaran Sebuah Kembara

"Siapa kamu menentukan cara kamu melihat," kata penulis. "Kesannya pula ialah, cara kamu melhat menentukan apa yang kamu dapat," pesannya lagi.

Tidak hairanlah apabila kita membaca travelog tarbiah ini, kita dibawa menyusuri perspektif yang sangat berbeza dari pandang sisi yang selalu dihebahkan oleh orang lain. Kadangkala kita selalu dikaburkan dengan penceritaan yang berat sebelah—menuduh Turki lupa diri kerana mahu menyertai gagasan Kesatuan Negara-negara Eropah (EU), menanggapi Turki sudah jauh tersasar dari Islam kerana dasar sekularisme yang dipraktikkan, dan pelbagai macam tuduhan—yang dibuat tanpa mengalami fenomena yang berlaku di negara itu dengan mata kepala sendiri. Pembaca yang betul-betul faham dengan pesan penulis yang disebut sebelum ini (juga tercatat pada belakang buku ini) akan nampak bagaimana cara yang boleh dikatakan terbaik dalam menilai sesebuah perkara sekalipun ia nampak buruk seburuk-buruknya pada pandangan mata. Eksoterik tak semesti menggambarkan keseluruhan keadaan esoterik!

Pelajaran dari bumi Turki juga tentunya akan membawa kita menyusuri sejarah hebat khilafah Uthmaniyyah yang pernah bertapak di sini. Antara bingkisan yang paling mengesankan penulis, yang dimuatkan dalam naskah ini, adalah kisah Khalifah Sultan Abdul Hamid II. Sedikit petikan, khalifah ini banyak disalahtafsir sebagai seorang yang ‘dayus’ terhadap Islam dan mengatakan dialah pemula penjatuh pemerintahan Islam di Turki. Fakta sejarah yang terjadi sebenarnya, terlalu berbeza. Baginda sendiri yang mencatat peristiwa sebenar yang terjadi terhadapnya dan keluarga di dalam diarinya. Kisah lanjut boleh dibaca dalam bab Menjejak Tragedi Penggulingan Sultan Abdul Hamid II.

Begitulah kembara, segala-galanya yang dialami hanya akan dihargai apabila kita merasai apa yang dilalui oleh ummah selama ini, apabila kita benar-benar perlukan penyelesaian untuk kesulitan ummah dan diri sekalipun. Benarlah, güneşte yanmayan gölgenin kıymetini bilmez. 

Orang yang tidak pernah dibakar panas mentari, mustahil menghargai rimbun berteduh!

*************

Untuk menambahbaik buku ini, saya fikir adalah sangat baik sekiranya disertakan glosari di bahagian belakang buku. Walaupun sesetengah frasa atau ayat dalam bahasa Turki yang digunakan sudah diperjelaskan dalam ayat yang sama, glosari pada saya sangat membantu lebih-lebih lagi buat pembaca yang minat untuk mempelajari bahasa-bahasa asing.

"Carilah damai untuk diri sendiri. Khususnya untuk anak muda berjiwa da'i, yang sering hidupnya berfikir tentang orang lain, hingga lupa kepada perlunya diri dibelai damai oleh minda, emosi, dan spiritual yang kemas antara diri dan Ilahi... hanya kamu dan Dia... tiada yang ketiga."

Jasad manusia fitrahnya lemah, adakala akan tetap terasa lelah. Oleh itu, carilah secangkir kelegaan buat menghilangkan kegersangan itu sepanjang kembara di bumi Allah ini... siapa tahu, buku inilah secangkir ‘teh’ yang kalian cari-cari?

HelaianRindu: Terbaca berita tentang Gaza, hospital mereka memerlukan RM16 juta untuk penuhi keperluan kesihatan penduduk. Tapi dalam akhbar yang sama ada seorang pembikin filem mahu guna RM16 juta juga, hanya untuk hasilkan satu filem!


Julai 02, 2010

Sinergi: Merengkuh Hidup Bertarbiyyah

Judul: Sinergi
Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: Galeri Ilmu
Tahun: 2010
Harga: RM23.00
Bil.mukasurat: 500


Novel kelima Hilal Asyraf kali ini berkonsepkan slice of life komuniti pelajar Melayu di Jordan. Cerita dibawa dari pelbagai sudut pandang ketiga. Memandangkan latarnya sangat benar dan bukanlah fiksi, naskhah ini secara tidak langsung saya pandang juga sebagai semi-fiksyen, kerana penulis menceritakan pengalaman dan berkongsi suasana yang dialaminya sendiri, sebagai salah seorang pelajar di Universiti Yarmouk, Jordan. Bukan setakat latar tempat, latar masyarakat, nama-nama yang terlibat juga ada yang benar. Saya menyedari ini kerana banyak di antara nama itu disebutkan di dalam laman sesawangnya.

Sinopsis

Rasyid Zakwan dan Irfan Hakimi. Dua sahabat akrab ini memberi kesan harmoni kepada masyarakat sekeliling mereka, apatah lagi pelajar Melayu yang tinggal di Irbid, Jordan. Namun ujian datang menguji kelangsungan ukhuwwah mereka. Disaster Five, lima pelajar bermasalah hadir dan memanipulasi konflik dua sahabat ini untuk memporak-perandakan semua. Rancangan tersebut diperhebat apabila hadir pihak ketiga bergelar Secret, yang mendendami Irfan atas kematian abangnya. Irfan dan Rasyid pelu mencari jalan untuk menawan hati mereka semula supaya kembali ke arah kebenaran.

Tarbiyyah Sepanjang Tahun, Oh Bukan, Sepanjang Hidup!

Pembawaan kisah kehidupan pelajar di bumi asing hampir setahun bermula Ramadhan bukan sahaja menelusuri tarbiyyah manusia sepanjang tahun, tetapi sepanjang hidup. Melalui Ramadhan contohnya pembaca diperkenalkan keutamaan taqwa; Iduladha pada mustahaknya pengorbanan dan cinta. Permasalahan yang selalu melayang dalam fikiran remaja khususnya banyak dibincangkan dalam novel ini. Ilmu itu pula, menariknya, disampaikan melalui medium yang bervariasi, dari ayat-ayat Al-Quran sehinggalah bingkisan sirah. Tambah telus bila pengarang bermain dengan analogi, permainan emosi, hati juga psikologi.

Penulis mengajak kita berfikir pada setiap kata-kata yang dilontarkan. Setiap adunan tazkirah dan nasihat adalah bertujuan membangunkan hati-hati yang masih nyedar. Membuatkan setiap apa yang diselitkan dalam program-program seperti usrah dan introspeksi menjadi penting, dan penulis menyuruh kita menyedari itu secara halus. Kalau tidak bangkit 'disimbah air' kesedaran juga, kita masih perlu baiki diri!

Tentang Dakwah

Sinergi merupakan satu buku panduan yang cantik dalam menyampaikan mesej dakwah yang indah lagi halus. Kemunculan Disaster Five, lima orang pelajar dengan bermacam-macam ragam merupakan simbolik kepada mad'u atau objek dakwah yang perlbagai. Setiap individu yang didekati dalam menyampaikan dakwah mempunyai latarbelakang berbeza, masa silam, kelebihan, juga kekurangan yang tidak sama. Tentunya, cara menyentuh hati-hati setiap satu dari ahli Disaster Five ini juga tidak sama. Harith digoncangkan hatinya dengan kekuatan fizikal. Yusuf disuguhi dengan jasa, begitu contohnya.

Aspek lain dalam dakwah adalah seputar usaha. Dakwah tidak dipandang pada hasilnya dahulu, tetapi yang lebih didahulukan sepatutnya usaha yang telah dikerahkan. Sekalipun para mad'u tidak meyahut seruan dai'e, tanggungjawab yang kita pikul itu sudah kita laksanakan dengan sebaik-baiknya. hasilnya adalah di dalam tangan Allah jua. Hal ini ditonjolkan dalam usaha Irfan yang tidak putus asa mendekati ahli-ahli Disaster Five.

Dalam menyelami tugas dai'e rasa tanggungjawab perlu dihayati terlebih dahulu. Betapa tugas sebagai da'ie ini bukan mudah. Masalah saudara-mara kita, saudara seagama kita perlu difahami seintim mungkin, bukannya memerhati dari permukaan, tetapi menggulatinya dari dasar. Pengalaman ini telah diceritakan melalui Asid yang resah berfikir mengenai tanggungjawabnya kepada mereka yang masih belum merengkuh hidup bertarbiyyah. Pernah, saya membaca sebuah novel inggeris karangan Maeve Binchy, dalam menyelesaikan sesuatu masalah, katanya: Don't just look on it, but be a part of it as well. Baru kita boleh faham situasi yang melanda.

Selain itu, dinisbahkan juga metod dakwah kepada dua: Dakwah fardiyyah untuk anggota-anggota Disaster Five. Dakwah berskala besar pula berlaku antara warga PERMAI (Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid). Uslub yang dipertontonkan pada pembaca semuanya bertunjangkan apa yang dibawa oleh baginda Rasul dan para sahabat, lalu diperhalusi lagi dengan seni dakwah Imam Hassan Al-Banna dengan sahabat sefikrahnya Ikhwanul Muslimin. Berhikmah, dan tidak putus asa.

Kenapa Sinergi?

Pengarang dengan suka memperkenalkan kepada kita jalur konsep ukhuwwah dengan bancuhan urnanya yang tersendiri. Dalam Sinergi, konsep tersebut merujuk kepada formula 1+1=3, tidak semestinya dua jawapannya. Formula ini mengajar pembaca betapa kesatuan dua individu bakal melahirkan sesuatu yang luarbiasa, kerana tanda campur itu merupakan iman. Gugusan iman yang menyatukan dua saudara ini akan menggerakkan mereka menggenggam tali Allah.

Hablum min an-naas dalam novel ini begitu signifikan sifat dan nilainya, begitu juga seperti yang diutarakan dalam novel-novelnya yang terdahulu. Penekanan cara dan sebab melalui persoalan kenapa dan bagaimana yang sering disuakan kepada pembaca menerusi watak pelajar-pelajar sanfur (gelaran pelajar baru di sana) mengajar kita sebenar letak duduk perkara.

Ukhuwwah dengan sahabat bukan sahaja menuntut kita menggaluri haknya sebagai sahabat. Malah penulis menggarisi adab-adab dan tingkatan ukhuwwah yang perlu dikenalpasti oleh setiap manusia yang punya dan ingin mempunyai sahabat persis Asid dan Irfan, yang karibnya hanya kerana Pencipta.

Watak & Cerminan Diri

Mungkin bagi kita, watak Irfan dirasakan hampir sempurna, hampir tiada cacat cela pada perkataan dan perbuatannya. Tetapi di mana salahnya watak sebegitu? Irfan adalah seorang watak contoh, watak idaman setiap manusia. Pembaca disuluh dengan pemikiran watak ini supaya kita dapat mencontohinya. Watak kurang sempurna masih ada, tentunya dinisbahkan pada komuniti pelajar Melayu di Irbid yakni warga PERMAI sendiri, yang sekejap baik lakunya dan sekejap lagi sedikit kurang teliti. Setelah ditegur barulah  insaf kembali.

Watak 'kembar' atau sahabat akrab Asid dan Irfan pula menggambarkan kepada pembaca mengenali dua sisi diri: satu menuntut kebaikan dan satu lagi keburukan. Asid bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, tetapi dia kurang stabil emosi dan fikirannya berbanding watak Irfan. Dua watak berbeza ini bukan sahaja mencerminkan sifat dua sahabat, malah seharusnya diimplementasikan dalam figura sendiri. 

Dalam hati kita, akan ada emosi yang mengganggu. Hati juga dijamu dengan jalan keburukan dan ketaqwaan. tetapi yang beruntung adalah orang yang memilih jalan kesucian. Ini dibuktikan dalam Al-Quran surah Asy-Syams ayat 8-10, dan tercermin pula pada watak Asid yang berjaya mengelakkan diri dari kefasadan.

Pun begitu, di sebalik kekuatan novel ini, sedikit kekurangan yang saya rasa boleh diperbaiki ialah rincian yang disertakan dalam buku ini. Kadang-kadang maklumat yang disampaikan agak deskriptif dan teknikal bagi saya. Watak-watak sampingan yakni pelajar-pelajar Melayu yang disebut namanya di sana-sini juga boleh dikurangkan. Ketika saya membaca novel ini, saya terkeliru dengan nama-nama yang banyak. Setiap satunya pula diperincikan dengan jurusan dan tahun pembelajarannya, tambah mengelirukan kadangkala.

Pada awal bab contohnya, pembaca terus diperkenalkan kepada watak yang agak banyak, setiap satunya belum cukup 'dekat' dengan pembaca. Watak-watak utama seperti Asid, Irfan, Syafiq, Erman dan Baha contohnya perlu difokuskan terlebih awal sebelum watak-watak pelajar lain dibabitkan. Setelah pembaca mampu mengikat diri mereka dengan watak utama ini, barulah watak sampingan itu di selitkan sedikit demi sedikit. Atau mungkin juga penulis secara tidak langsung ingin mengatakan bahawa setiap watak itu penting? Hanya penulis saja mampu menjawabnya.

Perkara-perkara kecil juga boleh diperbaiki, antaranya Yusuf, Wafiq dan Harith yang sekejap bertukar ganti dari kata ganti 'saya' kepada 'aku' ketika mereka meluah rasa tentang masa silam mereka, punca mereka memberontak sebegitu rupa pada Irfan, Asid dan rakan-rakan. Dengan penelitian yang lebih, seni penceritaannya pasti lebih sempurna.

Novel ini mengingatkan kita peri pentingnya hidup di bawah wuwungan Allah, dan bagaimana hebatnya jika merengkuh diri kepada sahabat bukan kerana materi, tetapi berpaksi imani. Jika kalian dahagakan curahan tarbiyyah dari sebuah buku, rengkuhlah Sinergi, nescaya hati akan terisi, Insya Allah.

HelaianRindu: Alhamdulillah, kembali menjamu novel berbahasa Melayu.

September 10, 2009

Aku Terima Nikahnya

Judul: Aku Terima Nikahnya
Penulis:
Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit:
Geleri Ilmu
Tahun:
2008
Bil. mukasurat:
227
Harga:
RM20.90


Dalam banyak-banyak koleksi buku saya, buku ini yang mula-mula saya baca cuti Jun-September ini. Tetapi peliknya saya benar-benar dapat mengulasnya di penghujung cuti pula. Tak mengapa, kerja Tuhan yang mengilhamkan, siapa tahu?

Karya ini sememangnya sudah diketahui ramai. Rakan-rakan saya sendiri banyak yang memberi respon positif, mengulas dengan semangat demi menggalak saya membaca. Ya sedikit hairan, kenapa isi kandungan buku mengenai perkahwinan boleh menarik hati. Sejujurnya saya sangat-sangat jauh dari memikir perkara munakahat. Didorongi rasa ingin tahu, saya juga pantas membeli buku ini bersama 2 lagi buku Ustaz Hasrizal di Pesta Buku dengan harga potongan.


"Jangan terburu-buru dan jangan bertangguh-tangguh."

Begitu pesan beliau pada remaja (perhatian: mengikut Ibnu Qayyim, remaja berusia antara 15-35 tahun). Ketika di bangku sekolah sudah mengelamun dibuai cinta, terbawa-bawa sampai 10 tahun baru menjalin ikatan. Akhirnya tersedar diri berada di perkarangan mahkamah tidak sampai 10 hari selepas perkahwinan. Bukan kepalang malunya, apatah lagi majlis kahwin mengalahkan artis dan kenamaan! Apakah ini kebahagiaan yang dijanji-janji ketika cinta berputik di sekolah dahulu? Sebabnya mudah, dah jemu!

Jeda sebentar. Saya terkenang situasi zaman ibu bapa kita dengan zaman kita anak-anak mereka. Mungkin ibu bapa kita masih sempat berada dalam zaman kahwin pilihan ibu bapa. Ada juga yang berkahwin dalam umur yang amat muda, belasan lagi sudah menikah. Sampaikan suatu masa, kalau yang tidak lepas sekolah, tak mampu cari kerja, anak gadis terutamanya terus dicadangkan berkahwin. Berbeza kini, yang mencari pasangan adalah kita sendiri, bukan lagi ibu bapa. Mahu kenal dengan pasangan sampai ingin tahu masa dia datang bulan! Setelah lama baru diijabkabul. tetapi lihat, mana yang lebih lama bertahan?

Maka penyelesaiannya, apa? Ikut trend zaman dulu? Atau...

Takut 'Ter'zina?

Persoalan yang biasa ditanya kepada ustaz, mengenai kahwin cepat kerana takut terzina! Alahai, ustaz benar-benar pantang dengan soalan ini. Alasannya mudah, orang itu melihat perkahwinan semata-mata pada hubungan seks. Sedangkan, perkahwinan adalah lebih, lebih lagi daripada hubungan batin itu. Perkahwinan itu tanggungjawab. Jelas ustaz, "Begin with the end in mind!", fikirkan apa yang di akhir, bukan di pertengahan mahupun di awal. Dia hanya ingat persetubuhan yang berlaku malam pertama, tetapi dia lupa di hujungnya ada anak yang bakal dia jaga dan suap dengan nafkah, dia lupa itu! Kalau sekarang sudah terfikir takut berzina, bagaimana orang ini mampu melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang suami nanti. Lemah begini mahu menjaga anak bini, hai, lelakikah awak ini?

Bayangkan, tunangnya di benua berbeza, tetapi takut terzina? Hai, untuk 'zina' yang ditakutkannya itu berlaku, salah seorang kena naik kenderaan itu ini, terbang ke benua sana, dengan susah payah baru berlaku 'zina' yang disebut-sebut itu!


Itu antara isi buku ini dan pendapat peribadi saya.

Menceritakan pengalamannya sebagai seorang yang bergelar suami dan bapa sendiri, Ustaz Hasrizal merakamkan bibit-bibit perkenalannya, pertunangan dan pernikahannya sendiri. Kenangan mendapat anak yang tiga orang dan susah payahnya hidup bekerja dan ingin menjaga keluarga dalam masa sama, dikisahkan demi iktibar untuk pembaca. Sebagai motivasi untuk penulis juga saya kira, untuk mengingatkan bahawa dia juga punya keluarga. kelemahan itu punyanya manusia, jadi Ustaz sendiri cuba mengatasinya dan sentiasa mencari landasan terbaik menyelesaikannya. Ada pelbagai contoh, pembaca patut mengambil iktibar.

Selain pada prapernikahan, isu kekeluargaan dan keibubapaan pasca perkahwinan juga termuat. Semacam buku psikologi juga, tapi hanyalah melalui perspektif ustaz. Selalu ustaz mengingatkan, kita harus melihat perkahwinan sebgai medan untuk memberi. Dengan itu kita akan sentiasa cuba memberikan yang terbaik untuk anak dan isteri, walau sesibuk mana kita.

Saya terbaca sebuah reviu ringkas dari seorang blogger, menyatakan alangkah bagusnya jika buku ini berada di pasaran ketika zaman dia berkahwin dahulu. Kedengarannya dia sudah sedikit berumur, dan berkahwin lama dulu. Yakin, komennya buat saya yakin buku ini sangat bagus untuk mereka yang berfikir untuk menjalin hubungan, mahupun yang telah siap diijabkabulkan, sebagai panduan meniti hari-hari hidup sebgai pasangan, bukan lagi seorangan. Setidak-tidaknya, kalau bukan menjadi panduan, naskhah ini mampu membuka mata kita akan besarnya makna perkahwinan itu.

Hei, ingat ya, ini bukan kitab hukum munakahat, ini rakaman pengalaman disertai humor , ilmu dan tazkirah. Ya perlu juga diberitahu ini bukan buku teori psikologi, hanya pengalaman, tetapi bermakna amat.

Aku Terima Nikahnya 2 juga boleh didapati di pasaran, dengan tajuk Bercinta Sampai ke Syurga.

helaianRindu: Aku tak nak ulasan jadi ulasan, tapi lebih pada cerita dan rasa.

September 02, 2009

VT

Judul: VT
Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: Galeri Ilmu
Tahun: 2009
Bil.mukasurat: 511
Harga: RM25.00


VT adalah sebuah novel dengan tema sukan, dan fokusnya bola tampar. VT adalah akronim bagi Volleyball Team (pasukan Bola Tampar). Susah mahu jumpa novel berbentuk sukan ini, dan lebih-lebih lagi kalau hendak jumpa novel sukan dengan wacana Islam. Buku dengan tema yang sama dengan VT, paling terkini yang pernah saya baca adalah Justeru Impian di Jaring karya Zaid Akhtar. Berkisar mengenai badminton. Tidak hairan jika ada orang cuba membandingkan VT dengan novel tersebut. Saya tidak terkecuali. Mungkin disebabkan tidak banyak novel berbentuk begini di pasaran. Tetapi biarlah kita ketepikan soal banding-membanding dua novel ini.

Berbalik semula kepada VT. Buku ini merupakan fiksyen terbitan sulung penulis. Melalui pengalaman beliau dalam sukan bola tampar di sekolah menengah, beliau menggubah pengalaman itu dan memfiksikan pasukan bola tampar dan guru-guru sekolahnya. Namun latarnya dikekalkan, iaitu di sekolah menengahnya dahulu, MATRI, yang terletak di Perlis. Watak utamanya digubah dari diri penulis sendiri dengan mengambil nama Asyraf.

Dalam buku ini, Asyraf merupakan pelajar tingkatan enam yang menghadapi masalah keluarga. Dia juga masih pedih berdepan dengan masa silamnya. Suatu masa dahulu, Faiz, senior yang mengenalkan dia kepada seni bola tampar maut di hadapan matanya sendiri. Asyraf juga kecewa dengan pasukan bola tampar yang wujud sekarang. Semua ahlinya mempunyai sikap dan akhlak yang buruk, bahkan mementingkan diri sendiri. Kekalahan pasukan tersebut pada tahun sebelumnya lebih-lebih lagi mencambah benci di hati Asyraf--kerana tanpa kemenangan dia tidak mampu mengota janji pada seniornya ketika ajalnya dahulu.

Seorang jurulatih baru datang secara tiba-tiba, bertujuan mengubah situasi ini. Menggelarkan dirinya sebagai Coach Hussam, dia datang dengan misi menghidupkan kembali pasukan yang hampir mati itu, dan berhadapan dengan masalah keluarga Asyraf. Tetapi ternyata, ada misteri dan rahsia yang disembunyikan Hussam daripada pengetahuan pasukan bola tampar itu.

Membaca VT membawa suatu perasaan yang luar biasa. Kekemasan plot (sebab dan akibat) yang diketengahkan menjadi. Watak Asyraf yang dinamik memang ada impak tersendiri. Dia baran, tetapi dalam masa yang sama dia juga penyayang. Babak ketika Asyraf mendepani ayahnya secara terus demi menyelesaikan perbalahan dalam keluarganya sangat mengesankan.

Dari sudut ilmiah, novel setebal 511 mukasurat ini adalah sumber yang baik. Sudah pasti informasi mengenai sukan bola tampar dijelaskan dengan panjang lebar, sama ada melalui perlawanan ataupun latihan. Cara permaianan, posisi pemain dan syarat-syaratnya. Walaubagaimanapun apa yang lebih penting ialah mesej dakwahnya. Sukan sebagai medan dakwah, susah untuk dipercayai bukan?

Tapi, lupakah kita pada Ruqaya Al-Ghasara, seorang pelari pecut bertudung dari Bahrain? Pada tahun 2006 beliau berjaya menggondol pingat emas, sekaligus membuktikan Islam yang diamalkan langsung bukan penghalang untuknya mencapai kejayaan. Bahkan lebih baik lagi apabila kemenangan itu membawa perspektif baru kepada umat dunia seluruhnya. Ramai yang mengaguminya, baik muslim atau tidak. Bukankah itu sudah jadi satu dakwah baginya? Begitulah fokusnya VT. Memapar imej Islam bukan cuma memakai pakaian yang menutup aurat. Pemain harus juga menujukkan akhlak yang baik, biar di dalam atau di luar gelanggang. Maka untuk merealisasikan pemain-pemain sebegini Hilal menampilkan watak-watak yang sudah ketandusan akhlaknya, dilatih oleh Hussam dengan pelbagai cara, antaranya al-Ma'thurat dan Qiamullail untuk melembut dan mendidik hati-hati mereka. Mereka juga diperkuatkan hubungan dan ukhuwwah agar dapat bergerak sebagai satu pasukan. Terkenang juga saya dibuatnya pada rakan-rakan saya yang bersama melalui susah senang semasa belajar dulu. Walaupun bukan melalui sukan, jalinan yang ditonjolkan sekurang-kurangnya menuntut pembaca beringat, bahawa setiap muslim itu bersaudara. Jika salah satu anggota terasa sakit, sakitlah juga seluruh tubuhnya. Persis pasukan bola tampar di gelanggang perlawanan, kecundang seorang, yang lain juga merasainya. Bukan mementingkan diri. Bukan juga saling menyalahkan.

Saya berimaginasi VT dapat dijadikan sebagai sebuah komik bersiri. Sudah terbayang-bayang karya Takehiko Inoue, Slam Dunk, yang begitu besar sambutannya sampai sekarang. Atau lebih terkini dan popular juga, Eye Shield 21 karya Riichiro Inagaki dan Yusuke Murata. Mestilah VT lebih mantap dalam bentuk komik kerana pembaca bisa melihat apa yang terjadi dalam sesebuah gelanggang bola tampar dengan lebih jelas. Saya yang kurang arif dalam bidang sukan ini apatah lagi memerlukan aksi bergambar untuk menjadikan saya faham letak duduknya permainan tersebut. Memang ada disertakan lampiran gambar mengenai teknik-teknik seperti setting, digging, dan blocking, tetapi dalam perlawanan yang panjang, penerangan dalam bentuk perkataan akan jadi lebih kompleks. Malah saya tak mampu mengingat posisi-posisi pemain dengan begitu baik, justeru saya kadangkala keliru. Komik yang bergambar sememangnya satu bahan yang dapat membantu. Komik Malaysia tentang sukan juga kurang, maka kalau idea ini terhasil alangkah bagusnya. Dapat meluaskan lagi skop mad'u. Yalah, bukan semua orang suka membaca novel berjela kan?

Satu keistimewaan yang jarang-jarang didapati dalam novel lain: Tak ada watak perempuan dalam VT! Biasanya, sukar menarik minat orang membaca fiksyen jika tiada sedikit kisah cinta. Mungkin sudah ada yang menganggapnya bosan. VT nampaknya menangkis persepsi ini. VT berada dalam kelasnya tersendiri, dan walaupun karekter-karekternya semua adalah lelaki, tak bermakna novel ini khas hanya untuk lelaki. Audiensnya boleh jadi sesiapa sahaja, perempuan, lelaki, remaja, atlet... Saya yang kaki bangku ini pun boleh tertarik membacanya.

Berbanding novel terkini penulis, Terasing, saya lebih suka pada VT. Idea yang original, mesej dakwah yang segar dan plot yang kemas itulah sebabnya. Naratifnya bukanlah sebuah khutbah agama tentang bagaimana bersukan dalam Islam, tetapi medannya adalah peribadi dan akhlak, lebih halus dan berhikmah.

Walaupun Hilal Asyraf masih baru, tetapi potensinya besar. VT buktinya.

Anda juga boleh baca ulasan Terasing di sini dan Justeru Impian di Jaring di sini.

helaianRindu: Dulu kena kutuk sebab tak pandai main bola. Minta maaf, aku emo sikit bab-bab main bola sepak ni. (kenapa aku jujur sangat ni. entahlah)

Ogos 30, 2009

Rindu Bau Pohon Tin

Judul: Rindu Bau Pohon Tin
Penulis: Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit: Galeri Ilmu
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 165
Harga: RM18.00


Dalam satu dua bulan kebelakangan ini rakan-rakan saya semuanya sibuk menyediakan dokumen dan packing itu ini demi melanjutkan pelajaran ke luar negara. Musim ini semuanya tertumpu ke Amerika Syarikat ataupun United Kingdom dan Ireland. Yang ke Timur Tengah sudahpun terbang dua tahun yang lalu, kerana sesi persediaan mereka cuma 3 bulan sedang yang ke negara orang putih ini paling lama 2 tahun sesi persediaannya.

Dalam sibuk-sibuk itu, ramai yang cemas dan gentar, disebabkan ada yang mengatakan tidak cukup bersedia, mental mahupun fizikal. Mungkin secara mental lebih ramai yang menghadapi masalah, yalah, akan ke negeri orang yang penduduknya lain budaya, bahasa dan cara hidup. Tentu ramai masih tertanya-tanya apakah mereka sudah bersedia untuk hidup berdikari dengan berjauhan daripada keluarga.

Belajar itu adalah sebuah perjalanan jihad. Nafar menuju maslahat ummah. Itu pesan awal Ustaz Hasrizal dalam bukunya yang paling baru ini. Jadi, sememangnya akan ada susah senang dalam perjuangan. Mungkin ada yang belum bersedia, tetapi dengan melalui pengembaraan itu sendirilah, pengalaman akan mengajar kita suka duka hidup di negeri orang. Bersedia atau belum, kita akan ketahuinya setibanya kita di sana nanti.

Kenapa pohon tin yang terpilih menjadi tajuk buku ini? Kerana isinya adalah berkaitan catatan penulis sendiri semasa belajar di Jordan sejak 1993 di Mu'tah. Bau pohon tin itu adalah salah satu perkara yang sangat disenangi penulis, memberi kesan nostalgik yang teramat, sehingga kadang-kadang sekarang di pasar raya penulis sendiri mengambil peluang mencium bau buah tin dan zaitun...sekalipun buah-buah itu diimport dari California!

Kenapa Timur Tengah?

Dalam buku ini penulis menceritakan betapa istimewanya bumi Jordan. Mu'tah khusunya, adalah tempat bersejarah yang menempatkan makam tiga sahabat Rasulullah SAW yang syahid. Lewat sesi kuliah, peribadi profesor dan pensyarah serta telatah pelajar-pelajar dan masyarakat Jordan waktu itu, saya juga memandang Urdun satu tempat istimewa. Diceritakan betapa layanan yang diberikan oleh jiran-jiran Arab di Mu'tah kepada pelajar Malaysia begitu baik sekali ketika itu. Namun saban tahun situasi ini berubah apabila pelajar Malaysia semakin ramai. Bukan tidak terlayan, tetapi kerana sikap yang ditonjolkan.

Penulis menyatakan rasa kecewanya apabila pertambahan pelajar-pelajar malizi ini bukanlah menambah calon-calon ulama' tetapi hanya melahirkan perilaku yang tidak baik pula. Sesetengah ibubapa menghantar anak-anak mereka ke Timur Tengah semata-mata bertujuan menjadikan mereka 'manusia'. Memang tidak dinafikan di sinilah bumi para sahabat dan ilmuwan Islam dilahirkan, tetapi tambah penulis, jangan lupa Jordan sendiri bersempadan dengan negara haram Yahudi, Israel. Sejak perjanjian damai antara Jordan dan Israel dimeterai, perubahan mendadak berlaku kepada Jordan dan menjadikan suasana tidak seperti dahulu lagi. Justeru hal ini sedikit sebanyak membawa pengaruh buruk buat masyarakat tempatan dan sekitarnya. 'Manusia' yang diharap-harap itu mungkin boleh lahir, tatapi ada kemungkinan lahir pula 'manusia yahudi'.

Saya juga ada mendengar khabar-khabar angin yang tidak baik melanda rakan-rakan saya di sana. Harapan saya biarlah itu hanya khabar yang melayah seketika di telinga saya dan bukan suatu kebenaran. Saya masih memandang Timur Tengah sebagai destinasi istimewa mengaut mutiara ilmu Islam. Biar sehebat mana perubahannya, tentu masih ada individu yang benar-benar ingin mengutip mutiara-mutiara itu dan akhirnya bakal menjadi tokoh ilmu yang disegani suatu hari nanti.

Antara perkara lain yang termuat dalam buku ini adalah mengenai pengkhianatan kepada institusi khutbah, tragedi sedih melibatkan kematian sahabat penulis, perjalanan haji di tanah haram bersama pasangan warga emas yang sesat; kadang terisi dengan cerita hidangan-hidangan istimewa hanya boleh didapati di Jordan, serta cebisan-cebisan ilmu Islam tersampai dari kuliah-kuliah.

Penyampaian yang indah oleh penulis mampu menggamit kita kepada nostalgia lama. Ditulis menggunakan diksi Jordan dan selitan ayat quran, hadis dan pepatah arab; bersama selingan nasyid dan puisi ciptaan penulis sendiri. Disertakan dengan beberapa gambar kenangan, travelog ini sesuai dibaca oleh mereka yang bakal bergelar mahasiswa luar negara. Dan pastinya cukup khas bagi yang akan belajar di Jordan dan Timur Tengah. Simpanlah sebagai bahan tarbiah dan peringatan diri.

helaianRindu: Khabarnya ada kurma Israel terjual di Tesco.

Related Posts with Thumbnails