Memaparkan catatan dengan label tabula rasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tabula rasa. Papar semua catatan

September 12, 2012

Blues Musim Panas II

Selesai solat ba’diyah isyak dan berdoa, saya bangun dan berjalan ke pintu utama masjid. Saya memandang Jemaah masjid yang hadir. Tidak ramai. Tetapi sekilas saya terpandang seseorang dengan janggut putih sedang terbongkok sedikit, meratib. Mata saya membesar. Itu bukankah pakcik Hamid Hassan, makmum tua yang tidak pernah jemu berjalan ke masjid tidak kira waktu, sekalipun pada pukul 3 pagi waktu subuh masuk - atau waktu musim sejuk penuh salji?

Eh? Sekejap saya terkedu. Ini bukan masjidnya untuk dia datangi. Dalam sekerdip mata bayangan pakcik Hamid berubah menjadi seorang pakcik berjanggut yang tidak saya kenali. Ya, saya kan sudah berada di Kuala Lipis, Malaysia. Mana mungkin Pakcik Hamid berada di sini. Dia tegar mendatangi masjid kecil di perkampungan Selly Oak. 
Lorong ke pintu masjid (di sebelah kiri).
Di dalam gambar adalah rakan-rakan saya Najmi (dari kiri), Kamal dan Azri

Masjid itu bernama Jalalabad Mosque – sekalipun namanya seakan menggambarkan masyarakat Pakistan, kebanyakan jemaahnya berasal dari Bangladesh. Saya fikir, sudah hampir sebulan saya meninggalkan masjid tersebut. Sudah terlalu biasa dengan pemandangan melihat makmum seperti Pakcik Hamid meratib sendirian, khusyuk, saat saya melintasi ruang masjid untuk keluar. Tetapi sekarang, saya berada di masjid tanah air saya. Saya lihat ayah saya baru selesai bersolat, dan imam masih berdiri. Siak sedang mengemaskan sejadah dan mikrofon. 

Pakcik Hamid. Entah berapa umurnya, saya pun tidak tahu. Tetapi dia nampak begitu tua sekali, sedikit terbongkok dan berjalan dengan begitu perlahan. Walaubagaimanapun, kudratnya mengalahkan semua orang muda persis saya. Bayangkan rumahnya sejauh beberapa batu dari masjid, tetapi dia datang juga tidak kira waktu – lagi-lagi jika di UK, waktu solat memang tidak kira waktu! Subuh di musim panas boleh mencecah seawal jam 3 pagi. Jika solat berjemaah bermula pada jam 4, maka dia akan datang sebelum jam 4. Bayangkan, untuk datang sejauh itu, dia perlu bangun pada jam berapa, dan bergerak ke masjid pada jam berapa. Mungkin jam 3.30 paling lewat perlu dia mula melangkah kaki. Jika tidak masakan dia boleh sampai lebih awal? Malulah, kami yang duduk hanya kira-kira dua tiga puluh langkah dari masjid, pun datang lima minit setelah solat Jemaah bermula. Jika dia setiap hari menepati waktu, kami juga hampir setiap hari terlewat waktu! 

Rakan-rakan yang sudah biasa dengan pakcik Hamid pasti akan mengingat kemesraan luarbiasa beliau. Jika mataya bertemu mata saya dari jauh, pasti akan diangkat tangannya untuk menyapa. Jika dia mendekat, dia tidak pernah lupa bertanya khabar, bersalaman sambil menggoncang tangan saya dengan ceria dan kasih. 

“Brother Rashdan, how are you? Hope you are doing fine.” Dan apabila saya menjawab ya, ringkas dia membalas “Masha Allah, masha Allah, Alhamdulillah.” Pujian untuk Allah tidak akan pernah sembunyi dari bibirnya. Tegur sapanya yang sebentar, biar tiada yang dibualkan, akan saya ingati sampai bila-bila.

Ramadhan yang sudah berakhir membangkitkan lagi rindu saya. Sempat berpuasa di bumi Inggeris selama tiga minggu. Sama seperti tahun lepas. Berpuasa di UK pada awalnya suatu rasa yang menyiksakan – tapi mujur cuma hari pertama (pada tahun lepas). Tahun ini, sudah tidak dirasa keperitannya. Lebih terasa kebosanan pula disebabkan saya duduk di rumah seorang diri pada kebanyakan waktu. 

Rutin Ramadhan saya ketika di UK sangat sibuk ketika waktu malam. Berbuka paling lewat pada jam 9.30. Kemudian mengejar solat maghrib dan solat isyak pada jam 10.45. Terawih bermula jam 11 dan berakhir pada jam 12 tengah malam. Pulang ke rumah, saya cuba tidur secepat mungkin untuk bangun bersahur pada jam 2.30 pagi. Dan menunggu waktu subuh, yang jemaahnya bermula pada jam 3.30. (Kemudian semakin hari waktu ini berubah, subuh semakin lewat, dan maghrib semakin awal) 

Kenangan waktu malam dan awal pagi yang sibuk ini dimeriahkan lagi ketika sepuluh malam terakhir tiba. Pada waktu ini ada beberapa jemaah masjid beriktikaf dan tidur di sana. Saya tidak tidur di masjid tapi sempat menghadiri qiamullail dan bersahur bersama mereka di masjid. Sahur mereka bukan calang ringan.

Di sebelah kiri, Pakcik Hamid Hassan, dan di sebelah kanan, imam yang baru buat masa ini, namanya Nurul Alam.

Kambing! Kambing, ayam, daging, semuanya ada. Kadang-kadang ada ikan juga. Aduh! Saya selalu makan sedikit lambat dari jemaah lain, dan akan ingat apabila Pakcik Hamid memanggil nama saya usai saya berdoa, dengan suara tuanya itu: 

“Brother Rashdan, come, sit here, eat with us.” Dihulurnya sepinggan nasi dan disuakan kepada saya periuk demi periuk lauk yang pelbagai. Saya tersebenyum dan mengangguk-angguk saja. Terharu saya melihat jemaah yang begitu mengambil berat tentang saya. 

Suatu pagi ketika bersahur, saya ditegur ceria oleh imam. “Malizia! Why you don’t eat this?” sambil menunjuk kearah tub yogurt mangga di depannya. 

Aduh, saya sudah kenyang. Dicedoknya untuk saya separuh pinggan. Banyaknya. 

Tetapi saya dapat habiskan. Cuma saya terkejut, mereka makan yogurt manis itu dengan nasi. 

Pakcik Hamid menyampuk sedikit serius, “His name is Brother Rashdan, not Malizia. Call him brother Rashdan.” Imam hanya tersenyum menanmpakkan gigi seperti selalu. 

Ala, comel pula pakcik-pakcik saya ini bila ‘bergaduh’. 

********** 

“Semoga Allah menjagamu sepanjang perjalanan.” Imam bernama Nurul Alam itu bersalam dengan saya. Berbahasa Arab dengan saya, meminta orang lain menterjemahkannya dalam bahasa Inggeris kerana dia tidak begitu fasih, tapi ucapan arabnya tidak sukar untuk saya, jadi saya berkata, tak mengapa, saya faham; jazakallahu khair. 

Imam selalu saja memanggil saya dengan nama Malizia. Pernah sepetang, dia pernah mempelawa rakan-rakannya makan di ruang belakang masjid. Saya sudah hampir keluar dari masjid dan dia ternampak kelibat saya agaknya, cepat-cepat dia menjerit sekuatnya "Maliziaaa!!"

Saya berundur dan menampakkan muka saya pada imam. Saya tahu saya yang dimaksudkannya meski rakan-rakan Malaysia yang lain juga tinggal di sini. Tapi saya berseorangan ketika itu, jadi siapa lagi? Dia mengajak saya makan bersama. Sepotong kek dan beberapa peket kerepek Walkers. Sambutan apa agaknya, saya sudah tak ingat. 

Sebelum saya meninggalkan bumi Birmingham untuk pulang beraya, saya berjumpa mereka semua terlebih dahulu. Saya teramat rindu untuk qiam dan bersahur bersama mereka lagi, tetapi bukan takdirnya saya bersama mereka hingga ke akhir Ramadhan. Saya bersalaman dan berpelukan dengan Pakcik Hamid Hassan, Imam, dan juga Pakcik/Brother Abdul Latif, seorang lelaki yang petah berkata-kata dan penuh ilmu di dada. 

Selalu saya berjalan sedikit pantas untuk mengejar waktu jemaah. Lalu di hadapan rumah Donald, saya ternampak Scruffy. Sempat membelainya dua tiga kali sebelum mempercepat perjalanan saya ke arah masjid. Perjalanan ke masjid yang tidak lebih dua ratus meter itu diiringi teksi-teksi yang kebanyakannya dipandu oleh orang muslim, singgah untuk solat berjemaah bersama. Saya teruskan langkah. 

Di masjid, saya sempat memperbetulkan lipatan kaki seluar. Bimbang ditegur oleh makmum yang lain. Di sini, mereka berpegang kepada perlunya meninggikan kain seluar sehingga lebih dari atas buku lali. Istilah untuk perbuatan melabuhkan kain seluar ini dipanggil isbal, jadi dalam solat wajib meninggalkannya berdasarkan hadis nabi. Di rumah saya tidak melakukan begitu. Sekadar pengetahuan saya, kita di Malaysia tidak berpegang pada kewajipan meninggalkan isbal kerana mengambil pendapat yang berbeza (betulkan saya jika tersalah, saya masih membaca tentangnya). Apapun, disebabkan ini masjid ‘mereka’, saya lebih senang menyenangkan hati mereka, malah tidak salah pun meninggalkan isbal. Dan takbir pun diangkat setelah semua siap sedia. 
Jemaah yang hadir melakukan solat sunat.
Lihat di saf hadapan paling hujung, akan nampak pakcik yang solat duduk di atas kerusi yang saya tidak tahu namanya. Moga Allah merahmatinya.

Di sebelah saya, seorang makmum yang sudah terlalu lama saya nampak di masjid, tetapi tidak pernah saya ketahui namanya. Makmum ini istimewa, kata Pakcik Abdul Latif, dia tidak pernah tertinggal solat berjemaah di masjid ini semenjak entah bila, sepanjang ingatan saya, memang dia sudahpun berada di hujung saf pertama. Lebih membuatkan saya kagum, dia tidak mampu berdiri untuk solat, cuma duduk di atas sebuah kerusi. Dan jalannya perlu kepada tongkat. Bukankah saya patut malu dengannya? Kalau anda solat di hujung saf kedua, berdekatan dengannya, dia akan cuba sedaya upaya mengalihkan kerusinya sehingga betul-betul ke hujung dinding dan mempelawa ruang untuk kita masuk ke saf pertama di sebelahnya. 

Saya tak akan lupa pertama kali saya benar-benar bertutur dengannya muka bertemu muka, ketika pulang tempoh hari, mengucap selamat tinggal dan selamat hari raya. Katanya, “All the best to you.” Itu saja yang saya ingat dalam ketergesaan saya – wajahnya tulus mengucapkan selamat buat saya.

Banyak lagi jemaah lain yang saya tidak sempat jumpa, tapi tak mengapalah. Mungkin nanti.

Sebelum melintas keluar, mereka meminta saya berkirim salam kepada ibu ayah saya, dan meminta agar didoakan kesejahteraan buat mereka. Imam memanggil saya semula tiba-tiba. Di tangannya terdapat secebis kertas, dan tangannya yang sebelah lagi cekatan menulis sesuatu. Dia menghulurkannya kepada saya. Tertulis nombor telefonnya. 

********** 

Angin petang berhembus dingin. Tidaklah begitu sejuk kerana semenjak kebelakangan ini musim panas sudah tidak dilatari hujan lagi. Hari ini saya juga hanya memakai satu lapisan baju. Berlari-lari anak saya kembali ke rumah rakan saya untuk mengambil beg dan mengejar tren untuk ke lapangan terbang. Hari itu saya akan pulang ke Malaysia. 

Ruang solat Masjid Jalalabad, Selly Oak, pada waktu malam

Sudah jam 6.40 petang. Disebabkan penerbangan saya akan bertolak pada pukul 10 malam, saya harus berada di sana 3 jam sebelumnya. Saya menatap semula cebisan kertas tadi sebelum menyeluknya ke dalam kocek kemeja saya. Jemaah yang selalu saya nampak di dalam masjid harus saya kenali dengan lebih lagi sebelum pulang ke Malaysia buat selamanya nanti.

Sedih, tidak dapat berbuka petang itu bersama mereka lagi – tidak dapat saya merasa bubur wajib berbuka dari negara mereka, entah mereka panggil dengan nama apa. Juga ada kacang kuda pedas yang mengecurkan liur, serta pakora sayur-sayuran yang kadangkala rangup dan kadangkala berisi tebal. Tidak semua orang menggemarinya, tetapi saya serta-merta lapar hanya dengan memikirkannya sekarang. Ah, rindu benar.. oh ya, Mukhliz pun sangat menyukai lauk-pauk itu. 

Bila pula dapat berjumpa dengan pemuda Itali itu; yang hingga kini tak henti mencari cinta? 

Nanti.


[kredit gambar buat Kamal (dari blognya) dan Raja Muhammad Khairuddin (dari facebook)]


September 06, 2012

Pengalaman Menjadi Angin

Berita Harian, 5 September 2012
Alhamdulillah, sudah lebih sebulan Dandelion diterbitkan. Untuk pengetahuan pembaca, Dandelion merupakan antologi puisi yang diselenggarakan oleh saya bersama tiga lagi teman dari Grup Karyawan Luar Negara, iaitu Ainul Arina dari Jordan, Muhammad Iqbal A. Ghani dari Ireland (kini di Malaysia) dan terakhir, Hazwan Ariff Hakimi dari UK (yang juga menerbitkan kumpulan puisi solonya yang pertama bertajuk Sasterawanara Keraton).

Bermakna, sudah lebih sebulan juga tugas saya sebagai penyelenggara tamat. Kami bermula sejak hujung 2011 lagi. Awalnya tidaklah begitu bermasalah. Tetapi pada penghujung bulan Ramadhan 2012, sebelum dan ketika dibawakan softcopy Dandelion ke penerbitan, pelbagai masalah timbul. Berjaga siang malam untuk menyempurnakan softcopy yang bermasalah. Tidak seperti antologi Trem ke Pintu Syurga (TKPS - antologi cerpen juga terbitan GKLN) yang hampir tiada masalah melainkan kesalahan ejaan. 

Namun istilah 'berjaga' ini tidaklah teruk sangat sebenarnya kerana secara tidak langsung memang saya perlu jaga pada waktu-waktu tertentu. 

Sebabnya, semasa Ramadhan di UK, jadual tidur saya tidak seperti biasa, kerana saya tidur pada jam 12 malam (terawih tamat jam 12) dan perlu bangun pada jam 3 pagi untuk bersahur. Kemudian tidur semula pada jam 7 pagi dalam 3 jam atau lebih.  Mujurlah jadual tidur yang tidak berterusan ini dan waktu siang yang panjang membolehkan saya sentiasa kemaskini softcopy tersebut apabila timbul masalah tidak kira waktu malam atau siang di UK. Terganggu mungkin cuma sesekali tapi itulah pengalaman. Alhamdulillah, walaupun sedikit penat di hujungnya, akhirnya saya berjaya menyempurnakan fail PDF untuk dibawa ke syarikat percetakan.

1 September lalu, buku-buku yang telah saya sebutkan, tiga buah semuanya, bersama sebuah buku dari persatuan rakan penulis, Legasi Oakheart telahpun berjaya dilancarkan secara rasmi di Rumah Pena, Kuala Lumpur. Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan yang menjadi perasmi, dan naskhah Dandelion ini telah diulas oleh Cikgu Shamsuddin Othman. Puan Nisah Haron juga datang untuk mengulas antologi cerpen TKPS. Majlis tersebut juga dihadiri oleh penulis mapan seperti S.M Zakir dan Fahd Razy.

Okey, bunyinya macam laporan akhbar pula. (ya, bercakap pasal suratkhabar, berita tentang majlis pelancaran ini ada dimuatkan di dalam Berita Harian semalam, di bahagian sastera. Syukur)

*************

Selain pengalaman manis mengumpul dan menyusun puisi-puisi pelajar luar negara untuk Dandelion, saya juga diberi peluang untuk mewarnakan rupa buku tersebut bersama dengan TKPS. Merekabentuk kulit buku memang satu perkara yang sangat saya minati, mungkin disebabkan saya sendiri memang suka menilik buku berdasarkan kulitnya terlebih dahulu. Atau sebab lain, barangkali saya minat menterjemah teks ke dalam bentuk grafik dan cuba memberi wajah terhadap latar karya dalam bentuk yang lebih ringkas.

(Saya suka kulit buku yang bersifat minimalis, atau berilustrasi tangan (hand-drawn), dan itu cuma sebahagian yang saya dapat fikirkan buat masa ini)

Saya lebih enjoy dalam merekabentuk kulit TKPS berbanding Dandelion sebenarnya - mungkin kerana cerpen lebih mudah diterjemah dalam bentuk ilustrasi. Banyak elemen yang boleh dipilih untuk mewakili cerita. Untuk Dandelion, tak mungkin saya akan meletak sebuah gambar bunga dandelion begitu sahaja. Tidak salah, dan mungkin sesuai kerana ada yang tidak tahu apa itu dandelion, tetapi antara peraturan desain kulit buku yang pernah saya dengar dari Chip Kidd (seorang graphic designer yang saya suka di Knopf, sebuah syarikat penerbitan di Amerika), sebolehnya jangan letakkan gambar yang literal, kerana ini juga memberi peluang untuk pembaca berfikir dan mentafsir, secara tidak langsung mengangkat kebolehan pembaca, bukan merendahkannya.

Untuk kedua-dua antologi saya cuba menjadikan desainnya selari, meminjam konsep siri buku seperti Hadiah Sastera Utusan sebagai contoh terdekat. Bukan saja lebih kemas dan elok bila dipamerkan bersama, bagi saya keselarian itu menampakkan bila buku-buku tersebut diterbitkan.

Berikut antara idea awal/proses rekabentuk yang mungkin tidak seberapa dan tidak begitu profesional (in terms of progress, concept etc):
Proses rekabentuk kulit antologi puisi Dandelion
Proses rekabentuk kulit antologi cerpen Trem ke Pintu Syurga

Bagi yang belum mendapatkan naskhah-naskhah ini, bolehlah menempah, selagi stok masih ada (setakat ini hanya satu cetakan sahaja!) di laman ini: http://karyawanluarnegara2012.blogspot.co.uk/ Dapatkan dua antologi ini beserta kumpulan puisi Sasterawanara Keraton dengan harga kombo RM50. Murah kan?

Dan istimewa untuk pembeli dan pembaca blog ini, saya ada desain dua buah penanda buku yang sepadan dengan buku Dandelion dan TKPS yang boleh dimuat turun, cetak dan potong sendiri untuk digunakan bersama naskhah-naskhah ini tentunya :) (Boleh muat turun di sini. Cara muat turun - klik option 'File' di sebelah atas kiri dan skrol kebawah dan klik 'Download'. Saiz sebenar: 15cm x 3.5cm. Garis panduan untuk memotong ada disertakan dalam fail tersebut.)


Susah mencari quotation yang sesuai untuk menggambarkan cerpen TKPS, tetapi ini hasilnya. Selamat menikmati penanda-penanda buku ini!

Alhamdulillah, alhamdulillah dan alhamdulillah. Semoga pengalaman menjadi angin dengan menyebar benih dan mewarnakan panorama ini akan menjadi perkara berharga yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang. Juga, selamat menikmati buku-buku ini dan menyampaikan mesejnya!

helaianrindu: Paling manis tentunya, apabila tajuk puisi saya terpilih (dalam undian) untuk menjuduli antologi puisi tersebut. Walaupun sebenarnya hanya kalah dengan beberapa tajuk lain dengan 1 atau 2 undi sahaja. Selain puisi Dandelion, puisi saya bertajuk 'Pentas' juga dimuatkan dalam buku ini.


Ogos 06, 2012

Blues Musim Panas I

Ada seekor kucing yang selalu saya usap dan belai di kawasan Selly Oak ini, namanya Scruffy. Bulunya campuran coklat, hitam dan putih; gebu dan tebal tetapi mudah sekali gugur jika diusap. Dia manja, mesra dan ramah - kata tuannya Donald, 'she's a bit too friendly'. 

Sekembali dari solat Zohor di masjid ketika itu saya ternampak Scruffy sedang berlegar-legar di sekitar kawasan letak kereta rumah tuannya Donald. Waktu itu saya masih tak kenal siapa Donald tapi saya tahu dia tuannya - saya cuma nampak Donald keluar masuk rumah saban hari sambil Scruffy menggesel-gesel di kaki. Kali ini saya berpeluang berbual mesra dengannya. Apabila saya ternampak kucing gebu itu, secara refleksnya saya memanggil, 'miau, miau' dek terbiasa melayan kerenahnya dan Donald berpaling lantas menegur saya.

"Don't be shy, you can stroke her," begitu lebih kurang mulanya. Saya membalas dalam bahasa Inggeris, tak mengapakah? Sambil datang dan mengusapnya, dan dia dalam diam membenarkan.

Daripada Donald saya mendapat tahu nama kucing ini, yang selama ini saya nampak tidur di atas atap rumah, dan apabila saya panggil mendekat, dia tanpa takut datang dan melayan belaian saya. Saya tentunya gembira kerana di UK tempat saya tinggal ini, tidak mudah untuk berjumpa kucing seperti di Malaysia. Lebih payah lagi apabila bukan semua kucing-kucing yang tinggal di sini mesra dengan manusia. Tidak seperti Scruffy! (Rumah Donald dan Scruffy cuma di seberang jalan bertentangan rumah saya, jadi sudah tentu saya selalu memerhati kucing-kucingnya dan menyayangi mereka.)

dari atas, ikut jam: Scruffy (depan) dan Tubby; Scruffy 'bersedia' untuk gambarnya diambil di tengah jalan Hubert Road; dan saya meriba Scruffy

Kata Donald, namanya sebegitu kerana dia jarang membersihkan diri, bulunya agak kotor sebenarnya (walaupun saya tidak nampak di mana kotornya, bulunya cantik, putih bersih). 

Donald juga mempunyai seekor lagi kucing, namanya Tubby. Warnanya hitam keperangan dan berbelang-belang. Ekornya panjang, tidak seperti Scruffy. Donald kisahkan pada saya, Tubby itu umurnya sudah 12 tahun. Dan yang mengejutkan saya, Tubby adalah ibu kepada Scruffy! Tetapi Tubby lebih sukar dilihat. Kebiasaannya dia tidur di atas atap dan jarang bermesra. Saya cuma berpeluang membelainya mungkin hanya dua tiga kali sepanjang duduk di sini. 

"She's really nice and cute." Saya puji Scruffy lagi. 

"Yeah.. But she lost her tail actually. She was ran by a car. We almost lost her.." 

"But she survived." sambung saya, terkejut dengan kisah itu. Rasa simpati mula muncul. 

"Yeah. Now she's learned to stay away from cars." Begitu rupanya kisah Scruffy. Saya teringat kucing-kucing saya di kampung halaman, terutamanya kucing bernama Manja yang hidup bersama kami hampir lebih sepuluh tahun, dan kini dipercayai mati setelah menghilangkan diri sekian lamanya. Apa Manja kemalangan dilanggar kereta, atau mati kerana umur tua, tiada siapa tahu. Rindu sebentar mengingatkan Manja.

Kemudian saya bercerita pada Donald yang saya sangat susah untuk berjumpa dengan kucing-kucing yang ramah seperti Scruffy, dan saya sudah lama sebenarnya bermain dengannya. 

"I really like cats so if I ever want to play with them I have to go back home to my country to play with mine!" seloroh saya. 

**********
Sebuah jalan tipikal di Selly Oak

"Oh do you mind if I ask where do you come from?" tanya Donald apabila saya membangkitkan tentang pulang ke tanah air. Saya jawab, Malaysia. Balasnya, itu negara yang cantik. Saya bersetuju kerana saya tahu yang dimaksudkannya pastilah cuaca malaysia yang panas sepanjang tahun (walaupun saya tahu kemungkinan besar dia tidak pernah berkunjung pun ke Malaysia, cuma tahu fakta umum. Mungkin juga bermanis mulut untuk berbual kerana sudah ramai orang di sini berkata perkara yang sama apabila kita bercerita yang kita datang dari Malaysia. Balasan yang sama, it is a nice country. Sudah lali dengan jawapan ini!) Tambah Donald lagi, I know people there are very polite. 

Lalu kami bercerita tentang kawasan kejiranan di Hubert Road, jalan yang kami duduki. Dia tahu kami tinggal sudah lama di rumah bernombor 33A. Ya, sudah tiga tahun, dan ini tahun terakhir di rumah itu, kata saya. Donald memanggil rumah kami rumah yang diduduki 'long termers' dan penghuni rumah lain sebagai 'short termers' disebabkan hampir semua pelajar yang duduk di kawasan ini duduk di satu-satu rumah untuk setahun sahaja dan kemudian berpindah ke rumah lain pada tahun berikutnya sedangkan rumah 33A yang saya duduki sudah dihuni pelajar Malaysia sejak 2009.

Donald memanggil kawasan ini transient village disebabkan suasana pindah randah begitu. Ya, nama yang sangat kena! Lagi-lagi apabila musim panas tiba, suasana pindah-randah makin terasa - barang-barang di dalam rumah dibuang ke luar begitu sahaja, timbunan sampah untuk dikutip oleh majlis perbandaran memenuhi laman rumah - malah persekitaran semakin hari semakin sunyi. 

Donald selalu saja nampak kami keluar masuk, cuma kami tak pernah bertegur sapa. Tak sangka dua ekor kucing comel mampu menjentik perbualan mesra! 

**********

Apabila bercerita tentang cuaca Malaysia yang panas, tentunya kami bercerita tentang cuaca UK yang sudah tidak menentu sejak musim luruh lepas. Musim panas tahun ini hampir setiap hari hujan turun dan mengikut berita yang pernah saya baca dalam akhbar dan internet, hujan yang sepatutnya turun dalam masa berbulan lama, turun dalam waktu beberapa minggu sahaja! Sebab itu ada beberapa kawasan di UK dibanjiri air, teruknya menenggelamkan kereta! 

Donald mengiyakan fakta itu dan berkongsi dengan saya situasi beberapa tahun sebelum ini yang cuacanya terlalu panas sehingga kawasan simpanan air ada yang kering. 

"It is terrible. But hopefully with this year's rain it will cover that up again." 

Sebelum berpisah, kami bertukar-tukar nama. Begitulah saya kenal Donald dan kucing-kucingnya. 

"If you want to stroke her you can do anytime," pesannya sebelum kami berpisah. 

Saya mengucapkan selamat tinggal pada keduanya. 

Itu kenangan saya beberapa minggu yang lalu. Sekarang saya masih melambai ucapan selamat tinggal pada mereka..

..dan pada diri saya yang lalu, dan kini pada rumah warisan 33A itu - yang mencetus permulaan saya di bumi Birmingham ini. Pada kucing-kucing itu juga; setelah saya berpindah keluar dari rumah tersebut entah bila lagi akan saya sapa mereka. Dan tidak lupa, pada tiga musim panas yang telah (dan akan) berlalu dan selalunya mencetus kenangan pelbagai.



"Selamat tinggal, dan tunggulah aku pulang."


Julai 11, 2010

Tabula Rasa IV: 84, Charing Cross Road

Judul: 84 Charing Cross Road
Penulis: Helene Hanff
Penerbit: Virago Books
Tahun: 2008 (Edisi Baru)
Bil. mukasurat: 256

84 Charing Cross Road adalah sebuah kisah persahabatan antara dua benua. Berlaku secara tidak diduga. Walaupun berbeza budaya, kepercayaan dan gaya hidup, ada persamaan yang menyatukan mereka, iaitu minat. Cinta dua sahabat kepada buku-buku dan kesusasteraan Inggeris menjadikan mereka lebih dari sahabat karib—mereka menjadi sebuah keluarga.

Kisah bermula apabila Helene Hanff tertarik untuk membeli buku-buku antik dari sebuah kedai buku terpakai bernama Marks & Co., (yang beralamat di 84, Charing Cross Road) di London selepas terbaca sebuah iklan di akhbar tempatan. Helene yang tinggal di New York berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan buku-buku antik sebagai rujukan dan pembacaannya sendiri. Jadi, seorang staf bernama Frank Doel membalas surat-surat tempahannya. Apa yang bermula sebagai urusan menempah dan membayar buku-buku, lama-kelamaan menjadi sebuah persahabatan erat antara Helene dengan Frank, serta keluarga staf-staf Marks & Co. yang lain. Mereka saling bertukar pengalaman, malah hadiah dan resepi di tengah-tengah kehidupan pasca-perang.

Kemanisan Ikatan Non-Fizikal


Secara peribadi, karya berbentuk epistolari memang menjadi kegemaran saya. Barangkali kerana saya suka sifatnya yang nostalgik. Surat adalah medium perhubungan yang penting sebelum datangnya emel dan alat elektronik lain yang memudahkan komunikasi. Walaupun surat mengambil masa untuk dihantar dan diterima, tetapi yang menjadikan nilainya tinggi adalah dari segi emosi. Surat merakamkan kejujuran dan memberi kemesraan. Apatah lagi kalau ditulis dengan tangan, lebih tinggi nilainya. (Sesiapa yang pernha membaca buku-buku berkenaan grafologi atau analisis tulisan tangan pasti tahu kenapa saya berkata begitu.)

Begitulah, selama 20 tahun mereka berhubungan melalui surat. Helene berjanji untuk dating mengunjungi sahabat-sahabatnya di 84, Charing Cross Road tetapi kerja dan kekangan wang menyukarkannya mendapatkan masa yang sesuai untuk ke England. Manisnya membaca karya ini apabila membaca surat-surat dari kawan-kawan Frank (yang juga staf di Marks & Co.) yang ditulis secara curi-curi dalam waktu kerja yang lucu dan terisi dengan senda gurau. Geli hati juga memikirkan kerenah mereka ini, terutama apabila mereka hampir ‘kantoi’ curi tulang dengan pekerja pejabat yang lain.

Persahabatan yang terjadi secara non-fizikal ini mengingatkan saya pada ikatan akidah yang dijalinkan sesama Muslim keseluruhannya. Iman yang terbina dalam jiwa-jiwa setiap individu Muslim secara non-fizikal menjadikan kita erat, biarpun kita tidak pernah bertemu. Disebabkan itulah, akan timbul rasa kasih jikalau betul-betul memahami aspek ini. Kalau tidak bagaimana kita boleh mencintai tampang agung yang bernama Muhammad itu sedangkan tiada siapa di zaman ini pernah berjumpa dengannya?

Pendahuluan yang disediakan dalam buku ini oleh Juliet Stevenson sangat membantu kita memahami kisah benar ini dengan lebih halus. Sebab itulah setiap kali membaca buku saya akan pastikan kata pengantar ataupun pendahuluan itu dibaca, kerana kebiasaannya isinya adalah lebih dari ucapan penghargaan dan pujian terhadap karya yang dipersembahkan. Dalam cetakan ini, isinya membedah buku ini dari perspektif Stevenson.

Nilai Sebuah Buku  

 Lot bernombor 84 kini sebuah restoran. Nampak plat besi bulat di tiang premis tersebut?

Saya sempat menjenguk bekas tapak kedai buku Marks & Co. ketika berkunjung ke London tidak lama dulu. Pada awalnya saya hanya ternampak nombor pintu 82, 83 dan 85. Di mana nombor 84? Setelah puas mencari, saya ternampak sebuah plat besi di dinding sebuah premis kedai berhampiran. Tertulis di atasnya:

84 CHARING CROSS ROAD
THE BOOKSELLERS MARKS & CO.
WERE ON THIS SITE WHICH BECAME WORLD RENOWNED
THROUGH THE BOOK BY HELENE HANFF

Wah, sememangnya sebuah buku boleh memberi kesan yang besar terhadap masyarakat. Walaupun Marks & Co. tidak wujud lagi, masih banyak kedai-kedai buku antik dan terpakai boleh didapati sepanjang jalan tersebut, selain kedai-kedai buku baru seperti Foyles. Malah ada satu lorong yang boleh diakses melalui Charing Cross Road, yang dinamakan Cecil Court, khas menempatkan toko-toko buku antik. Di tingkap hadapan terpamer pelbagai buku edisi lama yang tak mungkin boleh dijumpai di kedai buku terpakai biasa. Usianya mungkin boleh mencecah seabad malah. Saya juga memiliki dua tiga buah buku—berkenaan senibina Inggeris—yang pemilik asalnya membelinya pada tahun 1915!

Bukan sahaja nilai buku ini dipandang tinggi dari segi isi, malahan nilaian harganya juga semakin hari semakin bertambah. Di dalam buku tulisan Helene ini, harga buku-buku lama pada tahun 50an dan 60an tidak lebih dari 5 dollar setiap satu, tetapi kini saya sempat memerhatikan harga sebuah buku yang nipis saja sudah boleh mencapai beratus-ratus pound. (gambar kiri - antara buku-buku antik yang dipamerkan di sebuah kedai buku di Charing Cross Road)

Apapun, saya rasa senang melihat buku-buku sangat dihargai nilainya. Baik yang digambarkan di dalam buku ataupun melalui pemerhatian saya sendiri. Jika kita kembali ke masa silam sudah pasti kita akan terkenang perpustakaan agung bernama Baitul Hikmah, di zaman Abbasiyyah—ketika umat Islam sangat ketagih ilmu dan memandang tinggi nilai buku. Sehinggakan penterjemah karya-karya tamadun Yunani dianugerahkan emas seberat buku-buku yang berjaya diterjemah.

Sayangnya, semua itu dimusnahkan begitu sahaja sewaktu serangan orang Mongol. Mereka mencampakkan buku-buku tersebut ke dalam sungai sehingga hitam warna sungai Tigris dek dakwat yang larut air itu.

Berbalik kepada buku ini, kalau tidak silap saya, tak kedapatan di Malaysia. Saya sudah perhatikan beberapa kedai buku online namun setelah ditaip dalam enjin carian tajuk ini memang didapati tiada. Jadi bagi yang ingin membacanya boleh mengunjungi Book Depository, pembekal buku dari UK yang menawarkan buku ini dengan penghantaran percuma.

Bonusnya, buku ini bukan sahaja mengandungi 84, Charing Cross Road tetapi sebenarnya terdapat sebuah lagi buku tambahan, bertajuk The Duchess of Bloomsbury Street yang merupakan sekuel kepada buku ini. Pembaca ditinggalkan dengan epilog yang agak tergantung, jadi The Duchess of Bloomsbury Street memberi kesudahannya. Bagi yang meminati karya-karya bersadurkan persuratan dalam bahasa Melayu pula, bolehlah cuba baca Surat-surat Perempuan Johor tulisan Faisal Tehrani, ataupun karya popular Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya Hamka (itu saja yang saya baca pun, haha).

Oh ya, terima kasih kepada Puan Nisah Haron kerana mempromosi buku ini di dalam blognya! Saya terus membelinya secara online setelah membaca entrinya berkenaan buku ini.

HelaianRindu: Kalau buku terpakai, beli di carboot sale je. Satu buku ada yang harganya 20p (kurang dari RM1) je. Ada yang baru pulak tu.

November 30, 2009

Tabula Rasa III: Hadiah



Assalamualaikum warahmatullah.

Kehadapan sahabatku Azrul Rezuan Azman.

Aku hamparkan warkah ini di hadapanmu demi menceritakan sebuah kisah. Ex libris pengalamanku yang baru aku dapati petang semalam. Oh ya, aku di sini sihat, engkau kuharap begitulah juga.

Semalam cuaca semakin sejuk di Birmingham. Boleh lihat nafas sendiri terhembus walaupun di dalam rumah! Tetapi hebatnya peristiwa yang kualami ini, bisa menghangatkan suasana. Di negara sendiri pun tidak pernah memperoleh pengalaman sebaik ini, tiba-tiba boleh mengecapinya di bumi asing England ini. Allahu Akbar, ini hadiah Eidul Adha yang sangat bermakna!

Yang aku sibuk hebahkan ini sebenarnya pengalaman pertamaku melihat pengislaman seorang pemuda tempatan. Ini terjadi di masjid berdekatan rumahku, Jalalabad Mosque namanya. Pemuda itu, dia beragama kristian pada asalnya. Tampangnya kurus, tegap dan masih muda umurnya. Wajahnya kukira tampan. Pada agakanku dia berumur dalam lingkungan 20-an. Ketika majlis kecil itu bermula aku masih duduk berdoa selepas solat Zohor, lantas bila aku terdengar soksek di bahagian tepi masjid aku ikut ingin tahu. Sangat teruja mengetahui ada mat saleh yang menemui hidayah Allah!

Kalau kau ingin tahu, yang mula-mula perasan akan dia adalah rakanku Kamal. Dia, ketika ingin mengambil wuduk untuk solat Asar, sekilas terpandang pemuda ini memerhatikannya dan menghulur senyum. Rakanku pantas membalas. Aneh, bisik Kamal waktu itu, kerana pemuda Inggeris itu mengekor gerak lakunya membasuhi setiap anggotanya. Dia teruskan juga, satu demi satu dengan perlahan agar pemuda itu mampu ikuti. Teka rakanku waktu itu, pemuda ini tentu baru menjadi muslim. Tekaan itu nyata hampir tepat, kerana dia akan menjadi muslim sebentar lagi!

Sahabat,
Pada awalnya, orang yang menolong pemuda itu untuk mengucap dan sebagainya menjelaskan serba sedikit apa bezanya Islam dan Kristian. Persoalan dan kekeliruan yang pemuda itu alami selama ini terjawab nampaknya, kerana dia sendiri melontar keanehan dalam persoalan akhirat dalam agamanya sebelum itu. Lelaki yang membantu mengislamkan dia sedikit sebanyak juga membimbing tentang apa yang penting sebagai seorang saudara baru dan perkara yang harus dilakukan dan sedia hadapi selepas menuturkan kalimat syahadah itu nanti. Setelah dia bersedia, dia duduk bersila mengadap si pemimpin, dan mengekor satu-persatu perkataan dalam bahasa Arab yang mengecualikan semua tuhan kecuali Allah, Dia yang Maha Layak Disembah. Dengan pelat lidahnya dia berusaha sedaya bersuara:

Asy-hadu-an-laa-ilaa-ha, illa-Allah. Wa-asyhadu-anna-Muhammadar-Rasulu-Llah.

"I bear witness that there is no God but Allah, and Muhammad is the Messenger of Allah."

Allahuakbar, hatiku bergetar, pelupuk mataku hangat wahai sahabat. Ini bukan calang perasaan, pengalaman!

Dan kemudian syahadah yang agung itu diikuti pula dengan ucapan percaya akan rukun iman yang enam. Aku beriman dengan Allah, para malaikatNya, Kitab-kitab suciNya, akan hari pembalasanNya, Qadar dan Qadha'Nya, juga para Rasul sekaliannya.

Allah, ketika itu pipiku dibasahi gerimis hangat. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaaanku yang bercampur-baur saat itu...

Azrul,
Namamu punya maksud apa ya? Tak silap aku, azr itu kuat, dan rezuan atau ridhwan itu nama syurga bukan? Kenapa aku tiba-tiba bertanyakan makna namamu, kautanya? Oh, sebabnya mudah: Pemuda yang baru saja mengucapkan kalimat syahadah itu perlu diminta memilih nama Islamnya. Muhammad, itu tentu sudah terpilih, dia kata. Cuma dia ingin satu lagi nama, yang katanya untuk membezakan dia dari orang lain. "I want to be different," khabarnya. Aku teringat aku ada membaca sebuah buku direktori muslim selepas zohor sebelum itu, dan di dalamnya punya senarai nama bayi muslim dalam bahasa Arab beserta ertinya. Mulanya Azrul, aku sangat segan hendak menyampuk, tetapi kerana ingin sekali membantu dia memilih nama yang baik, cepat-cepat aku beritahu buku itu tersimpan di rak berdekatan lalu aku ambil dan carikan bahagian nama itu. "Waleed" itu antar nama pertama yang dia nampak ketika buku itu dibuka.

Ketika itu, dia bertanya nama setiap orang yang hadir di situ dan maknanya sekali. Tentu dia ingin tahu. Aku memberitahu maksud namaku juga, tentu. Bayangkan Azrul, kini dia sudah seperti bayi yang baru lahir tanpa sebarang noda, dan berhak memilih nama sendiri, yang bagus dan mampu jadi lambang dirinya! Alangkah!

Aku ingin memberi dia nama Ammar. Nur Muhammad Ammar, aku suka sekali nama ini. Tapi, biarlah dia memilih. (Ops, bukan bermaksud aku tak suka nama engkau ya, nama Azrul itu sedap juga.)

Bagaimanapun, ada juga yang tak kena dalam sesi indah itu. Ada seorang pakcik ini bersifat sedikit mendesak. Sedang pemuda itu baru hendak menjadi muslim, mana mampu mengikuti semua aturan Islam lagi, lagipun dia belum faham penuh. Ah ya, lagi satu, kagumnya aku dengan pemuda ini, dia juga nampaknya telah fasih sedikit tentang Islam. Kawannya telah menganut Islam sejak setahun lalu, dia jadi teratarik, kalau aku tak silap dengar. Bila si pemimpin sesi itu menceritakan tentang wanita, pemuda ini menyebut dia tahu tentang kehadiran orang ketiga--syaitan--ketika seorang lelaki berduaan dengan wanita itu. Nyata dia sudah tekad benar, nyata kebenaran sudah betul sampai pada lubuk jiwanya. Sebab itu dia tahu banyak perkara, Al-fatihah pun katanya dia tahu dikit-dikit. Allahu akbar, hadiah dari Allah untuk pemuda ini sungguh menginsafkan kami!

Dia berusaha mendekati Islam, kita yang sudah Islam sudah 20 tahun ini, kenapa perlu makin menjauhi?

Oh ya..dia baru berumur 18, sangkaan awalku salah! Kita patut malu..

Azrul,
Ketahuilah engkau, pemuda ini bernama Mitchell McPike. Terkejut aku bila aku menaip namanya di Google dan mendapat tahu dia pemain bola untuk pasukan Birmingham City. Kami ingat dia pemain bola biasa-biasa saja apabila dia mengatakan yang dia seorang pemain. Rupanya dia pemain nasional. Kamal sangat teruja (peminat bola, tentulah) dan berfikir-fikir apa dia harus meminta jersi daripada pemuda ini. Aku hanya mampu ketawa. Sayang sekali, aku bukan peminat bolasepak. Tapi aku ceritakan pada engkau sebab aku tahu kau juga meminatinya. Cuma, aku tak pernah sempat meneliti kau beraksi. Mungkin nanti jika aku bisa berkenalan dengan pemuda ini, Muhammad, dan menjadi kawannya, mana tahu engkau boleh kukenalkan pada dia. Mungkin, kau boleh bermain bersama, mana tahu?

Pemuda ini kemudian bersolat maghrib bersama kami setelah membersihkan diri. Dan akhirnya dia pulang dengan beberapa buah buku pengenalan kepada Islam.



Sahabat,
Sesungguhnya benarlah firman Allah, yang hidayah itu milik Dia, dan hidayah itu akan diberi pada sesiapa yang dikehendakiNya dan berkehendakkan padanya. Kita ini moga tergolong dalam orang yang sentiasa diberi petunjuk. Aku mohon, mari kita doakan Muhammad ini tidak terpesong dari arah yang dipilihnya kini. Semoga dia lerai dari kekusutan, lepas dari segala bagai kekeliruan, biar dia hanya nampak kebenaran, kebenaran, kebenaran.

Dan aku doakan engkau berada dalam rahmat Allah selalu. Ini saja hadiahku untukmu.

Sekian saja kali ini, dalam surat lain akanku ceritakan lagi tentang dia kalau ada peluang bertemu. Ilal liqa'.

Eid Mubarak.

Mohd Rasydan Fitri

54, North Road, Selly Oak
Birmingham
United Kingdom.
Isnin, 30 November 2009, 1:05 pm.

Oktober 23, 2009

Tabula Rasa II

Masih di University of Leicester, Ahad 18 Oktober 2009.

*******

Dia mulakan dengan bual ringkas. Tidak sempat bertaaruf panjang, dia lewat tiba sebelum itu. Sepatutnya dia speaker pertama. Dia membahasakan dirinya 'ustaz', dia murah dengan senyuman, dan senang berjenaka sekali sekala.



Dia berbicara mengenai doktrin. Rakyat Malaysia, umat Islam Melayu, ya kita, didoktrin untuk tidak berfikir. Kalau diberi satu hukum atau penyelesaian, maka itulah satu-satunya jalan. "Kenapa begini dan begitu?" adalah soalan pantang ditanyakan. Itu adalah itu dan kauharus terima. Itulah masyarakat kita! Ustaz cepat mengingatkan, cerita Allah melantik manusia sebagai trusti di muka bumi. Malaikat yang sangat taat pada perintah Allah, ya mereka teramat taat, tetap juga bertanyakan pada Al-Khaliq: Mengapa, ya Allah? Sedang mereka hanya akan berbuat kerosakan!

Mereka tetap ingin tahu kenapa, mengapa tidak kita?

Engkau teringat akan kata-kata Ustaz Erfino Johari pada engkau mengenai sentralisasi dan standardisasi yang melanda kita di Malaysia. Kena benar dengan apa yang Ustaz Maszlee perkatakan!

Sahabat Nabi kita juga dengar dan taat, sami'na dan atho'na kata orang, tetapi sebelum itu ada juga pertanyaan yang dikhabarkan kalau ada yang tak difahami.

Mengapa tak kita?

"Ingat kisah pelacur yang beri minum anjing hingga masuk syurga?"

"Cuba kau jukstaposisikan dengan gadis veterinar pegang babi dan bergambar suka dituduh rosak akidah hingga satu Malaysia gempar?"

Ini pula persepsi masyarakat kita yang memandang hina babi dan anjing. Didoktrin sampaikan begini sikap kita pada dua makhluk Allah ini. Sedarkah engkau, anjing dan babi ini berzikir pada Allah dengan cara tersendiri! Engkau, begitu jugakah?

********
Sebagai trusti, kita perlu kenal nature dunia. Semulajadinya tempat tinggal yang sementara ini.

Dia tiba-tiba berkata, ada sesetengah orang, orientalis atau filsuf barangkali, menuduh Islam tidak sesuai dengan akal manusia. Kata mereka akal manusia adalah tabula rasa semata-mata. Akal atau mental manusia adalah kosong, sebuah blank slate yang hanya bakal diisi dengan pengalaman dan persepsi. Ilmu kita datang hanya dari dua sumber itu. Engkau kurang faham tetapi ustaz terus beralih ke tajuk lain. Engkau mencoret:

Harus belajar ilmu falsafah.

Katanya, kini terdapat pelbagai 'sains baru' yang boleh dinikmati. Bukan semata-mata perubatan, kejuruteraan. Ada sains memastikan kesahihan hadis. Bagaimana telitinya sains demi menjaga kata-kata nabi. Ustaz kemudian teringatkan sesetengah negara yang masih mengekang rakyat wanita dari menuntut ilmu, macam zaman dahulu juga. Eh, Aisyah mufti zaman dahulu kautahu! Malah dia mampu memimpin gerakan protes politik di zaman Ali! Tanpa ilmu yang tinggi, itu semua takkan terjadi!

Ilmu diri. Ilmu falsafah. Ilmu deen. Sains dan cabangnya. Kau memotong ayat pertama dan mencatat pula:

Harus belajar ilmu falsafah. Banyak lagi yang aku perlu pelajari.

*******
Knowledge production. Penghasilan ilmu. Maksudnya, bukan hanya menjadi pengguna ilmu, tetapi kau mengekstrak ilmu yang kaupelajari menjadi sesuatu yang baru. Sesuatu untuk disumbangkan pada orang lain. Orang Islam belajar tentang automobil tapi hanya membaiki kereta, bukankah itu mediocre? Patutnya kauhasilkan sebuah kereta sendiri dan jualkan pada masyarakat dunia!

Kau terdengar ustaz bercerita mengenai kereta berciri Islami yang diilham oleh Dr. Syeikh Muszaphar.

"Kekayaan ilmu dan duit datang pada engkau, tapi kau tak pernah kisah untuk memproduksi ilmu. Alangkah rugi dan membazir, lebih baik sumbangkan duit itu untuk buat klinik kesihatan canggih di tanah air, atau sumbangkan pada anak Cina dan India yang hidup melarat dan mencicip rezeki hanya dari jualan sayur-mayur. Mereka lebih berhak!"

Dogma agama dalam kebanyakan masyarakat hanyalah hubungan vertikal, hubungan dengan Tuhan sahaja. Sedang sepatutnya hubungan itu diimplementasikan pada hubungan horizontal--sesama manusia.

Engkau melukis rajah ringkas ini setelah serba faham:


Maka menjaga hubungan dengan manusia juga perlu. Memberi pada manusia lain yang lebih berhak contohnya. Kalau kaujaga hubungan dengan Allah kau akan faham mengapa harus difikirkan nasib manusia lain dikelilingmu.

********

Hampir di hujung perbincangan, ustaz menyergah cepu akalmu dengan satu persoalan: Kenapa engkau berada di sini?

Kenapa tidak belajar di bumi Malaysia, apa bedanya?

Fikir-fikirkan.

Menutup buku catatanmu, kau teringat pesan ustaz di tengah-tengah bicaranya tadi: "Baca buku The Alchemist karya Paulo Coelho." Apa isi dalam buku itu yang ustaz tekankan tadi, engkau terlupa pula. Tak mengapa, bak kata Ustaz Erfino, banyakkan beli buku. Dan Dr. Alhady juga sudah pesan untuk menghunjam kotak akalmu dengan pelbagai idea 'baru' bukan? Tentu ada sesuatu yang bagus yang boleh dicerna dari naskhah penulis barat itu, nanti engkau cuba dapatkan.

*******
Pohon maaf, maaf, maafkan.
Kerana teduh aku menumpang,
Sayu melukut di tepi gantang
Maafkan aku ilmu tak tercukupkan.
Tabula rasa minta dikenyangkan dengan ilmu dan pengalaman...
maka, Leicester

Moga berjumpa lagi andai umurku dipanjangkan.

Leicester, 18 Oktober 2009.

Oktober 20, 2009

Tabula Rasa I

Sedikit perkongsian ilmu ketika berada di Leicester hujung minggu lalu. Ada pengisian, semacam ceramah, dengan tajuk ringkas tentang menjadi pelajar muslim yang mewakili Islam, dan juga kebangkitan ummah. Biarpun tidak semua isinya menumpu kepada tajuk yang diberi, tetapi sangat banyak yang jika tidak dikongsi, terasa amat rugi.

*******

Dr. Alhady Alfian Yusof, itu namaku.

Aku diberi tugas memperkatakan tajuk "I am not just a student, I am a Muslim delegate." Lalu aku lantang menjelaskan, tajuk ini bukan satu perdebatan tetapi adalah satu fakta. Kau benar duta Islam meski kau tak mengakui. Hakikatnya kau kini berada di bumi majoriti bukan Islam, itulah sebabnya!

Selepas itu, aku berkongsi apa yang perlu kau ada dalam diri. Yang perlu kau kuasai mungkin.



Aku bentangkan kunci-kunci penting; dan nampaknya kau tertarik pada isi "know your limit & know your minimum" yakni kau perlu tahu limitasi atau had dirimu, juga perlu mendalami di mana minimum engkau. Menarik. Kerana tak pernah kaudengar bicara mengenai taraf minimum seseorang. Kataku, had daya kita hanya boleh diketahui dengan usaha. Adalah sangat absurd kiranya engkau hanya berpeluk tubuh dan mengatakan "Aku cuma boleh berusaha sedaya ini dan itu." Mustahil itu benar! Jadi haruslah kautujah usahamu demi menemui puncak kekuatanmu.

Minimun itu pula, maksudku adalah perkara asas yang kau harus ada dalam diri. Perlu tahu minimum changes yang bakal berlaku dalam dirimu.

Kemudian aku beralih pada topik merancang prioriti. Mana satu harus diletakkan di atas sekali, dan yang mana harus dikesampingkan dahulu? Sekejap ini jadi di atas, tiba-tiba hari yang lain itu pula yang di bawah. Hei, kau terlalu selalu mengubah prioritimu! Padahal prioriti sepatutnya hanya satu! Jika kau tak tetapkan begitu...akan tiba satu masa prioriti itu akan membelasah kembali dirimu!

Aku tumpang mengingatkan, kau kini di bumi Eropah. Terlalu banyak ilmu yang boleh ditelaah, baik sejarah, budaya, falsafah. Aku tidak meyedari kau mendengar tekun saat aku menggumam mengenai buku, penulis, idea 'baru' yang kau tak pernah hadami, dan kemudian buku-buku yang kau amat suka itu aku sebutkan kepelbagaiannya.

Kau mencatat lagi.

Aku utarakan persoalan besar: "Kenapa kau seorang muslim?" Ini asalnya satu soalan besar yang kuterima dari rakan bukan muslim di sini.

Aku dilahirkan oleh ibubapa muslim, jadi aku seorang muslim. Hei, itu jawapan yang longlai!

Aku terkam pula dengan persoalan: "Kenalkah engkau akan dirimu yang sebenarnya?"

"Apa minimum engkau? Bagaimana kau tahu di mana takat minimum itu?"

Lalu aku akhirnya menawarkan solusi: Muhasabah. Surveillance. Self-Reflection. Ya, cerminan diri. Secara individu pun tidak mengapa. Lebih baik secara berkumpulan, usrah, keluarga, halaqah, apapun istilahnya, biar ia bawakan engkau pada koreksi diri. Kembali pada kumpulan itu.

Ingat, peluang jangan disia-siakan, kelak delegasi bakal terabaikan!

*******

moga-moga ada daya untuk menyambung  bersambung di bahagian II dengan isi dari Ustaz Maszlee. Tabula rasa itu bukanlah betul sangat, tapi ilmu memang ada yang datang dari pengalaman!

helaianRindu: Menarik jugak belajar falsafah ni.

Related Posts with Thumbnails