Memaparkan catatan dengan label faisal tehrani. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label faisal tehrani. Papar semua catatan

November 08, 2011

Enak Cinta

Saya baru sempat menonton cebisan-cebisan rancangan realiti terbaru di Malaysia bertajuk Masterchef Malaysia. Khabarnya program ini mengikut format rancangan asal dari United Kingdom. Jujurnya saya rasa inilah antara program realiti yang menarik dan informatif. Tak perlu terkinja-kinja mengundi peserta paling kacak dan pandai menyanyi. Bahkan dapat tips-tips ilmu gastronomi pula.


Antara adik-beradik saya, sayalah yang paling bendul dan tak pandai memasak. Sudah jadi rukun dalam keluarga saya, setiap kali sesiapa habis SPM, dia harus duduk di rumah dan sementara menunggu keputusan dan menunggu masuk ke universiti, cuti selama lebih setengah tahun itu perlu dihabiskan dengan memasak. Terutamanya untuk makan tengahari. Ketika itu mak dan abah saya bekerja, dan mereka akan pulang ke rumah pada waktu lunch hour untuk solat zohor dan makan. Pukul 2 mereka harus kembali semula ke tempat kerja, jadi makanan di rumah sudah mesti siap sebelum itu! 

Ketika giliran saya untuk menjadi tukang masak makan tengahari untuk beberapa bulan itu, saya sudah tunjukkan macam-macam kesilapan yang tak patut dibuat. Sedangkan abang di atas saya sudah menunjukkan bakatnya di dapur dan sudah mula memasak hidangan ala kedai makan, saya terkedek-kedek belajar memasak nasi. Kadang-kadang saya malas memasak kerana saya malu! Semasa ayah saya pencen dia yang ambil alih tugas itu dan saya menyibuk-nyibuk di tepi sahaja. 

Saya masih ingat, satu waktu itu, saya tanakkan satu keluarga dengan hanya 1 cawan nasi. Sebab pernah saya masuk dapur sekali sebelum ini dan saya lihat ibu saya masak hanya 1 cawan nasi. Jadi saya sangka porsi satu keluarga hanya sebanyak itu. Kata mak:

"Memanglah, sebab masa tu baki nasi tengahari banyak lagi, mak tambah saja 1 cawan lagi (untuk makan malam)!"

Ketawa satu famili dibuatnya. Tak apa, saya belajar sedikit-sedikit.

Kek coklat pertama saya pula, walaupun sudah berpandukan resepi di depan mata, dan bahan-bahan telah diletak di atas meja semuanya, saya terlupa meletak gula tetapi tidak lupa meletak garam yang secubit itu. Apalagi, kek coklat tawarlah jawabnya!

Tapi manisnya tradisi memasak selepas SPM itu, saya sekarang bolehlah memasak pelbagai masakan, dan tak takut lagi untuk ke dapur. Tak takut pedih bawang, percik api minyak (dulu saya melompat dan lepaskan makanan yang nak digoreng bila terkena minyak panas), nak guna pisau dan macam-macam lagi. Dan walaupun semua adik-beradik saya lebih hebat memasak sekarang, saya dah tak kekok dan segan lagi memasak bersama mereka. Ini semacam tarbiah dapur pula. Hehe.

Lebih manis, sekarang saya memasak untuk menggembirakan mereka yang akan merasa makanan saya. Saya yakin makanan yang dibuat penuh kasih dan tertib ada kesan di hati. Lebih-lebih lagi kalau benar-benar ikhlas. Ya, makanan mampu mengikat hati. Tentu ada sebab mengapa hampir semua orang di dunia ini akan mengatakan masakan ibu adalah yang terenak. Saya pasti ramuannya adalah kasih sayang.

Kenapa saya bercerita tentang program Masterchef pada awalnya? Sebabnya, saya tertarik dengan peserta-peserta yang bertanding. Mereka bertanding dengan dorongan. Dan boleh lihat dari makanan, siapa yang nampak benar gigih dan sungguh, malah apabila diceritakan tentang latarbelakang mereka, meski kelam-kabut menghasilkan masakan, ada terserlah rahsia. Inspirasi dan dorongan mereka seperti terjalin bersama. Itu pendapat peribadi saja, tapi saya yakin ada yang berfikiran sama dengan saya.


Saya teruja juga bila melihat masing-masing ada falsafah dalam menyediakan makanan. Brian contohnya, memasak dengan prinsip 'rasa itu datang dari ramuan asli itu sendiri'. Dia berkata, saya jarang gunakan gula dan garam. Nama-nama masakannya pula kreatif dan unik. Juga dia sukakan warna dalam masakan dan persembahannya kerana tambahnya, warna yang menarik itu baik untuk kesihatan. Saya setuju juga, warna mengajak kita merasa ceria. Bukankah?

*******

Novel Ketupat Cinta Faisal Tehrani menyelongkar ingatan saya. Bertemakan gastronomi, novel ini membawa falsafah yang indah, lagi-lagi berkisar masakan melayu. Saya sudah lupa isi kandungan buku itu, tapi kesan dari membacanya masih ada. Saya terbayang-bayang kalaulah saya juga boleh memasak dengan kasih dan penuh falsafah, tentu memasak itu menjadi suatu yang benar-benar memuaskan.

Kemudian, yang saya baca beberapa hari lalu, The Particular Sadness of Lemon Cake tulisan Aimee Bender, yang sangat menarik premisnya. Berkenaan Rose Edelstein yang mempunyai kuasa istimewa untuk merasa perasaan orang yang memasak makanan tersebut, sehinggakan jika makanan itu dibuat di kilang pun dia mampu merasa di mana tempat itu dibuat dan dari mesin apa. Masakan sesedap apa pun dirasakan penuh perasaan kompleks, kadang bertabur pahit, tergaul sepi, bergula dan bergaramkan perasaan bersalah. Walaupun ibu dan ayahnya nampak biasa-biasa saja, tetapi apabila Rose menjamah kek lemon buatan ibunya, dia akhirnya tahu yang ibunya tidak bahagia bersama ayahnya.

Namun novel itu memberi impak yang biasa-biasa saja, kerana jalan ceritanya tidak luar biasa. Pada saya, pengakhirannya (dan permulaannya juga) cukup baik kerana kisahnya agak tergantung, ia memberi teka-teki untuk pembaca mengagak. Saya yakin jika cerita dan wataknya dibenarkan berkembang dengan lebih baik lagi, pasti novel ini mampu memikat saya. Tetapi ketepikan tentang itu, yang saya gemar ialah bagaimana dia menyampaikan rasa melalui makanan. 

Saya tertarik benar dengan novel ini sehinggakan saya bertungkus-lumus memasak kek lemon untuk imitate kek dalam kulit buku ini. Siap dengan chocolate frostingnya sekali. Tetapi hasilnya tak menjadi seperti resepi yang saya ikut ini! (Resepi tersebut juga dibuat bertujuan seperti saya, untuk meniru gambar di kulit buku.)  Masa memasak kek tersebut, jujur saya katakan saya kurang mood untuk memasak, dan agaknya benar yang masakan boleh menunjukkan perasaan kita ketika memasak, seperti yang Bender tulis dalam novelnya. 

Mesti ada antara kalian yang pernah mendengar kisah seorang bapa dengan tiga orang anak gadis. Ayah ini meminta anak-anak gadisnya membuktikan kasih mereka kepadanya, sejauh mana kasih kalian terhadapku, tanya dia. maka anak yang pertama dan kedua membawakan harta seperti emas dan permata, kata mereka, kasih kami bernilai sebanyak inilah. tetapi anak yang ketiga berkata: Kasih saya kepada ayah seperti garam. Ayahnya begitu marah mendengarkan kata-kata tersebut, ketika kakak-kakaknya menghulurkan harta bernilai tinggi membuktikan cinta.

Tetapi suatu hari, anak yang ketiga ini memasak untuk ayahnya, dan ketika dirasa oleh ayahnya akan masakan tersebut, ayahnya menjadi marah. Rasa lauk-pauk yang dihidangkan begitu tawar, tidak berasa! Anak gadisnya itu sengaja tidak membubuh garam. Lalu  dia menerangkan letak duduk garam dalam masakan, biarpun kecil, tapi tanpanya tidak lazat makanan itu. Barulah ayahnya mengerti mengapa kasih anaknya diibaratkan seperti garam. Dengan garam sahaja, masakan dirasakan penuh kasih! 

*******

Kalau Nabi, baginda juga ada ajar banyak perkara berkenaan makanan dan adab makan. Kadang-kadang benda-benda kecil yang Nabi ajar pun kita masih tidak praktikkan. Saya tertarik dengan hadis berikut:


Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. itu tidak pernah mencela samasekali pada sesuatu makanan. Jikalau beliau s.a.w. ingin pada makanan itu beliaupun memakannya dan jikalau tidak menyukainya, maka beliau tinggalkan – tanpa mengucapkan celaan padanya.” (Muttafaq ‘alaih)

Dan firman Allah dalam surah Abasa ayat 24:

"Maka hendaklah manusia memerhatikan makanannya."

Bukankah itu indah? Dalam buku Kitab At-Tauhid karangan Abdul majid Aziz Az-Zindani, ada dibincangkan  mengenai mengenali Allah melalui makanan. Bagaimana dengan memerhati makanan kita boleh mengenali sifatullah? Bahawa makanan itu tidak datang begitu sahaja dari langit, tapi ada asal-usulnya. Dan di hujungnya kita mengecap nikmat keenakan makanan dan kelazatan mengenali Pencipta!


Mesti pernah dengar pesan orang tua untuk tidak membazir makanan, sebab nanti makanan itu akan menangis! Kalau mencela makanan, bukan sahaja kita akan menyakitkan hati tukang masak yang sudah bertungkus lumus, tetapi di akhirnya kita juga tak langsung mencela Allah yang memberi rezeki tersebut, yang memberi deria rasa, yang memberi rasa kenyang..segala-galanya! Benda-benda kecil seperti ini yang kita selalu lupa..

Ya, bukankah bagus, sekiranya di samping kita memasak hidangan enak, cinta dan iman kita kepada-Nya semakin lazat? 

helaianrindu: baru perasan kek lemon dalam kulit buku Aimee Bender tu berbayangkan gambar seorang budak perempuan. Menarik!

September 01, 2010

Bahlut: Realiti Dua Dunia

Judul: Bahlut
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Ameenbooks
Tahun: 2010
Harga: RM23
Bil. mukasurat: 400

Perengheg!—Pecut! Itulah kalimat yang diungkapkan oleh Bahlut, seorang atlet trek dari suku kaum Semai. Awalnya, Bahlut cuma anak hutan yang ketinggalan pelajarannya, dan lari ke Kuala Lumpur untuk mengubati kecewa cinta monyetnya. Namun atas bantuan gurunya Zaiful, dia dibawa mengenali dunia sukan olahraga di atas trek lumba lari, di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil. Siapa sangka anak orang asli tidak boleh maju seperti orang lain? Siapa sangka pemuda yang kekampungan itu tidak mampu meraih kejayaan?

Novel ini dilatarbelakangi sebuah hutan di Sungai Telom di Pahang. Sekali lagi, Faisal Tehrani menunjukkan gaya versatilnya dalam pembikinan novel. Kali ini, karyanya mengadun dua dunia berbeza yang pada mata kasar tidak terlihat keterkaitannya: Sukan dan perhutanan atau alam sekitar.

Perbendaharaan yang Diperkosa 

Usai solat subuh saya menonton rancangan Malaysia Hari Ini di TV3. Selalunya pagi awal begini mereka akan mulakan dengan membaca berita-berita utama di dada-dada akhbar utama tempatan. Petikan berita yang dibaca oleh hos itu di dalam suratkhabar The New Straits Times menarik minat saya kerana ada kaitannya dengan novel yang sedang saya baca.

Timber and gold ripped off” (Baca berita di sini)

Rupa-rupanya di Malaysia, masih berlaku pembalakan dan perlombongan secara haram! Berita lanjut yang saya tonton di TV1 pula merungkai kes yang berlaku di Raub ini telah berjalan selama 4 tahun yang sudah. Lebih teruk lagi, aktiviti terlarang ini berkemungkinan besar ada kaitan dengan rasuah dan permainan politik, kerana tidak mungkin dalam waktu selama itu tidak ada pihak berkuasa yang menerima laporan ataupun menyedari sendiri khazanah negara kita dirobek begitu sahaja tanpa kawalan.

Begitulah yang terjadi dalam dunia Bahlut. Kampungnya menerima nasib yang sama. Individu yang sepatutnya mereka percayai rupa-rupanya mengkhianati mereka demi kepentingan materi dan diri sendiri. Mereka yang mengetahui dan yang cuba untuk mengetahui kes pembalakan tersebut pula menerima nasib malang dari pihak pembalak haram itu.

Sudah tentunya, apabila ada pihak berkuasa yang ikut campur menjayakan jenayah mereka, tidak ada tindakan tegas yang akan diambil kepada pembalak-pembalak itu. Malah yang berpihak kepada kebenaran, contohnya Kabut (kakak angkat Bahlut), Cikgu Zaiful dan Cikgu Zalman (bekas guru Bahlut sebelum ke Kuala Lumpur) diancam bahaya dan hampir-hampir tidak mendapat keadilan.

Selebriti, Satu Solusi

Di sinilah terhubungnya dunia sukan yang ditunggangi Bahlut. Sebagai atlet yang juga menjadi selebriti secara tidak langsung, dia berusaha keras meraih pingat. Dengan menjadi perhatian media, dia membawa mesej untuk mempertahankan tanah adat orang asli malah membanteras jenayah haram pembalakan demi menebus kembali apa yang telah dirampas dari mereka; keluarga, tempat tinggal, dan juga keamanan.

Situasi ini sudah lama menjadi satu cara efektif, bukan saja dalam melariskan produk, malah untuk meluahkan rasa protes ataupun merubah sesuatu keadaan secara drastik. Dalam buku ini ada dinyatakan tentang peristiwa Muhammad Ali, peninju terkenal, pernah melemparkan pingat emas Olimpiknya ke dalam Sungai Ohio untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap isu perkauman yang mengenepikan bangsa berkulit hitam di Amerika waktu itu.

Rujukan pantas di Internet menyatakan perkara ini masih tidak dapat dipastikan kesahihannya. Namun, lebih penting dari itu, kita dapat lihat bagaimana selebriti memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah dengan cepat dan efektif kerana perhatian media yang begitu kuat. Mungkin langkah ini bukanlah cara yang sepatutnya, tetapi dalam zaman ini, tidak dapat dinafikan ini merupakan antara cara yang sangat berkesan.

Contoh terkini memperlihatkan artis-artis dari negara kita yang ikut serta dalam misi kemanusiaan ke Gaza dan sudah tentu mendapat liputan meluas dari dunia hiburan. Sekaligus, secara halus menyuntik sifat peduli masyarakat khususnya remaja tentang isu Palestin.

Rancangan yang ditonton tengahari tadi juga satu bukti bahawa kejayaan seseorang serta kuasa media mampu memberi maklumat yang jitu dalam sesuatu hal. Program bertajuk Orang Asli Terbilang yang disiarkan di TV1 itu,  mengetengahkan seorang juruhebah yang berketurunan orang asli Rompin dalam episod  kali ini.  Sememangnya sebagai seorang penyiar di radio, akan ada audiens yang tersendiri yang mudah mencerna ideanya. Penonton rancangan ini juga mampu menerima sebaiknya apa yang disampaikan oleh tokoh tersebut  setelah dia berusaha untuk berjaya. Bukankah ini sama kesnya dengan Bahlut?

Sekali lagi ditekankan ini bukanlah cara terbaik, tetapi hanyalah antara alternatif yang sangat memberi respon dan impak pantas.

Selain jalinan dunia trek dan alam, pembaca dibawa mengembara bersama Bahlut dalam pencarian identiti diri dan mengenal Nyenang he nanek (Tuhan Yang Satu). Faisal Tehrani menggunakan sedikit elemen ‘mistik’ melalui elemen mimpi dan instinct para watak. Bahlut mengenali kehidupan beragama sejak dari kampungnya lagi tetapi mula didorongi kekuatan untuk menganut Islam setelah sekian lama tinggal bersama abang gurunya, Zaidi, yang tinggi ilmu dan akhlaknya. Peristiwa-peristiwa pahit manis yang menyelubungi dirinya sepanjang mengenali Zaiful dan Zaidi menjadikan Bahlut seorang yang lebih matang dan selalu berfikir.

Pertembungan dunia hutan batu kota Kuala Lumpur dan hutan asli juga memberi kesan yang segar. Meskipun jalan ceritanya tidaklah begitu unik, tetapi penggabungan latar-latar dari dunia berbeza ini bagi saya cukup menarik. Mesejnya cukup jelas. Tambah istimewa apabila bahasa suku kaum Semai menghiasi perbualan-perbualan para watak sampai pengakhiran novel.

Novel ini patut dipandang serius kerana walaupun hanya fiksyen, peristiwa jenayah yang berlaku di dalamnya adalah satu realiti yang masih membelenggu negara. Bukan sahaja realiti pahit dunia hutan, tetapi juga secebis dari dunia sukan.

Bahlut merupakan sebuah kisah terinspirasi dari pahlawan lagenda kaum Semai. Kata orang, from zero to hero!

HelaianRindu: Sesuai juga Bahlut dibikin jadi telefilem merdeka. Selamat Hari Merdeka!
  

Februari 21, 2010

Bedar Sukma Bisu

Judul: Bedar Sukma Bisu
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: DBP
Tahun: 2007
Bil. mukasurat: 312
Harga: RM25.00

Duduk di negeri asing bukan mudah untuk dapat membaca novel-novel Melayu, apatah lagi membelinya. Saya sudah mula merindui karya-karya penulis tempatan. Masih terbayang saat-saat saya cuba menghabiskan Lamunan Puitis karya Shahnon Ahmad sebelum pergi, tetapi tidak berjaya. Cuba menyeludupnya ke dalam pesawat, tetapi dek kerana takut lebih muatan, saya dengan kecewa meninggalkan sahaja naskhah tersebut.

Ketepikan soal rindu itu dulu. Sebab sekarang saya berjumpa ubatnya sekejap.

Bedar Sukma Bisu. Saya pinjam dari Fazdhly, seorang rakan dari London.(Saya punya satu naskhah tapi ketinggalan di rumah tentunya, tak sempat menghabiskan) Kali ini penulis membawa tema pelayaran, ekonomi dan dunia niaga di dalam novelnya. Saya suka novel-novel penulis disebabkan pemusatan tema yang baik seperti ini, sepertimana Manikam Kalbu membawa tema busana, Ketupat Cinta dengan ilmu gastronomi, atau Advencer Si Peniup Ney dengan serba-serbi ilmu muzik.

Sejujurnya saya belum dapat faham sepenuhnya kisah BSB. Bukan sahaja penamatnya diletakkan pada prolog, malah ceritanya bagai tergantung di sana-sini. Mungkin juga saya kurang menangkap jalan ceritanya kerana lambakan fakta dan maklumat tentang ekonomi dan pelayaran yang memusingkan kepala. (Entah berapa kerat sahaja teori ekonomi dan ilmu pelayaran yang saya berjaya faham, itupun tidak berjaya ingat setelah selesai pembacaan.) Atau mungkin saja kerana saya membacanya terlalu cepat?

Apa sebenarnya terjadi pada Haiqal yang lemas di lautan setelah diculik lanun? Apa pula sebenarnya yang terjadi pada Ben Qortubi moyangnya yang hilang lama dulu dan hanya meninggalkan Bedar Sukma Bisu yang kosong? Muawiyah, datuk saudaranya pula mengapa dimusuhi sebegitu kuat oleh ahli keluarga sendiri, sedang pada saya dia tidak menampakkan apa-apa salah? Takkan hanya kerana sebab picisan 'tidak lahir di lautan' dan sebagainya?

Saya masih tidak faham.

Apapun, novel dewasa ini memang selayaknya memenangi hadiah pertama Sayembara Mengarang Perayaan Jubli Emas DBP beberapa tahun lalu. Dalam naskhah ini Faisal Tehrani saya rasakan berjaya mengkritik dan mencabar bangsa Melayu, yang sinonimnya beragama Islam, untuk menjadi kreatif. Penulis memuji-muji kehebatan bangsa Melayu yang bijak menghimpunkan kepakaran bangsa lain dan kreatif menggabungkan elemen-elemen yang dikumpulkan itu, mengubahsuainya menjadi sebuah produk tersendiri. Contoh yang diberi adalah bedar Melayu yang sebenarnya mengadaptasi pelbagai ciri kapal layar dari bangsa lain. Kemudian, penulis juga berpesan secara halus supaya pembaca meningkatkan kreativiti mereka. Melalui watak Wefada, penulis menyatakan begini: "Wefada anti mereka yang tidak kreatif. Dunia pelancongan, perkapalan dan pelayaran ialah dunia yang harus memanfaatkan seni berfikir." (hal 226)

Kemudian, bukan sahaja Faisal mengangkat kebolehan bangsa Melayu untuk menyedarkan pembaca (Melayu khususnya), penulis juga dengan cemerlang membentangkan hal-hal ekonomi, khususnya berkaitan pelancongan dan perkapalan. Lebih semasa isinya apabila penulis mengetengahkan kritikan dan komen terhadap isu kewangan dan ekonomi Islam yang berlaku di Malaysia. Malah, ada juga aplikasi pelbagai teori dalam menguruskan perniagaan. Walaupun lambat-laun pembaca menjadi bosan dengan sekian fakta, ini sebenarnya satu kelebihan yang susah diperoleh dalam sebuah novel.

Saya tertarik membaca babak Wefada bermesyuarat dengan anak syarikat Kumpulan Bedar Sukma yang bernama Sukma Resort. Waktu itu pihak Sukma Resort menyediakan laporan yang menyatakan kemerosotan bilangan pelancong yang singgah di resort mereka adalah berpunca dari tiadanya alkohol dan pesta pora. Inilah persepsi masyarakat kini, kalau tiada hiburan dan pesta, semuanya terlihat bosan dan tidak mendatangkan keuntungan!

Lebih mencengangkan saya ialah impak Bedar Sukma Bisu pada saya. Walaupun saya tak sempurna mencerna isinya tapi bahasanya berjaya memikat hati saya, sepertimana novel Tunggu Teduh Dulu karya penulis juga. Bagi saya, penceritaan yang dilakukan melalui perspektif hampir semua watak utama, bagai kan sukma mereka yang bercerita. Sukma yang tanpa suara, bisu tapi punya rasa. Menarik! Anyaman garis masa (timeline) yang berbeza dengan bahasa moden dan lama dilapisi sekali-sekala menjadikan karya ini terasa begitu segar sekali. Imbas kembali di waktu Perang Dunia Kedua yang penuh tragis adalah antara babak yang menyentuh hati saya.

Oh ya, perlu diingatkan, kisah ini juga kisah cinta, maka bersedialah untuk membaca pelbagai babak romantis dengan frasa-frasa puitis. Jangan terkejut apabila menjumpai adegan ranjang yang salah satunya dianalogikan kepada nakhoda yang mengemudi kapal--harus ingat, ini novel dewasa!

*Bedar Sukma Bisu adalah kisah cinta Wefada pada lautan dan segara; pada pelayaran dan semenanjung emas. Setelah kematian ahli keluarganya, Wefada perlu menguruskan syarikat perkapalan warisan keluarganya bersama anaknya Haiqal. Dalam masa yang sama, rupa-rupanya ada sejarah luka yang menyelubungi keluarga mereka.

HelaianRindu: Teringin belayar di lautan.

September 22, 2009

Tuhan Manusia: Hakikat Ketuhanan; Kebenaran

Judul: Tuhan Manusia
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Ameenbooks
Tahun: 2008
Bil. mukasurat: 350
Harga: RM21.90

Dalam Tuhan Manusia, Faisal Tehrani membawa isu murtad secara head-on, dengan berani. Kata orang, berani kerana benar kan? Naskhah ini memang asal tujuannya bagi mereka yang ingin mencari kebenaran. Itu hasrat penulis, tertulis di awal muka dalam buku ini.

Tentu kita masih ingat kasus Lina Joy yang menjadi isu panas suatu ketika dulu. Juga saya mengingat-ingat ada seorang pelajar muslim berperwatakan lembut dibuli oleh pelajar lain di sekolahnya sehingga menjadikannya murtad. Persoalan yang ingin ditimbulkan dalam naskhah penulis ini ialah persoalan mengapa mereka murtad, yakni apakah faktor atau punca sebenar kemurtadan itu. Tentu ada ideologi atau fikrah yang terjana dalam minda individu-individu ini yang membawa mereka ke arah itu.

Dan dalam Tuhan Manusia, ideologi yang dibincangkan adalah faham pluralisme. Saya mengakui ini kali pertama mendengar istilah ini. Yang biasa saya dengar dan faham sebelum ini adalah golongan materialis dan sekularis antaranya. Tetapi rupanya dua elemen ini mampu membentuk sebuah faham baru, ya pluralisme. Dalam fahaman ini mereka menyatakan semua agama itu benar. Dalam kata lain hakikat kebenaran dan bertuhan itu hanyalah berdasarkan tafsiran akal individu. Dan hujahnya disandarkan pada kisah 3 orang buta dengan seekor gajah, yang setiap seorang menafsirkan bentuk gajah berdasarkan bahagian yang mereka pegang. Kisah ini termuat dalam karya Jalaluddin Al-Rumi bertajuk Mathnawi.

Tokoh yang menaikkan faham pluralisme ini bernama John Hick. Pluralisme ini merupakan salah satu dari tiga klasifikasi agama yang dikemukakan olehnya kepada khalayak. Kemudian penulis menyatakan pluralisme ini bukan hanya menumpu pada agama, malah pluralisme budaya, sosial juga wujud. Kewujudan faham baru ini berpunca dari sikap kononnya ingin mewujudkan kesefahaman dan menghapuskan segala macam sengketa yang dikatakan berpaksikan perbezaan agama. Banyak lagilah istilah dan terminologi, -isme itu ini dijelaskan. Kadang-kadang saya pening juga. Jadi saya baca perlahan-lahan. Jarang juga saya membaca dengan halaju begini. Tapi demi pemahaman total saya tegar menghabiskannya.

Faisal turut mendatangkan hujah dan nas dari sumber Al-Quran dan hadis demi menjawab pelbagai persoalan mengenai akidah dan Islam. Juga mematahkan pelbagai dakwaan pluralis yang hakikatnya hanyalah sangkaan dan hujah tanpa dasar. Fuh, memang dahsyat benar hujah dan dakwaan mereka. mereka sanggup mengatakan Al-Quran hanya teks yang sama dengan buku biasa, Nabi Isa naik ke langit itu mitos, dan Tuhan itu mana-mana pun betul dalam mana-mana agama kerana semua agama dianggap benar. Dibicarakan juga perdebatan mengenai ayat 'tiada paksaan dalam agama' yang selalu dicanang-canangkan kelompok pluralis ini. Dan banyak lagilah, tak tercerita di sini.

'Memang Tuhan Manusia bernada novel, tetapi jika dibuang jalan ceritanya, sudah menjadi seakan sebuah buku ilmiah koleksi esei-esei tentang pluralisme', itu (lebih kurang) antara kata-kata yang pernah saya jumpa di dalam sebuah resensi di internet tidak lama dulu.

John Hick yang menyebarkan idea pluralisme

Yang pasti isu ini tidak harus dipandang enteng. Penghasilan buku ini harus dipuji kerana tidak banyak buku yang membicarakan mengenai pluralisme ini...dan mungkin sebab itulah saya tidak pernah mendengar tentangnya sebelum ini. Dengan cemerlang, Faisal mengajak kita meneliti betul-betul isu ini. Tanpa fokus yang baik, kita tak mampu memahamkan isinya. Bukan sahaja penuh dengan fakta, tetapi diberati dengan banyak falsafah Islam yang seharusnya buat kita berfikir. Tentunya kalimat filsuf yang paling diingati dalam Tuhan Manusia, "Andai kota itu peradaban, rumah kita adalah budaya dan tiang serinya agama." Falsafah ini merupakan pesanan ibu kepada Taqi yang diletakkan pada awal setiap bab. Puas betul membaca buku ini, saya memang perlu baca berkali lagi untuk betul-betul faham dan ingat mesej dan isinya.

Keistimewaan novel ini adalah penceritaan melalui tiga perspektif, sudut pandang pertama, kedua dan ketiga. Sudut pandang kedua itu paling istimewa, kerana tidak mudah menceritakan sesuatu melalui perspektif 'engkau'. Memang sesuatu yang jarang digunakan dalam penulisan kerana kebiasaannya kita selalu berjumpa dengan 'aku' atau 'dia'. Yang paling baru pernah saya baca, juga banyak menggunakan sudut pandang ini adalah Mawar Shafei, dalam koleksi cerpennya Masitah (belum habis baca sepenuhnya lagi). Oleh sebab Tuhan Manusia bersifat khutbah, elemen sastera sebegini mampu mengelakkan pembaca yang mungkin mudah bosan dengan sekian banyak fakta. (Harap-harapnya tidaklah)

Sambil itu saya menghargai catan yang menghiasi muka depan buku ini. Mungkin ada yang mengatakan kulitnya tampak kebudakan. Tetapi imej catan memang bukan nilainya, kerana saya rasa kita patut menguliti maksud dan mesej di sebaliknya. Catan ini merupakan karya seorang pelukis dan kurator bebas bernama Khairul Azuwan, bertajuk Monster's Garage. Ia catan fantasi dengan gaya surrealisme. (Penerangan rinci ada ditulis dihujung buku ini sebenarnya.)

Secara ringkasnya, lukisan ini merupakan simbolik kepada pelbagai ahli falsafah dan ideologi barat yang sering diagung-agungkan. Raksasa jelik sedang dalam tawa memerhatikan makhluk kecil dalam aksi tidak ketentuan dan juga menjelma dalam bentuk aneh. Sebagai seorang pelajar aliran seni saya suka menatap dan menaakul maksud hasil seni serupa ini. Saya masih ingat dalam satu kelas seni dahulu, kami diminta melukis sebuah psycho self-portrait; iaitu melukis potret sendiri, tetapi tidak disampaikan secara literal. Jadi kami masing-masing cuba menafsir apa yang cuba disampaikan secara figuratif melalui catan masing-masing. Ah, sangat rindu waktu-waktu itu.

Tuhan Manusia diceritakan melalui kaca mata Ali Taqi, seorang remaja yang masih di bangku sekolah menengah. Abangnya Talha telah murtad dan menukar nama kepada Thomas. Terdesak, dia ingin segera memahamkan dirinya apakah punca yang menjadikan seseorang itu murtad. Lalu dia membenamkan dirinya dalam lautan falsafah dan agama demi mencari kebenaran.

Manusia, mahu bertuhankan apa sebenarnya?

helaianRindu: Sudah habis mod raya. Tapi, kuih batang buruk dari Sabah yang resipinya berbeza tak boleh berhenti ditelan.

September 07, 2009

Tunggu Teduh Dulu

Judul: Tunggu Teduh Dulu
Penulis:
Faisal Tehrani

Penerbit:
Penerbitan Selain

Tahun:
2004

Bil. mukasurat:
678

Harga:
Rm49.90


Hairan. Sangat hairan dengan diri sendiri. Kenapa saya tidak menyedari buku ini sebelum ini, kenapa buku ini tak menarik mata saya dulu untuk dibaca. biarpun telah lama berada di rak buku saya. Kadangkala saya ada membelek juga, tapi entah kenapa tak berani membacanya. Tertanya-tanya, adakah disebabkan edisi ini nampak tebal, lalu belum sanggup menelaahnya? Atau disebabkan ini sebuah novel cinta, genre yang saya kurang cenderung membaca? Atau barangkali ingin menunggu saat yang lapang seperti waktu sekarang (cuti) untuk menikmatinya? Entah. Walau apa alasan pun, saya hairan.

Tunggu Teduh Dulu adalah cerita mengenai seorang wanita bernama Salsabila Fahim yang mengusahakan sebuah ladang betik bersama rakan baiknya, Teh Sofia. Pelbagai dugaan menimpa Salsabila, dari diduga dengan cinta, retaknya persahabatan dan kekeluargaan, kematian orang tersayang, dan ujian kondisi ladangnya yang tidak menentu. Ini adalah cerita di sebalik perjalanan Salsabila mencari teduhan dari asakan yang bertalu-talu menduganya.

Saya banyak bermuhasabah dari isi novel ini. Ada tiga perkara utama yang selalu tengiang-ngiang dalam minda saya selepas membaca novel ini. Satu, bahawa kerja dan aturan Tuhan itu tiada siapa yang tahu. Jalur hidup dan ketentuan takdir kadangkala mencengangkan kita, datang dengan tiba-tiba, tetapi dihujungnya ternampak takjubnya. Teh Sofia selalu mengingatkan Salsabila dengan kata-katanya, "Kerja Tuhan siapa tahu?" dan saya juga bagai terdengar ungkapan itu di telinga saya setiap kali bertemu sesuatu yang tak saya jangka. Dua, saya belajar bahawa keterlekatan kita pada sesuatu, lebih-lebih lagi perkara duniawi akan membawa kita jauh dari bahagia. Ladang betik yang dicintai Salsabila dan Teh Sofia menghadapi banyak masalah, dan keterlekatan mereka pada ladang yang satu itu tidak boleh membawa mereka ke mana-mana. Sesungguhnya milik Allah jua segala, dan didatangkan yang lebih baik daripada apa yang kita ada sekiranya kita bersyukur dan terus berusaha.

Tiga, bahawa cinta itu diberi bukan diminta. Teman lama Salsabila di bangku sekolah dulu, Kamil dan Lam Ping Hai datang semula, menuntut cinta Salsabila setelah lama menawarkan cinta masing-masing. Sekian lama Salsabila tidak dapat memilih antara dua, dia berpergian ke Tanah Haram memohon dipertemukan jodoh. Tidak diduga, "kerja Tuhan siapa tahu?" itu muncul dan mengetuk lawang takdir wanita ini. "Cinta itu tidak diminta, tetapi diberi" begitu frasa yang saya selalu ingat. Kalau kita benar mencintai Dia, doakanlah supaya dikurniakan cinta orang yang mencintaiNya.


Susah juga saya hendak ulas lanjut novel ini, bukan kerana terlalu banyak untuk diceritakan. tetapi sukar untuk saya cari kata-kata yang terbaik untuk memperihalkan kebagusannya. Saya amat menyenangi falsafah dan simbolik di sebalik "Tunggu Teduh Dulu" itu sendiri. Tajuknya sudah memberi pelbagai bayangan pada kisahnya. Asalnya, ketika mereka masih bersekolah, Kamil, Salsabila dan Lam selalu ke puncak bukit berdekatan rumah Salsabila, dan suatu ketika hujan turun, mereka lalu berteduh di bawah sebuah bangsal. Kamil dan Lam masaing-masing menawarkan cinta dan secara halus meminta Salsabila meilih, tetapi Salsabila hanya menjawab, tunggu hujan teduh dulu. Tetapi di sebalik tajuk naskhah ini, Salsabila juga menunggu teduh dari pelbagai duga. Juga menunggu seorang lelaki yang benar-benar mampu jadi teduhannya. Dan tidak dilupa teduhan sebenar pada Tuhan Pencipta. Latar yang teduh menjadi pilihan--sebuah ladang betik dengan daun selalu ditup angin, mendatangkan damai pada jiwa-jiwa yang memandang.

Suka saya ingin meminjam kata-kata seorang pembaca, yang saya terbaca di internet; Sekiranya Indonesia mengangkat Ayat-ayat Cinta sebagai novel terbaik, maka di Malaysia Tunggu Teduh Dulu wajar diangkat sebagai citra. Ingat, watak wanita dalam Ayat-Ayat Cinta semuanya mendamba pada seorang lelaki yang tampak begitu sempurna pada segala. Tunggu Teduh Dulu menjanjikan yang lebih baik, di mana watak utamanya masih terpapar kelemahannya, dia tidak bisa memilih, dia juga ada saatnya hilang sabar dan lemah hatinya. Lebih dekat dengan para pembaca. Cerita ini adalah melalui sudut pandang pertama, dengan Salsabila sebagai 'saya'. Wanita yang membaca novel ini pasti lebih terasa dekat dengan peribadi Salsabila, pemikirannya, pendiriannya dan hidupnya sebagai seorang wanita. Sebagai seorang lelaki, Faisal Tehrani berjaya menghidupkan protagonis ini dengan baik sekali. Tidak semua lelaki boleh mempamer peribadi seorang wanita dan cara fikirnya sebaik ini. Saya juga suka dengan Salsabila Fahim, saya juga seperti ingin mencari teduhan seperti dia. Tempias duga itu dapat saya rasa, meski saya ini lelaki.

Hairan bukan, mengapa orang lebih menyebut-nyebut produk Indonesia sedang di negara kita ada yang lebih baik!

Lenggok bahasa kali ini lebih mudah, ayat-ayatnya pendek tetapi tetap dihiasi bunga bahasa dan diksi yang tepat. Manikam Kalbu contohnya, berkait rapat dengan ilmu busana, Ketupat Cinta pula dengan ilmu gastronomi, Tunggu Teduh Dulu membawa suasana pertanian. Seperti biasa, novel Faisal Tehrani sentiasa ditampung dengan ilmu yang bermanfaat. Dari ilmu mengenal jenis betik sehinggalah kepada jenis penyakit dan racun yang digunakan dalam penanaman, seperti selalu naskhah ini juga "well-researched". Begitulah sepatutnya novel, bukan sahaja menghibur, tetapi mendidik.

Pun begitu, saya sedikit ragu, selepas teduh, apa yang dinanti? Hari cerah? Pelangi? Atau sinar matahari? Bagaimana dengan bangsal tempat berteduh itu, apakah ia akan ditinggalkan? Saya masih berfikir-fikir lagi pelbagai makna di sebalik kisah berteduh ini, moga mendapat jawapannya ketika membacanya lain kali, InsyaAllah.

Kini Tunggu Teduh Dulu telahpun dicetak dalam edisi baru oleh Ameenbooks, lebih murah dan kompak saiznya. Hanya RM29.90, boleh didapati di kedai-kedai buku seperti MPH dan Popular. Jikalau anda mencari novel cinta, falsafah, kekeluargaan berlatarkan dunia tani, Tunggu Teduh Dulu jawapannya. Saya boleh menarik nafas lega, novel cinta macam inilah yang saya cari-cari!

helaianRindu: Sekeliling rumah aku pun ada tanam betik juga. Abah punya kerja. Tiap-tiap hari makan betik, hasil sendiri tapi entahlah spesies apa. Sebab itu membaca novel ini kecur liur. Suka dengan betik yang berisi jingga merah berjus itu.

Ogos 16, 2009

Bila Tuhan Berbicara

Judul: Bila Tuhan Berbicara (BTB)
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Ameenbooks
Tahun: 2007
Bil. mukasurat: 374
Harga: RM21.90


Ingat lagi peristiwa tsunami 26 Disember 2004? Bagaimana di Acheh, ombak yang mampu mencapai 30 meter tinggi itu menghancur dan meranap segala yang dialui, tetapi akhirnya sebuah masjid kukuh berdiri di tengah-tengah padang jarak. Bukankah jelas ini bicara Tuhan? Peristiwa ini diambil sebagai inspirasi untuk premis BTB, namun dalam bencana berbeza, iaitu gunung berapi VEI-8 di Danau Toba meletus--Singapura mungkin tenggelam!

Novel/drama BTB mengisahkan tiga orang pemuda yang bertemu secara kebetulan di dalam sebuah bunker bawah tanah tinggalan tentera ketika mencari perlindungan daripada orak-arik bencana cataclysmic tersebut. Saat menunggu dengan cemas, mereka tertidur, dan ketika terjaga, mereka mendapati dunia sudah melalui zaman ais kedua, hampir 10000 tahun di masa hadapan--dan kini berada dalam sebuah dunia baru, yang diperintah oleh seorang wanita dengan gelaran Paduka Ratu. Kenapa, terasa familiar? Ya, kisah Ashabul Kahfi. 7 pemuda yang lari dari pemerintahan Raja Decius di Ephesus, ditidurkan di dalam gua dan terbangun beratus tahun di masa hadapan. Mungkin sudah ada yang membayangkan trilogi Bagaikan Puteri karya Ramlee Awang Murshid. Klise? Tidak sekali-kali. Kisah Ashabul Kahfi bukankah kita sudah dengar saban tahun, tapi tak terlintas pula bosan, jadi makin takjub dan kagum adalah.

Drama Islam dan Homo Islamicus

(sumber: http://abiaqsa.blogspot.com/2007/07/homo-islamicus.html
Nota:
4JJ I di puncak rajah itu Allah dalam tulisan jawi)



"Sebagai seniman dan dramatis pun bila kita faham hal-hal ini dan tuan-tuan sebagai penonton pun bila faham hal-hal ini maka akan lahirlah model jiwa seniman yang Islam yang suci. Kita namakan mereka Homo Islamicus..." (hal.137)

Sebagai seorang dramatis sendiri, Faisal Tehrani menggariskan peranan-peranan drama Islam dalam membentuk peribadi individu yang menonton, Muslim mahupun tidak. Penulis menyandarkan drama Islam ini kepada gagasan teater fitrah yang dijelaskan oleh Sasterawan Negara, Cikgu Noordin Hassan. Kata beliau, teater fitrah ini perlu membawa penonton kepada menggantung atau menyandarkan diri kepada Allah (hal. 57). Dan kesannya? Lahirlah seorang homo Islamicus dengan iman yang takkan tergugat sama sekali keyakinannya oleh apa sekalipun. Enam prinsip teater fitrah ini ada dinyatakan dalam skrip drama BTB ini juga.

Mungkin rajah di atas boleh membantu kefahaman mengenai homo Islamicus ini. Perhatikan "Observation" dan "Ilmu" di atas. Menonton drama Islam sepatutnya berkesan meluaskan pengetahuan kita dalam pelbagai bidang ilmu.

Khutbah Agama?

Siapa kata drama Islam itu hanya 'khutbah agama'? Menerusi novel ini, pembaca dapat lihat tuduhan ini benar-benar salah. Perhatikan saja isinya, ada ilmu vulkanologi, ilmu sastera Islam, pengetahuan dalam bidang perubatan dan juga botani, malah sejarah dan geografi juga dimampatkan dalam drama tiga babak ini. Jangan risau, semua fakta yang diketengahkan itu insya-Allah tepat (sebab ada sebahagiannya saya cuba rujuk di internet). Tidak cukup dengan itu, tentunya ada ilmu agama itu sendiri untuk menyeimbangkannya. Ingat, Islam bukan hanya di masjid dan di surau!

Barangkali terlihat yang karya ini begitu serius; sudahlah dalam bentuk drama, penuh fakta dan tazkirah pula. Namun dalam kesriusan nada drama ini, terselit jenaka dan lelucon gaya tersendiri oleh penulis. Kadangkala satira yang dipersembahkan mungkin kelihatan berulang-ulang, tapi saya tidak pula rasa bosan atau terganggu. Antara komedi yang disertakan ialah watak-watak ini sebenarnya sedar mereka hanya berlakon di atas pentas teater; pengarah drama sendiri masuk menjadi watak tambahan yang kadang-kadang lebih-lebih pula actnya dari pelakon-pelakon drama ini sendiri; juga ketika di masa hadapan, penasihat Paduka Ratu itu menjumpai pelbagai 'kitab-kitab' lama yang tertanam jauh ke dalam bumi, yang rupa-rupanya majalah-majalah hiburan zaman kita yang penuh dengan gosip! "Mawi Tak Takut Gosip", "Siti Nurhaliza Saman Fitnah", dan "Kak Pah Lega"...ah membaca tajuk-tajuk headlines gosip ini pun dah buat saya tertawa sendirian.

Tidak kisahlah anda menghargai Bila Tuhan Berbicara sebagai sebuah novel atau sebuah drama; yang lebih penting, ilmu dalam setiap pembacaan itu jangan hanya lalu di mata, tapi sama-sama kita serap ke dalam hati dan minda.

Kalian juga boleh mengetahui lebih banyak mengenai asal-usul bangsa Melayu dan sejarah kedatangan Islam ke Alam Melayu melalui prosa segar ini.

*Lagi ulasan: klik sini, sini, sini atau sini.


HelaianRindu: Buku fiksyen tetap fiksyen. Rupa-rupanya The Da Vinci Code bukan semua yang dia claim fakta tu betul.

Ogos 06, 2008

Detektif Indigo: Kembali (Siri Detektif Indigo #3)

Judul: Siri Detektif Indigo - Detektif Indigo Kembali
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Ameen Kreatif
Tahun: 2008
Harga: RM16.00
Mukasurat: 224

Setelah ditinggalkan dengan cliffhanger yang mendebarkan dalam Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson, penulis berjaya membawa sekuel yang makin penuh dengan suspense. Kes penculikan Prof. Aslan, Setiausaha Agung OIC dan pengasas Akademi Indigo, Dr. Recep Gul menjadi suatu ancaman kepada masyarakat Islam dunia. Kumpulan Detektif Indigo terpilih dari serata dunia dipanggil untuk menyiasat kes sulit ini. Dan yang terpilih itu termasuklah enam sekawan dari Maktab Rendah Indigo Sepang - Chen-chung si hafiz, Faruq yang serba tahu, Mihrimah Maryam pakar sains forensik, Ruzbihan yang tajam deria baunya, Rabiah Zaitun si ahli kimia, juga entomologis, Isamu Nakamura. Dalam penyiasatan itu mereka merungkai suatu konspirasi besar yang melibatkan seorang tenaga pengajar mereka, di samping menyelesaikan kes pembunuhan seorang kejam seorang pelajar.

Cerita yang nampak ketara perkembangannya. Berbanding dua prekuel detektif Indigo sebelumnya, saya rasakan karya ketiga ini ternyata amat baik. Jalinan plot amat baik, dan misteri demi misteri mampu membuat pembaca teruja menelitinya, malah cuba menaakul sendiri. Saya sendiri, sungguh tertarik dengan konspirasi yang melibatkan Dr. Mama, tenaga pengajar enam watak utama cerita ini. Apatah lagi kelebihan Chen-chung yang telah dinyatakan dalam volum pertama lagi, dan masih menjadi misteri: IQ setinggi 357, sedang rakan-rakan lain hanya mencecah IQ dalam lingkungan 120-200.

Tidak banyak novel penyiasatan yang berkualiti yang boleh diperoleh di Malaysia. Yang masih saya ingat pun, masa sekolah rendah dahulu sering membaca Siri Salma, atau Siri Lima Penyiasat (tak berapa ingat) yang sebenarnya diterjemah dari karya Inggeris Nancy Drew ataupun Hardy Boys, juga siri penyiasatan Enid Blyton, tapi tidak begitu dekat dengan jiwa saya, mungkin kerana karya tersebut merupakan terjemahan yang masih mengekalkan watak, latar dan dialog asal. Detektif Indigo, berbeza sekali, kerana punya nilai agama dan moral yang disisipkan bersama. Ternyata, novel Detektif Indigo ini mampu melangkah lebih jauh, jauh lebih baik dari novel-novel Inggeris ini!

Dan sekali lagi, Detektif Indigo Kembali meninggalkan pembaca tertanya-tanya, dengan cliffhanger yang lebih mengujakan. Kemunculan seorang pelajar baru, guru ganti yang bermuka ngeri, dan rintihan misteri dalam jaringan telepati Indigo. Apa lagi rahsia yang perlu dibongkar?

Sama-sama nantikan buku keempat dari siri ini. (Maaf kerana tidak menulis mengenai dua volum pertama - mungkin lain kali, insya-Allah. Mahu beli Siri Detektif Indigo secara online? Boleh berbuat demikian di sini)

*Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan autograf dari penulis ketika membeli naskhah ini, dan beserta tandatangannya dia menulis: Rasydan, mahu jadi detektif yang mana? Biar saya jawab di sini: Kesemuanya, boleh?

Mei 09, 2008

Karbala: Kuntuman Bunga yang Gugur


Judul: Karbala
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Aberdeen
Tahun: 2008
Harga: RM18.80


" Bahawa setahun setelah kelahiran Hasan, Fatimah melahirkan Husin. Nabi datang kepadanya dan berkata, ‘Wahai Asma, berikanlah kepadaku puteraku.’ Kemudian dia menyerahkannya dengan diselimuti kain putih. Nabi mengazankannya pada telinga yang kanan dan mengiqamatkan pada telinga yang kiri, kemudian meletakkan dalam pangkuannya dan menangis. Asma kehairanan dan bertanya kepada Nabi.’ Demi ayah dan ibuku apa yang menyebabkan engkau menangis ya Rasul? Nabi menjawab, ‘Kerana puteraku ini’. Asma berkata, ‘Dia baru sahaja lahir.’ Nabi menjawab, ‘Wahai Asma, dia akan dibunuh oleh kelompok yang zalim, yang tidak akan mendapat syafaatku.’ Kemudian Nabi berkata, ‘Wahai Asma, janganlah engkau memberitahu Fatimah akan hal ini kerana dia baru sahaja melahirkannya.’ "


Jujur saya katakan, hampir tidak pernah saya mendengar kisah pembunuhan Saidina Husin, cucu baginda Nabi SAW. Mungkin hanya sedikit, amat sedikit, ketika di sekolah menengah dahulu. Dan tidak silap saya kerana ketika itu lsaya selalu mendengar lagu kumpulan nasyid Far East bertajuk "A'syura", yang liriknya hanya disebutkan kalimah Al-Husaini yang merujuk kepada Husin. Begini liriknya sedikit sebanyak:

Lembut tuturmu tegas membela agama
Gagah berani tiada tandingnya
Mulia akhlakmu didikan rumah kenabian
Penyinar segala kegelapan
Ibundamu penghulu wanita di syurga
Jelmaan bidadari di dunia
Menyintainya adalah suatu ibadah
Puteri kesayangan Rasulullah
Al-Husaini
Kepahitanmu kurasai
Terkorban kau menentang kemungkaran
Rebah tersungkur masih di dalam senyuman
Tabah hati menempuh cabaran
Ya Allah sampaikan salamku kepadanya
Pemergian tiada pengganti
Pemuda syurga gelaranmu di dunia
Kau pepohon penyinta ketaqwaan
Zuhud sifatmu redha setiap ketetapan
Pedoman engkaulah tauladan
Hancur tubuhmu bercerai di Karbala
Darah suci merah mengalir
Tenang nafasmu menyahut panggilan syuhada
Iringan wangian pengasih

Sayu, bukan? Susunan irama dalam lagu ini turut menghidupkan 'ratapan' terhadap kesyahidan cucunda nabi kita ini. Begitulah, karya Faisal Tehrani ini, cukup menghibakan. Sentiasa merentap hati pembaca menyedarkan tentang peristiwa berdarah 10 Muharam yang kita panggil dengan Hari Asyura. Di padang pasir Karbala, Saidina Husin bersama kurang dari 100 orang Islam dibunuh oleh kuncu-kuncu Yazid bin Muawiyah. Bekalan air diputuskan, tentera dibunuh, dipancung kepala, dirobek sesuka hati. Masya-Allah!

Karbala sebenarnya sebuah novel drama, mengambil konsep dramaturgi Syiah yang dipanggil ta'ziyeh atau ta'ziyah. Dalam sebuah ta'ziyah, tiada pelakon khusus untuk satu-satu watak. Pelakon-pelakon dibahagikan kepada dua kumpulan yakni orang soleh dan golongan fasik. Apabila watak Saidina Husin dikemukakan di pentas, maka salah seorang dari kumpulan orang soleh akan terus maju untuk melakonkan watak tersebut. Bagi babak lain mungkin orang lain pula yang membawa watak tersebut. Sama situasinya dengan orang fasik. Dilatarkan dengan muzik yang merupakan asas ta'ziyeh, dari akordian dan biola contohnya, suasana medan peperangan dan juga kesayuan peristiwa itu dapat disampaikan, dihidupkan pula dengan suara latar. Seni catan atau lukisan mahupun slaid gambar latar tempat padang pasir contohnya juga digunakan bagi menambahkan lagi kesan realistik pada drama tersebut.

Melalui Karbala, saya pastinya dapat mengetahui kebenaran di sebalik peristiwa Asyura ini (akhirnya). Drama ini bagaikan benar-benar 'dipentaskan' dalam kotak fikiran saya. Mengandungi 3 babak pendek yang berasingan, saya senang mengikuti susunan tragedi yang menimpa umat Islam tika itu, biar hanya ringkas tapi padat. Tukang cerita dalam drama ini sentiasa mengingatkan pembacanya bahawa kita ini umat yang lupa, sial, sepatutnya malu kerana tidak tahu akan peristiwa besar ini. Antara yang paling melekat dalam ingatan saya ialah ayat ini: 'Nabi o nabi, layakkah aku meraih syafaatmu di akhirat kelak andai apa jadinya di Karbala pun aku tak peduli'. Semasa membaca, perasaan kasihan sentiasa datang ke jiwa ketika menghayati episod-episod penyiksaan dan penyembelihan tentera Islam di pihak Saidina Husin. Benci sebencinya pula, pada saat saya membaca epilog babak satu, ketika Syimir bin Dzil Jausyan menyembelih Saidina Husin dengan begitu angkuh sekali!

Selain ta'ziyeh, terdapat juga wawancara bersama penulis yang dalam Majalah Millenia Muslim dan Dewan Sastera. Bahagian akhir buku ini pula mengetengahkan kertas kerja sejarah Boria Pulau Pinang yang asalnya merupakan seni dari kumpulan minoriti syiah di Tanah Melayu suatu ketika dahulu, yang juga seperti ta'ziyeh, yang fungisnya untuk meratapi kesyahidan Husin. Melalui kertas kerja ini pembaca akan mengetahui lebih lanjut mengenai ta'ziyeh dan boria serta sejarah masing-masing.

Jika anda peminat setia penulis anda mungkin sedar Karbala sebenarnya telah disiarkan dalam Dewan Sastera mulai Disember 2006 hingga Julai 2007. Tahun ini akhirnya ia telahpun dibukukan bersama.

Karbala, sememangnya sejarah dan akar revolusi yang mesti dihayati oleh semua.

Januari 05, 2008

Manikam Kalbu [yang menikam kalbu]


Judul: Manikam Kalbu (MK)
Penulis: Faisal Tehrani (FT)
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2007
Harga: RM25.00

Maafkan saya jika kalian rasa saya asyik menulis tentang karya FT. Rasa-rasanya sudahpun 3 novel FT dipaparkan, tapi apakan daya, karyanya memang menarik hati ini, jadi saya tulislah lagi, apatah lagi kariernya yang semakin berkembang membawa kepada penerbitan novel yang semakin banyak dan semakin cepat. Bakal terbit nanti, novel bertajuk "Karbala" (klik sini untuk lihat), manakala "Ketupat Cinta", sebuah novel bersiri akan terbit dalam Harian Metro. (rujukan blog FT) Pun tak sabar mendapatkannya.

Miau, miau.

Eh, jangan salah sangka, saya bukannya buang tabiat, tiba-tiba je mengiau tak tentu pasal, sedangkan saya bukannya kucing pun. Saya ni memang sejak azali dilahirkan sebagai manusia ok. Saya hanya teringatkan kepada narrator dalam novel Manikam Kalbu ni. Ya, seekor kucing. Terngiang-ngiang telinga saya akan omelan kucing comel tu.. lucu pulak tu. Bila baca si kucing ni bercerita, kadang-kadang tergelak sorang2 pun ada..tak tahan..dahlah kuat makan, miang pulak tu, selalu je mencari kelibat kucing betina. Ada satu kali tu, masa tuannya, Manikam Kalbu, melawat negeri China bersama Sultan Muhammad Syah, si kucing Madura ni pergi menyelinap ke taman larangan maharaja China..katanya "mahu mengintai kucing2 betina yang ada di kamar larangan, manalah tahu, ada gundik2 maharaja yang membela kucing betina yang lawa-lawa." Aduh, dasar kucing jantan.

Eh, galak pulak bercerita pasal kucing. Biasalah, saya memang peminat kucing. FT dah hasilkan satu novel yang menyediakan watak yang sesuai bagi saya nampaknya.

Berbalik pada MK. Pokok cerita ini sebenarnya tentang busana. Pelbagai maklumat boleh kita dapat dengan membacanya. Ada ilmu kain, ilmu menenun, rekaan fesyen, warna, seni jahitan, aurat, adat.. falsafah di sebalik baju kurung Melayu pun ada. Pendek kata terlalu banyak yang boleh dipelajari. Saya yang memang 'kosong' dalam ilmu jahit-menjahit dan busana ni, naik pening jugak mendengarkan nama-nama kain dan jahitan yang tak pernah didengar dan pelik pulak bunyinya. Sebagai contoh, antara kain yang disebut ialah kain baldu ainulbanat, kain rona kesumba murup, kain penurung patah dewangga, kain jelamprang, dan paling pelik, kain kindang kandu kindang kiani, dengarnya macam tongue twister pulak.

Selain ilmu busana dan sejarahnya, ada pula diselitkan ilmu tentang kucing. Hah, teringat pulak pada kucing betina saya di rumah yang gemuk dan montel perutnya, semontel kucing Madura dalam novel ni. Saya rela serahkan kucing saya untuk menjadi pasangannya! Pasti comel dan manja rupa mereka kalau duduk bersama. Haha.

Persis novel "Surat-surat Perempuan Johor", dan cerpen "Ratu Kosmetik", FT menceritakan novel Manikam Kalbu dalam dua zaman yang berbeza (zaman dahulukala dgn zaman moden). Bezanya, zaman moden dalam Surat-surat perempuan Johor dikaitkan dengan zaman kesultanan Johor, Ratu Kosmetik pula dengan Puteri Gunung Ledang, dan Manikam Kalbu pula dengan Kesulatanan Melayu Melaka sewaktu pemerintahan Sultan Muhammad Syah.

Bercerita pula tentang mesej dalam MK. Kita dah pun tahu yang setiap orang mempunyai peranan penting. Saintis mengkaji. Perdana Menteri mentadbir. Angkasawan meneroka. Tapi siapakah yang membalut tubuh mereka? Ha, inilah pula kepentingan jurubusana, pereka fesyen, tukang jahit! Boleh fikirkan betapa signifikannya mereka? Dalam MK, FT mengetengahkan persoalan aurat. Betapa aurat wajib ditutup, biar berfesyen segah mana pun. Tanggungjawab pereka pakaian bukan hanya mereka sesuka hati, tetapi mereka dengan berasaskan agama (Islam) dan budaya. Kalau seorang pereka fesyen mereka baju yang mencolok mata, dan ada pula si pemakainya, sudah dikira berdosa tu!

Kalau dalam karya FT "Tuhan Manusia", kata-kata yang akan kita ingat selepas membacanya, pastilah kata-kata ini: "Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya dan tiang serinya adalah agama." Dalam MK pula, kita tentu ingat ayat ini: "Sains itu hanyalah proses sedang seni itu hasilnya."

Ah, panjang pula manira berceloteh. Eh, terpengaruh pula dengan novel ini, serasa khial pula berada pada zaman Melaka. Oklah sebelum mula mengarut lebih baik dihentikan. Setakat itu saja rasanya ulasan kali ini.

*Gambar lain yang saya consider nak letak (mana lagi cantik ek?):


Ada beberapa gambar lagi, tapi malangnya tak dapat nak muatkan semua di sini. Hasrat hati nak padankan gambar kucing saya tu dengan ilustrasi kulit MK (oleh Sinaganaga) yang comel tu, tapi macam tak menjadi rasanya. Cuma satu lagi je gambar nak letak, nak tunjuk perut montel kucing saya (pre-production photo gak sebenarnya):

Besar kan perut dia?

Maka bermulalah senarai buku tahun 2008.

Disember 19, 2007

Nama Beta Sultan Alauddin


Judul: Nama Beta Sultan Alauddin (NBSA)
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Aberdeen Books
Harga: RM13.50
Tahun terbit: 2007

Musim cuti persekolahan adalah saat yang dinanti-nantikan oleh semua pelajar, termasuk Abu Bakar, umar dan Usman. Mereka akan bercuti di kampung datuk dan nenek mereka di Pagoh, Melaka. Rumah datuk mereka di kampung itu bercirikan seni bina rumah Melaka yang dinamakan rumah serambi enam belas.

Paling menarik minat mereka ialah cerita datuk. Datuk mereka sangat pandai bercerita. Pada percutian kali ini mereka mendengar kisah tentang sejarah Sultan Alauddin Riayat Syah yang menjadi Raja Melaka selama sebelas tahun, bermula pada tahun 1477, saat baginda masih remaja. Mengandungi 14 bab pendek, ia menceritakan tentang suka-duka hidup seorang Raja Muda yang bakal menjadi sultan muda secara kronologikal.**

Biarpun sasaran pembacanya ialah golongan kanak-kanak, buku ini bukannya tak sesuai untuk peringkat umur lain. Saya rasa setiap orang harus membacanya untuk mengetahui sejarah sultan yang berjiwa mulia dan amat bertanggungjawab ini. Bukan semua orang tahu kisahnya. Kononnya kita dah belajar tentang sejarah kesultanan Melaka di sekolah. Tapi terperincikah penceritaannya? Tambahan lagi, sejarah yang kita pelajari di sekolah sekarang kadang-kadang ada yang diselewengkan atau ditukarganti.

Paling seronok bila membaca bab Raja Hussain (Sultan Alauddin ketika remaja sebelum menjadi sultan), waktu dia menuntut ilmu dan juga saat baginda menyerang pencuri sewaktu meronda di waktu malam. Paling sakit hati bila membaca bab Sultan Alauddin dibunuh dengan racun dalam makanan. Aduh, semuanya disebabkan hasad dengki dan tak puas hati dalam politik Melaka waktu itu. Apapun baginda tetap syahid, itu yang lebih penting.

Saiz NBSA yang kecil dan harganya yang murah mampu menjadi bacaan semua lapisan umur. Beli dan bacalah!

*Sengaja letakkan gambar kucing saya. Kasi comel sikit.

**Sinopsis diolah sedikit dari majalah Dewan Siswa keluaran Disember 2007, m/s 33.

Oktober 29, 2007

Sejarah Perjuangan: Surat-surat Perempuan Johor


Judul: Surat-surat Perempuan Johor
Penulis: Faisal Tehrani
Tahun terbit: 2007 (Edisi Baru)
Penerbit: Aberdeen Books World
Harga: RM18.50
ISBN: 983-42152-2-4


Tahun ini, sudah keluar berapa banyak hasil tulisan Faisal Tehrani. Tuhan Manusia, Manikam Kalbu, Bedar Sukma Bisu…tapi buku ini bukanlah karya terbaru penulis. Buku ini asalnya diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor setelah memenangi tempat ketiga Sayembara Menulis Novel Sejarah dan Tradisi Johor pada tahun 2005. Mungkin kerana kurang pasaran di kedai-kedai buku (tekaan saja), kulit luarnya ditukar kepada gambar yang lebih segar. harga edisi baru (RM18.50) juga lebih murah berbanding versi asal, iaitu RM25.

Seperti cerita Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Surat-surat Perempuan Johor juga merupakan karya jenis epistolari-iaitu penceritaan melalui persuratan. Ikuti kisah hidup Ungku Nur melalui surat-suratnya, serta sejarah Johor melalui warkah-warkah Ungku Hamidah; proses pemodenan Johor oleh Almarhum Sultan Abu Bakar, hubungan erat Johor dengan Turki, penentangan Johor terhadap sekularisasi untuk mengekalkan akidah yang satu. Kisah ini menelusuri hidup dua wanita pada dua zaman berbeza – Ungku Hamidah dan Ungku Nur – yang 'disatukan' dalam warkah-warkah mereka, dan diselarikan dalam kembara yang tidak jauh bezanya.

Mengangkat perempuan sebagai tunjang utama dan protagonis, karya ini membuktikan perempuan juga kuat dan tegar, mampu mengurus hal ehwal negeri; mengurus cinta, perniagaan dan hubungan diplomatik dua negeri dengan jayanya. Persis novel 1515 karya penulis juga, perempuan diangkat sebagai watak utama; yang disampaikan melalui watak Nyemah Mulya - seorang pahlawan wanita yang kuat mempertahankan Melaka, tunjang pasukan pertahanan negeri. Dalam usahanya mempertahankan sejarah Johor dan merungkai rahsia Ungku Hamidah semasa di Turki, Ungku Nur juga menyelesaikan konflik dengan ayahnya, bekas suaminya, serta berutus berita dengan kakaknya, Ungku Nurul tentang perkembangan hidupnya sepanjang berada di sana.

Novel ini banyak menyedarkan saya tentang betapa pentingnya sejarah negeri, peradaban, budaya dan agama kita. Bukan senang menjadi seorang sultan, mempertahankan Johor dari jajahan takluk British. Dan bukan senang mempertahankan warisan Islam apatah lagi jika diri seorang wanita.

Lalui episod Majalah Ahkam Johor, sejarah Turki dan Johor yang menghadapi krisis penjajahan dan perjuangan dua wanita dalam mempertahankan tamadun Islam yang bertapak di negeri masing-masing.

Bagi yang menggemari novel cinta, novel ini sesuai dibaca. Bukan sekadar hiburan semata. Banyak ilmu dan manfaat yang boleh dikaut bersama. Penggemar genre sejarah juga semestinya patut menjadikan buku ini dalam senarai 'wajib baca' tahun ini.



"Hanya kematian memisahkan mereka dari perjuangan suci.
Sejarah adalah kenderaan, warkah adalah catatan taujih dan mulahazah, matlamatnya keabadian negeri akhir dan keredhaan Allah sumber segala sejarah, dan pasti segala kekuatan.
"


*Novel lain yang saya cadangkan: 1515, oleh penulis yang sama. Ingin lihat biografi penulis, novel 1515 dan versi asal Surat-surat Perempuan Johor atau karya penulis yang lain? Klik sini.

Related Posts with Thumbnails