Memaparkan catatan dengan label jemari seni. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jemari seni. Papar semua catatan

Ogos 29, 2009

Rooftop Rant

Judul: Rooftop Rant
Penulis: Hlovate
Penerbit: Jemari Seni
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 538
Harga: RM21.00

Buat kali kedua saya membaca karya Hlovate. Naskhah ini kepunyaan adik saya, sama seperti aA+bB yang saya ulas tahun lepas. Kali ini Hlovate membawa kisah dua sahabat karib yang bertemu dan bersahabat kerana sama-sama menghadapi masalah keluarga.

Batrisya atau Trisy, seorang gadis sekolah yang agak tomboy, tertekan kerana terabai dari kasih sayang keluarga, baik ibubapa mahupun adik-beradiknya sendiri. Tempatnya menumpang kasih hanyalah orang gajinya. Manakala seorang lagi, pemuda 20-an bernama Zaid atau Jade, menghadapi sedikit inferiority complex apabila dibanding-bandingkan dengan abang dan adiknya yang berjaya dalam pelajaran sedang dia cuma bekerja menjual burger di tepi jalan.

Rooftop Rant itu sendiri merujuk kepada bagaimana permulaan kepada pertemuan dan persahabatan mereka berdua. Mereka berdua mencari ketenangan di sebuah kawasan lapang di atas bumbung Wisma Topaz. Kemalangan yang berlaku di atas rooftop itu suatu hari merapatkan mereka berdua. Banyak yang disembangkan, termasuklah impian dan falsafah hidup masing-masing. Tetapi tidak berapa lama selepas itu mereka terpaksa berpisah mengambil haluan masing-masing, Trisy dengan pelajarannya, dan Jade dengan kariernya sebagai komikus.

Saya sangat-sangat jarang membaca novel cinta, kerana genre ini bukan minat saya. Tetapi kalau dihulurkan novel Hlovate saya rasa saya langsung ketepikan hal itu. Sebab saya rasa mesej Islaminya tetap kuat, meski tak dilabel sebagai novel Islami pun. Macam aA+bB pun, watak-wataknya pada separuh awal buku tentu biasa-biasa saja, tidak thiqah atau Islamik pun kelihatannya. Tapi, as the story goes on, kita akan ketemu titk-titik perubahan yang merubah karektoristik watak-watak tersebut. Persepsi, pemikiran dan pandangan watak-watak terhadap hidup akan disuntik dengan nilai Islami secara perlahan-lahan.

Persoalan ujian dikemukakan dalam Rooftop Rant. Tekanan yang dihadapi oleh Jade dan Trisy, memungkinkan seseorang putus asa dalam kehidupan. Namun, acapkali mereka menguatkan antara satu sama lain. Saling menyokong, jika satu lemah, yang satu lagi bakal membantu. Kedengarannya janggal barangkali, kerana "ukhuwwah" ini antara lelaki-perempuan, tetapi ini keistimewaan cerita Hlovate kali ini. Ingat, watak-watak ini pada awalnya langsung belum mengerti benar akan hukum dan syarat. Perpisahan mereka dari rooftop itulah merupakan titik permulaan hidup kerana Allah. Selepas itu hanya kenangan mereka sahaja yang menjadi penghubung dan penyokong kehidupan masing-masing.

Saya senang sekali dengan Hlovate. Dalam blognya juga pernah dia nyatakan begini:

"one thing, bila reading here please do not discount ur kerja, ur solat time, ur belajar time, ur office time dengan hanging around kat sini, i've the saham oso, make it good"

Bukan saja karyanya akan menghala kita berfikir ke arah kebaikan, malah penulis sendiri sentiasa mengingatkan kita apabila membaca karya-karyanya di blog, kita harus memastikan yang kita sudah solat dan tidak menggunakan masa kita yang diamanahkan untuk kerja lain untuk membaca tulisannya. Sempoi, sempoi juga, tapi tanggungjawab dan tatacara hidup jangan kita lupa!...mungkin lebih kurang itu mesejnya pada saya.

Tarikan Rooftop Rant untuk saya juga adalah pada watak Jade yang gemar melukis dan punya bakat seni yang sangat baik. Dia menerbitkan sekian banyak novel grafik. Wataknya juga tenang, kuat jiwa, tetapi tetap selamba. Juga persekitaran dunia komikus itu menarik minat saya. Saya sudah terbayang, macam mana kalau novel grafik "Rooftop Rant" yang dilukis oleh Jade di akhir buku ini benar-benar menjadi realiti. Seronok juga kalau dapat membacanya. Tentunya saya terbayang Fakhroul Anour dari Gempak dengan komik cintanya, sesuai benar kalau dia melukisnya!

Banyak lagi karya Hlovate di blognya yang belum dibukukan, dan saya yakin setiap satunya istimewa. Pada awalnya saya kurang senang dengan bahasa yang digunakan tetapi saya lihat Hlovate semakin matang dalam menggunakan bahasa yang sesuai. Rooftop Rant kelihatannya lebih kemas dan elok bahasanya berbanding aA+bB yang saya baca sebelum ini. Tapi ya, saya tak akan nafikan bahasa itu asal dapat difahami taklah sepenting mesej yang dibawanya kali ini: Allah tak akan membebankan dengan ujian yang tak termampu hamba-Nya menanggung (Al-Baqarah 2: 286) ; dan falsafah bahawa kitalah yang menentukan arah tuju hidup kita, baik atau buruk...

"Live well or live hell? We choose."

Ingin baca ulasan aA+bB? Klik sini.

helaianRindu: Orang yang terpaksa berubah takkan sebagus orang yang memaksa dirinya berubah.

Disember 25, 2008

aA+bB


Judul: aA+bB
Penulis: Hlovate
Tahun: 2008
Penerbit: Jemari Seni Publishing
Harga: RM20.00
Bil. mukasurat: 495


Adik saya yang beli novel ini. Tapi sebelum ini saya pernah nampak di kedai. Dan pernah juga baca komen orang tentang karya penulis ini. Adik saya kata, di sekolah ramai orang membaca karya penulis. Pinjam di perpustakaan, bersilih ganti orang yang meminjam. Sampai koyak rabak dah, tambah dia lagi. Sampai macam tu sekali sambutannya! Jadi saya pun dengan rasa ingin tahu, membelek dan akhirnya membaca juga buku ini sampai habis.

Mulanya, masa pertama kali tengok tajuk buku ni saya sendiri tak dapat agak genre apa ceritanya. Langsung terhenti selera bila tengok nama pena penulis 'Hlovate'. Masa tu, saya rasa, ya Allah tak komersialnya nama ni (Maaf). Tapi lama-kelamaan saya boleh terima, dan dalam novel ini saya dapat tahu kenapa Hlovate diguna sebagai nama. Bila mula membaca sinopsis baru saya tahu ini novel cinta sebenarnya. Saya, sebagai 'bukan penggemar' (saya tak benci) novel cinta, ingatkan nak drop saja buku ni dari reading list saya, tapi disebabkan rasa ingin tahu apa yang hebatnya tentang buku ni, saya teruskan membaca. Dan, tak sangka pula saya lekat sampai ke akhir! Rasa-rasa kenapa ya?

Buku ini menarik bagi saya kerana ceritanya yang menghiburkan. Addin Shah, gadis yang baru tamat belajar di Edinburgh dikahwinkan oleh ibu bapanya dengan anak kenalan mereka, Benz Alif, yang juga sebenarnya musuh ketat Addin ketika belajar di Kolej sewaktu SPM dulu. Mereka tak pernah sekepala, malah Benz selalu buat masalah disiplin yang juga mencabar Addin sebagai Head Girl di sekolah waktu dulu. Kahwin paksa dengan musuh ketat? Memang satu masalah besar! Tambah sakit hati Addin ialah peristiwa ketika Benz pernah menyakitkan hati Addin ketika di Jusco suatu masa dulu, dengan mengatakan dia 'perempuan murahan walaupun nampak saja pada luaran dia memakai tudung', dan ini mencalar maruah Addin pada masa itu, apatah lagi semua mata memandang, setiap telinga mendengar. Cabarannya di sini, Addin terpaksa berpura-pura menerima Benz di hadapan ahli keluarga, berlakon sebagai seorang isteri, sedang hakikatnya Benz dan Addin tidur di bilik berasingan, tidak pernah bertegur sapa walau hidup satu bumbung, sehinggakan Addin sanggup pakai tudung di dalam rumah, biar Benz dah menjadi suaminya yang halal. Apa yang mencuit hati saya ialah babak-babak apabila Benz cuba mencuri hati Addin untuk meruntuhkan keegoan dalam diri isterinya tersebut, yang sekian lama berdendam dengannya. Kedatangan adik Benz yang tinggal di rumah mereka selepas SPM membuat Addin lagi haru biru. Terpaksa berlakon mesra dengan Benz depan adik iparnya, dan peluang mesra olok-olok ini diambil oleh Benz untuk mengambil hati Addin yang sebenarnya memang telah dicintainya lama dulu. Chik, pembantu rumah mereka, melihat perubahan-perubahan yang berlaku, dari tak bercakap antara satu sama lain, sehinggalah tiba-tiba jadi macam kawan baik, hanya ketawa. Saya juga ikut ketawa sendiri.

Twist dalam aA+bB ialah dengan kemunculan watak Aie, yang dulunya menolong Addin (ketika ini masih belajar di Edinburgh) yang sesat ketika Addin bercuti di Belanda. Pada mulanya saya ingat Aie adalah watak yang bakal menjadikan cerita ini cerita cinta segi tiga yang klise tapi nampaknya bukan. Ada signifikasi yang lebih besar pada watak misteri Aie yang hanya muncul dalam chatroom. Kemunculan Aie membawa pergaduhan dan salahfaham dilalui oleh pasangan ini, dan akhirnya, Addin sedar dia sebenarnya menyayangi Benz. Siapa Aie? Baca sendiri.

Pada mulanya saya fikir kemuncak cerita hanya pada pergaduhan itu. Tapi setelah mereka berbaik dan mula bercinta saya pasti ada satu lagi halangan yang bakal menanti, terutama bila melihat ada hampir 100 muka lebih lagi, dan masalah itu pastinya: keguguran kandungan. Jangkaan saya betul. Sebagai suami isteri yang tak pernah bersentuhan mesra, apa lagi cabaran yang boleh meruntuhkan perasaan perempuan tegar seperti Addin? Tapi, saya tidak katakan itu sesuatu yang buruk. Cuma klise, itu saja.

Yang saya kurang suka, ialah gaya bahasa yang diguna penulis, kadang-kadang terlalu pasar. Saya tak boleh kata itu bahasa santai, sebab tak semua orang menggunakan bahasa seperti dalam novel ini. Lebih sesuai dikatakan, bahasa yang digunakan dalam aA+bB adalah bahasa yang digunakan oleh remaja di sesetengah tempat, dan penulis sendiri mungkin menggunakannya sedikit sebanyak. Paling tidak senang apabila membaca perkataan yang memang tak wujud, antaranya asbestosis, spastikus, dan sebagainya--antara kata-kata yang dilontarkan Addin pada Benz kalau suaminya tu menyakatnya. Terasa seperti membaca majalah Ujang atau Apo? pula. Mungkin, bagi sesetengah pembaca, ini suatu keunikan dan menjadikan novel ini mudah dibaca. Ya, bergantung pada anda.

Namun secara keseluruhannya saya puas membaca kisah ini. Lebih-lebih lagi, selepas keguguran kandungan pertama Addin, saya mendapat pengajaran yang baik, kerana ketika itu diselitkan pelbagai motivasi, tazkirah serta ayat-ayat Al-Quran yang mengajar erti hikmah dalam ujian, serta ganjaran bagi orang bersabar. Perubahan berlaku pada suami isteri ini setelah ditimpa ujian berat itu. Saya puas hati juga, sebab awal dulu, watak-watak dalam cerita ini sedikit, emm, tak keterlaluan kalau saya kata sedikit hedonis, ya mungkin kerana itu zaman remaja. Tapi setelah datangnya hidayah, mereka berubah. Hlovate juga menulis sedikit catatan di akhir novel ini mengenai pengajaran novel ini, serta makna di sebalik tajuk yang diberi. Bahawa ini cerita perubahan kematangan manusia, yang belajar melalui perubahan zaman dan usia dan suasana. Ringkasnya, saya memang puashati membacanya. Saya beri 3.5 dari 5 bintang.

Mungkin lepas ini saya akan cuba membaca sedikit-sedikit novel cinta. Supaya tidaklah terlalu bias. Tapi perlu sedikit choosy supaya saya tidak kecewa dan benci. Dan, karya Hlovate mungkin jadi antara sasaran saya. 5 Tahun 5 Bulan? Schubert's Serenade? Hmm, tunggu dan lihat.
Related Posts with Thumbnails