Memaparkan catatan dengan label sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sukan. Papar semua catatan

September 01, 2010

Bahlut: Realiti Dua Dunia

Judul: Bahlut
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Ameenbooks
Tahun: 2010
Harga: RM23
Bil. mukasurat: 400

Perengheg!—Pecut! Itulah kalimat yang diungkapkan oleh Bahlut, seorang atlet trek dari suku kaum Semai. Awalnya, Bahlut cuma anak hutan yang ketinggalan pelajarannya, dan lari ke Kuala Lumpur untuk mengubati kecewa cinta monyetnya. Namun atas bantuan gurunya Zaiful, dia dibawa mengenali dunia sukan olahraga di atas trek lumba lari, di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil. Siapa sangka anak orang asli tidak boleh maju seperti orang lain? Siapa sangka pemuda yang kekampungan itu tidak mampu meraih kejayaan?

Novel ini dilatarbelakangi sebuah hutan di Sungai Telom di Pahang. Sekali lagi, Faisal Tehrani menunjukkan gaya versatilnya dalam pembikinan novel. Kali ini, karyanya mengadun dua dunia berbeza yang pada mata kasar tidak terlihat keterkaitannya: Sukan dan perhutanan atau alam sekitar.

Perbendaharaan yang Diperkosa 

Usai solat subuh saya menonton rancangan Malaysia Hari Ini di TV3. Selalunya pagi awal begini mereka akan mulakan dengan membaca berita-berita utama di dada-dada akhbar utama tempatan. Petikan berita yang dibaca oleh hos itu di dalam suratkhabar The New Straits Times menarik minat saya kerana ada kaitannya dengan novel yang sedang saya baca.

Timber and gold ripped off” (Baca berita di sini)

Rupa-rupanya di Malaysia, masih berlaku pembalakan dan perlombongan secara haram! Berita lanjut yang saya tonton di TV1 pula merungkai kes yang berlaku di Raub ini telah berjalan selama 4 tahun yang sudah. Lebih teruk lagi, aktiviti terlarang ini berkemungkinan besar ada kaitan dengan rasuah dan permainan politik, kerana tidak mungkin dalam waktu selama itu tidak ada pihak berkuasa yang menerima laporan ataupun menyedari sendiri khazanah negara kita dirobek begitu sahaja tanpa kawalan.

Begitulah yang terjadi dalam dunia Bahlut. Kampungnya menerima nasib yang sama. Individu yang sepatutnya mereka percayai rupa-rupanya mengkhianati mereka demi kepentingan materi dan diri sendiri. Mereka yang mengetahui dan yang cuba untuk mengetahui kes pembalakan tersebut pula menerima nasib malang dari pihak pembalak haram itu.

Sudah tentunya, apabila ada pihak berkuasa yang ikut campur menjayakan jenayah mereka, tidak ada tindakan tegas yang akan diambil kepada pembalak-pembalak itu. Malah yang berpihak kepada kebenaran, contohnya Kabut (kakak angkat Bahlut), Cikgu Zaiful dan Cikgu Zalman (bekas guru Bahlut sebelum ke Kuala Lumpur) diancam bahaya dan hampir-hampir tidak mendapat keadilan.

Selebriti, Satu Solusi

Di sinilah terhubungnya dunia sukan yang ditunggangi Bahlut. Sebagai atlet yang juga menjadi selebriti secara tidak langsung, dia berusaha keras meraih pingat. Dengan menjadi perhatian media, dia membawa mesej untuk mempertahankan tanah adat orang asli malah membanteras jenayah haram pembalakan demi menebus kembali apa yang telah dirampas dari mereka; keluarga, tempat tinggal, dan juga keamanan.

Situasi ini sudah lama menjadi satu cara efektif, bukan saja dalam melariskan produk, malah untuk meluahkan rasa protes ataupun merubah sesuatu keadaan secara drastik. Dalam buku ini ada dinyatakan tentang peristiwa Muhammad Ali, peninju terkenal, pernah melemparkan pingat emas Olimpiknya ke dalam Sungai Ohio untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap isu perkauman yang mengenepikan bangsa berkulit hitam di Amerika waktu itu.

Rujukan pantas di Internet menyatakan perkara ini masih tidak dapat dipastikan kesahihannya. Namun, lebih penting dari itu, kita dapat lihat bagaimana selebriti memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah dengan cepat dan efektif kerana perhatian media yang begitu kuat. Mungkin langkah ini bukanlah cara yang sepatutnya, tetapi dalam zaman ini, tidak dapat dinafikan ini merupakan antara cara yang sangat berkesan.

Contoh terkini memperlihatkan artis-artis dari negara kita yang ikut serta dalam misi kemanusiaan ke Gaza dan sudah tentu mendapat liputan meluas dari dunia hiburan. Sekaligus, secara halus menyuntik sifat peduli masyarakat khususnya remaja tentang isu Palestin.

Rancangan yang ditonton tengahari tadi juga satu bukti bahawa kejayaan seseorang serta kuasa media mampu memberi maklumat yang jitu dalam sesuatu hal. Program bertajuk Orang Asli Terbilang yang disiarkan di TV1 itu,  mengetengahkan seorang juruhebah yang berketurunan orang asli Rompin dalam episod  kali ini.  Sememangnya sebagai seorang penyiar di radio, akan ada audiens yang tersendiri yang mudah mencerna ideanya. Penonton rancangan ini juga mampu menerima sebaiknya apa yang disampaikan oleh tokoh tersebut  setelah dia berusaha untuk berjaya. Bukankah ini sama kesnya dengan Bahlut?

Sekali lagi ditekankan ini bukanlah cara terbaik, tetapi hanyalah antara alternatif yang sangat memberi respon dan impak pantas.

Selain jalinan dunia trek dan alam, pembaca dibawa mengembara bersama Bahlut dalam pencarian identiti diri dan mengenal Nyenang he nanek (Tuhan Yang Satu). Faisal Tehrani menggunakan sedikit elemen ‘mistik’ melalui elemen mimpi dan instinct para watak. Bahlut mengenali kehidupan beragama sejak dari kampungnya lagi tetapi mula didorongi kekuatan untuk menganut Islam setelah sekian lama tinggal bersama abang gurunya, Zaidi, yang tinggi ilmu dan akhlaknya. Peristiwa-peristiwa pahit manis yang menyelubungi dirinya sepanjang mengenali Zaiful dan Zaidi menjadikan Bahlut seorang yang lebih matang dan selalu berfikir.

Pertembungan dunia hutan batu kota Kuala Lumpur dan hutan asli juga memberi kesan yang segar. Meskipun jalan ceritanya tidaklah begitu unik, tetapi penggabungan latar-latar dari dunia berbeza ini bagi saya cukup menarik. Mesejnya cukup jelas. Tambah istimewa apabila bahasa suku kaum Semai menghiasi perbualan-perbualan para watak sampai pengakhiran novel.

Novel ini patut dipandang serius kerana walaupun hanya fiksyen, peristiwa jenayah yang berlaku di dalamnya adalah satu realiti yang masih membelenggu negara. Bukan sahaja realiti pahit dunia hutan, tetapi juga secebis dari dunia sukan.

Bahlut merupakan sebuah kisah terinspirasi dari pahlawan lagenda kaum Semai. Kata orang, from zero to hero!

HelaianRindu: Sesuai juga Bahlut dibikin jadi telefilem merdeka. Selamat Hari Merdeka!
  

September 02, 2009

VT

Judul: VT
Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: Galeri Ilmu
Tahun: 2009
Bil.mukasurat: 511
Harga: RM25.00


VT adalah sebuah novel dengan tema sukan, dan fokusnya bola tampar. VT adalah akronim bagi Volleyball Team (pasukan Bola Tampar). Susah mahu jumpa novel berbentuk sukan ini, dan lebih-lebih lagi kalau hendak jumpa novel sukan dengan wacana Islam. Buku dengan tema yang sama dengan VT, paling terkini yang pernah saya baca adalah Justeru Impian di Jaring karya Zaid Akhtar. Berkisar mengenai badminton. Tidak hairan jika ada orang cuba membandingkan VT dengan novel tersebut. Saya tidak terkecuali. Mungkin disebabkan tidak banyak novel berbentuk begini di pasaran. Tetapi biarlah kita ketepikan soal banding-membanding dua novel ini.

Berbalik semula kepada VT. Buku ini merupakan fiksyen terbitan sulung penulis. Melalui pengalaman beliau dalam sukan bola tampar di sekolah menengah, beliau menggubah pengalaman itu dan memfiksikan pasukan bola tampar dan guru-guru sekolahnya. Namun latarnya dikekalkan, iaitu di sekolah menengahnya dahulu, MATRI, yang terletak di Perlis. Watak utamanya digubah dari diri penulis sendiri dengan mengambil nama Asyraf.

Dalam buku ini, Asyraf merupakan pelajar tingkatan enam yang menghadapi masalah keluarga. Dia juga masih pedih berdepan dengan masa silamnya. Suatu masa dahulu, Faiz, senior yang mengenalkan dia kepada seni bola tampar maut di hadapan matanya sendiri. Asyraf juga kecewa dengan pasukan bola tampar yang wujud sekarang. Semua ahlinya mempunyai sikap dan akhlak yang buruk, bahkan mementingkan diri sendiri. Kekalahan pasukan tersebut pada tahun sebelumnya lebih-lebih lagi mencambah benci di hati Asyraf--kerana tanpa kemenangan dia tidak mampu mengota janji pada seniornya ketika ajalnya dahulu.

Seorang jurulatih baru datang secara tiba-tiba, bertujuan mengubah situasi ini. Menggelarkan dirinya sebagai Coach Hussam, dia datang dengan misi menghidupkan kembali pasukan yang hampir mati itu, dan berhadapan dengan masalah keluarga Asyraf. Tetapi ternyata, ada misteri dan rahsia yang disembunyikan Hussam daripada pengetahuan pasukan bola tampar itu.

Membaca VT membawa suatu perasaan yang luar biasa. Kekemasan plot (sebab dan akibat) yang diketengahkan menjadi. Watak Asyraf yang dinamik memang ada impak tersendiri. Dia baran, tetapi dalam masa yang sama dia juga penyayang. Babak ketika Asyraf mendepani ayahnya secara terus demi menyelesaikan perbalahan dalam keluarganya sangat mengesankan.

Dari sudut ilmiah, novel setebal 511 mukasurat ini adalah sumber yang baik. Sudah pasti informasi mengenai sukan bola tampar dijelaskan dengan panjang lebar, sama ada melalui perlawanan ataupun latihan. Cara permaianan, posisi pemain dan syarat-syaratnya. Walaubagaimanapun apa yang lebih penting ialah mesej dakwahnya. Sukan sebagai medan dakwah, susah untuk dipercayai bukan?

Tapi, lupakah kita pada Ruqaya Al-Ghasara, seorang pelari pecut bertudung dari Bahrain? Pada tahun 2006 beliau berjaya menggondol pingat emas, sekaligus membuktikan Islam yang diamalkan langsung bukan penghalang untuknya mencapai kejayaan. Bahkan lebih baik lagi apabila kemenangan itu membawa perspektif baru kepada umat dunia seluruhnya. Ramai yang mengaguminya, baik muslim atau tidak. Bukankah itu sudah jadi satu dakwah baginya? Begitulah fokusnya VT. Memapar imej Islam bukan cuma memakai pakaian yang menutup aurat. Pemain harus juga menujukkan akhlak yang baik, biar di dalam atau di luar gelanggang. Maka untuk merealisasikan pemain-pemain sebegini Hilal menampilkan watak-watak yang sudah ketandusan akhlaknya, dilatih oleh Hussam dengan pelbagai cara, antaranya al-Ma'thurat dan Qiamullail untuk melembut dan mendidik hati-hati mereka. Mereka juga diperkuatkan hubungan dan ukhuwwah agar dapat bergerak sebagai satu pasukan. Terkenang juga saya dibuatnya pada rakan-rakan saya yang bersama melalui susah senang semasa belajar dulu. Walaupun bukan melalui sukan, jalinan yang ditonjolkan sekurang-kurangnya menuntut pembaca beringat, bahawa setiap muslim itu bersaudara. Jika salah satu anggota terasa sakit, sakitlah juga seluruh tubuhnya. Persis pasukan bola tampar di gelanggang perlawanan, kecundang seorang, yang lain juga merasainya. Bukan mementingkan diri. Bukan juga saling menyalahkan.

Saya berimaginasi VT dapat dijadikan sebagai sebuah komik bersiri. Sudah terbayang-bayang karya Takehiko Inoue, Slam Dunk, yang begitu besar sambutannya sampai sekarang. Atau lebih terkini dan popular juga, Eye Shield 21 karya Riichiro Inagaki dan Yusuke Murata. Mestilah VT lebih mantap dalam bentuk komik kerana pembaca bisa melihat apa yang terjadi dalam sesebuah gelanggang bola tampar dengan lebih jelas. Saya yang kurang arif dalam bidang sukan ini apatah lagi memerlukan aksi bergambar untuk menjadikan saya faham letak duduknya permainan tersebut. Memang ada disertakan lampiran gambar mengenai teknik-teknik seperti setting, digging, dan blocking, tetapi dalam perlawanan yang panjang, penerangan dalam bentuk perkataan akan jadi lebih kompleks. Malah saya tak mampu mengingat posisi-posisi pemain dengan begitu baik, justeru saya kadangkala keliru. Komik yang bergambar sememangnya satu bahan yang dapat membantu. Komik Malaysia tentang sukan juga kurang, maka kalau idea ini terhasil alangkah bagusnya. Dapat meluaskan lagi skop mad'u. Yalah, bukan semua orang suka membaca novel berjela kan?

Satu keistimewaan yang jarang-jarang didapati dalam novel lain: Tak ada watak perempuan dalam VT! Biasanya, sukar menarik minat orang membaca fiksyen jika tiada sedikit kisah cinta. Mungkin sudah ada yang menganggapnya bosan. VT nampaknya menangkis persepsi ini. VT berada dalam kelasnya tersendiri, dan walaupun karekter-karekternya semua adalah lelaki, tak bermakna novel ini khas hanya untuk lelaki. Audiensnya boleh jadi sesiapa sahaja, perempuan, lelaki, remaja, atlet... Saya yang kaki bangku ini pun boleh tertarik membacanya.

Berbanding novel terkini penulis, Terasing, saya lebih suka pada VT. Idea yang original, mesej dakwah yang segar dan plot yang kemas itulah sebabnya. Naratifnya bukanlah sebuah khutbah agama tentang bagaimana bersukan dalam Islam, tetapi medannya adalah peribadi dan akhlak, lebih halus dan berhikmah.

Walaupun Hilal Asyraf masih baru, tetapi potensinya besar. VT buktinya.

Anda juga boleh baca ulasan Terasing di sini dan Justeru Impian di Jaring di sini.

helaianRindu: Dulu kena kutuk sebab tak pandai main bola. Minta maaf, aku emo sikit bab-bab main bola sepak ni. (kenapa aku jujur sangat ni. entahlah)

Februari 05, 2008

Justeru Impian di Jaring

Judul: Justeru Impian di Jaring
Penulis: Zaid Akhtar
Penerbit: Utusan Publications
Tahun: 2007
Harga: RM16

Jika kalian suka novel bertemakan sukan, mungkin novel Zaid Akhtar ini patut kalian pilih sebagai bahan bacaan seterusnya. Sebabnya, cerita ini tentang badminton. Saya tidak begitu menggemari badminton, dan bukanlah bermaksud saya tidak pandai bermain. Saya cuma bermain badminton untuk suka-suka.

Ok, sekarang bukan masanya bercerita pasal badminton.

Syahir, seorang pemuda usia awal 20-an telah mencetuskan "kontroversi" apabila memakai seluar panjang yang menutup aurat ketika bermain badminton sedang pemain lain memakai celana pendek sahaja. Pernah juga ketika Kejohanan Terbuka Sweden, dia menarik diri dalam pusingan ketiga kerana tidak mahu menentang pemain dari Israel. Katanya, mereka tiada negara sebaliknya merampas Palestin, maka Syahir tidak mengiktiraf pemain tersebut menandakan protesnya terhadap kebiadaban Yahudi. Semua ini membawa gelaran 'ustaz' dan 'syeikh' kepada Syahir.

Dalam masa yang sama, Syahir terpaksa menghadapi krisis dalaman dalam Persatuan Badminton Se-Malaysia (PBSM) yang pilih kasih. Walaupun Syahir seorang pemain yang telah disenaraikan dalam Top 20 peringkat antarabangsa, namun dia tetap tidak dipilih terus untuk ke Kejohanan Dunia yang berlangsung di Jakarta sebaliknya terpaksa bertarung sesama rakan seperjuangannya untuk menentukan tempat mereka di kejohanan tersebut. Ujian demi ujian. Selepas itu timbul pula gosip liar tentang hubungannya dengan seorang artis. Ibunya jatuh sakit.

Malah dia sendiri...menghidapi apendisitis.

Bagaimana pemuda ini menghadapi liku kehidupan? Azam yang kuat dan wasiat ayahnya yang tersemat padu mendorong Syahir merebut gelaran juara dunia yang sebenarnya. Bacalah Justeru Impian di Jaring.
Related Posts with Thumbnails