Memaparkan catatan dengan label ameenbooks. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ameenbooks. Papar semua catatan

September 01, 2010

Bahlut: Realiti Dua Dunia

Judul: Bahlut
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Ameenbooks
Tahun: 2010
Harga: RM23
Bil. mukasurat: 400

Perengheg!—Pecut! Itulah kalimat yang diungkapkan oleh Bahlut, seorang atlet trek dari suku kaum Semai. Awalnya, Bahlut cuma anak hutan yang ketinggalan pelajarannya, dan lari ke Kuala Lumpur untuk mengubati kecewa cinta monyetnya. Namun atas bantuan gurunya Zaiful, dia dibawa mengenali dunia sukan olahraga di atas trek lumba lari, di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil. Siapa sangka anak orang asli tidak boleh maju seperti orang lain? Siapa sangka pemuda yang kekampungan itu tidak mampu meraih kejayaan?

Novel ini dilatarbelakangi sebuah hutan di Sungai Telom di Pahang. Sekali lagi, Faisal Tehrani menunjukkan gaya versatilnya dalam pembikinan novel. Kali ini, karyanya mengadun dua dunia berbeza yang pada mata kasar tidak terlihat keterkaitannya: Sukan dan perhutanan atau alam sekitar.

Perbendaharaan yang Diperkosa 

Usai solat subuh saya menonton rancangan Malaysia Hari Ini di TV3. Selalunya pagi awal begini mereka akan mulakan dengan membaca berita-berita utama di dada-dada akhbar utama tempatan. Petikan berita yang dibaca oleh hos itu di dalam suratkhabar The New Straits Times menarik minat saya kerana ada kaitannya dengan novel yang sedang saya baca.

Timber and gold ripped off” (Baca berita di sini)

Rupa-rupanya di Malaysia, masih berlaku pembalakan dan perlombongan secara haram! Berita lanjut yang saya tonton di TV1 pula merungkai kes yang berlaku di Raub ini telah berjalan selama 4 tahun yang sudah. Lebih teruk lagi, aktiviti terlarang ini berkemungkinan besar ada kaitan dengan rasuah dan permainan politik, kerana tidak mungkin dalam waktu selama itu tidak ada pihak berkuasa yang menerima laporan ataupun menyedari sendiri khazanah negara kita dirobek begitu sahaja tanpa kawalan.

Begitulah yang terjadi dalam dunia Bahlut. Kampungnya menerima nasib yang sama. Individu yang sepatutnya mereka percayai rupa-rupanya mengkhianati mereka demi kepentingan materi dan diri sendiri. Mereka yang mengetahui dan yang cuba untuk mengetahui kes pembalakan tersebut pula menerima nasib malang dari pihak pembalak haram itu.

Sudah tentunya, apabila ada pihak berkuasa yang ikut campur menjayakan jenayah mereka, tidak ada tindakan tegas yang akan diambil kepada pembalak-pembalak itu. Malah yang berpihak kepada kebenaran, contohnya Kabut (kakak angkat Bahlut), Cikgu Zaiful dan Cikgu Zalman (bekas guru Bahlut sebelum ke Kuala Lumpur) diancam bahaya dan hampir-hampir tidak mendapat keadilan.

Selebriti, Satu Solusi

Di sinilah terhubungnya dunia sukan yang ditunggangi Bahlut. Sebagai atlet yang juga menjadi selebriti secara tidak langsung, dia berusaha keras meraih pingat. Dengan menjadi perhatian media, dia membawa mesej untuk mempertahankan tanah adat orang asli malah membanteras jenayah haram pembalakan demi menebus kembali apa yang telah dirampas dari mereka; keluarga, tempat tinggal, dan juga keamanan.

Situasi ini sudah lama menjadi satu cara efektif, bukan saja dalam melariskan produk, malah untuk meluahkan rasa protes ataupun merubah sesuatu keadaan secara drastik. Dalam buku ini ada dinyatakan tentang peristiwa Muhammad Ali, peninju terkenal, pernah melemparkan pingat emas Olimpiknya ke dalam Sungai Ohio untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap isu perkauman yang mengenepikan bangsa berkulit hitam di Amerika waktu itu.

Rujukan pantas di Internet menyatakan perkara ini masih tidak dapat dipastikan kesahihannya. Namun, lebih penting dari itu, kita dapat lihat bagaimana selebriti memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah dengan cepat dan efektif kerana perhatian media yang begitu kuat. Mungkin langkah ini bukanlah cara yang sepatutnya, tetapi dalam zaman ini, tidak dapat dinafikan ini merupakan antara cara yang sangat berkesan.

Contoh terkini memperlihatkan artis-artis dari negara kita yang ikut serta dalam misi kemanusiaan ke Gaza dan sudah tentu mendapat liputan meluas dari dunia hiburan. Sekaligus, secara halus menyuntik sifat peduli masyarakat khususnya remaja tentang isu Palestin.

Rancangan yang ditonton tengahari tadi juga satu bukti bahawa kejayaan seseorang serta kuasa media mampu memberi maklumat yang jitu dalam sesuatu hal. Program bertajuk Orang Asli Terbilang yang disiarkan di TV1 itu,  mengetengahkan seorang juruhebah yang berketurunan orang asli Rompin dalam episod  kali ini.  Sememangnya sebagai seorang penyiar di radio, akan ada audiens yang tersendiri yang mudah mencerna ideanya. Penonton rancangan ini juga mampu menerima sebaiknya apa yang disampaikan oleh tokoh tersebut  setelah dia berusaha untuk berjaya. Bukankah ini sama kesnya dengan Bahlut?

Sekali lagi ditekankan ini bukanlah cara terbaik, tetapi hanyalah antara alternatif yang sangat memberi respon dan impak pantas.

Selain jalinan dunia trek dan alam, pembaca dibawa mengembara bersama Bahlut dalam pencarian identiti diri dan mengenal Nyenang he nanek (Tuhan Yang Satu). Faisal Tehrani menggunakan sedikit elemen ‘mistik’ melalui elemen mimpi dan instinct para watak. Bahlut mengenali kehidupan beragama sejak dari kampungnya lagi tetapi mula didorongi kekuatan untuk menganut Islam setelah sekian lama tinggal bersama abang gurunya, Zaidi, yang tinggi ilmu dan akhlaknya. Peristiwa-peristiwa pahit manis yang menyelubungi dirinya sepanjang mengenali Zaiful dan Zaidi menjadikan Bahlut seorang yang lebih matang dan selalu berfikir.

Pertembungan dunia hutan batu kota Kuala Lumpur dan hutan asli juga memberi kesan yang segar. Meskipun jalan ceritanya tidaklah begitu unik, tetapi penggabungan latar-latar dari dunia berbeza ini bagi saya cukup menarik. Mesejnya cukup jelas. Tambah istimewa apabila bahasa suku kaum Semai menghiasi perbualan-perbualan para watak sampai pengakhiran novel.

Novel ini patut dipandang serius kerana walaupun hanya fiksyen, peristiwa jenayah yang berlaku di dalamnya adalah satu realiti yang masih membelenggu negara. Bukan sahaja realiti pahit dunia hutan, tetapi juga secebis dari dunia sukan.

Bahlut merupakan sebuah kisah terinspirasi dari pahlawan lagenda kaum Semai. Kata orang, from zero to hero!

HelaianRindu: Sesuai juga Bahlut dibikin jadi telefilem merdeka. Selamat Hari Merdeka!
  

September 22, 2009

Tuhan Manusia: Hakikat Ketuhanan; Kebenaran

Judul: Tuhan Manusia
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Ameenbooks
Tahun: 2008
Bil. mukasurat: 350
Harga: RM21.90

Dalam Tuhan Manusia, Faisal Tehrani membawa isu murtad secara head-on, dengan berani. Kata orang, berani kerana benar kan? Naskhah ini memang asal tujuannya bagi mereka yang ingin mencari kebenaran. Itu hasrat penulis, tertulis di awal muka dalam buku ini.

Tentu kita masih ingat kasus Lina Joy yang menjadi isu panas suatu ketika dulu. Juga saya mengingat-ingat ada seorang pelajar muslim berperwatakan lembut dibuli oleh pelajar lain di sekolahnya sehingga menjadikannya murtad. Persoalan yang ingin ditimbulkan dalam naskhah penulis ini ialah persoalan mengapa mereka murtad, yakni apakah faktor atau punca sebenar kemurtadan itu. Tentu ada ideologi atau fikrah yang terjana dalam minda individu-individu ini yang membawa mereka ke arah itu.

Dan dalam Tuhan Manusia, ideologi yang dibincangkan adalah faham pluralisme. Saya mengakui ini kali pertama mendengar istilah ini. Yang biasa saya dengar dan faham sebelum ini adalah golongan materialis dan sekularis antaranya. Tetapi rupanya dua elemen ini mampu membentuk sebuah faham baru, ya pluralisme. Dalam fahaman ini mereka menyatakan semua agama itu benar. Dalam kata lain hakikat kebenaran dan bertuhan itu hanyalah berdasarkan tafsiran akal individu. Dan hujahnya disandarkan pada kisah 3 orang buta dengan seekor gajah, yang setiap seorang menafsirkan bentuk gajah berdasarkan bahagian yang mereka pegang. Kisah ini termuat dalam karya Jalaluddin Al-Rumi bertajuk Mathnawi.

Tokoh yang menaikkan faham pluralisme ini bernama John Hick. Pluralisme ini merupakan salah satu dari tiga klasifikasi agama yang dikemukakan olehnya kepada khalayak. Kemudian penulis menyatakan pluralisme ini bukan hanya menumpu pada agama, malah pluralisme budaya, sosial juga wujud. Kewujudan faham baru ini berpunca dari sikap kononnya ingin mewujudkan kesefahaman dan menghapuskan segala macam sengketa yang dikatakan berpaksikan perbezaan agama. Banyak lagilah istilah dan terminologi, -isme itu ini dijelaskan. Kadang-kadang saya pening juga. Jadi saya baca perlahan-lahan. Jarang juga saya membaca dengan halaju begini. Tapi demi pemahaman total saya tegar menghabiskannya.

Faisal turut mendatangkan hujah dan nas dari sumber Al-Quran dan hadis demi menjawab pelbagai persoalan mengenai akidah dan Islam. Juga mematahkan pelbagai dakwaan pluralis yang hakikatnya hanyalah sangkaan dan hujah tanpa dasar. Fuh, memang dahsyat benar hujah dan dakwaan mereka. mereka sanggup mengatakan Al-Quran hanya teks yang sama dengan buku biasa, Nabi Isa naik ke langit itu mitos, dan Tuhan itu mana-mana pun betul dalam mana-mana agama kerana semua agama dianggap benar. Dibicarakan juga perdebatan mengenai ayat 'tiada paksaan dalam agama' yang selalu dicanang-canangkan kelompok pluralis ini. Dan banyak lagilah, tak tercerita di sini.

'Memang Tuhan Manusia bernada novel, tetapi jika dibuang jalan ceritanya, sudah menjadi seakan sebuah buku ilmiah koleksi esei-esei tentang pluralisme', itu (lebih kurang) antara kata-kata yang pernah saya jumpa di dalam sebuah resensi di internet tidak lama dulu.

John Hick yang menyebarkan idea pluralisme

Yang pasti isu ini tidak harus dipandang enteng. Penghasilan buku ini harus dipuji kerana tidak banyak buku yang membicarakan mengenai pluralisme ini...dan mungkin sebab itulah saya tidak pernah mendengar tentangnya sebelum ini. Dengan cemerlang, Faisal mengajak kita meneliti betul-betul isu ini. Tanpa fokus yang baik, kita tak mampu memahamkan isinya. Bukan sahaja penuh dengan fakta, tetapi diberati dengan banyak falsafah Islam yang seharusnya buat kita berfikir. Tentunya kalimat filsuf yang paling diingati dalam Tuhan Manusia, "Andai kota itu peradaban, rumah kita adalah budaya dan tiang serinya agama." Falsafah ini merupakan pesanan ibu kepada Taqi yang diletakkan pada awal setiap bab. Puas betul membaca buku ini, saya memang perlu baca berkali lagi untuk betul-betul faham dan ingat mesej dan isinya.

Keistimewaan novel ini adalah penceritaan melalui tiga perspektif, sudut pandang pertama, kedua dan ketiga. Sudut pandang kedua itu paling istimewa, kerana tidak mudah menceritakan sesuatu melalui perspektif 'engkau'. Memang sesuatu yang jarang digunakan dalam penulisan kerana kebiasaannya kita selalu berjumpa dengan 'aku' atau 'dia'. Yang paling baru pernah saya baca, juga banyak menggunakan sudut pandang ini adalah Mawar Shafei, dalam koleksi cerpennya Masitah (belum habis baca sepenuhnya lagi). Oleh sebab Tuhan Manusia bersifat khutbah, elemen sastera sebegini mampu mengelakkan pembaca yang mungkin mudah bosan dengan sekian banyak fakta. (Harap-harapnya tidaklah)

Sambil itu saya menghargai catan yang menghiasi muka depan buku ini. Mungkin ada yang mengatakan kulitnya tampak kebudakan. Tetapi imej catan memang bukan nilainya, kerana saya rasa kita patut menguliti maksud dan mesej di sebaliknya. Catan ini merupakan karya seorang pelukis dan kurator bebas bernama Khairul Azuwan, bertajuk Monster's Garage. Ia catan fantasi dengan gaya surrealisme. (Penerangan rinci ada ditulis dihujung buku ini sebenarnya.)

Secara ringkasnya, lukisan ini merupakan simbolik kepada pelbagai ahli falsafah dan ideologi barat yang sering diagung-agungkan. Raksasa jelik sedang dalam tawa memerhatikan makhluk kecil dalam aksi tidak ketentuan dan juga menjelma dalam bentuk aneh. Sebagai seorang pelajar aliran seni saya suka menatap dan menaakul maksud hasil seni serupa ini. Saya masih ingat dalam satu kelas seni dahulu, kami diminta melukis sebuah psycho self-portrait; iaitu melukis potret sendiri, tetapi tidak disampaikan secara literal. Jadi kami masing-masing cuba menafsir apa yang cuba disampaikan secara figuratif melalui catan masing-masing. Ah, sangat rindu waktu-waktu itu.

Tuhan Manusia diceritakan melalui kaca mata Ali Taqi, seorang remaja yang masih di bangku sekolah menengah. Abangnya Talha telah murtad dan menukar nama kepada Thomas. Terdesak, dia ingin segera memahamkan dirinya apakah punca yang menjadikan seseorang itu murtad. Lalu dia membenamkan dirinya dalam lautan falsafah dan agama demi mencari kebenaran.

Manusia, mahu bertuhankan apa sebenarnya?

helaianRindu: Sudah habis mod raya. Tapi, kuih batang buruk dari Sabah yang resipinya berbeza tak boleh berhenti ditelan.

September 07, 2009

Tunggu Teduh Dulu

Judul: Tunggu Teduh Dulu
Penulis:
Faisal Tehrani

Penerbit:
Penerbitan Selain

Tahun:
2004

Bil. mukasurat:
678

Harga:
Rm49.90


Hairan. Sangat hairan dengan diri sendiri. Kenapa saya tidak menyedari buku ini sebelum ini, kenapa buku ini tak menarik mata saya dulu untuk dibaca. biarpun telah lama berada di rak buku saya. Kadangkala saya ada membelek juga, tapi entah kenapa tak berani membacanya. Tertanya-tanya, adakah disebabkan edisi ini nampak tebal, lalu belum sanggup menelaahnya? Atau disebabkan ini sebuah novel cinta, genre yang saya kurang cenderung membaca? Atau barangkali ingin menunggu saat yang lapang seperti waktu sekarang (cuti) untuk menikmatinya? Entah. Walau apa alasan pun, saya hairan.

Tunggu Teduh Dulu adalah cerita mengenai seorang wanita bernama Salsabila Fahim yang mengusahakan sebuah ladang betik bersama rakan baiknya, Teh Sofia. Pelbagai dugaan menimpa Salsabila, dari diduga dengan cinta, retaknya persahabatan dan kekeluargaan, kematian orang tersayang, dan ujian kondisi ladangnya yang tidak menentu. Ini adalah cerita di sebalik perjalanan Salsabila mencari teduhan dari asakan yang bertalu-talu menduganya.

Saya banyak bermuhasabah dari isi novel ini. Ada tiga perkara utama yang selalu tengiang-ngiang dalam minda saya selepas membaca novel ini. Satu, bahawa kerja dan aturan Tuhan itu tiada siapa yang tahu. Jalur hidup dan ketentuan takdir kadangkala mencengangkan kita, datang dengan tiba-tiba, tetapi dihujungnya ternampak takjubnya. Teh Sofia selalu mengingatkan Salsabila dengan kata-katanya, "Kerja Tuhan siapa tahu?" dan saya juga bagai terdengar ungkapan itu di telinga saya setiap kali bertemu sesuatu yang tak saya jangka. Dua, saya belajar bahawa keterlekatan kita pada sesuatu, lebih-lebih lagi perkara duniawi akan membawa kita jauh dari bahagia. Ladang betik yang dicintai Salsabila dan Teh Sofia menghadapi banyak masalah, dan keterlekatan mereka pada ladang yang satu itu tidak boleh membawa mereka ke mana-mana. Sesungguhnya milik Allah jua segala, dan didatangkan yang lebih baik daripada apa yang kita ada sekiranya kita bersyukur dan terus berusaha.

Tiga, bahawa cinta itu diberi bukan diminta. Teman lama Salsabila di bangku sekolah dulu, Kamil dan Lam Ping Hai datang semula, menuntut cinta Salsabila setelah lama menawarkan cinta masing-masing. Sekian lama Salsabila tidak dapat memilih antara dua, dia berpergian ke Tanah Haram memohon dipertemukan jodoh. Tidak diduga, "kerja Tuhan siapa tahu?" itu muncul dan mengetuk lawang takdir wanita ini. "Cinta itu tidak diminta, tetapi diberi" begitu frasa yang saya selalu ingat. Kalau kita benar mencintai Dia, doakanlah supaya dikurniakan cinta orang yang mencintaiNya.


Susah juga saya hendak ulas lanjut novel ini, bukan kerana terlalu banyak untuk diceritakan. tetapi sukar untuk saya cari kata-kata yang terbaik untuk memperihalkan kebagusannya. Saya amat menyenangi falsafah dan simbolik di sebalik "Tunggu Teduh Dulu" itu sendiri. Tajuknya sudah memberi pelbagai bayangan pada kisahnya. Asalnya, ketika mereka masih bersekolah, Kamil, Salsabila dan Lam selalu ke puncak bukit berdekatan rumah Salsabila, dan suatu ketika hujan turun, mereka lalu berteduh di bawah sebuah bangsal. Kamil dan Lam masaing-masing menawarkan cinta dan secara halus meminta Salsabila meilih, tetapi Salsabila hanya menjawab, tunggu hujan teduh dulu. Tetapi di sebalik tajuk naskhah ini, Salsabila juga menunggu teduh dari pelbagai duga. Juga menunggu seorang lelaki yang benar-benar mampu jadi teduhannya. Dan tidak dilupa teduhan sebenar pada Tuhan Pencipta. Latar yang teduh menjadi pilihan--sebuah ladang betik dengan daun selalu ditup angin, mendatangkan damai pada jiwa-jiwa yang memandang.

Suka saya ingin meminjam kata-kata seorang pembaca, yang saya terbaca di internet; Sekiranya Indonesia mengangkat Ayat-ayat Cinta sebagai novel terbaik, maka di Malaysia Tunggu Teduh Dulu wajar diangkat sebagai citra. Ingat, watak wanita dalam Ayat-Ayat Cinta semuanya mendamba pada seorang lelaki yang tampak begitu sempurna pada segala. Tunggu Teduh Dulu menjanjikan yang lebih baik, di mana watak utamanya masih terpapar kelemahannya, dia tidak bisa memilih, dia juga ada saatnya hilang sabar dan lemah hatinya. Lebih dekat dengan para pembaca. Cerita ini adalah melalui sudut pandang pertama, dengan Salsabila sebagai 'saya'. Wanita yang membaca novel ini pasti lebih terasa dekat dengan peribadi Salsabila, pemikirannya, pendiriannya dan hidupnya sebagai seorang wanita. Sebagai seorang lelaki, Faisal Tehrani berjaya menghidupkan protagonis ini dengan baik sekali. Tidak semua lelaki boleh mempamer peribadi seorang wanita dan cara fikirnya sebaik ini. Saya juga suka dengan Salsabila Fahim, saya juga seperti ingin mencari teduhan seperti dia. Tempias duga itu dapat saya rasa, meski saya ini lelaki.

Hairan bukan, mengapa orang lebih menyebut-nyebut produk Indonesia sedang di negara kita ada yang lebih baik!

Lenggok bahasa kali ini lebih mudah, ayat-ayatnya pendek tetapi tetap dihiasi bunga bahasa dan diksi yang tepat. Manikam Kalbu contohnya, berkait rapat dengan ilmu busana, Ketupat Cinta pula dengan ilmu gastronomi, Tunggu Teduh Dulu membawa suasana pertanian. Seperti biasa, novel Faisal Tehrani sentiasa ditampung dengan ilmu yang bermanfaat. Dari ilmu mengenal jenis betik sehinggalah kepada jenis penyakit dan racun yang digunakan dalam penanaman, seperti selalu naskhah ini juga "well-researched". Begitulah sepatutnya novel, bukan sahaja menghibur, tetapi mendidik.

Pun begitu, saya sedikit ragu, selepas teduh, apa yang dinanti? Hari cerah? Pelangi? Atau sinar matahari? Bagaimana dengan bangsal tempat berteduh itu, apakah ia akan ditinggalkan? Saya masih berfikir-fikir lagi pelbagai makna di sebalik kisah berteduh ini, moga mendapat jawapannya ketika membacanya lain kali, InsyaAllah.

Kini Tunggu Teduh Dulu telahpun dicetak dalam edisi baru oleh Ameenbooks, lebih murah dan kompak saiznya. Hanya RM29.90, boleh didapati di kedai-kedai buku seperti MPH dan Popular. Jikalau anda mencari novel cinta, falsafah, kekeluargaan berlatarkan dunia tani, Tunggu Teduh Dulu jawapannya. Saya boleh menarik nafas lega, novel cinta macam inilah yang saya cari-cari!

helaianRindu: Sekeliling rumah aku pun ada tanam betik juga. Abah punya kerja. Tiap-tiap hari makan betik, hasil sendiri tapi entahlah spesies apa. Sebab itu membaca novel ini kecur liur. Suka dengan betik yang berisi jingga merah berjus itu.

Ogos 16, 2009

Bila Tuhan Berbicara

Judul: Bila Tuhan Berbicara (BTB)
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Ameenbooks
Tahun: 2007
Bil. mukasurat: 374
Harga: RM21.90


Ingat lagi peristiwa tsunami 26 Disember 2004? Bagaimana di Acheh, ombak yang mampu mencapai 30 meter tinggi itu menghancur dan meranap segala yang dialui, tetapi akhirnya sebuah masjid kukuh berdiri di tengah-tengah padang jarak. Bukankah jelas ini bicara Tuhan? Peristiwa ini diambil sebagai inspirasi untuk premis BTB, namun dalam bencana berbeza, iaitu gunung berapi VEI-8 di Danau Toba meletus--Singapura mungkin tenggelam!

Novel/drama BTB mengisahkan tiga orang pemuda yang bertemu secara kebetulan di dalam sebuah bunker bawah tanah tinggalan tentera ketika mencari perlindungan daripada orak-arik bencana cataclysmic tersebut. Saat menunggu dengan cemas, mereka tertidur, dan ketika terjaga, mereka mendapati dunia sudah melalui zaman ais kedua, hampir 10000 tahun di masa hadapan--dan kini berada dalam sebuah dunia baru, yang diperintah oleh seorang wanita dengan gelaran Paduka Ratu. Kenapa, terasa familiar? Ya, kisah Ashabul Kahfi. 7 pemuda yang lari dari pemerintahan Raja Decius di Ephesus, ditidurkan di dalam gua dan terbangun beratus tahun di masa hadapan. Mungkin sudah ada yang membayangkan trilogi Bagaikan Puteri karya Ramlee Awang Murshid. Klise? Tidak sekali-kali. Kisah Ashabul Kahfi bukankah kita sudah dengar saban tahun, tapi tak terlintas pula bosan, jadi makin takjub dan kagum adalah.

Drama Islam dan Homo Islamicus

(sumber: http://abiaqsa.blogspot.com/2007/07/homo-islamicus.html
Nota:
4JJ I di puncak rajah itu Allah dalam tulisan jawi)



"Sebagai seniman dan dramatis pun bila kita faham hal-hal ini dan tuan-tuan sebagai penonton pun bila faham hal-hal ini maka akan lahirlah model jiwa seniman yang Islam yang suci. Kita namakan mereka Homo Islamicus..." (hal.137)

Sebagai seorang dramatis sendiri, Faisal Tehrani menggariskan peranan-peranan drama Islam dalam membentuk peribadi individu yang menonton, Muslim mahupun tidak. Penulis menyandarkan drama Islam ini kepada gagasan teater fitrah yang dijelaskan oleh Sasterawan Negara, Cikgu Noordin Hassan. Kata beliau, teater fitrah ini perlu membawa penonton kepada menggantung atau menyandarkan diri kepada Allah (hal. 57). Dan kesannya? Lahirlah seorang homo Islamicus dengan iman yang takkan tergugat sama sekali keyakinannya oleh apa sekalipun. Enam prinsip teater fitrah ini ada dinyatakan dalam skrip drama BTB ini juga.

Mungkin rajah di atas boleh membantu kefahaman mengenai homo Islamicus ini. Perhatikan "Observation" dan "Ilmu" di atas. Menonton drama Islam sepatutnya berkesan meluaskan pengetahuan kita dalam pelbagai bidang ilmu.

Khutbah Agama?

Siapa kata drama Islam itu hanya 'khutbah agama'? Menerusi novel ini, pembaca dapat lihat tuduhan ini benar-benar salah. Perhatikan saja isinya, ada ilmu vulkanologi, ilmu sastera Islam, pengetahuan dalam bidang perubatan dan juga botani, malah sejarah dan geografi juga dimampatkan dalam drama tiga babak ini. Jangan risau, semua fakta yang diketengahkan itu insya-Allah tepat (sebab ada sebahagiannya saya cuba rujuk di internet). Tidak cukup dengan itu, tentunya ada ilmu agama itu sendiri untuk menyeimbangkannya. Ingat, Islam bukan hanya di masjid dan di surau!

Barangkali terlihat yang karya ini begitu serius; sudahlah dalam bentuk drama, penuh fakta dan tazkirah pula. Namun dalam kesriusan nada drama ini, terselit jenaka dan lelucon gaya tersendiri oleh penulis. Kadangkala satira yang dipersembahkan mungkin kelihatan berulang-ulang, tapi saya tidak pula rasa bosan atau terganggu. Antara komedi yang disertakan ialah watak-watak ini sebenarnya sedar mereka hanya berlakon di atas pentas teater; pengarah drama sendiri masuk menjadi watak tambahan yang kadang-kadang lebih-lebih pula actnya dari pelakon-pelakon drama ini sendiri; juga ketika di masa hadapan, penasihat Paduka Ratu itu menjumpai pelbagai 'kitab-kitab' lama yang tertanam jauh ke dalam bumi, yang rupa-rupanya majalah-majalah hiburan zaman kita yang penuh dengan gosip! "Mawi Tak Takut Gosip", "Siti Nurhaliza Saman Fitnah", dan "Kak Pah Lega"...ah membaca tajuk-tajuk headlines gosip ini pun dah buat saya tertawa sendirian.

Tidak kisahlah anda menghargai Bila Tuhan Berbicara sebagai sebuah novel atau sebuah drama; yang lebih penting, ilmu dalam setiap pembacaan itu jangan hanya lalu di mata, tapi sama-sama kita serap ke dalam hati dan minda.

Kalian juga boleh mengetahui lebih banyak mengenai asal-usul bangsa Melayu dan sejarah kedatangan Islam ke Alam Melayu melalui prosa segar ini.

*Lagi ulasan: klik sini, sini, sini atau sini.


HelaianRindu: Buku fiksyen tetap fiksyen. Rupa-rupanya The Da Vinci Code bukan semua yang dia claim fakta tu betul.

April 05, 2009

Tulisan Cerminan Personaliti Diri


Judul: Tulisan Cerminan Personaliti Diri
Penulis: Khadijah Ibrahim
Penerbit: Ameenbooks
Tahun: 2008
Harga: RM23
Bil. mukasurat:
184

Sukar untuk dapatkan buku-buku dengan tajuk sebegini di negara kita sebenarnya. Tahun lepas, ketika membuat kajian untuk pembentangan dalam kelas Bahasa Inggeris, saya gunakan sebuah buku bahasa Inggeris mengenai analisis tulisan tangan. Tidak pula saya pernah jumpa buku sebegini dalam bahasa Melayu ataupun karya dari penulis negara kita sendiri. Memang analisis tulisan tangan ini suatu yang sudah lama wujud, cuma mungkin sedikit baru di Malaysia, atau tidak ramai orang tahu mengenainya. Penulis sendiri merupakan seorang Quality Assurance Manager di tempat kerjanya, yang berupaya memilih pekerja baru dengan melakukan analisis tulisan tangan mereka. Ya, semacam satu temuduga juga, cuma tidak perlu banyak bercakap; pun sudah boleh tahu karektor pekerja mana yang sesuai diambil.

Berbalik kepada buku ini, Saya sudah beli ini lama, sebenarnya di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC tahun lepas lagi. Tapi baru kali ini berpeluang menghabiskannya. Kalau dulu saya telah nyatakan, tulisan tangan kita sebenarnya merupakan tulisan otak kita. Minda separa sedar (subconscious mind) kita secara tidak langsung akan menulis dan merekod metod pemikiran, kedalaman emosi dan sifat peribadi kita dia atas kertas, bersama dengan apa yang kita telah tulis. Sifat huruf, tekanan pen atas kertas, kedudukan huruf dalam zon-zon tertentu akan membantu kita mengenali sifat kita. Biar saya tekankan di sini, apabila ingin mengetahui sifat diri melalui cara ini, dua tiga baris sahaja tidak dapat menceritakan segala-galanya. Sebaiknya, anda menulis sekurang-kurangnya satu mukasurat penuh. Bukan itu sahaja, jika satu atau dua huruf sahaja yang menunjukkan ciri-ciri yang dihuraikan dalam buku ini, tidak bermakna anda mempunyai sifat yang selari dengan ciri-ciri itu. Secara mudah, biar saya beri satu contoh. Katakan, anda punya huruf t dengan palangnya tidak menyentuh batangnya, atau ringkasnya terawang-awang. Ciri ini menunjukkan anda seorang yang punya cita-cita yang amat tinggi. Jika hanya beberapa huruf dalam satu muka itu punya ciri sebegini, tak bermakna anda begitu bercita-cita tinggi.

Buku ini biarpun ringkas, tetapi telahpun dapat menyenaraikan beberapa sifat-sifat peribadi yang biasa kita jumpa dalam diri kita. Suka berbohong, menangguh kerja, dan degil adalah antara sifat negatif yang diketengahkan; dan sifat positif seperti tidak mudah mengalah dan keazaman yang tinggi ada diceritakan beserta dengan gaya penulisan yang berkaitan. Adapun, sifat-sifat ini, semuanya jika bersifat sederhana, sebenarnya ada baiknya. Contohnya sifat degil. Dalam buku ini penulis menyatakan degil ini juga termasuklah mereka yang mempunyai pendirian yang teguh. Walau macam mana pun orang kata, dia akan tetap dengan pendiriannya, salah mahupun betul. Tapi kalau ciri huruf yang berkaitan tidaklah terlalu jelas dalam tulisannya, ini bermakna itu satu ciri yang baik. Kerana anda tak akan mudah menukar pendirian anda sehinggalah anda tahu yang mana betul dan yang mana salah. Juga sifat positif boleh jadi negatif jika berlebih-lebihan, contohnya huruf t dengan palang terawanag-awang tadi. Jika berlebih-lebihan, cita-cita itu mungkin terlalu sukar untuk dicapai, atau anda sendiri lama-kelamaan akan merasakan anda tak akan dapat mencapainya kerana terlalu susah untuk direalisasikan.

Satu lagi kelebihan kajian tulisan tangan ini ialah pengubahan personaliti dapat dilakukan. Kaedah ini dinamakan grapfoterapi (graphotherapy), antara kaedah paling mudah dalam mengubah sifat peribadi seseorang. Seperti analisis tulisan tangan, pengubahan tulisan juga perlu dilakukan secara holistik. Kadangkala mengubah satu atau dua huruf mungkin akan mempengaruhi sifat lain yang tidak diubah lagi. Juga, anda perlu tahu mana sifat yang patut dibuang, dan mana yang tidak patut. Ada ketikanya sifat negatif kita boleh dimanipulasikan supaya menjadi positif. Jangan terlalu ghairah mengubah tulisan tanpa memahami betul-betul ilmu grafologi ini kerana tidak fasal-fasal anda menjadi lebih teruk daripada diri anda sekarang. Namun jika kena caranya, anda akan dapati kesannya bagus. Dan penulis juga mengingatkan garis panduan paling penting dalam grafoterapi: Kesabaran. Sifat yang sudah lama sebati dalam diri, tak mungkin dapat diubah dlam masa sehari, bukan?

Saya memang berminat dalam ilmu ini, dan saya bercadang mendalaminya jika ada peluang. Kalau anda mahu tahu, bacalah karya Khadijah Ibrahim ini. Ringkas dan padat. Bukan sekadar pelajar, ibubapa pun perlu mempelajari ilmu ini kerana mereka boleh menggunakannya untuk menanam sifat positif dalam diri anak-anak mereka. Saya harap, penulis boleh menulis lagi buku yang menceritakan ilmu ini dengan lebih mendalam dalam bahasa ibunda, kerana ia lebih mudah difahami.

Nota: Ya, dan saya berjumpa penulis di pesta buku dulu; minta tulisan saya dianalisis. Kena batang hidung sendiri lepas itu! Insya Allah akan cuba mengubah sifat-sifat negatif itu. Banyak lagi yang saya nak kongsikan tentang isi buku ini, tapi dah meleret, tak terbaca pulak nanti kan? Ada masa, kita bersama kongsikan.

Ogos 06, 2008

Detektif Indigo: Kembali (Siri Detektif Indigo #3)

Judul: Siri Detektif Indigo - Detektif Indigo Kembali
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Ameen Kreatif
Tahun: 2008
Harga: RM16.00
Mukasurat: 224

Setelah ditinggalkan dengan cliffhanger yang mendebarkan dalam Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson, penulis berjaya membawa sekuel yang makin penuh dengan suspense. Kes penculikan Prof. Aslan, Setiausaha Agung OIC dan pengasas Akademi Indigo, Dr. Recep Gul menjadi suatu ancaman kepada masyarakat Islam dunia. Kumpulan Detektif Indigo terpilih dari serata dunia dipanggil untuk menyiasat kes sulit ini. Dan yang terpilih itu termasuklah enam sekawan dari Maktab Rendah Indigo Sepang - Chen-chung si hafiz, Faruq yang serba tahu, Mihrimah Maryam pakar sains forensik, Ruzbihan yang tajam deria baunya, Rabiah Zaitun si ahli kimia, juga entomologis, Isamu Nakamura. Dalam penyiasatan itu mereka merungkai suatu konspirasi besar yang melibatkan seorang tenaga pengajar mereka, di samping menyelesaikan kes pembunuhan seorang kejam seorang pelajar.

Cerita yang nampak ketara perkembangannya. Berbanding dua prekuel detektif Indigo sebelumnya, saya rasakan karya ketiga ini ternyata amat baik. Jalinan plot amat baik, dan misteri demi misteri mampu membuat pembaca teruja menelitinya, malah cuba menaakul sendiri. Saya sendiri, sungguh tertarik dengan konspirasi yang melibatkan Dr. Mama, tenaga pengajar enam watak utama cerita ini. Apatah lagi kelebihan Chen-chung yang telah dinyatakan dalam volum pertama lagi, dan masih menjadi misteri: IQ setinggi 357, sedang rakan-rakan lain hanya mencecah IQ dalam lingkungan 120-200.

Tidak banyak novel penyiasatan yang berkualiti yang boleh diperoleh di Malaysia. Yang masih saya ingat pun, masa sekolah rendah dahulu sering membaca Siri Salma, atau Siri Lima Penyiasat (tak berapa ingat) yang sebenarnya diterjemah dari karya Inggeris Nancy Drew ataupun Hardy Boys, juga siri penyiasatan Enid Blyton, tapi tidak begitu dekat dengan jiwa saya, mungkin kerana karya tersebut merupakan terjemahan yang masih mengekalkan watak, latar dan dialog asal. Detektif Indigo, berbeza sekali, kerana punya nilai agama dan moral yang disisipkan bersama. Ternyata, novel Detektif Indigo ini mampu melangkah lebih jauh, jauh lebih baik dari novel-novel Inggeris ini!

Dan sekali lagi, Detektif Indigo Kembali meninggalkan pembaca tertanya-tanya, dengan cliffhanger yang lebih mengujakan. Kemunculan seorang pelajar baru, guru ganti yang bermuka ngeri, dan rintihan misteri dalam jaringan telepati Indigo. Apa lagi rahsia yang perlu dibongkar?

Sama-sama nantikan buku keempat dari siri ini. (Maaf kerana tidak menulis mengenai dua volum pertama - mungkin lain kali, insya-Allah. Mahu beli Siri Detektif Indigo secara online? Boleh berbuat demikian di sini)

*Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan autograf dari penulis ketika membeli naskhah ini, dan beserta tandatangannya dia menulis: Rasydan, mahu jadi detektif yang mana? Biar saya jawab di sini: Kesemuanya, boleh?

Jun 27, 2007

Bisnes? Mungkin Jawapannya...

Menjejaki Jutawan Senyap. Nah, buku inilah jawapannya. Buku motivasi ini merupakan buku pertama dalam trilogi Jutawan Senyap yang ditulis oleh Dr. Rusly Abdullah, yang lebih mesra dipanggil Chef Li. Macam mana saya mahu huraikan tentang buku ini, hmm...(mungkin sebenarnya agak malas untuk menulis entri kebelakangan ini, tak tahu kenapa?)

Senang cerita, buku Dr. Rusly ni bukan setakat motivasi bagi kita untuk berusaha dan berfikiran seluasnya dalam hidup kita untuk berjaya, tetapi ia juga merupakan panduan bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Pada mulanya saat saya terjumpa buku ini di rak buku ayah saya, saya terus memikirkan tentang perniagaan besar-besaran, kena jadi CEO ke, apa ke...tapi sebenarnya tidak. Buku ini mengorek rahsia jutawan senyap yang terdiri daripada usahawan kecil-kecilan - peniaga pasar malam, penjual aiskrim, peniaga warung makan, dan yang sewaktu dengannyalah. Peniaga-peniaga yang sebenarnya telah lama mengumpul wang dan menjadi jutawan tanpa diketahui sesiapapun (kecuali dia sendiri, keluarga dekat, ah, Allah sudah pastilah). Penulis mendedahkan rahsia-rahsia peniaga-peniaga ini - bagaimana mereka memulakan perniagaan kecil mereka masing-masing dan seterusnya mendaki puncak kejayaan dan mengembangkan empayar bisnes mereka ke tahap cipan...eh silap, jutawan.

Menariknya buku ini, di samping motivasi dan panduan, penulisannya menggunakan gaya penceritaan. Boleh kata, lebih kurang macam separa novellah. Cerita apa? Cerita fasal jutawan-jutawan senyap yang telah lama berjaya. Bagaimana mereka berjaya. Sebab, cara, semuanya ada. Ada kisah tentang Diyono seorang pendatang dari Indon yang datang tanpa izin, berjualan air di tepi jalan, ah, hanya itu saja, boleh dapat RM21,000 bersih satu bulan. Belum lagi campur warung air yang lain. Bagaimana pula Sutinah, yang menjadi mangsa suami yang tidak bertanggungjawab, punya anak yang sakit, pernah masuk penjara atas tuduhan bersubahat dengan suaminya kerana dadah, bangkit dari penderitaannya - berniaga popia basah di pasar malam - sehinggalah dia beroleh warung makannya sendiri; berkembang maju lagi sehingga ada pula kilang popia basah sendiri, lima buah restoran, dan katering sekali! Percaya atau tidak, ia bermula dari jualan popia basah! Banyak betul cerita-cerita menarik dalam buku ini yang dapat memberi pengajaran kepada kita. Saya pun sudah beberapa kali menelaah buku ini, saya masih tak jemu mengikuti semula cerita-cerita ini berulang kali. Terkesan juga saya. Tapi tak bolehlah saya berniaga buat masa ini kan. Mungkin nanti..(bila agaknya tu, hahah)

Selain cerita peniaga lain, ada juga kisah penulis sendiri. Tentang bagaimana beliau berhenti dari menjadi pegawai bank dan menceburi bidang perniagaan untuk mengalami sendiri, membuktikan, benarkah perniagaan begitu menguntungkan. Tertarik saya dengan cara penulis yang tersendiri ini. Kalau kitalah agaknya, sanggup ke kita lepaskan jawatan yang sudah tetap itu untuk berniaga di pasar. Begitu tanggapan orang kebanyakan, termasuk saya. Begitulah yang diperkatakan oleh rakan-rakan penulis tentang pemberhentiannya. Namun, beliau tetap meneruskan perniagaannya. Selanjutnya? Baca...

Nak diikutkan, memang banyak yang menarik untuk diceritakan. Buku satu pun dah banyak, belum masuk lagi buku 2 dan 3. Tapi buku 2 saya tak baca lagi, buku 3 selesai dah.

Kesimpulan mudah yang saya peroleh dalam buku ini satu: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kalau kita memang berkehendakkan pada sesuatu tu, kita pasti berusaha kuat mencapainya. Bagi yang malas? Banyak alasannya. Betul tak? Mungkin ramai lagi yang menganggap berniaga ini tak standard, susah, saya tak belajar, macam-macam lagilah. Itulah, tak hendak seribu dalih. Jangan kita lupa, Rasulullah s.a.w. dah sebut, perniagaan itu 9/10 dari punca rezeki. Buktinya dalam buku ini. Jadi, nak cuba berniaga, belek-beleklah buku ini dulu. Insya Allah membantu.

* Saya lebih suka versi paperback buku ini, lebih kecil, ringan dan murah. Mudah dibawa ke mana-mana. Gambarnya boleh lihat di sini. Versi bahasa inggeris (Silent Millionaire) klik sini.

Related Posts with Thumbnails