Memaparkan catatan dengan label wanita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label wanita. Papar semua catatan

Julai 16, 2010

Salju Sakinah

Judul: Salju Sakinah
Penulis: Zaid Akhtar
Penerbit: PTS Millennia
Tahun: 2008
Harga: RM26 
Bil.mukasurat: 559

"Jangan nama saja Sumayyah, tapi lekas sangat mengalah."

Sumayyah. Nama watak utama dalam karya penulis mapan Zaid Akhtar ini mengetuk-ngetuk jiwa saya. Masakan tidak? Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid. Ketika syariat masih belum turun, dan syahadah baru sahaja diucapkan, imannya boleh begitu teguh, jiwanya begitu yakin. Tegal apa? Dia betul-betul faham apa yang disampaikan nabi.

Begitulah watak Sumayyah dalam Salju Sakinah, dia tidak henti-henti diuji. Berbekalkan tiupan semangat arwah ayahnya, dia yang baru pulang dari Jordan menuntut agama, terpaksa terjun dalam bidang keusahawanan yang ditinggalkan ayahnya itu. Kemudian dalam menjaga sakit uminya, kakaknya pula didapati terlibat dalam sebuah ajaran sesat. Terus-terusan diuji, dia juga dilanda duga jiwa: Siapa lelaki yang mampu merawat hatinya dan melindunginya di kala dia perlu teduhan?

Kesediaan Seorang Daie

Sumayyah memaparkan kepada kita ciri seorang daie yang amat penting dan perlu kita contohi, iaitu kesediaan dan kesanggupan yang berterusan dalam menyampaikan mesej dakwah. Ya, bukan senang untuk menjadi orang yang sentiasa bersedia, apatah lagi dalam membawa tugas berat seperti ini. Dalam novel ini, Sumayyah ditugaskan oleh ustazahnya yang tinggal sekampung dengannya untuk menyampaikan kuliah untuk para jiran wanita di kampung-kampung sekitar kerana tidak menang tangan. Sumayyah perlu sentiasa cerdas dalam memikirkan tajuk yang sesuai, metodologi penyampaian, dan maklumat yang wajar diketengahkan agar mesejnya sampai dengan efektif.

Daie juga harus bersedia untuk menghadapi masalah dalam keluarga, bukan dalam masyarakat semata-mata. Apabila kakak sulung Sumayyah didapati terlibat dalam sebuah ajaran sesat, Sumayyah sentiasa resah memikirkan solusi terbaik yang dapat membawa kakaknya kembali ke pangkal jalan, juga demi memperbaiki hubungan kekeluargaan mereka yang rosak kerana isu itu.

Zaid juga menyelitkan isu-isu semasa (sewaktu novel ini disiarkan secara bersiri sepanjang 2005 di dalam akhbar Utusan Malaysia), tentang politik dan sosial, bagi menggambarkan seorang daie perlu arif dalam pelbagai bidang.

Muslimah Contoh

Sebagai seorang lulusan agama, Sumayyah menjadi contoh untuk para pembaca, khasnya muslimah, untuk menjaga hubungan sesama manusia dan lebih utama, Tuhan. Aspek muamalah sangat ditekankan oleh penulis. Sememangnya cinta itu menjadi sebuah persoalan dalam novel ini, tetapi lebih wajar jika kita perhatikan cara berhubungan lelaki-perempuan yang didatangkan.

Bercakap mengenai wanita, tentunya kita akan kaitkan dengan emosi. Perasaan dan cara fikir seorang wanita pasti berbeza dengan seorang lelaki. Zaid telah menulis watak-watak muslimah dengan keperibadian yang cantik dan mulus. Mereka mengekang perlakuan bersandar nafsu dan emosi, dan menjadi citra terbaik pembawaan iman dalam kehidupan--bagaimana iman mampu mengawal sikap dan akhlak seseorang. Mungkin bunyinya sedikit idealistik, tetapi inilah yang wajar dicontohi. Watak yang kurang elok juga dimasukkan (Zaleha, jiran Sumayyah yang pesimistik, kuat cemburu dan suka memfitnah) demi membuat perbandingan sikap baik-buruk yang perlu menjadi teladan.

Ada yang mengatakan pembaca dapat merasakan kisah ini seperti ditulis oleh seorang wanita jika kita tidak diperkenalkan dengan penulis lebih dulu. Mungkin kerana penghasilan watak Sumayyah yang berkesan, juga kefahaman penulis terhadap peribadi seorang wanita menjadikan kesannya begitu baik. Saya tidak pasti adakah saya setuju dengan pandangan itu, tetapi sememangnya Sumayyah dan rakan-rakannya, Izzati, Fatihah, Marianis dan Hakimah telah digambarkan sebagai muslimat contoh dan ini sudah cukup sebagai pelajaran buat pembaca. 


Jikalau bercerita tentang aspek sastera, Zaid Akhtar berjaya dalam memperindah dan memperhalus Salju Sakinah melalui kosa kata dan istilah yang padan. Padan dengan latar bumi Jordan, yakni dengan istilah-istilah Arab; juga padan dengan wanita sebagai protagonis. Tidak perlu komen banyak. Antara yang saya sangat suka adalah frasa 'Sumayyah mengelopakkan senyum' yang saya kira sangat cantik dan sesuai.

Secara teknikal, ada sedikit kekurangan yang perlu diambil perhatian oleh penerbit. Kulit hadapan naskhah ini yang menampilkan wanita berpurdah saya rasakan sedikit klise. Tetapi saya anggap hal ini terjadi kerana novel ini menjadi mangsa trend novel cinta Islami yang memuncak penerbitannya waktu itu (sehingga sekarang sebenarnya masih berlaku). Lebih penting, saya dapati tiada blurb atau ringkasan buku disertakan di belakang buku. Saya membeli buku ini pun kerana telah kenal dengan Zaid dan berpuas hati dengan karya-karyanya sebelum ini. Pembaca lain yang belum kenal tentu ingin tahu tentang apa novel ini.

Kini novel tempatan sudah mula mengambil pendekatan novel-novel Barat yang dilambakkan kulitnya dengan pujian dan komen mengenai sesebuah novel itu. Apatah lagi jikalau ulasannya sama sahaja pada setiap novel. Lebih baik ulasan-ulasan ini dimuatkan di dalam. Jangan macam novel Inggeris, sikit-sikit "unputdownable", "a page-turner", "gripping"..dan macam-macam lagilah yang berulang-ulang, hanya memualkan pembaca saja. Tidak bermaksud komen pada kulit itu tidak bagus, cuma cukuplah satu atau dua terpilih untuk menghiasi kulitnya. Kemudian isinya terpulang pembaca menilai.

Sekarang penulis sedang menyiarkan novel bersiri bertajuk 'Bianglala Bosphorus', sekuel kepada novelnya Rona Bosphorus di majalah ANIS. Jika suka Salju Sakinah, saya cadangkan kalian baca Tunggu Teduh Dulu karya Faisal Tehrani. Berkenaan wanita dan keusahawanan juga. 

HelaianRindu: Menunggu 1 Ogos. Video "The Chosen One" Maher Zain keluar hari tu  nanti.

September 27, 2009

Salina & Sosial

Judul: Salina
Penulis: SN A. Samad Said
Penerbit: DBP
Tahun: 1989
Bil. mukasurat: 508

Dulu seorang sahabat saya, Syahmi, pernah minta pada saya untuk carikan novel ini. Puas saya cari online (maklumlah beli cara macam ini senang kalau dah tahu judul yang nak dibeli) tapi tak berjumpa. Beberapa bulan lepas itu saya pergi ke Pesta Buku di PWTC (April lepas) dan bertanyakan seorang abang yang menjaga booth Dawama mengenai Salina. Saya pun berminat memilikinya juga sebenarnya, jadi cepat-cepat saya bertanya.

"Kami dah tak cetak Salina lagi." Ringkas jawapannya.

Kecewa itu terubat baru beberapa minggu lepas, apabila saya terjumpa Salina cetakan lama di perpustakaan kecil di kampung saya ini. Alhamdulillah terus saya pinjam. Mulanya ingin meminjam versi ringkas (abridged). Ya semacam kita membaca karya klasik orang putih yang sekian panjang tetapi kini banyak pula versi ringkas yang diolah semula. Tapi alang-alang dah terjumpa versi panjang sekali, baiklah saya baca yang penuh itu. Mungkin selepas ini tak berpeluang lagi.

Kembali kepada Salina. Ringkasnya, Salina ini cerita seorang pelacur dan juga jiran-jirannya di sebuah perkampungan di Singapura. Kampung itu bernama Kampung Kambing. Kampung Kambing, kerana rumah mereka itu asalnya kandang kambing yang diperbaiki sedikit dan dijadikan rumah untuk orang tinggal. Salina adalah antara penduduk dalam rumah itulah. Dia tinggal bersama seorang lelaki bernama Abdul Fakar, yang bukan suaminya sebenarnya. Sebagai seorang pelcaur, yang malah 'menyara' seorang lelaki simpanan, tentu banyak fitnahnya. Dan  turut menghidupkan novel ini ialah cerita mengenai jiran-jirannya, yang sama-sama mempunyai masalah kekeluargaan, kewangan dan pelbagai lagi.

Saya berminat dengan latar sosial yang ditonjolkan dalam Salina. Jangan salah faham, bukan tentang suasana lacur-melacur yang wujud itu. Tetapi kesusahpayahan hidup masyarakat di kawasan tersebut. Salina sendiri sebenarnya adalah seorang mangsa perang. Perang Dunia Kedua meragut nyawa keluarga dan kekasih pertamanya, menjadikan dia kini sebatang kara. Demi menyara hidup dia terpaksa menjual diri. Juga, saya memikirkan kesusahan penduduk Kampung Kambing itu tinggal di dalam rumah yang serba kekurangan, bekas tinggalan kambing pula. Bocor di sana sini bila hujan turun mencurah. Kemudian kesusahan mendapatkan air. Mereka di kampung itu hanya boleh menumpang mengambil air di berek pekerja PWD (Public Works Depatment) di seberang jalan, itupun hanya di waktu malam ketika tiada orang menjaga kawasan itu. Tidak seperti kita sekarang, rumah bukan main besar, air bukan main banyak sampai berjoli sakan bermain air.

Mencari rezeki untuk menampung hidup pun bukan mudah. Abang kepada Nahidah (seorang jiran Salina, yang diminati oleh Fakar) contohnya, sampai sudah tidak mendapat kerja, akhirnya meninggalkan kampung itu untuk menjadi tentera. Narto, abang angkat Nahidah pula semakin susah mencari makan sebagai pengayuh beca kerana sudah ramai yang menaiki teksi. Yang menjadi mangsa akhirnya ialah Nahidah, kerana Narto tidak dapat mencari rezeki yang 'mencukupi' buat ibunya. Ibu mereka, Zarina itu ingin hidup mewah, maka dipaksa Nahidah bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran. Pelayan waktu itu macam di kelab malam lagaknya, bukan saja mengambil pesanan dan membawa makanan, tetapi kadang-kadang melayan pelanggan lelaki dengan badan. Mungkin saja nampak sama dengan kebobrokan sosial zaman kini (malah lebih teruk lagi) tetapi hakikatnya, di sebalik semua itu, kebanyakannya bertumpu pada satu titik persamaan: mereka terdesak mencari duit demi meneruskan kehidupan. Dan inilah yang membezakan mereka dengan masyarakat zaman ini. Bukan terdesak, tetapi 'gersang' dan memang sukarela memunah maruah.

Saya secara peribadi turut tertarik dengan watak Hilmy, seorang jiran yang baru berpindah ke kampung itu. Hasil pemerhatiannya kepada keadaan tempat tinggal mereka di zaman itu dia memasang impian untuk menjadi pembuat pelan rumah. Sekarang saya sudah jelas matlamat dia hendak menjadi arkitek. Tetapi, saya masih tidak nampak matlamat saya seperti dia, mungkin kerana tiada masalah seperti itu sekarang. Kesal juga mengenangkannya. Apapun, setidak-tidaknya, Hilmy berjaya menegur diri saya secara tak langsung untuk berfikir letak duduk hala tuju hidup saya kelak.

Saya juga kagum dengan Salina kerana dia sanggup menyara pelajaran Hilmy. Ya, ketika itu bukan senang untuk belajar. Untuk dapatkan kerja yang bagus, perlu bersekolah di Sekolah Inggeris. Dan tidak semua yang dapat belajar itu dapat teruskan pembelajaran, kadang banyak yang berhenti kerana kesempitan wang dan bermacam-macam lagi sebabnya. Salina yang tidak beroleh peluang itu sangat berharap Hilmy berjaya mencapai cita-citanya, agar hidup Hilmy tidak sepertinya. Pelacur yang berjiwa besar, mungkin pelik bunyinya, tapi itulah Salina.

Karya klasik ini sememangnya membawa kita ke luar pagar kelaziman, disebabkan latar masa dan sosialnya itu yang susah untuk kita hayati dalam buku-buku terkini. Sebagai generasi muda yang lahir dalam kecukupan materi dan jauh sekali dari aftermath perang Salina membantu saya mengenali dunia nenek moyang kita. Saya juga dapat banyak iktibar dan mampu melihat hidup memalui perspektif berbeza. Saya berharap pembaca lain juga mampu bermuhasabah melalui Salina, kerana novel harus juga mendidik selain menghibur.

Syukur, itulah iktibar utama!

Kemudian...

Sabtu lalu, saya terjumpa buku Salina di Kuala Lumpur. Nak membeli tapi sempit kocek! Sempat berkongsi dengan Syahmi cerita ini, tapi sayang dia sudah balik semula ke Jordan menyambung pengajian (hari ini), jadi tidak sempat membelinya. Tak apalah, ada masa, kita pergi beli buku sama-sama ya Syahmi, boleh ajak Naqeb sekali.

Kini hasrat saya mengumpul karya Sasterawan Negara makin menebal!

helaianRindu: Muak dengan rancangan TV yang pelakonnya pun menjual badan. Free pulak tu. Sabar je.

September 07, 2009

Tunggu Teduh Dulu

Judul: Tunggu Teduh Dulu
Penulis:
Faisal Tehrani

Penerbit:
Penerbitan Selain

Tahun:
2004

Bil. mukasurat:
678

Harga:
Rm49.90


Hairan. Sangat hairan dengan diri sendiri. Kenapa saya tidak menyedari buku ini sebelum ini, kenapa buku ini tak menarik mata saya dulu untuk dibaca. biarpun telah lama berada di rak buku saya. Kadangkala saya ada membelek juga, tapi entah kenapa tak berani membacanya. Tertanya-tanya, adakah disebabkan edisi ini nampak tebal, lalu belum sanggup menelaahnya? Atau disebabkan ini sebuah novel cinta, genre yang saya kurang cenderung membaca? Atau barangkali ingin menunggu saat yang lapang seperti waktu sekarang (cuti) untuk menikmatinya? Entah. Walau apa alasan pun, saya hairan.

Tunggu Teduh Dulu adalah cerita mengenai seorang wanita bernama Salsabila Fahim yang mengusahakan sebuah ladang betik bersama rakan baiknya, Teh Sofia. Pelbagai dugaan menimpa Salsabila, dari diduga dengan cinta, retaknya persahabatan dan kekeluargaan, kematian orang tersayang, dan ujian kondisi ladangnya yang tidak menentu. Ini adalah cerita di sebalik perjalanan Salsabila mencari teduhan dari asakan yang bertalu-talu menduganya.

Saya banyak bermuhasabah dari isi novel ini. Ada tiga perkara utama yang selalu tengiang-ngiang dalam minda saya selepas membaca novel ini. Satu, bahawa kerja dan aturan Tuhan itu tiada siapa yang tahu. Jalur hidup dan ketentuan takdir kadangkala mencengangkan kita, datang dengan tiba-tiba, tetapi dihujungnya ternampak takjubnya. Teh Sofia selalu mengingatkan Salsabila dengan kata-katanya, "Kerja Tuhan siapa tahu?" dan saya juga bagai terdengar ungkapan itu di telinga saya setiap kali bertemu sesuatu yang tak saya jangka. Dua, saya belajar bahawa keterlekatan kita pada sesuatu, lebih-lebih lagi perkara duniawi akan membawa kita jauh dari bahagia. Ladang betik yang dicintai Salsabila dan Teh Sofia menghadapi banyak masalah, dan keterlekatan mereka pada ladang yang satu itu tidak boleh membawa mereka ke mana-mana. Sesungguhnya milik Allah jua segala, dan didatangkan yang lebih baik daripada apa yang kita ada sekiranya kita bersyukur dan terus berusaha.

Tiga, bahawa cinta itu diberi bukan diminta. Teman lama Salsabila di bangku sekolah dulu, Kamil dan Lam Ping Hai datang semula, menuntut cinta Salsabila setelah lama menawarkan cinta masing-masing. Sekian lama Salsabila tidak dapat memilih antara dua, dia berpergian ke Tanah Haram memohon dipertemukan jodoh. Tidak diduga, "kerja Tuhan siapa tahu?" itu muncul dan mengetuk lawang takdir wanita ini. "Cinta itu tidak diminta, tetapi diberi" begitu frasa yang saya selalu ingat. Kalau kita benar mencintai Dia, doakanlah supaya dikurniakan cinta orang yang mencintaiNya.


Susah juga saya hendak ulas lanjut novel ini, bukan kerana terlalu banyak untuk diceritakan. tetapi sukar untuk saya cari kata-kata yang terbaik untuk memperihalkan kebagusannya. Saya amat menyenangi falsafah dan simbolik di sebalik "Tunggu Teduh Dulu" itu sendiri. Tajuknya sudah memberi pelbagai bayangan pada kisahnya. Asalnya, ketika mereka masih bersekolah, Kamil, Salsabila dan Lam selalu ke puncak bukit berdekatan rumah Salsabila, dan suatu ketika hujan turun, mereka lalu berteduh di bawah sebuah bangsal. Kamil dan Lam masaing-masing menawarkan cinta dan secara halus meminta Salsabila meilih, tetapi Salsabila hanya menjawab, tunggu hujan teduh dulu. Tetapi di sebalik tajuk naskhah ini, Salsabila juga menunggu teduh dari pelbagai duga. Juga menunggu seorang lelaki yang benar-benar mampu jadi teduhannya. Dan tidak dilupa teduhan sebenar pada Tuhan Pencipta. Latar yang teduh menjadi pilihan--sebuah ladang betik dengan daun selalu ditup angin, mendatangkan damai pada jiwa-jiwa yang memandang.

Suka saya ingin meminjam kata-kata seorang pembaca, yang saya terbaca di internet; Sekiranya Indonesia mengangkat Ayat-ayat Cinta sebagai novel terbaik, maka di Malaysia Tunggu Teduh Dulu wajar diangkat sebagai citra. Ingat, watak wanita dalam Ayat-Ayat Cinta semuanya mendamba pada seorang lelaki yang tampak begitu sempurna pada segala. Tunggu Teduh Dulu menjanjikan yang lebih baik, di mana watak utamanya masih terpapar kelemahannya, dia tidak bisa memilih, dia juga ada saatnya hilang sabar dan lemah hatinya. Lebih dekat dengan para pembaca. Cerita ini adalah melalui sudut pandang pertama, dengan Salsabila sebagai 'saya'. Wanita yang membaca novel ini pasti lebih terasa dekat dengan peribadi Salsabila, pemikirannya, pendiriannya dan hidupnya sebagai seorang wanita. Sebagai seorang lelaki, Faisal Tehrani berjaya menghidupkan protagonis ini dengan baik sekali. Tidak semua lelaki boleh mempamer peribadi seorang wanita dan cara fikirnya sebaik ini. Saya juga suka dengan Salsabila Fahim, saya juga seperti ingin mencari teduhan seperti dia. Tempias duga itu dapat saya rasa, meski saya ini lelaki.

Hairan bukan, mengapa orang lebih menyebut-nyebut produk Indonesia sedang di negara kita ada yang lebih baik!

Lenggok bahasa kali ini lebih mudah, ayat-ayatnya pendek tetapi tetap dihiasi bunga bahasa dan diksi yang tepat. Manikam Kalbu contohnya, berkait rapat dengan ilmu busana, Ketupat Cinta pula dengan ilmu gastronomi, Tunggu Teduh Dulu membawa suasana pertanian. Seperti biasa, novel Faisal Tehrani sentiasa ditampung dengan ilmu yang bermanfaat. Dari ilmu mengenal jenis betik sehinggalah kepada jenis penyakit dan racun yang digunakan dalam penanaman, seperti selalu naskhah ini juga "well-researched". Begitulah sepatutnya novel, bukan sahaja menghibur, tetapi mendidik.

Pun begitu, saya sedikit ragu, selepas teduh, apa yang dinanti? Hari cerah? Pelangi? Atau sinar matahari? Bagaimana dengan bangsal tempat berteduh itu, apakah ia akan ditinggalkan? Saya masih berfikir-fikir lagi pelbagai makna di sebalik kisah berteduh ini, moga mendapat jawapannya ketika membacanya lain kali, InsyaAllah.

Kini Tunggu Teduh Dulu telahpun dicetak dalam edisi baru oleh Ameenbooks, lebih murah dan kompak saiznya. Hanya RM29.90, boleh didapati di kedai-kedai buku seperti MPH dan Popular. Jikalau anda mencari novel cinta, falsafah, kekeluargaan berlatarkan dunia tani, Tunggu Teduh Dulu jawapannya. Saya boleh menarik nafas lega, novel cinta macam inilah yang saya cari-cari!

helaianRindu: Sekeliling rumah aku pun ada tanam betik juga. Abah punya kerja. Tiap-tiap hari makan betik, hasil sendiri tapi entahlah spesies apa. Sebab itu membaca novel ini kecur liur. Suka dengan betik yang berisi jingga merah berjus itu.

November 23, 2008

A Thousand Splendid Suns


Judul: A Thousand Splendid Suns
Penulis: Khaled Hosseini
Penerbit: Bloomsbury
Tahun: 2008 (Paperback)
Harga: RM35.90
Bil. Mukasurat: 419

A Thousand Splendid Suns merupakan novel kedua Hosseini selepas debutnya yang bertajuk The Kite Runner pada tahun 2003. Kehebatan The Kite Runner tentunya 'mengajak' saya untuk membaca karya penulis yang seterusnya. Adakah sama novel ini dengan novel sulung penulis? Tidak. Malah lebih baik!

Novel keduanya berlatarkan tempat yang sama, ya Afghanistan. Dan sudah tentu jika latar masanya pada tahun 1970-an, semestinya berlaku perang dan berlakulah penderitaan rakyat Afghan. Dan inilah yang menimpa Mariam dan Laila.

Mariam adalah seorang harami—anak luar nikah. Diusir dari rumah ayahnya, dia dikahwinkan dengan seorang duda lingkungan 40-an dari Kabul yang bernama Rasheed. Namun, perkahwinan yang disangkanya akan bahagia dan berkekalan lebih lama rupanya meleset. Kerana Rasheed inginkan seorang anak. Lebih-lebih lagi lelaki. Kerana Mariam tidak berjaya mendapatkan seorang cahaya mata, pergaduhan terjadi.

Laila, seorang remaja yang tinggal berjiran dengan Mariam, hilang kedua ibu bapa dan tempat tinggal akibat bom yang dilepaskan semasa pemerintahan Mujahideen. Terdesak menyembunyikan kehamilan seorang anak luar nikah, dia bersetuju mengahwini Rasheed.

Pada mulanya Mariam benci pada Laila kerana menganggap Laila sebagai perampas suaminya. Namun insiden dengan Rasheed menyebabkan kedua-duanya, Mariam dan Laila, menjalin hubungan yang amat rapat—seperti ibu dan anak, apatah lagi bila Laila dianugerahkan Aziza dan Zalmai hasil perkahwinannya. Mariam menjaga kedua-dua anak Laila seperti anak-anaknya sendiri.

Namun ambilalih oleh Taliban menjadikan situasi mereka lebih bahaya. Kelaparan, ketakutan melanda masyarakat Afghan. Dan bagaimana nasib kaum wanita? Mariam dan Laila tertahan diri di Afghanistan. Niat ingin mencari bahagia bersama, tapi mampukah?

Kandungan buku kecil molek ini dibahagi kepada empat bahagian (Part One—Part Four). Yang pertama dari Mariam kecil sehingga dia berkahwin, manakala yang kedua untuk Laila. Bahagian ketiga gabungan Mariam dan Laila dan bahagian terakhir adalah cerita Laila sepenuhnya.

Tersentuh, itu sahaja yang boleh saya katakan. Lebih tersentuh dari membaca The Kite Runner. Dan hakikatnya saya hampir menangis. Babak-babak yang menyentuh hati saya antaranya ialah babak kematian ibu Mariam; penderaan Rasheed kepada Mariam dan kemudiannya Laila dan anaknya; dan seterusnya babak Maryam dihukum hudud. Juga, sepanjang kisah ini saya tersentuh dengan hubungan erat Mariam dan Laila. Tambah lagi kepayahan Laila ketika melahirkan anak keduanya, ketika keadaan begitu darurat.

Anda bacalah, saya yakin kalian juga ikut terharu. 5 bintang!

*Akhirnya saya kembali membaca dan mereviu. Cuti panjanglah katakan.

Jun 25, 2008

Trilogi Natasya/Julia/Cinta Madinah (I) - Natasya


Judul: Natasya/Julia/Cinta Madinah [Sebuah Trilogi]
Penulis: Abu Hassan Morad
Penerbit: Utusan Publications & Distributors
Tahun: 2005
Harga: RM40.00

Aha, akhirnya saya sempat juga habiskan novel Cikgu Abu yang satu ini. Tahun lepas saya tangguhkan dulu; entah kenapa pada waktu itu asyik-asyik mengulangbaca bab satu dari Natasya setiap kali membuka lembaran trilogi ini. Bila diselak halaman novel Julia dan Cinta Madinah, tak jadi juga sebab saya lebih suka membaca satu-satu buku itu dari halaman hadapan hingga ke belakang mengikut susunan, bukan membaca secara random. Itu cara saya. Tapi mungkin cuti kali ini lebih panjang jadi dorongan untuk memulakan semula pembacaan dan menghabiskan novel ini lebih kuat.

Natasya sebenarnya sebuah novel travelog. Lebih ke arah catatan kembara. Amir, seorang wartawan dari sebuah syarikat akhbar tempatan telah ditugaskan ke Bosnia mengikuti rombongan Menteri Pertahanan. Syarikatnya telah bersetuju mengambil seorang rakyat Bosnia, Natasya, sebagai anak angkat syarikat. Natasya, walau bagaimanapun, tidak ketahuan khabarnya.

Sisa tragedi Bosnia-Herzegovina, itu yang disaksikan Amir saat dia sampai di bumi berdarah itu. Dia melihat, betapa hancurnya masyarakat Islam akibat ancaman puak Serb. Betapa telah hilang pegangan manusia akibat peperangan. Dan alangkah, Amir menyedari alangkah hinanya manusia yang hidup tanpa iman! Di mata Amir, yang tinggal hanya generasi yang melupai Tuhan, curiga-mencurigai, hilang arah tujuan. Termasuklah si gadis Natasya itu yang telah hilang entah ke mana.

Masalah pencarian Natasya, pemberontakan di kampung halamannya, kebimbangan kepada rakan karibnya yang kemalangan, tambah pula masalah 'buli' wartawan senior memeningkan kepala Amir. Apatah lagi ibunya mendesak supaya dia mencari pasangan hidup secepat mungkin. Bagaimana Amir menghadapi semua ini? Itu saya tinggalkan kepada anda semua untuk mencari jawapannya sendiri melalui novel ini.

Memang sebuah travelog yang terperinci, setiap apa yang dilihat dan dirasa penulis sepanjang perjalanan ke Bosnia diceritakan. Oh, terlupa pula memberitahu kalian yang penulis yakni Abu Hassan Morad sendiri memang menyertai rombongan ini. Rombongan ke Bosnia yang dikhabarkan dalam novel ini memang benar berlaku tahun 1996 yang lalu, dan kebanyakan wataknya juga real. Berkemungkinan Amir dan Natasya serta dua tiga karektor lagi sahaja yang fictional; kerana gambar watak-watak ada diselitkan di antara bab-bab dalam Natasya. (Berbalik semula pada perincian yang saya sebutkan tadi) Kerana itulah Cikgu Abu berjaya menulis Natasya dengan baik. Ini peristiwa yang disaksikan dua matanya sendiri; dan memang sebagai seorang wartawan!

Selain memenangi tempat kedua Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 1996, novel ini juga telah mendapat pujian dari Dato' Syed Hamid Albar sendiri, yang mengikuti rombongan tersebut sebagai Menteri Pertahanan. Ada disertakan catatannya. Bukan sekadar kerana gambaran yang diberi begitu tepat, tapi usaha penulis yang merakamkan kegiatan tentera Malaysia di sana itulah yang selayaknya dihargai. Bukan terlalu memuji, tapi ya, ini pastinya satu karya yang berharga, khususnya pada anggota MALCON yang turut serta waktu itu, dan untuk negara kita umumnya, atas usaha kita menolong saudara seagama kita di sana.

Anda tanya, berbaloi atau tidak membacanya? Tentunya saya jawab ya!

Natasya juga dijual secara tunggal, tapi mungkin agak susah dijumpai di kedai-kedai buku berikutan tahun terbitnya yang sudah menjangkau lebih 10 tahun yang lalu. Tapi saya pernah terjumpa naskhahnya sekali, entah di mana dan bila dahpun saya lupa. Baiklah kalian beli trilogi ini terus, boleh dapat 3 novel sekaligus dalam satu buku tunggal! Mahal sikit tak apa, bukankah ini pelaburan untuk sesuatu yang bermanfaat?

Related Posts with Thumbnails