Memaparkan catatan dengan label PTS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PTS. Papar semua catatan

November 03, 2010

Lima Menara, Satu Perjalanan

Judul: Negeri 5 Menara
Penulis: A.Fuadi
Penerbit: PTS
Tahun: 2010
Harga: RM20
Bil. mukasurat: 488

Sangat asing sekali membaca sebuah novel berkisarkan kehidupan pelajar-pelajar di sekolah pondok. Sekurang-kurangnya di Malaysia jarang sekali latar ini diketengahkan. Yang ada pun paling tidak, di sekolah biasa. Negeri 5 Menara merupakan novel yang menggunakan latar sebuah pondok moden di Indonesia. 

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri di Pondok Modern Gontor, penulis mengolah jejaknya dari pondok tersebut sehinggalah tamat pengajiannya dan kejayaannya setelah itu menjadi sebuah kisah motivasi yang unik. 

Impian dia untuk menjadi seperti B.J Habibie (Presiden Ketiga Indonesia). Cita-cita ibunya pula mahu menjadikan dia persis Buya Hamka, lantas menghantarnya ke Pondok Madani di Jawa Timur. Alif Fikri pergi dengan separuh hati, antara mahu dan tidak, tetapi hari-hari di Pondok Madani nyata mengubah dirinya. Laungan kalimat sakti man jadda wajada oleh Kiai Rais, ketua PM melantun-lantunkan semangat baru dalam dirinya.

Sepanjang kehidupan berasrama di PM, dia menemukan beberapa teman yang banyak berkongsi suka duka. Ada Raja yang rancak berpidato, Said yang beraura pemimpin, Atang yang mahir dalam seni teater, Baso yang rajin menghafal Al-Quran, dan Dulmajid yang suka membaca.  Di bawah menara masjid, mereka selalu bertemu dan memerhati kesumba langit senja. Awan-awan yang berarak seolah-olah menjelma menjadi negara dan benua impian masing-masing. Apa menara-menara impian mereka mampu dicapai? Begitu gumam mereka. Syair Imam Syafie mengiringi angan-angan mereka:

Orang pandai dan beradab
Tidak akan diam di kampung halaman
Tinggalkan negerimu dan
Merantaulah ke negeri orang...

Setelah membaca dari awal sampai sudah, ternyata Negeri 5 Menara memberi perasaan yang bercampur-campur. Jujur saya katakan, ceritanya tidak terlalu luarbiasa. Jalan cerita dan plot yang disediakan secara bingkai-bingkai kecil (story arcs) juga sederhana, kerana ceritanya adalah cerita kehidupan sepanjang di asrama PM dari tahun pertama kemasukan hinggalah tahun akhir. Tidak ada peristiwa yang terlalu dramatik ataupun bersifat misteri/saspen. 

Cuma, apa yang mengindahkan prosa ini adalah penggunaan bahasa dan susunan kata yang pada saya bersifat 'nostalgik' dan 'jujur'. ('Jujur' maksud saya adalah penceritaan dari perspektif pelajar yang adakalanya kurang matang, nakal dan lucu.) Kata-kata hikmah dan nasihat yang mengalir deras dari Kiai Rais sangat baik sekali. "Dahulu menjual mengkudu sekarang menjual durian, dahulu tidak laku sekarang jadi rebutan." adalah antara kata yang mempesona di penghujung buku dari beliau untuk para santri yang sudah tahun akhir.

Jika ingin dikaitkan dengan pembaca, rasanya paling dekat sekali tentulah para pelajar. Juga tidak kurangnya untuk para guru dan bakal pendidik. Mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan mungkin mampu menilai banyak perkara dari novel ini. Sistem pendidikan yang tegas tapi kreatif dijalankan di pondok moden tersebut sangat sesuai diteladani baik buruknya, pahit manisnya. 

Antara yang menarik minat saya adalah sistem hukuman kepada pelajar yang melakukan kesalahan. Antara hukumannya adalah mereka perlu menjadi semacam detektif untuk menyiasat pelajar lain yang melakukan kesalahan pula. Sebagai orang yang bersalah, memerhati kesalahan orang lain pula sebenarnya akan menjadikan kita lebih awas dengan kecuaian diri, dan tentunya mengelakkan diri sendiri dari membuat perkara yang sama. Kesalahan-kesalahan sekecil mana pun tetap akan dipandang, termasuklah curi-curi berbahasa Indonesia (wajib berbicara dalam Bahasa Arab atau Inggeris di PM)!

Sekaligus, novel ini menjadi sebuah pengenalan baru yang mematahkan pandangan pesimis masyarakat tentang institusi pesantren atau pondok. Ternyata di pondok juga ada pelajaran falsafah, seni dan sains, bukanlah agama seratus peratus. Pelajar diwajibkan bergiat aktif dalam latiahn berpidato, dan juga mengembangkan bakat atau bidang yang diminati. Bukan bermaksud masuk pondok ini seperti penjara dan cuma pilihan terakhir bagi mereka yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. (Terhibur menonton bual bicara buku ini dalam sebuah rancangan TV Indonesia di sini)

Sesekali jika anda inginkan novel yang mengimbau kenangan zaman persekolahan, rasanya novel ini cukup bagus untuk memenuhi hasrat itu. Seperti kata saya awal-awal tadi, ayat-ayatnya yang nostalgik dan jujur sangat dekat dengan lumrah jiwa seorang pelajar. Lagi-lagi setelah kita bersusah payah menempuhi zaman itu dan di penghujungnya kita bertemu impian yang diidam sejak dulu, seperti enam sekawan itu.

"Sesudah kami mengerahkan segala ikhtiar dan menggenapkan dengan doa, Tuhan mengirim benua impian ke pelukan masing-masing. Kun fayakun, maka awalnya awan impian, kini hidup yang nyata. Jadi jangan pernah remehkan impian, walau setinggi apa pun. Tuhan sungguh Maha Mendengar."

*Buku ini buku pertama dari trilogi 5 Menara. Buku kedua sudah terbit di Indonesia dengan tajuk Ranah 3 Warna. Sumber gambar di sini.

HelaianRindu: Tidak mampu tulis banyak lagi Saat ini mendengar lagu Jalan Masih Panjang dendangan Edcoustic, kena sungguh dengan mood baris-baris akhir kisah ini. 


Ogos 14, 2010

Setengah Berisi, Setengah Kosong?


Judul: Setengah Berisi, Setengah Kosong?
Penulis: Parlindungan Marpaung
Penerbit: PTS Millennia
Tahun: 2008
Harga: RM25
Bil. mukasurat: 272

Buku ini merupakan hadiah dari seorang teman akrab, Zarif, lebih setahun lalu sempena ulangtahun kelahiran saya (baru sekarang membacanya!). Mirip buku motivasi Chicken Soup for the Soul yang popular di Barat. Kandungannya adalah anekdot-anekdot, catatan pengalaman ringkas, dan juga lelucon-lelucon yang disertakan dengan pengajarannya yang tersendiri mengikut perspektif penulis.

Tajuk Setengah Berisi, Setengah Kosong itu memperihalkan aspek yang dipersembahkan melalui anekdot-anekdot yang disertakan. Bermula dari secawan gelas yang diisi separuh dengan air, adakah penonton akan mengatakan gelas itu separuh berisi, atau adakah anda akan berkata ia separuh kosong? 'Melihat sesuatu melalui sudut pandang berbeza'--inilah yang menjadi inti nasihat yang dikemukakan.

Buku ini dibahagikan kepada lima bahagian. Setiap bahagian terkandung cerita-cerita yang disaduri tema yang sepadan. Bahagian-bahagian itu adalah Kasih Sayang, Komunikasi, Motivasi, Profesionalisme, dan akhir sekali Tingkah Laku. Lebih kurang sepuluh kisah dimuatkan dalam setiap satunya.

Penulis cuba membawa perspektif lain pada kisah-kisah tersebut, yang sesetengahnya pernah kita dengar atau baca. Saya juga mendapati ada anekdot yang pernah saya terima melalui forwarded email, ada yang saya terbaca di majalah-majalah sebagai sisipan jenaka. Kebiasaannya, cerita yang saya dapat itu dipandang pada sudut jenaka semata-mata. Tetapi penulis mengambil secubit pengajaran bukan sahaja dari penghujung cerita seperti yang kita biasa lakukan. 

Kadangkala, penulis mengambil contoh dari tengah kisah yang kecil sifatnya dan mungkin kita lepas pandang, tetapi hakikatnya isu itulah yang mempengaruhi keseluruhan cerita dan memberi pengajaran terbesar.

Saya masih ingat kata-kata teman saya di akhir sebuah program yang saya ikuti tidak lama dulu:
"Jangan pandang apa yang program ini beri pada kita, tetapi fikirkan apa yang telah kita sumbangkan untuk menjayakan program ini!"

Lihat, betapa pentingnya untuk kita memandang dari sudut berbeza! Cara ini membantu kita muhasabah dengan lebih baik.

Penulis Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam buku terbarunya Secangkir Teh Pengubat Letih ada menyatakan, "Siapa kamu menentukan cara kamu melihat. Kesannya pula ialah, cara kamu melhat menentukan apa yang kamu dapat." Bermakna, pengajaran-pengajaran yang diekstrak dari sebuah cerita tentunya berbeza mengikut sudut pandang kita. 

Tidak semestinya kita terikat dengan penjelasan yang disediakan penulis. Sekiranya ada sudut pandang yang positif dan bermakna buat diri kita untuk dikongsikan dari cerita yang sama, apa salahnya untuk mengambil pengajaran yang berbeza? Setiap orang mempunyai pengalaman hidup yang berbeza-beza, sekaligus menjadikan penerimaan kita terhadap sesuatu peristiwa juga berbeza-beza. Tentunya, semua bergantung pada niat: Apa yang ingin kita cari dari sebuah buku@peristiwa dan sebagainya?

Sayangnya, pengajaran yang dimuatkan tidak dirangkumkan dengan nilai Islami, jauh sekali mengimplementasi dalil-dalil. Mungkin disebabkan penulis ingin meluaskan skop audiens yang membaca bukunya, yakni tidak tertumpu kepada muslim semata-mata. Sebagai sebuah buku motivasi, malah berasal dari Indonesia yang berbilang agama, tidak hairanlah buku ini ditulis seperti sekarang. Tentunya, pembaca tua atau muda boleh membacanya kerana isinya yang bersifat umum.

Buku ini dicadangkan penerbit untuk mereka yang inginkan minda sentiasa positif dan kreatif. Juga bagi mereka yang inginkan inspirasi yang menjadikan anda kekal optimis. Sekiranya anda  sememangnya orang yang bersifat begini, mungkin tidak perlu lagi membaca karya ini. Tidak salah membacanya, tetapi saya rasakan masih banyak buku yang lebih baik dan lebih penting untuk diladeni untuk anda yang sudahpun positif.

Sekiranya anda tercari-cari idea untuk memberi penyampaian pada orang lain, mungkin buku ini sesuai. Ustaz Hasrizal sendiri, selalu menggunakan pendekatan cerita-cerita pendek sebegini dan memberi pengajarannya mengikut tema yang disampaikan. Dia juga pernah mencadangkan untuk pembaca mengambil manfaat dari buku ini dalam sebuah artikel di laman sesawangnya yang bertajuk Antara Optimis dan Pesimis.

(Saya juga belum menghabiskan keseluruhan buku ini, cuma menelaah beberapa kisah dari bahagian-bahagian tertentu sahaja!)

Antara kisah yang termuat, Keajaiban 1 Dolar 11 Sen; Setengah Berisi, Setengah Kosong; Telinga Si Ibu; Harga Waktu Ayah; Burung Kanada; Membakar Jambatan; Aku Bukan Ayam; dan lain-lain.

HelaianRindu: Harap Zarif sihat selalu. Jom main air sabun dan krim kek! Haha.


Ogos 11, 2010

Ramadhan, Tetamu Yang Dirindui

Judul: Ramadhan - Tetamu Yang Dirindui
Penulis: Abdul Hadi Awang
Penerbit: PTS Islamika
Tahun: 2009 (cetakan ketiga)
Harga: RM12
Bil. mukasurat: 133

Alhamdulillah, sekali lagi kita dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadhan Al-Mubarak. Di serata dunia umat Islam meraikannya dengan pelbagai cara dan gaya. Tentunya dimeriahkan lagi dengan pelaksanaan solat sunat tarawih setiap malam, dan juga pesta tadarus Al-Quran di rumah, masjid mahupun di tempat awam yang lain.

Bagi saya pula, tahun ini terasa sedikit aneh, kedatangan Ramadhan biasanya dirasakan bahangnya; tetapi tahun ini berbeza. Sedar-sedar saya sudah berada di bulan yang mulia ini! Masa memang sudah sebegitu pantas berlalu...

Tentunya bagi orang yang hendak menyediakan diri dengan sepenuhnya pada bulan ini perlu fasih dan arif tentang puasa khususnya di dalam bulan Ramadhan ini. Antara satu cara untuk mempersiapkan diri adalah dengan mencari bahan bacaan, tidak kiralah melalui buku, majalah mahupun internet. Di waktu ini tentunya artikel-artikel menarik dan ilmiah berkenaan puasa sudah diterbitkan di akhbar-akhbar dan majalah-majalah. Pencarian bahan bacaan ini menemukan saya dengan buku kecil comel berwarna biru ini.

Mungkin buku ini bukanlah rujukan lengkap mengenai Ramadhan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Tetapi, sebagai sebuah rujukan pantas, buku ini menyediakan fakta-fakta ringkas merangkumi dalil-dalil Al-Quran dan Al-hadis tentang puasa. Saiznya yang kompak dan nipis juga menjadikan sifatnya sepadan sebagai buku ulangkaji untuk dibaca di mana-mana pun.

Isinya sederhana saja, tetapi memuatkan aspek-aspek yang wajar diambil tahu oleh pembaca. Contohnya, sejarah bulan Ramadhan, sejarah puasa, peristiwa bersejarah dalam bulan Ramadhan, syarat wajib, rukun dan perkara yang membatalkan puasa. Termasuk dalam buku ini juga adalah kelebihan puasa mengikut dalil nakli, juga kelebihan dari sudut saintifik (aspek kesihatan, psikologi dan lain-lain), juga beberapa doa ringkas yang ma'thur.

Setiap bab memberi huraian secara ringkas, tetapi dapat memberi gambaran secukupnya tentang Ramadhan serta perkara-perkara lain yang terlibat.

Antara bab terpanjang dalam buku ini ialah peristiwa bersejarah dalam bulan Ramadhan. Bab ini ditekankan juga sebagai satu inspirasi bahawa puasa bukan menjadikan kita lemah. Pelbagai kemenangan telah diraih umat Islam dalam bulan barakah ini, termasuklah pembukaan kota Mekah dan Pembukaan Andalus. Banyak ilmu baru yang saya dapati khususnya dalam bab ini.

Tahun ini pula, PTS ada menerbitkan sebuah buku tulisan Zamri Zainal Abidin menjelaskan lebih lanjut peristiwa-peristiwa ini, beserta ilustrasi. Tajuknya Peristiwa Sejarah Ramadhan, dan boleh didapati jika berminat untuk mengetahui peristiwa ini secara rinci. Saya masih menanti naskhah ini dari PTS, jadi tidak tahu bagaimana bentuk kandungannya secara jelas. Insya Allah, selesai dibaca nanti saya cuba kongsikan jikalau berkesempatan.

Di samping kita menghidupkan puasa Ramadhan dengan ibadah, sama-sama kita berusaha juga untuk menambah pembacaan kita. Bukankah ayat pertama yang turunnya dalam bulan ini adalah berkenaan membaca? Bukan hanya bahan berkaitan puasa tetapi apa jua bahan bacaan asal tidak tersimpang dari landasan syariah. Lebih bagus lagi sekiranya dapat membaca bahan yang dapat meningkatkan ilmu Islam dan memberi fikrah. Insya Allah, sama-sama kita usahakan.

Bagi yang tidak tahu buku apa yang sesuai dibaca tentang Ramadhan, boleh cuba bermula dikit-dikit dengan buku ini. Jadikan buku ini panduan 'menyambut' tetamu yang sudah lama dirindui dan ditunggu-tunggu ini. Salam Ramadhan semua!

HelaianRindu: Dulu masa budak-budak mak kena masak nugetlah, ayam goreng, kentang goreng... nak suruh bangun sahur! 


Julai 25, 2010

Haru$ Kaya Macam Abdurrahman

Sempena Peraduan Mengulas Buku PTS yang sedang berlangsung sehingga awal Ogos ini, saya sempat membaca naskhah nipis setebal 125 halaman ini. Buku ini diwara-warakan sebagai sebuah bestseller di Indonesia, dan telah terjual melebihi 20,000 naskhah.

Penanda buku guna duit, boleh??

Saya Tidak Mahu Kaya Tetapi Harus Kaya (2007)
Aa Gym
PTS Millennia
125 halaman, RM19.

Tentu kita masih ingat fenomena yang pernah melanda negara kita beberapa tahun kebelakangan, tentang skim cepat kaya, peraduan gores dan menang, jana duit dengan blog dan pelbagai lagi teknik-teknik atau jalan untuk meraih wang. Tambah parah apabila rakyat cuba mendapatkan duit dengan cara yang salah, hanya kerana ingin mendapatkan kekayaan sesegera mungkin. 

Tetapi harus disedari buku ini tidak termasuk dalam kategori buku-buku yang banyak terbit ketika itu, yakni yang menawarkan teknik-teknik menjana wang, atau cara untuk melabur, berniaga dan sebagainya. Sebaliknya, pembaca dipersembahkan dengan nilai kekayaan yang sebenar dari sudut pandang Islami.

Apa yang mahu disampaikan oleh penulis dalam buku ini adalah jawapan-jawapan kepada persoalan:
  • Mengapa saya harus jadi kaya?
  • Mengapa penulis mengatakan kekayaan itu satu keperluan dan bukan lagi keinginan?
  • Bagaimana cara untuk menjadi kaya menurut perspektif Islami?

Menurut penulis, kekayaan harta sebenar-benarnya hanyalah nilai tambah atau kekayaan bonus selagimana kita mencari terlebih dahulu lima jenis kekayaan. Kekayaan tersebut adalah, kekayaan semangat (idea), kaya input (ilmu), kaya gagasan (pengalaman), kaya ibadat dan akhir sekali kaya hati. Formula kaya ini ditulis sebagai GIGIH + H, setiap huruf pada GIGIH itu melambangkan setiap satu dari lima kekayaan tersebut, dan H di hujung itu adalah kaya harta, bonus bagi mereka yang berjaya mencapai lima kekayaan itu.

Berbanding buku motivasi biasa, bagusnya buku ini kerana penulis mendatangkan dalil-dalil Al-Quran, hadis-hadis, sirah dan juga kata-kata ulama' yang memberi contoh jelas kepada kita setiap subtajuk yang dipersembahkan.

Selain huraian dalam bentuk teks, sesetengah tajuk, contohnya dalam bab Mengubah Sikap, terdapat ilustrasi dalam bentuk peta minda untuk memudahkan ingatan pembaca dan meningkatkan kefahaman dengan lebih cepat tentang jenis sikap dan kesannya. Perkara yang patut diberi perhatian atau poin-poin yang memberi gambaran utama pula, ditonjolkan dengan tulisan tebal di dalam petak berwarna.

Namun, ada formula yang boleh kita senaraikan sendiri, dan tidak semestinya terikat dengan apa yang disampaikan penulis. Contohnya formula 7B, antaranya, bekerja, belajar, beribadat--semuanya hanya kata kerja yang dimulai dengan awalan be-, jadi tidak salah jika kita melebihkan lagi sifat-sifat yang dirasakan baik, asal tidak bertentangan dengan syariat tentunya.

Sejarah memperlihatkan kita dengan peribadi contoh Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Auf yang kaya harta tetapi tetap bersifat zuhud serta qanaah. Bagi mereka harta itu satu nilai tambah semata-mata, dan tidak bermakna sekiranya tidak dimanfaatkan pada jalan dakwah. Bagi mereka, tiada apa-apa pun tidak mengapa, kerana bak kata Abu Bakar, cukuplah bagiku Allah dan RasulNya. Abdul Rahman bin Auf pula menjadi takut dan khuatir, takut-takut hartanya yang banyak diperolehinya dari perniagaan itu menahannya dari memasuki syurga. Sedangkan mereka ini telah dijanjikan syurga!

Kekayaan harta kadang-kadang juga boleh menjadi fitnah, dan menjadi punca kekufuran. Lihat saja pada Qarun. Sebab itulah penulis menekankan aspek rohani sebelum aspek materi. Tidak salah berharta, tetapi sekiranya tiada iman yang membentengi diri dari dikuasai nafsu tamak, tiada gunanya.

Isi yang menarik perhatian saya dalam buku ini adalah tentang pembahagian rezeki. Ada tiga jenis rezeki yang dihuraikan, iaitu rezeki yang dijamin, rezeki yang digantung, dan akhir sekali rezeki yang dijanjikan. Apa dia dan dalilnya, ada di dalam buku ini untuk anda baca.

Mungkin ramai yang sudah tahu dan faham tentang isu 'hakikat kaya' ini, tetapi tidak salah membaca naskhah ini bukan? Penulis Zamri Mohamad pernah menguar-uarkan idea yang dilaungkan oleh Takeshi Yoro melalui bukunya Baka no Kabe (Dinding Kebodohan), iaitu "Apabila kita berkata kita sudah tahu, terus dinding kebodohan akan dibina." Jadi, setiap kali membaca sebuah buku, pastikan kita tidak bersifat skeptikal dan menganggap sudah cukup berilmu. Siapa tahu di dalam buku yang ringkas ini ada secebis ilmu baru yang tidak kedapatan di mana-mana?

Oh ya, jom meriahkan peraduan mengulas buku PTS! Maklumat lanjut boleh dilayari di laman webnya, di sini.

HelaianRindu: Statistik tahun 1996 mengatakan rakyat Malaysia hanya membaca purata 2 buku setahun. Tahun 2005, sebuah lagi kajian dijalankan ke atas 60, 441 rakyat Malaysia, dan bilangan purata buku yang dibaca setahun masih tak berubah! Sedangkan orang Jepun membaca purata sebanyak 40 buah setahun! Kita ini masih belum kaya sikap dan ilmu nampaknya...


Julai 16, 2010

Salju Sakinah

Judul: Salju Sakinah
Penulis: Zaid Akhtar
Penerbit: PTS Millennia
Tahun: 2008
Harga: RM26 
Bil.mukasurat: 559

"Jangan nama saja Sumayyah, tapi lekas sangat mengalah."

Sumayyah. Nama watak utama dalam karya penulis mapan Zaid Akhtar ini mengetuk-ngetuk jiwa saya. Masakan tidak? Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid. Ketika syariat masih belum turun, dan syahadah baru sahaja diucapkan, imannya boleh begitu teguh, jiwanya begitu yakin. Tegal apa? Dia betul-betul faham apa yang disampaikan nabi.

Begitulah watak Sumayyah dalam Salju Sakinah, dia tidak henti-henti diuji. Berbekalkan tiupan semangat arwah ayahnya, dia yang baru pulang dari Jordan menuntut agama, terpaksa terjun dalam bidang keusahawanan yang ditinggalkan ayahnya itu. Kemudian dalam menjaga sakit uminya, kakaknya pula didapati terlibat dalam sebuah ajaran sesat. Terus-terusan diuji, dia juga dilanda duga jiwa: Siapa lelaki yang mampu merawat hatinya dan melindunginya di kala dia perlu teduhan?

Kesediaan Seorang Daie

Sumayyah memaparkan kepada kita ciri seorang daie yang amat penting dan perlu kita contohi, iaitu kesediaan dan kesanggupan yang berterusan dalam menyampaikan mesej dakwah. Ya, bukan senang untuk menjadi orang yang sentiasa bersedia, apatah lagi dalam membawa tugas berat seperti ini. Dalam novel ini, Sumayyah ditugaskan oleh ustazahnya yang tinggal sekampung dengannya untuk menyampaikan kuliah untuk para jiran wanita di kampung-kampung sekitar kerana tidak menang tangan. Sumayyah perlu sentiasa cerdas dalam memikirkan tajuk yang sesuai, metodologi penyampaian, dan maklumat yang wajar diketengahkan agar mesejnya sampai dengan efektif.

Daie juga harus bersedia untuk menghadapi masalah dalam keluarga, bukan dalam masyarakat semata-mata. Apabila kakak sulung Sumayyah didapati terlibat dalam sebuah ajaran sesat, Sumayyah sentiasa resah memikirkan solusi terbaik yang dapat membawa kakaknya kembali ke pangkal jalan, juga demi memperbaiki hubungan kekeluargaan mereka yang rosak kerana isu itu.

Zaid juga menyelitkan isu-isu semasa (sewaktu novel ini disiarkan secara bersiri sepanjang 2005 di dalam akhbar Utusan Malaysia), tentang politik dan sosial, bagi menggambarkan seorang daie perlu arif dalam pelbagai bidang.

Muslimah Contoh

Sebagai seorang lulusan agama, Sumayyah menjadi contoh untuk para pembaca, khasnya muslimah, untuk menjaga hubungan sesama manusia dan lebih utama, Tuhan. Aspek muamalah sangat ditekankan oleh penulis. Sememangnya cinta itu menjadi sebuah persoalan dalam novel ini, tetapi lebih wajar jika kita perhatikan cara berhubungan lelaki-perempuan yang didatangkan.

Bercakap mengenai wanita, tentunya kita akan kaitkan dengan emosi. Perasaan dan cara fikir seorang wanita pasti berbeza dengan seorang lelaki. Zaid telah menulis watak-watak muslimah dengan keperibadian yang cantik dan mulus. Mereka mengekang perlakuan bersandar nafsu dan emosi, dan menjadi citra terbaik pembawaan iman dalam kehidupan--bagaimana iman mampu mengawal sikap dan akhlak seseorang. Mungkin bunyinya sedikit idealistik, tetapi inilah yang wajar dicontohi. Watak yang kurang elok juga dimasukkan (Zaleha, jiran Sumayyah yang pesimistik, kuat cemburu dan suka memfitnah) demi membuat perbandingan sikap baik-buruk yang perlu menjadi teladan.

Ada yang mengatakan pembaca dapat merasakan kisah ini seperti ditulis oleh seorang wanita jika kita tidak diperkenalkan dengan penulis lebih dulu. Mungkin kerana penghasilan watak Sumayyah yang berkesan, juga kefahaman penulis terhadap peribadi seorang wanita menjadikan kesannya begitu baik. Saya tidak pasti adakah saya setuju dengan pandangan itu, tetapi sememangnya Sumayyah dan rakan-rakannya, Izzati, Fatihah, Marianis dan Hakimah telah digambarkan sebagai muslimat contoh dan ini sudah cukup sebagai pelajaran buat pembaca. 


Jikalau bercerita tentang aspek sastera, Zaid Akhtar berjaya dalam memperindah dan memperhalus Salju Sakinah melalui kosa kata dan istilah yang padan. Padan dengan latar bumi Jordan, yakni dengan istilah-istilah Arab; juga padan dengan wanita sebagai protagonis. Tidak perlu komen banyak. Antara yang saya sangat suka adalah frasa 'Sumayyah mengelopakkan senyum' yang saya kira sangat cantik dan sesuai.

Secara teknikal, ada sedikit kekurangan yang perlu diambil perhatian oleh penerbit. Kulit hadapan naskhah ini yang menampilkan wanita berpurdah saya rasakan sedikit klise. Tetapi saya anggap hal ini terjadi kerana novel ini menjadi mangsa trend novel cinta Islami yang memuncak penerbitannya waktu itu (sehingga sekarang sebenarnya masih berlaku). Lebih penting, saya dapati tiada blurb atau ringkasan buku disertakan di belakang buku. Saya membeli buku ini pun kerana telah kenal dengan Zaid dan berpuas hati dengan karya-karyanya sebelum ini. Pembaca lain yang belum kenal tentu ingin tahu tentang apa novel ini.

Kini novel tempatan sudah mula mengambil pendekatan novel-novel Barat yang dilambakkan kulitnya dengan pujian dan komen mengenai sesebuah novel itu. Apatah lagi jikalau ulasannya sama sahaja pada setiap novel. Lebih baik ulasan-ulasan ini dimuatkan di dalam. Jangan macam novel Inggeris, sikit-sikit "unputdownable", "a page-turner", "gripping"..dan macam-macam lagilah yang berulang-ulang, hanya memualkan pembaca saja. Tidak bermaksud komen pada kulit itu tidak bagus, cuma cukuplah satu atau dua terpilih untuk menghiasi kulitnya. Kemudian isinya terpulang pembaca menilai.

Sekarang penulis sedang menyiarkan novel bersiri bertajuk 'Bianglala Bosphorus', sekuel kepada novelnya Rona Bosphorus di majalah ANIS. Jika suka Salju Sakinah, saya cadangkan kalian baca Tunggu Teduh Dulu karya Faisal Tehrani. Berkenaan wanita dan keusahawanan juga. 

HelaianRindu: Menunggu 1 Ogos. Video "The Chosen One" Maher Zain keluar hari tu  nanti.

Oktober 16, 2009

Syumulnya Islam: Fikah Luar Negara

Judul: Fikah Luar Negara: Mudah Praktik Islam di Mana-mana 
Penulis: Maszlee Malik, Hamidah Mat 
Penerbit: PTS Millenia 
Tahun: 2008 (cet. kedua) 
Bil. mukasurat: 137 
Harga: RM19.00

Sebelum melanjutkan pelajaran saya sempat membeli buku ini secara online, tetapi tak dapat membawanya sekali atas alasan berat beg yang akan dibawa sudah melebihi had berat yang ditetapkan. Sesampai di rumah senior di Birmingham saya terpandangkan naskhah yang serupa di rak bukunya.

Maka sementara tiada bahan untuk dibaca lebih baik saya pinjam dahulu, lagipun buku saya yang di Malaysia itu takkan mahu tunggu saya balik baru hendak dibaca, betul?

Dahulu, di sekolah, antara yang terawal saya belajar di dalam usrah adalah mengenai Islam dan ciri-cirinya. Islam disifatkan dengan syumul, yakni sempurna. Dan syumulnya Islam terletak pada pelbagai perkara,  sempurnanya pada ketelitian syariat, dan bukan sahaja implementasinya sempurna, Islam juga ingin menyempurnakan fitrah kita sebagai manusia. Malah melalui pembacaan buku ini saya dapati timbul lagi  dua ciri lain Islam: Thabat dan juga Murunah.

Tetap dan anjal atau fleksibel.

Apa maksudnya di sebalik ciri-ciri ini? Biar saya cuba memberi satu tamsilan. Iklim empat musim termasuklah musim sejuk di sesetengah negara menyebabkan sedikit sukar untuk kita berwuduk kerana air yang terlampau sejuk (ataupun air paip dari heater yang terlampau panas). Malah apabila tiba bab membasuh kaki untuk wuduk, di England contohnya, digambarkan orang tempatan sebagai tidak beradab, malah akan mengotorkan tandas-tandas.  Yalah, demi membasuh kaki, kaki diangkat masuk ke sinki, malah memercikkan air di sana sini. Tentu umat Islam tidak mahu dipandang serong dalam hal ini. Ya, thabat iaitu tetap itu ikut terpancar darihal ini. Kerana untuk sah solat kita, wuduk mesti dilaksanakan terlebih dahulu dalam keadaan dan suasana apa sekalipun, jika tidak boleh perlulah bertayammum. Ini adalah thabat dan takkan berubah sama sekali. Namun, rukhsah (keringanan) timbul sekiranya ada masyaqqah (kesukaran) mengiringi kehidupan seharian kita. Di sinilah muncul ciri Islam yang ketiga disebutkan tadi: Murunah, iaitu fleksibel. Cara pelaksanaan solat dan wuduk itu mampu berubah berdasarkan situasi semasa kita pada ketika itu.

Saya suka berkongsi kata-kata penulis dalam buku ini mengenai sikap jahiliyyah dan taksub kepada kejahilan. Katanya, rakyat Malaysia khususnya, kebanyakannya terlalu berpegang kepada satu-satu ajaran sahaja. Ada juga segelintir yang terlalu berpegang pada kata-kata tok guru mereka dan langsung tidak membuka ruang untuk tok guru lain mengutara pendapat sehingga menuduh yang itu dan ini sesat dan sebagainya. Malah bagi saya sendiri yang mengalami perubahan suasana di dalam dan luar negara juga ingin mengatakan yang kita di Malaysia sudah terlalu 'biasa dengan kebiasaan' sehinggakan minda kita tertutup untuk menerima pelaksanaan ibadah yang berbeza dengan apa yang dilakukan kita sehari-harian. Apatah lagi, masyarakat kita suka benar melatah, cepat melenting dan memarahi bila timbul isu sekecil 'imam tak membaca bismillah dalam al-Fatihah' sebagai contoh.

Padahal, jika kita memahami isi kandungan buku ini kita akan faham bahawa Islam itu sangat mudah, ia cuba memudahkan dan meringankan penganutnya! Solat jamak contohnya, bukan saja rukhsah untuk orang yang bermusafir, malah jika kita melakukan kerja yang sangat sibuk pun kita dibolehkan menjamakkan solat, cuma syaratnya berbeza. Itulah, saya terkenang kuliah Fiqh Musafir yang disampaikan oleh Ustaz Erfino Johari Rabu lalu, dia mengatakan rakyat kita terikat dengan pemusatan (centralization) dan standardisasi. Maknanya, kita telah dipusatkan dengan pembelajaran pada satu-satu kaedah khusus, dan diletakkan satu silibus standard dalam masalah-masalah fiqh sebegini. Sebab itu boleh timbul di negara kita istilah 'Fiqh Luar Negara' yang tak pernah wujud dalam 'kamus' fiqh, sedangkan permasalahan itu boleh saja diamalkan di mana-mana pun, dalam negara pun boleh terlaksana!

Namun harus diingat, ibadah itu tidak sah jika tidak disertai dalil. Memang islam itu mudah, tetapi jangan sesekali kita mempermudah-mudahkan mahupun mengambil mudah hal-hal ibadah ini. Ibadah tidak menerima inovasi. Contohnya apabila Amina Wadud yang menggemparkan kita dengan memimpin solat Jumaat dengan makmum perempuan dan lelaki bercampur dalam saf yang sama. Dengan sebab itulah, dalam perbincangan fiqh buku ini ditulis dengan dalil-dalil dari hadis yang menyelongkar perbezaan situasi dan pendapat demi memudahkan pembaca memahami letak duduk pelaksanaan ibadah dengan sumber yang betul.

Pun begitu, Ustaz bertanya pada kami: Kenapa wujudnya mazhab dan pandangan berbeza, apakah muslim tak boleh bersatu dalam aspek ini? Bukankah mereka menggunakan hadis yang sama sebagai rujukan?

"Lebih banyak pandangan dalam fiqh, bukan menandakan keserabutan, tetapi kayanya ilmu Islam; ia bukan kekangan tapi kemudahan!" Begitu jelas ustaz.

Selain perkara-perkara solat, turut dimuatkan adalah persoalan makanan seperti babi, pemakaian dan juga khutbah. Bab khutbah itu saya setuju benar dengan isinya, tapi tak dapatlah saya nak kongsi semua sekaligus. Mungkin lain kali sahaja.

Fikah Luar Negara sangat sesuai dijadikan panduan bagi mereka yang berkelana di luar Malaysia. Tetapi ingat, sebenarnya banyak yang boleh diamalkan di Malaysia sendiri. Mari kita sama-sama berfikiran terbuka dan terus mengkaji dan meyelidik permasalahan dalam agama.

Faqqihna, ya Allah.

HelaianRindu: 'Berbanggalah jadi umat Islam!' pesan Ustaz Erfino Johari.

Ogos 27, 2009

Bukti-bukti Sains & Sejarah: Kerasulan Muhammad

Judul: Bukti-bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad (Edisi Kemas Kini)
Penulis: Dr. Danial Zainal Abidin
Penerbit: PTS Millenia
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 197
Harga: RM 29.00


Lewat buku ini penulis terkenal Dr. Danial, merungkai pelbagai bukti mengenai perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir. Bukti sejarah dibentangkan melalui pernyataan-pernyataan yang tertulis dalam beberapa kitab suci utama dunia, seperti Bible, Vedas, dan Buddha. Nyata menghairankan bukan? Bagaimana kita boleh menggunakan ayat-ayat daripada kitab-kitab tersebut apabila kita tidak tahu kesahihannya, siapa yang menulis atau menyampaikannya, dan isinya yang menyimpang dengan akidah?

Saya tertarik menyelongkar mengenai Bible dan isinya ketika mula membaca karya Dan Brown, The Da Vinci Code. Takut keliru mana fakta mana fiksi, maka buku ini antara usaha saya mencari jawapannya. Sebelum penulis mengambil ayat-ayat dari dalam Bible untuk dijadikan hujah Muhammad sebagai utusan Allah yang akhir, beliau memperincikan dulu autoriti Bible, sejarah penulisan, kesalahan-kesalahan dan pengakuan ahli sejarah dan tokoh kristian mengenai Bible sendiri. Hal ini penting agar pembaca tidak terus semena-mena menghadam isi Bible bilamana Bible itu sendiri BUKAN manuskrip asal Injil lagi. Manuskrip asal Injil sememangnya telah terhapus.

Antara yang disebutkan mengenai kerasulan Muhammad SAW ialah di mana dia lahir, kaum dan keturunan baginda dan jumlah pengikutnya. Terkandung juga nama-nama seperti Mahammudim, Himdah, Paracletos--yang memberi maksud baginda, membawa Shalom yakni Islam untuk umatnya. Orang Kristian menganggap ayat-ayat yang berkaitan adalah perihal Nabi Isa atau Jesus, tetapi jika menelitinya dengan baik-baik ternyata ia merujuk kepada Nabi Muhammad SAW.

Bukti dalam kitab Hindu pula menyebut Nabi Muhammad sebagai utusan terakhir atau Kalki Avatar. Tiga lagi nama yang membawa maksud 'Yang Terpuji' contohnya Ahammidhi (Ahmad), nama ibu dan bapa baginda dan berbagai-bagai lagi fakta ada tercatat dalam Vedas dan Purana. Tidak kurangnya juga dalam kitab agama Buddha, di mana Gautama Buddha sendiri berpesan kepada pengikutnya mengenai utusan akhir zaman ini. (Nama-nama ini saya temui buat pertama kali di dalam 1511H [KOMBAT}] karya Faisal Tehrani, mungkin ada yang perasan. Juga salah satu sebab saya membeli buku ini.)

Tidak cukup dengan itu, dikukuhkan pula melalui sirah Nabi sendiri. Tokoh-tokoh Musyrikin pada zaman baginda seperti Abu Jahal mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW sendiri! Selain itu juga, bukti-bukti sejarah seperti ramalan dalam Al-Quran, sifat dan peribadi Nabi yang tiada cela dan cacatnya, semuanya dijelaskan bagi menampakkan betapa Muhammad memang utusan yang ditunggu-tunggu semua.

Bukti-bukti sains pula adalah dalil naqli saintifik dari Al-Quran dan As-Sunnah. Perihal Big Bang dan kewujudan subpartikel di dalam Al-Quran misalannya, adalah bukti Al-Quran itulah sebenar-benar kalam Tuhan, dan tentunya Rasul ummi yang membawanya itulah utusan Dia.

Paling menyentuh nubari adalah ketika membaca pelbagai testimoni tokoh-tokoh bukan Islam, kebanyakannya paderi Kristian, yang mengakui kepalsuan Bible dan ajaran Kristian kini, dan akhirnya menemui hidayah untuk memeluk agama Islam. Saya sangat-sangat mencadangkan anda membaca buku karangan Ahmad Deedat bertajuk The Choice. Di dalamnya terkandung pembongkaran panjang lebar di mana salah silapnya Bible, dan juga ada kenyataan sama tentang Muhammad di dalam Bible sebagaimana terkandung dalam buku ini.

Sangat kagum dengan penulis kerana beliau mampu membuat kajian yang holisitk mengenai subjek ini. Nota hujung buku ini adalah buktinya. Beliau banyak merujuk sumber bahasa Inggeris dan diterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu, di samping mengekalkan teks inggeris sebagai rujukan. Ini memudahkan pembaca memahami setiap hujah. Melalui buku ini saya yakin The Da Vinci Code karangan Dan Brown bukanlah terlalu fiksi sekarang, khususnya apabila Brown meyatakan ketuhanan Nabi Isa/Jesus adalah hasil perbincangan majlis khas...ya, ada benarnya, kerana memang ada sebuah majlis khas yang menentukan isi agama Kristian pada abad ke-13 dahulu, kerana sebelum itu pada 1215, Tuhan masih dipercayai sebagai ESA, bukan tiga seperti dalam Tritunggal!

Buku ini menjadi antara koleksi yang amat berharga saya, dan pasti saya akan ulang baca.

Baca ulasan The Da Vinci Code saya di sini.

helaianRindu: Angkuh, sebab itu ramai masih tak mahu percaya--sebijik macam Abu Jahal dengan sikap asabiyahnya.

Related Posts with Thumbnails