Ogos 30, 2009

Rindu Bau Pohon Tin

Judul: Rindu Bau Pohon Tin
Penulis: Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit: Galeri Ilmu
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 165
Harga: RM18.00


Dalam satu dua bulan kebelakangan ini rakan-rakan saya semuanya sibuk menyediakan dokumen dan packing itu ini demi melanjutkan pelajaran ke luar negara. Musim ini semuanya tertumpu ke Amerika Syarikat ataupun United Kingdom dan Ireland. Yang ke Timur Tengah sudahpun terbang dua tahun yang lalu, kerana sesi persediaan mereka cuma 3 bulan sedang yang ke negara orang putih ini paling lama 2 tahun sesi persediaannya.

Dalam sibuk-sibuk itu, ramai yang cemas dan gentar, disebabkan ada yang mengatakan tidak cukup bersedia, mental mahupun fizikal. Mungkin secara mental lebih ramai yang menghadapi masalah, yalah, akan ke negeri orang yang penduduknya lain budaya, bahasa dan cara hidup. Tentu ramai masih tertanya-tanya apakah mereka sudah bersedia untuk hidup berdikari dengan berjauhan daripada keluarga.

Belajar itu adalah sebuah perjalanan jihad. Nafar menuju maslahat ummah. Itu pesan awal Ustaz Hasrizal dalam bukunya yang paling baru ini. Jadi, sememangnya akan ada susah senang dalam perjuangan. Mungkin ada yang belum bersedia, tetapi dengan melalui pengembaraan itu sendirilah, pengalaman akan mengajar kita suka duka hidup di negeri orang. Bersedia atau belum, kita akan ketahuinya setibanya kita di sana nanti.

Kenapa pohon tin yang terpilih menjadi tajuk buku ini? Kerana isinya adalah berkaitan catatan penulis sendiri semasa belajar di Jordan sejak 1993 di Mu'tah. Bau pohon tin itu adalah salah satu perkara yang sangat disenangi penulis, memberi kesan nostalgik yang teramat, sehingga kadang-kadang sekarang di pasar raya penulis sendiri mengambil peluang mencium bau buah tin dan zaitun...sekalipun buah-buah itu diimport dari California!

Kenapa Timur Tengah?

Dalam buku ini penulis menceritakan betapa istimewanya bumi Jordan. Mu'tah khusunya, adalah tempat bersejarah yang menempatkan makam tiga sahabat Rasulullah SAW yang syahid. Lewat sesi kuliah, peribadi profesor dan pensyarah serta telatah pelajar-pelajar dan masyarakat Jordan waktu itu, saya juga memandang Urdun satu tempat istimewa. Diceritakan betapa layanan yang diberikan oleh jiran-jiran Arab di Mu'tah kepada pelajar Malaysia begitu baik sekali ketika itu. Namun saban tahun situasi ini berubah apabila pelajar Malaysia semakin ramai. Bukan tidak terlayan, tetapi kerana sikap yang ditonjolkan.

Penulis menyatakan rasa kecewanya apabila pertambahan pelajar-pelajar malizi ini bukanlah menambah calon-calon ulama' tetapi hanya melahirkan perilaku yang tidak baik pula. Sesetengah ibubapa menghantar anak-anak mereka ke Timur Tengah semata-mata bertujuan menjadikan mereka 'manusia'. Memang tidak dinafikan di sinilah bumi para sahabat dan ilmuwan Islam dilahirkan, tetapi tambah penulis, jangan lupa Jordan sendiri bersempadan dengan negara haram Yahudi, Israel. Sejak perjanjian damai antara Jordan dan Israel dimeterai, perubahan mendadak berlaku kepada Jordan dan menjadikan suasana tidak seperti dahulu lagi. Justeru hal ini sedikit sebanyak membawa pengaruh buruk buat masyarakat tempatan dan sekitarnya. 'Manusia' yang diharap-harap itu mungkin boleh lahir, tatapi ada kemungkinan lahir pula 'manusia yahudi'.

Saya juga ada mendengar khabar-khabar angin yang tidak baik melanda rakan-rakan saya di sana. Harapan saya biarlah itu hanya khabar yang melayah seketika di telinga saya dan bukan suatu kebenaran. Saya masih memandang Timur Tengah sebagai destinasi istimewa mengaut mutiara ilmu Islam. Biar sehebat mana perubahannya, tentu masih ada individu yang benar-benar ingin mengutip mutiara-mutiara itu dan akhirnya bakal menjadi tokoh ilmu yang disegani suatu hari nanti.

Antara perkara lain yang termuat dalam buku ini adalah mengenai pengkhianatan kepada institusi khutbah, tragedi sedih melibatkan kematian sahabat penulis, perjalanan haji di tanah haram bersama pasangan warga emas yang sesat; kadang terisi dengan cerita hidangan-hidangan istimewa hanya boleh didapati di Jordan, serta cebisan-cebisan ilmu Islam tersampai dari kuliah-kuliah.

Penyampaian yang indah oleh penulis mampu menggamit kita kepada nostalgia lama. Ditulis menggunakan diksi Jordan dan selitan ayat quran, hadis dan pepatah arab; bersama selingan nasyid dan puisi ciptaan penulis sendiri. Disertakan dengan beberapa gambar kenangan, travelog ini sesuai dibaca oleh mereka yang bakal bergelar mahasiswa luar negara. Dan pastinya cukup khas bagi yang akan belajar di Jordan dan Timur Tengah. Simpanlah sebagai bahan tarbiah dan peringatan diri.

helaianRindu: Khabarnya ada kurma Israel terjual di Tesco.

Ogos 29, 2009

Israel Is Not Real

Judul: Israel Is Not Real: Negara Palsu di Tanah Rampasan
Penulis: Anwar M. Aris
Penerbit: Alam Raya Enterprise
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 152
Harga: RM18.00


Tatkala bom dan ledakan fosforus putih menyelubungi Gaza seperti cerawat-cerawat dari langit hujung 2008 lalu, media dari pelbagai negara terus mewara-warakan tragedi ini sebagai 'konflik Israel-Palestin' yang tak berpenghujung. "Konflik", bukankah itu satu propaganda dunia!? Dan kita terus-terusan juga menggunakan istilah itu apabila menceritakan krisis yang melanda umat Gaza. Sedar atau tidak, kata-kata itu melambangkan yang kita telahpun mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. Sedangkan, Israel hanyalah perampas tanah orang. Tanah suci umat Islam umumnya; umat Islam Palestin khususnya. Penulis mencanangkan idea ini untuk mengingatkan kita letak duduk perkara sebenar, dan peranan media kini dalam memutarbelit isu. Mungkin nampak remeh, tetapi sedarlah bagi umat Palestin ini satu penghinaan!

Buku ini menelusuri perjalanan umat Yahudi dalam membentuk sebuah negara sendiri. Bermula dengan idea yang dikemukakan oleh seorang Yahudi bernama Theodore Herzl, idea pembentukan ini diteruskan tahun demi tahun walaupun dia telah mati. Setelah beberapa lama berusaha, akhirnya atas bantuan England, mereka berjaya masuk ke bumi Palestin dan mengganyang negara tersebut. Orang-orang Islam di Palestin terpaksa menjadi pelarian. Dan dari situ bermulalah projek 'pemenjaraan' orang Islam di tanah mereka sendiri. Penjara terbesar di dunia!

Menggamit semula tragedi bersejarah itu, saya sejujurnya masih puji usaha-usaha negara-negara jiran seperti Mesir, Joradn, Syria dan lain-lain ketika itu. Mereka sedaya upaya menentang Israel dengan segala kelengkapan perang yang ada. Perang 6 hari, Perang Abu-Ageila, dan pelbagai lagi perang, kecil ataupun besar berlarutan demi mempertahankan negara umat Islam. Semangat yang kuat dan mendalam akhirnya membawa kepada pembentukan Hizbullah yang membawa gelombang baru penentangan Israel.

Tetapi, sekarang fenomenanya adalah sangat berlainan. Pengkhianatan demi pengkhianatan berlaku. Awal 2009 lepas Mesir tidak mahu membuka sempadan mereka demi menyelamatkan warga Palestin yang tercedera. Lebih menyedihkan, Presiden Mesir Hosni Mobarak sendiri mahu Israel ledakkan Gaza. Januari tahun ini juga, Mufti Arab Saudi, Syaikh Abdul Aziz As-Syaikh mengharamkan pengecaman ke atas Israel. Saya masih ingat lagi, isi sebuah buku yang saya baca lama dulu, tajuknya Gerakan Freemasonry: Musuh dalam Menghancurkan Islam oleh Hj. Nik Azran Muhamed dan Hj. Mohd Mahadi Isa. Ketika pemimpin Hamas Syeikh Ahmad Yassin masih hidup, dia melontarkan teguran sinis dalam sebuah amanatnya-- teguran khusus terhadap orang-orang Arab yang hanya berdiam diri, dan bersikap endah tak endah akan isu Palestin ini. Beliau berkata,

"...sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah mati (lumpuh). Aku bukan seorang penceramah yang lantang yang mampu menggegarkan semua tempat dengan suaraku (yang perlahan ini). Aku tidak mampu untuk ke mana-mana tempat bagi memenuhi hajatku kecuali mereka menggerakkan (kerusi roda)ku. Aku, yang diserang pelbagai penyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan.

"Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang menimpa diriku turut menimpa bangsa Arab sehingga menjadikan mereka begitu lemah? Adakah kalian semua begitu wahai bangsa Arab, kaliandiam membisu dan lemah, atau adakah kalian semua telah mati binasa??" (hal. 19-26, Gerakan Freemasonry)

Harus diingat, biarpun 'cili' ini khusus untuk 'dimakan' bangsa Arab, kita sebagai umat Islam wajar 'terasa pedasnya' yang tanah suci ketiga kita dirampas sewenang-wenangnya.

Buku ini juga antara lain memuatkan prakata oleh Dr. Syamsuddin Arif yang menceritakan pengalamannya sedari dalam kapal terbang dari Frankfurt ke Tel Aviv sehinggalah jejak-jejaknya di bandar tersebut. Buku ini terbahagi kepada 3 episod, episod pertama mengenai tangga-tangga menuju penubuhan Israel melalui usaha Founding Father Theodore Herzl, episod 2 ketika berlangsungnya pelbagai perang sekitar Tanah Arab setelah Israel menjejakkan kakinya di Palestin, dan episod akhir mengandungi isu-isu semasa berkenaan reaksi masyarakat dunia terhadap tragedi yang melanda Palestin.

Terkenang pula lawatan saya ke Muzium Negara minggu lepas, yang mengadakan pameran khas kemerdekaan mengenai Rentetan Darurat di Tanah Melayu bermula 1948. Ketika itu masayarakat Malaya dibunuh, tempat tinggal dihancurkan, dan bas dan keretapi dibakar dan dimusnah. Dan saya teringat...

...seperti itu juga, bermula tahun yang sama kita diisytihar darurat, Yahudi yang jahat itu membina negara haramnya di Palestin!

Israel IsNOTReal!

helaianRindu: Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan, moga membawa gelombang kesyukuran dalam diri kita...apatah lagi di bulan Ramadhan ini...haruslah kita insaf.

Rooftop Rant

Judul: Rooftop Rant
Penulis: Hlovate
Penerbit: Jemari Seni
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 538
Harga: RM21.00

Buat kali kedua saya membaca karya Hlovate. Naskhah ini kepunyaan adik saya, sama seperti aA+bB yang saya ulas tahun lepas. Kali ini Hlovate membawa kisah dua sahabat karib yang bertemu dan bersahabat kerana sama-sama menghadapi masalah keluarga.

Batrisya atau Trisy, seorang gadis sekolah yang agak tomboy, tertekan kerana terabai dari kasih sayang keluarga, baik ibubapa mahupun adik-beradiknya sendiri. Tempatnya menumpang kasih hanyalah orang gajinya. Manakala seorang lagi, pemuda 20-an bernama Zaid atau Jade, menghadapi sedikit inferiority complex apabila dibanding-bandingkan dengan abang dan adiknya yang berjaya dalam pelajaran sedang dia cuma bekerja menjual burger di tepi jalan.

Rooftop Rant itu sendiri merujuk kepada bagaimana permulaan kepada pertemuan dan persahabatan mereka berdua. Mereka berdua mencari ketenangan di sebuah kawasan lapang di atas bumbung Wisma Topaz. Kemalangan yang berlaku di atas rooftop itu suatu hari merapatkan mereka berdua. Banyak yang disembangkan, termasuklah impian dan falsafah hidup masing-masing. Tetapi tidak berapa lama selepas itu mereka terpaksa berpisah mengambil haluan masing-masing, Trisy dengan pelajarannya, dan Jade dengan kariernya sebagai komikus.

Saya sangat-sangat jarang membaca novel cinta, kerana genre ini bukan minat saya. Tetapi kalau dihulurkan novel Hlovate saya rasa saya langsung ketepikan hal itu. Sebab saya rasa mesej Islaminya tetap kuat, meski tak dilabel sebagai novel Islami pun. Macam aA+bB pun, watak-wataknya pada separuh awal buku tentu biasa-biasa saja, tidak thiqah atau Islamik pun kelihatannya. Tapi, as the story goes on, kita akan ketemu titk-titik perubahan yang merubah karektoristik watak-watak tersebut. Persepsi, pemikiran dan pandangan watak-watak terhadap hidup akan disuntik dengan nilai Islami secara perlahan-lahan.

Persoalan ujian dikemukakan dalam Rooftop Rant. Tekanan yang dihadapi oleh Jade dan Trisy, memungkinkan seseorang putus asa dalam kehidupan. Namun, acapkali mereka menguatkan antara satu sama lain. Saling menyokong, jika satu lemah, yang satu lagi bakal membantu. Kedengarannya janggal barangkali, kerana "ukhuwwah" ini antara lelaki-perempuan, tetapi ini keistimewaan cerita Hlovate kali ini. Ingat, watak-watak ini pada awalnya langsung belum mengerti benar akan hukum dan syarat. Perpisahan mereka dari rooftop itulah merupakan titik permulaan hidup kerana Allah. Selepas itu hanya kenangan mereka sahaja yang menjadi penghubung dan penyokong kehidupan masing-masing.

Saya senang sekali dengan Hlovate. Dalam blognya juga pernah dia nyatakan begini:

"one thing, bila reading here please do not discount ur kerja, ur solat time, ur belajar time, ur office time dengan hanging around kat sini, i've the saham oso, make it good"

Bukan saja karyanya akan menghala kita berfikir ke arah kebaikan, malah penulis sendiri sentiasa mengingatkan kita apabila membaca karya-karyanya di blog, kita harus memastikan yang kita sudah solat dan tidak menggunakan masa kita yang diamanahkan untuk kerja lain untuk membaca tulisannya. Sempoi, sempoi juga, tapi tanggungjawab dan tatacara hidup jangan kita lupa!...mungkin lebih kurang itu mesejnya pada saya.

Tarikan Rooftop Rant untuk saya juga adalah pada watak Jade yang gemar melukis dan punya bakat seni yang sangat baik. Dia menerbitkan sekian banyak novel grafik. Wataknya juga tenang, kuat jiwa, tetapi tetap selamba. Juga persekitaran dunia komikus itu menarik minat saya. Saya sudah terbayang, macam mana kalau novel grafik "Rooftop Rant" yang dilukis oleh Jade di akhir buku ini benar-benar menjadi realiti. Seronok juga kalau dapat membacanya. Tentunya saya terbayang Fakhroul Anour dari Gempak dengan komik cintanya, sesuai benar kalau dia melukisnya!

Banyak lagi karya Hlovate di blognya yang belum dibukukan, dan saya yakin setiap satunya istimewa. Pada awalnya saya kurang senang dengan bahasa yang digunakan tetapi saya lihat Hlovate semakin matang dalam menggunakan bahasa yang sesuai. Rooftop Rant kelihatannya lebih kemas dan elok bahasanya berbanding aA+bB yang saya baca sebelum ini. Tapi ya, saya tak akan nafikan bahasa itu asal dapat difahami taklah sepenting mesej yang dibawanya kali ini: Allah tak akan membebankan dengan ujian yang tak termampu hamba-Nya menanggung (Al-Baqarah 2: 286) ; dan falsafah bahawa kitalah yang menentukan arah tuju hidup kita, baik atau buruk...

"Live well or live hell? We choose."

Ingin baca ulasan aA+bB? Klik sini.

helaianRindu: Orang yang terpaksa berubah takkan sebagus orang yang memaksa dirinya berubah.

Ogos 27, 2009

Bukti-bukti Sains & Sejarah: Kerasulan Muhammad

Judul: Bukti-bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad (Edisi Kemas Kini)
Penulis: Dr. Danial Zainal Abidin
Penerbit: PTS Millenia
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 197
Harga: RM 29.00


Lewat buku ini penulis terkenal Dr. Danial, merungkai pelbagai bukti mengenai perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir. Bukti sejarah dibentangkan melalui pernyataan-pernyataan yang tertulis dalam beberapa kitab suci utama dunia, seperti Bible, Vedas, dan Buddha. Nyata menghairankan bukan? Bagaimana kita boleh menggunakan ayat-ayat daripada kitab-kitab tersebut apabila kita tidak tahu kesahihannya, siapa yang menulis atau menyampaikannya, dan isinya yang menyimpang dengan akidah?

Saya tertarik menyelongkar mengenai Bible dan isinya ketika mula membaca karya Dan Brown, The Da Vinci Code. Takut keliru mana fakta mana fiksi, maka buku ini antara usaha saya mencari jawapannya. Sebelum penulis mengambil ayat-ayat dari dalam Bible untuk dijadikan hujah Muhammad sebagai utusan Allah yang akhir, beliau memperincikan dulu autoriti Bible, sejarah penulisan, kesalahan-kesalahan dan pengakuan ahli sejarah dan tokoh kristian mengenai Bible sendiri. Hal ini penting agar pembaca tidak terus semena-mena menghadam isi Bible bilamana Bible itu sendiri BUKAN manuskrip asal Injil lagi. Manuskrip asal Injil sememangnya telah terhapus.

Antara yang disebutkan mengenai kerasulan Muhammad SAW ialah di mana dia lahir, kaum dan keturunan baginda dan jumlah pengikutnya. Terkandung juga nama-nama seperti Mahammudim, Himdah, Paracletos--yang memberi maksud baginda, membawa Shalom yakni Islam untuk umatnya. Orang Kristian menganggap ayat-ayat yang berkaitan adalah perihal Nabi Isa atau Jesus, tetapi jika menelitinya dengan baik-baik ternyata ia merujuk kepada Nabi Muhammad SAW.

Bukti dalam kitab Hindu pula menyebut Nabi Muhammad sebagai utusan terakhir atau Kalki Avatar. Tiga lagi nama yang membawa maksud 'Yang Terpuji' contohnya Ahammidhi (Ahmad), nama ibu dan bapa baginda dan berbagai-bagai lagi fakta ada tercatat dalam Vedas dan Purana. Tidak kurangnya juga dalam kitab agama Buddha, di mana Gautama Buddha sendiri berpesan kepada pengikutnya mengenai utusan akhir zaman ini. (Nama-nama ini saya temui buat pertama kali di dalam 1511H [KOMBAT}] karya Faisal Tehrani, mungkin ada yang perasan. Juga salah satu sebab saya membeli buku ini.)

Tidak cukup dengan itu, dikukuhkan pula melalui sirah Nabi sendiri. Tokoh-tokoh Musyrikin pada zaman baginda seperti Abu Jahal mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW sendiri! Selain itu juga, bukti-bukti sejarah seperti ramalan dalam Al-Quran, sifat dan peribadi Nabi yang tiada cela dan cacatnya, semuanya dijelaskan bagi menampakkan betapa Muhammad memang utusan yang ditunggu-tunggu semua.

Bukti-bukti sains pula adalah dalil naqli saintifik dari Al-Quran dan As-Sunnah. Perihal Big Bang dan kewujudan subpartikel di dalam Al-Quran misalannya, adalah bukti Al-Quran itulah sebenar-benar kalam Tuhan, dan tentunya Rasul ummi yang membawanya itulah utusan Dia.

Paling menyentuh nubari adalah ketika membaca pelbagai testimoni tokoh-tokoh bukan Islam, kebanyakannya paderi Kristian, yang mengakui kepalsuan Bible dan ajaran Kristian kini, dan akhirnya menemui hidayah untuk memeluk agama Islam. Saya sangat-sangat mencadangkan anda membaca buku karangan Ahmad Deedat bertajuk The Choice. Di dalamnya terkandung pembongkaran panjang lebar di mana salah silapnya Bible, dan juga ada kenyataan sama tentang Muhammad di dalam Bible sebagaimana terkandung dalam buku ini.

Sangat kagum dengan penulis kerana beliau mampu membuat kajian yang holisitk mengenai subjek ini. Nota hujung buku ini adalah buktinya. Beliau banyak merujuk sumber bahasa Inggeris dan diterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu, di samping mengekalkan teks inggeris sebagai rujukan. Ini memudahkan pembaca memahami setiap hujah. Melalui buku ini saya yakin The Da Vinci Code karangan Dan Brown bukanlah terlalu fiksi sekarang, khususnya apabila Brown meyatakan ketuhanan Nabi Isa/Jesus adalah hasil perbincangan majlis khas...ya, ada benarnya, kerana memang ada sebuah majlis khas yang menentukan isi agama Kristian pada abad ke-13 dahulu, kerana sebelum itu pada 1215, Tuhan masih dipercayai sebagai ESA, bukan tiga seperti dalam Tritunggal!

Buku ini menjadi antara koleksi yang amat berharga saya, dan pasti saya akan ulang baca.

Baca ulasan The Da Vinci Code saya di sini.

helaianRindu: Angkuh, sebab itu ramai masih tak mahu percaya--sebijik macam Abu Jahal dengan sikap asabiyahnya.

The Last Olympian (Percy Jackson & The Olympians Book 5)

Judul: Percy Jackson & the Olympians Book Five: The Last Olympian
Penulis: Rick Riordan
Penerbit: Disney/Hyperion
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 381
Harga: RM5
9.90

Alhamdulillah, selepas tercari-cari buku ini dekat 2 bulan, berjaya order online Julai lepas melaui MPH. Tapi disebabkan kehabisan stok, terpaksa menunggu lagi sebulan baru boleh dapat bukunya, Rabu minggu lepas dapat melalui kurier. Sangat puas hati dan teruja, ambil masa lebih kurang sehari untuk habiskan buku akhir dalam siri Percy Jackson & the Olympians ini.

Kali lepas, dalam The Battle of The Labyrinth, Kronos, Raja Titan yang juga merangkap Raja Masa, berjaya hidup kembali dengan menguasai tubuh Luke. Anak Hades, Nico, pula mencadangkan Percy satu taktik yang berbahaya untuk mengalahkan Kronos. Dalam naskhah ini, Kronos telah mengumpulkan semua Titan, Oceanus, Krios, Atlas dan Hyperion serta merekrut dewa Greek minor, demigod (anak kacukan dewa-manusia), dan raksasa pelbagai jenis untuk menyerang dan merampas Olympus. Percy, yang diramalkan akan mati menentang Kronos demi menyelamatkan Olympus, perlu mengepalai pasukan demigod untuk melindungi Olympus yang terbiar tanpa penjaga. Zeus dan dewa Greek lain pula perlu menghentikan raksasa bernama Typhon yang sedang menuju Olympus. Perang akhir ini menentukan nasib takhta Zeus, kekal atau kembali dikuasai ayahnya Kronos.

Penulisan siri ini mungkin menjadikan pembaca sedikit janggal. Walaupun watak utamanya (Percy) sudahpun mencecah 16 tahun dalam naskhah ini, stail penceritaannya hampir tidak berubah dari buku pertama. Berbeza dengan karekter-karekter dalam Harry Potter, yang mempunyai persamaan dengan siri ini, yakni setiap buku mewakili satu tahun--pembawaan watak dalam siri popular karya J.K Rowling itu tampak matang saban jilid. Percy pula kelihatannya kekadang sedikit kebudak-budakan. Yang menampakkan kematangan Percy cumalah aspek cinta yang ditonjolkan, antaranya ketika dia perlu memilih antara dua gadis--Rachel Dare ataupun Annabeth--dan sedikit sebanyak cara bergaul dan berfikir. Tidak pasti ini satu drawback ataupun keistimewaan, ataupun kedua-duanya. Atau mungkin juga hal ini ketara kerana siri ini menggunakan sudut pandang pertama sepenuhnya dari Percy, yang sentiasa berfikir itu ini, meluahkan rasa hati, jujur melontar pendapat. Semua ini menyerlahkan keperibadiannya yang unik, biar umur bertambah, tapi personalitinya tetap sama.

Atau, mungkin saja penulis masih mahu mengekalkan genre kanak-kanak melalui siri ini, jadi untuk tidak merumitkan pembaca kanak-kanak, penulis mengekalkan stail dan bahasa yang ringkas (sesiapa pun boleh membaca buku ini kurang dari sehari). Tambahan pula anaknya ada yang mengidap dyslexia. Masih mahu menghibur anaknya dengan membaca bukunya, jadi dia memudahkannya atas sebab ini barangkali.

Mitos-mitos Greek itu sekali lagi berjaya dieksploitasi oleh penulis. Inilah faktor mengapa saya suka membaca siri ini. Namun saya rasakan plot yang diketengahkan dalam The Battle of the Labyrinth lebih mengancam, ketika mereka perlu mengembara serata Amerika Syarikat dalam labirin ciptaan Daedalus! Lagipun, watak Percy menjadi kegemaran saya juga, kerana dia adalah seorang yang selamba, acapkali ada gurauan dan jenaka dari mulut atau fikirannya. Tertawa saja saya, terutama ketika babak-babak cinta monyetnya dengan Annabeth, anak kepada Athena, dewa perang Greek.

Dewa Olympia terakhir yang dimaksudkan pada tajuk buku ini pula sebenarnya berkait rapat dengan Olympus, tempat tinggal para dewa Greek. Dewa yang dimaksudkan ialah Hestia, God of Hearth (saya tak tahu nak diterjemahkan perkataan ini secara kontekstual, "pendiangan" nampak tidak berapa sesuai walaupun secara literalnya ia agak tepat...mungkin kediaman (home) lebih sesuai). Mesej yang disampaikan Hestia adalah, sedahsyat mana peperangan, sesusah manapun perjalanan, tetap ada tempat kembali bagi semua.

Buku ini adalah buku terakhir dalam siri ini. Wrap-up yang memuaskan, walaupun rasanya siri ini masih boleh dipanjangkan sedikit lagi. Saya yakin jika ia diteruskan tentu ramai yang menyokong dan sambutan pasti sangat menggalakkan. Masakan tidak, buku pertama dalam siri ini, The Lightning Thief, bakal ditayangkan dalam bentuk filem live-action pada Februari 2010. (Saya tentu ingin sangat menonton filem itu nanti.)

Dan, lebih mengujakan, naskhah akhir ini lebih eksklusif. Di muka hadapan terlukis piktogram yang melambangkan Empire State Building di Amerika Syarikat. Olympus terletak di tingkat ke-600 bangunan tersebut. Warna hitam yang digunakan untuk kulit luar juga bukti lain. (Buku akhir Harry Potter juga menggunakan warna hitam!)

Baca ulasan The Battle of The Labyrinth (bahasa Inggeris) di sini.


helaianRindu: Mitos greek sangatlah absurd dan illogical, siapalah yang mereka-reka. macam manalah orang zaman tu boleh terima, aduhai.

Ogos 25, 2009

Terasing: Membina Idiosinkrasi

Judul: Terasing
Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: Telaga Biru
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 313
Harga: RM20


Nampaknya penulis muda ini sudah mula tunjuk belang. Dalam tahun ini saja sudah 3 buku diterbitkannya. Ini merupakan buku ketiga dan terkininya, baru saja diterbitkan bulan ini. Dua buku lain bertajuk VT dan Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita. Khabarnya ada sebuah lagi buku bertajuk Relasi yang terbitnya juga sekitar bulan ini, tapi saya masih belum ketemu lagi. Karyanya mendapat sambutan hangat, memandangkan tulisannya di blog mendapat perhatian ramai, khususnya remaja.

Berbalik kepada Terasing, Hilal mengajak pembaca merenung satu persoalan pokok: Apa akibatnya mengasingkan dan diasingkan oleh ukhuwwah dan persahabatan? Terpisah dengan Zaman sahabatnya di sekolah, Saifullah kini termimpi-mimpi akan janjinya kepada sahabatnya itu, 15 tahun dulu, yang sebenarnya tidak pernah terlupakan olehnya. Namun kemunculan Zaman secara tiba-tiba setelah hampir 12 tahun tanpa khabar berita membuatkan Saifullah lebih tertanya-tanya mengapa mimpinya datang berulang, seperti mahu dia menunaikan amanah yang terpatri itu kepada Zaman. Tapi bukankah dia telah melunaskannya?

Ketika itu juga cubaan membunuh dilakukan oleh sebuah organisasi kongsi gelap dari Jepun yang bertapak di Malaysia. Oleh kerana Saifullah keliru dan hairan apa kaitannya dengan kumpulan jenayah itu, dia dan abang iparnya Amiri menyiasat masalah tersebut setelah nyawa keluarga mereka turut terancam.

Pembaca setia bingkisan dan tazkirah di blog penulis tentu menyedari buku ini begitu 'Hilal Asyraf'. Maksud saya isi karya ini banyak yang seputar minat penulis sendiri. Penulis meminati lagu kumpulan Outlandish, dicatatnya lirik lagu kegemarannya. Meminati Jepun dan bahasanya, lalu terciptalah cerita berunsur negara matahari terbit itu. Tak hairanlah bila saya membaca karya ini terasa macam berkenalan dengan penulis pula.

Pun begitu, bagi saya di sinilah terletak kelemahan Terasing. Serasa kurang diksinya. Saifullah belajar di Jordan, Zaman belajar di Maghribi. Tiba-tiba diadun pula dengan elemen Jepun, dan berlaku di Malaysia. Tanpa sedar saya terbayang-bayang karya Ramlee Awang Murshid--Hatiku di Harajuku. Setting yang digunakan lebih kena, di mana watak-watak memang berasal dari Jepun, percakapan hanya lebih kepada bahasa Jepun dan Melayu. Jadi buku ini pula saya rasa kurang kemas pembawaannya. Tambah lagi susunan bab-bab akhir itu rasanya lebih baik tidak dikumpul bersama sebagai epilog, kerana cerita utamanya bukan mengenai Saifullah dan isterinya, tetapi lebih kepada Saifullah dan Zaman.

Tapi ini bukan bermakna ceritanya tidak bagus. Mungkin idea dan pembawaan ini sesuatu yang baru bagi saya. Ceritanya masih terancang dan berkesan. Bab-bab baitul muslim, ukhuwwah islamiyyah, muamalah dan sebagainya, serahkan sajalah pada Hilal Asyraf. Cerita sahaja pasal persahabatan, Hilal Asyraflah antara penggarap terbaik. Hubungan lelaki perempuan, nikah kahwin pun boleh serahkan pada dia. Eh, jangan anggap 20 tahun, belum kahwin belum cukup pengalaman! Dalam Terasing jiwangnya 'berbisa' juga. Tapi, secara tak langsung jiwangnya itu membawa saya memikirkan karya Hlovate pula. Itulah kata saya sebut di tajuk ulasan, Terasing memang wadah bagi Hilal untuk membina idiosinkrasinya. Di sebalik kekuatan dan kelemahan ini penulis bakal nampak di mana arah tuju penulisan, gaya dan fokusnya. Mungkin karya-karya awalnya masih kurang kemas dan sedikit 'rojak', tetapi saya yakin eksperimentasi inilah yang bakal membentuk gaya atau style penulisannya yang tersendiri.

Pun begitu, saya puji sisipan tazkirah dan motivasi serta ilmu agama dalam karya-karyanya, baik VT mahupun Terasing. Dalam Terasing, penulis ingin memberi pengajaran yang kita tidak boleh mengasingkan diri dari sahabat yang soleh, dan yang soleh pula jangan mengasingkan mereka yang hanyut. Kerana akibatnya, yang hanyut barangkali lebih hanyut, dan yang soleh pula dikecam mementingkan diri. Bukan itu saja, saya terkesan bila penulis mengatakan, "Allah tidak zalim. Manusia sahaja yang menzalimi dirinya sendiri." Kata-kata ini sesuai ditujukan pada mereka yang selalu merungut dengan hidup mereka. Mereka selalu menyalahkan takdir atas apa yang berlaku. Sedangkan mereka tak pernah berusaha untuk membina hidup yang lebih baik. Lama-kelamaan mereka sendiri yang sesat jalan, terus bergantung harap pada manusia ataupun makhluk lain. Bahan ilmiah dan nilai Islami yang diketengahkan ini insya Allah mampu mendatangkan katarsis yang baik untuk pembaca, remaja khususnya. Secara jujur, memang memberi peringatan, tazkirah dan ilmu dalam karya itulah kelebihan penulis. Pengalamannya ketika belajar, biar di sekolah mahupun di universiti mengukuhkan lagi kesan cerita yang digarapnya. Selain itu, sebagai mahasiswa produk Timur Tengah, latar dan idea Terasing merupakan sesuatu yang unik dan lain dari yang lain. Kebolehannya menukangi sebuah cerita berlatar pelbagai budaya patut dipuji.

Walau apapun komen saya terhadap karya ini, respon tersebut hanyalah pendapat peribadi. Bak kata Prof. Dr Sahlan Mohd Saman (pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di UKM), semua hasil tulisan adalah pilihan dan kecenderungan pengarang sendiri, kerana ini adalah poetic licence milik penulis yang telah diiktiraf seluruh dunia (rujuk Masitah, Mawar Shafei, DBP). Yalah, takkanlah hanya kerana dia penulis baru, dia perlu ikut telunjuk orang semata; nanti di mana letak identiti asal penulisannya bukan? Saya sedar kebebasan kreatif itu masih hak milik penulis. Namun harus juga disedari apabila sesebuah karya telah diterbitkan, pembaca juga ada haknya untuk mengkritik (rujuk Imam, Abdullah Hussain, DBP/Utusan). Penulis baru seperti Hilal Asyraf masih jauh perjalanannya, dan banyak lagi ruang membina idiosinkrasinya.

Cumanya, ada beberapa kesilapan yang saya kesani. Satunya, Zaman dan Saifullah berpisah 15 tahun yang lepas, dan selepas 3 tahun mereka langsung terputus hubungan. Maknanya, dah 12 tahun mereka tak tahu khabar berita. Tapi kalau baca blurbnya dikatakan 11 tahun. Ada juga dalam buku ini disebut 13 tahun. Keliru pula jadinya. Dan lebih hairan, katakan peristiwa dalam Terasing berlaku pada tahun ini (2009, disebabkan ada disebut mengenai selesema babi), tak mungkin 15 tahun lalu sahabat berdua itu sudah ada akaun Friendster dan Facebook (hal. 24, Saifullah claim yang mereka terputus hubungan antaranya kerana akaun-akaun tersebut seperti tak digunakan lagi oleh Zaman), sedangkan Friendster ditubuh pada 2002, dan Facebook lebih baru lagi, iaitu pada 2004!

helaianRindu: 1 down, 2 to go.

Ogos 24, 2009

Koleksi Baru!


Isnin (hari ini) saya bercadang mengambil slip keputusan A-level di Shah Alam. Tapi saya dahpun datang ke KL hari Sabtu lepas. Bayangkan 3 hari duduk KL, pergi ke Shah Alam pagi-pagi, diberitahu Head Programme cuti seminggu.Maka kenalah saya ambil slip itu minggu depan. Kecewa jugak. Tapi untung ada yang mengubati. Sempat membeli-belah buku di MPH Mid Valley. :)

Tajuk-tajuk yang saya beli hari ini:
1. Saladin karya Stanley Lane-Poole. Karya klasik yang ditulis pada tahun 1898, mengisahkan tentang Sultan Salahuddin Al-Ayyubi, dari kaca mata barat dan Muslim. Khabarnya karangan ini sangat popular dan menjadi rujukan ramai pihak kerana autentisitinya. Betul juga, kalau tidak takkan mampu bertahan seabad lamanya?

2. Terasing karya Hilal Asyraf. Nampaknya penulis muda yang baru bertapak ini dah mula menunjukkan belangnya. Novel mengenai akibat mengasingkan dan diasingkan oleh ukhuwwah. Sudahpun habis membaca, akan direviu dalam sehari dua ini. (Kesian dengan penulis, saya dah berjanji mereviu dua buku sulungnya lama dulu, tapi takpelah saya dahulukan dengan Terasing.)

3. Bukti-bukti Sains dan Sejarah: Kerasulan Muhammad karya Dr Danial Zainal Abidin. Semester akhir dulu, terjumpa buku ni di dalam bilik rakan sebelah. Terjumpa edisi kemaskininya tadi, jadi sebab tak dapat baca hari tu, beli terus lagi senang.

4. Setitik Darah di Bilik Bundar karangan SN Muhammad Haji Salleh. Sudah lama saya mengimpikan mengumpul karya-karya Sasterawan Negara ini, sekurang-kurangnya satu buku bagi setiap SN. Buku ini adalah kumpulan sajak dan puisi kembara penulis sendiri. Menarik!

5. Lamunan Puitis: Sebuah Trilogi karya SN Shahnon Ahmad. Puas saya menimbang-nimbang karya SN mana patut saya beli. Tadi ada kumpulan cerpen tebal A Samad Said, tapi disebabkan harganya RM40, saya memilih dua buku ini. Saya tak sempat meneliti ringkasan buku ini lagi, tapi yang pasti ia gabungan tiga novelet yang tak berkait.

Sekarang saya masih membaca Salina karya A Samad Said. Mula membaca buku ini 2 hari lepas. Agak-agak bila boleh siap?

helaianRindu: Ingat duit kau banyak lagi? Berhutang je kerjanya. (Menyindir diri sendiri)

Ogos 20, 2009

The Da Vinci Code

Judul: The Da Vinci Code
Penulis: Dan Brown
Penerbit: Corgi
Tahun: 2003
Bil. mukasurat: 593
Harga: RM34.90

Saya mengenali Angels and Demons lebih dahulu ketika tahun 2005, dan ketika tahun berikutnya saya cuba untuk membaca The Da Vinci Code kerana pada tahun itu filemnya ditayang di panggung. Namun apabila saya mengetahui isinya banyak berkisar sekitar agama Kristian, saya takut untuk membaca, takut-takut punya isi yang berpengaruh (semacam perasaan bila saya terlihat salib), apatah lagi Angels and Demons yang saya sebelum itu tidak sampai separuh pun, kerana waktu itu masih terlalu banyak kosa kata Inggeris yang tak diketahui (dan untuk merujuk kamus, maaf saya agak malas masa itu). Jadi saya biarkan saja tajuk-tajuk ini berlegar di dalam kepala.

Sehinggalah awal tahun ini, saya ketemu berita bahawa Angels and Demons telah dijadikan filem dan bakal ditayangkan dalam bulan Mei. Teringat akan bacaan yang terhenti dulu, saya terus membeli kesemua buku Brown sekaligus secara online tanpa fikir panjang.

Usai saja membaca bahagian pertengahan buku ini, saya sedar, tak hairanlah kecaman dan bantahan terus-terusan dihentam terhadap filemnya pada tahun 2006 dulu. Penganut Kristian beramai-ramai memboikot, malah membakar dan memijak-mijak poster-poster filemnya. Tak kurang juga orang Islam sendiri mengecamnya. Kenapa?

Kerana, dalam buku ini Brown mengemukakan pendapat kontroversi mengenai Jesus Christ, yang dia bukanlah anak Tuhan dan hanya seorang manusia biasa yang dilantik menjadi seorang nabi. Lebih menggemparkan Jesus juga dikatakan berkahwin dengan seorang wanita yang bernama Mary Magdalene, setahu saya dia juga antara para hawari, tetapi mengikut cerita orang Kristian Mary merupakan seorang pelacur. Gereja Katolik juga, dalam The Da Vinci Code, digambarkan sebagai institusi yang kejam, penuh konspirasi, dan sanggup melakukan apa saja demi menutup fakta tersebut, hinggalah ke hari ini.

The Da Vinci Code ialah pengembaraan Robert Langdon yang kedua, selepas Angels and Demons. Robert, seorang profesor simbologi, telah dituduh membunuh kurator museum Louvre, Jacques Sauniere, di Paris. Namun, atas bantuan cucu kurator tersebut, Sophie Neveu, mereka berjaya mengelak dari ditangkap. Sebelum kurator tersebut maut, dia meninggalkan wasiat berupa anagram kepada mereka berdua. Dalam saat cemas melarikan diri dari cengkaman pihak polis Perancis, Sophie dan Robert membongkar rahsia yang dahsyat: Jacques Sauniere adalah seorang ahli utama The Priory of Sion, sebuah organisasi underground yang punya misi untuk mendedahkan sejarah sebenar mengenai Jesus, melindungi keturunanannya dan maklumat mengenai Holy Grail dari cengkaman Gereja Katolik, yang selama ini membawa ajaran yang bertentangan. Organisasi ini turut menyenaraikan Isaac Newton dan Leonardo da Vinci sebagai ahli. Robert dan Sophie harus berdepan dengan musuh Priory, iaitu Opus Dei, yang juga mencari kebenaran mengenai Jesus itu dengan satu tujuan: memusnahkannya.

Jujurnya, buku ini tidak sehebat mana. Lambakan blurb yang memuji-muji kehebatan penulis kadang-kadang memualkan saya. Ya, memang kebanyakan buku berbahasa Inggeris menggunakan cara ini untuk menarik minat pembaca membelinya, walaupun kadang-kadang ia tidak sebaik yang dicatat. Kenapa saya katakan ia tak sehebat mana? Kerana bosan mungkin. Dengan leretan sejarah yang direka-reka. Dengan leretan tafsir simbol yang entah benar atau tidak. Secara peribadi, Angels and Demons saya rasakan plotnya lebih meyakinkan. Apatah lagi saya takut dengan fakta berani penulis yang Nabi Isa telah berkahwin.

Apapun saya puji kelebihan Brown dalam mencipta teka teki dan kod. Tak tersangka, teka-teki yang diwasiatkan oleh Sauniere sentiasa mempunyai 2 maksud. Dan kepandaian Brown memanipulasi hasil karya seni da Vinci dan senibina Piramid oleh I.M. Pei di Louvre juga begitu baik. Walaupun saya bukan peminat karya da Vinci, membaca novel ini membuatkan saya ingin sekali menjejaki Musée du Louvre ini untuk meneliti Mona Lisa dan Madonna of the Rocks antaranya. 'Memfiksikan' sains dan sejarah mungkin memang bidang penulis. Tambahan lagi, Nabi Isa berdasarkan sejarah Islam memang hanya seorang Nabi dan manusia biasa, bukan anak Tuhan, dan saya mesti bersetuju dengan perkara ini. Juga dikatakan Bible itu bukanlah dari Tuhan, tetapi dari manusia semata. Ada benarnya, Injil telah dicampuri dengan tangan-tangan manusia. Sekurang-kurangnya membaca naskhah ini membuka mata dan pemikiran pembaca mengenai keagamaan dan ketuhanan.

Kalau berminat membaca The Da Vinci Code, saya cadangkan pinjam sahaja. Tak berbaloi sangat membelinya. Kalau dapat menonton filemnya sahaja pun tak mengapa, lebih jimat masa dan filemnya pun tak dipotong banyak mana. Juga pesan saya statement penulis di mukasurat depan jangan percaya sangat. Kalau tak percaya, ada sebuah artikel dalam wikipedia, khusus menperjelas di mana salah silap 'fakta' yang dikemukakan. Boleh klik sini.

Juga boleh baca ulasan saya tentang Angels & Demons di sini.

Cuma boleh setuju dengan satu daripada reviu mengenai buku ini, kita takkan melihat catan The Last Supper (dan, karya seni lain) macam dulu lagi!

helaianRindu: Teringat pada Claude Monet dan catan-catan 'Impressionism'-nya. Suka benar.

Ogos 19, 2009

Bertemu Janji Allah

Judul: Bertemu Janji Allah
Penulis: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit: Anbakri Publika
Tahun: 2008
Bil. mukasurat: 190
Harga: RM17.00


Kita memang tahu kelak kita akan dibangkitkan di akhirat, dihisab dan ditentukan destinasi abadi. Yang berdosa diazab neraka, yang beramal soleh menjejak ke lawang syurga.

Kita tahu itu. Tapi...

Benarkah ia semudah apa yang disebut-sebut itu?

Dalam buku karangan Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas ini, kita disajikan dengan pengetahuan tentang hari akhirat dan peristiwa-peristiwa yang bakal terjadi di alam baqa' itu nanti. Memang, si pembuat maksiat akan diazab, tapi tahukah kita sejauh mana azabnya azab Ilahi di akhirat? Berapa lama kita akan berada di Mahsyar? Langsung tidak sama dengan hidup kita di dunia, masa mahupun kesengsaraannya. Tercatat dengan jelas dalam buku ini, kata Hasan Al-Basri:

"Pada hari itu semua muka manusia terpaksa memandang ke atas, kerana mereka tidak mahu memandang sesama manusia yang berwajah sedih, cemas dan resah disebabkan masing-masing di dalam kesusahan.."

Ya, pada hari itu, keluarga, sahabat handai, kenalan rapat sekalipun tidak dipedulikan. Kata-kata itu jelas menunjukkan yang melalui Hari Kiamat ini bukan semudah apa yang kita fikir atau sangka.

Lewat naskhah ini, Tuan Guru menceritakan detik-detik cemas, suka-duka dan susah senang ketika berada di Padang Mahsyar kelak. Penulis memperkenalkan kita dengan nama-nama hari akhirat yang begitu banyak, yang setiap satunya menggambarkan peristiwa, ataupun suasana pada hari tersebut. Hei, nama lain hari akhirat bukan kiamat saja! Yaumul Hisab (Hari Kira Bicara), Yaumus Syahadah (Hari Bersaksi), Yaumul Qisas (Hari Pembalasan), atau nama lain yang barangkali jarang sedikit kita dengar, seperti Yaumut Toomah (Hari Yang Melimpah), Yaumun Nadamah (hari Penyesalan) dan Yaumut Tabdil (hari Tukar Ganti). Setiap bab didekasikan untuk lebih kurang dua hingga tiga nama hari kiamat, beserta perincian akan maksud dan kejdian yang membawa nama tersebut.

Mungkin ada yang beranggapan, ah sudah bosan dengar hari akhirat, perkara yang sama juga, dosa pahala, syurga neraka. Tapi saya yakin, ramai lagi di luar sana yang belum mengetahui nama-nama yang saya sebut tadi. Itu baru sedikit, ada berpuluh lagi yang disenaraikan. Juga, penulis banyak memuatkan dalam peringatannya, teguran sinis buat khalifah ataupun pemimpin, khususnya mereka yang tidak menjalankan hukum Allah yang sepatutnya. Tambahnya lagi, hari itu kita akan disoal oleh Allah secara langsung, tanpa sebarang perantaraan. Hadis Rasulullah ada menjelaskan hal ini, yang bermaksud:

"Tidak ada seorang hamba pun yang dibangkitkan dari kubur pada hari kiamat, melainkan mereka akan berhadapan dengan Allah SWT tanpa juruterjemah."

Yakinkah yang kita boleh terlepas apabila berada sebegini langsung dengan Allah? Sedarkah kita anggota tubuh juga bakal menjadi saksi di perbicaraan kita nanti?

Namun, tidak dilupakan, ada juga perkhabaran mengenai mereka yang beriman, yang berlaku adil sebagai pemimpin; dan ganjaran yang menanti. Sebagai inspirasi bagi mereka yang belum menyedari akan tak tergambarnya balasan syurga itu. Saya sangat tertarik dengan sebuah hadis yang sangat panjang (maksud hadis yang ditulis dalam buku ini mencecah 4 mukasurat, lihat hal. 177-180, bab 36) yang menceritakan mengenai perkara-perkara yang Rasulullah SAW sendiri lihat. Peristiwa-peristiwa yang baginda lihat itu, semuanya berkisar tentang individu-individu yang diganjarkan Allah dengan limpah rahimNya hanya kerana satu amalan yang mereka lakukan. Ada yang dikelilingi syaitan yang ingin menyesatkan, tetapi amalan zikrullah itu menghambat syaitan-syaitan itu; ada yang didatangi Malaikat Azab yang sudah bersedia mengazab, tetapi diselamatkan oleh amalan solat fardhu dan sunatnya; tidak kurang juga yang terlalu dahaga, dan dihalau orang bila diminta olehnya untuk seteguk air, yang akhirnya didatangi amalan puasa orang tersebut membawa air sehingga hilang dahaganya; dan lebih hebat apabila orang yang sedang menjunam jatuh ke dalam kawah neraka diselamatkan oleh airmatanya kerana sesalan melakukan maksiat di dunia dahulu, menyambarnya, dan terkeluarlah dia dari neraka itu. Hadis ini memang amat panjang, ada lebih kurang 19 kisah disebut dalam hadis tersebut. Jadi jangan fikir amalan baik itu remeh, biar seseni apa sekalipun. Kutip sampah, ucap alhamdulillah selepas bersin, menyikat rambut..kita tak tahu amalan apa yang mampu menyelamatkan kita kelak!

Bagi saya, sudah tentu ilmu baru ini bermanfaat. Yang sudah tahu, tentu saja ini baik dijadikan tazkirah untuk menyegarkan kembali ingatan kita tentang hari akhirat. Cumanya, saya rasa isi buku ini kurang teratur, kerana kadangkala ada beberapa nama akhirat yang sama maksudnya, tetapi dibincangkan dalam bab-bab berlainan. Ada juga 2-3 isi dimasukkan dalam bab yang sama tetapi kurang kemas kerana tak ada perkaitan antara huraiannya. Mungkin penulis ataupun penerbit boleh meneliti hal ini. Rasanya pembaca lebih senang menghayatinya jika diatur mengikut maksud. Lebih senang mengingat.

Ramadhan pun sudah sangat hampir, jadi saya cadangkan buku ini sebagai persediaan kita, agar kita sentiasa beringat yang mati itu pasti tiba...

Anda juga boleh dapatkan buku Bertemu Janji Allah 2, yang juga sudah lama ada di pasaran.

Sama-sama kita beringat. Moga kita sentiasa di jalan redhaNya, Amin.

helaianRindu: bak kata Hlovate dalam Rooftop Rant, "to live well or to live hell? We choose."

Ogos 17, 2009

Angels and Demons

Judul: Angels and Demons
Penulis: Dan Brown
Penerbit: Corgi
Tahun: 2001
Bil. mukasurat: 620
Harga: RM34.90

Teruja benar membaca naskhah karya Brown ini. Agak ketagihan juga menghadam isinya. Barangkali kerana saya sukakan misteri dan organisasi rahsia (terbayangkan V.F.D kesukaan saya dalam A Series of Unfortunate Events karya Daniel Handler). Atau mungkin juga kerana deretan rekaan seni ambigram dan penyelesaian teka-teki yang menguja penaakulan. Robert Langdon dan Vittoria Vetra, dua protagonis cerita ini, dalam masa kurang daripada 24 jam perlu menjejaki pencuri partikel berbahaya dari pusat kajian nuklear CERN di Geneva, iaitu antijirim (antimatter), yang mampu menjana letupan hampir 5 kiloton. Pencuri ini turut membunuh ayah Vittoria, dan lebih mengejutkan pembunuh ini mendedahkan dirinya sebagai ahli sebuah organisasi lama--Illuminati--yang dipercayai sudah pupus 400 tahun lalu. Kini mereka muncul kembali untuk membalas dendam terhadap Gereja Katolik di Vatican City atas apa yang berlaku lama dulu dengan menggunakan antijirim tersebut. Demi tujuan itu juga, 4 orang paderi Preferiti, yakni calon utama untuk menggantikan Pope yang baru meninggal dunia, telah diculik oleh mereka.

Maka, dalam kurang dari 24 jam Langdon dan Vetra harus segera menjejaki Illuminati melalui labirin Path of Illumination yang menunjukkan kedudukan markas kuno rahsia mereka--mencari antijirim ini sebelum ia meletup dan cuba menyelamatkan paderi-paderi tersebut dalam masa yang sama.

Semakin saya membaca, semakin tertanya-tanya, yang mana fakta dan yang mana fiksi? Pelbagai reaksi pembaca timbul dari fakta-fakta yang dikemukakan oleh Brown. Dikatakan Illuminati memang oragnisasi yang wujud, tapi sejauh mana kebenaran fakta sejarah mengenai ahli dan keterlibatannya dengan Gereja Katolik seperti yang tercatat dalam novel ini?

Sebenarnya, banyak yang tidak benar kerana Brown menggunakan pendekatan pseudo-sejarah. Gabungan realitas dan mitos mengenai Illuminati ini dijalin dengan peristiwa sejarah Galileo Galilei dilarang Gereja menyebarkan fakta heliocentrism pada 1616 telah membentuk suatu sejarah fiksi yang hampir saja menyebabkan pembaca percaya. Apa yang mengejutkan saya ialah hasil seni dan skulptur sekitar Rom dan Vatican City yang dimanipulasikan oleh penulis untuk membentuk labirin Path of Illumination itu begitu meyakinkan, sepertinya, markas itu memang wujud, apatah lagi artwork Bernini yang ditampilkan sebagai petunjuk memang dibuat khas berdasarkan 4 dari elemen pancabuta--bumi, angin, api dan air.

Saya sempat menonton filemnya, dan setelah membandingbeza, biarpun banyak plot yang dibuang dari buku (prosedur biasa untuk adaptasi buku ke filem) filemnya saya rasakan lebih memberangsangkan. Lebih terasa fast-paced dan cemas, tidak seperti dalam buku. Proses penciptaan antijirim di makmal juga diubahsuai berdasarkan teknologi terkini dan lebih logikal. Penggunaan watak yang dirasakan terlalu banyak dalam novel telah diminimumkan dan diubah karektoristik yang lebih baik, di bahagian mana-mana yang patut, menyebabkan saya menonton filemnya 3-4 kali.

Saya sangat tertarik dengan lakonan Ewan McGregor sebagai chamberlain Patrick McKenna (atau dalam buku Carlo Ventresca) ketika babak ucapannya kepada paderi-paderi mengenai sains dan agama (juga ada di dalam buku, tetapi sedikit berbeza isinya) yang saya kira sangat meyakinkan. Katanya, "...science and religion are not enemies. There are simply some things that science is just too young to understand." Ingat kata-kata Einstein?

"Science without religion is lame, religion without science is blind."

Sains dan agama, khususnya Islam, adalah selari pada fitrahnya. Tidakkah kita lihat tanda-tanda agung suatu kuasa yang Maha Pencipta? Letupan Big Bang contohnya. Kalau di dunia kita lihat letupan bom di mana-mana, tapi yang muncul hanya kemusnahan, keruntuhan, dan bencana. Namun di sebalik Big Bang, letupan yang sangat besar itu membentuk satu semesta yang agung, cantik dan tiada langsung cacat-celanya--bukan orak-arik seperti kesan letupan di muka bumi! Biarpun novel ini tidak mengarah kepada Islam, tetapi dalam konteks umum, kita harus ingat agama dan sains tidak harus dipisahkan. Sains memerlukan Islam sebagai wacana dan batasnya, bukan kajian membabi buta sehingga sanggup mengklon manusia!

Lain daripada itu, Angels and Demons juga membawa banyak persoalan berat berkenaan akidah yang saya rasa elok untuk buat pembaca berfikir. Cukupkah keyakinan kita akan kekuasaan Allah? Dapatkah kita berhujah jika kita diperdebat hebat oleh para ateis? Angels and Demons sedikit sebanyak membuka persoalan ketuhanan dan keimanan ini.

Minat saya pada hasil seni dan monumen lama yang bersejarah juga antara sebab saya terus membaca buku ini. Kaya dengan haril arkitektur dan seni sekitar Rom dan Vatican City, karya ini seharusnya ditatapi bagi yang meminati bidang ini, dan tentunya lebih baik jika dapat menonton filemnya sekali. Karya Bernini seperti Habakkuk & the Angel dan Ecstasy of St. Theresa, serta rekaan senibina St Peter's Basilica oleh Michelangelo akan lebih jelas nilai estetikanya dalam filem, apatah lagi jika pembaca seperti saya tidak berpeluang melihatnya di Itali.

Pesan saya, fiksyen tetap fiksyen, maka jangan hanya terima semata, kaji dan gali maklumat dahulu, jangan terus percaya 100%.

Untuk bacaan tambahan mengenai fakta dan fiksi sejarah Angels & Demons klik sini atau mengenai sains antijirim di sini.

helaianRindu: Cuti lama, tangan ni pun dah keras agaknya. Dah lama tak melukis dengan serius.

Ogos 16, 2009

Bila Tuhan Berbicara

Judul: Bila Tuhan Berbicara (BTB)
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Ameenbooks
Tahun: 2007
Bil. mukasurat: 374
Harga: RM21.90


Ingat lagi peristiwa tsunami 26 Disember 2004? Bagaimana di Acheh, ombak yang mampu mencapai 30 meter tinggi itu menghancur dan meranap segala yang dialui, tetapi akhirnya sebuah masjid kukuh berdiri di tengah-tengah padang jarak. Bukankah jelas ini bicara Tuhan? Peristiwa ini diambil sebagai inspirasi untuk premis BTB, namun dalam bencana berbeza, iaitu gunung berapi VEI-8 di Danau Toba meletus--Singapura mungkin tenggelam!

Novel/drama BTB mengisahkan tiga orang pemuda yang bertemu secara kebetulan di dalam sebuah bunker bawah tanah tinggalan tentera ketika mencari perlindungan daripada orak-arik bencana cataclysmic tersebut. Saat menunggu dengan cemas, mereka tertidur, dan ketika terjaga, mereka mendapati dunia sudah melalui zaman ais kedua, hampir 10000 tahun di masa hadapan--dan kini berada dalam sebuah dunia baru, yang diperintah oleh seorang wanita dengan gelaran Paduka Ratu. Kenapa, terasa familiar? Ya, kisah Ashabul Kahfi. 7 pemuda yang lari dari pemerintahan Raja Decius di Ephesus, ditidurkan di dalam gua dan terbangun beratus tahun di masa hadapan. Mungkin sudah ada yang membayangkan trilogi Bagaikan Puteri karya Ramlee Awang Murshid. Klise? Tidak sekali-kali. Kisah Ashabul Kahfi bukankah kita sudah dengar saban tahun, tapi tak terlintas pula bosan, jadi makin takjub dan kagum adalah.

Drama Islam dan Homo Islamicus

(sumber: http://abiaqsa.blogspot.com/2007/07/homo-islamicus.html
Nota:
4JJ I di puncak rajah itu Allah dalam tulisan jawi)



"Sebagai seniman dan dramatis pun bila kita faham hal-hal ini dan tuan-tuan sebagai penonton pun bila faham hal-hal ini maka akan lahirlah model jiwa seniman yang Islam yang suci. Kita namakan mereka Homo Islamicus..." (hal.137)

Sebagai seorang dramatis sendiri, Faisal Tehrani menggariskan peranan-peranan drama Islam dalam membentuk peribadi individu yang menonton, Muslim mahupun tidak. Penulis menyandarkan drama Islam ini kepada gagasan teater fitrah yang dijelaskan oleh Sasterawan Negara, Cikgu Noordin Hassan. Kata beliau, teater fitrah ini perlu membawa penonton kepada menggantung atau menyandarkan diri kepada Allah (hal. 57). Dan kesannya? Lahirlah seorang homo Islamicus dengan iman yang takkan tergugat sama sekali keyakinannya oleh apa sekalipun. Enam prinsip teater fitrah ini ada dinyatakan dalam skrip drama BTB ini juga.

Mungkin rajah di atas boleh membantu kefahaman mengenai homo Islamicus ini. Perhatikan "Observation" dan "Ilmu" di atas. Menonton drama Islam sepatutnya berkesan meluaskan pengetahuan kita dalam pelbagai bidang ilmu.

Khutbah Agama?

Siapa kata drama Islam itu hanya 'khutbah agama'? Menerusi novel ini, pembaca dapat lihat tuduhan ini benar-benar salah. Perhatikan saja isinya, ada ilmu vulkanologi, ilmu sastera Islam, pengetahuan dalam bidang perubatan dan juga botani, malah sejarah dan geografi juga dimampatkan dalam drama tiga babak ini. Jangan risau, semua fakta yang diketengahkan itu insya-Allah tepat (sebab ada sebahagiannya saya cuba rujuk di internet). Tidak cukup dengan itu, tentunya ada ilmu agama itu sendiri untuk menyeimbangkannya. Ingat, Islam bukan hanya di masjid dan di surau!

Barangkali terlihat yang karya ini begitu serius; sudahlah dalam bentuk drama, penuh fakta dan tazkirah pula. Namun dalam kesriusan nada drama ini, terselit jenaka dan lelucon gaya tersendiri oleh penulis. Kadangkala satira yang dipersembahkan mungkin kelihatan berulang-ulang, tapi saya tidak pula rasa bosan atau terganggu. Antara komedi yang disertakan ialah watak-watak ini sebenarnya sedar mereka hanya berlakon di atas pentas teater; pengarah drama sendiri masuk menjadi watak tambahan yang kadang-kadang lebih-lebih pula actnya dari pelakon-pelakon drama ini sendiri; juga ketika di masa hadapan, penasihat Paduka Ratu itu menjumpai pelbagai 'kitab-kitab' lama yang tertanam jauh ke dalam bumi, yang rupa-rupanya majalah-majalah hiburan zaman kita yang penuh dengan gosip! "Mawi Tak Takut Gosip", "Siti Nurhaliza Saman Fitnah", dan "Kak Pah Lega"...ah membaca tajuk-tajuk headlines gosip ini pun dah buat saya tertawa sendirian.

Tidak kisahlah anda menghargai Bila Tuhan Berbicara sebagai sebuah novel atau sebuah drama; yang lebih penting, ilmu dalam setiap pembacaan itu jangan hanya lalu di mata, tapi sama-sama kita serap ke dalam hati dan minda.

Kalian juga boleh mengetahui lebih banyak mengenai asal-usul bangsa Melayu dan sejarah kedatangan Islam ke Alam Melayu melalui prosa segar ini.

*Lagi ulasan: klik sini, sini, sini atau sini.


HelaianRindu: Buku fiksyen tetap fiksyen. Rupa-rupanya The Da Vinci Code bukan semua yang dia claim fakta tu betul.

Ogos 14, 2009

Imam


Judul: Imam (Edisi Sasterawan Negara)
Penulis: SN Abdullah Hussain
Penerbit: DBP
Tahun: 1999
Bil. mukasurat: 691

Harga: tidak dicatat

Naskhah ini menarik minat saya ketika saya belajar di Shah Alam. Rakan saya Munir sejak membaca Imam dia terpikat untuk mengikuti karya-karya Abdullah Hussain yang lain. Buktinya di Pesta buku antarabangsa yang lalu, bila terlihat saja deretan buku-bukunya, dari novel Interlok hinggalah kumpulan cerpennya Pahlawan Tak Bernama, semua dibeleknya dan hampir saja ingin membeli kesemuanya. Saya pernah bertanya kepada Munir sebelum itu, best sangat ke baca Imam?

"Aku suka latar tempat dia, sebab dia gunakan latar kampung yang damai, ada suasana kampung yang lama, yang sekarang ni kita susah nak jumpa." Lebih kurang begitu isi jawapan Munir. Tambah dia lagi, suasana itu diceritakan dengan baik sekali.

Saya juga bersetuju setelah membaca Imam.

Namun bukan itu sebab utama Imam diangkat banyak pihak sebagai sebuah novel yang hebat. Kekuatan Imam sebenarnya terletak pada isinya, pada elaborasi dan perincian dalam penceritaannya, serta 'keberanian' penulis dalam mendebatkan isu atau permasalahan dalam banyak perkara yang 'sensitif' bagi sesetengah dari kita Muslim ataupun bangsa Melayu sendiri. Lihat saja perdebatan dalam isu perpecahan mazhab dan isu Wahhabi yang diketengahkan. Melalui apa yang saya tahu Wahhabi itu sememangnya sesat, tetapi dalam bab Inquisisi, yakni ketika Imam Haji Mihad disoalsiasat oleh pegawai dari majlis agama untuk menilai semula kredibilitinya sebagai seorang imam, penulis ada mempertahankan Wahhabi. Membaca naskhah ini menyedarkan saya terlalu banyak yang saya tidak tahu mengenai isu-isu ini, khususnya dari segi sejarah yang menyebabkan perkara ini terjadi. Juga, penulis mengetengahkan isu feudalisme. Mengikut Haji Mihad, bangsa kita menjadi tidak kreatif, tidak bebas berfikir dan menjadi bangsa yang penakut dan malas dengan mengikut adat-istiadat menyembah raja (hal. 375). Hal ini disandarkan kepada adat memohon ampun dan mengangkat sembah sebelum berbicara dengan sultan. Katanya, belum apa-apa kita sudah minta ampun, sedang dengan Allah sendiri kita diperintah memohon ampun setelah kita melakukan pelanggaran terhadap larangan-Nya. Dikatakan pula, gelaran Duli Yang Maha Mulia yang diberikan kepada Sultan itu bertentangan dengan aqidah dan boleh menjerumus kepada syirik (hal. 373), khususnya bila dimasukkan kata-kata gelaran itu di dalam doa khutbah. Hal feudalisme ini dan banyak lagi dijelaskan panjang lebar dalam bab tersebut.

Novel ini, selain 'berjiwa besar', punya daya penariknya yang lain. Antaranya cara pembawaan cerita. Dalam bab pertama kita sudah dapat mengetahui akan ada tragedi yang menimpa imam masjid Haji Salleh. Kemudian, kita dibawa ke masa lalu, mengenali watak imam melalui watak-watak lain secara perlahan-lahan; apa yang berlaku di kampung tersebut, situasi semasa, hubungan antara watak-watak, dan konflik antara orang kampung. Watak Imam Haji Mihad lebih banyak menjadi bualan orang dalam bab-bab awal. Sehinggalah bab 5 (Jihad), barulah sudut pandangan diubah kepada Haji Mihad sepenuhnya. Kenapa saya katakan pembawaan ini menarik? Kerana sedar ataupun tidak, pembaca dari awal dibenarkan membuat telahan sendiri, apakah imam ini benar ataupun tidak. Sense of judgement pembaca akan terangsang waktu ini. Tentu saja pembaca akan lebih tertanya-tanya, apa tujuan imam ini sebenarnya? Sesatkah atau benarkah cara yang dibawa oleh imam ini pada kampungnya? Sejauh mana kebenaran hujah yang diperdebatkan dalam inquisisi Haji Mihad dengan pihak majlis agama? Dan secara tak langsung pembaca bakal dahagakan kebenaran itu sendiri, dan mula mencari huraian dan penjelasan persoalan-persoalan dan isu-isu yang terbabit. Bukankah ini baik dalam perkembangan ilmu kendiri?


Perubahan atau Pembaharuan?

"Walaupun melakukan perubahan itu penuh liku dan cabaran, perubahan itu sendiri tidak dapat ditahan-tahan, seperti kata Haji Mihad, ia laksana cahaya yang terkurung yang akan mencari jalan merembes keluar melalui rongga atau retak biar seseni apa sekalipun." (hal. 672)

Asam garam masyarakat, tentu ada saja adat kebiasaan yang salah dan perlu dibetulkan, dan terlihat juga lompang-lompang pada cara hidupnya yang wajib diperbaiki. Dan tugas ini letaknya pada para pendakwah, yakni mereka yang berilmu. Masyarakat kampung ketika itu hanya pasrah dengan kehadiran musim kemarau, langsung tak mengendahkan lagi sawah dan tanaman mereka. Harga getah jatuh merudum, lalu penoreh sudah tiada semangat bekerja kerana nanti mereka bakal rugi. Orang sudah mula duduk di masjid semata-mata berdoa, berzikir, dan terus berzikir, tanpa usaha untuk menaiktaraf hidup. Kedatangan Haji Mihad sebagai imam baru di kampung tersebut mengubah persepsi dan gaya hidup masyarakat, tetapi dalam masa yang sama menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak kerana dianggap membina pengaruh, kadangkala dituduh sesat kerana terlalu banyak perubahan yang dilakukan oleh Haji Mihad, yang dirasakan bertentangan dalam Islam. Bagi sesetengah dari mereka, mereka anggap apa yang dibawa oleh Haji Mihad, contohnya mengadakan kumpulan muzik, memperindah kawasan masjid, membina gelanggan sukan di kawasan masjid, dan laian-lain lagi adalah pembaharuan dalam agama yang sengaja dicipta dan direka-reka oleh Haji Mihad. Sedangkan itu cumalah perubahan dari adat kebiasaan orang kampung, yang sebenarnya langsung tidak salah di sisi agama, bukannya pembaharuan hukum Islam.

Makin saya meneliti isi perubahan ini, makin saya teringat akan kisah sejarah, perselisihan antara Kaum Tua dan kaum Muda. Ingat lagi? Mungkin pada zaman dahulu sukar melerai ikatan tradisi pada masyarakat, tapi Alhamdulillah, saya yakin orang sekarang lebih mudah menerima teguran dan perubahan.


Ilmu dan Pengalaman

Imam bukan sahaja bernada serius tapi terselit juga humor tersendiri. Laporan yang disediakan oleh wartawan dari pejabat agama adalah buktinya. Huraian yang disediakan dalam laporan tersebut (dalam satu bab panjang, Interviu) kadang-kadang tak wajar, nonsense atau di luar kebiasaan yang membuat saya ketawa sendirian. Dan, bukan sahaja sarat ilmu agama, Imam juga sarat dengan ilmu sastera, ilmu kewartwanan, sejarah dan banyak lagi. Lihat sahaja senarai rujukan yang disediakan di halaman-halaman akhir, begitu banyak. Saya kagum! Dan tentu saja, ada disertakan pengalaman berharga penulis sendiri, yang tak mungkin kita mampu geledah dalam mana-mana buku sekalipun.

Apa yang paling menarik bagi saya ialah penggunaan bahasanya yang segar. Membayangkan Imam berlatarkan kampung, saya hanya membayangkan kosa kata kekampungan semata. Tapi, kenapa digunakan energi, bukan tenaga? Kenapa seksi (seksyen), bukan bahagian? Imam kampung berbicara tentang double standard, self-centered? Biarpun saya lambat menghabiskannya tapi inilah antara sebab saya amat berpuas hati. Dan terlalu banyak lagi sebab yang lain yang menjadikan buku ni tidak boleh tidak, bahan bacaan yang wajib ditelaah kalian.

*Imam mengisahkan Haji Mihad sebagai imam baru yang dilantik di Masjid Haji Salleh di Kampung Anggerik Desa. Perubahan-perubahan yang dibawa oleh Haji Mihad kepada penduduk kampung telah menyebabkan sesetengah orang kampung tidak puas hati. Novel ini menelusuri perjalanan jihad seorang manusia membawa dakwah untuk merubah hidup bangsa dengan cara hidup yang benar, yakni Islam.

Untuk bacaan tambahan, klik sini dan sini.

helaianRindu: Takziah buat keluarga dan sahabat Ustaz Asri Ibrahim. Semoga ruhnya dirahmati dan ditempatkan bersama para solihin.

Ogos 13, 2009

Sasterawan Negara ke-10: Anwar Ridhwan


Tahun ini, Dato' Dr. Anwar Ridhwan pula dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Berita ini dicatat dalam Utusan 2 hari lepas, maaf sedikit lambat mencoretnya di sini. Berikut petikan akhbar Utusan 11 Ogos 2009 lepas:

PUTRAJAYA 11 Ogos
- Datuk Dr. Mohd. Anuar Rethwan atau dikenali sebagai Anwar Ridhwan diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-10.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika membuat pengumuman itu hari ini berkata, penyampaian anugerah tertinggi sastera negara itu akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada satu majlis di Kuala Lumpur pada 20 Oktober ini.

Dekan Fakulti Penulisan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu pernah muncul dengan novel terkenalnya, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman yang telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa selain diadaptasikan ke pentas teater sebanyak 14 kali.


Tahniah buat Dato', moga urna-urna dunia Sastera Malaysia akan lebih meriah lagi dengan penganugerahan ini.

*helaianRindu: Seronoklah Mawar Shafei.


Ogos 11, 2009

Jangan Hanya Menonton: I Love Ramadhan

Judul: I Love Ramadhan
Penulis: Sahrulazmi Sidek
Penerbit: KarnaDya
Tahun: 2008
Harga: RM16

Bil. Mukasurat: 259

Bila tiba saja bulan puasa tentunya ramai yang promote itu ini. Laungan 'pesta ibadah', edaran tazkirah dan leaflet khas Ramadhan, terbitkan makalah dan buku macam-macam. Dalam TV dan radio pun mesti lebih hebat, ada bacaan Al-Quran, rancangan dokumentari, drama dan cerita Ramadhan, tambah lagi ceramah-ceramah istimewa. Tapi, sedar ataupun tak, lebih ramai yang membaca, mendengar, memerhati, dan menonton tapi hanya menerima semata-mata. Bukannya hendak turut serta. Majlis khatam Quran, dia jadi penonton. Diajak bersolat terawih, tak mahu turut serta.

Begitu sedikit sebanyak intipati naskhah ini.

Dalam buku ini, Ustaz Sahrulazmi mempersembahkan panduan umum yang perlu diambil tahu oleh kita sebagai Muslim dalam bulan Ramadhan. Umum di sini bererti ia lebih dekat kepada suasana masyarakat Melayu Islam khususnya di Malaysia, dan situasi yang sering berlaku di dalam bulan puasa di kawasan tempatan. Lebih baik lagi, penulis menggunakan bahasa yang santai, jadi gabungan muatan isu semasa dan bahasa ini menjadikan buku ini sesuai untuk tatapan sesi keluarga.

Banyak perkara yang dibincangkan dalam buku ini, antaranya kelebihan bulan Ramadhan, perkara yang perlu dijaga ketika berpuasa, kategori-kategori puasa, dan lailatulqadar. Turut diselitkan, pengalaman penulis ketika belajar di Jordan, dan hadis-hadis Nabi SAW serta ayat-ayat Al-Quran yang elok dihafaz dan dihayati. Eh, takkanlah kita yang sudah puasa belasan atau puluhan tahun, masih tak tahu lagi dalil yang menyuruh kita berpuasa?

Pendekatan penulis lebih kepada menggunakan analogi atau memberi situasi yang membuat pembaca berfikir. Sedikit selingan humor dengan permainan kata juga dapat 'melegakan' pembaca untuk menghirup setiap bait nasihat dan muhasabah dengan lebih baik. Gastrick atau just trick?, Puasa atau puas-puas, Bazar atau bazir, dan juga tadarus atau tidur terus antara yang menghiasi kandungan buku ini.

Selain itu? Ada zikir dan doa. Ada sirah Nabawiyah. Ada falsafah. Dan di penghujung naskhah ini disekalikan juga beberapa peringatan tentang menyambut hari raya.

Bagi saya, buku ini enak dibaca di mana-mana, setiap masa. Fokus utama penulis ialah untuk mengajak kita menggunakan peluang Ramadhan dengan sebaik-baiknya, yalah, bukankah antara kelebihan Ramadhan, pahala sunat digandakan menjadi wajib, dan pahala fardhu mengganda 70 kali? Apapun, sedikit kekurangan yang saya dapati dan rasanya mampu diperbaiki adalah isi dan analoginya yang kadang sedikit meleret, yang membuatkan saya ingin melangkau mukasurat-mukasurat yang isinya hampir sama. (Tapi, saya yakin setiap perenggan ada manfaat tersendiri, jadi saya tak ketinggalan setiap patah katanya. Cuma, bukan semua suka membaca). Ilustrasi juga ada, tapi rasanya perlu ditambah dan dipertingkatkan lagi, kerana pasti anak-anak muda lebih senang membelek isinya.

Pendek kata, buku ini adalah hidangan Ramadhan yang sarat dengan ilmu, nasihat dan motivasi, dilengkapi lelucon tersendiri yang bukan saja mengajak kita menjadi cakna, tapi dalam masa yang sama berhibur di samping menghayati sebenar-benar erti Ramadhan. Menghayati ertinya turut serta berlumba mengejar kelebihan Ramadhan, bukan hanya jadi penonton setia yang bersorak di tepi sahaja!

Penulis boleh dikunjungi di sini. Ramadhan Karim!


*HelaianRindu: Belum pun masuk bulan puasa, aku dah main bunga api baki raya lepas sebab tadi (malam) rumah blackout.


Related Posts with Thumbnails