Memaparkan catatan dengan label umum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label umum. Papar semua catatan

Ogos 11, 2009

Jangan Hanya Menonton: I Love Ramadhan

Judul: I Love Ramadhan
Penulis: Sahrulazmi Sidek
Penerbit: KarnaDya
Tahun: 2008
Harga: RM16

Bil. Mukasurat: 259

Bila tiba saja bulan puasa tentunya ramai yang promote itu ini. Laungan 'pesta ibadah', edaran tazkirah dan leaflet khas Ramadhan, terbitkan makalah dan buku macam-macam. Dalam TV dan radio pun mesti lebih hebat, ada bacaan Al-Quran, rancangan dokumentari, drama dan cerita Ramadhan, tambah lagi ceramah-ceramah istimewa. Tapi, sedar ataupun tak, lebih ramai yang membaca, mendengar, memerhati, dan menonton tapi hanya menerima semata-mata. Bukannya hendak turut serta. Majlis khatam Quran, dia jadi penonton. Diajak bersolat terawih, tak mahu turut serta.

Begitu sedikit sebanyak intipati naskhah ini.

Dalam buku ini, Ustaz Sahrulazmi mempersembahkan panduan umum yang perlu diambil tahu oleh kita sebagai Muslim dalam bulan Ramadhan. Umum di sini bererti ia lebih dekat kepada suasana masyarakat Melayu Islam khususnya di Malaysia, dan situasi yang sering berlaku di dalam bulan puasa di kawasan tempatan. Lebih baik lagi, penulis menggunakan bahasa yang santai, jadi gabungan muatan isu semasa dan bahasa ini menjadikan buku ini sesuai untuk tatapan sesi keluarga.

Banyak perkara yang dibincangkan dalam buku ini, antaranya kelebihan bulan Ramadhan, perkara yang perlu dijaga ketika berpuasa, kategori-kategori puasa, dan lailatulqadar. Turut diselitkan, pengalaman penulis ketika belajar di Jordan, dan hadis-hadis Nabi SAW serta ayat-ayat Al-Quran yang elok dihafaz dan dihayati. Eh, takkanlah kita yang sudah puasa belasan atau puluhan tahun, masih tak tahu lagi dalil yang menyuruh kita berpuasa?

Pendekatan penulis lebih kepada menggunakan analogi atau memberi situasi yang membuat pembaca berfikir. Sedikit selingan humor dengan permainan kata juga dapat 'melegakan' pembaca untuk menghirup setiap bait nasihat dan muhasabah dengan lebih baik. Gastrick atau just trick?, Puasa atau puas-puas, Bazar atau bazir, dan juga tadarus atau tidur terus antara yang menghiasi kandungan buku ini.

Selain itu? Ada zikir dan doa. Ada sirah Nabawiyah. Ada falsafah. Dan di penghujung naskhah ini disekalikan juga beberapa peringatan tentang menyambut hari raya.

Bagi saya, buku ini enak dibaca di mana-mana, setiap masa. Fokus utama penulis ialah untuk mengajak kita menggunakan peluang Ramadhan dengan sebaik-baiknya, yalah, bukankah antara kelebihan Ramadhan, pahala sunat digandakan menjadi wajib, dan pahala fardhu mengganda 70 kali? Apapun, sedikit kekurangan yang saya dapati dan rasanya mampu diperbaiki adalah isi dan analoginya yang kadang sedikit meleret, yang membuatkan saya ingin melangkau mukasurat-mukasurat yang isinya hampir sama. (Tapi, saya yakin setiap perenggan ada manfaat tersendiri, jadi saya tak ketinggalan setiap patah katanya. Cuma, bukan semua suka membaca). Ilustrasi juga ada, tapi rasanya perlu ditambah dan dipertingkatkan lagi, kerana pasti anak-anak muda lebih senang membelek isinya.

Pendek kata, buku ini adalah hidangan Ramadhan yang sarat dengan ilmu, nasihat dan motivasi, dilengkapi lelucon tersendiri yang bukan saja mengajak kita menjadi cakna, tapi dalam masa yang sama berhibur di samping menghayati sebenar-benar erti Ramadhan. Menghayati ertinya turut serta berlumba mengejar kelebihan Ramadhan, bukan hanya jadi penonton setia yang bersorak di tepi sahaja!

Penulis boleh dikunjungi di sini. Ramadhan Karim!


*HelaianRindu: Belum pun masuk bulan puasa, aku dah main bunga api baki raya lepas sebab tadi (malam) rumah blackout.


Disember 13, 2008

Best Reads of 2008

Hendak membaca buku bahasa Inggeris yang baik, tapi tak tahu memilih yang mana? Eric Forbes sediakan senarai bacaan terbaik 2008 untuk bahasa Inggeris. Gambar-gambar di atas adalah antara buku yang tersenarai. Senarai penuh klik di sini.

*Picture is also (cropped) from Eric Forbes' blog. Credits.

Disember 04, 2008

Ketentuan Sudah Cukup Cantik

Sebenarnya saya baru usai menonton sebuah animasi jepun yang cukup cantik. Dan pelbagai rasa datang pada minda setelah habis menontonnya. Ia sebuah filem yang bertajuk The Girl Who Leapt Through Time, atau mungkin bolehlah diterjemahkan kepada "Gadis yang Melompat Melalui Masa". Ah terjemahan yang merepek. Maaf. Ya sinopsis ini saya malas terjemahkan, baca ajelah ye.

Bumbling high school student Konno Makoto rides her bike recklessly, is often late to school, and does poorly on her exams. On top of that, lately she's been having odd visions and hearing strange voices. One day on her way home from school, she is again riding her bike too fast - too fast to stop herself from hitting an oncoming train. In a flash, Makoto is mysteriously transported back in time just enough to avoid the accident. After discovering her "time leaping" abilities, Makoto uses it liberally to make life more pleasant - no more tardiness, no more blown exams, no more little sister eating her pudding. When relationship issues begin to arise between Makoto and her friends Chiaki and Kousuke, she again falls back on time leaping to avoid awkward situations, only to get herself into further messes. Makoto learns the hard way that playing with time has consequences...

Ya, Makoto boleh mengembara ke masa lalu, untuk membetulkan apa yang tersilap. Tapi lama-kelamaan dia menyedari merubah apa yang terjadi padanya kadang-kadang membawa kesan yang buruk pada orang lain. Bila dia mengelak sesuatu kemalangan dengan kembali ke masa lalu, yang lain pula terkena.

Ketentuan sudah cukup cantik, itu maksud saya. Itulah Allah jadikan masa tidak boleh diputar kembali. Kalaulah boleh diputar semula, tentu dunia jadi huru-hara. Pasti semua orang ingin membetulkan kesilapan mereka. Tapi, mereka terlupa yang hasrat itu adalah demi kepentingan diri, tidak pernah terfikir yang mereka akan melibatkan orang lain. Bayangkan, jika saya meminjam kereta rakan saya untuk ke kampus, kemudian saya terlibat dengan kemalangan dengan sebuah lori. Dan saya kembali ke masa lalu untuk mengelakkannya. Mungkin, jika saya tidak mahu meminjam kereta rakan saya itu, rakan saya yang lain yang meminjamnya pulak akan dilanggar. Atau boleh jadi saya jugak akan terlibat dengan kemalangan itu, cuma dengan cara lain. Barangkali saya menunggang motosikal dan dilanggar lori yang sama. Atau, jika saya buat keputusan tak nak ke kampus sekalipun, saya akan menemui kemalangan di rumah, atau mungkin petang nanti, atau esok. Semua bergantung juga pada keputusan orang lain. Kalaulah pemandu lori tadi, ketika saya dilanggar, dia menggunakan jalan yang sama dengan saya ke kampus, dan kemudian bila kembali ke masa lampau, saya menggunakan jalan alternatif, dan dia juga buat keputusan melalui jalan yang sama? Mungkin kemalangan itu tetap terjadi, tetapi cara aje yang berlainan. Nampak kan kesannya? Itulah, Allah dahpun jadikan takdir itu cukup cantik. Dia sesungguhnya Maha Perancang. Kalau kita fikir petang ini kita hendak memancing, tetapi ditakdirkan petang itu hari hujan lebat. Kita mungkin fikir rancangan kita sudah cukup baik, yalah, pagi itu hari nampak cerah, tiada tanda akan hujan, dan peralatan pun sudah kita sediakan. Tapi, Allah Maha Tahu. Mungkin petang itu, ada kemalangan berlaku dalam perjalanan kita ke sana. Kalaulah kita pergi, mungkin kita akan terlibat sama.

Oleh itu memang patutlah kita bersyukur dengan takdir yang ditentukan. Malah jika sesuatu yang buruk berlaku, kita juga patut redha dan sabar kerana tentu ada hikmah di sebaliknya. Fikirkan semula, mungkin, dengan kemalangan tadi, iman kita tambah kuat, hati kita tambah cekal. Nah, bukankah itu satu kelebihan? Bak pepatah Inggeris a blessing in disguise. Dan, kita perlu beringat yang tak semua yang kita nak, benda itu mesti yang terbaik untuk kita. Tak semestinya! Mungkin kita fikir pergi belajar di Amerika mesti baik, dapat luaskan pengalaman dan sebagainya. Mungkin Allah lebih tahu, kalau kita ke sana, kita boleh hilang pegangan, dan terlibat sama dengan masalah sosial. Siapa tahu? Dia sahaja. Pada pandangan kita mungkin keinginan kita itu bermanfaat buat kita tapi pada mata Allah mungkin tidak, dan ada yang lebih baik yang Dia hendak berikan pada kita.

Maka, apa yang kita perlu buat, ialah berusaha sesungguhnya, berdoa moga Allah memberikan kita yang terbaik, dan bertawakkal. Serahkanlah segalanya pada Allah selepas itu, kerana Dia lebih mengetahui. Kesilapan lalu, boleh diperbetul semula dengan cara tidak mengulanginya pada masa akan datang. Jadikan salah silap itu panduan untuk membina masa depan yang lebih baik. Allah tentu mengizinkan kalau kena caranya. Ingat firmanNya: Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum selagi mereka tidak mahu mengubahnya sendiri.

Berbalik kepada filem tadi, saya sangat suka menontonnya. Punya plot dan jalan cerita yang baik dan menarik, juga watak yang berkembang dengan baik, tambah lagi kualiti animasi yang cantik dan trek muzik yang sesuai, filem ini memang perlu ditonton. Saya pun rasa nak tengok sekali lagi. Jom!

*Ya, teringat sebuah pepatah dari filem Kungfu Panda: Yesterday is history, tomorrow is a mystery, and today is a gift...that's why it is called 'present'. Jadi, kalau dah hari ni hadiah, kenalah gunakan sebaiknya, betul kan? Sebab esok belum tentu kita punya nyawa lagi..

Related Posts with Thumbnails