November 08, 2011

Enak Cinta

Saya baru sempat menonton cebisan-cebisan rancangan realiti terbaru di Malaysia bertajuk Masterchef Malaysia. Khabarnya program ini mengikut format rancangan asal dari United Kingdom. Jujurnya saya rasa inilah antara program realiti yang menarik dan informatif. Tak perlu terkinja-kinja mengundi peserta paling kacak dan pandai menyanyi. Bahkan dapat tips-tips ilmu gastronomi pula.


Antara adik-beradik saya, sayalah yang paling bendul dan tak pandai memasak. Sudah jadi rukun dalam keluarga saya, setiap kali sesiapa habis SPM, dia harus duduk di rumah dan sementara menunggu keputusan dan menunggu masuk ke universiti, cuti selama lebih setengah tahun itu perlu dihabiskan dengan memasak. Terutamanya untuk makan tengahari. Ketika itu mak dan abah saya bekerja, dan mereka akan pulang ke rumah pada waktu lunch hour untuk solat zohor dan makan. Pukul 2 mereka harus kembali semula ke tempat kerja, jadi makanan di rumah sudah mesti siap sebelum itu! 

Ketika giliran saya untuk menjadi tukang masak makan tengahari untuk beberapa bulan itu, saya sudah tunjukkan macam-macam kesilapan yang tak patut dibuat. Sedangkan abang di atas saya sudah menunjukkan bakatnya di dapur dan sudah mula memasak hidangan ala kedai makan, saya terkedek-kedek belajar memasak nasi. Kadang-kadang saya malas memasak kerana saya malu! Semasa ayah saya pencen dia yang ambil alih tugas itu dan saya menyibuk-nyibuk di tepi sahaja. 

Saya masih ingat, satu waktu itu, saya tanakkan satu keluarga dengan hanya 1 cawan nasi. Sebab pernah saya masuk dapur sekali sebelum ini dan saya lihat ibu saya masak hanya 1 cawan nasi. Jadi saya sangka porsi satu keluarga hanya sebanyak itu. Kata mak:

"Memanglah, sebab masa tu baki nasi tengahari banyak lagi, mak tambah saja 1 cawan lagi (untuk makan malam)!"

Ketawa satu famili dibuatnya. Tak apa, saya belajar sedikit-sedikit.

Kek coklat pertama saya pula, walaupun sudah berpandukan resepi di depan mata, dan bahan-bahan telah diletak di atas meja semuanya, saya terlupa meletak gula tetapi tidak lupa meletak garam yang secubit itu. Apalagi, kek coklat tawarlah jawabnya!

Tapi manisnya tradisi memasak selepas SPM itu, saya sekarang bolehlah memasak pelbagai masakan, dan tak takut lagi untuk ke dapur. Tak takut pedih bawang, percik api minyak (dulu saya melompat dan lepaskan makanan yang nak digoreng bila terkena minyak panas), nak guna pisau dan macam-macam lagi. Dan walaupun semua adik-beradik saya lebih hebat memasak sekarang, saya dah tak kekok dan segan lagi memasak bersama mereka. Ini semacam tarbiah dapur pula. Hehe.

Lebih manis, sekarang saya memasak untuk menggembirakan mereka yang akan merasa makanan saya. Saya yakin makanan yang dibuat penuh kasih dan tertib ada kesan di hati. Lebih-lebih lagi kalau benar-benar ikhlas. Ya, makanan mampu mengikat hati. Tentu ada sebab mengapa hampir semua orang di dunia ini akan mengatakan masakan ibu adalah yang terenak. Saya pasti ramuannya adalah kasih sayang.

Kenapa saya bercerita tentang program Masterchef pada awalnya? Sebabnya, saya tertarik dengan peserta-peserta yang bertanding. Mereka bertanding dengan dorongan. Dan boleh lihat dari makanan, siapa yang nampak benar gigih dan sungguh, malah apabila diceritakan tentang latarbelakang mereka, meski kelam-kabut menghasilkan masakan, ada terserlah rahsia. Inspirasi dan dorongan mereka seperti terjalin bersama. Itu pendapat peribadi saja, tapi saya yakin ada yang berfikiran sama dengan saya.


Saya teruja juga bila melihat masing-masing ada falsafah dalam menyediakan makanan. Brian contohnya, memasak dengan prinsip 'rasa itu datang dari ramuan asli itu sendiri'. Dia berkata, saya jarang gunakan gula dan garam. Nama-nama masakannya pula kreatif dan unik. Juga dia sukakan warna dalam masakan dan persembahannya kerana tambahnya, warna yang menarik itu baik untuk kesihatan. Saya setuju juga, warna mengajak kita merasa ceria. Bukankah?

*******

Novel Ketupat Cinta Faisal Tehrani menyelongkar ingatan saya. Bertemakan gastronomi, novel ini membawa falsafah yang indah, lagi-lagi berkisar masakan melayu. Saya sudah lupa isi kandungan buku itu, tapi kesan dari membacanya masih ada. Saya terbayang-bayang kalaulah saya juga boleh memasak dengan kasih dan penuh falsafah, tentu memasak itu menjadi suatu yang benar-benar memuaskan.

Kemudian, yang saya baca beberapa hari lalu, The Particular Sadness of Lemon Cake tulisan Aimee Bender, yang sangat menarik premisnya. Berkenaan Rose Edelstein yang mempunyai kuasa istimewa untuk merasa perasaan orang yang memasak makanan tersebut, sehinggakan jika makanan itu dibuat di kilang pun dia mampu merasa di mana tempat itu dibuat dan dari mesin apa. Masakan sesedap apa pun dirasakan penuh perasaan kompleks, kadang bertabur pahit, tergaul sepi, bergula dan bergaramkan perasaan bersalah. Walaupun ibu dan ayahnya nampak biasa-biasa saja, tetapi apabila Rose menjamah kek lemon buatan ibunya, dia akhirnya tahu yang ibunya tidak bahagia bersama ayahnya.

Namun novel itu memberi impak yang biasa-biasa saja, kerana jalan ceritanya tidak luar biasa. Pada saya, pengakhirannya (dan permulaannya juga) cukup baik kerana kisahnya agak tergantung, ia memberi teka-teki untuk pembaca mengagak. Saya yakin jika cerita dan wataknya dibenarkan berkembang dengan lebih baik lagi, pasti novel ini mampu memikat saya. Tetapi ketepikan tentang itu, yang saya gemar ialah bagaimana dia menyampaikan rasa melalui makanan. 

Saya tertarik benar dengan novel ini sehinggakan saya bertungkus-lumus memasak kek lemon untuk imitate kek dalam kulit buku ini. Siap dengan chocolate frostingnya sekali. Tetapi hasilnya tak menjadi seperti resepi yang saya ikut ini! (Resepi tersebut juga dibuat bertujuan seperti saya, untuk meniru gambar di kulit buku.)  Masa memasak kek tersebut, jujur saya katakan saya kurang mood untuk memasak, dan agaknya benar yang masakan boleh menunjukkan perasaan kita ketika memasak, seperti yang Bender tulis dalam novelnya. 

Mesti ada antara kalian yang pernah mendengar kisah seorang bapa dengan tiga orang anak gadis. Ayah ini meminta anak-anak gadisnya membuktikan kasih mereka kepadanya, sejauh mana kasih kalian terhadapku, tanya dia. maka anak yang pertama dan kedua membawakan harta seperti emas dan permata, kata mereka, kasih kami bernilai sebanyak inilah. tetapi anak yang ketiga berkata: Kasih saya kepada ayah seperti garam. Ayahnya begitu marah mendengarkan kata-kata tersebut, ketika kakak-kakaknya menghulurkan harta bernilai tinggi membuktikan cinta.

Tetapi suatu hari, anak yang ketiga ini memasak untuk ayahnya, dan ketika dirasa oleh ayahnya akan masakan tersebut, ayahnya menjadi marah. Rasa lauk-pauk yang dihidangkan begitu tawar, tidak berasa! Anak gadisnya itu sengaja tidak membubuh garam. Lalu  dia menerangkan letak duduk garam dalam masakan, biarpun kecil, tapi tanpanya tidak lazat makanan itu. Barulah ayahnya mengerti mengapa kasih anaknya diibaratkan seperti garam. Dengan garam sahaja, masakan dirasakan penuh kasih! 

*******

Kalau Nabi, baginda juga ada ajar banyak perkara berkenaan makanan dan adab makan. Kadang-kadang benda-benda kecil yang Nabi ajar pun kita masih tidak praktikkan. Saya tertarik dengan hadis berikut:


Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. itu tidak pernah mencela samasekali pada sesuatu makanan. Jikalau beliau s.a.w. ingin pada makanan itu beliaupun memakannya dan jikalau tidak menyukainya, maka beliau tinggalkan – tanpa mengucapkan celaan padanya.” (Muttafaq ‘alaih)

Dan firman Allah dalam surah Abasa ayat 24:

"Maka hendaklah manusia memerhatikan makanannya."

Bukankah itu indah? Dalam buku Kitab At-Tauhid karangan Abdul majid Aziz Az-Zindani, ada dibincangkan  mengenai mengenali Allah melalui makanan. Bagaimana dengan memerhati makanan kita boleh mengenali sifatullah? Bahawa makanan itu tidak datang begitu sahaja dari langit, tapi ada asal-usulnya. Dan di hujungnya kita mengecap nikmat keenakan makanan dan kelazatan mengenali Pencipta!


Mesti pernah dengar pesan orang tua untuk tidak membazir makanan, sebab nanti makanan itu akan menangis! Kalau mencela makanan, bukan sahaja kita akan menyakitkan hati tukang masak yang sudah bertungkus lumus, tetapi di akhirnya kita juga tak langsung mencela Allah yang memberi rezeki tersebut, yang memberi deria rasa, yang memberi rasa kenyang..segala-galanya! Benda-benda kecil seperti ini yang kita selalu lupa..

Ya, bukankah bagus, sekiranya di samping kita memasak hidangan enak, cinta dan iman kita kepada-Nya semakin lazat? 

helaianrindu: baru perasan kek lemon dalam kulit buku Aimee Bender tu berbayangkan gambar seorang budak perempuan. Menarik!

Oktober 04, 2011

Warkah Musim Panas



Sahabat,

Antara dua jalan, dari cabang yang sama, pohon-pohon dalam kedua-duanya berbeza. Satu penuh dengan rerumput segar dan buah serta bunga pelbagai. Pilihan kedua tidak jauh beza, cuma pepohon saling menjauhi, ada jarak yang luas antara mereka.

Tetapi masih ada cabang kedua yang langsung tandus. Meskipun begitu aku selalu tersesat dalam laluan ini, dan berpatah kembali ke titik mula...

Sudah setahun berlalu, cepat benar. Cahaya matahari yang dahulunya memantul pada tingkap rumah bertentangan sudah terbit begitu awal dan jatuh begitu jauh, begitu lewat. Malam seperti satu penyataan palsu musim ini--semacam emosi aku yang entah ada entah tidak, kalau ada hanya disamar oleh kehadiran murni bulan. Tanpa bulan, pekungku sudah lama terbuka; bahawa aku bukan malam, tetapi biru tua sementara saja.

Rumah No.19 ini antara rumah terdekat dengan rumah Allah yang mulia. Aku sekurang-kurangnya akan ingat yang ini. Tetapi rumah ini bukan tempat berpijak yang pastinya. Aku masih perlu berjalan.

Aku selalu mencemburui engkau hai sahabat. Kerapkali kalau bukan sifat jiwamu, tetap ada rupa parasmu. Kalaulah aku tidak begitu mudah jatuh cinta dan terus-terusan menipu dunia demi mendapatkan cinta itu, mungkin aku begitu yakin untuk mendapatkan nikmat buah-buahan dan aroma puspa-puspa di lorongan yang 'indah' itu. Apa daya, mataku masih buta, pancainderaku disempitkan keinginan yang terlalu hodoh. Walau sudah tersuluh cabang yang benar indah dan cabang yang benar gundah, aku masih berdiri di persimpangan, masih leka berdiri, konon sedang memilih...

Aku cuma mohon dandelion terus ada bersama angin untuk menyamankan.

Supaya tidak terus palsu,
Rasydan


19 Dartmouth Road, Selly Oak
Birmingham B296DR
10.25 am, 9 Julai 2011

helaianrindu: Surat terakhir yang ditulis di rumah 19 Dartmouth. Sekarang di 33A Hubert Road, menanti perca kenangan dijahit indah. Dan dandelion masih teguh di bulan Oktober ketika ini...

September 01, 2011

Kalaulah Tunku Abdul Rahman Berkicau

Selamat hari raya dan selamat hari kemerdekaan ke-54! Tahun ini hari raya jatuh sehari sebelum hari Kemerdekaan di Malaysia. Tidak hairanlah iklan di kaca televeisyen dan media semuanya menunjukkan kekreatifan masing-masing mengobar-ngobarkan nilai dalam dua perayaan ini. Sebelum ini macam-macam dah digabungkan dengan hari raya - tahun baru cina dengan Gongxi (Kongsi) Rayanya, Deepavali dengan DeepaRaya, macam-macamlah pula Melayu ni. Kadang-kadang terlebih kreatif sampai tak mengenal batasnya. Tapi itu lain cerita.

Bila bercerita tentang kemerdekaan pula, tentulah terkenang peristiwa yang selalu kita pelajari di sekolah -  kisah Tunku Abdul Rahman dengan usahanya membebaskan Tanah Melayu, dan jauh lagi sebelum itu, bagaimana bermulanya sebuah penjajahan di Kepulauan Melayu dan kisah-kisah perjuangan rakyat menentangnya. Saya rasa ramai generasi muda sekarang, termasuklah saya, mungkin sukar sekali menghargai kemerdekaan dan keamanan yang kita genggam sekarang. Atas pelbagai sebab semestinya - kerana kita terlalu jauh dari mengalami kesusahan generasi lalu, dan hanya take it for granted sahaja. Malah, mungkin kami yang muda ini kurang ilmu, kurang membaca, kurang pengetahuan mendalam tentang perjuangan dan sejarah terdahulu.

Berbeza pula dengan rakyat Arab di Timur Tengah. Bermula dengan kebangkitan rakyat di Tunisia, negara-negara Arab mula bangun menentang pemerintahan kejam oleh bangsa sendiri. Dan kesusahan yang ditimpakan oleh mereka, anak muda yang merasa azabnya. Revolusi yang dilaksana, anak mudalah tunggaknya. Merekalah yang memperjuangkan sendiri nasib mereka, dan setelah itu harga sebuah kebebasan itu tentulah tersangat manis, dan pastinya akan cuba dikekalkan sedaya mungkin.

Tweets from Tahrir, adalah sebuah naskhah yang menyoroti detik-detik bersejarah kebangkitan rakyat di Mesir menentang diktator Hosni Mubarak. Berpusat di Tahrir Square, mereka yang hadir untuk menyatakan hasrat mereka supaya Mubarak berundur, menggunakan teknologi untuk merakam saat-saat penting itu. Seperti sebuah lintas langsung, setiap butir pengalaman berharga, perasaan, buah fikir, khabar angin, amaran dan pengumuman semuanya dikemaskini melalui laman sosial Twitter. Sesuai dengan pelaksana yang kebanyakannya terdiri dari golongan shabab, teknologi yang digunakan oleh mereka digunakan sebaik mungkin. 


Apabila 'kicauan-kicauan' (tweets) ini disusun bersama, ia menjadi sebuah cerita. Penulis yang berbeza, tetapi cerita yang sama, rasa yang sepunya. Penggunaan Twitter sebagai medium menyampai berita menampakkan konteks zaman berlakunya peristiwa ini. Jika mungkin sebelum ini kita selalu disajikan dengan fakta-fakta dan kisah sejarah melalui orang ketiga (penulis buku dsb), dalam buku ini pengalaman menuntut kemerdekaan itu datang terus dari mereka yang melihat dan merasa dengan mata kepala mereka sendiri.

Apatah lagi bila kemaskini status di Twitter hanya mengehadkan jumlah aksara sebanyak 140 - menjadikan setiap 'kicauan' yang dipos di laman tersebut ringkas, tetapi padat dengan emosi. Kadangkala selepas dicederakan pun mereka masih sempat mengemaskini status mereka pada waktu itu. Semangat mereka sangat mengagumkan, sehinggakan ada yang sanggup menelefon ke luar negara, meminta kenalan mereka untuk mengemaskini bagi pihak mereka (kerajaan Mesir pernah menyekat akses internet selama sehari).

Saya sudah menamatkan bacaan beberapa minggu yang lepas, tetapi dalam peluang menyambut kemerdekaan ini baru saya terfikir idea untuk berkongsi. Cuba anda bayangkan, sekiranya di dataran Merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 itu, mereka yang menyaksikan perjuangan menuntut kemerdekaan dari British sempat merasai teknologi untuk berkicau ini, sudah tentu ia menjadi satu kisah yang sangat bermakna, sama seperti mereka yang menuntut hak rakyat di Tahrir Square awal tahun ini. Tentu satu perkara yang epic seandainya sejurus selepas Tunku Abdul Rahman melaungkan kalimah keramat itu, beliau mengemaskini status dengan satu perkataan dalam huruf besar: MERDEKA! 

Saya membayangkan, status sebegitu, yang dilaungkan dengan rasa lega dan puas, sudah tentu bercampur selautan rasa, biarpun hanya satu perkataan tanpa suara ditayangkan di seluruh dunia! Dan jika anak-anak merdeka pada zaman akan datang membaca sorotan sejarah itu, barangkali dorongan untuk terus memahami harga kemerdekaan akan sentiasa subur.

Barangkali. 

Semua penyataan saya di atas masih dipenuhi dengan kata-kata 'mungkin', 'seandainya', 'jika' dan sebagainya, padahal yang perlu dididik adalah diri sendiri, kerana mana mungkin sejarah bisa diubah. Tetapi, seperti terkesannya saya membaca detik-detik bersejarah melalui buku ini, seperti itulah gambaran saya apabila berlaku perkara yang sama di dataran Merdeka 54 tahun yang lalu...

Saya tahu ramai yang tidak suka sejarah kerana selalu berdindingkan fakta demi fakta. tetapi Tweets from Tahrir adalah sebuah buku sejarah yang berbeza cara penyampaiannya. Fakta hanya disampaikan oleh editor dengan sedikit ringkasan tentang kejadian-kejadian yang berlaku setiap hari sepanjang berlakunya revolusi, tetapi isi status oleh 'pengicau-pengicau' (tweeters) semuanya pelbagai. Meski sedang serius berjuang sesungguh-sungguhnya, ada masanya mereka berjenaka. Malah ada tweets dari akaun Hosni Mubarak (kemungkinan besar yang palsu) diselitkan di sana-sini sebagai rencah jenaka. 

Kisah benar kehilangan Pengurus Pemasaran di Google Timur Tengah, Wael Ghonim, (sisi peristiwa revolusi yang mungkin kurang diketahui) di tengah-tengah hiruk-pikuk revolusi pula menjadikan buku ini seperti sebuah novel yang menimbulkan persoalan, saspens dan kejutan. Editor patut dipuji kerana berjaya menyunting buku ini dengan baik. Masakan tidak, kemaskini Twitter oleh seorang sahaja waktu itu sudah berjumlah lebih 60,000 patah perkataan jika dikumpul bersama! Proses pemilihan tweets itu pasti sukar, tapi ia berhasil.

Untuk menambahkan keaslian isi, penyunting langsung tidak memperbetulkan ejaan atau kesalahan tatabahasa yang ditulis dalam setiap tweet. Secara tidak langsung kita dapat rasakan perasaan cemas dan tergesa-gesa dalam kesalahan-kesalahan itu. (Sekali-sekala ada juga perasaan jemu, mungkin kerana ada tweet yang isinya hampir sama, atau diulang-ulang di sana-sini, tetapi harus diingat ini bukan satu kisah ideal dengan ayat novel berbunga-bunga, tetapi kisah realiti yang menunjukkan perasaan sebenar.) Di samping itu ada gambar yang dimuatnaik melalui aplikasi TwitPic. Gambar-gambar itu juga ada yang menyentuh hati, dan memberi semangat - dari bermulanya demonstrasi sehinggalah proses membersihkan kawasan.


Antara tweet yang kelakar (diambil dalam bab satu, The Spark - tentang Tunisia saat ia mendapat kebebasan):
'Dear people watching Arab's Got Talent, there's a better show going on called Tunisia's Got Freedom. Watch that.'

Malah baca yang ini (semasa revolusi masih berjalan):
'At Tahrir sq. you can find pop corn, couscous, sweet potatoes, sandwiches, tea & drinks! Egyptians know how to revolt!'

dan saat Mubarak turun dari takhtanya:
'Who did this? WE did, the people. Without guns. Without violence. Rather, with principles and persistence. Mabrouk, everyone!'

'The real hero is the young Egyptians in Tahrir Square and the rest of Egypt.'

Buku ini sememangnya satu revolusi dalam dunia perbukuan, tidak rugi membacanya. Apalagi, sempena kemerdekaan ini, saya cadangkan naskhah ini!

Kullu 'am wa antum bikhair.

helaianrindu: Tentang kemerdekaan, saya terkenang kata-kata Rib'i bin Amir di hadapan angkatan tentera Parsi: "Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, daripada kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat."


Julai 12, 2011

Bercinta dengan Nombor 19

Sabtu lalu saya baru berpindah keluar dari rumah sewa saya bernombor 19 di Dartmouth Road, Selly Oak. Satu rumah yang kami pilih kerana kedudukannya yang sangat strategik: keluar saja dari rumah, pandang ke kiri ada stesen tren, pandang hadapan berjumpa masjid. Jalan beberapa minit akan berjumpa restoran-restoran halal untuk disinggah sekiranya lapar, kemudian ke hadapan lagi akan sampai ke University of Birmingham. Rumah yang sangat istimewa, seperti setiap rumah yang ada di dunia ini, sifatnya unik, memberi kenangan yang tersendiri untuk penghuninya. 

Saya masih ingat, kenangan pertama dan terakhir yang melibatkan tuan tanah rumah kami ini. Dia seorang perempuan Inggeris yang menghulur tangan untuk bersalam dengan kami para lelaki buat kali pertama, tetapi kami menolak lembut dan menerangkan alasannya. Pertemuan terakhir kami Sabtu lepas, setelah saling berbalas ucapan terima kasih dan selamat tinggal:

"I can't shake hands with you, I still remember that. But you (sambil berkata kepada suaminya) can shake hands with them," sambil dia ketawa kecil. Nampaknya, dia masih ingat pertemuan pertama kali kami.

Samalah juga dengan rumah sebelum itu, nombor 54 di North Road, di pekan yang sama (Selly Oak). Di situlah kami berenam lelaki bermain salji bersama-sama buat pertama kali, membina dua snowman, dan bergambar sakan. Mana mungkin juga saya boleh lupakan bilik saya di tingkat loteng, dan pengalaman menyangkut bekas aiskrim di luar tingkap semasa suhu di luar -18 darjah celcius, sebagai ganti peti sejuk yang rosak waktu itu. 

Fikir-fikir, saya cuba mengaitkan dengan tulisan Ogawa yang saya sudahkan pembacaannya minggu lepas, The Professor and the Housekeeper. Dan, sempat saya juga tonton filem adaptasinya (dengan tajuk asal dalam bahasa Jepun yang bermaksud The Professor and His Beloved Equation) beberapa hari kemudiannya. Jika di dalam novel narratornya adalah pembantu rumah itu sendiri, di dalam filem ini anaknya Root yang menjadi tukang cerita. Root yang telahpun menjadi cikgu matematik di sebuah sekolah tinggi menceritakan tentang minat profesor terhadap nombor yang menyebabkan dia terinspirasi untuk mendalami bidang matematik. Kata Profesor, nombor itu merupakan ciptaan Tuhan yang sangat indah: 

"Tiada siapa mampu menjelaskan sebab mengapa bintang-bintang di langit begitu cantik, dan seperti itulah matematik, sukar sekali untuk memperihalkan keindahan matematik."

Lebih rinci lagi, profesor tersebut sangat cinta dengan nombor perdana. Root juga turut sama kagum dengan nombor-nombor ini, sambil menerangkan kepada anak-anak muridnya dia berkata:

"Nombor-nombor perdana ini jumlahnya tidak terkira - seperti jumlah bintang di langit malam. Tiada peraturan yang jelas untuk mencari nombor-nombor tersebut. Dalam kata lain, setiap satu daripada kalian, adalah unik dan istimewa sama seperti mereka.


Pernah pembantu rumah tersebut, ketika bekerja di sebuah rumah orang kaya setelah dipecat dari bekerja di rumah profesor, dia membuka peti sejuk dan mendapati nombor siri peti sejuk tersebut bernombor 2311. Beberapa hari dia cuba mengira dengan pensel dan nota kecil dalam koceknya, apakah nombor tersebut nombor perdana ataupun tidak. Nombor rumah saya, 19 adalah salah satu dari nombor-nombor perdana! Mulanya saya sangka 54 juga nombor perdana, tetapi Naufal teman saya menegur: "Eh, bukan ke 54 dibahagi 2 boleh dapat 27?" 

Jadi rumah pertama saya di UK bukan rumah kegemaran profesorlah. Tapi saya yakin rumah itu masih unik, meskipun bukan bernombor perdana. 

Dan ketika profesor mengajar penonton tentang nombor ajaib yang ditakdirkan bersama, saya teruja. Profesor menyenaraikan semua faktor (juga boleh disebut pembahagi atau divisor) untuk nombor 220 (yang merupakan hari jadi pembantu rumah tersebut - 20 Februari, atau ditulis sebagai 2/20) dengan faktor dalam nombor 284 (nombor pada belakang jam tangannya yang diterima sebagai anugerah sempena kejayaan teori matematiknya di kolej), dengan mengecualikan nombor tersebut sebagai faktor masing-masing (boleh faham ke ayat ni).

"Tambahkan semua faktor untuk 220 ini, hasilnya 284. Tambahkan semua faktor 284, hasilnya 220. Dua nombor ini digelar 'nombor karib' (amicable numbers). Pasangan nombor yang sangat nadir. Fermat dan Descartes masing-masing hanya menjumpai sepasang. Nombor-nombor ini disatukan bersama oleh susunatur Tuhan."

"Mengagumkan bukan? Tarikh lahir anda dan nombor yang tertera pada jam tangan saya terjalin dengan sangat sempurna."

Dan semenjak itu, pembantu rumah dan anaknya Root menganggap merekalah sahabat pertama profesor setelah dia hilang ingatan. Ikatan persahabatan antara profesor dengan pembantu rumah dan anaknya inilah yang menjadi elemen penting dalam filem ini. Unik bukan, bagaimana fakta matematik yang falsafi ini menjadi tunjang cerita, membayangkan bahawa takdir Tuhan mempertemukan mereka seperti dipertemukan pasangan nombor tersebut.


Bercerita tentang falsafi, hampir semua ilmu matematik yang dilontarkan oleh profesor, ada falsafah dan nada puitisnya. Nama Root juga diberi oleh profesor, meraikan kepala anak pembantu rumah itu yang rata seperti kepala tanda punca kuasa. Kata profesor, simbol punca kuasa itu pemurah, kerana ia menerima apa jua nombor di bawah naungannya. Kepala simbol punca kuasa juga kuat dan teguh, begitulah juga sifat anakmu, katanya lagi.

Bukan setakat itu, ada nombor sempurna (perfect numbers), definisi garisan (line) dalam matematik, dan nombor khalayan (imaginary number). Malah surat cinta profesor juga terkandung formula e = -1 ! 

Meskipun fakta-fakta ini nampak menarik, profesor mengingatkan: "Hukum dalam matematik sangat cantik, tetapi hampir tidak berguna dalam kehidupan seharian kita. Walaupun ciri-ciri nombor perdana dapat dikenalpasti, kehidupan manusia tetap sama, dan tidak ada yang akan menjadi kaya disebabkan penemuan tersebut. Ada juga nombor perdana genap digunakan untuk menghantar kod rahsia dalam peperangan, tetapi itu bukanlah kegunaan sebenar matematik."

Katanya lagi, "Fungsi matematik adalah untuk membuktikan kebenaran. Jadi bukalah mata!

Masih saya ingat lagi, janjang Fibonacci, satu nisbah yang terkandung dalam ciptaan-ciptaan Allah yang terdapat di muka bumi. Saya belajar ini sewaktu kelas seni (bukan matematik!). Dari permukaan sekuntum bunga kepada pusaran pada cangkerang, semuanya direkabentuk dengan menyamai nisbah yang ditemui oleh Fibonacci. Sifat ciptaan yang begitu rinci dan sempurna ini tidak mungkin boleh terjadi secara semula jadi sahaja, pasti ada Perekabentuk yang Maha Bijaksana! Bukankah agung, melalui matematik sekalipun kita boleh mengenal dan meningkatkan keimanan kita kepada Allah…benar, kita perlu lebih membuka mata!


Filem ini sudah mendapat jalan cerita yang asli, apa yang kurang hanyalah dari segi sinematografi yang sangat boleh diperbaiki untuk memberi kesan yang lebih dramatik. Saya sendiri ada berimaginasi sudut pandang kamera yang mungkin sesuai untuk babak-babak tertentu, juga muzik jenis bagaimana yang sesuai melatarinya. Tetapi tidak mengapa, yang lebih penting adalah mesejnya, yang saya kira sudah jelas.

Saat ini, saya sudah masuk ke rumah baru di Hubert Road, bernombor 33A. Kecewa juga saya sekejap sebab bila dihitung-hitung, 33 juga bukan nombor perdana seperti 54. Tetapi apabila saya lihat faktor-faktor untuk 33 selain nombor itu sendiri (1, 3, 11) semuanya merupakan nombor perdana. Saya bayangkan mereka sebagai 3 lagi ahli rumah saya yang akan bersama saya untuk setahun akan datang - yang unik dan istimewa belaka!

helaianrindu: Buat mereka yang sudah berkahwin, hargailah pasangan 'nombor karib' kalian! (Terima banyak berita pernikahan musim panas ini) Yang bersahabat juga sama :)

Julai 04, 2011

Bila e+1=0 Nampak Puitis


Apabila berada di United Kingdom, saya berkenalan dan tinggal serumah dengan tiga orang kawan yang menyambung pengajian dalam bidang matematik di University of Birmingham. Selalu juga mereka berkongsi dengan saya apa yang mereka pelajari dalam kelas. Selain mereka kisahkan perihal dan cara pensyarah-pensyarah mereka mengajar, ada juga saya tanyakan isi subjek-subjek yang mereka ambil. 

Pening pula bila mereka cerita, 1+1 tak semestinya memberi jawapan 2, atau bagaimana nak buktikan yang 1+1=2 mengambil lebih dari satu mukasurat, dan juga beza antara manusia dan haiwan adalah manusia ada pengetahuan tentang salah satu elemen matematik yang saya sudah lupa namanya (falsafah yang sepertinya mengatakan mereka yang tak belajar topik itu adalah haiwan). Daripada falsafah sehinggalah sejarah matematik, semuanya memeningkan. Malah ada sesetengah masa senggang saya, saya hadiri kelas-kelas mereka saja-saja untuk tahu apa perasaan mereka belajar perkara-perkara yang memeningkan itu.

Ok, saya memang jadi pening. Adalah saya salin nota macam mereka buat tapi tak faham pun. (Malah sejarah hidup saya dengan matematik tidaklah begitu memberangsangkan - di sekolah selalu dapat markah gagal untuk Matematik Tambahan, dan di kolej persediaan Further Pure Mathematics sangatlah bukan bidang saya)

Bila menamatkan pembacaan The Housekeeper and the Professor tulisan Yoko Ogawa beberapa hari lalu, terasa persepsi saya terhadap matematik berubah. Walaupun saya sebagai pelajar jurusan senibina tidak begitu menggunakan permasalahan matematik yang menyakitkan kepala sewaktu sekolah dan kolej dulu, saya rasa terpanggil untuk mencari dan mengetahui (dan kalau boleh menggunakan) fakta-fakta matematik yang kompleks selepas membaca buku ini. Novel ini menjadikan matematik itu nampak magis dan cantik, terutamanya apabila si profesor selalu mengulang-ulang fakta menarik tentang nombor-nombor perdana (prime numbers).

Gabungan elemen matematik sebagai tema, disatukan dengan sukan bola lisut (baseball) dan kekeluargaan, persahabatan dan sedikit cinta menjadikan novel Ogawa ini begitu original. Berlatarkan negara matahari terbit, novel ini menceritakan tentang seorang pembantu rumah dihantar oleh majikannya ke rumah seorang profesor. Profesor tersebut telah menerima beberapa orang pembantu tetapi semuanya telah dipecat. Perkara ini berlaku kerana profesor tersebut, yang hebat dalam bidang matematik, hanya mempunyai ingatan selama lapan puluh minit. Ingatannya terhenti pada tahun 1975, setelah itu memorinya berfungsi seperti pita perakam yang boleh merekod selama lapan puluh minit dan kemudian ingatannya selepas 1975 akan hilang, seperti sebuah pita perakam baru pula diisi dalam kepalanya. 

Untuk mengelakkan dia terlupa, profesor tersebut melekatkan nota-nota kecil pada bajunya untuk mengingatkan tentang ingatan jangka pendeknya itu. Dan untuk mengelakkan dia berasa kekok kerana perlu memperkenalkan diri berkali-kali, dia memulakan perbualan dengan mengeluarkan trivia dan fakta matematik yang sangat menarik. Ada saja fakta-fakta baru yang diperkatakan. Bukan saja cara Ogawa mempersembahkan fakta-fakta tersebut terasa mudah difahami oleh layman dalam bidang matematik seperti saya, malah Ogawa bercerita seperti nombor dan matematik adalah seperti puisi. Dengan mudah saya dapat mengingat apa itu amicable numbers, perfect numbers, teorem terakhir Fermat, juga formula hebat oleh Euler.

Seperti pembantu rumah tersebut, Ogawa membuatkan pembaca rasa terpanggil untuk membuat kajian sendiri terhadap fakta-fakta tersebut. Selepas mengenali profesor, pembantu rumah ini selalu sensitif terhadap nombor-nombor yang dilihatnya, sama ada harga barang yang dibelinya sehinggalah nombor siri pada peti sejuk dalam rumah yang dibersihkannya. Dia menggunakan nombor-nombor ini untuk mencuba teka-teki matematik yang diberi profesor.



Saya tidak begitu faham bahagian berkenaan bola lisut, disebabkan saya tidak minat bersukan dan bola lisut sebenarnya agak asing bagi kita orang Malaysia. Tetapi di Jepun permainan ini sangat popular. Jadi mungkin pembaca seperti saya susah untuk menggambarkan permainan tersebut, jadi saya cuma perhatikan hubungan antara profesor dengan pembantu rumah tersebut ketika bahagian-bahagian ini.

Novel ini juga bersifat heartwarming kerana isi tentang kekeluargaan dan persahabatan. Dengan munculnya watak anak kepada pembantu rumah tersebut, kisah hidup Profesor berubah. Apa yang menyebabkan kita simpati adalah kerana ingatan profesor yang terlalu sekejap itu. Pembantu rumah dan anaknya terasa begitu rapat dengan profesor sedangkan profesor tidak mampu untuk mengingat mereka. Meskipun begitu hubungan dua hala itu tetap berjaya kita rasai sehingga penghujung cerita walaupun hakikatnya ia tidak wujud.

Saya tidak mahu membongkar terlalu banyak tentang ceritanya, tetapi apa yang saya sedikit kecewa, saya tidak begitu puas dengan kesudahannya. Bukan tidak bagus, cuma terasa tidak cukup, kerana saya dahagakan lebih lagi. Ada juga beberapa perkara yang terasa sedikit tergantung. Tetapi kalau terlalu panjang mungkin meleret-leret pula. Daripada 5, saya beri 4 bintang atas sebab ini. Mungkin saya terlepas pandang, tapi secara umum novel ini sangat baik, menarik dan original. (Kalau tidak silap, di Jepun buku ini difilemkan dengan tajuk asal novel ini dalam bahasa Jepun yang bermaksud - The Professor and His Beloved Equation. Teringin juga mahu cari) Bukan mudah mencipta sesuatu cerita baru yang asli tetapi dalam masa yang sama memberi impak yang baik begini.

Selepas ini mungkin saya boleh hadiri lagi kelas matematik rakan-rakan saya di tahun tiga pula kelak! (Banyak pula masa nak masuk kelas orang lain!)


Jun 09, 2011

Setakat Ini

Teknologi. Mudah dan terlalu cepat berkembang. Buku pun sudah boleh dibaca dalam bentuk soft copy. Saya sangat skeptikal terhadap pembacaan buku berbentuk maya. Satu sebab utama adalah saya sakit mata terutama apabila membaca melalui skrin laptop terlalu lama. Sebab dua, tidak ada perasaan seperti membaca buku sebenar; tanpa dapat menyelak helaian-helaiannya; tidak dapat mencium bau kertas yang berbeza-beza, apalagi tabiat saya yang selalu membanding ketebalan baki mukasurat yang belum dibaca (gara-gara tidak sabar menghabiskan sebuah buku) sudah tentu terhapus terus.

Itu sebab-sebab yang 'kukuh' untuk saya tidak mengusik satu pun bahan-bahan bacaan ilmiah dan fikrah dalam bentuk pdf yang tersimpan dalam external harddisk saya.(Macamlah senang sangat nak baca isinya yang berat tu.)

Zaman e-reader bermula, saya pandang serong. Tahun lalu sebuah e-reader menjadi popular kerana bersifat revolutionary, setakat ini. Ah, peduli apa. Lagi mudah membaca buku sebenar.

Tetapi beberapa waktu setelah itu kenaifan saya terserlah. Bukan semua teknologi sama.


Oh, bukan iPad yang saya maksudkan. iPad tidak ubah macam komputer. Ini e-reader, bukan komputer tablet. Kawan sekelas saya yang bawa semasa sesi tutorial. Saya minta pada dia, "boleh saya pinjam tengok sebentar?" (dalam bahasa Inggerislah)

Yang saya maksudkan adalah Amazon Kindle. Tak sangka sudah generasi ketiga. Saya fikir alat ini terlalu menarik dan berkesan dan persepsi saya terus berubah 360 darjah. Bermula saat itu saya menginginkannya. 

Tidak lama kemudian, saya berubah fikiran kembali. Rasa membazir pula mendapatkan sebuah sebab saya masih perlu membeli buku-buku di Amazon secara digital yang harganya tidaklah seberapa murah pun kerana tidak jauh beza dari printed version. Lagipun teknologi terlalu cepat berkembang nanti kalau keluar versi baru terus jadi ketinggalan. Ke arah lain pula skeptikalnya!

Tak fasal-fasal Kindle berada juga di tangan saya, sudah hampir sebulan pun. Barang kalau dah di tangan, lagi-lagi yang pernah kita impikan, siapa yang tak seronok. Tak sangka, setakat ini saya pun terlalu asyik membaca menggunakan Kindle. Ke sana sini bawa benda alah ini.

Beli buku macam mana? Kata kena guna banyak duit untuk dapatkan naskhah e-buku. Tak ada masalah, saya dah buat research saya. Sebenarnya di internet ini boleh saja dapatkan buku-buku secara percuma. Kalau filem pun ada pirated version, inikan pula buku yang beberapa kilobyte itu. Di Amazon pun ada naskhah percuma, tetapi pilihan terbatas saja.

Ok, mungkin bunyinya saya tidak menghormati hakcipta penulis. Saya jelas dengan fakta itu. Tapi saya bercadang untuk buat begini (jika mampu): saya akan baca apa pun bahan bacaan yang saya dapatkan dari internet secara percuma, dan jika menarik dan betul-betul bermanfaat saya akan beli naskhah asli. (err, memandangkan saya bukanlah Orang Kaya Baru, mungkin hasrat ini saya lunaskan sikit-sikit)

Saya hendak cuba buat video reviu tentang Kindle dalam bahasa Melayu (sebab di YouTube sudah penuh video dalam bahasa Inggeris) tetapi saya tidak petah berkata-kata di hadapan kamera. Sebenarnya kalau suruh pembaca untuk buat kajian di YouTube sendiri-sendiri pun lebih banyak outputnya. 

Tetapi setakat ini, Kindle dari perspektif saya bagaimana?


Perlu berbalik dahulu kepada cara saya membaca. Saya seorang yang suka membaca lebih daripada satu buku dalam satu-satu masa. Tujuannya untuk mengelakkan saya berasa bosan dengan satu-satu buku. Kebiasaannya ada fiksyen dan non-fiksyen sekaligus. Cuma kalau buku itu sudah cukup baik, saya lebih suka baca yang satu itu dulu sampai habis. Dengan tabiat saya yang begini, apabila ingin berjalan-jalan jauh, saya suka memenuhkan ruang beg (dan memberatkannya) dengan 2 atau 3 buah buku, walaupun saya tahu kemudiannya saya mungkin akan fokus membaca satu daripadanya saja. Dengan Kindle, tabiat saya ini dipermudahkan, malah saya boleh memilih antara 3500 buku (itu kalau saya penuhkan memori alat tersebut. Tak mungkin dan tak perlu rasanya :S)

Saya suka juga feature untuk ubah saiz teks, sangat fleksibel (hanya untuk dokumen selain pdf) kerana mudah untuk membaca, tidak seperti novel-novel Inggeris yang selalunya saiz huruf tidak ubah sebesar semut. Kini dengan fungsi ini, nenek-nenek yang sudah kelabu mata pun mampu membaca, bak kata kawan saya (mana tidaknya, saiz terbesar menjadikan skrin 6 inci itu dipenuhi kurang lebih 10 perkataan saja). Tapi membaca pdf pun bukanlah terlalu sukar, saya suka membaca dalam Kindle kerana lebih senang mata saya menatap skrinnya yang persis kertas sebenar.

Fungsi kamus pun sangat-sangat berguna. Setiap kali ada perkataan (bahasa Inggeris semestinya) yang kita tidak faham, hanya skrol pada awal perkataan tersebut dan petikan maksud akan keluar di atas/bawah skrin bergantung keadaan. Tidak kurang menarik, screensaver yang berubah-ubah setiap kali kita letakkan dalam mod sleep.

Saiznya yang kecil dan nipis serta beratnya yang kurang daripada sebuah paperback membuat saya rasa semua buku yang besar dan berat isinya terasa ringan. (sambil mata bercahaya dengan harapan dapat mula membaca dan menghabiskan pdf-pdf yang bertimbun di dalam laptop)

Setakat ini, itu antara perkara-perkara yang saya suka dan perlu dikongsikan.

Oh ya, sudah dua minggu semenjak caj penuh, dan setakat ini bateri Kindle masih tinggal separuh.


helaianrindu: kredit buat Kamal untuk gambar 2 -  Selamat hari lahir kawan :) maaf sambutan tidak seberapa...semoga diberkati semuanya dan dipermudah jalan ke syurga.

Jun 02, 2011

Lumba Lari

Robert Langdon masih berlari ke sana sini membongkar rahsia dan kod. Bertemu seorang wanita yang cantik dan bijak yang membantu pengembaraannya. Pelumbaan mengejar masa tamat apabila rahsia terakhir dibongkar - siapa penjahat sebenar dan apa kod terakhirnya.

Masih lumba lari yang sama.

Saya menamatkan pembacaan novel The Lost Symbol (TLS) karya Dan Brown seingat saya Februari lepas. Bukan mudah menamatkan novel hardback setebal 528 mukasurat ini. Tetapi apa yang membantutkan pembacaan saya (saya membaca naskhah ini sejak November/Disember kalau tidak silap) antaranya adalah deskripsinya yang meleret-leret. Bukan saja itu, stail penulisan dan jalan ceritanya pula sudah boleh diterka (sekiranya kita sudah membaca karya-karya Dan Brown yang melibatkan Robert Langdon sebelum ini seperti The Da Vinci Code dan Angels & Demons) menjadikan buku ini tambah bosan.


Disebabkan perincian yang terlalu teknikal, saya terasa terpanggil untuk cuba membaca buku-buku terawal Brown sebelum siri Robert Langdon. Dan saya memilih Deception Point (DP). Terasa lebih segar pula membaca novelnya yang berlatarbelakangkan konspirasi yang berbeza tanpa perlu membongkari kod-kod rahsia. Dalam DP, watak utamanya malah seorang wanita. Rachel Sexton, anak kepada seorang senator yang sedang bertanding untuk jawatan presiden Amerika Syarikat, dia ditugaskan membantu mengesahkan penemuan sebuah meteorit berumur lebih 3 abad di Kutub Utara. Menarik sekali apabila konspirasi politik digabungkan dengan latar oseanologi, kajian glasiologi dan data meteorologi.

Sekiranya Brown menjadikan pertubuhan-pertubuhan rahsia kuno sebagai antagonis dalam siri Langdon, dalam Deception Point pertubuhan NASA menjadi boneka.

Tetapi, masih penceritaan lumba lari. (Lumrah novel aksi agaknya?)

Rachel Sexton membongkar satu fakta palsu yang bakal menggulingkan NASA dan Presiden Amerika yang tak bersalah sekiranya ia disebarkan. Beberapa tentera elit rahsia diupah untuk membunuh mereka yang mengetahui rahsia tersebut, dan Rachel akhirnya menjadi sasaran bersama beberapa saintis yang turut sama tahu. Adegan kejar-mengejar antara pembunuh dengan para saintis pun berlaku. Saintis berkejaran untuk mengumumkan rahsia itu kepada umum, pembunuh bergegas menjejaki mereka.

Sekurang-kurangnya, walaupun ceritanya boleh diagak, saya menikmati agenda politik yang dimuatkan. Satu daripada kelebihan Brown pada pendapat saya, adalah apabila pembaca 'diberi' peluang meneka siapa sebenarnya watak antagonis utama dalam ceritanya. Dan kebiasaannya, saya akan kalah dalam tekaan itu, termasuklah dalam DP. Dalam The Lost Symbol sayangnya, tidak timbul langsung perasaan ingin tahu itu kerana saya tidak rasa plotnya dibina dengan baik.

Meskipun begitu, apa saja bahan bacaan kita boleh bermuhasabah. DP membawa fenomena politik kotor yang sudah sekian lama berlaku termasuklah di negara kita sendiri. Personaliti ahli politik perlu dinilai semula: adakah dia hanya berkelakuan baik hanya kerana reputasi (reputation) atau karakter (character). Seorang muslim (dan daie) sepatutnya mengejar karekteristik sempurna tetapi bukan semata-mata menjaga reputasi. Karekter akan kekal pada diri seseorang sedangkan reputasi itu bila-bila masa akan runtuh kerana sikap baik yang ditonjolkan itu hakikatnya bukanlah diri kita yang sebenar.  Di akhirnya kita diajar kejujuran jugalah yang akan memenangi hati semua orang sepahit mana pun kebenaran tersebut.

TLS muhasabahnya agak cantik, sekiranya anda tidak kisah saya membongkar penamatnya. Langdon diberi sedikit 'tazkirah' pendek tentang khazanah yang hilang atau the Lost Symbol yang sibuk dikejar oleh antagonis dalam novel tersebut (satu daripada aspek yang menjadikan TLS bosan adalah leretan ceramah pendek ini). Khazanah itu sebenarnya bukanlah harta bernilai atau dokumen penting yang mengandungi rahsia dunia tetapi sebenarnya klu-klu yang dibongkar membawa mereka kepada Bible -  sebuah kitab yang menjadi panduan rakyat Kristian sejak dahulu semakin lama semakin dilupakan. Begitulah pentingnya kembali kepada 'Simbol yang Hilang' itu.

(Aneh juga penulis barat ini, dalam novel The Da Vinci Code dia memutarbelitkan ajaran Kristian dan menolak Bible kemudian dalam novel lainnya mengajak kembali kepada kitab yang sama.)

Kalau kita bandingkan dengan Al-Quran, tidak kurang juga bezanya bukan? Cukup dekatkah kita dengan Al-Quran; sudah berapa peratus kita mengamalkan isinya? (Ada orang ajak saya berlumba khatamkan Qur'an dalam masa sebulan, tapi kalau nak lumba konsistenkan bacaan saya dulu boleh tak?)


Juga, tidak putus-putus, manusia berlumba-lumba berebut kuasa. Demi mencapai objektif mereka, ada yang sanggup menipu dan membunuh. Seperti dalam DP, mereka sanggup melaksanakan projek penipuan terbesar yang melibatkan seluruh dunia semata-mata menyelamatkan sebuah organisasi, malah untuk menaikkan nama Preseiden yang kian jatuh. 

(Saya terfikir juga, ada desas-desus rakyat Amerika tidak puas hati dengan pemerintahan Obama, malah Obama gagal menaikkan taraf ekonomi AS. Sehingga katanya Donald Trump sedang cuba merebut jawatan presiden kerana lebih yakin untuk memulihkan keadaan AS. Tetapi dengan hadirnya berita kematian Osama bin Laden, rakyat Amerika mana yang tidak menyokong Obama kini kerana lega dan gembira lelaki itu telah tiada? Dan nama Osama naik semula...)

Sekadar buah fikir yang timbul setelah membaca DP. Saya terfikir juga, sebab tiba-tiba saja berita ini keluar.

Macam mana pun, saya lebih suka DP dari TLS. Kalau bintangnya lima saya beri empat untuk DP dan dua setengah saja untuk TLS. Siri Langdon masih ingin buat saya membaca rasanya disebabkan Brown pandai memfiksikan karya seni dan bangunan lama. Saya suka elemen seperti itu.

Ah, lain pohon, lain akarnya!

helaianrindu: The Lost Symbol dan Deception Point boleh didapati di kedai-kedai buku dengan harga pasaran RM36.90 (harga terakhir paperback Malaysia yang saya ingat). Bertuahnya saya kerana membeli hardcover TLS di carboot sale dengan harga 30p (RM1.50 sahaja, kurang dari harga 5 biji kuih di Kuala Lumpur)!

Jun 01, 2011

Musim

Hujung musim bunga. Saya berkira-kira sendirian, sudah lama tidak membaca sepuasnya. Apa agaknya buku yang akan saya pilih dan baca untuk cuti musim panas kali ini? Kuliah dan assignment semua telah usai awal Mei lalu. Kawan-kawan yang tinggal serumah dengan saya masih belum tamat pengajian tahun dua - mereka belajar di universiti lain dan sedang bertungkus-lumus mempersiapkan diri untuk peperiksaan akhir yang akan berakhir awal Jun.

Sementara mereka sibuk menelaah buku pelajaran, saya pula membelek-belek helaian-helaian yang saya rindui. Pastinya mereka cemburu melihat saya duduk-duduk membaca macam tiada kerja pula!

Selama beberapa bulan kebelakangan ini saya memang ada peluang mengakrabi beberapa buah buku. Tetapi setelah sekian lama saya tinggalkan penulisan di laman blog ini, saya terasa begitu kekok untuk berkongsi. Apa yang harus saya tulis? Bagaimana harus saya mula? Lama-kelamaan saya tinggalkan hasrat menulis itu begitu saja, berkubur apalagi saya sudah mula ingat-ingat lupa apa yang telah dibaca dan isi-isi menarik pembacaan tersebut.

Kini sudah hampir masuk musim panas. Suhu sudah meningkat mencecah 20 darjah celsius. Matahari juga sudah memancar dengan sangat terang seawal jam 5 pagi dan terbenam jam 9.30 malam. Masa siang yang panjang ini sememangnya waktu yang sesuai untuk siapa-siapa pun melakukan aktiviti kegemaran masing-masing.

Lebih mengujakan, sempena ulangtahun kelahiran saya 7 Mei lalu, saya dikejutkan dengan sebuah bungkusan sebesar 12 x 9 x 5 inci dari Amazon. Bagaimana tidak terkejut, bungkusan itu diserahkan oleh posmen pada jam 7 pagi (itu waktu tidur kami musim ini, maklumlah waktu subuh sudah tamat jam 4.50 pagi, jadi saya memilih bangun awal dan tidur semula) dan saya juga tidak ingat pernah memesan apa-apa barang dari Amazon sebelum itu, apatah lagi pernah memesan barang yang bersaiz besar sebegitu.

Apabila dibuka, terdapat sebuah kotak berbalut kertas hitam seperti bungkusan hadiah dengan sekeping kad tertera di atasnya: "To Rasydan, I have a riddle for you: What turns a bundle of Harry Potter books thinner than a magical wand? Ensure that you have the answer before opening this. Happy Birthday!"

Misteri sungguh, apa bendanya barang ini, sambil saya meneliti pengirimnya: From us. Siapa us itu? Saya hanya yakin mereka kawan-kawan serumah saya, barangkali. Tanpa menjawab soalan yang diajukan dalam kad, saya terus membuka dek rasa ingin tahu yang melampau. Alangkah terkejutnya saya melihat hadiah tersebut -  sebuah e-reader yang sudah lama saya idamkan sebelum ini -  Amazon Kindle.

Pagi itu, saya gembira, bercampur marah dan serba-salah. Kenapa tidak? Walaupun saya suka, harga Kindle tetap masih mahal, £111. Lebih kurang RM 500 lebih. Tetapi mereka yang terlibat (setelah saya paksa untuk mengaku) dalam 'projek' hadiah ini mengatakan harga itu sudah dikongsi bersama, jadi tiada siapa rasa terbeban. Saya akhirnya merelakan hadiah itu.

Musim panas sudah hampir tiba, dan sedar-sedar saja saya sudah habis membaca sebuah buku dalam e-reader saya, oleh Dan Brown bertajuk Deception Point. Dan setelah itu jumlah buku yang sedang dibaca dalam Kindle buat masa ini masih ada 3-4 buah. Juga sebuah buku (sebenar) setebal 500 mukasurat, hadiah oleh rakan saya dari Belfast--ketika berkunjung ke rumahnya tahun lepas--bertajuk The Map of Love, tertulis di muka awalnya: "Rasydan Fitri, Ilmu itu Cahaya."

Saya terasa ingin berkongsi semula buku-buku yang pernah saya baca sepanjang musim-musim tahun 2011 ini, antaranya The Lost Symbol (Dan Brown), The Five People You Meet in Heaven (Mitch Albom), The Duchess of Bloomsbury Street (Helene Hanff) dan tentunya yang terbaru Deception Point, juga karya Brown. Tetapi mungkin saya batalkan saja yang terdahulu ini. Mungkin akan berkongsi yang lebih baharu?

Sekarang butir-butir benih dandelion sudah tidak kelihatan. Daffodil sudah lama layu. Daisy, ros dan bluebells pula mampir, tanda pertukaran musim sudah tiba. Malam pun sudah semakin pendek, saya pun semakin resah melihatkan bintang seperti tidak kelihatan kerana langit membiru saja di waktu malam.

Masa untuk sarapan. Kebab yang dibeli semalam masih ada.

Saya memandang ke tingkap. Di luar, seekor tupai berlari-lari anak di atas pagar rumah. Saya gegas membuka pintu, mengejar sang tupai, tetapi akhirnya ia berlari menyeberangi jalan dan hilang di pepohonan.

helaianrindu: Terima kasih buat mereka yang memberi hadiah. Apa itu Amazon Kindle? - Rujuk sini dan sini.

Mac 07, 2011

Imbasan 2010

Lompong kosong ketiadaan entri ini saya isikan dengan imbasan tahun lalu yang hampir-hampir saya lupa untuk kongsikan. Sedikit kecewa dengan pencapaian pembacaan tahun lalu yang boleh dikatakan jumlahnya sedikit.

Walau apapun, tidak berguna juga kalau terlalu difikirkan mengenai kuantiti kalau kualiti tidak diendahkan - sejauh mana saya menghayati dan memahami isi buku-buku yang saya baca tahun ini, itu yang sepatutnya saya pedulikan.

Saya masih terus-terusan membaca fiksyen dan bukan fiksyen dalam jumlah yang hampir sama, tetapi sekarang saya lebih yakin yang membaca fiksyen tidak begitu baik hasilnya - lebih-lebih lagi jika isi buku tersebut susah untuk dikaitkan dengan hidup Islami, realiti hidup, mahupun muhasabah sikap diri.

Apa ini bermakna selepas ini saya akan lebih lagi menyelesakan diri dalam timbunan buku-buku fakta dan realiti? Tunggu dan lihat. Buku-buku Islami juga sepatutnya saya beri lebih perhatian.

Awal tahun ini saya masih belum dapat membaca sebuah buku dengan proper, malah kalau ada pun yang berjaya saya habiskan, minda sudah kering idea untuk berkongsi isinya. Sama ada saya menghabiskan buku itu terlalu lama sehingga keterujaan untuk bercerita sudah pudar dek masa atau buku itu sendiri tidak banyak isi yang boleh menjadi refleksi diri.

Bagaimana ya, 2011 ini?

Berikut senarai buku yang telah dikongsikan tahun lalu (tajuk buku adalah pautan kepada entri berkaitan):

1. Syahadatul Haq - Abul A'la Al-Maududi
2. Tuesdays With Morrie - Mitch Albom
3. Specimens: The Spirit of Zoology - Roger Lincoln & Phil Rainbow
4. Bedar Sukma Bisu - Faisal Tehrani
5. The Alchemist - Paulo Coelho
9. The Mozart Conspiracy - Scott Mariani
10. Sinergi - Hilal Asyraf
11. 84 Charing Cross Road - Helene Hanff
12. Salju Sakinah - Zaid Akhtar
13. Night of Rain and Stars - Maeve Binchy
14. Brisingr - Christopher Paolini
15. Secangkir Teh Pengubat Letih - Hasrizal Abdul Jamil
17. Emak Ingin Naik Haji - Ulasan filem, adaptasi cerpen karya Asma Nadia
18. Ramadhan, Tetamu Yang Dirindui - Abdul Hadi Awang
19. Setengah Berisi, Setengah Kosong? - Parlindungan Marpaung
20. Umar bin Abdul Aziz - Abdullah bin Abdul Hakam
21. Bahlut - Faisal Tehrani
22. Bercinta Sampai ke Syurga - Hasrizal Abd. Jamil
23. Negeri 5 Menara - A.Fuadi


Related Posts with Thumbnails