Jun 01, 2011

Musim

Hujung musim bunga. Saya berkira-kira sendirian, sudah lama tidak membaca sepuasnya. Apa agaknya buku yang akan saya pilih dan baca untuk cuti musim panas kali ini? Kuliah dan assignment semua telah usai awal Mei lalu. Kawan-kawan yang tinggal serumah dengan saya masih belum tamat pengajian tahun dua - mereka belajar di universiti lain dan sedang bertungkus-lumus mempersiapkan diri untuk peperiksaan akhir yang akan berakhir awal Jun.

Sementara mereka sibuk menelaah buku pelajaran, saya pula membelek-belek helaian-helaian yang saya rindui. Pastinya mereka cemburu melihat saya duduk-duduk membaca macam tiada kerja pula!

Selama beberapa bulan kebelakangan ini saya memang ada peluang mengakrabi beberapa buah buku. Tetapi setelah sekian lama saya tinggalkan penulisan di laman blog ini, saya terasa begitu kekok untuk berkongsi. Apa yang harus saya tulis? Bagaimana harus saya mula? Lama-kelamaan saya tinggalkan hasrat menulis itu begitu saja, berkubur apalagi saya sudah mula ingat-ingat lupa apa yang telah dibaca dan isi-isi menarik pembacaan tersebut.

Kini sudah hampir masuk musim panas. Suhu sudah meningkat mencecah 20 darjah celsius. Matahari juga sudah memancar dengan sangat terang seawal jam 5 pagi dan terbenam jam 9.30 malam. Masa siang yang panjang ini sememangnya waktu yang sesuai untuk siapa-siapa pun melakukan aktiviti kegemaran masing-masing.

Lebih mengujakan, sempena ulangtahun kelahiran saya 7 Mei lalu, saya dikejutkan dengan sebuah bungkusan sebesar 12 x 9 x 5 inci dari Amazon. Bagaimana tidak terkejut, bungkusan itu diserahkan oleh posmen pada jam 7 pagi (itu waktu tidur kami musim ini, maklumlah waktu subuh sudah tamat jam 4.50 pagi, jadi saya memilih bangun awal dan tidur semula) dan saya juga tidak ingat pernah memesan apa-apa barang dari Amazon sebelum itu, apatah lagi pernah memesan barang yang bersaiz besar sebegitu.

Apabila dibuka, terdapat sebuah kotak berbalut kertas hitam seperti bungkusan hadiah dengan sekeping kad tertera di atasnya: "To Rasydan, I have a riddle for you: What turns a bundle of Harry Potter books thinner than a magical wand? Ensure that you have the answer before opening this. Happy Birthday!"

Misteri sungguh, apa bendanya barang ini, sambil saya meneliti pengirimnya: From us. Siapa us itu? Saya hanya yakin mereka kawan-kawan serumah saya, barangkali. Tanpa menjawab soalan yang diajukan dalam kad, saya terus membuka dek rasa ingin tahu yang melampau. Alangkah terkejutnya saya melihat hadiah tersebut -  sebuah e-reader yang sudah lama saya idamkan sebelum ini -  Amazon Kindle.

Pagi itu, saya gembira, bercampur marah dan serba-salah. Kenapa tidak? Walaupun saya suka, harga Kindle tetap masih mahal, £111. Lebih kurang RM 500 lebih. Tetapi mereka yang terlibat (setelah saya paksa untuk mengaku) dalam 'projek' hadiah ini mengatakan harga itu sudah dikongsi bersama, jadi tiada siapa rasa terbeban. Saya akhirnya merelakan hadiah itu.

Musim panas sudah hampir tiba, dan sedar-sedar saja saya sudah habis membaca sebuah buku dalam e-reader saya, oleh Dan Brown bertajuk Deception Point. Dan setelah itu jumlah buku yang sedang dibaca dalam Kindle buat masa ini masih ada 3-4 buah. Juga sebuah buku (sebenar) setebal 500 mukasurat, hadiah oleh rakan saya dari Belfast--ketika berkunjung ke rumahnya tahun lepas--bertajuk The Map of Love, tertulis di muka awalnya: "Rasydan Fitri, Ilmu itu Cahaya."

Saya terasa ingin berkongsi semula buku-buku yang pernah saya baca sepanjang musim-musim tahun 2011 ini, antaranya The Lost Symbol (Dan Brown), The Five People You Meet in Heaven (Mitch Albom), The Duchess of Bloomsbury Street (Helene Hanff) dan tentunya yang terbaru Deception Point, juga karya Brown. Tetapi mungkin saya batalkan saja yang terdahulu ini. Mungkin akan berkongsi yang lebih baharu?

Sekarang butir-butir benih dandelion sudah tidak kelihatan. Daffodil sudah lama layu. Daisy, ros dan bluebells pula mampir, tanda pertukaran musim sudah tiba. Malam pun sudah semakin pendek, saya pun semakin resah melihatkan bintang seperti tidak kelihatan kerana langit membiru saja di waktu malam.

Masa untuk sarapan. Kebab yang dibeli semalam masih ada.

Saya memandang ke tingkap. Di luar, seekor tupai berlari-lari anak di atas pagar rumah. Saya gegas membuka pintu, mengejar sang tupai, tetapi akhirnya ia berlari menyeberangi jalan dan hilang di pepohonan.

helaianrindu: Terima kasih buat mereka yang memberi hadiah. Apa itu Amazon Kindle? - Rujuk sini dan sini.

6 ulasan:

[MH] berkata...

it's cool rasydan! skrg im plannig to have that kindle :)

dan berkata...

insya Allah, berbaloi sebenarnye kalau dapat satu kindle ni. rasa nak buat video reviu dalam bhs melayu la kalau boleh. tapi segan lah nak bercakap depan kamera. apapun, will update more on kindle from time to time.

anyway, jzkillah sudi membaca.:)

[MH] berkata...

rasydan, i wonder if this kindle kita boleh guna dekat malaysia?
atau dia boleh access kat certain2 negara je ya?

[MH] berkata...

kalau ada masa free untuk buat review lagi best. mmg smgt nak beli dh ni

dan berkata...

kindle boleh diguna di mana2, asalkan ada wi-fi. cuma wi-fi tu bukan selalu guna sangat pun - lainlah kalau banyak duit dan nak beli original books on amazon. ada websites n forum kat internet yg provide free ebooks utk kindle (bukan movie je ada pirated copy sekarang, huhu), boleh download beribu2 buku free dari situ je. then tak perlu buka wi-fi kindle pun, just transfer via USB dan you're ready to read anywhere.

takpe, insya Allah akan cuba cari masa buat review tu. nantikan :)

Norain MT berkata...

Beruntung En Rasydan dikelilingi kawan yang membudaya dan menghargai ilmu begitu. Saya, seumur hidup belum pernah menerima hadiah buku. Kalau ada kakak-kakak di Adelaide ni yang boleh diajak bicara buku, sayangnya pilihan mereka tersepit kepada buku fikrah semata. Bukanlah saya membenci buku-buku aliran Hassan Al-Banna segala, tapi sebagai seorang yang cintakan ilmu saya tagih pembacaan yang lebih varisasi. Sedih sekali apabila Harry Potter pun ada yang melabel sebagai tak boleh baca kerana lagha. Allah, sempitnya.

Related Posts with Thumbnails