Judul: Bahlut
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Ameenbooks
Tahun: 2010
Harga: RM23
Bil. mukasurat: 400
Perengheg!—Pecut! Itulah kalimat yang diungkapkan oleh Bahlut, seorang atlet trek dari suku kaum Semai. Awalnya, Bahlut cuma anak hutan yang ketinggalan pelajarannya, dan lari ke Kuala Lumpur untuk mengubati kecewa cinta monyetnya. Namun atas bantuan gurunya Zaiful, dia dibawa mengenali dunia sukan olahraga di atas trek lumba lari, di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil. Siapa sangka anak orang asli tidak boleh maju seperti orang lain? Siapa sangka pemuda yang kekampungan itu tidak mampu meraih kejayaan?
Novel ini dilatarbelakangi sebuah hutan di Sungai Telom di Pahang. Sekali lagi, Faisal Tehrani menunjukkan gaya versatilnya dalam pembikinan novel. Kali ini, karyanya mengadun dua dunia berbeza yang pada mata kasar tidak terlihat keterkaitannya: Sukan dan perhutanan atau alam sekitar.
Perbendaharaan yang Diperkosa
Usai solat subuh saya menonton rancangan Malaysia Hari Ini di TV3. Selalunya pagi awal begini mereka akan mulakan dengan membaca berita-berita utama di dada-dada akhbar utama tempatan. Petikan berita yang dibaca oleh hos itu di dalam suratkhabar The New Straits Times menarik minat saya kerana ada kaitannya dengan novel yang sedang saya baca.
“Timber and gold ripped off” (Baca berita di sini)
Rupa-rupanya di Malaysia, masih berlaku pembalakan dan perlombongan secara haram! Berita lanjut yang saya tonton di TV1 pula merungkai kes yang berlaku di Raub ini telah berjalan selama 4 tahun yang sudah. Lebih teruk lagi, aktiviti terlarang ini berkemungkinan besar ada kaitan dengan rasuah dan permainan politik, kerana tidak mungkin dalam waktu selama itu tidak ada pihak berkuasa yang menerima laporan ataupun menyedari sendiri khazanah negara kita dirobek begitu sahaja tanpa kawalan.
Begitulah yang terjadi dalam dunia Bahlut. Kampungnya menerima nasib yang sama. Individu yang sepatutnya mereka percayai rupa-rupanya mengkhianati mereka demi kepentingan materi dan diri sendiri. Mereka yang mengetahui dan yang cuba untuk mengetahui kes pembalakan tersebut pula menerima nasib malang dari pihak pembalak haram itu.
Sudah tentunya, apabila ada pihak berkuasa yang ikut campur menjayakan jenayah mereka, tidak ada tindakan tegas yang akan diambil kepada pembalak-pembalak itu. Malah yang berpihak kepada kebenaran, contohnya Kabut (kakak angkat Bahlut), Cikgu Zaiful dan Cikgu Zalman (bekas guru Bahlut sebelum ke Kuala Lumpur) diancam bahaya dan hampir-hampir tidak mendapat keadilan.
Selebriti, Satu Solusi
Di sinilah terhubungnya dunia sukan yang ditunggangi Bahlut. Sebagai atlet yang juga menjadi selebriti secara tidak langsung, dia berusaha keras meraih pingat. Dengan menjadi perhatian media, dia membawa mesej untuk mempertahankan tanah adat orang asli malah membanteras jenayah haram pembalakan demi menebus kembali apa yang telah dirampas dari mereka; keluarga, tempat tinggal, dan juga keamanan.
Situasi ini sudah lama menjadi satu cara efektif, bukan saja dalam melariskan produk, malah untuk meluahkan rasa protes ataupun merubah sesuatu keadaan secara drastik. Dalam buku ini ada dinyatakan tentang peristiwa Muhammad Ali, peninju terkenal, pernah melemparkan pingat emas Olimpiknya ke dalam Sungai Ohio untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap isu perkauman yang mengenepikan bangsa berkulit hitam di Amerika waktu itu.
Rujukan pantas di Internet menyatakan perkara ini masih tidak dapat dipastikan kesahihannya. Namun, lebih penting dari itu, kita dapat lihat bagaimana selebriti memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah dengan cepat dan efektif kerana perhatian media yang begitu kuat. Mungkin langkah ini bukanlah cara yang sepatutnya, tetapi dalam zaman ini, tidak dapat dinafikan ini merupakan antara cara yang sangat berkesan.
Contoh terkini memperlihatkan artis-artis dari negara kita yang ikut serta dalam misi kemanusiaan ke Gaza dan sudah tentu mendapat liputan meluas dari dunia hiburan. Sekaligus, secara halus menyuntik sifat peduli masyarakat khususnya remaja tentang isu Palestin.
Rancangan yang ditonton tengahari tadi juga satu bukti bahawa kejayaan seseorang serta kuasa media mampu memberi maklumat yang jitu dalam sesuatu hal. Program bertajuk Orang Asli Terbilang yang disiarkan di TV1 itu, mengetengahkan seorang juruhebah yang berketurunan orang asli Rompin dalam episod kali ini. Sememangnya sebagai seorang penyiar di radio, akan ada audiens yang tersendiri yang mudah mencerna ideanya. Penonton rancangan ini juga mampu menerima sebaiknya apa yang disampaikan oleh tokoh tersebut setelah dia berusaha untuk berjaya. Bukankah ini sama kesnya dengan Bahlut?
Sekali lagi ditekankan ini bukanlah cara terbaik, tetapi hanyalah antara alternatif yang sangat memberi respon dan impak pantas.
Selain jalinan dunia trek dan alam, pembaca dibawa mengembara bersama Bahlut dalam pencarian identiti diri dan mengenal Nyenang he nanek (Tuhan Yang Satu). Faisal Tehrani menggunakan sedikit elemen ‘mistik’ melalui elemen mimpi dan instinct para watak. Bahlut mengenali kehidupan beragama sejak dari kampungnya lagi tetapi mula didorongi kekuatan untuk menganut Islam setelah sekian lama tinggal bersama abang gurunya, Zaidi, yang tinggi ilmu dan akhlaknya. Peristiwa-peristiwa pahit manis yang menyelubungi dirinya sepanjang mengenali Zaiful dan Zaidi menjadikan Bahlut seorang yang lebih matang dan selalu berfikir.
Pertembungan dunia hutan batu kota Kuala Lumpur dan hutan asli juga memberi kesan yang segar. Meskipun jalan ceritanya tidaklah begitu unik, tetapi penggabungan latar-latar dari dunia berbeza ini bagi saya cukup menarik. Mesejnya cukup jelas. Tambah istimewa apabila bahasa suku kaum Semai menghiasi perbualan-perbualan para watak sampai pengakhiran novel.
Novel ini patut dipandang serius kerana walaupun hanya fiksyen, peristiwa jenayah yang berlaku di dalamnya adalah satu realiti yang masih membelenggu negara. Bukan sahaja realiti pahit dunia hutan, tetapi juga secebis dari dunia sukan.
Bahlut merupakan sebuah kisah terinspirasi dari pahlawan lagenda kaum Semai. Kata orang, from zero to hero!
HelaianRindu: Sesuai juga Bahlut dibikin jadi telefilem merdeka. Selamat Hari Merdeka!
2 ulasan:
pada pendapat saya, jalan cerita dlm Bahlut ini tidak memungkinkan ia dapat diangkat ke layar perak (drama tv) kerana amat sensitif bagi pihak kerajaan yang memerintah.
@naim
kalau nak kira sensitif..memanglah..sebab ada kaitan dengan pihak berkuasa yang terlibat menjayakan jenayah itu.. tapi ya, cuma idea saja..
lagipun isu ini baru keluar berita, maksudnya benda ni memang tak dinafikan betul2 berlaku. kalau2lah boleh buat drama, isinya sudah ada: Bahlut!
Catat Ulasan