Sabtu lalu saya baru berpindah keluar dari rumah sewa saya bernombor 19 di Dartmouth Road, Selly Oak. Satu rumah yang kami pilih kerana kedudukannya yang sangat strategik: keluar saja dari rumah, pandang ke kiri ada stesen tren, pandang hadapan berjumpa masjid. Jalan beberapa minit akan berjumpa restoran-restoran halal untuk disinggah sekiranya lapar, kemudian ke hadapan lagi akan sampai ke University of Birmingham. Rumah yang sangat istimewa, seperti setiap rumah yang ada di dunia ini, sifatnya unik, memberi kenangan yang tersendiri untuk penghuninya.
Saya masih ingat, kenangan pertama dan terakhir yang melibatkan tuan tanah rumah kami ini. Dia seorang perempuan Inggeris yang menghulur tangan untuk bersalam dengan kami para lelaki buat kali pertama, tetapi kami menolak lembut dan menerangkan alasannya. Pertemuan terakhir kami Sabtu lepas, setelah saling berbalas ucapan terima kasih dan selamat tinggal:
"I can't shake hands with you, I still remember that. But you (sambil berkata kepada suaminya) can shake hands with them," sambil dia ketawa kecil. Nampaknya, dia masih ingat pertemuan pertama kali kami.
Samalah juga dengan rumah sebelum itu, nombor 54 di North Road, di pekan yang sama (Selly Oak). Di situlah kami berenam lelaki bermain salji bersama-sama buat pertama kali, membina dua snowman, dan bergambar sakan. Mana mungkin juga saya boleh lupakan bilik saya di tingkat loteng, dan pengalaman menyangkut bekas aiskrim di luar tingkap semasa suhu di luar -18 darjah celcius, sebagai ganti peti sejuk yang rosak waktu itu.
Fikir-fikir, saya cuba mengaitkan dengan tulisan Ogawa yang saya sudahkan pembacaannya minggu lepas, The Professor and the Housekeeper. Dan, sempat saya juga tonton filem adaptasinya (dengan tajuk asal dalam bahasa Jepun yang bermaksud The Professor and His Beloved Equation) beberapa hari kemudiannya. Jika di dalam novel narratornya adalah pembantu rumah itu sendiri, di dalam filem ini anaknya Root yang menjadi tukang cerita. Root yang telahpun menjadi cikgu matematik di sebuah sekolah tinggi menceritakan tentang minat profesor terhadap nombor yang menyebabkan dia terinspirasi untuk mendalami bidang matematik. Kata Profesor, nombor itu merupakan ciptaan Tuhan yang sangat indah:
Lebih rinci lagi, profesor tersebut sangat cinta dengan nombor perdana. Root juga turut sama kagum dengan nombor-nombor ini, sambil menerangkan kepada anak-anak muridnya dia berkata:
"Nombor-nombor perdana ini jumlahnya tidak terkira - seperti jumlah bintang di langit malam. Tiada peraturan yang jelas untuk mencari nombor-nombor tersebut. Dalam kata lain, setiap satu daripada kalian, adalah unik dan istimewa sama seperti mereka."
Pernah pembantu rumah tersebut, ketika bekerja di sebuah rumah orang kaya setelah dipecat dari bekerja di rumah profesor, dia membuka peti sejuk dan mendapati nombor siri peti sejuk tersebut bernombor 2311. Beberapa hari dia cuba mengira dengan pensel dan nota kecil dalam koceknya, apakah nombor tersebut nombor perdana ataupun tidak. Nombor rumah saya, 19 adalah salah satu dari nombor-nombor perdana! Mulanya saya sangka 54 juga nombor perdana, tetapi Naufal teman saya menegur: "Eh, bukan ke 54 dibahagi 2 boleh dapat 27?"
Jadi rumah pertama saya di UK bukan rumah kegemaran profesorlah. Tapi saya yakin rumah itu masih unik, meskipun bukan bernombor perdana.
Dan ketika profesor mengajar penonton tentang nombor ajaib yang ditakdirkan bersama, saya teruja. Profesor menyenaraikan semua faktor (juga boleh disebut pembahagi atau divisor) untuk nombor 220 (yang merupakan hari jadi pembantu rumah tersebut - 20 Februari, atau ditulis sebagai 2/20) dengan faktor dalam nombor 284 (nombor pada belakang jam tangannya yang diterima sebagai anugerah sempena kejayaan teori matematiknya di kolej), dengan mengecualikan nombor tersebut sebagai faktor masing-masing (boleh faham ke ayat ni).
"Tambahkan semua faktor untuk 220 ini, hasilnya 284. Tambahkan semua faktor 284, hasilnya 220. Dua nombor ini digelar 'nombor karib' (amicable numbers). Pasangan nombor yang sangat nadir. Fermat dan Descartes masing-masing hanya menjumpai sepasang. Nombor-nombor ini disatukan bersama oleh susunatur Tuhan."
"Mengagumkan bukan? Tarikh lahir anda dan nombor yang tertera pada jam tangan saya terjalin dengan sangat sempurna."
Dan semenjak itu, pembantu rumah dan anaknya Root menganggap merekalah sahabat pertama profesor setelah dia hilang ingatan. Ikatan persahabatan antara profesor dengan pembantu rumah dan anaknya inilah yang menjadi elemen penting dalam filem ini. Unik bukan, bagaimana fakta matematik yang falsafi ini menjadi tunjang cerita, membayangkan bahawa takdir Tuhan mempertemukan mereka seperti dipertemukan pasangan nombor tersebut.
Bercerita tentang falsafi, hampir semua ilmu matematik yang dilontarkan oleh profesor, ada falsafah dan nada puitisnya. Nama Root juga diberi oleh profesor, meraikan kepala anak pembantu rumah itu yang rata seperti kepala tanda punca kuasa. Kata profesor, simbol punca kuasa itu pemurah, kerana ia menerima apa jua nombor di bawah naungannya. Kepala simbol punca kuasa juga kuat dan teguh, begitulah juga sifat anakmu, katanya lagi.
Bukan setakat itu, ada nombor sempurna (perfect numbers), definisi garisan (line) dalam matematik, dan nombor khalayan (imaginary number). Malah surat cinta profesor juga terkandung formula eiπ = -1 !
Meskipun fakta-fakta ini nampak menarik, profesor mengingatkan: "Hukum dalam matematik sangat cantik, tetapi hampir tidak berguna dalam kehidupan seharian kita. Walaupun ciri-ciri nombor perdana dapat dikenalpasti, kehidupan manusia tetap sama, dan tidak ada yang akan menjadi kaya disebabkan penemuan tersebut. Ada juga nombor perdana genap digunakan untuk menghantar kod rahsia dalam peperangan, tetapi itu bukanlah kegunaan sebenar matematik."
Katanya lagi, "Fungsi matematik adalah untuk membuktikan kebenaran. Jadi bukalah mata!"
Masih saya ingat lagi, janjang Fibonacci, satu nisbah yang terkandung dalam ciptaan-ciptaan Allah yang terdapat di muka bumi. Saya belajar ini sewaktu kelas seni (bukan matematik!). Dari permukaan sekuntum bunga kepada pusaran pada cangkerang, semuanya direkabentuk dengan menyamai nisbah yang ditemui oleh Fibonacci. Sifat ciptaan yang begitu rinci dan sempurna ini tidak mungkin boleh terjadi secara semula jadi sahaja, pasti ada Perekabentuk yang Maha Bijaksana! Bukankah agung, melalui matematik sekalipun kita boleh mengenal dan meningkatkan keimanan kita kepada Allah…benar, kita perlu lebih membuka mata!
Filem ini sudah mendapat jalan cerita yang asli, apa yang kurang hanyalah dari segi sinematografi yang sangat boleh diperbaiki untuk memberi kesan yang lebih dramatik. Saya sendiri ada berimaginasi sudut pandang kamera yang mungkin sesuai untuk babak-babak tertentu, juga muzik jenis bagaimana yang sesuai melatarinya. Tetapi tidak mengapa, yang lebih penting adalah mesejnya, yang saya kira sudah jelas.
Saat ini, saya sudah masuk ke rumah baru di Hubert Road, bernombor 33A. Kecewa juga saya sekejap sebab bila dihitung-hitung, 33 juga bukan nombor perdana seperti 54. Tetapi apabila saya lihat faktor-faktor untuk 33 selain nombor itu sendiri (1, 3, 11) semuanya merupakan nombor perdana. Saya bayangkan mereka sebagai 3 lagi ahli rumah saya yang akan bersama saya untuk setahun akan datang - yang unik dan istimewa belaka!
helaianrindu: Buat mereka yang sudah berkahwin, hargailah pasangan 'nombor karib' kalian! (Terima banyak berita pernikahan musim panas ini) Yang bersahabat juga sama :)
6 ulasan:
Salam,macamana saya boleh dapat tengok movie yang dikongsikan?:)
erm, saya download di sebuah forum di internet. Kena search di google, atau boleh cari di website tersebut: http://www.warez-bb.org/ di bahagian movies dengan tajuk 'the professor and his beloved equation'.
terima kasih..wallahu bia'unak! :)
Salam, seronok baca ulasan kamu ni.....nak cari lah buku tu
cikgu norasiah:
wslm cikgu, ada peluang carilah, insya Allah bermakna :)
Salam.
Bertamu ke sini secara tidak sengaja dibawa En Google ketika mencari ulasan buku ini.
Saya baru selesai membacanya dan sedang mencari idea bagaimana untuk berkongsi keindahannya!
Salam kenal =)
Catat Ulasan