Selamat hari raya dan selamat hari kemerdekaan ke-54! Tahun ini hari raya jatuh sehari sebelum hari Kemerdekaan di Malaysia. Tidak hairanlah iklan di kaca televeisyen dan media semuanya menunjukkan kekreatifan masing-masing mengobar-ngobarkan nilai dalam dua perayaan ini. Sebelum ini macam-macam dah digabungkan dengan hari raya - tahun baru cina dengan Gongxi (Kongsi) Rayanya, Deepavali dengan DeepaRaya, macam-macamlah pula Melayu ni. Kadang-kadang terlebih kreatif sampai tak mengenal batasnya. Tapi itu lain cerita.
Bila bercerita tentang kemerdekaan pula, tentulah terkenang peristiwa yang selalu kita pelajari di sekolah - kisah Tunku Abdul Rahman dengan usahanya membebaskan Tanah Melayu, dan jauh lagi sebelum itu, bagaimana bermulanya sebuah penjajahan di Kepulauan Melayu dan kisah-kisah perjuangan rakyat menentangnya. Saya rasa ramai generasi muda sekarang, termasuklah saya, mungkin sukar sekali menghargai kemerdekaan dan keamanan yang kita genggam sekarang. Atas pelbagai sebab semestinya - kerana kita terlalu jauh dari mengalami kesusahan generasi lalu, dan hanya take it for granted sahaja. Malah, mungkin kami yang muda ini kurang ilmu, kurang membaca, kurang pengetahuan mendalam tentang perjuangan dan sejarah terdahulu.
Berbeza pula dengan rakyat Arab di Timur Tengah. Bermula dengan kebangkitan rakyat di Tunisia, negara-negara Arab mula bangun menentang pemerintahan kejam oleh bangsa sendiri. Dan kesusahan yang ditimpakan oleh mereka, anak muda yang merasa azabnya. Revolusi yang dilaksana, anak mudalah tunggaknya. Merekalah yang memperjuangkan sendiri nasib mereka, dan setelah itu harga sebuah kebebasan itu tentulah tersangat manis, dan pastinya akan cuba dikekalkan sedaya mungkin.
Tweets from Tahrir, adalah sebuah naskhah yang menyoroti detik-detik bersejarah kebangkitan rakyat di Mesir menentang diktator Hosni Mubarak. Berpusat di Tahrir Square, mereka yang hadir untuk menyatakan hasrat mereka supaya Mubarak berundur, menggunakan teknologi untuk merakam saat-saat penting itu. Seperti sebuah lintas langsung, setiap butir pengalaman berharga, perasaan, buah fikir, khabar angin, amaran dan pengumuman semuanya dikemaskini melalui laman sosial Twitter. Sesuai dengan pelaksana yang kebanyakannya terdiri dari golongan shabab, teknologi yang digunakan oleh mereka digunakan sebaik mungkin.
Apabila 'kicauan-kicauan' (tweets) ini disusun bersama, ia menjadi sebuah cerita. Penulis yang berbeza, tetapi cerita yang sama, rasa yang sepunya. Penggunaan Twitter sebagai medium menyampai berita menampakkan konteks zaman berlakunya peristiwa ini. Jika mungkin sebelum ini kita selalu disajikan dengan fakta-fakta dan kisah sejarah melalui orang ketiga (penulis buku dsb), dalam buku ini pengalaman menuntut kemerdekaan itu datang terus dari mereka yang melihat dan merasa dengan mata kepala mereka sendiri.
Apatah lagi bila kemaskini status di Twitter hanya mengehadkan jumlah aksara sebanyak 140 - menjadikan setiap 'kicauan' yang dipos di laman tersebut ringkas, tetapi padat dengan emosi. Kadangkala selepas dicederakan pun mereka masih sempat mengemaskini status mereka pada waktu itu. Semangat mereka sangat mengagumkan, sehinggakan ada yang sanggup menelefon ke luar negara, meminta kenalan mereka untuk mengemaskini bagi pihak mereka (kerajaan Mesir pernah menyekat akses internet selama sehari).
Saya sudah menamatkan bacaan beberapa minggu yang lepas, tetapi dalam peluang menyambut kemerdekaan ini baru saya terfikir idea untuk berkongsi. Cuba anda bayangkan, sekiranya di dataran Merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 itu, mereka yang menyaksikan perjuangan menuntut kemerdekaan dari British sempat merasai teknologi untuk berkicau ini, sudah tentu ia menjadi satu kisah yang sangat bermakna, sama seperti mereka yang menuntut hak rakyat di Tahrir Square awal tahun ini. Tentu satu perkara yang epic seandainya sejurus selepas Tunku Abdul Rahman melaungkan kalimah keramat itu, beliau mengemaskini status dengan satu perkataan dalam huruf besar: MERDEKA!
Saya membayangkan, status sebegitu, yang dilaungkan dengan rasa lega dan puas, sudah tentu bercampur selautan rasa, biarpun hanya satu perkataan tanpa suara ditayangkan di seluruh dunia! Dan jika anak-anak merdeka pada zaman akan datang membaca sorotan sejarah itu, barangkali dorongan untuk terus memahami harga kemerdekaan akan sentiasa subur.
Semua penyataan saya di atas masih dipenuhi dengan kata-kata 'mungkin', 'seandainya', 'jika' dan sebagainya, padahal yang perlu dididik adalah diri sendiri, kerana mana mungkin sejarah bisa diubah. Tetapi, seperti terkesannya saya membaca detik-detik bersejarah melalui buku ini, seperti itulah gambaran saya apabila berlaku perkara yang sama di dataran Merdeka 54 tahun yang lalu...
Saya tahu ramai yang tidak suka sejarah kerana selalu berdindingkan fakta demi fakta. tetapi Tweets from Tahrir adalah sebuah buku sejarah yang berbeza cara penyampaiannya. Fakta hanya disampaikan oleh editor dengan sedikit ringkasan tentang kejadian-kejadian yang berlaku setiap hari sepanjang berlakunya revolusi, tetapi isi status oleh 'pengicau-pengicau' (tweeters) semuanya pelbagai. Meski sedang serius berjuang sesungguh-sungguhnya, ada masanya mereka berjenaka. Malah ada tweets dari akaun Hosni Mubarak (kemungkinan besar yang palsu) diselitkan di sana-sini sebagai rencah jenaka.
Kisah benar kehilangan Pengurus Pemasaran di Google Timur Tengah, Wael Ghonim, (sisi peristiwa revolusi yang mungkin kurang diketahui) di tengah-tengah hiruk-pikuk revolusi pula menjadikan buku ini seperti sebuah novel yang menimbulkan persoalan, saspens dan kejutan. Editor patut dipuji kerana berjaya menyunting buku ini dengan baik. Masakan tidak, kemaskini Twitter oleh seorang sahaja waktu itu sudah berjumlah lebih 60,000 patah perkataan jika dikumpul bersama! Proses pemilihan tweets itu pasti sukar, tapi ia berhasil.
Untuk menambahkan keaslian isi, penyunting langsung tidak memperbetulkan ejaan atau kesalahan tatabahasa yang ditulis dalam setiap tweet. Secara tidak langsung kita dapat rasakan perasaan cemas dan tergesa-gesa dalam kesalahan-kesalahan itu. (Sekali-sekala ada juga perasaan jemu, mungkin kerana ada tweet yang isinya hampir sama, atau diulang-ulang di sana-sini, tetapi harus diingat ini bukan satu kisah ideal dengan ayat novel berbunga-bunga, tetapi kisah realiti yang menunjukkan perasaan sebenar.) Di samping itu ada gambar yang dimuatnaik melalui aplikasi TwitPic. Gambar-gambar itu juga ada yang menyentuh hati, dan memberi semangat - dari bermulanya demonstrasi sehinggalah proses membersihkan kawasan.
Antara tweet yang kelakar (diambil dalam bab satu, The Spark - tentang Tunisia saat ia mendapat kebebasan):
'Dear people watching Arab's Got Talent, there's a better show going on called Tunisia's Got Freedom. Watch that.'
Malah baca yang ini (semasa revolusi masih berjalan):
'At Tahrir sq. you can find pop corn, couscous, sweet potatoes, sandwiches, tea & drinks! Egyptians know how to revolt!'
dan saat Mubarak turun dari takhtanya:
'Who did this? WE did, the people. Without guns. Without violence. Rather, with principles and persistence. Mabrouk, everyone!'
'The real hero is the young Egyptians in Tahrir Square and the rest of Egypt.'
Buku ini sememangnya satu revolusi dalam dunia perbukuan, tidak rugi membacanya. Apalagi, sempena kemerdekaan ini, saya cadangkan naskhah ini!
Kullu 'am wa antum bikhair.
helaianrindu: Tentang kemerdekaan, saya terkenang kata-kata Rib'i bin Amir di hadapan angkatan tentera Parsi: "Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, daripada kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan