Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: Galeri Ilmu
Tahun: 2010
Harga: RM23.00
Bil.mukasurat: 500
Novel kelima Hilal Asyraf kali ini berkonsepkan slice of life komuniti pelajar Melayu di Jordan. Cerita dibawa dari pelbagai sudut pandang ketiga. Memandangkan latarnya sangat benar dan bukanlah fiksi, naskhah ini secara tidak langsung saya pandang juga sebagai semi-fiksyen, kerana penulis menceritakan pengalaman dan berkongsi suasana yang dialaminya sendiri, sebagai salah seorang pelajar di Universiti Yarmouk, Jordan. Bukan setakat latar tempat, latar masyarakat, nama-nama yang terlibat juga ada yang benar. Saya menyedari ini kerana banyak di antara nama itu disebutkan di dalam laman sesawangnya.
Sinopsis
Rasyid Zakwan dan Irfan Hakimi. Dua sahabat akrab ini memberi kesan harmoni kepada masyarakat sekeliling mereka, apatah lagi pelajar Melayu yang tinggal di Irbid, Jordan. Namun ujian datang menguji kelangsungan ukhuwwah mereka. Disaster Five, lima pelajar bermasalah hadir dan memanipulasi konflik dua sahabat ini untuk memporak-perandakan semua. Rancangan tersebut diperhebat apabila hadir pihak ketiga bergelar Secret, yang mendendami Irfan atas kematian abangnya. Irfan dan Rasyid pelu mencari jalan untuk menawan hati mereka semula supaya kembali ke arah kebenaran.
Tarbiyyah Sepanjang Tahun, Oh Bukan, Sepanjang Hidup!
Pembawaan kisah kehidupan pelajar di bumi asing hampir setahun bermula Ramadhan bukan sahaja menelusuri tarbiyyah manusia sepanjang tahun, tetapi sepanjang hidup. Melalui Ramadhan contohnya pembaca diperkenalkan keutamaan taqwa; Iduladha pada mustahaknya pengorbanan dan cinta. Permasalahan yang selalu melayang dalam fikiran remaja khususnya banyak dibincangkan dalam novel ini. Ilmu itu pula, menariknya, disampaikan melalui medium yang bervariasi, dari ayat-ayat Al-Quran sehinggalah bingkisan sirah. Tambah telus bila pengarang bermain dengan analogi, permainan emosi, hati juga psikologi.
Penulis mengajak kita berfikir pada setiap kata-kata yang dilontarkan. Setiap adunan tazkirah dan nasihat adalah bertujuan membangunkan hati-hati yang masih nyedar. Membuatkan setiap apa yang diselitkan dalam program-program seperti usrah dan introspeksi menjadi penting, dan penulis menyuruh kita menyedari itu secara halus. Kalau tidak bangkit 'disimbah air' kesedaran juga, kita masih perlu baiki diri!
Tentang Dakwah
Sinergi merupakan satu buku panduan yang cantik dalam menyampaikan mesej dakwah yang indah lagi halus. Kemunculan Disaster Five, lima orang pelajar dengan bermacam-macam ragam merupakan simbolik kepada mad'u atau objek dakwah yang perlbagai. Setiap individu yang didekati dalam menyampaikan dakwah mempunyai latarbelakang berbeza, masa silam, kelebihan, juga kekurangan yang tidak sama. Tentunya, cara menyentuh hati-hati setiap satu dari ahli Disaster Five ini juga tidak sama. Harith digoncangkan hatinya dengan kekuatan fizikal. Yusuf disuguhi dengan jasa, begitu contohnya.
Aspek lain dalam dakwah adalah seputar usaha. Dakwah tidak dipandang pada hasilnya dahulu, tetapi yang lebih didahulukan sepatutnya usaha yang telah dikerahkan. Sekalipun para mad'u tidak meyahut seruan dai'e, tanggungjawab yang kita pikul itu sudah kita laksanakan dengan sebaik-baiknya. hasilnya adalah di dalam tangan Allah jua. Hal ini ditonjolkan dalam usaha Irfan yang tidak putus asa mendekati ahli-ahli Disaster Five.
Dalam menyelami tugas dai'e rasa tanggungjawab perlu dihayati terlebih dahulu. Betapa tugas sebagai da'ie ini bukan mudah. Masalah saudara-mara kita, saudara seagama kita perlu difahami seintim mungkin, bukannya memerhati dari permukaan, tetapi menggulatinya dari dasar. Pengalaman ini telah diceritakan melalui Asid yang resah berfikir mengenai tanggungjawabnya kepada mereka yang masih belum merengkuh hidup bertarbiyyah. Pernah, saya membaca sebuah novel inggeris karangan Maeve Binchy, dalam menyelesaikan sesuatu masalah, katanya: Don't just look on it, but be a part of it as well. Baru kita boleh faham situasi yang melanda.
Selain itu, dinisbahkan juga metod dakwah kepada dua: Dakwah fardiyyah untuk anggota-anggota Disaster Five. Dakwah berskala besar pula berlaku antara warga PERMAI (Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid). Uslub yang dipertontonkan pada pembaca semuanya bertunjangkan apa yang dibawa oleh baginda Rasul dan para sahabat, lalu diperhalusi lagi dengan seni dakwah Imam Hassan Al-Banna dengan sahabat sefikrahnya Ikhwanul Muslimin. Berhikmah, dan tidak putus asa.
Kenapa Sinergi?
Pengarang dengan suka memperkenalkan kepada kita jalur konsep ukhuwwah dengan bancuhan urnanya yang tersendiri. Dalam Sinergi, konsep tersebut merujuk kepada formula 1+1=3, tidak semestinya dua jawapannya. Formula ini mengajar pembaca betapa kesatuan dua individu bakal melahirkan sesuatu yang luarbiasa, kerana tanda campur itu merupakan iman. Gugusan iman yang menyatukan dua saudara ini akan menggerakkan mereka menggenggam tali Allah.
Hablum min an-naas dalam novel ini begitu signifikan sifat dan nilainya, begitu juga seperti yang diutarakan dalam novel-novelnya yang terdahulu. Penekanan cara dan sebab melalui persoalan kenapa dan bagaimana yang sering disuakan kepada pembaca menerusi watak pelajar-pelajar sanfur (gelaran pelajar baru di sana) mengajar kita sebenar letak duduk perkara.
Ukhuwwah dengan sahabat bukan sahaja menuntut kita menggaluri haknya sebagai sahabat. Malah penulis menggarisi adab-adab dan tingkatan ukhuwwah yang perlu dikenalpasti oleh setiap manusia yang punya dan ingin mempunyai sahabat persis Asid dan Irfan, yang karibnya hanya kerana Pencipta.
Watak & Cerminan Diri
Mungkin bagi kita, watak Irfan dirasakan hampir sempurna, hampir tiada cacat cela pada perkataan dan perbuatannya. Tetapi di mana salahnya watak sebegitu? Irfan adalah seorang watak contoh, watak idaman setiap manusia. Pembaca disuluh dengan pemikiran watak ini supaya kita dapat mencontohinya. Watak kurang sempurna masih ada, tentunya dinisbahkan pada komuniti pelajar Melayu di Irbid yakni warga PERMAI sendiri, yang sekejap baik lakunya dan sekejap lagi sedikit kurang teliti. Setelah ditegur barulah insaf kembali.
Watak 'kembar' atau sahabat akrab Asid dan Irfan pula menggambarkan kepada pembaca mengenali dua sisi diri: satu menuntut kebaikan dan satu lagi keburukan. Asid bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, tetapi dia kurang stabil emosi dan fikirannya berbanding watak Irfan. Dua watak berbeza ini bukan sahaja mencerminkan sifat dua sahabat, malah seharusnya diimplementasikan dalam figura sendiri.
Dalam hati kita, akan ada emosi yang mengganggu. Hati juga dijamu dengan jalan keburukan dan ketaqwaan. tetapi yang beruntung adalah orang yang memilih jalan kesucian. Ini dibuktikan dalam Al-Quran surah Asy-Syams ayat 8-10, dan tercermin pula pada watak Asid yang berjaya mengelakkan diri dari kefasadan.
Pun begitu, di sebalik kekuatan novel ini, sedikit kekurangan yang saya rasa boleh diperbaiki ialah rincian yang disertakan dalam buku ini. Kadang-kadang maklumat yang disampaikan agak deskriptif dan teknikal bagi saya. Watak-watak sampingan yakni pelajar-pelajar Melayu yang disebut namanya di sana-sini juga boleh dikurangkan. Ketika saya membaca novel ini, saya terkeliru dengan nama-nama yang banyak. Setiap satunya pula diperincikan dengan jurusan dan tahun pembelajarannya, tambah mengelirukan kadangkala.
Pada awal bab contohnya, pembaca terus diperkenalkan kepada watak yang agak banyak, setiap satunya belum cukup 'dekat' dengan pembaca. Watak-watak utama seperti Asid, Irfan, Syafiq, Erman dan Baha contohnya perlu difokuskan terlebih awal sebelum watak-watak pelajar lain dibabitkan. Setelah pembaca mampu mengikat diri mereka dengan watak utama ini, barulah watak sampingan itu di selitkan sedikit demi sedikit. Atau mungkin juga penulis secara tidak langsung ingin mengatakan bahawa setiap watak itu penting? Hanya penulis saja mampu menjawabnya.
Perkara-perkara kecil juga boleh diperbaiki, antaranya Yusuf, Wafiq dan Harith yang sekejap bertukar ganti dari kata ganti 'saya' kepada 'aku' ketika mereka meluah rasa tentang masa silam mereka, punca mereka memberontak sebegitu rupa pada Irfan, Asid dan rakan-rakan. Dengan penelitian yang lebih, seni penceritaannya pasti lebih sempurna.
Novel ini mengingatkan kita peri pentingnya hidup di bawah wuwungan Allah, dan bagaimana hebatnya jika merengkuh diri kepada sahabat bukan kerana materi, tetapi berpaksi imani. Jika kalian dahagakan curahan tarbiyyah dari sebuah buku, rengkuhlah Sinergi, nescaya hati akan terisi, Insya Allah.
HelaianRindu: Alhamdulillah, kembali menjamu novel berbahasa Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan