Memaparkan catatan dengan label klasik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label klasik. Papar semua catatan

September 27, 2009

Salina & Sosial

Judul: Salina
Penulis: SN A. Samad Said
Penerbit: DBP
Tahun: 1989
Bil. mukasurat: 508

Dulu seorang sahabat saya, Syahmi, pernah minta pada saya untuk carikan novel ini. Puas saya cari online (maklumlah beli cara macam ini senang kalau dah tahu judul yang nak dibeli) tapi tak berjumpa. Beberapa bulan lepas itu saya pergi ke Pesta Buku di PWTC (April lepas) dan bertanyakan seorang abang yang menjaga booth Dawama mengenai Salina. Saya pun berminat memilikinya juga sebenarnya, jadi cepat-cepat saya bertanya.

"Kami dah tak cetak Salina lagi." Ringkas jawapannya.

Kecewa itu terubat baru beberapa minggu lepas, apabila saya terjumpa Salina cetakan lama di perpustakaan kecil di kampung saya ini. Alhamdulillah terus saya pinjam. Mulanya ingin meminjam versi ringkas (abridged). Ya semacam kita membaca karya klasik orang putih yang sekian panjang tetapi kini banyak pula versi ringkas yang diolah semula. Tapi alang-alang dah terjumpa versi panjang sekali, baiklah saya baca yang penuh itu. Mungkin selepas ini tak berpeluang lagi.

Kembali kepada Salina. Ringkasnya, Salina ini cerita seorang pelacur dan juga jiran-jirannya di sebuah perkampungan di Singapura. Kampung itu bernama Kampung Kambing. Kampung Kambing, kerana rumah mereka itu asalnya kandang kambing yang diperbaiki sedikit dan dijadikan rumah untuk orang tinggal. Salina adalah antara penduduk dalam rumah itulah. Dia tinggal bersama seorang lelaki bernama Abdul Fakar, yang bukan suaminya sebenarnya. Sebagai seorang pelcaur, yang malah 'menyara' seorang lelaki simpanan, tentu banyak fitnahnya. Dan  turut menghidupkan novel ini ialah cerita mengenai jiran-jirannya, yang sama-sama mempunyai masalah kekeluargaan, kewangan dan pelbagai lagi.

Saya berminat dengan latar sosial yang ditonjolkan dalam Salina. Jangan salah faham, bukan tentang suasana lacur-melacur yang wujud itu. Tetapi kesusahpayahan hidup masyarakat di kawasan tersebut. Salina sendiri sebenarnya adalah seorang mangsa perang. Perang Dunia Kedua meragut nyawa keluarga dan kekasih pertamanya, menjadikan dia kini sebatang kara. Demi menyara hidup dia terpaksa menjual diri. Juga, saya memikirkan kesusahan penduduk Kampung Kambing itu tinggal di dalam rumah yang serba kekurangan, bekas tinggalan kambing pula. Bocor di sana sini bila hujan turun mencurah. Kemudian kesusahan mendapatkan air. Mereka di kampung itu hanya boleh menumpang mengambil air di berek pekerja PWD (Public Works Depatment) di seberang jalan, itupun hanya di waktu malam ketika tiada orang menjaga kawasan itu. Tidak seperti kita sekarang, rumah bukan main besar, air bukan main banyak sampai berjoli sakan bermain air.

Mencari rezeki untuk menampung hidup pun bukan mudah. Abang kepada Nahidah (seorang jiran Salina, yang diminati oleh Fakar) contohnya, sampai sudah tidak mendapat kerja, akhirnya meninggalkan kampung itu untuk menjadi tentera. Narto, abang angkat Nahidah pula semakin susah mencari makan sebagai pengayuh beca kerana sudah ramai yang menaiki teksi. Yang menjadi mangsa akhirnya ialah Nahidah, kerana Narto tidak dapat mencari rezeki yang 'mencukupi' buat ibunya. Ibu mereka, Zarina itu ingin hidup mewah, maka dipaksa Nahidah bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran. Pelayan waktu itu macam di kelab malam lagaknya, bukan saja mengambil pesanan dan membawa makanan, tetapi kadang-kadang melayan pelanggan lelaki dengan badan. Mungkin saja nampak sama dengan kebobrokan sosial zaman kini (malah lebih teruk lagi) tetapi hakikatnya, di sebalik semua itu, kebanyakannya bertumpu pada satu titik persamaan: mereka terdesak mencari duit demi meneruskan kehidupan. Dan inilah yang membezakan mereka dengan masyarakat zaman ini. Bukan terdesak, tetapi 'gersang' dan memang sukarela memunah maruah.

Saya secara peribadi turut tertarik dengan watak Hilmy, seorang jiran yang baru berpindah ke kampung itu. Hasil pemerhatiannya kepada keadaan tempat tinggal mereka di zaman itu dia memasang impian untuk menjadi pembuat pelan rumah. Sekarang saya sudah jelas matlamat dia hendak menjadi arkitek. Tetapi, saya masih tidak nampak matlamat saya seperti dia, mungkin kerana tiada masalah seperti itu sekarang. Kesal juga mengenangkannya. Apapun, setidak-tidaknya, Hilmy berjaya menegur diri saya secara tak langsung untuk berfikir letak duduk hala tuju hidup saya kelak.

Saya juga kagum dengan Salina kerana dia sanggup menyara pelajaran Hilmy. Ya, ketika itu bukan senang untuk belajar. Untuk dapatkan kerja yang bagus, perlu bersekolah di Sekolah Inggeris. Dan tidak semua yang dapat belajar itu dapat teruskan pembelajaran, kadang banyak yang berhenti kerana kesempitan wang dan bermacam-macam lagi sebabnya. Salina yang tidak beroleh peluang itu sangat berharap Hilmy berjaya mencapai cita-citanya, agar hidup Hilmy tidak sepertinya. Pelacur yang berjiwa besar, mungkin pelik bunyinya, tapi itulah Salina.

Karya klasik ini sememangnya membawa kita ke luar pagar kelaziman, disebabkan latar masa dan sosialnya itu yang susah untuk kita hayati dalam buku-buku terkini. Sebagai generasi muda yang lahir dalam kecukupan materi dan jauh sekali dari aftermath perang Salina membantu saya mengenali dunia nenek moyang kita. Saya juga dapat banyak iktibar dan mampu melihat hidup memalui perspektif berbeza. Saya berharap pembaca lain juga mampu bermuhasabah melalui Salina, kerana novel harus juga mendidik selain menghibur.

Syukur, itulah iktibar utama!

Kemudian...

Sabtu lalu, saya terjumpa buku Salina di Kuala Lumpur. Nak membeli tapi sempit kocek! Sempat berkongsi dengan Syahmi cerita ini, tapi sayang dia sudah balik semula ke Jordan menyambung pengajian (hari ini), jadi tidak sempat membelinya. Tak apalah, ada masa, kita pergi beli buku sama-sama ya Syahmi, boleh ajak Naqeb sekali.

Kini hasrat saya mengumpul karya Sasterawan Negara makin menebal!

helaianRindu: Muak dengan rancangan TV yang pelakonnya pun menjual badan. Free pulak tu. Sabar je.

September 13, 2008

The Prisoner Of Zenda


Kali ini walau buku bahasa Inggeris saya ingin berbahasa Melayu. Minta izin, takut-takut dirojakkan, jangan marah ya.

Rasa-rasanya semua kenal novel yang satu ni. Disebabkan ia sebuah novel yang wajib dikaji oleh pelajar Tingkatan 3 (zon mana dah tak ingat.) jadi mesti ramai yang tahu. Apapun biar saya ceritakan serba sedikit, terutama pada yang tak berpeluang mengkajinya. Ah ya, dan yang ini versi ringkas sebenarnya, yang mat saleh panggil abridged version. Kalau nak yang versi asal cari ajelah di kedai. Mesti ada punyelah.

Asalnya membaca yang ini sebab terpaksa. Nak PMR ni. Mesti kena baca kan? Tapi bila dah baca seronok pulak. Konflik politik dan cinta yang dihadapi oleh Rudolf Rassendyll semasa keberadaannya di Ruritania memang mengujakan. Percutian ke Ruritania untuk menyaksikan acara naik takhta Raja bertukar menjadi sesuatu yang tak dijangka. Rupa dan wajahnya seiras dengan King Rudolf waktu itu, menyebabkan dia terpaksa menjadi political decoy apabila raja ditangkap. Rudolf terpaksa menggantikan raja naik takhta untuk menyelamatkan situasi itu. Dalam masa yang sama dia diancam oleh musuh raja yang ingin merampas takhta--Duke Michael of Strelsau dan kuncunya Rupert of Hentzau--yang juga meracun Raja Rudolf V yang sebenar dan menjadikannya tahanan di Zenda.

Berdepan dengan konflik dari pelbagai pihak, Rudolf mesti mentadbir negara, juga perlu berhadapan dengan cinta. Ya, dia jatuh cinta dengan tunang Raja Rudolf V, permaisuri bernama Flavia, yang juga jatuh cinta padanya.

Raja yang sebenar mesti dikembalikan ke takhtanya. Tapi, Rudolf, bagaimana dengan cinta?

Menyentuh hati! Ya itu perasaannya saat membaca The Prisoner of Zenda. Pastinya versi asal lebih bosan sebab lebih panjang, tapi semestinya lebih adventurous. Yang ini pendek sangat, kejap je dah habis membacanya. Cerita terlalu compact. Padat. Pace jadi terlampau cepat. Hinggakan bahagian dengan Princess Flavia pun dipercepat, tak terasa dibuai cinta. Ahahaha gelinya (kata tak suka novel cinta). (Bukan tak suka, tapi tak berapa suka. Mungkin POZ dikecualikan sebab cinta diorang tak jadi kut.) Anthony Hope (penulis) ada menulis sekuelnya, tahun 1898 dulu..(ya POZ ni novel lama, tahun 1894). Tajuknya kalau ikut Wikipedia, Rupert of Hentzau. Teringin nak baca. Tapi tak pernah nampaklah pulak. Mana nak cari ek.

*Kata Din Paiman BADAR akan dihazafkan di Kisas. Macam mana tu? Apa sebabnya? Apa salah Badar?!

Februari 03, 2008

Jambatan ke Dunia Impian: Bridge to Terabithia


Judul: Bridge to Terabithia (BTT)
Penulis: Katherine Paterson
Penerbit: Harper Entertainment
Tahun: 2007
Harga: RM26.90

Kali ini saya berkesempatan juga untuk menulis semula cerita buku. Almaklumlah sekarang cuti sempena tahun baru cina. Masa di Intec telah dipenuhi dengan assignment yang tak terkira banyaknya. Jadi saya akan guna masa ini sebaiknya.

Bridge to Terabithia mengisahkan Jess yang bertemu dengan Leslie - yang sangat gemar membaca dan bercerita tentang kisah-kisah fantasi kepadanya. Suatu hari Leslie ingin mencipta dunia fantasi impiannya sendiri, lalu dia memberitahu hasratnya kepada rakan sekelasnya itu. Jess, yang gemar melukis makhluk-makhluk aneh telah membantu Leslie merealisasikan dunia impian mereka itu dengan melukis suatu dunia yang di dalamnya merupakan imaginasi mereka. Hanya dengan meyeberangi sebuah sungai kecil tidak jauh dari kediaman mereka, mereka akan sampai ke 'dunia' tersebut. Jess menjadi raja dan Leslie pula sebagai permaisuri. Mereka sebagai pemerintah, menamakan dunia itu "Terabithia".

Dalam membahagi masa 'memerintah' dunia mereka itu, Jess dan Leslie juga berhadapan dengan masalah di sekolah, antaranya masalah buli yang melibatkan adik Jess, May Belle.

Saksikan bagaimana mereka membina sebuah persahabatan dan mengerti tentang hidup melalui diri masing-masing.

Sehinggalah suatu tragedi menimpa Leslie, mengejutkan Jess - saat itu dia sedar betapa pentingnya persahabatan itu...

Secara jujur, buku ini tidaklah begitu 'mengancam'. Bagi saya, dari 10, saya hanya dapat memberi 5 bintang sahaja. Mungkin kerana ceritanya yang sebenarnya sudah lama (1977). Mungkin juga kerana kecewa dengan dunia fantasi mereka yang rupa-rupanya cuma imaginasi. Walaubagaimanapun, masih ada yang saya suka dengan kisah ini, antaranya jalan ceritanya yang tidak disangka-sangka, yakni tragedi yang menimpa Leslie. Ia bagai membaca babak Fahri yang ditangkap atas tuduhan merogol dalam novel Ayat-ayat Cinta. Maksud saya, perkara tersebut sangat mengejut, saya tak tersangka perkara itu akan berlaku. Inilah keistimewaan BTT, selain latar tempatnya yang agak menarik.

Jika kalian berpeluang membaca karya Paterson ini, pastikan juga menonton filemnya yang dibikin oleh Walt Disney dan Walden Media. Gambar pada kulit buku itu sebenarnya gambar dua watak utama dalam filem tersebut. Saya masih belum menontonnya, tapi kebiasaannya, setelah membaca sebuah buku, saya akan menyaksikan filemnya jika ada. Ini salah satu keseronokan selepas membaca bagi saya, kerana dapat menyaksikan fantasi direalisasikan. Macam siri Harry Potter dan His Dark Materials. Tak gitu?

Januari 06, 2008

The Count of Monte Cristo


Judul: The Count of Monte Cristo
Penulis: Alexandre Dumas [diadaptasi oleh Mitsu Yamamoto]
Harga: RM 9.90
Penerbit: Baronet Books

Alahai, berat hati rasanya meninggalkan rumah di Kuala Lipis ini. Pulang semula ke pusat pengajian untuk semester kedua Isnin ini. Banyak lagi rasanya perkara yang tak sempat dibuat di rumah. Hmm, masa tak mengizinkan. Atau saya yang membuang masa sebenarnya? Eheh.

Begitu juga watak utama cerita ini (Edmond Dantes) yang berat hati meninggalkan rumahnya. Ayahnya. Tunangnya Mercedes. Berat hati kerana terpaksa dipenjarakan atas fitnah saudara dan rakan sekerjanya, yang dengki dengannya.

Sepupu Edmond, Fernand dengki padanya kerana Fernand ada hati dengan tunang Edmond, tetapi Mercedes telah berjanji hanya akan mengahwini Albert, maka melepaslah dia nak dapatkan Mercedes. Perlantikan Edmond yang masih muda (berumur 18 waktu itu) sebagai Kapten kapal Pharaon, menggantikan kapten asalnya yang telah mati, menimbulkan hasad pada rakan sekerjanya Danglars, yang ingin sekali menjadi kapten kapal tersebut. Kedua-dua lelaki ini kemudiannya berpakat menjatuhkan Edmond lalu memfitnahnya atas tuduhan membuat pakatan dengan Napoleon untuk menjatuhkan pemerintahan King Louis XVIII pada waktu itu atas bukti2 tertentu.

Edmond yang tidak bersalah menyangkakan semuanya sekadar salah faham dan dia akan dipenjarakan buat sekejap sahaja sementara menanti salah faham itu berakhir. Tunggu punya tunggu, masa berlalu, 1, 2, 5, 10 tahun..ah lamanya takkanlah tak sedar-sedar lagi. Maka dikurunglah dia di penjara yang bernama Chateau d'If itu selama belasan tahun.

Masa berada di penjara dia bertemu dengan seorang paderi tua yang menjadi rakannya. Mereka berpakat melarikan diri. Namun paderi tersebut tak sempat lari bersamanya kerana hilang nyawa lebih dahulu, dengan meninggalkan sejumlah harta yang tersangatlah banyaknya kepada Edmond yang tersembunyi di Pulau Monte Cristo sebelum menghembus nafas terakhir. Dengan mengambil nama sempena tempat ini, dia menggelarkan dirinya The Count of Monte Cristo setelah berjaya keluar dari penjara. Menggunakan harta karun peningglan paderi itu, Edmond seterusnya merancang plot untuk membalas dendam kepada orang2 yang telah mengkhianatinya dahulu.

Plotnya memang seronok dibaca. Terutama waktu dalam penjara dan waktu membals dendam. Bukanlah bermaksud saya suka melihat orang2 jahat ini kena balas dendam dengan Edmond, tidak. Tidak sama sekali. Bukan juga maksudnya saya suka tengok orang kena bala dan kata "padan muka" pada orang tersebut. Tapi saspennya ada di situ, waktu membalas dendam tu. Nak tahu jugak apa yang Count balas pada orang2 yang buat jahat pada dia dulu. (Ada jugak nak tersebut padan muka waktu tu, hmm yelah Edmond tak bersalah pun, sia-sia masa terbuang berbelas tahun menderita disebabkan 'jasa' diorang, jadi sesuailah dapat balasan balik kan)

Satu lagi klasik yang menarik selain Frankenstein. Akan saya cari lagi judul-judul yang lain. Sampai bertemu lagi.

Disember 10, 2007

The Wind in the Willows


Judul: The Wind in the Willows Penulis: Kenneth Grahame

The Wind in the Willows (WITW) merupakan sebuah novel klasik yang ditulis oleh Kenneth Grahame. Pertama kali ia diterbitkan adalah pada tahun 1908 (hampir 100 tahun lalu!). Saya bukanlah peminat setia novel klasik, cuma saya membacanya sekali-sekala ..mungkin untuk kelainan setelah banyak disuap dengan cerita moden yang lebih serabut jalan ceritanya. Klasik lebih mudah difahami berbanding, yelah, cerita-cerita macam Harry Potter, Eragon, dan buku genre fantasi lain yang amat saya minati buat masa ini. Jadi saya memilih untuk membaca ini.

Berkisarkan kehidupan haiwan, ini merupakan antara cerita terawal yang mempersonifikasikan haiwan. 4 tunjang cerita ini-Mole, Rat, Badger, dan Toad-memiliki cara hidup, rumah, pakaian dan juga personaliti manusia. Tapi jangan sangka haiwan saja yang hidup dalam dunia tersebut, manusia juga ada! Inilah bahagian yang agak mengelirukan. Polis yang menangkap Toad semasa mencuri kereta (kepunyaan manusia) dan hakim yang menetapkan hukuman penjara kepadanya merupakan spesis homo sapiens (manusia). Pelik kan? Lagi-lagi bila digambarkan saiz haiwan tersebut adalah sama dengan manusia. Pada mulanya saya ingat kisah ni ikut skala haiwan, rupanya tak. Walau macam mana pun inilah yang menjadi unsur satira dalam WITW.

Cerita yang menghiburkan terutama untuk kanak-kanak ini (asalnya sebuah bedtime story yang dicipta oleh Grahame untuk anaknya Alastair, 4 tahun ketika itu) mengambil English countryside sebagai latar tempat. 1/4 awal buku ni adalah cerita tentang permulaan persahabatan binatang-binatang ni. Selebihnya lagi merupakan masalah yang dibawa oleh Toad, disebabkan kerenahnya yang bersifat tamak, degil, pentingkan diri, pembohong, talam dua muka...dan lain-lain. Apa yang menjadi trend, Toad akan ikut dan dia akan bazirkankan duit tinggalan ayahnya untuk menunjuk-nunjuk dialah yang terhebat. Kalau orang beli kereta, dia beli. Nak tunjuk hebat, beli yang mahal, pandu laju-laju. Kena saman dengan polis, tapi tak makan saman! Bila kena kurung dengan Mole dan lainnya, dia memberontak. Lari dari 'kurungan', dia mengembara seorang diri sampailah babak dia mencuri kereta dan masuk penjara. Lepas tu, banyak perkara berlaku dan semuanya sedikit sebanyak menyedarkannya dari perangai buruknya itu.

Buku ini telah banyak diulang cetak oleh pelbagai syarikat percetakan. Kalau rasa nak baca, lebih baik baca versi adaptasi (abridged) yang dah diringkaskan (termasuklah novel klasik lain). Kalau beli yang versi penuh, mesti rasa bosan, walaupun belum habis baca 1 mukasurat pun. Lagi best bacalah yang berilustrasi. Ini satu contoh helaian sebuah naskhah WITW yang disertakan ilustrasi oleh Robert Ingpen. Lagi seronok. Ada warna lagi. Yang saya punya cuma karikatur hitam-putih. Kurang menarik, tapi karikaturnya cantik.

Mungkin tak sehebat cerita zaman kini, apakata baca untuk santai?

"In the meadows and woods along a little river lives a group of friendly animals. Mole, Rat, Badger, and Toad talk and act and dress just like people. And just like people, they can get into all sortd of mischief and funny situations...especially Toad, who can't resist shiny new cars, and usually needs all of his friends' help in getting out of the silly jams he gets himself into!"

*Nak cuba cerita klasik lain? Frankenstein novel klasik terbaik yang saya pernah baca setakat ni. Cari siri "Great Illustrated Classics" terbitan Baronet Books. Versi ini dah diringkaskan dan setiap helai mengandungi satu muka penuh ilustrasi.

September 07, 2007

"Don't Judge A Book by Its Cover": Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck


Gambar ini saja yang dapat saya cari, nak tangkap sendiri, sorilah, tak ada kamera sendiri, duduk hostel, kena pinjam kawanlah jawabnya, tapi...segan nak mintak.

"Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck". Mungkin kalau pertama kali dengar, tekaan kita, cerita ini cerita perang, penjajah melawan rakyat peribumi, dan penjajah tu akhir sekali dikalahkan... maka kapal tu pun tenggelam. Tekaan saya macam tulah, dan 100% salah. Takde kait-mengait dengan kapal pun sebenarnya... cuma di penghujungnya sahaja.

Zainuddin, dia ingin pulang ke tempat asal bapanya. Ayahnya orang terbuang dari tempatnya, jadi dia pergi ke sana sebab nak cari saudara-maranya, mana tahu ada yang mengenali ayahnya lagi. Di sana dia terjumpa seorang gadis bernama Hayati. Pada mulanya dia hanya meminjamkan Hayati payungnya ketika hujan lebat, meminta Hayati menggunakannya untuk balik ke rumah..tapi di situ bermula percintaan yang tak dijangka.

Plot dan jalan ceritanya bagus. Segala kejadian mempunyai perkaitan yang baik. Masalahnya cuma bahasa, kerana yang digunakan bahasa Melayu Indonesia yang sedikit klasik. Mungkin banyak yang sudah diubah dari versi asal, tapi walaubagaimanapun, tetap boleh difahami, cuma kadangkala sedikit over dan tak faham sangat. Tapi itulah sastera, kalau tak ada, bosan jugak kan?

Saya cuma dapat summarize cerita ni sikit je, sebab sebenarnya saya dah baca buku ni dekat sebulan yang lepas. Tak ingat detail sangat. Buku pun buku pinjam, jadi malas nak pinjam-pinjam balik untuk tulis kat sini. Macam mana pun, saya puas hati dan tertarik dengan cerita percintaan bertemakan 'berlandaskan adat' ni. Ending dia pulak agak tragislah, rasanya bagus, tapi..emh, kesian Zainuddin...kapal yang membawa kekasihnya Hayati (ke mana pun dah tak ingat dah) tenggelam dalam perjalanan. Dan nama kapal itu Van der Wijck.

Lain kali saya nak baca karya Buya Hamka yang lain.. ada sorang classmate saya hari tu kata, Di Bawah Lindungan Kaabah menarik untuk dicuba.

Terbitan Pustaka Dini, RM16.00; 286 halaman. Boleh beli terus online di http://www.ujanailmu.com.my/.

*3 buku Faisal Tehrani akan terbit lagi tahun ini... sibukla Abg Faisal nampaknya..
Related Posts with Thumbnails