Disember 31, 2007

Ulasan 2007

Koleksi ulasan buku 2007.
  1. Percy Jackson & The Olympians Book 1-3 - Rick Riordan
  2. Bagaikan Puteri - Ramlee Awang Murshid
  3. Ayat-ayat Cinta - Habiburrahman El-Shirazy
  4. Menjejaki Jutawan Senyap - Dr. Rusly Abdullah
  5. Swordbird - Nancy Yi Fan
  6. Page After Page - Heather Sellers
  7. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck - Hamka
  8. For One More Day - Mitch Albom
  9. Surat-surat Perempuan Johor - Faisal Tehrani
  10. The Wind in the Willows - Kenneth Grahame
  11. Nama Beta Sultan Alauddin - Faisal Tehrani
  12. 6:20 - Siti Jasmina Ibrahim
*lebih informasi & gambar untuk buku no.1 (dlm senarai di atas).

Nota: Buku paling signifikan bagi saya tapi tidak diulas tahun 2007 ialah Harry Potter 7.

Disember 22, 2007

6:20

Judul: 6:20
Penulis: Siti Jasmina Ibrahim
Harga: RM14.00
Tahun terbit: 2006

Novel yang meraih tempat kedua kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun 2005 ini benar-benar memancing hati saya untuk membelinya. Saat ternampak grafik "mawar dipagari duri" pada kulit buku ini saya terus mencapainya tanpa rasa ragu. Pada intuisi saya, kulit luarnya yang menawan sudah cukup menggambarkan isinya yang pastilah menawan hati juga. Dan tekaan saya waktu itu tidak salah.

Sukma, remaja penggerak utama novel ini, amat peka dan prihatin akan gejolak semasa di sekelilingnya. Kisah bermula apabila dia didatangi beberapa tetamu misteri pada jam 6.20 pagi sejak hari Isnin suatu minggu. Dalam masa yang sama, dia mengesani perubahan sikap ibunya serta perwatakan teman sekuliahnya yang terjerumus dalam kebejatan akhlak. Sukma mencantumkan setiap ruang dan waktu dan membuka satu per satu rahsia yang akhirnya membawa kepada penemuan yang tak disangka. Keluarganya terangkul dalam misteri itu tanpa disedarinya.

Tetamu misteri jam 6.20 pagi, perubahan sikap ibu, perlantikan ayah sebagai wakil rakyat, sikap berselindung dan perubahan perangai teman-teman Sukma, dan sebuah kelab hiburan; apakah kaitan di sebalik semua ini?

Narasi yang paling menarik minat saya ialah tentulah mengenai misteri tetamu 6.20 pagi yang dapat menguja penaakulan akal. Mengapa 6.20 pagi dan bukan 6.15? Mengapa tetamu tersebut nenek tua yang membawa bakul buah, seorang pemuda kurus cengkung, dua ekor kucing dan seorang anak kecil? Mengapa dalam minggu tersebut mereka datang secara berturut-turut setiap hari pada waktu yang sama? Adakah ini semua hanya suatu kebetulan? Apa simboliknya? Dan apa pula maksud tetamu-tetamu itu apabila mereka mengatakan kepada Sukma yang rumahnya "panas" dan perlu "disejukkan"? Terlalu banyak misteri yang sukar kita satukan dengan tafsiran sendiri. Sehinggalah kita habis membacanya barulah terungkai satu penyelesaian yang jernih.

Dah pun dua kali saya membacanya. Tidak kurang hebatnya, novel "Ombak Sfera Lotus" karya penulis yang sama. Tak mahal mana pun. Beli jangan tak beli!

*Gambar tu aku tangkap sendiri tau! Copyright tu. Nak amik mintak izin dulu hee.. (siapela yang nak pun)

Disember 19, 2007

Nama Beta Sultan Alauddin


Judul: Nama Beta Sultan Alauddin (NBSA)
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Aberdeen Books
Harga: RM13.50
Tahun terbit: 2007

Musim cuti persekolahan adalah saat yang dinanti-nantikan oleh semua pelajar, termasuk Abu Bakar, umar dan Usman. Mereka akan bercuti di kampung datuk dan nenek mereka di Pagoh, Melaka. Rumah datuk mereka di kampung itu bercirikan seni bina rumah Melaka yang dinamakan rumah serambi enam belas.

Paling menarik minat mereka ialah cerita datuk. Datuk mereka sangat pandai bercerita. Pada percutian kali ini mereka mendengar kisah tentang sejarah Sultan Alauddin Riayat Syah yang menjadi Raja Melaka selama sebelas tahun, bermula pada tahun 1477, saat baginda masih remaja. Mengandungi 14 bab pendek, ia menceritakan tentang suka-duka hidup seorang Raja Muda yang bakal menjadi sultan muda secara kronologikal.**

Biarpun sasaran pembacanya ialah golongan kanak-kanak, buku ini bukannya tak sesuai untuk peringkat umur lain. Saya rasa setiap orang harus membacanya untuk mengetahui sejarah sultan yang berjiwa mulia dan amat bertanggungjawab ini. Bukan semua orang tahu kisahnya. Kononnya kita dah belajar tentang sejarah kesultanan Melaka di sekolah. Tapi terperincikah penceritaannya? Tambahan lagi, sejarah yang kita pelajari di sekolah sekarang kadang-kadang ada yang diselewengkan atau ditukarganti.

Paling seronok bila membaca bab Raja Hussain (Sultan Alauddin ketika remaja sebelum menjadi sultan), waktu dia menuntut ilmu dan juga saat baginda menyerang pencuri sewaktu meronda di waktu malam. Paling sakit hati bila membaca bab Sultan Alauddin dibunuh dengan racun dalam makanan. Aduh, semuanya disebabkan hasad dengki dan tak puas hati dalam politik Melaka waktu itu. Apapun baginda tetap syahid, itu yang lebih penting.

Saiz NBSA yang kecil dan harganya yang murah mampu menjadi bacaan semua lapisan umur. Beli dan bacalah!

*Sengaja letakkan gambar kucing saya. Kasi comel sikit.

**Sinopsis diolah sedikit dari majalah Dewan Siswa keluaran Disember 2007, m/s 33.

Disember 10, 2007

The Wind in the Willows


Judul: The Wind in the Willows Penulis: Kenneth Grahame

The Wind in the Willows (WITW) merupakan sebuah novel klasik yang ditulis oleh Kenneth Grahame. Pertama kali ia diterbitkan adalah pada tahun 1908 (hampir 100 tahun lalu!). Saya bukanlah peminat setia novel klasik, cuma saya membacanya sekali-sekala ..mungkin untuk kelainan setelah banyak disuap dengan cerita moden yang lebih serabut jalan ceritanya. Klasik lebih mudah difahami berbanding, yelah, cerita-cerita macam Harry Potter, Eragon, dan buku genre fantasi lain yang amat saya minati buat masa ini. Jadi saya memilih untuk membaca ini.

Berkisarkan kehidupan haiwan, ini merupakan antara cerita terawal yang mempersonifikasikan haiwan. 4 tunjang cerita ini-Mole, Rat, Badger, dan Toad-memiliki cara hidup, rumah, pakaian dan juga personaliti manusia. Tapi jangan sangka haiwan saja yang hidup dalam dunia tersebut, manusia juga ada! Inilah bahagian yang agak mengelirukan. Polis yang menangkap Toad semasa mencuri kereta (kepunyaan manusia) dan hakim yang menetapkan hukuman penjara kepadanya merupakan spesis homo sapiens (manusia). Pelik kan? Lagi-lagi bila digambarkan saiz haiwan tersebut adalah sama dengan manusia. Pada mulanya saya ingat kisah ni ikut skala haiwan, rupanya tak. Walau macam mana pun inilah yang menjadi unsur satira dalam WITW.

Cerita yang menghiburkan terutama untuk kanak-kanak ini (asalnya sebuah bedtime story yang dicipta oleh Grahame untuk anaknya Alastair, 4 tahun ketika itu) mengambil English countryside sebagai latar tempat. 1/4 awal buku ni adalah cerita tentang permulaan persahabatan binatang-binatang ni. Selebihnya lagi merupakan masalah yang dibawa oleh Toad, disebabkan kerenahnya yang bersifat tamak, degil, pentingkan diri, pembohong, talam dua muka...dan lain-lain. Apa yang menjadi trend, Toad akan ikut dan dia akan bazirkankan duit tinggalan ayahnya untuk menunjuk-nunjuk dialah yang terhebat. Kalau orang beli kereta, dia beli. Nak tunjuk hebat, beli yang mahal, pandu laju-laju. Kena saman dengan polis, tapi tak makan saman! Bila kena kurung dengan Mole dan lainnya, dia memberontak. Lari dari 'kurungan', dia mengembara seorang diri sampailah babak dia mencuri kereta dan masuk penjara. Lepas tu, banyak perkara berlaku dan semuanya sedikit sebanyak menyedarkannya dari perangai buruknya itu.

Buku ini telah banyak diulang cetak oleh pelbagai syarikat percetakan. Kalau rasa nak baca, lebih baik baca versi adaptasi (abridged) yang dah diringkaskan (termasuklah novel klasik lain). Kalau beli yang versi penuh, mesti rasa bosan, walaupun belum habis baca 1 mukasurat pun. Lagi best bacalah yang berilustrasi. Ini satu contoh helaian sebuah naskhah WITW yang disertakan ilustrasi oleh Robert Ingpen. Lagi seronok. Ada warna lagi. Yang saya punya cuma karikatur hitam-putih. Kurang menarik, tapi karikaturnya cantik.

Mungkin tak sehebat cerita zaman kini, apakata baca untuk santai?

"In the meadows and woods along a little river lives a group of friendly animals. Mole, Rat, Badger, and Toad talk and act and dress just like people. And just like people, they can get into all sortd of mischief and funny situations...especially Toad, who can't resist shiny new cars, and usually needs all of his friends' help in getting out of the silly jams he gets himself into!"

*Nak cuba cerita klasik lain? Frankenstein novel klasik terbaik yang saya pernah baca setakat ni. Cari siri "Great Illustrated Classics" terbitan Baronet Books. Versi ini dah diringkaskan dan setiap helai mengandungi satu muka penuh ilustrasi.

Oktober 29, 2007

Sejarah Perjuangan: Surat-surat Perempuan Johor


Judul: Surat-surat Perempuan Johor
Penulis: Faisal Tehrani
Tahun terbit: 2007 (Edisi Baru)
Penerbit: Aberdeen Books World
Harga: RM18.50
ISBN: 983-42152-2-4


Tahun ini, sudah keluar berapa banyak hasil tulisan Faisal Tehrani. Tuhan Manusia, Manikam Kalbu, Bedar Sukma Bisu…tapi buku ini bukanlah karya terbaru penulis. Buku ini asalnya diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor setelah memenangi tempat ketiga Sayembara Menulis Novel Sejarah dan Tradisi Johor pada tahun 2005. Mungkin kerana kurang pasaran di kedai-kedai buku (tekaan saja), kulit luarnya ditukar kepada gambar yang lebih segar. harga edisi baru (RM18.50) juga lebih murah berbanding versi asal, iaitu RM25.

Seperti cerita Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Surat-surat Perempuan Johor juga merupakan karya jenis epistolari-iaitu penceritaan melalui persuratan. Ikuti kisah hidup Ungku Nur melalui surat-suratnya, serta sejarah Johor melalui warkah-warkah Ungku Hamidah; proses pemodenan Johor oleh Almarhum Sultan Abu Bakar, hubungan erat Johor dengan Turki, penentangan Johor terhadap sekularisasi untuk mengekalkan akidah yang satu. Kisah ini menelusuri hidup dua wanita pada dua zaman berbeza – Ungku Hamidah dan Ungku Nur – yang 'disatukan' dalam warkah-warkah mereka, dan diselarikan dalam kembara yang tidak jauh bezanya.

Mengangkat perempuan sebagai tunjang utama dan protagonis, karya ini membuktikan perempuan juga kuat dan tegar, mampu mengurus hal ehwal negeri; mengurus cinta, perniagaan dan hubungan diplomatik dua negeri dengan jayanya. Persis novel 1515 karya penulis juga, perempuan diangkat sebagai watak utama; yang disampaikan melalui watak Nyemah Mulya - seorang pahlawan wanita yang kuat mempertahankan Melaka, tunjang pasukan pertahanan negeri. Dalam usahanya mempertahankan sejarah Johor dan merungkai rahsia Ungku Hamidah semasa di Turki, Ungku Nur juga menyelesaikan konflik dengan ayahnya, bekas suaminya, serta berutus berita dengan kakaknya, Ungku Nurul tentang perkembangan hidupnya sepanjang berada di sana.

Novel ini banyak menyedarkan saya tentang betapa pentingnya sejarah negeri, peradaban, budaya dan agama kita. Bukan senang menjadi seorang sultan, mempertahankan Johor dari jajahan takluk British. Dan bukan senang mempertahankan warisan Islam apatah lagi jika diri seorang wanita.

Lalui episod Majalah Ahkam Johor, sejarah Turki dan Johor yang menghadapi krisis penjajahan dan perjuangan dua wanita dalam mempertahankan tamadun Islam yang bertapak di negeri masing-masing.

Bagi yang menggemari novel cinta, novel ini sesuai dibaca. Bukan sekadar hiburan semata. Banyak ilmu dan manfaat yang boleh dikaut bersama. Penggemar genre sejarah juga semestinya patut menjadikan buku ini dalam senarai 'wajib baca' tahun ini.



"Hanya kematian memisahkan mereka dari perjuangan suci.
Sejarah adalah kenderaan, warkah adalah catatan taujih dan mulahazah, matlamatnya keabadian negeri akhir dan keredhaan Allah sumber segala sejarah, dan pasti segala kekuatan.
"


*Novel lain yang saya cadangkan: 1515, oleh penulis yang sama. Ingin lihat biografi penulis, novel 1515 dan versi asal Surat-surat Perempuan Johor atau karya penulis yang lain? Klik sini.

Oktober 19, 2007

For One More Day


Judul: For One More Day
Tahun terbit: 2006
Penulis: Mitch Albom
Penerbit: Sphere
ISBN: 978-0-7515-3573-6
Harga: RM32.95


Tentang seorang lelaki yang terselamat dalam cubaan membunuh diri setelah hilang arah tuju hidup – tetapi terselamat. Sewaktu pulang ke rumah di kampong halamannya di Pepperville Beach, dia, Charley Benetto, mendapati ibunya – yang telah mati 8 tahun lalu – berada di situ, menyambutnya pulang. Saat ini Charley diberi satu hari bersama ibunya, peluang memohon maaf yang tidak sempat ditunaikan semasa ibunya masih hidup, serta mengetahui rahsia keluarganya yang tak pernah diketahui sebelum ini. Membaca kisah ini pada awalnya memberi persepsi pertama kepada saya: Emh, cerita ni mesti cerita hantu. Tapi ini bukanlah cerita hantu, cuma kejadian 'paranormal' dalam fikiran dan ingatan seseorang yang tak mustahil terjadi. Ibu Charley sebenarnya 'hidup' dalam minda seseorang yang sedang memikirkan tentang dirinya.

Cerita ini ditulis seperti olahan sebuah kisah benar, jadi kisahnya lebih realistik. Kronologi peristiwa masa kini dan imbas kembali sejak Charley kecil hingga dewasa yang tersusun memudahkan pembaca faham plot cerita.

Saya pasti novel ini amat sesuai dibaca oleh setiap orang. Ingat lagi tentang jasa-jasa ibu kita dari kita kecil sampailah kita dah besar? Dalam buku ni imbas kembali Charley memperihalkan perkara ini. Catatan Charley dalam "Times My Mother Stood Up For Me" dan "Times I Did Not Stood Up For My Mother" menggambarkan perbezaan hati budi ibu terhadapnya dengan layanan yang diberikan oleh Charley kepada ibunya; bagai susu dibalas tuba. Keseluruhannya, novel ini memberi satu persoalan yang ringkas: Sudahkah kita lakukan yang terbaik untuk membalas jasa ibu bapa kita?

Sarat dengan pengajaran, For One More Day memberi kita masa berfikir sejenak tentang hubungan dengan ibu bapa kita.


"…But ask yourself this: have you ever lost someone you love and wanted one more conversation, one more chance to make up for the time when you thought they would be here forever? If so, then you know you can go your whole life collecting days, and none will outweigh the one you wish you had back.

"What if you got it back?"

September 07, 2007

"Don't Judge A Book by Its Cover": Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck


Gambar ini saja yang dapat saya cari, nak tangkap sendiri, sorilah, tak ada kamera sendiri, duduk hostel, kena pinjam kawanlah jawabnya, tapi...segan nak mintak.

"Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck". Mungkin kalau pertama kali dengar, tekaan kita, cerita ini cerita perang, penjajah melawan rakyat peribumi, dan penjajah tu akhir sekali dikalahkan... maka kapal tu pun tenggelam. Tekaan saya macam tulah, dan 100% salah. Takde kait-mengait dengan kapal pun sebenarnya... cuma di penghujungnya sahaja.

Zainuddin, dia ingin pulang ke tempat asal bapanya. Ayahnya orang terbuang dari tempatnya, jadi dia pergi ke sana sebab nak cari saudara-maranya, mana tahu ada yang mengenali ayahnya lagi. Di sana dia terjumpa seorang gadis bernama Hayati. Pada mulanya dia hanya meminjamkan Hayati payungnya ketika hujan lebat, meminta Hayati menggunakannya untuk balik ke rumah..tapi di situ bermula percintaan yang tak dijangka.

Plot dan jalan ceritanya bagus. Segala kejadian mempunyai perkaitan yang baik. Masalahnya cuma bahasa, kerana yang digunakan bahasa Melayu Indonesia yang sedikit klasik. Mungkin banyak yang sudah diubah dari versi asal, tapi walaubagaimanapun, tetap boleh difahami, cuma kadangkala sedikit over dan tak faham sangat. Tapi itulah sastera, kalau tak ada, bosan jugak kan?

Saya cuma dapat summarize cerita ni sikit je, sebab sebenarnya saya dah baca buku ni dekat sebulan yang lepas. Tak ingat detail sangat. Buku pun buku pinjam, jadi malas nak pinjam-pinjam balik untuk tulis kat sini. Macam mana pun, saya puas hati dan tertarik dengan cerita percintaan bertemakan 'berlandaskan adat' ni. Ending dia pulak agak tragislah, rasanya bagus, tapi..emh, kesian Zainuddin...kapal yang membawa kekasihnya Hayati (ke mana pun dah tak ingat dah) tenggelam dalam perjalanan. Dan nama kapal itu Van der Wijck.

Lain kali saya nak baca karya Buya Hamka yang lain.. ada sorang classmate saya hari tu kata, Di Bawah Lindungan Kaabah menarik untuk dicuba.

Terbitan Pustaka Dini, RM16.00; 286 halaman. Boleh beli terus online di http://www.ujanailmu.com.my/.

*3 buku Faisal Tehrani akan terbit lagi tahun ini... sibukla Abg Faisal nampaknya..

Ogos 05, 2007

Sini Cukuplah!: Page After Page


Sudah lupa bila, tapi rasanya baru lagi 'terhambur dari tangan' saya (guna keyboard) yang saya teringin pulak nak jadi penulis (agak mengada bunyinya). Ini dapatan saya setelah saya membaca karangan Heather Sellers ini - biar saya menulis kat sini sudahlah!


Page After Page adalah sebuah buku yang saya rasakan baik bagi mereka yang ingin mula menulis. Penulis banyak menggunakan pengalamannya sejak dia merupakan orang biasa yang mendaki tangga-tangga kejayaan, iaitu ke arah kerjaya yang diidamkannya sejak kecil; menulis (dan menerbitkan buku!). Buku ni bukan cerita pasal teknik-teknik menulis, cara-cara buat plot, jalan cerita, unsur sastera itulah inilah...yang boring-boring, tapi pasal cara nak mulakan langkah kita ke arah bidang penulisan. Mula-mula, cara nak lahirkan 'jiwa' baru (jiwa penulis la kononnya), lepas tu ada bab pasal cara nak bagi kita konsisten dalam menulis, dan bab akhir tentang bertapak di bidang tersebut, lebih kuranglah. Antara lain isinya, sebab kita takut nak menulis, cabaran nak mula, apa perlu buat...benda-benda macam tulah lebih kurang.


Menarik dan berkesan, penulis meyediakan beberapa pra-latihan di akhir setiap bab. Jadi dapatlah orang yang membaca tu mengaplikasikan apa yang dibacanya. Latihan pun bukanlah yang kompleks, hanya latihan menulis secara 'scribble' atau 'scratching' saja.


Setelah baca bab tentang cabaran tu, saya tersedar: Ini bukan bidang saya!


Dapatkan, kalau nak mula menulis, OK?


(Agak pendek kan, entri ni, sebab sebenarnya dah nak timeout kat cc)

Julai 25, 2007

Untuk Pencinta Burung & Keamanan: Swordbird


Biarpun di belakang kulit buku ini tertulis:

Ages 8-12

Tetapi saya tidak rasakan ia untuk kanak-kanak, terutama bukan mereka dalam lingkungan umur itu sahaja. Pada saya buku ni sesuai bagi para remaja. Sebabnya saya sendiri pun tak tahu...(ketawa sorang-sorang)

Saya beli buku ini di Mid Valley Megamall, lebih kurang 2 minggu yang lalu..buku ni bukanlah pilihan utama saya, tapi saya mengenali buku ini dalam klip video Al's Book Club (kelab buku yang membincangkan tentang buku-buku kanak-kanak di Amerika). Yang lebih buat saya tertarik apabila pengacara rancangan itu berkata, "...buku ini ditulis oleh seorang pengarang yang berusia 13 tahun...". Ha, kata-kata itu buat saya tertarik. Usia muda sebegitu, sudah menulis buku, dijual di pelusuk dunia...kita bagaimana? Dah ada kejayaan sebesar itu? Sebab itu saya mencapai buku tersebut.

Ceritanya berkisar tentang sekumpulan burung-burung yang menjadi mangsa kepada kekejaman seekor burung helang - ada yang jadi mangsa perhambaan, ada yang dilaga-lagakan, dan sebagainyalah. Jadi burung-burung yang dianiaya ni pun kenalah mencari bantuan, dengan menyeru burung keamanan, iaitu Swordbird..supaya dapat balik kedamaian dan kebebasan yang lama mereka hendakkan. Berjayakah mereka? (Cehh..)

Cerita yang dikarang oleh Nancy Yi Fan ini sebenarnya diinspirasikan oleh peristiwa September 11, dan kecintaannya terhada burung. Atas nama keamanan, waktu dia berumur 1o tahun, beliau mula menulis, dan setelah beberpa tahun terhasillah karya pertamanya ini.

Kisahnya memang lebih sesuai untuk kanak-kanak, tapi saya rasa tak salah kalau kalian cuba baca. Lihat bagaimana keazaman penulis cilik ini...sehingga dapat menulis buku. Ha..kalau nak jadi penulis, apakata kalian baca..mungkin boleh tolong sikit-sikit..yang nak tulis fiksyen je la, yang lain tu boleh baca buku lain.
Harganya RM26, terbitan HarperCollins Children. Bolehlah cuba cari.

*Setelah sekian lama, terbitlah entri ini..masa memang tak mengizinkan..kalau siapa yang baca blog Sarah, saya tertarik dengan entrinya pasal duit tu..memangla..uh..kering gila ah..tak tahu macam mana nak selesaikan masalah ini...dahla duit JPA baru masuk untuk satu sem...boleh ke jadi belanjawan yang berjaya ni?

Jun 27, 2007

Bisnes? Mungkin Jawapannya...

Menjejaki Jutawan Senyap. Nah, buku inilah jawapannya. Buku motivasi ini merupakan buku pertama dalam trilogi Jutawan Senyap yang ditulis oleh Dr. Rusly Abdullah, yang lebih mesra dipanggil Chef Li. Macam mana saya mahu huraikan tentang buku ini, hmm...(mungkin sebenarnya agak malas untuk menulis entri kebelakangan ini, tak tahu kenapa?)

Senang cerita, buku Dr. Rusly ni bukan setakat motivasi bagi kita untuk berusaha dan berfikiran seluasnya dalam hidup kita untuk berjaya, tetapi ia juga merupakan panduan bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Pada mulanya saat saya terjumpa buku ini di rak buku ayah saya, saya terus memikirkan tentang perniagaan besar-besaran, kena jadi CEO ke, apa ke...tapi sebenarnya tidak. Buku ini mengorek rahsia jutawan senyap yang terdiri daripada usahawan kecil-kecilan - peniaga pasar malam, penjual aiskrim, peniaga warung makan, dan yang sewaktu dengannyalah. Peniaga-peniaga yang sebenarnya telah lama mengumpul wang dan menjadi jutawan tanpa diketahui sesiapapun (kecuali dia sendiri, keluarga dekat, ah, Allah sudah pastilah). Penulis mendedahkan rahsia-rahsia peniaga-peniaga ini - bagaimana mereka memulakan perniagaan kecil mereka masing-masing dan seterusnya mendaki puncak kejayaan dan mengembangkan empayar bisnes mereka ke tahap cipan...eh silap, jutawan.

Menariknya buku ini, di samping motivasi dan panduan, penulisannya menggunakan gaya penceritaan. Boleh kata, lebih kurang macam separa novellah. Cerita apa? Cerita fasal jutawan-jutawan senyap yang telah lama berjaya. Bagaimana mereka berjaya. Sebab, cara, semuanya ada. Ada kisah tentang Diyono seorang pendatang dari Indon yang datang tanpa izin, berjualan air di tepi jalan, ah, hanya itu saja, boleh dapat RM21,000 bersih satu bulan. Belum lagi campur warung air yang lain. Bagaimana pula Sutinah, yang menjadi mangsa suami yang tidak bertanggungjawab, punya anak yang sakit, pernah masuk penjara atas tuduhan bersubahat dengan suaminya kerana dadah, bangkit dari penderitaannya - berniaga popia basah di pasar malam - sehinggalah dia beroleh warung makannya sendiri; berkembang maju lagi sehingga ada pula kilang popia basah sendiri, lima buah restoran, dan katering sekali! Percaya atau tidak, ia bermula dari jualan popia basah! Banyak betul cerita-cerita menarik dalam buku ini yang dapat memberi pengajaran kepada kita. Saya pun sudah beberapa kali menelaah buku ini, saya masih tak jemu mengikuti semula cerita-cerita ini berulang kali. Terkesan juga saya. Tapi tak bolehlah saya berniaga buat masa ini kan. Mungkin nanti..(bila agaknya tu, hahah)

Selain cerita peniaga lain, ada juga kisah penulis sendiri. Tentang bagaimana beliau berhenti dari menjadi pegawai bank dan menceburi bidang perniagaan untuk mengalami sendiri, membuktikan, benarkah perniagaan begitu menguntungkan. Tertarik saya dengan cara penulis yang tersendiri ini. Kalau kitalah agaknya, sanggup ke kita lepaskan jawatan yang sudah tetap itu untuk berniaga di pasar. Begitu tanggapan orang kebanyakan, termasuk saya. Begitulah yang diperkatakan oleh rakan-rakan penulis tentang pemberhentiannya. Namun, beliau tetap meneruskan perniagaannya. Selanjutnya? Baca...

Nak diikutkan, memang banyak yang menarik untuk diceritakan. Buku satu pun dah banyak, belum masuk lagi buku 2 dan 3. Tapi buku 2 saya tak baca lagi, buku 3 selesai dah.

Kesimpulan mudah yang saya peroleh dalam buku ini satu: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kalau kita memang berkehendakkan pada sesuatu tu, kita pasti berusaha kuat mencapainya. Bagi yang malas? Banyak alasannya. Betul tak? Mungkin ramai lagi yang menganggap berniaga ini tak standard, susah, saya tak belajar, macam-macam lagilah. Itulah, tak hendak seribu dalih. Jangan kita lupa, Rasulullah s.a.w. dah sebut, perniagaan itu 9/10 dari punca rezeki. Buktinya dalam buku ini. Jadi, nak cuba berniaga, belek-beleklah buku ini dulu. Insya Allah membantu.

* Saya lebih suka versi paperback buku ini, lebih kecil, ringan dan murah. Mudah dibawa ke mana-mana. Gambarnya boleh lihat di sini. Versi bahasa inggeris (Silent Millionaire) klik sini.

Jun 24, 2007

Bukan Cinta Biasa; Ini Cinta Tuhan, Kinanah & Kekasih

Muzakkir, rakan dekat saya pernah menulis satu mesej melalui Yahoo group [SASIC_50Generation]:

"....kepada semua pencinta novel islamik, anda semua dicadangkan supaya membaca novel 'Tautan Hati' - memang best betullah, macam novel 'Ayat-ayat Cinta' jugak, kalau korang baca, korang mesti bayangkan kisas punya; aku nak cakap banyak pun susah, coz aku cuba bayangkan Sekolah Taman Islam tu memang ada persamaan dengan KISAS...cuma ia nampak lagi indah & syadid sikit...."

tapi, saya bukan mahu bercerita tentang novel Tautan Hati, tapi novel kedua yang disebutnya: Ayat-ayat Cinta.

Tidak dinafikan, novel ini memang best, kerana jikalau saya ingin berhujah berasaskan fakta, ada dua alasan; Pertama: Novel ini, kalau di Malaysia, sudah mencapai cetakan ketiga, dalam masa 7 bulan sahaja; Kedua: Kalau di Indonesia pula, bukan sahaja novel ini menerima anugerah "The Most Favourite Book 2005" dengan mengetepikan Harry Potter, malah ia katanya bakal dibikin sebagai filem tidak lama lagi! (Sudah 3 alasan tu) Belum cukup alasannya lagi untuk kalian baca pula?

Saya pun apabila mendengarkan saja novel ini novel cinta islami, terus-terang saya katakan saya tidak berapa berminat membacanya, kerana genre cinta bukan genre pilihan utama saya. Tapi suatu hari di sebuah kedai buku, ketika saya terpandangkan saja buku ini, timbul pula rasa ingin tahu - apa yang menjadikan novel ini begitu menarik? Jadi saya pun dengan hati terbuka mencapai dan membayar harganya di kaunter. Sampai di rumah, saya masih tidak dapat membacanya - mungkin kerana 'ketidakterbukaan' saya untuk membaca novel cinta masih berbekas. Jadi saya abaikan novel ini selama hampir sebulan selepas membelinya!

Akhirnya, bila saya mula saja membelek beberapa halaman, terasa terpikat pula dengan cara penceritaan dan ayat yang digunakan. Benarlah, ia memang indah. Penulis dapat menceritakan perihal bumi Mesir dengan begitu cantik sekali, terasa kita seperti merasakan kehangatannya dan menyaksikan kesibukannya bersama. Ha, kalau yang memang nak belajar di Bumi Kinanah tak lama lagi bolehlah cuba menelusuri kisah ini; kerana ini kisah kehidupan pelajar Indonesia yang telah sebati dengan Mesir. Novel ini biarpun menceritakan tentang sekumpulan pelajar Indonesia, tapi saya rasa ia amat dekat dengan orang Malaysia. Tidak banyak bezanya dengan warga Malaysia khususnya belia yang belajar di Mesir sana. Lagipun ini kisah kehidupan. Tentang cinta yang Islam sarankan, galakkan. Kesusahan, kemanisan berada di negeri orang. Bak kata sasterawan negara, A. Samad Said tentang novel ini:

"...tidak membacanya seperti sengaja melepaskan peluang untuk mencium bau, merasa iklim dan memahami gerak hidup insan Indonesia baru di luar dan di dalam negaranya..."

Apa yang membezakannya dengan novel lain? Kerana cinta yang ditonjolkan adalah cinta Islami. Remaja yang nak mengenali cinta, bacalah novel ini, sangat sesuai - penuh dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis, pengajaran tentang bagaimana cinta dalam Islam. Untuk mengajar remaja cinta ini bukan boleh dibuat sesuka hati, ikut nafsu semata, kerana ada batasnya. Dan mengajar bahawa cinta itu bukan hanya di dunia, tapi boleh berkekalan hingga ke akhirat sana.

Cuma, apa yang kurang dalam novel ini bagi saya ialah jalan ceritanya yang agak 'lambat'. Saya sempat membaca review buku ini dalam blog Dari Jiwa Rasa, katanya dia nyaris 'membakulsampahkan' buku ini di pertengahan cerita. Betul. Sehingga bab-bab pertengahan, Fahri, watak utamanya, banyak menjalani hidupnya sahaja. Tidak banyak cerita di sebalik cerita, unsur saspens atau apa jua yang tak dijangka. Tapi di pertengahan cerita, iaitu selepas dia berkahwin, sebenarnya itu adalah turning point dalam novel ini. Kerana pernikahan itulah, dia tiba-tiba ditangkap oleh pihak polis atas kesalahan merogol. Di luar dugaan! Fahri seorang yang sangat taat kepada agama, mana mungkin dia melakukannya. Siapa yang menuduhnya, yang mampu membelanya, semua berkait di akhirnya. Kalau nak tahu, macam biasa, dapatkannya dan silalah baca.

Antara lain ramai memilih buku ini kerana dikatakan penulisannya seperti Hamka. Benar atau tidak, saya tidak pasti; kerana saya belum sempat membaca mana-mana karya Hamka. Yang pasti, novel ini berbaloi dibaca, bukan semata-mata bacaan di waktu santai, tetapi sebagai iktibar, peringatan dan ilmu. Habiburrahman El Shirazy telah berjaya mewujudkan satu novel pembangun jiwa yang indah!

Jun 14, 2007

Dia Punyai Dunia


Pernah saya ceritakan tentang Percy Jackson hari itu bukan? Ada yang tanya best ke buku ni. Mungkin post ni boleh buktikan persoalan itu.



Cantik tak? Semua gambar ni adalah gambar-gambar cover buku Percy Jackson & the Olympians, Book One : The Lightning Thief, yang telah dialihbahasa (mula dari kiri ke kanan; Sepanyol, US[paperback], UK, US[hardback], Jerman, Jepun, Sweden, Korea). Yang paling saya suka: edisi Korea punya. Sebab itu saya besarkan dan letakkan di atas sekali. Memang gempak gilalah gambar lukisan Minotaur tu. Memang ganas, lagi..emm memang menariklah ringkas katanya. Macam ala-ala komik pun ada. Yang US hardback apa kurangnya. Gambar Minotaur, Medusa dengan Cerberus dilukis dengan baik! Dan saya suka cop bulat Percy yang ada gambar trident di tengah-tengahnya (ada pada cover US hardback dan Korea). Tak teruja melihatkan cover yang pelbagai ini? Untuk saya, jawapannya: ya!

Kepada yang bertanya, saya ingin tanya kalian kembali; Kalau tidak hebat, masakan karya ini diterjemahkan? Malah dalam senarai bestseller Children Series (BookSense - lihat post "Dari Orang Putih"), siri ini mendapat tempat dalam top 5 (kalau tak silap, nombor 3). Tapi, jika kalian mahu tahu sesuai, bagus atau tidak untuk kalian, kenalah baca sendiri, okey?


**Hmm, hari ini, medical checkup tak jadi! Sebabnya, saya...tak buat appointment. (Haha) Esok, insya-Allah.

Jun 13, 2007

Tak Ada Logika, Wahai Puteri

Haryani dan Laksamana Sunan... saling jatuh cinta. Pertemuan kedua insan ini dalam satu dimensi di luar batas jangkauan manusia, malah sukar diterima lojik akal. Mereka dari zaman yang berbeza.

Haryani terperangkap dalam perkelahian antara kebaikan dan kebatilan manusia. Perjalanan yang panjang, penuh ranjau dan cabaran membuatkan Haryani dan Saifudin mendiamkan sahaja cinta yang terpendam.

Dani... pertama kali melihat Haryani yang terlantar koma di hospital terus jatuh hati. Dia berusaha membawa Haryani kembali semula ke abad 21.

Antara dua lelaki, Haryani terpaksa membuat pilihan. Antara dua nyawa dalam jasadnya; sama ada tinggal bersama Laksamana Sunan pada penghujung kurun ke 15 atau kembali semula ke abad 21. Tiada dua kehidupan dalam zaman yang berlainan. Salah satu kehidupan itu mesti mati!

*********

Saya senang sekali menelusuri perjalanan kisah 'epik thriller' ini. Sesuatu yang berbeza yang dibawa oleh penulis Ramlee Awang Murshid dalam novel-novel sebelumnya. Epik yang membawa pembaca menerobos dunia paranormal - yang tak mustahil berlaku dengan izin Allah. Begitulah lebih kurang fasal buku Bagaikan Puteri ini - kisah Haryani, gadis di abad ke-21 yang koma; yang terhantar ke penghujung kurun ke-15 semasa dalam komanya dan berjumpa Saifudin di sana. Kita biasa baca/dengar macam-macam cerita orang putih fasal time-travelling kan, jadi ini kiranya time-travel versi Melayu punyalah.

Amnya, kisah ini berlandaskan: Kebaikan pasti akan mengalahkan kejahatan (kata Ramlee dalam Cinta Sang Ratu). Memang best. Tetap berinformasi pulak tu. Unsur saspens, mistik dan thriller yang memang wajib ada punyalah dalam novel ni. Dengan manusia iblisnya, hantu balan-balannya...hmm, setuju tak kalau saya kata buku ni sesuai dijadikan filem? (buat undian okey juga ni) Ah, satu lagi, yang bagusnya, Saifudin tu seorang yang warak, sangat taat kepada ajaran agama. Macam ustaz mudalah. Jadi banyaklah juga diselitkan hadis dan ayat-ayat Al-Quran. Jadi tak rugi kalau baca. Bukan sekadar cerita saja, tapi banyak ilmu yang boleh kita ambil. Siapa yang tak baca lagi, bolehlah cuba! (Saya rasa mungkin ramai dah baca sebab ia terbitan 2005; sekadar cadangan bagi yang mencari bahan bacaan)

Sekuel Bagaikan Puteri - Cinta Sang Ratu - tak kurang hebatnya. Tapi serasa Bagaikan Puteri lebih memikat. Mungkin nanti Cinta Sang Ratu pula. Sudah habis dibaca sebenarnya.

*Agaknya boleh ke saya teruskan blog ni nanti ya, masa dah mula belajar semula nanti? Waktu cuti macam ni bolehlah tulis tiap hari...

Jun 11, 2007

Inilah Bukunya

Saya mula-mula membeli siri buku ini awal tahun ini - ketika itu saya baru saja update account Friendster saya. Pada masa itu saya ada menyertai beberapa Friendster group; dan salah satu group yang saya sertai ialah Booklovers' Club. Di situ terdapat beberapa gambar buku yang dirakam oleh pemilik group berkenaan - dan salah satunya ialah gambar di sebelah ini (edisi US). Katanya buku ini banyak memenangi pelbagai jenis award. Pada mulanya saya tidak begitu berminat untuk membacanya kerana covernya yang tampak tidak begitu menarik. Tetapi suatu hari semasa saya mencari buku Harry Potter di sebuah kedai buku, saya terjumpa buku ini (edisi UK), dan kerana saya tidak dapat membeli HP, saya terus membeli Percy Jackson and the Lightning Thief ini secara suka-suka saja.

Jangkaan saya meleset - jalan ceritanya memang bagus! Memang betul kata orang: "Never judge a book by its cover". Ceritanya merupakan blending antara mitos dan moden. Bagaimana sebenarnya? Begini. Pernahkah anda baca mengenai mitos dan legenda Greek? Tentang Hercules yang perkasa? Tentang Jason dah pengembaraannya bersama Argonauts? Atau tentang raksasa mitos Greek seperti Medusa yang boleh menukarkan seseorang menjadi batu apabila terpandang wajahnya? Cerita-cerita itu telah dimodenkan, maksud saya, Rick Riordan telah mengambil mitos itu sebagai latar ceritanya. Dalam kata lain, cerita ini berkisar mengenai dewa-dewi Greek dan kesemua watak-watak dan raksasa yang bersifat immortal; yang dikatakan legenda itu sebenarnya wujud - sehingga kini di abad ke-21. Menarik?

Penulis ini tidak membuang masa mencipta watak-watak untuk dimasukkan dalam ceritanya - kerana kebanyakan watak telah ada di dalam mitos. Watak-watak baru pula dicipta berdasarkan mitos itu juga. Bijaknya, penulis pandai memanipulasi dan menjadikan cerita berkurun lamanya itu kepada suatu cerita baru yang segar dan akhirnya, terhasillah siri Percy Jackson and the Olympians ini!

Apa yang saya suka tentang siri ini ialah bahasanya yang amat mudah difahami; tidak banyak perkataan yang susah dan jarang digunakan dalam Bahasa Inggeris yang kita tuturkan. Jadi mudahlah bagi cerita ini untuk difahami. Lagi? Plot. Macam sebuah cantuman jigsaw puzzle yang dipenuhi kejutan. Semua misteri yang berlaku kepada pengembaraan Percy ibarat sekeping demi sekeping jigsaw puzzle yang dikumpulkan; di akhirnya kita dapat megetahui semuanya dengan mencantumkan kepingan-kepingan jigsaw tersebut untuk menyudahkan sebuah puzzle. Itu baru cerita fasal satu buku. Belum kira lagi buku kedua dan ketiga - The Sea of Monsters dan The Titan's Curse - kedua-duanya membawa plot yang semakin lama semakin rumit. Pembaca dapat mula melihat kesinambungan antara buku-buku ini - semuanya permulaan yang boleh meyebabkan peperangan di bumi.

Yang seronoknya bila membaca siri ini ialah apabila penulis menambah unsur-unsur humor yang sentiasa buat saya tergelak besar! Walaupun Percy menghadapi banyak masalah, tapi mereka masih sempat bergurau senda. Itu yang membuatkan pembaca relax sewaktu menmbacanya. Biarpun saya sudah membaca setiap buku dalam siri ini berkali-kali, tapi saya masih boleh ketawa ketika membacanya. Tak boring! Ceritanya disesuaikan dengan zaman kita, jadi ceritanya tidak merumitkan kepala kerana kita berada di zaman yang sama (cuma budayalah yang berbeza, dia orang putih, kan). Percy juga seorang budak dari usia 12 tahun yang meningkat remaja tahun ke tahun. Memang sesuailah untuk remaja dan kanak-kanak. Secara kesimpulannya ia memang bestlah!


Berdasarkan laman web rasmi penulis Percy Jackson, terdapat 5 buku keseluruhannya dalam siri ini, jadi, hanya tinggal dua saja lagi! Anda boleh lawat laman tersebut untuk informasi lanjut berkenaan siri ini. laman-laman ini juga boleh membantu:

Laman rasmi - www.rickriordan.com/children.htm (Boleh dengar bab 1 dari setiap buku dan boleh download siri ini untuk iPod di sini)

Versi UK - www.percyjackson.co.uk (Boleh baca petikan dari buku-buku Percy di sini)



Atau guna saja enjin carian Google Book Search di bawah sekali. Cubalah baca dan alami sendiri! Sekarang saya teruja menunggu buku keempat keluar. Penulis kata, ia sudah siap, dan telah dihantar ke editor untuk proses editing. Tahun depanlah nampaknya baru keluar. Tak sabar rasanya.

*Ah, hari ini saya cuba menyemak baki kredit handphone saya - menariknya, saya dapati, bakinya ialah RM55.55!

Related Posts with Thumbnails