"....kepada semua pencinta novel islamik, anda semua dicadangkan supaya membaca novel 'Tautan Hati' - memang best betullah, macam novel 'Ayat-ayat Cinta' jugak, kalau korang baca, korang mesti bayangkan kisas punya; aku nak cakap banyak pun susah, coz aku cuba bayangkan Sekolah Taman Islam tu memang ada persamaan dengan KISAS...cuma ia nampak lagi indah & syadid sikit...."
tapi, saya bukan mahu bercerita tentang novel Tautan Hati, tapi novel kedua yang disebutnya: Ayat-ayat Cinta.
Tidak dinafikan, novel ini memang best, kerana jikalau saya ingin berhujah berasaskan fakta, ada dua alasan; Pertama: Novel ini, kalau di Malaysia, sudah mencapai cetakan ketiga, dalam masa 7 bulan sahaja; Kedua: Kalau di Indonesia pula, bukan sahaja novel ini menerima anugerah "The Most Favourite Book 2005" dengan mengetepikan Harry Potter, malah ia katanya bakal dibikin sebagai filem tidak lama lagi! (Sudah 3 alasan tu) Belum cukup alasannya lagi untuk kalian baca pula?
Saya pun apabila mendengarkan saja novel ini novel cinta islami, terus-terang saya katakan saya tidak berapa berminat membacanya, kerana genre cinta bukan genre pilihan utama saya. Tapi suatu hari di sebuah kedai buku, ketika saya terpandangkan saja buku ini, timbul pula rasa ingin tahu - apa yang menjadikan novel ini begitu menarik? Jadi saya pun dengan hati terbuka mencapai dan membayar harganya di kaunter. Sampai di rumah, saya masih tidak dapat membacanya - mungkin kerana 'ketidakterbukaan' saya untuk membaca novel cinta masih berbekas. Jadi saya abaikan novel ini selama hampir sebulan selepas membelinya!
Akhirnya, bila saya mula saja membelek beberapa halaman, terasa terpikat pula dengan cara penceritaan dan ayat yang digunakan. Benarlah, ia memang indah. Penulis dapat menceritakan perihal bumi Mesir dengan begitu cantik sekali, terasa kita seperti merasakan kehangatannya dan menyaksikan kesibukannya bersama. Ha, kalau yang memang nak belajar di Bumi Kinanah tak lama lagi bolehlah cuba menelusuri kisah ini; kerana ini kisah kehidupan pelajar Indonesia yang telah sebati dengan Mesir. Novel ini biarpun menceritakan tentang sekumpulan pelajar Indonesia, tapi saya rasa ia amat dekat dengan orang Malaysia. Tidak banyak bezanya dengan warga Malaysia khususnya belia yang belajar di Mesir sana. Lagipun ini kisah kehidupan. Tentang cinta yang Islam sarankan, galakkan. Kesusahan, kemanisan berada di negeri orang. Bak kata sasterawan negara, A. Samad Said tentang novel ini:
"...tidak membacanya seperti sengaja melepaskan peluang untuk mencium bau, merasa iklim dan memahami gerak hidup insan Indonesia baru di luar dan di dalam negaranya..."
Apa yang membezakannya dengan novel lain? Kerana cinta yang ditonjolkan adalah cinta Islami. Remaja yang nak mengenali cinta, bacalah novel ini, sangat sesuai - penuh dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis, pengajaran tentang bagaimana cinta dalam Islam. Untuk mengajar remaja cinta ini bukan boleh dibuat sesuka hati, ikut nafsu semata, kerana ada batasnya. Dan mengajar bahawa cinta itu bukan hanya di dunia, tapi boleh berkekalan hingga ke akhirat sana.
Cuma, apa yang kurang dalam novel ini bagi saya ialah jalan ceritanya yang agak 'lambat'. Saya sempat membaca review buku ini dalam blog Dari Jiwa Rasa, katanya dia nyaris 'membakulsampahkan' buku ini di pertengahan cerita. Betul. Sehingga bab-bab pertengahan, Fahri, watak utamanya, banyak menjalani hidupnya sahaja. Tidak banyak cerita di sebalik cerita, unsur saspens atau apa jua yang tak dijangka. Tapi di pertengahan cerita, iaitu selepas dia berkahwin, sebenarnya itu adalah turning point dalam novel ini. Kerana pernikahan itulah, dia tiba-tiba ditangkap oleh pihak polis atas kesalahan merogol. Di luar dugaan! Fahri seorang yang sangat taat kepada agama, mana mungkin dia melakukannya. Siapa yang menuduhnya, yang mampu membelanya, semua berkait di akhirnya. Kalau nak tahu, macam biasa, dapatkannya dan silalah baca.
Antara lain ramai memilih buku ini kerana dikatakan penulisannya seperti Hamka. Benar atau tidak, saya tidak pasti; kerana saya belum sempat membaca mana-mana karya Hamka. Yang pasti, novel ini berbaloi dibaca, bukan semata-mata bacaan di waktu santai, tetapi sebagai iktibar, peringatan dan ilmu. Habiburrahman El Shirazy telah berjaya mewujudkan satu novel pembangun jiwa yang indah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan