September 27, 2009

Salina & Sosial

Judul: Salina
Penulis: SN A. Samad Said
Penerbit: DBP
Tahun: 1989
Bil. mukasurat: 508

Dulu seorang sahabat saya, Syahmi, pernah minta pada saya untuk carikan novel ini. Puas saya cari online (maklumlah beli cara macam ini senang kalau dah tahu judul yang nak dibeli) tapi tak berjumpa. Beberapa bulan lepas itu saya pergi ke Pesta Buku di PWTC (April lepas) dan bertanyakan seorang abang yang menjaga booth Dawama mengenai Salina. Saya pun berminat memilikinya juga sebenarnya, jadi cepat-cepat saya bertanya.

"Kami dah tak cetak Salina lagi." Ringkas jawapannya.

Kecewa itu terubat baru beberapa minggu lepas, apabila saya terjumpa Salina cetakan lama di perpustakaan kecil di kampung saya ini. Alhamdulillah terus saya pinjam. Mulanya ingin meminjam versi ringkas (abridged). Ya semacam kita membaca karya klasik orang putih yang sekian panjang tetapi kini banyak pula versi ringkas yang diolah semula. Tapi alang-alang dah terjumpa versi panjang sekali, baiklah saya baca yang penuh itu. Mungkin selepas ini tak berpeluang lagi.

Kembali kepada Salina. Ringkasnya, Salina ini cerita seorang pelacur dan juga jiran-jirannya di sebuah perkampungan di Singapura. Kampung itu bernama Kampung Kambing. Kampung Kambing, kerana rumah mereka itu asalnya kandang kambing yang diperbaiki sedikit dan dijadikan rumah untuk orang tinggal. Salina adalah antara penduduk dalam rumah itulah. Dia tinggal bersama seorang lelaki bernama Abdul Fakar, yang bukan suaminya sebenarnya. Sebagai seorang pelcaur, yang malah 'menyara' seorang lelaki simpanan, tentu banyak fitnahnya. Dan  turut menghidupkan novel ini ialah cerita mengenai jiran-jirannya, yang sama-sama mempunyai masalah kekeluargaan, kewangan dan pelbagai lagi.

Saya berminat dengan latar sosial yang ditonjolkan dalam Salina. Jangan salah faham, bukan tentang suasana lacur-melacur yang wujud itu. Tetapi kesusahpayahan hidup masyarakat di kawasan tersebut. Salina sendiri sebenarnya adalah seorang mangsa perang. Perang Dunia Kedua meragut nyawa keluarga dan kekasih pertamanya, menjadikan dia kini sebatang kara. Demi menyara hidup dia terpaksa menjual diri. Juga, saya memikirkan kesusahan penduduk Kampung Kambing itu tinggal di dalam rumah yang serba kekurangan, bekas tinggalan kambing pula. Bocor di sana sini bila hujan turun mencurah. Kemudian kesusahan mendapatkan air. Mereka di kampung itu hanya boleh menumpang mengambil air di berek pekerja PWD (Public Works Depatment) di seberang jalan, itupun hanya di waktu malam ketika tiada orang menjaga kawasan itu. Tidak seperti kita sekarang, rumah bukan main besar, air bukan main banyak sampai berjoli sakan bermain air.

Mencari rezeki untuk menampung hidup pun bukan mudah. Abang kepada Nahidah (seorang jiran Salina, yang diminati oleh Fakar) contohnya, sampai sudah tidak mendapat kerja, akhirnya meninggalkan kampung itu untuk menjadi tentera. Narto, abang angkat Nahidah pula semakin susah mencari makan sebagai pengayuh beca kerana sudah ramai yang menaiki teksi. Yang menjadi mangsa akhirnya ialah Nahidah, kerana Narto tidak dapat mencari rezeki yang 'mencukupi' buat ibunya. Ibu mereka, Zarina itu ingin hidup mewah, maka dipaksa Nahidah bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran. Pelayan waktu itu macam di kelab malam lagaknya, bukan saja mengambil pesanan dan membawa makanan, tetapi kadang-kadang melayan pelanggan lelaki dengan badan. Mungkin saja nampak sama dengan kebobrokan sosial zaman kini (malah lebih teruk lagi) tetapi hakikatnya, di sebalik semua itu, kebanyakannya bertumpu pada satu titik persamaan: mereka terdesak mencari duit demi meneruskan kehidupan. Dan inilah yang membezakan mereka dengan masyarakat zaman ini. Bukan terdesak, tetapi 'gersang' dan memang sukarela memunah maruah.

Saya secara peribadi turut tertarik dengan watak Hilmy, seorang jiran yang baru berpindah ke kampung itu. Hasil pemerhatiannya kepada keadaan tempat tinggal mereka di zaman itu dia memasang impian untuk menjadi pembuat pelan rumah. Sekarang saya sudah jelas matlamat dia hendak menjadi arkitek. Tetapi, saya masih tidak nampak matlamat saya seperti dia, mungkin kerana tiada masalah seperti itu sekarang. Kesal juga mengenangkannya. Apapun, setidak-tidaknya, Hilmy berjaya menegur diri saya secara tak langsung untuk berfikir letak duduk hala tuju hidup saya kelak.

Saya juga kagum dengan Salina kerana dia sanggup menyara pelajaran Hilmy. Ya, ketika itu bukan senang untuk belajar. Untuk dapatkan kerja yang bagus, perlu bersekolah di Sekolah Inggeris. Dan tidak semua yang dapat belajar itu dapat teruskan pembelajaran, kadang banyak yang berhenti kerana kesempitan wang dan bermacam-macam lagi sebabnya. Salina yang tidak beroleh peluang itu sangat berharap Hilmy berjaya mencapai cita-citanya, agar hidup Hilmy tidak sepertinya. Pelacur yang berjiwa besar, mungkin pelik bunyinya, tapi itulah Salina.

Karya klasik ini sememangnya membawa kita ke luar pagar kelaziman, disebabkan latar masa dan sosialnya itu yang susah untuk kita hayati dalam buku-buku terkini. Sebagai generasi muda yang lahir dalam kecukupan materi dan jauh sekali dari aftermath perang Salina membantu saya mengenali dunia nenek moyang kita. Saya juga dapat banyak iktibar dan mampu melihat hidup memalui perspektif berbeza. Saya berharap pembaca lain juga mampu bermuhasabah melalui Salina, kerana novel harus juga mendidik selain menghibur.

Syukur, itulah iktibar utama!

Kemudian...

Sabtu lalu, saya terjumpa buku Salina di Kuala Lumpur. Nak membeli tapi sempit kocek! Sempat berkongsi dengan Syahmi cerita ini, tapi sayang dia sudah balik semula ke Jordan menyambung pengajian (hari ini), jadi tidak sempat membelinya. Tak apalah, ada masa, kita pergi beli buku sama-sama ya Syahmi, boleh ajak Naqeb sekali.

Kini hasrat saya mengumpul karya Sasterawan Negara makin menebal!

helaianRindu: Muak dengan rancangan TV yang pelakonnya pun menjual badan. Free pulak tu. Sabar je.

September 22, 2009

Tuhan Manusia: Hakikat Ketuhanan; Kebenaran

Judul: Tuhan Manusia
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Ameenbooks
Tahun: 2008
Bil. mukasurat: 350
Harga: RM21.90

Dalam Tuhan Manusia, Faisal Tehrani membawa isu murtad secara head-on, dengan berani. Kata orang, berani kerana benar kan? Naskhah ini memang asal tujuannya bagi mereka yang ingin mencari kebenaran. Itu hasrat penulis, tertulis di awal muka dalam buku ini.

Tentu kita masih ingat kasus Lina Joy yang menjadi isu panas suatu ketika dulu. Juga saya mengingat-ingat ada seorang pelajar muslim berperwatakan lembut dibuli oleh pelajar lain di sekolahnya sehingga menjadikannya murtad. Persoalan yang ingin ditimbulkan dalam naskhah penulis ini ialah persoalan mengapa mereka murtad, yakni apakah faktor atau punca sebenar kemurtadan itu. Tentu ada ideologi atau fikrah yang terjana dalam minda individu-individu ini yang membawa mereka ke arah itu.

Dan dalam Tuhan Manusia, ideologi yang dibincangkan adalah faham pluralisme. Saya mengakui ini kali pertama mendengar istilah ini. Yang biasa saya dengar dan faham sebelum ini adalah golongan materialis dan sekularis antaranya. Tetapi rupanya dua elemen ini mampu membentuk sebuah faham baru, ya pluralisme. Dalam fahaman ini mereka menyatakan semua agama itu benar. Dalam kata lain hakikat kebenaran dan bertuhan itu hanyalah berdasarkan tafsiran akal individu. Dan hujahnya disandarkan pada kisah 3 orang buta dengan seekor gajah, yang setiap seorang menafsirkan bentuk gajah berdasarkan bahagian yang mereka pegang. Kisah ini termuat dalam karya Jalaluddin Al-Rumi bertajuk Mathnawi.

Tokoh yang menaikkan faham pluralisme ini bernama John Hick. Pluralisme ini merupakan salah satu dari tiga klasifikasi agama yang dikemukakan olehnya kepada khalayak. Kemudian penulis menyatakan pluralisme ini bukan hanya menumpu pada agama, malah pluralisme budaya, sosial juga wujud. Kewujudan faham baru ini berpunca dari sikap kononnya ingin mewujudkan kesefahaman dan menghapuskan segala macam sengketa yang dikatakan berpaksikan perbezaan agama. Banyak lagilah istilah dan terminologi, -isme itu ini dijelaskan. Kadang-kadang saya pening juga. Jadi saya baca perlahan-lahan. Jarang juga saya membaca dengan halaju begini. Tapi demi pemahaman total saya tegar menghabiskannya.

Faisal turut mendatangkan hujah dan nas dari sumber Al-Quran dan hadis demi menjawab pelbagai persoalan mengenai akidah dan Islam. Juga mematahkan pelbagai dakwaan pluralis yang hakikatnya hanyalah sangkaan dan hujah tanpa dasar. Fuh, memang dahsyat benar hujah dan dakwaan mereka. mereka sanggup mengatakan Al-Quran hanya teks yang sama dengan buku biasa, Nabi Isa naik ke langit itu mitos, dan Tuhan itu mana-mana pun betul dalam mana-mana agama kerana semua agama dianggap benar. Dibicarakan juga perdebatan mengenai ayat 'tiada paksaan dalam agama' yang selalu dicanang-canangkan kelompok pluralis ini. Dan banyak lagilah, tak tercerita di sini.

'Memang Tuhan Manusia bernada novel, tetapi jika dibuang jalan ceritanya, sudah menjadi seakan sebuah buku ilmiah koleksi esei-esei tentang pluralisme', itu (lebih kurang) antara kata-kata yang pernah saya jumpa di dalam sebuah resensi di internet tidak lama dulu.

John Hick yang menyebarkan idea pluralisme

Yang pasti isu ini tidak harus dipandang enteng. Penghasilan buku ini harus dipuji kerana tidak banyak buku yang membicarakan mengenai pluralisme ini...dan mungkin sebab itulah saya tidak pernah mendengar tentangnya sebelum ini. Dengan cemerlang, Faisal mengajak kita meneliti betul-betul isu ini. Tanpa fokus yang baik, kita tak mampu memahamkan isinya. Bukan sahaja penuh dengan fakta, tetapi diberati dengan banyak falsafah Islam yang seharusnya buat kita berfikir. Tentunya kalimat filsuf yang paling diingati dalam Tuhan Manusia, "Andai kota itu peradaban, rumah kita adalah budaya dan tiang serinya agama." Falsafah ini merupakan pesanan ibu kepada Taqi yang diletakkan pada awal setiap bab. Puas betul membaca buku ini, saya memang perlu baca berkali lagi untuk betul-betul faham dan ingat mesej dan isinya.

Keistimewaan novel ini adalah penceritaan melalui tiga perspektif, sudut pandang pertama, kedua dan ketiga. Sudut pandang kedua itu paling istimewa, kerana tidak mudah menceritakan sesuatu melalui perspektif 'engkau'. Memang sesuatu yang jarang digunakan dalam penulisan kerana kebiasaannya kita selalu berjumpa dengan 'aku' atau 'dia'. Yang paling baru pernah saya baca, juga banyak menggunakan sudut pandang ini adalah Mawar Shafei, dalam koleksi cerpennya Masitah (belum habis baca sepenuhnya lagi). Oleh sebab Tuhan Manusia bersifat khutbah, elemen sastera sebegini mampu mengelakkan pembaca yang mungkin mudah bosan dengan sekian banyak fakta. (Harap-harapnya tidaklah)

Sambil itu saya menghargai catan yang menghiasi muka depan buku ini. Mungkin ada yang mengatakan kulitnya tampak kebudakan. Tetapi imej catan memang bukan nilainya, kerana saya rasa kita patut menguliti maksud dan mesej di sebaliknya. Catan ini merupakan karya seorang pelukis dan kurator bebas bernama Khairul Azuwan, bertajuk Monster's Garage. Ia catan fantasi dengan gaya surrealisme. (Penerangan rinci ada ditulis dihujung buku ini sebenarnya.)

Secara ringkasnya, lukisan ini merupakan simbolik kepada pelbagai ahli falsafah dan ideologi barat yang sering diagung-agungkan. Raksasa jelik sedang dalam tawa memerhatikan makhluk kecil dalam aksi tidak ketentuan dan juga menjelma dalam bentuk aneh. Sebagai seorang pelajar aliran seni saya suka menatap dan menaakul maksud hasil seni serupa ini. Saya masih ingat dalam satu kelas seni dahulu, kami diminta melukis sebuah psycho self-portrait; iaitu melukis potret sendiri, tetapi tidak disampaikan secara literal. Jadi kami masing-masing cuba menafsir apa yang cuba disampaikan secara figuratif melalui catan masing-masing. Ah, sangat rindu waktu-waktu itu.

Tuhan Manusia diceritakan melalui kaca mata Ali Taqi, seorang remaja yang masih di bangku sekolah menengah. Abangnya Talha telah murtad dan menukar nama kepada Thomas. Terdesak, dia ingin segera memahamkan dirinya apakah punca yang menjadikan seseorang itu murtad. Lalu dia membenamkan dirinya dalam lautan falsafah dan agama demi mencari kebenaran.

Manusia, mahu bertuhankan apa sebenarnya?

helaianRindu: Sudah habis mod raya. Tapi, kuih batang buruk dari Sabah yang resipinya berbeza tak boleh berhenti ditelan.

September 19, 2009

Eid Mubarak dari Helaian Rindu.


Dahulu, sentiasa ada helaian-helaian rindu yang diterima semasa hari raya datang bertandang. Dari saudara mara dan kawan-kawan, dari jauh tentunya, yang tak dapat bersua pada hari lebaran. Masih ingat lagi, semasa di sekolah dulu, kawan-kawan melekatkan duit 10 sen pada helaian-helaian kad itu, duit raya kononnya. Pernah juga ada terlekat serdak kuih. Sekarang zaman teknologi, helaian-helaian itu pasti dirindui tentunya. Kalau masih terima sekarang pun, sudah tidak ditulis tangan, semuanya computerized, termasuklah tandatangan. Ah, kenangan yang pasti dirindui dan tak akan dirasa generasi akan datang lagi.

Dan, kedatangan lebaran iin tandanya, ada helaian-helaian suci yang akan dirindui. Bukan bermaksud helaian-helaian itu tidak ditatapi dan dibaca lagi, tetapi dalam Ramadhan ia lebih dekat di hati, dan lebih banyak waktu terluang demi menghayatinya. Ah, helaian Al-Quran itu pasti dirindui. Tiada lagi tadarus beramai-ramai, selepas ini sendiri-sendiri sahaja.

Gambar itu, helaian-helaian rindu saya. Tergamak juga saya memaparkan gambar jurnal/diari saya. Tapi hakikatnya itu semua akan dirindui, kerana mukasuratnya telah penuh...saya perlu beli yang baru.

Baju raya saya tahun ini bukan baju melayu lengkap dengan seluar, tetapi hanya baju. Satu berwarna hitam, jadi boleh dipadan dengan seluar hitam biasa. Satu lagi, kirmizi warnanya, sama macam gambar di atas. Cuma, itu bukan saya, sebab saya tak punya kopiah merah.

Rindu itu sesungguhnya anugerah dari Allah. Maka hargailah.

Eid Mubarak dari Helaian-helaian Rindu. Maaf Zahir Batin.


helaianRindu: Boleh tak membaca time2 raya nanti? Emm...

September 17, 2009

Relasi

Judul: Relasi
Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: YWJ Citra
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 269
Harga: RM26.90

Alhamdulillah buku yang dipesan secara online ini sampai tengahari tadi, dan baru saja dihabiskan tadi (malam). Ini sudah masuk buku keempat bagi penulis muda Hilal Asyraf. Saya sudah membaca kesemuanya dan sempat mengulas tiga daripadanya termasuk yang ini. Buat pengetahuan semua, naskhah ini istimewa kerana ini merupakan cahaya mata pertama penulis. Cuma karya sulungnya ini diterbitkan sedikit lambat, menyebabkan VT menjadi debut yang lebih dikenali ramai pembaca remaja di luar sana. Baiklah cukup itu buat introduksi, jom kita bercerita mengenai isi Relasi ini.

Jika anda sudah membaca novel terkini penulis bertajuk Terasing, anda akan perasan yang nama watak-wataknya sama, peristiwa yang berlaku berkait rapat. Ya sememangnya buku ini adalah sebuah prekuel kepada Terasing. Jika Terasing menceritakan darihal Saifullah ketika sudahpun berkahwin, Relasi menyorot kisah hidupnya ketika berada di bangku sekolah.

Susah juga saya hendak mengulas lanjut buku ini tanpa bercerita mengenai sekuelnya sekali kerana saya sudah membaca kedua-duanya. Jika anda belum membaca Terasing, maafkan saya. Tidak boleh tidak saya harus menyebut kedua-duanya.

Relasi
saya pandang sebagai 'sisi lain' VT. Memang kisahnya berpusat pada perhubungan dan persahabatan, tetapi watak utamanya juga seorang pemain bola tampar. Ada sebuah bab khas berkisar mengenai perlawanan bola tampar. Saya sudahpun membaca VT, jadi manis juga membaca bab ini, terkenang pula pada impak VT itu. Mungkin ada juga yang bakal merasa sedikit bosan kerana ceritanya agak sama, latar sentralnya pun begitu serupa, biar VT ataupun Terasing. Permainan bola tampar itu juga mungkin mengundang rasa monotonous. Tapi kita patut sedar mesej dalam ketiga-tiga novel ini berbeza meskipun pendekatannya hampir sama. Dan mesej ini lebih lagi perlu diberikan perhatian. Hilal lebih mantap pada aspek mesej ini. (Juga harus diingat, sepatutnya Relasi datang sebelum VT.)

Relasi seperti tajuknya adalah berkaitan perhubungan. Saifullah yang tercari-cari erti sahabat itu menghadapi konflik dengan senior yang rapat dengannya, menjadikan dia lebih keliru dengan erti persahabatan. Kemudian diceritakan pula hubungan baiknya dengan juniornya Abbas, adik usrahnya yang selalu bercanda dengannya. Rakan sebayanya yang dahulunya baik dengannya kini menjadi samseng di sekolah pula. Dan kemudian...ada juga bibit cinta timbul antara Saifullah dan Tengku Atikah. Relation atau relasi yang pelbagai ini membentuk novel ini.

Namun seperti novel Hilal yang sebelum ini, pastilah segala-gala yang kita lakukan disandarkan hanya pada Allah. Begitu juga Saifullah. Segala macam konflik jiwa dan fizikal yang menimpanya disandarkan hanya pada Allah. Relasi itulah yang paling diredhai. Dengan menghubungkan cinta pada Allah tentu dihubungkan kita dengan cinta manusia yang juga mencintainya. Sedikit berbeza dengan Terasing, walaupun masih bertunjangkan perhubungan sesama manusia, ia dilebihkan sedikit pada hubungan yang renggang, atau lebih tepat akibat pada putusnya perhubungan. Jadi secara tidak langsung saya boleh katakan Terasing seperti sisi gelap Relasi. Mula-mula mencari erti sahabat, kemudian ada pula persoalan apa jadi bila hilang sahabat? Semacam dua sisi bulan, sebelah terang dan sebelah lagi gelap. Matahari memancar pada sisi yang terang justeru terpantullah kebaikan pada diri kita. Sebaliknya keterasingan dari cahaya itu bakal menggelapkan peribadi kita. Faham maksud saya?

Em, ringkasnya, kita harus mencari teman yang berkawan dengan kita kerana Allah. Jikalau hilang dia hilang sebahagian diri kita. Lebih kurang begitulah. Itulah 'sahabat' yang sebenar dicari Saifullah.

Saya suka pada Relasi kerana kematangan bahasanya. Kemas, tersusun dan cantik. Terasa seakan-akan Relasi ditulis selepas Terasing pula, dan Saifullah sendiri nampak lebih matang dalam Relasi bagi saya. Tetapi...saya sedikit muak sebenarnya dengan Saifullah apabila asyik-asyik teringatkan Si Atikah itu. Benar, saya tak menggemari novel cinta. Adegan sepeti ini nampaknya bukan untuk saya. Terpulang pada pembaca, tetapi saya suka jika babak-babak itu dapat dikurangkan. Oh ya, harus dinyatakan juga, babak-babak ini nampaknya yang lebih dipentingkan daripada cerita perhubungan Saifullah dengan seniornya. Saya fikir ini menjejaskan sedikit fokus cerita kerana yang berselisih faham mula-mula sekali ialah mereka berdua. Dan "sesungguhnya setiap mu'min itu bersaudara" dah jelas tertera di hadapan kulit buku, jadi tentunya cerita cinta itu harus sedikit dikesampingkan. Sekadar pendapat.

Tahniah buat Hilal Asyraf. Saya sempat juga tergelak membaca mengenai kisah bau syampu sunsilk dari kepala Atikah! Saya tentu akan mendapatkan novel keempatnya yakni buku kelimanya nanti. Khabarnya bakal terbit hujung tahun ini. Minat dan usahanya harus dipuji. Kata seorang penulis, usaha itu 80% sedang bakat hanya 20%. Maka, harapan saya, dia terus menulis dan menulis demi berdakwah tanpa jemu. Usaha dan istiqamah itu tangga kejayaan!

Selamat membaca!

(Untuk membaca mengenai Terasing klik sini.)

helaianRindu: eleh, kau macam tak pernah jatuh hati je.

Jeda.

Alhamdulillah.

Sebelum sambung belajar, sempat pesan dua buku ini online. Baru saja tiba dengan kurier tengahari tadi.

...semoga sempat juga menghabiskan novel ini sebelum masanya tiba. Insya Allah satu lagi bakal dibawa bersama.

Jeda.

Macam mana dengan Tuhan Manusia yang sedang dibaca..?

.........

helaianRindu: ...baru terima baju Melayu merah. entah bila baru perasan warna ini sudah jadi warna kegemaran..

...jeda.

*Buku dipesan, Relasi oleh Hilal Asyraf dan Fikah Luar Negara oleh Maszlee Malik dan Hamidah Mat.


September 13, 2009

Cinta Alhambra dalam Kembara Sasterawan

Judul: Cinta Alhambra dalam Kembara Sasterawan
Penulis:
Hasan Ali

Penerbit:
DBP

Tahun:
2007 (cetakan kedua)

Bil. mukasurat:
222

Harga:
RM17.00


Istana Alhambra. Sudah lama saya mengimpikan untuk ke sana; menjejak bumi Sepanyol, bumi Andalusia yang pernah menjadi milik umat Islam satu masa dahulu. Saya ternampak kelibat buku ini di Pesta Buku di PWTC tahun lepas, tajuknya sudah berjaya mencuri hati. Apatah lagi gambar halaman istana, Court of The Lions yang menghiasi kulit depan buku ini. Tetapi hanya baru ini saya dapat menyudahi travelog ini.

Awalnya saya menjangkakan travelog ini merupakan kembara ke Tanah Espana sahaja, dan fokusnya hanya kepada Kota Merah itu. Sedikit kecewa apabila mengetahui cerita pengembaraannya di Alhambra hanyalah cebisan dari catatan perjalanan penulis di Granada yang cuma satu bab. Bab-bab lain merupakan catatan perjalanan penulis dari Madrid ke selatan Sepanyol, kemudian merentasi Selat Gibraltar menuju ke bumi Maghribi atau Morocco.

Cinta Alhambra yang menjuduli naskhah ini diambil dari sebuah kisah dongeng yang ditulis dalam buku yang pernah dibaca oleh penulis sendiri sewaktu berada di bangku sekolah rendah lagi. Kata penulis, dari situlah bermulanya minat untuk mengenali lebih lanjut tentang Istana Alhambra; tajuk bukunya Cerita dari Istana Alhambra. Penulis tidak ingat siapa penulis asalnya, tapi saya pasti itu merupakan terjemahan dari karangan Washington Irving, Tales from the Alhambra. Saya juga ingin sekali mendapatkan buku ini nanti. Kisah dongeng yang diceritakan semula oleh penulis dalam buku ini adalah mengenai kisah cinta Putera Mahkota Granada yang terkurung di Istana Alhambra. Baginda tidak mengenali apa itu cinta sehinggalah dipertemukan dengan seorang puteri raja dari kerajaan Kristian di Toledo.

keindahan taman dan air pancut di Alhambra

Bercakap mengenai Alhambra tidak lengkap tanpa bercerita mengenai serba-serbi senibinanya. Saya yang sememangnya telah lama mengagumi seni Islam dan senibinanya tentu sangat teruja ingin melihat dengan mata kepala sendiri tapak bersejarah ini. Court of The Lions itu sendiri, selain terkenal dengan skulptur singanya (terbaru saya dengar khabarnya terdapat sebuah air pancut di Amerika juga menggunakan desain yang hampir sama) saya juga geram sekali untuk meneliti inskripsi puisi pada air pancut itu. Kegemilangan Alhambra ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad V. Sememangnya Sultan ini sangat terkenal sehinggakan dalam kembara penulis dengan rombongannya ke Maghribi, banyak tempat-tempat tarikan di sana menamakannya sempena sultan ini. Contohnya, Lapangan Terbang Sultan Muhammad Kelima dan Pesiaran Muhammad Kelima.

Kembara di Sepanyol juga tidak cukup tanpa lawatan ke Cordoba dan Toledo. Seni dan arkitektur di bandar-bandar ini dapat dikesani impak Islam dan Kristiannya. Terukir ayat-ayat Al-Quran dan kalimah suci di sana sini. Tetapi sayang, penulis juga menceritakan rasa terkilannya kerana selepas Andalusia jatuh ke tangan orang Kristian, inskripsi ini telah dikebawahkan oleh simbol-simbol Kristian seperti salib. Tentulah sebagai umat Islam kita rasa kesucian kalimah-kalimah ini telah dicemar.

Setelah penat menjelajah bumi Espana penulis menyeberangi Selat Gibraltar menuju Maghribi. Pada setiap perhentian di bandar-bandar kecil penulis akan memperincikan tempat-tempat istimewa. Baik hotel mahupun gerai buah-buahan yang bukan sahaja teramat murah, malah lazat buahnya, semua dikisahkan. Kota-kota bersejarah seperti Fes dan Marrakech juga ada dicatat. Paling istimewa dalam buku ini adalah beberapa buah sajak dan cerpen karya penulis sendiri pada waktu itu. Saya masih terkesan dengan sajak Kafilah II yang menceritakan penduduk bumi Maghribi yang mangamalkan Islam secara liberal. Penulis menukilkan sikap mereka yang endah tak endah dengan solat, pergi ke kelab-kelab untuk berhibur dan minum-minum, dan segala macam kemungkaran--semuanya bergantung kepada individu.

Kembara penulis ini ditulis sudah lama, kerana kembara ini adalah pada tahun 1996. Penulis mengikuti rombongan Persatuan Penulis Nasional (PENA) ketika itu. Tidak hairan jika penulis menyebut Masjid Negeri Shah Alam punya paip air automatik, sedang sekarang paip air itu semuanya berpili sekarang. Karya ini sudah berusia lebih sedekad rupanya, cuma dicetak kali pertama pada tahun 2005.

Bagaimanapun, saya tetap teruja berimaginasi tentang keadaan di Cordoba semasa kegemilangannya, di bawah pemerintahan Sultan Abdul Rahman III. Juga Istana Alhambra ketika Sultan Muhammad V berada di atas takhta. Tentu hebat suasananya. Namun tahun 1492 mengubah segala..istana itu jatuh ke tangan tentera kristian. Peristiwa Spanish Inquisition yang membunuh sekian ramai umat Islam dengan kejam juga harus menjadi teladan buat kita. Jangan hanya gah mengenang bangunnya kita, tetapi perlu juga berpijak di bumi nyata, di mana letaknya punca kejatuhan kita agar tidak lagi mengulang perkara sama.

Juga memuatkan kembara penulis ke Cape Town, travelog ini wajar dimiliki bagi mereka yang seperti saya, yang ingin mengembara tetapi belum bertemu peluangnya. Buku ini juga memuatkan rakaman pelbagai budaya, sejarah, masjid yang gah, dan latar pemandangan yang mengasyikkan. Malah disertakan beberapa gambar kenang-kenangan penulis bersama rakan-rakan beliau. Namun saya juga seperti penulis, kecewa kerana tidak dapat ambil tahu lebih lanjut mengenai aktiviti sastera di Maghribi. Sayang sekali. Insya Allah suatu hari nanti saya ingin memulakan kembara sendiri, menelusuri kembara penulis untuk merasakan sendiri nikmatnya, mengecap ilmu yang penulis belum sempat nikmati.

Insya Allah.

Sebuah novel kembara Hasan Ali juga pernah saya ulas, tajuknya Di Bawah Bayangan Piramid. Klik sini untuk membaca.

helaianRindu: Buku ini pun berwarna merah. Sesuai dengan tajuknya! Rindu pulak pada seorang teman yang selalu pakai kaler merah.

September 10, 2009

Mahathir Mohamad: An Illustrated Biography


Judul: Mahathir Mohamad: An Illustrated Biography
Penulis/Pelukis: E. Yu
Penerbit: MPH Publishing
Tahun: 2008
Bil. mukasurat: 123
Harga: RM15.90


Antara lambakan koleksi buku milik abah di perpustakaan mini di rumah. Sedang merehat-rehatkan kepala terjumpa buku ini pula. Bagus juga buat bacaan santai. Biografi berilustrasi, komik secara mudahnya, jadilah buat hiburan ilmiah. :)

E. Yu, penulis dan pelukis buku ini memulakan karya ini dek ceteknya pengetahuan sesetengah rakyat Malaysia tentang Perdana Menteri yang keempat ini. Kata penulis, apabila mereka ditanya mengenai Dr. Mahathir, mereka hanya menjawab ringkas, beliau banyak bawa pembangunan pada Malaysia, dan meningkatkan taraf hidup ramai orang. Hanya setakat itu, dan latarbelakang dan segala tangga-tangga yang didaki Dr. Mahathir jarang yang dapat memperihalkan. Jadi penulis, atas dorongan rasa ingin tahu, sendiri mengambil inisiatif menyelongkar kisah hidup Dr. Mahathir dengan mendapatkan pelbagai buku mengenai beliau di pasaran. Dan penulis serta-merta merasa kagum dan jatuh hati apabila dia mengenali individu bernama Mahathir Mohamad melalui buku-buku tersebut.

Ketika itu penulis menyedari, kalaulah tidak ramai orang yang tahu tentang Dr. Mahathir, tentu mereka tak berminat membaca buku-buku seputar hidup beliau dan sebagainya. Penulis malah sedar, jauh sekali golongan lebih muda untuk ambil peduli. Justeru penulis merancang-rancang mewujudkan sebuah biografi karyanya sendiri dalam bentuk komik yang mampu dibaca pelbagai lapisan umur.

Dan inilah hasilnya.

Saya sendiri mengakui tidak mengenali betul PM keempat ini. Juga tak pernah membaca sebarang biografi mengenai beliau (biografi orang lain pun saya tak baca, kurang suka mungkin). Buku ini menceritakan latarbelakang keluarga Dr. Mahathir, bertitik tolak kelahiran beliau, pendidikan, kerjaya beliau sebagai doktor, sehinggalah naiknya beliau sebagai Perdana Menteri. Tak dilupakan, kejayaan dan sumbangan beliau dalam pembangunan negara. Maklum pada kita sudah, beliau digelar 'Bapa Pembangunan'. Tak dapat tidak kisah pembangunan negara wajib dimuatkan. Saya kira ramai orang tahu aspek ini, tapi tidak pada kisah yang berlaku sebelum Malaysia mencapai kegemilangan pembangunannya.

Kisah yang saya maksudkan antaranya hubungan kurang baik Dr. Mahathir dengan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman. Ketika itu beliau masih dalam UMNO, tetapi dek sepucuk surat kepada PM pertama itu, beliau langsung dipecat dari menjadi ahli UMNO dan kembali menjadi doktor, sepertimana sebelum beliau menceburi bidang politik lagi. Juga betapa kagumnya saya pada Dr. Mahathir yang menceburi pelbagai bidang, bukan sekadar perubatan dan politik. Bidang-bidang itu termasuklah perniagaan buah-buahan, pengangkutan, perlombongan, malah pembinaan rumah!

Orang rumah dan orang kuat di sebalik kejayaan mantan PM ini juga ada dikisahkan, ya isteri beliau Siti Hasmah Ali, juga bergelar Tun kini. Rupa-rupanya mereka ini satu kolej, berputik cinta kerana Siti Hasmah selalu berjumpa Dr Mahathir bertanya apa yang tak difahami dalam pelajaran. Dr Mahathir memang sudah lama memendam rasa, cuma tak tahu bagaimana mahu meluahkan.

Karikatur E.Yu sudah diketahui ramai, melucukan. Dialog rekaan penulis yang banyak memberi kelucuan itu. Selain itu stail lukisannya ringkas, sekali dipandang nampak macam kartun Doraemon digabungkan dengan karikatur Lat. Ya mungkin tak begitu berseni dan rinci tetapi buku ini ada tarikannya. Bagi yang tak berminat membaca, buku ini wajar jadi sasaran. Dilukis dengan 4 petak pada satu muka, teks hanya muncul sebaris di bahagian bawah setiap petak. Sesetengah mukasurat dilukis penuh, jadi bayangkan betapa mudahnya membaca buku ini, mungkin tidak sampai sejam pun kita dah boleh tahu hampir 80 tahun hidup seseorang!

Ketepikan dahulu perbezaan politik, kontroversi dan apa jua buruk baik yang melanda pemimpin ini. Nikmati komik ini dengan lapang dada sebagai seorang pembaca dan bukan sebagai seorang penyokong atau pembangkang, insya Allah naskhah ini takkan hanya sekadar hiburan.

*Baru saya tahu kenapa blog Dr. Mahathir itu dinamakan chedet.com!

helaianRindu: Masa kecik-kecik dulu aku pun rajin lukis komik dengan adik dan abang.

Aku Terima Nikahnya

Judul: Aku Terima Nikahnya
Penulis:
Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit:
Geleri Ilmu
Tahun:
2008
Bil. mukasurat:
227
Harga:
RM20.90


Dalam banyak-banyak koleksi buku saya, buku ini yang mula-mula saya baca cuti Jun-September ini. Tetapi peliknya saya benar-benar dapat mengulasnya di penghujung cuti pula. Tak mengapa, kerja Tuhan yang mengilhamkan, siapa tahu?

Karya ini sememangnya sudah diketahui ramai. Rakan-rakan saya sendiri banyak yang memberi respon positif, mengulas dengan semangat demi menggalak saya membaca. Ya sedikit hairan, kenapa isi kandungan buku mengenai perkahwinan boleh menarik hati. Sejujurnya saya sangat-sangat jauh dari memikir perkara munakahat. Didorongi rasa ingin tahu, saya juga pantas membeli buku ini bersama 2 lagi buku Ustaz Hasrizal di Pesta Buku dengan harga potongan.


"Jangan terburu-buru dan jangan bertangguh-tangguh."

Begitu pesan beliau pada remaja (perhatian: mengikut Ibnu Qayyim, remaja berusia antara 15-35 tahun). Ketika di bangku sekolah sudah mengelamun dibuai cinta, terbawa-bawa sampai 10 tahun baru menjalin ikatan. Akhirnya tersedar diri berada di perkarangan mahkamah tidak sampai 10 hari selepas perkahwinan. Bukan kepalang malunya, apatah lagi majlis kahwin mengalahkan artis dan kenamaan! Apakah ini kebahagiaan yang dijanji-janji ketika cinta berputik di sekolah dahulu? Sebabnya mudah, dah jemu!

Jeda sebentar. Saya terkenang situasi zaman ibu bapa kita dengan zaman kita anak-anak mereka. Mungkin ibu bapa kita masih sempat berada dalam zaman kahwin pilihan ibu bapa. Ada juga yang berkahwin dalam umur yang amat muda, belasan lagi sudah menikah. Sampaikan suatu masa, kalau yang tidak lepas sekolah, tak mampu cari kerja, anak gadis terutamanya terus dicadangkan berkahwin. Berbeza kini, yang mencari pasangan adalah kita sendiri, bukan lagi ibu bapa. Mahu kenal dengan pasangan sampai ingin tahu masa dia datang bulan! Setelah lama baru diijabkabul. tetapi lihat, mana yang lebih lama bertahan?

Maka penyelesaiannya, apa? Ikut trend zaman dulu? Atau...

Takut 'Ter'zina?

Persoalan yang biasa ditanya kepada ustaz, mengenai kahwin cepat kerana takut terzina! Alahai, ustaz benar-benar pantang dengan soalan ini. Alasannya mudah, orang itu melihat perkahwinan semata-mata pada hubungan seks. Sedangkan, perkahwinan adalah lebih, lebih lagi daripada hubungan batin itu. Perkahwinan itu tanggungjawab. Jelas ustaz, "Begin with the end in mind!", fikirkan apa yang di akhir, bukan di pertengahan mahupun di awal. Dia hanya ingat persetubuhan yang berlaku malam pertama, tetapi dia lupa di hujungnya ada anak yang bakal dia jaga dan suap dengan nafkah, dia lupa itu! Kalau sekarang sudah terfikir takut berzina, bagaimana orang ini mampu melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang suami nanti. Lemah begini mahu menjaga anak bini, hai, lelakikah awak ini?

Bayangkan, tunangnya di benua berbeza, tetapi takut terzina? Hai, untuk 'zina' yang ditakutkannya itu berlaku, salah seorang kena naik kenderaan itu ini, terbang ke benua sana, dengan susah payah baru berlaku 'zina' yang disebut-sebut itu!


Itu antara isi buku ini dan pendapat peribadi saya.

Menceritakan pengalamannya sebagai seorang yang bergelar suami dan bapa sendiri, Ustaz Hasrizal merakamkan bibit-bibit perkenalannya, pertunangan dan pernikahannya sendiri. Kenangan mendapat anak yang tiga orang dan susah payahnya hidup bekerja dan ingin menjaga keluarga dalam masa sama, dikisahkan demi iktibar untuk pembaca. Sebagai motivasi untuk penulis juga saya kira, untuk mengingatkan bahawa dia juga punya keluarga. kelemahan itu punyanya manusia, jadi Ustaz sendiri cuba mengatasinya dan sentiasa mencari landasan terbaik menyelesaikannya. Ada pelbagai contoh, pembaca patut mengambil iktibar.

Selain pada prapernikahan, isu kekeluargaan dan keibubapaan pasca perkahwinan juga termuat. Semacam buku psikologi juga, tapi hanyalah melalui perspektif ustaz. Selalu ustaz mengingatkan, kita harus melihat perkahwinan sebgai medan untuk memberi. Dengan itu kita akan sentiasa cuba memberikan yang terbaik untuk anak dan isteri, walau sesibuk mana kita.

Saya terbaca sebuah reviu ringkas dari seorang blogger, menyatakan alangkah bagusnya jika buku ini berada di pasaran ketika zaman dia berkahwin dahulu. Kedengarannya dia sudah sedikit berumur, dan berkahwin lama dulu. Yakin, komennya buat saya yakin buku ini sangat bagus untuk mereka yang berfikir untuk menjalin hubungan, mahupun yang telah siap diijabkabulkan, sebagai panduan meniti hari-hari hidup sebgai pasangan, bukan lagi seorangan. Setidak-tidaknya, kalau bukan menjadi panduan, naskhah ini mampu membuka mata kita akan besarnya makna perkahwinan itu.

Hei, ingat ya, ini bukan kitab hukum munakahat, ini rakaman pengalaman disertai humor , ilmu dan tazkirah. Ya perlu juga diberitahu ini bukan buku teori psikologi, hanya pengalaman, tetapi bermakna amat.

Aku Terima Nikahnya 2 juga boleh didapati di pasaran, dengan tajuk Bercinta Sampai ke Syurga.

helaianRindu: Aku tak nak ulasan jadi ulasan, tapi lebih pada cerita dan rasa.

September 07, 2009

Tunggu Teduh Dulu

Judul: Tunggu Teduh Dulu
Penulis:
Faisal Tehrani

Penerbit:
Penerbitan Selain

Tahun:
2004

Bil. mukasurat:
678

Harga:
Rm49.90


Hairan. Sangat hairan dengan diri sendiri. Kenapa saya tidak menyedari buku ini sebelum ini, kenapa buku ini tak menarik mata saya dulu untuk dibaca. biarpun telah lama berada di rak buku saya. Kadangkala saya ada membelek juga, tapi entah kenapa tak berani membacanya. Tertanya-tanya, adakah disebabkan edisi ini nampak tebal, lalu belum sanggup menelaahnya? Atau disebabkan ini sebuah novel cinta, genre yang saya kurang cenderung membaca? Atau barangkali ingin menunggu saat yang lapang seperti waktu sekarang (cuti) untuk menikmatinya? Entah. Walau apa alasan pun, saya hairan.

Tunggu Teduh Dulu adalah cerita mengenai seorang wanita bernama Salsabila Fahim yang mengusahakan sebuah ladang betik bersama rakan baiknya, Teh Sofia. Pelbagai dugaan menimpa Salsabila, dari diduga dengan cinta, retaknya persahabatan dan kekeluargaan, kematian orang tersayang, dan ujian kondisi ladangnya yang tidak menentu. Ini adalah cerita di sebalik perjalanan Salsabila mencari teduhan dari asakan yang bertalu-talu menduganya.

Saya banyak bermuhasabah dari isi novel ini. Ada tiga perkara utama yang selalu tengiang-ngiang dalam minda saya selepas membaca novel ini. Satu, bahawa kerja dan aturan Tuhan itu tiada siapa yang tahu. Jalur hidup dan ketentuan takdir kadangkala mencengangkan kita, datang dengan tiba-tiba, tetapi dihujungnya ternampak takjubnya. Teh Sofia selalu mengingatkan Salsabila dengan kata-katanya, "Kerja Tuhan siapa tahu?" dan saya juga bagai terdengar ungkapan itu di telinga saya setiap kali bertemu sesuatu yang tak saya jangka. Dua, saya belajar bahawa keterlekatan kita pada sesuatu, lebih-lebih lagi perkara duniawi akan membawa kita jauh dari bahagia. Ladang betik yang dicintai Salsabila dan Teh Sofia menghadapi banyak masalah, dan keterlekatan mereka pada ladang yang satu itu tidak boleh membawa mereka ke mana-mana. Sesungguhnya milik Allah jua segala, dan didatangkan yang lebih baik daripada apa yang kita ada sekiranya kita bersyukur dan terus berusaha.

Tiga, bahawa cinta itu diberi bukan diminta. Teman lama Salsabila di bangku sekolah dulu, Kamil dan Lam Ping Hai datang semula, menuntut cinta Salsabila setelah lama menawarkan cinta masing-masing. Sekian lama Salsabila tidak dapat memilih antara dua, dia berpergian ke Tanah Haram memohon dipertemukan jodoh. Tidak diduga, "kerja Tuhan siapa tahu?" itu muncul dan mengetuk lawang takdir wanita ini. "Cinta itu tidak diminta, tetapi diberi" begitu frasa yang saya selalu ingat. Kalau kita benar mencintai Dia, doakanlah supaya dikurniakan cinta orang yang mencintaiNya.


Susah juga saya hendak ulas lanjut novel ini, bukan kerana terlalu banyak untuk diceritakan. tetapi sukar untuk saya cari kata-kata yang terbaik untuk memperihalkan kebagusannya. Saya amat menyenangi falsafah dan simbolik di sebalik "Tunggu Teduh Dulu" itu sendiri. Tajuknya sudah memberi pelbagai bayangan pada kisahnya. Asalnya, ketika mereka masih bersekolah, Kamil, Salsabila dan Lam selalu ke puncak bukit berdekatan rumah Salsabila, dan suatu ketika hujan turun, mereka lalu berteduh di bawah sebuah bangsal. Kamil dan Lam masaing-masing menawarkan cinta dan secara halus meminta Salsabila meilih, tetapi Salsabila hanya menjawab, tunggu hujan teduh dulu. Tetapi di sebalik tajuk naskhah ini, Salsabila juga menunggu teduh dari pelbagai duga. Juga menunggu seorang lelaki yang benar-benar mampu jadi teduhannya. Dan tidak dilupa teduhan sebenar pada Tuhan Pencipta. Latar yang teduh menjadi pilihan--sebuah ladang betik dengan daun selalu ditup angin, mendatangkan damai pada jiwa-jiwa yang memandang.

Suka saya ingin meminjam kata-kata seorang pembaca, yang saya terbaca di internet; Sekiranya Indonesia mengangkat Ayat-ayat Cinta sebagai novel terbaik, maka di Malaysia Tunggu Teduh Dulu wajar diangkat sebagai citra. Ingat, watak wanita dalam Ayat-Ayat Cinta semuanya mendamba pada seorang lelaki yang tampak begitu sempurna pada segala. Tunggu Teduh Dulu menjanjikan yang lebih baik, di mana watak utamanya masih terpapar kelemahannya, dia tidak bisa memilih, dia juga ada saatnya hilang sabar dan lemah hatinya. Lebih dekat dengan para pembaca. Cerita ini adalah melalui sudut pandang pertama, dengan Salsabila sebagai 'saya'. Wanita yang membaca novel ini pasti lebih terasa dekat dengan peribadi Salsabila, pemikirannya, pendiriannya dan hidupnya sebagai seorang wanita. Sebagai seorang lelaki, Faisal Tehrani berjaya menghidupkan protagonis ini dengan baik sekali. Tidak semua lelaki boleh mempamer peribadi seorang wanita dan cara fikirnya sebaik ini. Saya juga suka dengan Salsabila Fahim, saya juga seperti ingin mencari teduhan seperti dia. Tempias duga itu dapat saya rasa, meski saya ini lelaki.

Hairan bukan, mengapa orang lebih menyebut-nyebut produk Indonesia sedang di negara kita ada yang lebih baik!

Lenggok bahasa kali ini lebih mudah, ayat-ayatnya pendek tetapi tetap dihiasi bunga bahasa dan diksi yang tepat. Manikam Kalbu contohnya, berkait rapat dengan ilmu busana, Ketupat Cinta pula dengan ilmu gastronomi, Tunggu Teduh Dulu membawa suasana pertanian. Seperti biasa, novel Faisal Tehrani sentiasa ditampung dengan ilmu yang bermanfaat. Dari ilmu mengenal jenis betik sehinggalah kepada jenis penyakit dan racun yang digunakan dalam penanaman, seperti selalu naskhah ini juga "well-researched". Begitulah sepatutnya novel, bukan sahaja menghibur, tetapi mendidik.

Pun begitu, saya sedikit ragu, selepas teduh, apa yang dinanti? Hari cerah? Pelangi? Atau sinar matahari? Bagaimana dengan bangsal tempat berteduh itu, apakah ia akan ditinggalkan? Saya masih berfikir-fikir lagi pelbagai makna di sebalik kisah berteduh ini, moga mendapat jawapannya ketika membacanya lain kali, InsyaAllah.

Kini Tunggu Teduh Dulu telahpun dicetak dalam edisi baru oleh Ameenbooks, lebih murah dan kompak saiznya. Hanya RM29.90, boleh didapati di kedai-kedai buku seperti MPH dan Popular. Jikalau anda mencari novel cinta, falsafah, kekeluargaan berlatarkan dunia tani, Tunggu Teduh Dulu jawapannya. Saya boleh menarik nafas lega, novel cinta macam inilah yang saya cari-cari!

helaianRindu: Sekeliling rumah aku pun ada tanam betik juga. Abah punya kerja. Tiap-tiap hari makan betik, hasil sendiri tapi entahlah spesies apa. Sebab itu membaca novel ini kecur liur. Suka dengan betik yang berisi jingga merah berjus itu.

September 04, 2009

The Amulet of Samarkand

Judul: The Amulet of Samarkand
Penulis: Jonathan Stroud
Penerbit: Corgi
Tahun: 2003
Bil. mukasurat: 462
Harga: RM.35.90


Mungkin terlalu ramai yang beranggapan magis atau ilmu sihir itu lagaknya persis Harry Potter. Gambaran tukang sihir memakai topi panjang dan memgang tongkat sakti, berjubah hitam dan menunggang penyapu kayu terlalu sinonim dengan magis itu sendiri. Tetapi dalam novel Jonathan Stroud ini, magis dilakukan oleh jin, bukanlah manusia. Meskipun begitu, manusia masih terbahagi kepada dua kumpulan, magician dan non-magician, di mana magician boleh memanggil keluar jin tersebut dan mengawalnya, sedang non-magician langsung tidak boleh melihat mereka.

Premis The Amulet of Samarkand berkisar di London, ketika organisasi magis sedang menghadapi ancaman. Menteri sedang dalam bahaya kerana ancaman dalam selimut. Nathaniel, seorang prodigy berumur 12 tahun, dilatih oleh magician Arthur Underwood, berjaya membongkar konspirasi yang melanda. Dengan kerjasama Bartimaeus, seekor (?) jin berumur 5000 tahun, Nathaniel mesti menghentikan matlamat musuh untuk membunuh dan merampas jawatan Menteri.

Kedengarannya seperti sebuah cerita hero kecil yang jujur, dibantu oleh jin yang juga punya sense of justice. Hero kecil ini ingin menentang ketidakadilan dan jin itu setia membantu... tetapi jangan silap. Jin yang digambarkan dalam trilogi ini merupakan makhluk yang licik dan hanya bekerjasama dengan manusia kerana kontrak yang memaksa. (Apabila jin dipanggil dari alam ghaib, manusia harus menyiapkan sebuah pentacle dan dalam lingkaran tersebut manusia tidak akan diserang, dan jin tak berupaya melakukan apa-apa melainkan menuruti perintah manusia tersebut. Sebaliknya, kalau nama sebenar penyeru jin itu diketahui, jin boleh memanipulasinya untuk tidak menuruti perintah penyeru.) Nathaniel menyeru Bartimaeus asalnya untuk membalas dendam terhadap seorang kenalan Underwood bernama Simon Lovelace kerana sebuah tragedi ketika dia berumur 11. Dalam usahanya itu, dia merampas sebuah azimat yang sangat berkuasa dari Lovelace, yang rupa-rupanya akan digunakan untuk menghuru-harakan dunia magis keseluruhannya. Nathaniel dan Bartimaeus tidak ada hubungan istimewa pun, mereka sebenarnya bermusuhan. Tetapi keadaan memaksa mereka bersatu tenaga melawan musuh...itu hakikatnya!

Apa yang menarik pada novel ini ialah watak Bartimaeus. Perwatakannya selamba, dan suka berjenaka, meski banyak yang sarkastik. Kebanyakan jenakanya pula dimuatkan dalam footnote. Secara tak langsung jadi suatu macam kesantaian pula. Sambil membaca teks utama di atas, kita lega tersenyum dan ketawa sendirian ketika membaca footnote di bawah. Juga, saya rasa ia bertujuan supaya kita tak hilang fokus untuk membaca cerita asal. Kalau terlalu penuh dengan jenaka, nanti tak terbaca dan terkeliru pula. Barangkali. Yang nyata footnote ini semacam identiti novel Stroud ini. Lagipun Bartimaeus menggunakan kata ganti pertama utnuk menceritakan kisah hidupnya, jadi lebih terasa dekat dengan watak ini. (Nathaniel diceritakan melalui sudut pandang ketiga.)

Nathaniel pula tidak begitu disukai saya. Menganggap dirinya hebat dan bijak, dia seakan-akan angkuh dan sombong. Tetapi ini wajar disebabkan tidak ada orang yang nampak bakatnya dan dia selalu dipandang rendah oleh orang lain termasuklah gurunya Underwood sendiri. Justeru dia cuba untuk membuat dirinya nampak hebat dan cuba untuk menunjuk-nunjuk. Mujurlah saya tak membenci cerita ini hanya kerana ada dia. Bartimaeuslah sebabnya, telatah dialah yang menyelamatkan isi buku ini.

Buku The Amulet of Samarkand ini merupakan buku pertama dalam siri The Bartimaeus Trilogy. Sekuelnya bertajuk The Golem's Eye. Saya dapat murah di The Big Bookshop, RM12.oo sahaja, sedangkan harga asal RM30++. Barang terpakai agaknya. Saya masih belum sempat baca, harap-harap dapatlah dihabiskan sebelum sambung belajar nanti. Cuti pun tinggal beberapa hari saja lagi, entah sempat tidak.

Peminat dunia fantasi harus mencuba trilogi ini. Memuaskan, berbaloi mengikutinya. Mungkin tidak sampai taraf 5 bintang, tapi yang pasti buku ini menjanjikan idea yang asli dan watak yang menarik.

helaianRindu: masih tertanya-tanya hakikat bagaimana 'terbelenggu' atau 'diikat'nya syaitan di bulan Ramadhan. Literally, or figuratively? Ingin tahu benar dalil-dalilnya.

September 03, 2009

Erin, The Beast Player (Kemono no Souja Erin/ 獣の奏者 エリン)

Dua tahun lalu, saya menonton sebuah animasi Jepun yang bertajuk Seirei no Moribito (Guardian of the Sacred Spirit) karya Nahoko Uehashi. Awalnya saya tidaklah begitu berminat, tetapi sedar-sedar saya dah habis menonton kesemua 26 episod dan menagih lebih episod lagi. Tandanya, saya sudah jatuh cinta dengan karya beliau.

Awal tahun ini, lebih kurang dalam Mac-April, saya terbaca berita bahawa sebuah lagi karya Nahoko Uehashi akan dijadikan animasi. Karya itu bertajuk Kemono no Souja (The Beast Player) yang ketika itu berjumlah dua volum. Ah ya, terlupa pula, kedua-dua Moribito dan Kemono no Souja adalah novel karangannya, bukan manga. Moribito adalah novel dua jilid manakala Kemono no Souja adalah novel 4 jilid, dan 2 jilid selebihnya baru saja diterbitkan 10 Ogos lalu di Jepun. Berbalik semula pada berita yang saya jumpa itu, saya terus meletakkan siri ini sebagai salah satu cerita yang wajib saya tonton.

Mengadaptasi 2 volum awal, Kemono no Souja Erin merangkumkan kandungannya ke dalam 50 episod. Pada mulanya saya agak teragak-agak juga untuk menonton, disebabkan gambar promonya yang kelihatan keanak-anakan. Impresi awal mengatakan ini kisah untuk kanak-kanak. Tetapi, mengenangkan Moribito, saya meyakinkan diri yang siri ini juga matang dan tentu lebih baik lagi. Animasi 50 episod, tak mungkin mereka akan animasikan sesuatu yang membosankan!

Erin merupakan seorang kanak-kanak berumur 10 tahun, yang tinggal dengan ibunya, Soyon, di Kampung Aka. Ibunya merupakan seorang pelatih dan doktor Touda--sejenis haiwan tunggangan seperti biawak besar yang bertanduk dua--yang digunakan oleh tentera Raja dalam peperangan. Mereka berdua berasal dari Kampung Kiri yang merupakan penduduk yang disisihkan kerana melakukan satu kesalahan besar lama dulu. Sebagai penduduk asal kampung itu mereka dilayan dengan layanan buruk oleh setiap orang. Namun mereka diberi pengecualian untuk tinggal di kampung itu kerana kepakaran Soyon sebagai pelatih Touda.

Namun, tragedi maut yang menimpa seekor Touda pada suatu hari dibebankan kesalahannya pada Soyon sepenuhnya tanpa usul periksa. Soyon terpaksa menjalani hukuman, dan Erin pula harus keluar dari kampung itu demi keselamatannya. Dalam masa yang sama, kerajaan yang diperintah Raja sedang bergolak. Erin, dalam pengembaraannya, belajar banyak perkara mengenai haiwan, dan satu hari di dalam hutan, dia terkagum akan seekor binatang yang sangat megah yang menjadi lambang Raja pada waktu itu: Raja Haiwan (Beast Lord). Tidak disangkakan oleh Erin yang pertemuannya dengan Raja Haiwan itu akan menjerumus dirinya ke dalam pergolakan politik kerajaan.

Premis novel Nahoko Uehashi sangat menarik dan begitu epik sekali sifatnya. Walaupun baru 31 episod saya tonton, tetapi setiap episod begitu menarik sehinggakan saya selalu 'terserap' ke dalam dunia Erin. Watak Erin sendiri terlalu memikat. Dia budak yang bijak, cepat belajar dan mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi. Kerana sifat ingin tahunya itu, kadangkala dia terlupa yang tindakannya boleh membawa kepada bahaya. Dia juga sangat sayang akan ibunya dan hubungan ibu-anak yang terpancar dalam animasi ini sentiasa menyentuh hati.

Erin ketika memujuk anak Raja Haiwan. Alamak, comelnya. Geram. Setiap episod.

Uehashi cekap membina perhubungan antara watak, baik manusia ataupun haiwan. Premis Kemono no Souja Erin berkisar mengenai perhubungan manusia dengan haiwan. Seperti Touda, Raja Haiwan boleh ditundukkan oleh manusia dengan meniup sebiji wisel khas dengan frekuensi tertentu yang tidak didengari manusia. Namun, kerana kasihnya Erin terhadap haiwan, dia enggan menggunakan cara yang sama. Dia bertindak sebagai seorang ibu kepada seekor anak Raja Haiwan. Walaupun cara itu bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan, dia tetap tegar dengan metodenya. Saya selalu ikut terharu menyaksikan jalinan luarbiasa Erin dengan Raja Haiwan ini, ada masa hampir-hampir saja saya menitiskan airmata. Tak dinafikan, barangkali kerana saya juga sukakan haiwan. (Lagipun, Raja Haiwan seekor bintang yang sangat comel sebenarnya, walaupun berbahaya apabila dia mengganas.)

Erin 18 tahun dan beberapa watak yang terlibat

Perhubungan Erin dengan ibunya, dengan ayah angkatnya Jone (juga watak kegemaran saya), dan dengan rakan-rakannya yang terbina juga mengikat saya bersama. Rona emosi yang dilontar oleh tragedi mahupun kegembiraan juga membawa rona rasa yang sama pada saya. Contohnya, ketika bayi Raja Haiwan liar yang ditemuinya di hutan itu sedang dalam ancaman oleh Touda liar, saya ikut cemas seperti Erin. Kehadiran ibu Raja Haiwan itu secara dramatik membuat saya bertepuk kegembiraan, benar! "Bayi itu selamat!" bisik saya dalam hati. Tersenyum-seyum saja sehingga hujung episod itu kerana terkenangkan perilaku saya ketika itu. Sejak itu saya juga jatuh cinta pada Raja Haiwan macam Erin.

Antara abstrak dalam Kemono no Souja

Digaul dengan suasana kampung yang damai, desa dan bukit yang meluas indah, saya tenang meneliti setiap episod. Muzik yang melatari keseluruhan animasi ini juga mendamaikan. Lagu nyanyian cossami contohnya, yang seperti keanak-anakan tetapi berlatarkan muzik yang lembut dan perlahan antara yang menjadi kegemaran saya sepanjang siri ini ditayangkan. Sangat sesuai dengan Erin dan sifat latarnya. Lain daripada itu saya gemar sekali dengan art syle yang digunakan, paling suka pada motif seakan-akan abstrak. Seni cerita dan juga seni animasi dan muzik, kedua-duanya 'memaksa' saya bercinta dengan Kemono no Souja.

Buku peraturan yang sepatutnya dipatuhi semua pelatih Raja Haiwan

Siri ini tidak tertumpu pada Erin yang berumur 10 tahun itu saja. Siri ini diteruskan dengan Erin 14 tahun, dan terbaru dalam episod 31 Erin sudahpun menjadi gadis matang berumur 18 tahun. Masih belum nampak kaitan Erin dalam pergolakan negara, siri ini masih panjang lagi. Malah 50 episod ini adalah untuk 2 volum sahaja. Masih ada 2 jilid lagi yang baru terbit perlu dianimasikan. Entah bila agaknya dapat saya saksikan. Tak apa, saya akan cuba jadi peminat yang sangat setia.

novel bahasa Jepun volum 1 Kemono no Souja

Oh ya, Moribito telahpun diterjemah dalam bahasa Inggeris oleh Scholastic. Saya tak sabar menunggu Kemono no Souja diterjemahkan juga. Saya mesti menjadikan Karya Uehashi sebagai koleksi tersayang. Biarpun sudah tahu jalan ceritanya, saya ingin membacanya dalam bentuk novel pula. Tentu akan memberi perasaan berbeza, mana tahu lebih baik lagi? (Tapi, menonton animasinya takkan terasa macam menonton animasi, terasa macam drama, rasa macam memang membaca novelnya. Sungguh.)

Terlalu banyak yang ingin dikisahkan mengenai Erin dan siri ini. Mungkin hanya saya yang suka, tapi jika anda ingin menontonnya anda boleh muat turun episod-episod terbaru di sini dan nilailah sendiri. (dalam bahasa Jepun dengan sarikata Bahasa Inggeris) Dan jika berminat siri Seirei no Moribito di sini.

Untuk mengetahui ulasan lebih baik di sini, dan untuk ulasan mengikut episod di sini dan sini.

September 02, 2009

VT

Judul: VT
Penulis: Hilal Asyraf
Penerbit: Galeri Ilmu
Tahun: 2009
Bil.mukasurat: 511
Harga: RM25.00


VT adalah sebuah novel dengan tema sukan, dan fokusnya bola tampar. VT adalah akronim bagi Volleyball Team (pasukan Bola Tampar). Susah mahu jumpa novel berbentuk sukan ini, dan lebih-lebih lagi kalau hendak jumpa novel sukan dengan wacana Islam. Buku dengan tema yang sama dengan VT, paling terkini yang pernah saya baca adalah Justeru Impian di Jaring karya Zaid Akhtar. Berkisar mengenai badminton. Tidak hairan jika ada orang cuba membandingkan VT dengan novel tersebut. Saya tidak terkecuali. Mungkin disebabkan tidak banyak novel berbentuk begini di pasaran. Tetapi biarlah kita ketepikan soal banding-membanding dua novel ini.

Berbalik semula kepada VT. Buku ini merupakan fiksyen terbitan sulung penulis. Melalui pengalaman beliau dalam sukan bola tampar di sekolah menengah, beliau menggubah pengalaman itu dan memfiksikan pasukan bola tampar dan guru-guru sekolahnya. Namun latarnya dikekalkan, iaitu di sekolah menengahnya dahulu, MATRI, yang terletak di Perlis. Watak utamanya digubah dari diri penulis sendiri dengan mengambil nama Asyraf.

Dalam buku ini, Asyraf merupakan pelajar tingkatan enam yang menghadapi masalah keluarga. Dia juga masih pedih berdepan dengan masa silamnya. Suatu masa dahulu, Faiz, senior yang mengenalkan dia kepada seni bola tampar maut di hadapan matanya sendiri. Asyraf juga kecewa dengan pasukan bola tampar yang wujud sekarang. Semua ahlinya mempunyai sikap dan akhlak yang buruk, bahkan mementingkan diri sendiri. Kekalahan pasukan tersebut pada tahun sebelumnya lebih-lebih lagi mencambah benci di hati Asyraf--kerana tanpa kemenangan dia tidak mampu mengota janji pada seniornya ketika ajalnya dahulu.

Seorang jurulatih baru datang secara tiba-tiba, bertujuan mengubah situasi ini. Menggelarkan dirinya sebagai Coach Hussam, dia datang dengan misi menghidupkan kembali pasukan yang hampir mati itu, dan berhadapan dengan masalah keluarga Asyraf. Tetapi ternyata, ada misteri dan rahsia yang disembunyikan Hussam daripada pengetahuan pasukan bola tampar itu.

Membaca VT membawa suatu perasaan yang luar biasa. Kekemasan plot (sebab dan akibat) yang diketengahkan menjadi. Watak Asyraf yang dinamik memang ada impak tersendiri. Dia baran, tetapi dalam masa yang sama dia juga penyayang. Babak ketika Asyraf mendepani ayahnya secara terus demi menyelesaikan perbalahan dalam keluarganya sangat mengesankan.

Dari sudut ilmiah, novel setebal 511 mukasurat ini adalah sumber yang baik. Sudah pasti informasi mengenai sukan bola tampar dijelaskan dengan panjang lebar, sama ada melalui perlawanan ataupun latihan. Cara permaianan, posisi pemain dan syarat-syaratnya. Walaubagaimanapun apa yang lebih penting ialah mesej dakwahnya. Sukan sebagai medan dakwah, susah untuk dipercayai bukan?

Tapi, lupakah kita pada Ruqaya Al-Ghasara, seorang pelari pecut bertudung dari Bahrain? Pada tahun 2006 beliau berjaya menggondol pingat emas, sekaligus membuktikan Islam yang diamalkan langsung bukan penghalang untuknya mencapai kejayaan. Bahkan lebih baik lagi apabila kemenangan itu membawa perspektif baru kepada umat dunia seluruhnya. Ramai yang mengaguminya, baik muslim atau tidak. Bukankah itu sudah jadi satu dakwah baginya? Begitulah fokusnya VT. Memapar imej Islam bukan cuma memakai pakaian yang menutup aurat. Pemain harus juga menujukkan akhlak yang baik, biar di dalam atau di luar gelanggang. Maka untuk merealisasikan pemain-pemain sebegini Hilal menampilkan watak-watak yang sudah ketandusan akhlaknya, dilatih oleh Hussam dengan pelbagai cara, antaranya al-Ma'thurat dan Qiamullail untuk melembut dan mendidik hati-hati mereka. Mereka juga diperkuatkan hubungan dan ukhuwwah agar dapat bergerak sebagai satu pasukan. Terkenang juga saya dibuatnya pada rakan-rakan saya yang bersama melalui susah senang semasa belajar dulu. Walaupun bukan melalui sukan, jalinan yang ditonjolkan sekurang-kurangnya menuntut pembaca beringat, bahawa setiap muslim itu bersaudara. Jika salah satu anggota terasa sakit, sakitlah juga seluruh tubuhnya. Persis pasukan bola tampar di gelanggang perlawanan, kecundang seorang, yang lain juga merasainya. Bukan mementingkan diri. Bukan juga saling menyalahkan.

Saya berimaginasi VT dapat dijadikan sebagai sebuah komik bersiri. Sudah terbayang-bayang karya Takehiko Inoue, Slam Dunk, yang begitu besar sambutannya sampai sekarang. Atau lebih terkini dan popular juga, Eye Shield 21 karya Riichiro Inagaki dan Yusuke Murata. Mestilah VT lebih mantap dalam bentuk komik kerana pembaca bisa melihat apa yang terjadi dalam sesebuah gelanggang bola tampar dengan lebih jelas. Saya yang kurang arif dalam bidang sukan ini apatah lagi memerlukan aksi bergambar untuk menjadikan saya faham letak duduknya permainan tersebut. Memang ada disertakan lampiran gambar mengenai teknik-teknik seperti setting, digging, dan blocking, tetapi dalam perlawanan yang panjang, penerangan dalam bentuk perkataan akan jadi lebih kompleks. Malah saya tak mampu mengingat posisi-posisi pemain dengan begitu baik, justeru saya kadangkala keliru. Komik yang bergambar sememangnya satu bahan yang dapat membantu. Komik Malaysia tentang sukan juga kurang, maka kalau idea ini terhasil alangkah bagusnya. Dapat meluaskan lagi skop mad'u. Yalah, bukan semua orang suka membaca novel berjela kan?

Satu keistimewaan yang jarang-jarang didapati dalam novel lain: Tak ada watak perempuan dalam VT! Biasanya, sukar menarik minat orang membaca fiksyen jika tiada sedikit kisah cinta. Mungkin sudah ada yang menganggapnya bosan. VT nampaknya menangkis persepsi ini. VT berada dalam kelasnya tersendiri, dan walaupun karekter-karekternya semua adalah lelaki, tak bermakna novel ini khas hanya untuk lelaki. Audiensnya boleh jadi sesiapa sahaja, perempuan, lelaki, remaja, atlet... Saya yang kaki bangku ini pun boleh tertarik membacanya.

Berbanding novel terkini penulis, Terasing, saya lebih suka pada VT. Idea yang original, mesej dakwah yang segar dan plot yang kemas itulah sebabnya. Naratifnya bukanlah sebuah khutbah agama tentang bagaimana bersukan dalam Islam, tetapi medannya adalah peribadi dan akhlak, lebih halus dan berhikmah.

Walaupun Hilal Asyraf masih baru, tetapi potensinya besar. VT buktinya.

Anda juga boleh baca ulasan Terasing di sini dan Justeru Impian di Jaring di sini.

helaianRindu: Dulu kena kutuk sebab tak pandai main bola. Minta maaf, aku emo sikit bab-bab main bola sepak ni. (kenapa aku jujur sangat ni. entahlah)

September 01, 2009

Apabila Haiwan Menjadi Guru

Judul: Apabila Haiwan Menjadi Guru
Penulis: Sahrulazmi Sidek
Penerbit: KarnaDya
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 279
Harga: RM16.00

Jangan terkejut jika saya katakan saya tertarik membeli buku ini kerana kulit hadapannya yang nampak comel. Sudahlah gajah itu jadi cikgu, siap pakai baju dan necktie lagi. Terbuktilah kulit depan itu penting dalam penerbitan sesebuah buku. Mana taknya, sayalah antara 'mangsa'nya.

Sahrulazmi Sidek kembali dengan buku terbarunya, juga buku keempat terbitan KarnaDya. Masih mengekalkan gaya dialog bersahaja dengan pembaca, isi buku ini adalah seputar kisah-kisah haiwan di dalam Al-Quran. Penulis membayangkan haiwan-haiwan ini sebagai guru apabila mereka secara tak langsung memberi iktibar dan pengajaran kepada kita manusia.

Tentu anda ingat contoh paling awal haiwan sebagai guru kepada manusia. Peristiwa pembunuhan pertama dalam sejarah manusia. Qabil, kerana dengki kerana mendapat pasangan yang cantik, bertindak membunuh saudaranya Habil. Berasa sesal selepas membunuh Habil, Qabil tidak tahu apa yang harus dilakukannya dengan mayat Habil. Dan kala itu Allah menghantar dua ekor gagak saling berlawan dan salah satunya terbunuh. Gagak yang menang itu akhirnya menanam bangkai gagak yang kalah itu ke dalam tanah. Kehadiran 'guru' inilah menjadi ilham bagi Qabil melakukan perkara yang sama kepada saudaranya.

Buku ini bukanlah kitab tafsir yang menjelaskan perihal ayat-ayat Al-Quran, tetapi lebih menjurus kepada bentuk cerita-motivasi. Penulis berasa hairan apabila ada dalam kalangan ibu bapa yang kehabisan modal bercerita apabila diminta oleh anak-anak mereka untuk bercerita. Sedangkan di dalam Al-Quran sangat banyak kisah-kisah binatang yang mudah disampaikan dan mudah pula diambil iktibarnya.

Oleh kerana isi buku ini diinspirasikan dari ayat-ayat Quran, penulis menambah, pembaca bukan sahaja dapat mengetahui lebih lanjut isi al-Quran, malah boleh menambah ilmu pengetahuan menganai sejarah, sifat binatang, cara hidup serta kelebihan dan keistimewaannya. Ini kerana selain menceritakan perihal baik buruk binatang itu, penulis juga menyertakan beberapa fakta sains yang berkaitan.


Kisah dalam Al-Quran yang selalunya menarik hati saya ialah kisah lebah. Dalam surah An-Nahl ayat 68-69. Ertinya:

"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah, 'Hendaklah engkau membuat sarangmu pada gunung-ganang dan pokok-pokok kayu dan juga pada bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai) serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkan kepadamu'. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari pelbagai penyakit). Sesungguhnya yang demikian itu ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir."

Dari pembinaan sarang hinggalah kepada penghasilan madu, proses-proses itu sering mengujakan saya. Mana taknya, saya sendiri suka madu. Bahkan madu juga punya healing properties dan baik untuk kesihatan. Ketika saya belajar di dalam kelas Sains & Tamadun Islam di kolej dulu saya juga mengetahui dalam ayat ini tersembunyi pelbagai fakta saintifik mengenai kehidupan sosial lebah dan tentang madu itu sendiri. Tak percaya? Kajilah sendiri.

Kisah lain yang dimuatkan dalam buku ini antaranya kisah labah-labah, nyamuk, kambing, lembu, rama-rama, unta, anjing dan juga semut. Ada lebih 20 haiwan diperincikan dalam buku ini, termasuklah lebah dan yang tersebut tadi. Juga ada satu bab yang menyenaraikan beberapa peribahasa Melayu yang berkaitan dengan haiwan.

Apapun, tahniah buat pihak penerbit atas peningkatan kualiti kulit depan buku. Moga selepas ini karnaDya menyediakan karya yang sentiasa berkualiti, dalam dan luar. Tabik tuntuk kulitnya!

Mari kita berguru dengan para haiwan!

helaianRindu: Patutlah pernah dengar nama Ustaz Sahrul, rupanya dia lepasan Kolej Islam. Pernah datang dulu rasanya..

Related Posts with Thumbnails