Disember 31, 2007

Ulasan 2007

Koleksi ulasan buku 2007.
  1. Percy Jackson & The Olympians Book 1-3 - Rick Riordan
  2. Bagaikan Puteri - Ramlee Awang Murshid
  3. Ayat-ayat Cinta - Habiburrahman El-Shirazy
  4. Menjejaki Jutawan Senyap - Dr. Rusly Abdullah
  5. Swordbird - Nancy Yi Fan
  6. Page After Page - Heather Sellers
  7. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck - Hamka
  8. For One More Day - Mitch Albom
  9. Surat-surat Perempuan Johor - Faisal Tehrani
  10. The Wind in the Willows - Kenneth Grahame
  11. Nama Beta Sultan Alauddin - Faisal Tehrani
  12. 6:20 - Siti Jasmina Ibrahim
*lebih informasi & gambar untuk buku no.1 (dlm senarai di atas).

Nota: Buku paling signifikan bagi saya tapi tidak diulas tahun 2007 ialah Harry Potter 7.

Disember 22, 2007

6:20

Judul: 6:20
Penulis: Siti Jasmina Ibrahim
Harga: RM14.00
Tahun terbit: 2006

Novel yang meraih tempat kedua kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) tahun 2005 ini benar-benar memancing hati saya untuk membelinya. Saat ternampak grafik "mawar dipagari duri" pada kulit buku ini saya terus mencapainya tanpa rasa ragu. Pada intuisi saya, kulit luarnya yang menawan sudah cukup menggambarkan isinya yang pastilah menawan hati juga. Dan tekaan saya waktu itu tidak salah.

Sukma, remaja penggerak utama novel ini, amat peka dan prihatin akan gejolak semasa di sekelilingnya. Kisah bermula apabila dia didatangi beberapa tetamu misteri pada jam 6.20 pagi sejak hari Isnin suatu minggu. Dalam masa yang sama, dia mengesani perubahan sikap ibunya serta perwatakan teman sekuliahnya yang terjerumus dalam kebejatan akhlak. Sukma mencantumkan setiap ruang dan waktu dan membuka satu per satu rahsia yang akhirnya membawa kepada penemuan yang tak disangka. Keluarganya terangkul dalam misteri itu tanpa disedarinya.

Tetamu misteri jam 6.20 pagi, perubahan sikap ibu, perlantikan ayah sebagai wakil rakyat, sikap berselindung dan perubahan perangai teman-teman Sukma, dan sebuah kelab hiburan; apakah kaitan di sebalik semua ini?

Narasi yang paling menarik minat saya ialah tentulah mengenai misteri tetamu 6.20 pagi yang dapat menguja penaakulan akal. Mengapa 6.20 pagi dan bukan 6.15? Mengapa tetamu tersebut nenek tua yang membawa bakul buah, seorang pemuda kurus cengkung, dua ekor kucing dan seorang anak kecil? Mengapa dalam minggu tersebut mereka datang secara berturut-turut setiap hari pada waktu yang sama? Adakah ini semua hanya suatu kebetulan? Apa simboliknya? Dan apa pula maksud tetamu-tetamu itu apabila mereka mengatakan kepada Sukma yang rumahnya "panas" dan perlu "disejukkan"? Terlalu banyak misteri yang sukar kita satukan dengan tafsiran sendiri. Sehinggalah kita habis membacanya barulah terungkai satu penyelesaian yang jernih.

Dah pun dua kali saya membacanya. Tidak kurang hebatnya, novel "Ombak Sfera Lotus" karya penulis yang sama. Tak mahal mana pun. Beli jangan tak beli!

*Gambar tu aku tangkap sendiri tau! Copyright tu. Nak amik mintak izin dulu hee.. (siapela yang nak pun)

Disember 19, 2007

Nama Beta Sultan Alauddin


Judul: Nama Beta Sultan Alauddin (NBSA)
Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Aberdeen Books
Harga: RM13.50
Tahun terbit: 2007

Musim cuti persekolahan adalah saat yang dinanti-nantikan oleh semua pelajar, termasuk Abu Bakar, umar dan Usman. Mereka akan bercuti di kampung datuk dan nenek mereka di Pagoh, Melaka. Rumah datuk mereka di kampung itu bercirikan seni bina rumah Melaka yang dinamakan rumah serambi enam belas.

Paling menarik minat mereka ialah cerita datuk. Datuk mereka sangat pandai bercerita. Pada percutian kali ini mereka mendengar kisah tentang sejarah Sultan Alauddin Riayat Syah yang menjadi Raja Melaka selama sebelas tahun, bermula pada tahun 1477, saat baginda masih remaja. Mengandungi 14 bab pendek, ia menceritakan tentang suka-duka hidup seorang Raja Muda yang bakal menjadi sultan muda secara kronologikal.**

Biarpun sasaran pembacanya ialah golongan kanak-kanak, buku ini bukannya tak sesuai untuk peringkat umur lain. Saya rasa setiap orang harus membacanya untuk mengetahui sejarah sultan yang berjiwa mulia dan amat bertanggungjawab ini. Bukan semua orang tahu kisahnya. Kononnya kita dah belajar tentang sejarah kesultanan Melaka di sekolah. Tapi terperincikah penceritaannya? Tambahan lagi, sejarah yang kita pelajari di sekolah sekarang kadang-kadang ada yang diselewengkan atau ditukarganti.

Paling seronok bila membaca bab Raja Hussain (Sultan Alauddin ketika remaja sebelum menjadi sultan), waktu dia menuntut ilmu dan juga saat baginda menyerang pencuri sewaktu meronda di waktu malam. Paling sakit hati bila membaca bab Sultan Alauddin dibunuh dengan racun dalam makanan. Aduh, semuanya disebabkan hasad dengki dan tak puas hati dalam politik Melaka waktu itu. Apapun baginda tetap syahid, itu yang lebih penting.

Saiz NBSA yang kecil dan harganya yang murah mampu menjadi bacaan semua lapisan umur. Beli dan bacalah!

*Sengaja letakkan gambar kucing saya. Kasi comel sikit.

**Sinopsis diolah sedikit dari majalah Dewan Siswa keluaran Disember 2007, m/s 33.

Disember 10, 2007

The Wind in the Willows


Judul: The Wind in the Willows Penulis: Kenneth Grahame

The Wind in the Willows (WITW) merupakan sebuah novel klasik yang ditulis oleh Kenneth Grahame. Pertama kali ia diterbitkan adalah pada tahun 1908 (hampir 100 tahun lalu!). Saya bukanlah peminat setia novel klasik, cuma saya membacanya sekali-sekala ..mungkin untuk kelainan setelah banyak disuap dengan cerita moden yang lebih serabut jalan ceritanya. Klasik lebih mudah difahami berbanding, yelah, cerita-cerita macam Harry Potter, Eragon, dan buku genre fantasi lain yang amat saya minati buat masa ini. Jadi saya memilih untuk membaca ini.

Berkisarkan kehidupan haiwan, ini merupakan antara cerita terawal yang mempersonifikasikan haiwan. 4 tunjang cerita ini-Mole, Rat, Badger, dan Toad-memiliki cara hidup, rumah, pakaian dan juga personaliti manusia. Tapi jangan sangka haiwan saja yang hidup dalam dunia tersebut, manusia juga ada! Inilah bahagian yang agak mengelirukan. Polis yang menangkap Toad semasa mencuri kereta (kepunyaan manusia) dan hakim yang menetapkan hukuman penjara kepadanya merupakan spesis homo sapiens (manusia). Pelik kan? Lagi-lagi bila digambarkan saiz haiwan tersebut adalah sama dengan manusia. Pada mulanya saya ingat kisah ni ikut skala haiwan, rupanya tak. Walau macam mana pun inilah yang menjadi unsur satira dalam WITW.

Cerita yang menghiburkan terutama untuk kanak-kanak ini (asalnya sebuah bedtime story yang dicipta oleh Grahame untuk anaknya Alastair, 4 tahun ketika itu) mengambil English countryside sebagai latar tempat. 1/4 awal buku ni adalah cerita tentang permulaan persahabatan binatang-binatang ni. Selebihnya lagi merupakan masalah yang dibawa oleh Toad, disebabkan kerenahnya yang bersifat tamak, degil, pentingkan diri, pembohong, talam dua muka...dan lain-lain. Apa yang menjadi trend, Toad akan ikut dan dia akan bazirkankan duit tinggalan ayahnya untuk menunjuk-nunjuk dialah yang terhebat. Kalau orang beli kereta, dia beli. Nak tunjuk hebat, beli yang mahal, pandu laju-laju. Kena saman dengan polis, tapi tak makan saman! Bila kena kurung dengan Mole dan lainnya, dia memberontak. Lari dari 'kurungan', dia mengembara seorang diri sampailah babak dia mencuri kereta dan masuk penjara. Lepas tu, banyak perkara berlaku dan semuanya sedikit sebanyak menyedarkannya dari perangai buruknya itu.

Buku ini telah banyak diulang cetak oleh pelbagai syarikat percetakan. Kalau rasa nak baca, lebih baik baca versi adaptasi (abridged) yang dah diringkaskan (termasuklah novel klasik lain). Kalau beli yang versi penuh, mesti rasa bosan, walaupun belum habis baca 1 mukasurat pun. Lagi best bacalah yang berilustrasi. Ini satu contoh helaian sebuah naskhah WITW yang disertakan ilustrasi oleh Robert Ingpen. Lagi seronok. Ada warna lagi. Yang saya punya cuma karikatur hitam-putih. Kurang menarik, tapi karikaturnya cantik.

Mungkin tak sehebat cerita zaman kini, apakata baca untuk santai?

"In the meadows and woods along a little river lives a group of friendly animals. Mole, Rat, Badger, and Toad talk and act and dress just like people. And just like people, they can get into all sortd of mischief and funny situations...especially Toad, who can't resist shiny new cars, and usually needs all of his friends' help in getting out of the silly jams he gets himself into!"

*Nak cuba cerita klasik lain? Frankenstein novel klasik terbaik yang saya pernah baca setakat ni. Cari siri "Great Illustrated Classics" terbitan Baronet Books. Versi ini dah diringkaskan dan setiap helai mengandungi satu muka penuh ilustrasi.
Related Posts with Thumbnails