Memaparkan catatan dengan label hamka. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hamka. Papar semua catatan

Oktober 29, 2007

Sejarah Perjuangan: Surat-surat Perempuan Johor


Judul: Surat-surat Perempuan Johor
Penulis: Faisal Tehrani
Tahun terbit: 2007 (Edisi Baru)
Penerbit: Aberdeen Books World
Harga: RM18.50
ISBN: 983-42152-2-4


Tahun ini, sudah keluar berapa banyak hasil tulisan Faisal Tehrani. Tuhan Manusia, Manikam Kalbu, Bedar Sukma Bisu…tapi buku ini bukanlah karya terbaru penulis. Buku ini asalnya diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor setelah memenangi tempat ketiga Sayembara Menulis Novel Sejarah dan Tradisi Johor pada tahun 2005. Mungkin kerana kurang pasaran di kedai-kedai buku (tekaan saja), kulit luarnya ditukar kepada gambar yang lebih segar. harga edisi baru (RM18.50) juga lebih murah berbanding versi asal, iaitu RM25.

Seperti cerita Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Surat-surat Perempuan Johor juga merupakan karya jenis epistolari-iaitu penceritaan melalui persuratan. Ikuti kisah hidup Ungku Nur melalui surat-suratnya, serta sejarah Johor melalui warkah-warkah Ungku Hamidah; proses pemodenan Johor oleh Almarhum Sultan Abu Bakar, hubungan erat Johor dengan Turki, penentangan Johor terhadap sekularisasi untuk mengekalkan akidah yang satu. Kisah ini menelusuri hidup dua wanita pada dua zaman berbeza – Ungku Hamidah dan Ungku Nur – yang 'disatukan' dalam warkah-warkah mereka, dan diselarikan dalam kembara yang tidak jauh bezanya.

Mengangkat perempuan sebagai tunjang utama dan protagonis, karya ini membuktikan perempuan juga kuat dan tegar, mampu mengurus hal ehwal negeri; mengurus cinta, perniagaan dan hubungan diplomatik dua negeri dengan jayanya. Persis novel 1515 karya penulis juga, perempuan diangkat sebagai watak utama; yang disampaikan melalui watak Nyemah Mulya - seorang pahlawan wanita yang kuat mempertahankan Melaka, tunjang pasukan pertahanan negeri. Dalam usahanya mempertahankan sejarah Johor dan merungkai rahsia Ungku Hamidah semasa di Turki, Ungku Nur juga menyelesaikan konflik dengan ayahnya, bekas suaminya, serta berutus berita dengan kakaknya, Ungku Nurul tentang perkembangan hidupnya sepanjang berada di sana.

Novel ini banyak menyedarkan saya tentang betapa pentingnya sejarah negeri, peradaban, budaya dan agama kita. Bukan senang menjadi seorang sultan, mempertahankan Johor dari jajahan takluk British. Dan bukan senang mempertahankan warisan Islam apatah lagi jika diri seorang wanita.

Lalui episod Majalah Ahkam Johor, sejarah Turki dan Johor yang menghadapi krisis penjajahan dan perjuangan dua wanita dalam mempertahankan tamadun Islam yang bertapak di negeri masing-masing.

Bagi yang menggemari novel cinta, novel ini sesuai dibaca. Bukan sekadar hiburan semata. Banyak ilmu dan manfaat yang boleh dikaut bersama. Penggemar genre sejarah juga semestinya patut menjadikan buku ini dalam senarai 'wajib baca' tahun ini.



"Hanya kematian memisahkan mereka dari perjuangan suci.
Sejarah adalah kenderaan, warkah adalah catatan taujih dan mulahazah, matlamatnya keabadian negeri akhir dan keredhaan Allah sumber segala sejarah, dan pasti segala kekuatan.
"


*Novel lain yang saya cadangkan: 1515, oleh penulis yang sama. Ingin lihat biografi penulis, novel 1515 dan versi asal Surat-surat Perempuan Johor atau karya penulis yang lain? Klik sini.

September 07, 2007

"Don't Judge A Book by Its Cover": Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck


Gambar ini saja yang dapat saya cari, nak tangkap sendiri, sorilah, tak ada kamera sendiri, duduk hostel, kena pinjam kawanlah jawabnya, tapi...segan nak mintak.

"Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck". Mungkin kalau pertama kali dengar, tekaan kita, cerita ini cerita perang, penjajah melawan rakyat peribumi, dan penjajah tu akhir sekali dikalahkan... maka kapal tu pun tenggelam. Tekaan saya macam tulah, dan 100% salah. Takde kait-mengait dengan kapal pun sebenarnya... cuma di penghujungnya sahaja.

Zainuddin, dia ingin pulang ke tempat asal bapanya. Ayahnya orang terbuang dari tempatnya, jadi dia pergi ke sana sebab nak cari saudara-maranya, mana tahu ada yang mengenali ayahnya lagi. Di sana dia terjumpa seorang gadis bernama Hayati. Pada mulanya dia hanya meminjamkan Hayati payungnya ketika hujan lebat, meminta Hayati menggunakannya untuk balik ke rumah..tapi di situ bermula percintaan yang tak dijangka.

Plot dan jalan ceritanya bagus. Segala kejadian mempunyai perkaitan yang baik. Masalahnya cuma bahasa, kerana yang digunakan bahasa Melayu Indonesia yang sedikit klasik. Mungkin banyak yang sudah diubah dari versi asal, tapi walaubagaimanapun, tetap boleh difahami, cuma kadangkala sedikit over dan tak faham sangat. Tapi itulah sastera, kalau tak ada, bosan jugak kan?

Saya cuma dapat summarize cerita ni sikit je, sebab sebenarnya saya dah baca buku ni dekat sebulan yang lepas. Tak ingat detail sangat. Buku pun buku pinjam, jadi malas nak pinjam-pinjam balik untuk tulis kat sini. Macam mana pun, saya puas hati dan tertarik dengan cerita percintaan bertemakan 'berlandaskan adat' ni. Ending dia pulak agak tragislah, rasanya bagus, tapi..emh, kesian Zainuddin...kapal yang membawa kekasihnya Hayati (ke mana pun dah tak ingat dah) tenggelam dalam perjalanan. Dan nama kapal itu Van der Wijck.

Lain kali saya nak baca karya Buya Hamka yang lain.. ada sorang classmate saya hari tu kata, Di Bawah Lindungan Kaabah menarik untuk dicuba.

Terbitan Pustaka Dini, RM16.00; 286 halaman. Boleh beli terus online di http://www.ujanailmu.com.my/.

*3 buku Faisal Tehrani akan terbit lagi tahun ini... sibukla Abg Faisal nampaknya..
Related Posts with Thumbnails