Kehadapan sahabatku Azrul Rezuan Azman.
Aku hamparkan warkah ini di hadapanmu demi menceritakan sebuah kisah. Ex libris pengalamanku yang baru aku dapati petang semalam. Oh ya, aku di sini sihat, engkau kuharap begitulah juga.
Semalam cuaca semakin sejuk di Birmingham. Boleh lihat nafas sendiri terhembus walaupun di dalam rumah! Tetapi hebatnya peristiwa yang kualami ini, bisa menghangatkan suasana. Di negara sendiri pun tidak pernah memperoleh pengalaman sebaik ini, tiba-tiba boleh mengecapinya di bumi asing England ini. Allahu Akbar, ini hadiah Eidul Adha yang sangat bermakna!
Yang aku sibuk hebahkan ini sebenarnya pengalaman pertamaku melihat pengislaman seorang pemuda tempatan. Ini terjadi di masjid berdekatan rumahku, Jalalabad Mosque namanya. Pemuda itu, dia beragama kristian pada asalnya. Tampangnya kurus, tegap dan masih muda umurnya. Wajahnya kukira tampan. Pada agakanku dia berumur dalam lingkungan 20-an. Ketika majlis kecil itu bermula aku masih duduk berdoa selepas solat Zohor, lantas bila aku terdengar soksek di bahagian tepi masjid aku ikut ingin tahu. Sangat teruja mengetahui ada mat saleh yang menemui hidayah Allah!
Kalau kau ingin tahu, yang mula-mula perasan akan dia adalah rakanku Kamal. Dia, ketika ingin mengambil wuduk untuk solat Asar, sekilas terpandang pemuda ini memerhatikannya dan menghulur senyum. Rakanku pantas membalas. Aneh, bisik Kamal waktu itu, kerana pemuda Inggeris itu mengekor gerak lakunya membasuhi setiap anggotanya. Dia teruskan juga, satu demi satu dengan perlahan agar pemuda itu mampu ikuti. Teka rakanku waktu itu, pemuda ini tentu baru menjadi muslim. Tekaan itu nyata hampir tepat, kerana dia akan menjadi muslim sebentar lagi!
Sahabat,
Pada awalnya, orang yang menolong pemuda itu untuk mengucap dan sebagainya menjelaskan serba sedikit apa bezanya Islam dan Kristian. Persoalan dan kekeliruan yang pemuda itu alami selama ini terjawab nampaknya, kerana dia sendiri melontar keanehan dalam persoalan akhirat dalam agamanya sebelum itu. Lelaki yang membantu mengislamkan dia sedikit sebanyak juga membimbing tentang apa yang penting sebagai seorang saudara baru dan perkara yang harus dilakukan dan sedia hadapi selepas menuturkan kalimat syahadah itu nanti. Setelah dia bersedia, dia duduk bersila mengadap si pemimpin, dan mengekor satu-persatu perkataan dalam bahasa Arab yang mengecualikan semua tuhan kecuali Allah, Dia yang Maha Layak Disembah. Dengan pelat lidahnya dia berusaha sedaya bersuara:
Asy-hadu-an-laa-ilaa-ha, illa-Allah. Wa-asyhadu-anna-Muhammadar-Rasulu-Llah.
"I bear witness that there is no God but Allah, and Muhammad is the Messenger of Allah."
Allahuakbar, hatiku bergetar, pelupuk mataku hangat wahai sahabat. Ini bukan calang perasaan, pengalaman!
Dan kemudian syahadah yang agung itu diikuti pula dengan ucapan percaya akan rukun iman yang enam. Aku beriman dengan Allah, para malaikatNya, Kitab-kitab suciNya, akan hari pembalasanNya, Qadar dan Qadha'Nya, juga para Rasul sekaliannya.
Allah, ketika itu pipiku dibasahi gerimis hangat. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaaanku yang bercampur-baur saat itu...
Azrul,
Namamu punya maksud apa ya? Tak silap aku, azr itu kuat, dan rezuan atau ridhwan itu nama syurga bukan? Kenapa aku tiba-tiba bertanyakan makna namamu, kautanya? Oh, sebabnya mudah: Pemuda yang baru saja mengucapkan kalimat syahadah itu perlu diminta memilih nama Islamnya. Muhammad, itu tentu sudah terpilih, dia kata. Cuma dia ingin satu lagi nama, yang katanya untuk membezakan dia dari orang lain. "I want to be different," khabarnya. Aku teringat aku ada membaca sebuah buku direktori muslim selepas zohor sebelum itu, dan di dalamnya punya senarai nama bayi muslim dalam bahasa Arab beserta ertinya. Mulanya Azrul, aku sangat segan hendak menyampuk, tetapi kerana ingin sekali membantu dia memilih nama yang baik, cepat-cepat aku beritahu buku itu tersimpan di rak berdekatan lalu aku ambil dan carikan bahagian nama itu. "Waleed" itu antar nama pertama yang dia nampak ketika buku itu dibuka.
Ketika itu, dia bertanya nama setiap orang yang hadir di situ dan maknanya sekali. Tentu dia ingin tahu. Aku memberitahu maksud namaku juga, tentu. Bayangkan Azrul, kini dia sudah seperti bayi yang baru lahir tanpa sebarang noda, dan berhak memilih nama sendiri, yang bagus dan mampu jadi lambang dirinya! Alangkah!
Aku ingin memberi dia nama Ammar. Nur Muhammad Ammar, aku suka sekali nama ini. Tapi, biarlah dia memilih. (Ops, bukan bermaksud aku tak suka nama engkau ya, nama Azrul itu sedap juga.)
Bagaimanapun, ada juga yang tak kena dalam sesi indah itu. Ada seorang pakcik ini bersifat sedikit mendesak. Sedang pemuda itu baru hendak menjadi muslim, mana mampu mengikuti semua aturan Islam lagi, lagipun dia belum faham penuh. Ah ya, lagi satu, kagumnya aku dengan pemuda ini, dia juga nampaknya telah fasih sedikit tentang Islam. Kawannya telah menganut Islam sejak setahun lalu, dia jadi teratarik, kalau aku tak silap dengar. Bila si pemimpin sesi itu menceritakan tentang wanita, pemuda ini menyebut dia tahu tentang kehadiran orang ketiga--syaitan--ketika seorang lelaki berduaan dengan wanita itu. Nyata dia sudah tekad benar, nyata kebenaran sudah betul sampai pada lubuk jiwanya. Sebab itu dia tahu banyak perkara, Al-fatihah pun katanya dia tahu dikit-dikit. Allahu akbar, hadiah dari Allah untuk pemuda ini sungguh menginsafkan kami!
Dia berusaha mendekati Islam, kita yang sudah Islam sudah 20 tahun ini, kenapa perlu makin menjauhi?
Oh ya..dia baru berumur 18, sangkaan awalku salah! Kita patut malu..
Oh ya..dia baru berumur 18, sangkaan awalku salah! Kita patut malu..
Azrul,
Ketahuilah engkau, pemuda ini bernama Mitchell McPike. Terkejut aku bila aku menaip namanya di Google dan mendapat tahu dia pemain bola untuk pasukan Birmingham City. Kami ingat dia pemain bola biasa-biasa saja apabila dia mengatakan yang dia seorang pemain. Rupanya dia pemain nasional. Kamal sangat teruja (peminat bola, tentulah) dan berfikir-fikir apa dia harus meminta jersi daripada pemuda ini. Aku hanya mampu ketawa. Sayang sekali, aku bukan peminat bolasepak. Tapi aku ceritakan pada engkau sebab aku tahu kau juga meminatinya. Cuma, aku tak pernah sempat meneliti kau beraksi. Mungkin nanti jika aku bisa berkenalan dengan pemuda ini, Muhammad, dan menjadi kawannya, mana tahu engkau boleh kukenalkan pada dia. Mungkin, kau boleh bermain bersama, mana tahu?
Pemuda ini kemudian bersolat maghrib bersama kami setelah membersihkan diri. Dan akhirnya dia pulang dengan beberapa buah buku pengenalan kepada Islam.
Sahabat,
Sesungguhnya benarlah firman Allah, yang hidayah itu milik Dia, dan hidayah itu akan diberi pada sesiapa yang dikehendakiNya dan berkehendakkan padanya. Kita ini moga tergolong dalam orang yang sentiasa diberi petunjuk. Aku mohon, mari kita doakan Muhammad ini tidak terpesong dari arah yang dipilihnya kini. Semoga dia lerai dari kekusutan, lepas dari segala bagai kekeliruan, biar dia hanya nampak kebenaran, kebenaran, kebenaran.
Dan aku doakan engkau berada dalam rahmat Allah selalu. Ini saja hadiahku untukmu.
Sekian saja kali ini, dalam surat lain akanku ceritakan lagi tentang dia kalau ada peluang bertemu. Ilal liqa'.
Eid Mubarak.
Mohd Rasydan Fitri
54, North Road, Selly Oak
Birmingham
United Kingdom.
Isnin, 30 November 2009, 1:05 pm.