November 22, 2009

Zugzwang

Sepanjang hari saya berprogram di University of Birmingham, namanya From Zero to Hero. Umumnya ia perkongsian ilmu demi menyedarkan kita, umat Islam, pernah bermula dari titik kosong dan kemudian semakin lama semakin kuat, hingga Abbasiyyah sampai ke puncak alam; boleh kata sebuah world order waktu itu!

Jadi macam biasa, saya hendak berkongsi. Moga-moga ada manfaat buat yang membaca.

Tentu, kalian ingat sedikit sebanyak garisan masa perkembangan tamadun Islam. Sejak tamatnya zaman Jahiliah dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW sehinggalah jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniyyah pada tahun 1924. Semakin lama kita dihimpit agenda Barat dari segenap sudut. Pelbagai ideologi dicipta dan diterap, pemimpin pula makin lemah dan hanya mampu memandang, serangan luar dan kelemahan dalam inilah akhirnya yang mengheret khilafah menyembam bumi. Begitu juga dengan Melaka, corak ini berulang pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah yang sudah goyah dan lupa, akhirnya Portugis senang lenang menebak tembok Kota Melaka!

Ketika inilah, mereka mendatangkan persoalan: Apa puncanya?

Apa puncanya Muslim kini diletak dalam keadaan penuh disadvantage, kelemahan dan fitnah?



Tentu, Muslim sudah tidak berpegang pada dua tinggalan Rasul, Al-Quran dan Sunnahnya!

Sudah jumpa punca, haruslah penyelesaian mengekori bukan? Fahamkan kedua warisan itu dengan hati, setelah faham sampaikan pada yang lain. Individu muslim bakal berkembang biak semula, menjadi masyarakat lantas terbentang kerajaan dan empayar Islam moden jika kita benar melaksanakan tugas khalifah untuk berdakwah! Tapi....

...kenapa kita harus berpeluk tubuh?

Kau takut kerana kau lemah? Eh, tugas kita menyampaikan, kepada keluarga, kawan-kawan; di akhirat nanti hutang amal bakal dituntut, semua orang baik berhubungan kemungkinan besar bakal bermusuhan disebabkan kita tidak menyampaikan!

Tanggapan "aku lemah" itu silap, kawan. Tahu tak, lagi kau menyampaikan, lagi banyak yang akan tersedar, lagi kuat nilai Islam dalam hati di sekeliling engkau, dan akhirnya Islam bakal di kemucak kekuatannya semula. Takkan lemah umat jika kau menyampaikan kebenaran!

Atau, kau takut kerana Islam ini nampak asing jika ditonjolkan, nampak pelik, sepelik kau solat di tengah lautan orang ramai di sebuah kompleks beli-belah di England? Tahu tak, yang Nabi pernah berpesan:
ghuraba
“Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil”  [Hadith Muslim no. 145]

Bukankah lebih baik kita mula mengatur langkah mulakan dakwah. Kan pesan Nabi lagi, "Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat." Maka, kenapa harus rasa lemah kalau langkahan dimulakan? Sedang langkahan itu sebenarnya bakal menguatkan yang lain, dan dirimu juga! Berdikit-dikit lama-lama jadi bukit bukan? Kalau tak mula, sampai bila pun salahfaham pada Islam tak terungkai.

Apa, kau rasa usaha kau nanti terlalu kecil dan takkan menyumbang apa-apa, biar dari mana atau apa jua usaha itu? Ah, sudahlah dengan alasan, apakata kau mulakan.

Ingat, dulu Rasulullah juga menyampaikan risalah, kaufikir, baginda semakin lemah kalau meneruskan langkah? Bahkan! Baginda makin kuat. Umatnya makin sabar. Yakinnya 100 peratus pada Allah. Kalau baginda takut menerus perjuangan, itulah yang bakal melemahkan, Islam takkan tersampaikan pada kita tahu!

Salahuddin Al-Ayyubi, mulakan strateginya dengan menyuntik yakin pada tenteranya. 313 muslimin menentang 1000 orang dalam Perang Badar, perang pertama umat Islam, mana ada mereka berundur bila melihat jumlah kuffar yang terlebih ramai? Langkah tetap diteruskan, pacuan kuda terus dipercepatkan....hingga mereka menang!

...dan kita pula?

Mahu beri peluang pada catur barat menyerang, sambil terus-terusan prasangka kita sedang hadapi zugzwang dan berdiam diri lebih baik?

helaianRindu: main guna je term entah apa-apa, betul tidak lantak kau la.  Sekarang bukan masanya nak prophylaxis lagi. Iman kita ni kena berubat dah.


2 ulasan:

Abang berkata...

MasyaAllah..Alhamdulillah..insyaAllah, sama2 kita lompat atas kereta api yg baru singgah menyapa. Let's be THE 3%!
-faham
-hati
-GERAK!

dan berkata...

fahmi: alhamdulillah.

moga-moga Allah selalu mengilhamkan kita kesedaran dan kekuatan untuk jalankan tugas yang Dia bagi..

barakallahu fik.

Related Posts with Thumbnails