September 01, 2009

Apabila Haiwan Menjadi Guru

Judul: Apabila Haiwan Menjadi Guru
Penulis: Sahrulazmi Sidek
Penerbit: KarnaDya
Tahun: 2009
Bil. mukasurat: 279
Harga: RM16.00

Jangan terkejut jika saya katakan saya tertarik membeli buku ini kerana kulit hadapannya yang nampak comel. Sudahlah gajah itu jadi cikgu, siap pakai baju dan necktie lagi. Terbuktilah kulit depan itu penting dalam penerbitan sesebuah buku. Mana taknya, sayalah antara 'mangsa'nya.

Sahrulazmi Sidek kembali dengan buku terbarunya, juga buku keempat terbitan KarnaDya. Masih mengekalkan gaya dialog bersahaja dengan pembaca, isi buku ini adalah seputar kisah-kisah haiwan di dalam Al-Quran. Penulis membayangkan haiwan-haiwan ini sebagai guru apabila mereka secara tak langsung memberi iktibar dan pengajaran kepada kita manusia.

Tentu anda ingat contoh paling awal haiwan sebagai guru kepada manusia. Peristiwa pembunuhan pertama dalam sejarah manusia. Qabil, kerana dengki kerana mendapat pasangan yang cantik, bertindak membunuh saudaranya Habil. Berasa sesal selepas membunuh Habil, Qabil tidak tahu apa yang harus dilakukannya dengan mayat Habil. Dan kala itu Allah menghantar dua ekor gagak saling berlawan dan salah satunya terbunuh. Gagak yang menang itu akhirnya menanam bangkai gagak yang kalah itu ke dalam tanah. Kehadiran 'guru' inilah menjadi ilham bagi Qabil melakukan perkara yang sama kepada saudaranya.

Buku ini bukanlah kitab tafsir yang menjelaskan perihal ayat-ayat Al-Quran, tetapi lebih menjurus kepada bentuk cerita-motivasi. Penulis berasa hairan apabila ada dalam kalangan ibu bapa yang kehabisan modal bercerita apabila diminta oleh anak-anak mereka untuk bercerita. Sedangkan di dalam Al-Quran sangat banyak kisah-kisah binatang yang mudah disampaikan dan mudah pula diambil iktibarnya.

Oleh kerana isi buku ini diinspirasikan dari ayat-ayat Quran, penulis menambah, pembaca bukan sahaja dapat mengetahui lebih lanjut isi al-Quran, malah boleh menambah ilmu pengetahuan menganai sejarah, sifat binatang, cara hidup serta kelebihan dan keistimewaannya. Ini kerana selain menceritakan perihal baik buruk binatang itu, penulis juga menyertakan beberapa fakta sains yang berkaitan.


Kisah dalam Al-Quran yang selalunya menarik hati saya ialah kisah lebah. Dalam surah An-Nahl ayat 68-69. Ertinya:

"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah, 'Hendaklah engkau membuat sarangmu pada gunung-ganang dan pokok-pokok kayu dan juga pada bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai) serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkan kepadamu'. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari pelbagai penyakit). Sesungguhnya yang demikian itu ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir."

Dari pembinaan sarang hinggalah kepada penghasilan madu, proses-proses itu sering mengujakan saya. Mana taknya, saya sendiri suka madu. Bahkan madu juga punya healing properties dan baik untuk kesihatan. Ketika saya belajar di dalam kelas Sains & Tamadun Islam di kolej dulu saya juga mengetahui dalam ayat ini tersembunyi pelbagai fakta saintifik mengenai kehidupan sosial lebah dan tentang madu itu sendiri. Tak percaya? Kajilah sendiri.

Kisah lain yang dimuatkan dalam buku ini antaranya kisah labah-labah, nyamuk, kambing, lembu, rama-rama, unta, anjing dan juga semut. Ada lebih 20 haiwan diperincikan dalam buku ini, termasuklah lebah dan yang tersebut tadi. Juga ada satu bab yang menyenaraikan beberapa peribahasa Melayu yang berkaitan dengan haiwan.

Apapun, tahniah buat pihak penerbit atas peningkatan kualiti kulit depan buku. Moga selepas ini karnaDya menyediakan karya yang sentiasa berkualiti, dalam dan luar. Tabik tuntuk kulitnya!

Mari kita berguru dengan para haiwan!

helaianRindu: Patutlah pernah dengar nama Ustaz Sahrul, rupanya dia lepasan Kolej Islam. Pernah datang dulu rasanya..

2 ulasan:

Asip Hussin berkata...

salam. pertama kali menulis di sini. tahniah, saye agak kagum dgn penggunaan bahase saudara, tampak kemas dan tersusun rapi. sesuai dgn peribadi saudara yg gemar membaca barangkali.

berkenaan buku dan novel ini, saye agak meminati novel2 RAM seperti yg pernah saudara ceritekan pade post2 terdahulu. Karya beliau adakalanya tidak logik dan agak merapu tetapi elemen itulah yang memberi keunikan pade novel2 beliau.

Macamane pon, nice post, keep it up dan same2 lah kite jadikan membace itu budaye kite..

dan berkata...

asip:
xyah la bersaya2 ngan aku asip. kita kan belaja kat intec sama2. aku pun dah bc blog ko dulu, ada pasal novel2 cinta yg tetiba boleh teraddict tu. lepas tu menjurus pada novel RAM kan? ahaha.

apepun, terima kasih. :)

Related Posts with Thumbnails