Jun 27, 2007

Bisnes? Mungkin Jawapannya...

Menjejaki Jutawan Senyap. Nah, buku inilah jawapannya. Buku motivasi ini merupakan buku pertama dalam trilogi Jutawan Senyap yang ditulis oleh Dr. Rusly Abdullah, yang lebih mesra dipanggil Chef Li. Macam mana saya mahu huraikan tentang buku ini, hmm...(mungkin sebenarnya agak malas untuk menulis entri kebelakangan ini, tak tahu kenapa?)

Senang cerita, buku Dr. Rusly ni bukan setakat motivasi bagi kita untuk berusaha dan berfikiran seluasnya dalam hidup kita untuk berjaya, tetapi ia juga merupakan panduan bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Pada mulanya saat saya terjumpa buku ini di rak buku ayah saya, saya terus memikirkan tentang perniagaan besar-besaran, kena jadi CEO ke, apa ke...tapi sebenarnya tidak. Buku ini mengorek rahsia jutawan senyap yang terdiri daripada usahawan kecil-kecilan - peniaga pasar malam, penjual aiskrim, peniaga warung makan, dan yang sewaktu dengannyalah. Peniaga-peniaga yang sebenarnya telah lama mengumpul wang dan menjadi jutawan tanpa diketahui sesiapapun (kecuali dia sendiri, keluarga dekat, ah, Allah sudah pastilah). Penulis mendedahkan rahsia-rahsia peniaga-peniaga ini - bagaimana mereka memulakan perniagaan kecil mereka masing-masing dan seterusnya mendaki puncak kejayaan dan mengembangkan empayar bisnes mereka ke tahap cipan...eh silap, jutawan.

Menariknya buku ini, di samping motivasi dan panduan, penulisannya menggunakan gaya penceritaan. Boleh kata, lebih kurang macam separa novellah. Cerita apa? Cerita fasal jutawan-jutawan senyap yang telah lama berjaya. Bagaimana mereka berjaya. Sebab, cara, semuanya ada. Ada kisah tentang Diyono seorang pendatang dari Indon yang datang tanpa izin, berjualan air di tepi jalan, ah, hanya itu saja, boleh dapat RM21,000 bersih satu bulan. Belum lagi campur warung air yang lain. Bagaimana pula Sutinah, yang menjadi mangsa suami yang tidak bertanggungjawab, punya anak yang sakit, pernah masuk penjara atas tuduhan bersubahat dengan suaminya kerana dadah, bangkit dari penderitaannya - berniaga popia basah di pasar malam - sehinggalah dia beroleh warung makannya sendiri; berkembang maju lagi sehingga ada pula kilang popia basah sendiri, lima buah restoran, dan katering sekali! Percaya atau tidak, ia bermula dari jualan popia basah! Banyak betul cerita-cerita menarik dalam buku ini yang dapat memberi pengajaran kepada kita. Saya pun sudah beberapa kali menelaah buku ini, saya masih tak jemu mengikuti semula cerita-cerita ini berulang kali. Terkesan juga saya. Tapi tak bolehlah saya berniaga buat masa ini kan. Mungkin nanti..(bila agaknya tu, hahah)

Selain cerita peniaga lain, ada juga kisah penulis sendiri. Tentang bagaimana beliau berhenti dari menjadi pegawai bank dan menceburi bidang perniagaan untuk mengalami sendiri, membuktikan, benarkah perniagaan begitu menguntungkan. Tertarik saya dengan cara penulis yang tersendiri ini. Kalau kitalah agaknya, sanggup ke kita lepaskan jawatan yang sudah tetap itu untuk berniaga di pasar. Begitu tanggapan orang kebanyakan, termasuk saya. Begitulah yang diperkatakan oleh rakan-rakan penulis tentang pemberhentiannya. Namun, beliau tetap meneruskan perniagaannya. Selanjutnya? Baca...

Nak diikutkan, memang banyak yang menarik untuk diceritakan. Buku satu pun dah banyak, belum masuk lagi buku 2 dan 3. Tapi buku 2 saya tak baca lagi, buku 3 selesai dah.

Kesimpulan mudah yang saya peroleh dalam buku ini satu: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kalau kita memang berkehendakkan pada sesuatu tu, kita pasti berusaha kuat mencapainya. Bagi yang malas? Banyak alasannya. Betul tak? Mungkin ramai lagi yang menganggap berniaga ini tak standard, susah, saya tak belajar, macam-macam lagilah. Itulah, tak hendak seribu dalih. Jangan kita lupa, Rasulullah s.a.w. dah sebut, perniagaan itu 9/10 dari punca rezeki. Buktinya dalam buku ini. Jadi, nak cuba berniaga, belek-beleklah buku ini dulu. Insya Allah membantu.

* Saya lebih suka versi paperback buku ini, lebih kecil, ringan dan murah. Mudah dibawa ke mana-mana. Gambarnya boleh lihat di sini. Versi bahasa inggeris (Silent Millionaire) klik sini.

Jun 24, 2007

Bukan Cinta Biasa; Ini Cinta Tuhan, Kinanah & Kekasih

Muzakkir, rakan dekat saya pernah menulis satu mesej melalui Yahoo group [SASIC_50Generation]:

"....kepada semua pencinta novel islamik, anda semua dicadangkan supaya membaca novel 'Tautan Hati' - memang best betullah, macam novel 'Ayat-ayat Cinta' jugak, kalau korang baca, korang mesti bayangkan kisas punya; aku nak cakap banyak pun susah, coz aku cuba bayangkan Sekolah Taman Islam tu memang ada persamaan dengan KISAS...cuma ia nampak lagi indah & syadid sikit...."

tapi, saya bukan mahu bercerita tentang novel Tautan Hati, tapi novel kedua yang disebutnya: Ayat-ayat Cinta.

Tidak dinafikan, novel ini memang best, kerana jikalau saya ingin berhujah berasaskan fakta, ada dua alasan; Pertama: Novel ini, kalau di Malaysia, sudah mencapai cetakan ketiga, dalam masa 7 bulan sahaja; Kedua: Kalau di Indonesia pula, bukan sahaja novel ini menerima anugerah "The Most Favourite Book 2005" dengan mengetepikan Harry Potter, malah ia katanya bakal dibikin sebagai filem tidak lama lagi! (Sudah 3 alasan tu) Belum cukup alasannya lagi untuk kalian baca pula?

Saya pun apabila mendengarkan saja novel ini novel cinta islami, terus-terang saya katakan saya tidak berapa berminat membacanya, kerana genre cinta bukan genre pilihan utama saya. Tapi suatu hari di sebuah kedai buku, ketika saya terpandangkan saja buku ini, timbul pula rasa ingin tahu - apa yang menjadikan novel ini begitu menarik? Jadi saya pun dengan hati terbuka mencapai dan membayar harganya di kaunter. Sampai di rumah, saya masih tidak dapat membacanya - mungkin kerana 'ketidakterbukaan' saya untuk membaca novel cinta masih berbekas. Jadi saya abaikan novel ini selama hampir sebulan selepas membelinya!

Akhirnya, bila saya mula saja membelek beberapa halaman, terasa terpikat pula dengan cara penceritaan dan ayat yang digunakan. Benarlah, ia memang indah. Penulis dapat menceritakan perihal bumi Mesir dengan begitu cantik sekali, terasa kita seperti merasakan kehangatannya dan menyaksikan kesibukannya bersama. Ha, kalau yang memang nak belajar di Bumi Kinanah tak lama lagi bolehlah cuba menelusuri kisah ini; kerana ini kisah kehidupan pelajar Indonesia yang telah sebati dengan Mesir. Novel ini biarpun menceritakan tentang sekumpulan pelajar Indonesia, tapi saya rasa ia amat dekat dengan orang Malaysia. Tidak banyak bezanya dengan warga Malaysia khususnya belia yang belajar di Mesir sana. Lagipun ini kisah kehidupan. Tentang cinta yang Islam sarankan, galakkan. Kesusahan, kemanisan berada di negeri orang. Bak kata sasterawan negara, A. Samad Said tentang novel ini:

"...tidak membacanya seperti sengaja melepaskan peluang untuk mencium bau, merasa iklim dan memahami gerak hidup insan Indonesia baru di luar dan di dalam negaranya..."

Apa yang membezakannya dengan novel lain? Kerana cinta yang ditonjolkan adalah cinta Islami. Remaja yang nak mengenali cinta, bacalah novel ini, sangat sesuai - penuh dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis, pengajaran tentang bagaimana cinta dalam Islam. Untuk mengajar remaja cinta ini bukan boleh dibuat sesuka hati, ikut nafsu semata, kerana ada batasnya. Dan mengajar bahawa cinta itu bukan hanya di dunia, tapi boleh berkekalan hingga ke akhirat sana.

Cuma, apa yang kurang dalam novel ini bagi saya ialah jalan ceritanya yang agak 'lambat'. Saya sempat membaca review buku ini dalam blog Dari Jiwa Rasa, katanya dia nyaris 'membakulsampahkan' buku ini di pertengahan cerita. Betul. Sehingga bab-bab pertengahan, Fahri, watak utamanya, banyak menjalani hidupnya sahaja. Tidak banyak cerita di sebalik cerita, unsur saspens atau apa jua yang tak dijangka. Tapi di pertengahan cerita, iaitu selepas dia berkahwin, sebenarnya itu adalah turning point dalam novel ini. Kerana pernikahan itulah, dia tiba-tiba ditangkap oleh pihak polis atas kesalahan merogol. Di luar dugaan! Fahri seorang yang sangat taat kepada agama, mana mungkin dia melakukannya. Siapa yang menuduhnya, yang mampu membelanya, semua berkait di akhirnya. Kalau nak tahu, macam biasa, dapatkannya dan silalah baca.

Antara lain ramai memilih buku ini kerana dikatakan penulisannya seperti Hamka. Benar atau tidak, saya tidak pasti; kerana saya belum sempat membaca mana-mana karya Hamka. Yang pasti, novel ini berbaloi dibaca, bukan semata-mata bacaan di waktu santai, tetapi sebagai iktibar, peringatan dan ilmu. Habiburrahman El Shirazy telah berjaya mewujudkan satu novel pembangun jiwa yang indah!

Jun 14, 2007

Dia Punyai Dunia


Pernah saya ceritakan tentang Percy Jackson hari itu bukan? Ada yang tanya best ke buku ni. Mungkin post ni boleh buktikan persoalan itu.



Cantik tak? Semua gambar ni adalah gambar-gambar cover buku Percy Jackson & the Olympians, Book One : The Lightning Thief, yang telah dialihbahasa (mula dari kiri ke kanan; Sepanyol, US[paperback], UK, US[hardback], Jerman, Jepun, Sweden, Korea). Yang paling saya suka: edisi Korea punya. Sebab itu saya besarkan dan letakkan di atas sekali. Memang gempak gilalah gambar lukisan Minotaur tu. Memang ganas, lagi..emm memang menariklah ringkas katanya. Macam ala-ala komik pun ada. Yang US hardback apa kurangnya. Gambar Minotaur, Medusa dengan Cerberus dilukis dengan baik! Dan saya suka cop bulat Percy yang ada gambar trident di tengah-tengahnya (ada pada cover US hardback dan Korea). Tak teruja melihatkan cover yang pelbagai ini? Untuk saya, jawapannya: ya!

Kepada yang bertanya, saya ingin tanya kalian kembali; Kalau tidak hebat, masakan karya ini diterjemahkan? Malah dalam senarai bestseller Children Series (BookSense - lihat post "Dari Orang Putih"), siri ini mendapat tempat dalam top 5 (kalau tak silap, nombor 3). Tapi, jika kalian mahu tahu sesuai, bagus atau tidak untuk kalian, kenalah baca sendiri, okey?


**Hmm, hari ini, medical checkup tak jadi! Sebabnya, saya...tak buat appointment. (Haha) Esok, insya-Allah.

Jun 13, 2007

Tak Ada Logika, Wahai Puteri

Haryani dan Laksamana Sunan... saling jatuh cinta. Pertemuan kedua insan ini dalam satu dimensi di luar batas jangkauan manusia, malah sukar diterima lojik akal. Mereka dari zaman yang berbeza.

Haryani terperangkap dalam perkelahian antara kebaikan dan kebatilan manusia. Perjalanan yang panjang, penuh ranjau dan cabaran membuatkan Haryani dan Saifudin mendiamkan sahaja cinta yang terpendam.

Dani... pertama kali melihat Haryani yang terlantar koma di hospital terus jatuh hati. Dia berusaha membawa Haryani kembali semula ke abad 21.

Antara dua lelaki, Haryani terpaksa membuat pilihan. Antara dua nyawa dalam jasadnya; sama ada tinggal bersama Laksamana Sunan pada penghujung kurun ke 15 atau kembali semula ke abad 21. Tiada dua kehidupan dalam zaman yang berlainan. Salah satu kehidupan itu mesti mati!

*********

Saya senang sekali menelusuri perjalanan kisah 'epik thriller' ini. Sesuatu yang berbeza yang dibawa oleh penulis Ramlee Awang Murshid dalam novel-novel sebelumnya. Epik yang membawa pembaca menerobos dunia paranormal - yang tak mustahil berlaku dengan izin Allah. Begitulah lebih kurang fasal buku Bagaikan Puteri ini - kisah Haryani, gadis di abad ke-21 yang koma; yang terhantar ke penghujung kurun ke-15 semasa dalam komanya dan berjumpa Saifudin di sana. Kita biasa baca/dengar macam-macam cerita orang putih fasal time-travelling kan, jadi ini kiranya time-travel versi Melayu punyalah.

Amnya, kisah ini berlandaskan: Kebaikan pasti akan mengalahkan kejahatan (kata Ramlee dalam Cinta Sang Ratu). Memang best. Tetap berinformasi pulak tu. Unsur saspens, mistik dan thriller yang memang wajib ada punyalah dalam novel ni. Dengan manusia iblisnya, hantu balan-balannya...hmm, setuju tak kalau saya kata buku ni sesuai dijadikan filem? (buat undian okey juga ni) Ah, satu lagi, yang bagusnya, Saifudin tu seorang yang warak, sangat taat kepada ajaran agama. Macam ustaz mudalah. Jadi banyaklah juga diselitkan hadis dan ayat-ayat Al-Quran. Jadi tak rugi kalau baca. Bukan sekadar cerita saja, tapi banyak ilmu yang boleh kita ambil. Siapa yang tak baca lagi, bolehlah cuba! (Saya rasa mungkin ramai dah baca sebab ia terbitan 2005; sekadar cadangan bagi yang mencari bahan bacaan)

Sekuel Bagaikan Puteri - Cinta Sang Ratu - tak kurang hebatnya. Tapi serasa Bagaikan Puteri lebih memikat. Mungkin nanti Cinta Sang Ratu pula. Sudah habis dibaca sebenarnya.

*Agaknya boleh ke saya teruskan blog ni nanti ya, masa dah mula belajar semula nanti? Waktu cuti macam ni bolehlah tulis tiap hari...

Jun 11, 2007

Inilah Bukunya

Saya mula-mula membeli siri buku ini awal tahun ini - ketika itu saya baru saja update account Friendster saya. Pada masa itu saya ada menyertai beberapa Friendster group; dan salah satu group yang saya sertai ialah Booklovers' Club. Di situ terdapat beberapa gambar buku yang dirakam oleh pemilik group berkenaan - dan salah satunya ialah gambar di sebelah ini (edisi US). Katanya buku ini banyak memenangi pelbagai jenis award. Pada mulanya saya tidak begitu berminat untuk membacanya kerana covernya yang tampak tidak begitu menarik. Tetapi suatu hari semasa saya mencari buku Harry Potter di sebuah kedai buku, saya terjumpa buku ini (edisi UK), dan kerana saya tidak dapat membeli HP, saya terus membeli Percy Jackson and the Lightning Thief ini secara suka-suka saja.

Jangkaan saya meleset - jalan ceritanya memang bagus! Memang betul kata orang: "Never judge a book by its cover". Ceritanya merupakan blending antara mitos dan moden. Bagaimana sebenarnya? Begini. Pernahkah anda baca mengenai mitos dan legenda Greek? Tentang Hercules yang perkasa? Tentang Jason dah pengembaraannya bersama Argonauts? Atau tentang raksasa mitos Greek seperti Medusa yang boleh menukarkan seseorang menjadi batu apabila terpandang wajahnya? Cerita-cerita itu telah dimodenkan, maksud saya, Rick Riordan telah mengambil mitos itu sebagai latar ceritanya. Dalam kata lain, cerita ini berkisar mengenai dewa-dewi Greek dan kesemua watak-watak dan raksasa yang bersifat immortal; yang dikatakan legenda itu sebenarnya wujud - sehingga kini di abad ke-21. Menarik?

Penulis ini tidak membuang masa mencipta watak-watak untuk dimasukkan dalam ceritanya - kerana kebanyakan watak telah ada di dalam mitos. Watak-watak baru pula dicipta berdasarkan mitos itu juga. Bijaknya, penulis pandai memanipulasi dan menjadikan cerita berkurun lamanya itu kepada suatu cerita baru yang segar dan akhirnya, terhasillah siri Percy Jackson and the Olympians ini!

Apa yang saya suka tentang siri ini ialah bahasanya yang amat mudah difahami; tidak banyak perkataan yang susah dan jarang digunakan dalam Bahasa Inggeris yang kita tuturkan. Jadi mudahlah bagi cerita ini untuk difahami. Lagi? Plot. Macam sebuah cantuman jigsaw puzzle yang dipenuhi kejutan. Semua misteri yang berlaku kepada pengembaraan Percy ibarat sekeping demi sekeping jigsaw puzzle yang dikumpulkan; di akhirnya kita dapat megetahui semuanya dengan mencantumkan kepingan-kepingan jigsaw tersebut untuk menyudahkan sebuah puzzle. Itu baru cerita fasal satu buku. Belum kira lagi buku kedua dan ketiga - The Sea of Monsters dan The Titan's Curse - kedua-duanya membawa plot yang semakin lama semakin rumit. Pembaca dapat mula melihat kesinambungan antara buku-buku ini - semuanya permulaan yang boleh meyebabkan peperangan di bumi.

Yang seronoknya bila membaca siri ini ialah apabila penulis menambah unsur-unsur humor yang sentiasa buat saya tergelak besar! Walaupun Percy menghadapi banyak masalah, tapi mereka masih sempat bergurau senda. Itu yang membuatkan pembaca relax sewaktu menmbacanya. Biarpun saya sudah membaca setiap buku dalam siri ini berkali-kali, tapi saya masih boleh ketawa ketika membacanya. Tak boring! Ceritanya disesuaikan dengan zaman kita, jadi ceritanya tidak merumitkan kepala kerana kita berada di zaman yang sama (cuma budayalah yang berbeza, dia orang putih, kan). Percy juga seorang budak dari usia 12 tahun yang meningkat remaja tahun ke tahun. Memang sesuailah untuk remaja dan kanak-kanak. Secara kesimpulannya ia memang bestlah!


Berdasarkan laman web rasmi penulis Percy Jackson, terdapat 5 buku keseluruhannya dalam siri ini, jadi, hanya tinggal dua saja lagi! Anda boleh lawat laman tersebut untuk informasi lanjut berkenaan siri ini. laman-laman ini juga boleh membantu:

Laman rasmi - www.rickriordan.com/children.htm (Boleh dengar bab 1 dari setiap buku dan boleh download siri ini untuk iPod di sini)

Versi UK - www.percyjackson.co.uk (Boleh baca petikan dari buku-buku Percy di sini)



Atau guna saja enjin carian Google Book Search di bawah sekali. Cubalah baca dan alami sendiri! Sekarang saya teruja menunggu buku keempat keluar. Penulis kata, ia sudah siap, dan telah dihantar ke editor untuk proses editing. Tahun depanlah nampaknya baru keluar. Tak sabar rasanya.

*Ah, hari ini saya cuba menyemak baki kredit handphone saya - menariknya, saya dapati, bakinya ialah RM55.55!

Related Posts with Thumbnails