Memaparkan catatan dengan label politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label politik. Papar semua catatan

Jun 02, 2011

Lumba Lari

Robert Langdon masih berlari ke sana sini membongkar rahsia dan kod. Bertemu seorang wanita yang cantik dan bijak yang membantu pengembaraannya. Pelumbaan mengejar masa tamat apabila rahsia terakhir dibongkar - siapa penjahat sebenar dan apa kod terakhirnya.

Masih lumba lari yang sama.

Saya menamatkan pembacaan novel The Lost Symbol (TLS) karya Dan Brown seingat saya Februari lepas. Bukan mudah menamatkan novel hardback setebal 528 mukasurat ini. Tetapi apa yang membantutkan pembacaan saya (saya membaca naskhah ini sejak November/Disember kalau tidak silap) antaranya adalah deskripsinya yang meleret-leret. Bukan saja itu, stail penulisan dan jalan ceritanya pula sudah boleh diterka (sekiranya kita sudah membaca karya-karya Dan Brown yang melibatkan Robert Langdon sebelum ini seperti The Da Vinci Code dan Angels & Demons) menjadikan buku ini tambah bosan.


Disebabkan perincian yang terlalu teknikal, saya terasa terpanggil untuk cuba membaca buku-buku terawal Brown sebelum siri Robert Langdon. Dan saya memilih Deception Point (DP). Terasa lebih segar pula membaca novelnya yang berlatarbelakangkan konspirasi yang berbeza tanpa perlu membongkari kod-kod rahsia. Dalam DP, watak utamanya malah seorang wanita. Rachel Sexton, anak kepada seorang senator yang sedang bertanding untuk jawatan presiden Amerika Syarikat, dia ditugaskan membantu mengesahkan penemuan sebuah meteorit berumur lebih 3 abad di Kutub Utara. Menarik sekali apabila konspirasi politik digabungkan dengan latar oseanologi, kajian glasiologi dan data meteorologi.

Sekiranya Brown menjadikan pertubuhan-pertubuhan rahsia kuno sebagai antagonis dalam siri Langdon, dalam Deception Point pertubuhan NASA menjadi boneka.

Tetapi, masih penceritaan lumba lari. (Lumrah novel aksi agaknya?)

Rachel Sexton membongkar satu fakta palsu yang bakal menggulingkan NASA dan Presiden Amerika yang tak bersalah sekiranya ia disebarkan. Beberapa tentera elit rahsia diupah untuk membunuh mereka yang mengetahui rahsia tersebut, dan Rachel akhirnya menjadi sasaran bersama beberapa saintis yang turut sama tahu. Adegan kejar-mengejar antara pembunuh dengan para saintis pun berlaku. Saintis berkejaran untuk mengumumkan rahsia itu kepada umum, pembunuh bergegas menjejaki mereka.

Sekurang-kurangnya, walaupun ceritanya boleh diagak, saya menikmati agenda politik yang dimuatkan. Satu daripada kelebihan Brown pada pendapat saya, adalah apabila pembaca 'diberi' peluang meneka siapa sebenarnya watak antagonis utama dalam ceritanya. Dan kebiasaannya, saya akan kalah dalam tekaan itu, termasuklah dalam DP. Dalam The Lost Symbol sayangnya, tidak timbul langsung perasaan ingin tahu itu kerana saya tidak rasa plotnya dibina dengan baik.

Meskipun begitu, apa saja bahan bacaan kita boleh bermuhasabah. DP membawa fenomena politik kotor yang sudah sekian lama berlaku termasuklah di negara kita sendiri. Personaliti ahli politik perlu dinilai semula: adakah dia hanya berkelakuan baik hanya kerana reputasi (reputation) atau karakter (character). Seorang muslim (dan daie) sepatutnya mengejar karekteristik sempurna tetapi bukan semata-mata menjaga reputasi. Karekter akan kekal pada diri seseorang sedangkan reputasi itu bila-bila masa akan runtuh kerana sikap baik yang ditonjolkan itu hakikatnya bukanlah diri kita yang sebenar.  Di akhirnya kita diajar kejujuran jugalah yang akan memenangi hati semua orang sepahit mana pun kebenaran tersebut.

TLS muhasabahnya agak cantik, sekiranya anda tidak kisah saya membongkar penamatnya. Langdon diberi sedikit 'tazkirah' pendek tentang khazanah yang hilang atau the Lost Symbol yang sibuk dikejar oleh antagonis dalam novel tersebut (satu daripada aspek yang menjadikan TLS bosan adalah leretan ceramah pendek ini). Khazanah itu sebenarnya bukanlah harta bernilai atau dokumen penting yang mengandungi rahsia dunia tetapi sebenarnya klu-klu yang dibongkar membawa mereka kepada Bible -  sebuah kitab yang menjadi panduan rakyat Kristian sejak dahulu semakin lama semakin dilupakan. Begitulah pentingnya kembali kepada 'Simbol yang Hilang' itu.

(Aneh juga penulis barat ini, dalam novel The Da Vinci Code dia memutarbelitkan ajaran Kristian dan menolak Bible kemudian dalam novel lainnya mengajak kembali kepada kitab yang sama.)

Kalau kita bandingkan dengan Al-Quran, tidak kurang juga bezanya bukan? Cukup dekatkah kita dengan Al-Quran; sudah berapa peratus kita mengamalkan isinya? (Ada orang ajak saya berlumba khatamkan Qur'an dalam masa sebulan, tapi kalau nak lumba konsistenkan bacaan saya dulu boleh tak?)


Juga, tidak putus-putus, manusia berlumba-lumba berebut kuasa. Demi mencapai objektif mereka, ada yang sanggup menipu dan membunuh. Seperti dalam DP, mereka sanggup melaksanakan projek penipuan terbesar yang melibatkan seluruh dunia semata-mata menyelamatkan sebuah organisasi, malah untuk menaikkan nama Preseiden yang kian jatuh. 

(Saya terfikir juga, ada desas-desus rakyat Amerika tidak puas hati dengan pemerintahan Obama, malah Obama gagal menaikkan taraf ekonomi AS. Sehingga katanya Donald Trump sedang cuba merebut jawatan presiden kerana lebih yakin untuk memulihkan keadaan AS. Tetapi dengan hadirnya berita kematian Osama bin Laden, rakyat Amerika mana yang tidak menyokong Obama kini kerana lega dan gembira lelaki itu telah tiada? Dan nama Osama naik semula...)

Sekadar buah fikir yang timbul setelah membaca DP. Saya terfikir juga, sebab tiba-tiba saja berita ini keluar.

Macam mana pun, saya lebih suka DP dari TLS. Kalau bintangnya lima saya beri empat untuk DP dan dua setengah saja untuk TLS. Siri Langdon masih ingin buat saya membaca rasanya disebabkan Brown pandai memfiksikan karya seni dan bangunan lama. Saya suka elemen seperti itu.

Ah, lain pohon, lain akarnya!

helaianrindu: The Lost Symbol dan Deception Point boleh didapati di kedai-kedai buku dengan harga pasaran RM36.90 (harga terakhir paperback Malaysia yang saya ingat). Bertuahnya saya kerana membeli hardcover TLS di carboot sale dengan harga 30p (RM1.50 sahaja, kurang dari harga 5 biji kuih di Kuala Lumpur)!

Julai 23, 2010

Secangkir Çay Pengubat Letih

Buku ini merakamkan ekspedisi di Bumi Turki yang sering dikunjungi penulis sepanjang persinggahan hidupnya di Jordan dahulu (terkandung dalam sebuah buku yang diterbit sebelum ini bertajuk Rindu Bau Pohon Tin, 2009). Cuba 'melarikan diri' sebentar mencari damai dari segala macam kerunsingan di tanah Urdun, dia melangkah ke negara jiran dengan sedikit duit simpanan khas.


Secangkir Teh Pengubat Letih
Hasrizal Abdul Jamil
Galeri Ilmu, 267 halaman, Cetakan pertama 2010.
RM25.00

Nyata, kembaranya tidak sia-sia, apabila takdir menemukan dia dengan seorang pemuda tempatan bernama Fatih yang awalnya tegar ingin mempelajari bahasa Arab. Pertemuan dengan Fatihlah yang menjadikan perjalanan penulis ke Turki sebagai sebuah ekplorasi hati yang memuhasabahkan diri. Bukan sahaja dapat mengikat ukhuwwah dengan Fatih dan teman-teman serta keluarga, tetapi menjangkaui kepada percintaan dengan Islam itu sendiri, juga sejarah jatuh bangun pentas khilafah itu.

Istimewanya buku ini bagi saya adalah kerana perhubungan yang dibina oleh penulis itu sendiri, dengan Fatih dan teman-temannya. Siapa sangka, Fatih merupakan anak kepada seorang Datuk Bandar. Jadi, selain tujuannya menyelongkar bahan sejarah Uthmaniyyah di Turki dan menguasai bahasa tersebut, penulis juga secara tidak langsung jadi begitu cakna dengan politik Turki. 

Ironi Bumi Khilafah

Umum mengetahui, kedatangan Mustafa Kemal ke bumi khilafah itu telah memporak-perandakan suasana Turki sehingga sekarang. Justeru institusi politik menjadi wasilah penting dalam membangkitkan kembali syiar Islam di sana. Sejak 1995 penulis diperlihatkan dengan usaha-usaha Parti Refah yang membawa seruan Islam. Walaupun ramai penduduk tempatan sudah mula sedar dan menyokong padu seruan Islam ini, masih ada pihak yang terus-terusan berusaha mematikan usah-usaha ini. Ini terbukti apabila Parti Refah telah ditutup, dan tahun-tahun berikutnya juga menyaksikan penutupan beberapa lagi parti politik. Walaupun pihak yang cuba membawa Islam berganti parti demi parti, dan usaha-usaha dilakukan secara terselindung atau terbatas, semua jalan seakan sudah tiada.

Ketika itu bukan sahaja jalan mengembangkan Islam melalui siasah sudah dihalang, perkembangan sosial juga menjadi terbatas. Pusat-pusa tahfiz Al-Quran ditutup, Fakulti Teologi yang menjadi pusat pertahanan Islam juga ditekan, malah tudung dan hijab juga disekat. Pelajar-pelajar muslimah perlu memilih antara tudung atau peperiksaan, antara iman ataupun impian.

Ironi bukan, apabila Turki merupakan sebuah negara pengeluar tudung!

Namun dalam rumitnya situasi yang melanda negara tersebut, penulis sentiasa mengekalkan sisi optimisnya. Pembaca diberi bandingan dan teguran yang lantang tetapi berhalus tentang hikmah terjadinya semua ini. Saya sendiri mengakui ini merupakan satu petanda baik—Islam semakin berkembang. Semenjak zaman nabi lagi, ketika Islam berkembang, tentangan menjadi semakin hebat dari hari ke hari. Sekarang pun, Recep Tayyip Erdogan sebagai Perdana Menteri Turki pun telah membungakan harapan buat penduduk Islam Turki dan dunia seluruhnya. Lihat saja reaksinya saat Mavi Marmara (ekspedisi Freedom Flotilla ke Gaza) diserang oleh tentera Israel tidak lama dulu. Bukankah ini petanda? Siapa tahu, Islam yang jatuh di bumi Turki, akan bangkit semula bermula di sini nanti?

Pelajaran Sebuah Kembara

"Siapa kamu menentukan cara kamu melihat," kata penulis. "Kesannya pula ialah, cara kamu melhat menentukan apa yang kamu dapat," pesannya lagi.

Tidak hairanlah apabila kita membaca travelog tarbiah ini, kita dibawa menyusuri perspektif yang sangat berbeza dari pandang sisi yang selalu dihebahkan oleh orang lain. Kadangkala kita selalu dikaburkan dengan penceritaan yang berat sebelah—menuduh Turki lupa diri kerana mahu menyertai gagasan Kesatuan Negara-negara Eropah (EU), menanggapi Turki sudah jauh tersasar dari Islam kerana dasar sekularisme yang dipraktikkan, dan pelbagai macam tuduhan—yang dibuat tanpa mengalami fenomena yang berlaku di negara itu dengan mata kepala sendiri. Pembaca yang betul-betul faham dengan pesan penulis yang disebut sebelum ini (juga tercatat pada belakang buku ini) akan nampak bagaimana cara yang boleh dikatakan terbaik dalam menilai sesebuah perkara sekalipun ia nampak buruk seburuk-buruknya pada pandangan mata. Eksoterik tak semesti menggambarkan keseluruhan keadaan esoterik!

Pelajaran dari bumi Turki juga tentunya akan membawa kita menyusuri sejarah hebat khilafah Uthmaniyyah yang pernah bertapak di sini. Antara bingkisan yang paling mengesankan penulis, yang dimuatkan dalam naskah ini, adalah kisah Khalifah Sultan Abdul Hamid II. Sedikit petikan, khalifah ini banyak disalahtafsir sebagai seorang yang ‘dayus’ terhadap Islam dan mengatakan dialah pemula penjatuh pemerintahan Islam di Turki. Fakta sejarah yang terjadi sebenarnya, terlalu berbeza. Baginda sendiri yang mencatat peristiwa sebenar yang terjadi terhadapnya dan keluarga di dalam diarinya. Kisah lanjut boleh dibaca dalam bab Menjejak Tragedi Penggulingan Sultan Abdul Hamid II.

Begitulah kembara, segala-galanya yang dialami hanya akan dihargai apabila kita merasai apa yang dilalui oleh ummah selama ini, apabila kita benar-benar perlukan penyelesaian untuk kesulitan ummah dan diri sekalipun. Benarlah, güneşte yanmayan gölgenin kıymetini bilmez. 

Orang yang tidak pernah dibakar panas mentari, mustahil menghargai rimbun berteduh!

*************

Untuk menambahbaik buku ini, saya fikir adalah sangat baik sekiranya disertakan glosari di bahagian belakang buku. Walaupun sesetengah frasa atau ayat dalam bahasa Turki yang digunakan sudah diperjelaskan dalam ayat yang sama, glosari pada saya sangat membantu lebih-lebih lagi buat pembaca yang minat untuk mempelajari bahasa-bahasa asing.

"Carilah damai untuk diri sendiri. Khususnya untuk anak muda berjiwa da'i, yang sering hidupnya berfikir tentang orang lain, hingga lupa kepada perlunya diri dibelai damai oleh minda, emosi, dan spiritual yang kemas antara diri dan Ilahi... hanya kamu dan Dia... tiada yang ketiga."

Jasad manusia fitrahnya lemah, adakala akan tetap terasa lelah. Oleh itu, carilah secangkir kelegaan buat menghilangkan kegersangan itu sepanjang kembara di bumi Allah ini... siapa tahu, buku inilah secangkir ‘teh’ yang kalian cari-cari?

HelaianRindu: Terbaca berita tentang Gaza, hospital mereka memerlukan RM16 juta untuk penuhi keperluan kesihatan penduduk. Tapi dalam akhbar yang sama ada seorang pembikin filem mahu guna RM16 juta juga, hanya untuk hasilkan satu filem!


Related Posts with Thumbnails