Jun 25, 2010

The Mozart Conspiracy


Judul: The Mozart Conspiracy
Penulis: Scott Mariani
Penerbit: Avon Books
Tahun: 2008
Harga: RM29.69 (Kinokuniya KLCC Web)
Bil. mukasurat: 452

Saya menganggap The Mozart Conspiracy sebagai sebuah buku yang sangat dekat dengan karya Dan Brown, The Da Vinci Code. Saya tidak boleh samakan Mariani dengan Brown seratus peratus kerana saya baru sahaja menghabiskan satu karya Mariani sedangkan Dan Brown saya telah tamatkan dua.  Dalam siri Ben Hope ini, Mariani telah menerbitkan lima buah novel.

Cuma, setelah membaca naskhah ini, saya boleh katakan pendekatan Mariani dalam The Mozart Conspiracy sangat dekat dengan karya terkenal Brown itu.

Dengan menjadikan sebuah organisasi rahsia kuno sebagai antagonis, Mariani menjadikan perjalanan watak Ben Hope seakan selari dengan pengembaraan Robert Langdon ciptaan Brown. Di mana persamaan dan perbezaannya jikalau saya dakwa begitu? Seperti yang saya sebut sebelumnya, kedua-dua penulis menggunakan organisasi rahsia sebagai tapak asas cerita. Itu persamaan yang jelas sama.

Jalan cerita yang dikemukakan juga hampir sama. Di dalam naskhah ini, Ben Hope membongkari misteri pembunuhan teman lamanya, Oliver Llewellyn, yang rupanya berkaitan dengan kes kematian Mozart lewat abad ke-18. Dalam mengetahui rahsia organisasi yang terlibat, Ben Hope bersama Leigh (adik Oliver) berjumpa dengan seorang lelaki tua bernama Profesor Arno.

Jika anda pernah meneliti The Da Vinci Code, anda akan dapati Robert Langdon, dalam usahanya menjejaki organisasi bernama The Priory of Sion yang melibatkan tokoh Da Vinci; mengembara bersama Sophie Neveu bertemu dengan seorang tua bernama Leigh Teabing untuk bertanyakan pelbagai soalan berkaitan.

Itu antara elemen yang seakan-akan sama. Bagaimana dengan perbezaan mereka?

Melalui watak-watak yang ditonjolkan penulis, pembaca akan dapati perbezaan genre yang dibawa dua penulis ini. Robert Langdon rekaan Brown merupakan seorang profesor simbologi sedang Ben Hope merupakan seorang bekas militari. Jadi, secara teknikal, The Da Vinci Code sifatnya lebih deskriptif apabila menjurus pada pembongkaran kod dan rahsia. 

The Mozart Conspiracy pula dihasilkan sebagai sebuah novel aksi. Konspirasi yang terbabit dalam novel Mariani tidak begitu ditekankan. Cukuplah untuk pembaca mengetahui ada watak jahat sedang berusaha menghentikan pembongkaran aktiviti mereka. Selebihnya, antagonis akan melakukan apa saja demi merealisasikannya. Menculik, menangkap dan membunuh mereka yang terlibat. 

Sebab itulah Robert Langdon hanya berkejaran ke sana sini membongkari rahsia dan kod, manakala Ben Hope berlarian mengelakkan diri daripada ditangkap dan dibunuh. Langdon menunjukkan sifat inteleknya; Hope pula menampakkan sisi kekuatan, kelicikan dan juga inteleknya sedikit sebanyak.

Bercerita mengenai aksi, Mariani menceritakan The Mozart Conspiracy secara sinematik sifatnya. Seperti yang selalu ditayangkan dalam filem-filem aksi, novel ini menghidangkan rincian sebegitu. Penerbit sendiri menyamakan karya ini dengan siri aksi popular Bourne, karya Robert Ludlum. Pembaca yang teliti ataupun mereka yang kurang minat dengan genre ini mungkin cepat merasa bosan -- hampir tiga perempat buku ini adalah aksi culik, tangkap, kejar, dan bunuh saja!

Saya tidak begitu mencadangkan novel ini untuk dibaca, meskipun pelbagai respon positif diberikan untuk novel ini. Tidak pasti jika novel lain dalam siri Ben Hope ini bersifat sama dengan The Mozart Conspiracy, dari segi intelektual mahupun aksi. Mungkin pembaca boleh mencuba dan berkongsi kelebihan dan kekurangan novel-novelnya yang lain.

The Mozart Conspiracy merupakan sebuah novel yang menceritakan mengenai surat terakhir Mozart kepada kawan dekatnya, Gustav. Oliver Llellewyn, hampir membongkari rahsia organisasi The Order of Ra yang berkaitan dengan Mozart melalui surat tersebut, telah dibunuh. Kes tersebut hampir ditutup kerana tiada bukti kukuh. 

Ben Hope, Leigh Llellewyn dan seorang polis bernama Kinski tidak percaya dengan bukti sedia ada, lalu mereka bertindak mencari pembunuh sebenar dan motif pembunuhan Oliver. Ketika itu mereka menyedari The Order of Ra masih wujud, dan tidak akan berhenti dalam usaha menyembunyikan kewujudan mereka dengan apa cara sekalipun.

Jun 16, 2010

Melihat ke Belakang: Moribito

Judul: Moribito - Guardian of the Spirit
Penulis: Nahoko Uehashi (terjemahan oleh Cathy Hirano)
Penerbit: Scholastic
Tahun: 2009
Harga: RM36.50
Bil. mukasurat: 288

Buku ini menceritakan mengenai Balsa, seorang pendekar wanita yang mengembara dari kampung halamannya yang bernama Kanbal ke Kosenkyo, ibu negeri Yogo Baru. Balsa, juga seorang pengawal peribadi, bertugas melindungi sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongannya demi menebus kembali lapan nyawa yang terbunuh demi melindungi dirinya pada masa lalu. Kali ini, nyawa yang bakal dilindunginya adalah putera kedua raja (second prince) bernama Chagum.

Melindungi Chagum berbeza dengan tugasnya sebagai pengawal peribadi sebelum ini, kerana Chagum merupakan seorang Moribito--iaitu Penjaga Semangat (Guardian of the Spirit)--yang terpilih untuk menjadi pembawa telur Semangat Air pulang ke tempat asalnya. 

Melalui sejarah penubuhan empayar Yogo Baru dan juga inskripsi lama yang diterjemah oleh Shuga, seorang nujum istana, sekiranya Chagum gagal menyempurnakan tugasnya sebagai Moribito, Yogo Baru akan ditimpa kemarau yang dahsyat. Balsa dan Chagum lantas melarikan diri dari istana, dari ancaman raja, yakni ayah Chagum sendiri (yang menyangka anaknya dirasuk oleh semangat jahat, dan ini mampu merosakkan nama baiknya sebagai raja); juga dari Rarunga, musuh siluman yang merupakan pemangsa kepada telur Semangat Air tersebut. Dalam perjalanannya, mereka mengetahui lebih banyak mengenai semangat tersebut, juga sejarah sebenar empayar Yogo Baru, yang disembunyikan dari pengetahuan rakyat.

Premis novel ini merujuk kepada sejarah penubuhan negara Yogo Baru itu sendiri. Naskhah ini menceritakan bagaimana sejarah memainkan peranan penting dalam mengubah keadaan dan situasi yang berlaku pada masa kini. Masyarakat umum didedahkan kepada sejarah palsu mengenai semangat air yang muncul dua abad lalu, ketika penubuhan empayar Yogo Baru itu. 

Apabila diselongkar arkib prasasti di istana para nujum mengenai peristiwa tersebut, didapati sejarah yang sebenarnya adalah sangat berbeza, malah tidak diceritakan demi menutup kelemahan raja pada waktu itu. Ketika ini mereka menyedari yang sejarah sebenar adalah kunci kepada menyelamatkan keadaan Chagum, juga untuk menyelamatkan keadaan negara pada masa akan datang.

Sejarah yang Disembunyikan

Saya masih ingat, kata-kata mutiara seseorang mengenai sejarah: "Sejarah ibarat cermin sisi sebuah kereta. Sekiranya kita tidak memandang apa yang ada di belakang terlebih dahulu, maka kita tidak boleh melangkah maju ke depan."

Kata-kata ini, bukan saja sesuai untuk novel fantasi ini, tetapi juga dalam hidup kita sehari-harian. Khususnya, bagi seorang Muslim, yang sepatutnya mendalami sejarah umat, demi menyelamatkan keparahan yang berlaku pasca isu September 11. Ketika ini Islam sudah disinonimkan dengan terorisme, dan masyarakat umum telah dilindungkan dari apa yang sebenarnya ada pada Islam--yakni sangat berbeza dengan apa yang dilaungkan musuh-musuh Islam. Semata-mata dilakukan demi menutup kelemahan mereka, demi menjadikan diri berkuasa tinggi dari Islam, seperti maharaja Yogo Baru itulah. Semata-mata juga kerana mereka takut Islam akan menjadi orde baru yang bakal menenggelamkan mereka dari tampuk kuasa, seperti yang pernah berlaku di zaman empayar Abbasiyyah dahulu.

Pelbagai lagi contoh kebenaran telah ditutup oleh pihak yang kononnya punya kuasa ketika zaman itu, untuk kepentingan diri mereka sendiri. Lihat sendiri sejarah sains dan teknologi yang didominasi oleh Muslim saat Eropah berada dalam zaman Gelap dahulu. Segala ilmu sains yang didakwa bermula dari Barat, sebenarnya dirujuki dari kajian dan penemuan saintis Islam lama sebelum itu. 

Lebih lama sebelum itu lagi, fakta sejarah mengenai Perang Jamal dan Siffin, adalah antara sejarah yang menjadi mangsa untuk diputarbelitkan, demi kepentingan puak tertentu. Fitnah yang melanda para sahabat, iaitu Saidina Ali, Aisyah, dan Muawiyah sangat mendalam kesannya dalam masyarakat kita sendiri. Ramai yang didedahkan, dan percaya kepada versi palsu itu,  tanpa mengkaji apa yang berlaku sebenarnya. Buktinya?  Agak jarang sekali kita dengari 'Muawiyah' dipilih sebagai nama anak-anak, sejak dahulu lagi. Barangkali impaknya adalah kerana kisah palsu inilah. Bukti mungkin cuma telahan saja, tetapi jujur, saya secara peribadinya dulu, pernah mempercayai perkara yang sama, tapi mujur ada pencerahan yang saya temui. Bermakna sejarah palsu ini telah banyak dipergunakan sepanjang hidup kita ini.

Melihat ke Belakang

Ketika inilah, kita wajib menelaahi semula sejarah hakiki mengenai Islam, mengenai umat, turun naiknya kita sejak kedatangan Nabi Muhammad, juga sebab-sebab yang menjadikan kita lemah selepas jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniyyah. Kerana Islam lemah kini bukan sekadar disamakan dengan keganasan, tetapi salahnya banyak dari sikap kita sendiri, perlakuan kita sendiri.

Lihat sendiri bagaimana musuh-musuh Islam belajar menumpaskan semangat jihad dan melemahkan kita dengan melihat kepada sejarah. Wasiat Louis IX adalah bukti. Beliau berkata:

Tiada jalan untuk mengalahkan dan menguasai orang-orang Islam melalui jalan perang. Agama mereka mendorong mereka untuk melawan, berjihad, mengorbankan jiwa …. Kita mesti lakukan jalan lain; iaitu mengubah pemikiran Islam dan menjinakkan orang-orang Islam melalui serangan pemikiran. Cendekiawan Eropah harus mengkaji tamadun Islam dan mencipta senjata untuk merosakkan pemikiran orang-orang Islam.

Kalau mereka pun belajar dari sejarah, kita pun sepatutnya melakukan perkara yang sama.

Berbalik kepada Moribito, saya tertarik dengan hubungan antara Chagum dan Balsa yang cukup aneh. Bagaimana wanita ini boleh terus melindungi putera raja itu sedangkan dia tidak ada obligasi atau alasan kukuh untuk melindungi budak itu. Di sinilah terletaknya kunci perhubungan ini: masa silam Balsa yang seakan-akan sama, ketika dia sendiri diletakkan di bawah jagaan rakan baik ayahnya, Jiguro. 

Setelah bertahun-tahun hidup dalam pelarian, Balsa tidak pernah faham kenapa Jiguro sanggup melepaskan hidupnya yang senang lenang sebelum itu, demi melindungi dirinya dari mush ayahnya, selama sepuluh tahun. Namun kasih sayang mengatasi alasan; Jiguro telah sekian lama menganggap Balsa seperti anaknya sendiri.

Kebiasaannya cerita fantasi dan pengembaraan bermula sedikit perlahan. Pembaca biasanya akan diperkenalkan dan dibiasakan dengan jelas suasana tempat dan peribadi watak utama dahulu. Tetapi terkejut saya membaca Moribito, kerana pada mukasurat kedua aksi sudah bermula. Balsa dan Chagum, dua watak yang asing disatukan dengan sebegitu pantas, yang tinggal adalah perkembangan watak-watak tersebut dan jalan ceritanya. 

Pembaca yang berminat dengan latarbelakang zaman pertengahan di Jepun pula pasti menyukai novel ini kerana di dalamnya kita digambarkan dengan pemakaian dan cara pertarungan yang hampir sama. Cuma, penulis menggabungkan unsur Jepun itu dengan dunia imaginasinya sendiri, dengan bahasa, budaya dan keadaan geografi ciptaan sendiri. 

Untuk pengetahuan anda, novel ini juga telah diadaptasi menjadi sebuah animasi. Penulis juga bertanggungjawab dalam penghasilan novel Erin, sebuah novel yang menceritakan mengenai hubungan luarbiasa antara manusia dan haiwan, juga telah disirikan menjadi animasi.

HelaianRindu: Hei, jangan cakap lebih! Buktikan!

Jun 15, 2010

Jeda V: Tiga

Angka tiga.

Sudah berumur 3 tahun blog saya ini. Suatu tempoh yang agak lama. Dan entri pertama adalah pada tiga hari lalu, tiga tahun lalu. Kalau budak kecil umurnya tiga, sudah upaya lakukan macam-macam. Bercakap sudah tentu. Berjalan, berlari dan berkejaran sesama kana-kanak seusianya pun pastinya sudah mampu. Kalau yang lebih pandai, barangkali bibirnya telah fasih menggumam huruf-huruf ABC, alif ba ta, dan mengira beberapa angka.


Entah, saya juga tidak tahu kemampuan seorang anak kecil begitu. Tidak saya pasti bagaimana keadaannya saya dahulu. Anak buah saya yang berusia dua sudah pandai menghafal potongan lagu kanak-kanak yang dinyanyikan. Umur itu pada saya, selari dengan kemampuan. Dan kemampuan yang diberi pada setiap orang adalah berbeza. Bukankah Allah memberi kita kemampuan yang selari dengan kekuatan kita?

Bagaimana pula dengan saya ya? Umur tiga dalam menulis, sudah agak lama. Adakah kemampuan saya dalam menyampaikan dan berkongsi melalui medium ini berhasil dan berkesan? Adakah objektif saya untuk menarik orang ramai untuk membaca berjaya? Adakah umur tiga ini, segala nasihat dan janji yang tertulis dalam laman ini berjaya saya tunaikan, berjaya saya zahirkan dalam perbuatan saya sendiri?

Adakah sepanjang tiga sanah ini, kemampuan saya dimaksimumkan?

Sekadar muhasabah untuk diri. Bukan tiga tahun itu, saya boleh berpuas hati.


Sumber gambar di sini.

Jun 08, 2010

Harry Potter and the Sealed Nectar

"Aku rasa, J.K. Rowling baca sirah nabi."

Seorang senior menyatakan begitu pada saya dan rakan. Kenapa pula? Kami tertanya-tanya. Jawapannya, tentu ada dalam siri popular Harry Potter yang tamat ditulisnya tiga tahun lepas. Maka tiba-tiba semangat 'hantu' buku saya datang dan saya capai buku terakhir dalam siri itu, milik teman serumah saya sendiri. Dua hari saya bawa buku itu ke sana ke mari, tenggelamkan muka saya pada helaian-helaiannya, mahu buktikan sendiri unsur apa di dalamnya yang hampir dengan sirah Nabi Muhammad. 


Kenapa saya baca hanya buku terakhir? Kerana antara tujuh buku yang ditulis Rowling, buku terakhir itu paling saya lupa jalan ceritanya. Setelah membaca Harry Potter and the Deathly Hallows ini, secara automatik saya terkenang isi dalam jilid-jilid terdahulu dan terdetik juga di hati saya kemungkinan yang dikatakan kawan saya sebelum ini.

Apa kata dia lagi? "Harry Potter direka sebagai seorang anak yatim piatu. Dia tiada tempat mengadu, melainkan rakan-rakan dan beberapa kenalan ayahnya. Macam diinspirasi dari kisah Muhammad sendiri, yang ibu bapanya juga sudah tiada. Yang dia ada cuma Abu Talib bapa saudaranya dan sahabat-sahabat tercinta."

Membaca karya penutup Rowling, saya menjumpai dan mengingati pelbagai lagi elemen-elemen yang hampir sama keadaannya dengan sirah Nabi. Contohnya dalam The Deathly Hallows, Harry dan rakan-rakannya berbuat baik kepada seekor house-elf (makhluk kerdil yang mengurus rumah seseorang) yang sepanjang hidupnya tidak pernah diperlakukan sebegitu. Elf ini selalu mengutuk dan mencerca Harry dan rakan-rakannya sesuka hati. Hanya dengan memberinya seutas loket milik tuannya yang terdahulu oleh Harry, elf ini dengan segera menurut perintah Harry dan melayannya dengan layanan yang sangat istimewa, perangainya berubah seratus peratus!

Akhlak baik pada seseorang yang merubah sikap mereka banyak ditunjukkan pada figura Nabi kita sendiri. Kisah Nabi Muhammad dengan orang Yahudi yang tua dan buta di hujung kampung contohnya, Nabi dicerca dan ditempelak terang-terangan oleh orang tua itu sedang yang selalu menyuapnya dengan penuh hati-hati adalah tampang agung itu sendiri. Setelah wafatnya Rasulullah, Abu Bakar mengganti 'tugas' Nabi itu, tetapi orang tua itu tahu bahawa Abu Bakar bukan orang yang sama yang menyuapnya saban hari, disebabkan Abu Bakar tidak menghancurkan makanan itu dahulu seperti yang Nabi lakukan. Setelah Abu Bakar menceritakan bahawa yang menyuap orang tua itu Nabi sendiri, segeralah orang tua itu memeluk Islam.

Kisah lain? Saya teringat pula lagu yang dinyanyikan oleh Dawud Wharnsby, tajuknya Don't Talk About Muhammad. Kisah seorang perempuan tua yang tidak mengenali Nabi, kemudian ketika Nabi menolongnya mengangkat beban yang dibawa, perempuan itu memburuk-burukkan Muhammad. Sampai di destinasi, alangkah terkejut perempuan itu apabila ditanya nama pemuda yang menolongnya itu adalah Muhammad! Maka berubah hati dan sikapnya pada Nabi, malah terpegun dengan akhlak baik yang langsung bertentangan dengan cercaan yang ditimpakan pada Rasulullah. Islamlah jua perempuan tua ini. 

Dalam volum kelima pula, ada satu peristiwa yang sangat persis salah satu kisah Nabi. Di hujung volum keempat, iaitu The Goblet of Fire, Voldemort, antagonis siri ini, berjaya hidup kembali untuk membalas dendam, tapi yang menjadi saksi kebangkitan semula penyihir yang ditakuti seluruh dunia magis ini cuma dua orang, Harry Potter dan seniornya Cedric Diggory. Tetapi Cedric mati dibunuh di tempat kejadian, jadi Harry Potterlah sahaja yang menjadi saksi utama.

Dalam sekuelnya, The Order of the Phoenix, Apabila diceritakan yang Voldemort yang pernah menghuru-harakan dunia manusia itu hidup kembali pada masyarakat sekitarnya, semua tidak mempercayai Harry. Maka tinggallah sahabat-sahabat seperjuangannya yang melindunginya dari cemuhan-cemuhan, kononnya mereka-reka cerita itu demi mendapatkan populariti. Dan orang yang pertama mempertahankan lisannya adalah Ron, sahabat karibnya. Ketika itu sangat sedikit orang yang mempercayai apa yang Harry ceritakan, dan mereka yang mengiyakan ini membentuk sebuah kumpulan pelajar yang kuat yang digelar Dumbledore's Army dengan senyap-senyap.

Sudah terfikir potongan dalam sirah Nabi yang mungkin dipetik oleh penulis?

Bukankah ini sangat dekat dengan riwayat tentang sekembalinya Nabi dari perjalanan Israk dan Mikrajnya. Pulang saja dari perjalanan ajaib itu, tiada seorangpun yang yakin dan lebih percaya, mempertahankan kata-kata Nabi melainkan sahabat karibnya Abu Bakar. Kisah yang tidak boleh diterima logik akal manusia menyebabkan baginda makin diburuk-burukkan. Tetapi Nabi tetap kuat kerana adanya sahabat-sahabatnya yang percaya dan setia pada Islam.

Kadang-kadang mungkin elemen ini tidak dimasukkan secara langsung dalam buku-buku Rowling. Maksud saya, impak atau kesan pembacaan siri ini juga boleh mengingatkan kita kepada intipati dari sirah. Di pengakhiran jilid enam, The Half-Blood Prince misalannya; Dumbledore, seorang ahli magis yang hebat, juga merangkap pengetua sekolah magis Hogwarts tempat Harry belajar, mati dibunuh oleh konco Voldemort. Pembaca yang sudah lama bersahabat dengan siri ini, dan sayang terhadap watak ini khususnya mungkin akan terasa kehilangan tersebut.


Saya sendiri pernah tonton filem ini di rumah seorang postgraduate dan isterinya. Isterinya menangis di saat Dumbledore dibunuh. Kemudian, beberapa hari kemudian dia menghantar mesej pada senior saya (yang juga menonton bersama waktu itu) bahawa Dumbledore tidak mati. Semua itu lakonan dan macam-macam lagi, katanya. Kami yang sudah membaca siri ini hingga ke hujungnya sudah tahu memang Dumbledore sudah mati, jadi kami memberitahunya. Senior saya sempat bersenda:

"Akak ni mengingatkan saya tentang Saidina Umarlah. Semasa kematian Nabi, kan dia tidak mahu terima kematian baginda. Sampaikan mahu bunuh mereka yang mengatakan Nabi sudah wafat."

Kalau di dalam The Order of the Phoenix, ada juga babak kematian Sirius Black, bapa angkat atau penjaga Harry selepas kematian ibu bapanya. Saat itu mencucuk-cucuk ingatan saya tentang waktu kepergian dua karektor penting pada Nabi dalam masa dekat, iaitu Abu Talib bapa saudara yang menyokong perjuangannya, juga Khadijah isterinya yang setia dan banyak membantu sejak turunnya wahyu pertama lagi. Harry, seteleah mati ayah angkatnya, seperti dicabut akar hidupnya, bagaimana tidak? Orang yang selalu membantunya dari belakang sudah tiada. Abu Talib pada Nabi bukankah tulang belakang perjalanan dakwahnya?

Mungkin cara saya menyampaikan ini seperti ingin menyelarikan sirah Nabi dengan Harry Potter, atau sengaja 'mencari-cari' babak mana yang boleh disesuaikan dengan sirah. Barangkali ada yang tidak berkenan, yalah manakan patut disamakan kisah fantasi Harry Potter dengan babad agung Nabi Muhammad SAW. Atau mungkin juga, akan tercetus dalam fikiran anda, semua ini 'kebetulan' sahaja. Mana mungkin?

Tetapi, lebih penting untuk kita perhatikan, dengan membaca apa juga bahan pun, kalau dapat kita kaitkan dengan kisah-kisah Nabi kita, bukankah lebih baik? Dua manfaat kita peroleh dalam satu masa. Mana tidaknya, kita dapat ulangkaji dan muhasabah diri melalui sirah selain dapat manfaat utama buku itu sendiri. Bukankah contoh terbaik adalah Nabi Muhammad? Ini juga muhasabah buat saya, yang minat membaca, untuk cuba segar-segarkan semula ingatan tentang sirah setiap kali membaca.

Baru saya teringat, Tuesdays with Morrie karya Mitch Albom yang terkenal itu juga, kata seorang kawan saya, persis menghadiri usrah setiap hari selasa. Terkenang pula pada usrah Khabbab Al-Aratt dengan Fatimah (adik Saidina Umar) dan suaminya!

HelaianRindu: Peminat Harry Potter yang lain, kongsikanlah babak-babak yang bagi korang ada persamaan dengan sirah nabi! Atau dari buku-buku lain barangkali?

Jun 07, 2010

Nuansa in Absentia II

Aku terasa rindu pada seorang senior yang sempat dikenali sekejap benar saja di kolej dahulu. Yuzairi namanya. Entah kenapa absentia itu sedikit hebat kesannya dari biasa, sedangkan kenal dengannya pun terlalu sebentar.

Aku luahkan pada seorang teman.

Entah bagaimana cerita punya cerita, topik yang dibualkan beralih kepada topik haiwan peliharaan. Maklumlah, mungkin rasa kehilangan itu beralih tiba-tiba pada kucingku yang telah hilang sekian lama. Maka aku tanyakan pada temanku, "Mahu tahu cerita itu?"

"Kucing yang dari gemuk jadi anoreksia itu?" Dia berjenaka sebentar. "Ya, yang itulah." Jawabku. Rupanya dia sudah menatap gambar-gambar kucingku sebelum dia hilang.

Aku ceritakan yang kucing itu telah mati, itu telahanku. Mana tidaknya, sebulan dia tidak makan (sebab itu kurus), kemudian tiba-tiba dia menghilang. Lama dan tidak pulang-pulang. Kerenahnya juga berubah sebelum ghaibnya itu. Sedih juga, bukan apa, tapi sudah hampir sepuluh tahun dia bersama keluargaku. Suatu tempoh yang lama bagi seekor kucing. Malah, sangat lama, berbanding kucing-kucing yang pernah kami bela sebelum ini. 

"Sabarlah," tambahnya, "Aku pun pernah juga membela beberapa ekor kucing, ada juga hilang begitu saja. Kucing memang begitu, dia semacam tahu masanya dah sampai. Dan waktu itu dia akan menghilang."

"Mungkin tak mahu tuannya melihatnya sewaktu ajal." Aku mengiyakan. Benar, banyak kisah yang aku telah dengar tentang ini.
  
Kucing aku itu, bukan calang kucing, sangat istimewa. Seekor betina, sebelum ini kami dapat yang jantan-jantan saja. Mungkin itu sudah membezakan perangainya. Selalu aku ingat, apabila tiba waktu solat, kucing kami ini akan duduk bersama, baring di tepi jemaah kami. Seperti ingin bersolat sama pula. Kadang-kadang sampai duduk di atas sejadah terus, bila mahu sujud terpaksa alihkan ke tepi. Dia seperti tahu kami tidak boleh diganggu, jadi sebelum kami bangun, dia akan duduk diam di tepi.


Kalau di bilik ibu bapaku, dia akan masuk dengan berhati-hati kerana dia tahu ibuku kurang suka dia masuk, bimbang kotor bilik itu, terutamanya tikar rotan yang terhampar. Jadi dia sentiasa jalan di bahagian tepi bilik yang tak terkena tikar. Menariknya, bila ibu sedang membaca Al-Quran di atas sejadah, dia datang dan menggesel-gesel pipinya pada Al-Quran atau rehal ibu. Kalau tidak dilayan dia duduk sahaja menunggu ibu bangun. Tahu-tahu saja!

Dengan aku pula? Biasanya aku angkat dia ke atas katil, biar dia tidur di tepi kepalaku. Berkali ibu pesan jangan, takut-takut terkena asma atau kuman kotoran pada badannya. Tapi aku tidak kisah sebab kucing ini boleh kejutkan subuh setiap pagi (hakikatnya dia minta aku bukakan pintu ke luar untuk dia tunaikan hajat).

Dan ayahku paling suka, dia tidak buang air merata-rata seperti jantan-jantan yang kami bela sebelum ini. Selalu, dia akan minta dulu bukakan pintu untuk dia buang di luar. Kalau benar-benar tidak tahan barulah dicarinya kain buruk di lantai dapur!

"Sebelum dia hilang, dia macam ingin lebih kasih sayang, selalu gesel-geselkan dan mendekat pada ahli keluargaku dengan rela. Sebelum itu perlu paksa sikit," ceritaku tambah sedih.

"Terimalah kehilangan itu. Kan itu fitrah. Mudah-mudahan tindakan kita membelanya dikira sebagai amal." temanku mengingatkan. 

Sepuluh tahun. Siapa yang tidak sedih.

"Betul, dah lama anda berdampingan dengan kucing itu, memang patut lebih rasa sedihnya. Bapa kucing!"

Aduh, terlalu tinggi panggilan itu, selayaknya pada sahabat nabi sahaja. Siapalah aku, malah tak sanggup mengambil kucing ke dalam baju dan ke masjid untuk bersolat seperti Abu Hurairah itu! Kami berdua kemudian mengagumi sahabat nabi yang satu itu. 

Lalu dia menceritakan pula, hidup di negara orang ini, bukan saja kucing jarang kita lihat, malah perasaan kasihan pada haiwan itu makin pudar pula. Yang banyak, anjing, tapi kita tak bolehlah pula berkasihan secara fizikal. Mungkin kasihkan melalui hati itu boleh. Pemilik anjing di sini katanya pula langsung tak kasihkan, fikirkan perasaan haiwan peliharaannya, dan mensia-siakan sifat yang paling perlu dicontohi dari anjing iaitu setia. Anjing juga menurut fitrah, ia kan makhluk Allah juga, tambah temanku. Lalu aku teringat kisah benar tentang Hachiko, seekor anjing di Jepun yang sangat setia, menanti tuannya yang telah mati di tempat sama selama sepuluh tahun tanpa jemu. Aku kisahkan padanya. Dia terkagum sejenak.  

"Perlu memandang anjing dengan persepsi baru pula lepas ini," kata temanku itu, "dan tentu sekali lebih kagum pada Penciptanya yang menciptakan setiap makhlukNya begitu istimewa."

Benar, aku menyampuk: "Perlu lihat sisi lain pada setiap perkara. Dan kaitkan dengan Pencipta kita."

Dia menambah pula: "Hujungnya akal, pangkalnya agama." 

Harapnya kita jadi golongan yang kasihkan haiwan, kataku. Dia membalas pula, benar, tapi kasihkan mereka bukanlah kerana fitrah manusia semata-mata. "Tetapi kerana itulah tuntutan yang ditunjukkan oleh contoh teragung, Muhammad SAW," tegur temanku itu padaku.

"Tapi macam mana dari abang Yuzairi itu boleh sampai ke tajuk haiwan pula?" tiba-tiba dia bertanya.

Aku tergelak, benar juga!

Ah, jadi nuansa in absentia nampaknya!

HelaianRindu: In absentia, Yuzairi, Munir Marsidi, dan kucingku yang namanya Manja (walaupun tak pernah panggil dia dengan nama itu, hanya panggil Miau saja.) 

Related Posts with Thumbnails